Wednesday, January 15, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 41 (Syurga dan Neraka, Mandi Wajib, Tidak Kutuk Orang Lain, Waniat Haid dan Isbal)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 41 adalah menjelaskan persoalan kenapa Allah ciptakan syurga dan neraka, suami dan isteri mandi wajib bersama, tidak kutuk orang yang berdosa, wanita haid dan isbal (pakaian melebihi mata kaki)

201. Soalan : Allah SWT tu Maha Pengasih dan Maha Penyayang tapi mengapa diadakan syurga dan neraka serta hari pembalasan.? Mohon ustaz jelaskan..terima kasih.

Jawapan : 

Allah SWT Maha Bijaksana dan Maha Berkuasa. Dia menciptakan langit da bumi, syurga dan neraka adalah untuk meguji manusia siapakan amalannya yang paling baik ketika di dunia? Siapakah amalan yang paling buruk? Seseorang yang beramal soleh, beramal ibadah dan sentiasa melaksanakan amar makruf nahi mungkar akan mendapat pertolongan daripada Allah SWT , kasih sayang-Nya dan rahmat-Nya. Kita masuk syurga bukan kerana amalan kita tetapi dengan rahmat Allah SWT untuk mendapat rahmat Allah SWT buatkah segala kebaikan. 

Dilaksanakan apa yang di suruh-Nya dan meninggalkan larangan-Nya akan mendapat rahmat Allah di akhirat nanti, insyaa Allah dengan rahmat Allah akan memasuki syurga. Syurga adalah lambang kebaikan dan kejayaan di akhirat. Neraka pula adalah tempat balasan segala bentuk kesyirikan, kezaliman, kejahatan, tipu muslihat, fitnah- memfitnah, bunuh membunuh, berzina, mencuri, merogol, rasuah , hasad dengki dan sifat sombong , bakhil dan melanggar larangan dan tegahan daripada Allah SWT. Tidak ada orang yang masuk neraka melainkan orang yang paling rugi dan paling hina keran enggan tunduk dan patuh arahan Allah SWT. Pilihlah di antara 2 tempat balasan samaada syurga atau neraka... segala-galanya tepuk dada tanya iman kalian!

202. Soalan : Bolehkan suami isteri mandi wajib bersama-sama ? Adakah amalan ini dilakukan oleh Rasulullah SAW dengan isteri-isteri baginda?

Jawapan : 

Mandi bersama suami adalah amalan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. Imam Al-Bukhari meriwayatkan;

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كُنْتُ أَغْتَسِلُ أَنَا وَالنَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ إِنَاءٍ وَاحِدٍ تَخْتَلِفُ أَيْدِينَا فِيهِ

Maksudnya; “Daripada Aisyah r.ha berkata : Aku sentiasa mandi bersama dengan Nabi SAW daripada satu bekas. tangan kami sama-sama berselisih (ketika menggunakan air dalam bekas itu)” (Hadis Sahih Riwayat Bukhari : hadis no : 253)

Hadis ini menunjukkan bagaimana indah dan romantiknya Nabi SAW dengan isteri-isterinya. Gambaran romantik ini, dirakamkan sendiri oleh Aisyah yang bercerita bagaimana Baginda SAW boleh mandi bersama-sama sehingga tangan mereka berselisih dan berganti-gantian.

Mandi yang dimaksudkan dalam perbincangan ini, tidak dikhususkan kepada mandi biasa sahaja, bahkan termasuk juga mandi jinabah atau disebut sebagai mandi wajib.

Dalam hadis riwayat Imam Muslim, ada dinyatakan;

كُنْتُ أَغْتَسِلُ أَنَا وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ إِنَاءٍ وَاحِدٍ وَنَحْنُ جُنُبَانِ

Maksudnya;
“Aku selalu mandi bersama dengan Rasulullah SAW daripada satu bekas, dan kami ketika itu sedang berjunub” (Hadis Sahih Riwayat Muslim no. 482)

Mandi bersama bukan sekadar berada di bilik air bersama-sama sambil mandi-manda. Malah ia disertakan juga dengan aktiviti-aktiviti romantik yang boleh meningkatkan kemesraan dan keseronokan. Nabi SAW sendiri ketika mandi itu, tidak sekadar mandi bersama-sama semata-mata. Aisyah yang mandi bersama Nabi bercerita bahawa ketika sedang Nabi SAW mandi bersama, Baginda SAW merungkai-rungkaikan rambut Aisyah (Hadis Sahih Riwayat  Muslim no. 498). Demikianlah romantiknya Rasulullah SAW.

Selain itu, sambil-sambil mandi pasangan suami isteri bolehlah bergurai senda, dan berseronok. Rasulullah SAW sendiri pernah mandi bersama sambil bergurau-gurau. Mereka berdua bermain-main air, dengan berebut-rebut mengambil air sehinggakan Aisyah dalam suasana sedang berseronok-seronok meminta kepada Nabi agar air itu disimpan untuknya kerana semuanya telah diambil oleh Nabi SAW (Hadis Riwayat An-Nasai no. 239).

Bahkan aktiviti mandi manda bersama ini juga boleh menjadi aktiviti kemesraan intim yang amat menyeronokkan. Dalam suasana berdua dalam satu tempat mandi, dan dalam suasana sejuk itu tentunya suami isteri akan terdorong untuk lebih mesra dan intim. Dalam hal ini, Ummu Salamah pernah bercerita bahawa dia mandi bersama dengan Nabi SAW dan ketika itu Baginda menciumnya. Menurutnya, peristiwa ini berlaku, ketika Baginda sedang berpuasa (Hadis Riwayat Ahmad no. 25355).

Demikianlah hebatnya cinta Rasulullah SAW . Kita sebagai umatnya amat wajar menjadikannya sebagai petunjuk dan pengajaran. Jika Rasulullah SAW menyuburkan kasih melalui mandi bersama, mengapa kita tidak boleh lakukannya. Alangkah malangnya jika perasaan malu tidak bertempat menghalang kita untuk mencontohi amalan Rasulullah SAW ini dalam rumahtangga kita sendiri.
Semasa mandi bersama boleh gosok mengosok di antara suami isteri. Suami buat untuk isteri dan isteri buat untuk suami. Lepas itu seorang menjiruskan pasangannya, bergilir-gilir. Hingga selesai mandi wajib.

203. Soalan : Islam tak ajar kita untuk kutuk orang yg melakukan dosa.Tapi Islam ajar kita untuk bantu, bimbing dan nasihat dia ke jalan yg benar. Sila minta ustaz memberikan pencerahannya.

Jawapan :

Rasulullah SAW bersabda maksudnya, “Mengutuk seorang mukmin itu seperti membunuhnya.” (Hadis Riwayat Jamaah selain Ibnu Majah, hadis riwayat Tsabit bin Adl-Dlahak)

Nabi SAW bersabda maksudnya : ” Sesungguhnya seorang hamba bila melaknat seseorang nescaya laknat itu akan naik ke langit kemudian menutup pintu pintu langit di bawahnya, lalu turun ke bumi menutup pintu pintu yang lain, kemudian mengambil tangan kanan di tangan kirinya, apabila tidak memenuhi sasarannya, ia kembali kepada orang yang dilaknat dan jika tidak boleh ia akan kembali kepada orang yang melaknatnya.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Rasulullah SAW bersabda maksudnya ” Tidaklah para pelaknat itu dapat jadi penolong dan saksi di hari kiamat.” (Hadis Riwayat Muslim dan Abu Daud)

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: ” Tidak patut seorang teman baik, mengutuk (temannya)”
(Hadis Riwayat Muslim dari Abu Hurairah)

Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: ” Seorang mukmin bukanlah orang yang suka mencerca, bukan yang suka menjolok jolok, bukan yang suka berbuat keji, dan bukan juga orang yang suka bercakap keji.”

Dari hadis hadis tersebut di atas telah diterangkan bahawa mengutuk sesama muslim itu termasuk perbuatan yang berdosa, kerana kutukan dan laknat itu menjadi hak ALLAH SWT sahaja, dalam menghukum setiap hambanya. Sehingga kita dilarang mengutuk kerana kegunaan kutukan itu mengharapkan supaya ALLAH SWT mencabut semua nikmat yang telah diberikan kepada hamba tersebut baik nikmat zahir maupun nikmat batin, supaya dia (orang yang dilaknat) tidak memperoleh nikmat dan anugerahNya. Oleh kerana itu Rasulullah SAW melarang perbuatan itu, bahkan menganjurkan sebaliknya iaitu supaya saling mendoakan sesama muslim agar mendapat nikmat dan kurnia dari ALLAH SWT.

204. Soalan :Ustaz, Saya ada kemusykilan tentang haid wanita. Apa yang saya tahu perempuan dalam haid dilarang melakukan puasa dan sembahyang, mengaji al-Quran. tetapi tiada larangan untuk berzikir dan berdoa. Soalan saya, boleh tak ustaz tolong berikan hujah iaitu dalil al-Quran / hadis tentang haid yang menjelaskan perkara diatas. Sekian terima kasih.

Jawapan;

1. Telah ijmak (sepakat) para ulamak bahawa wanita yang dalam haid dan nifas diharamkan mengerjakan solat dan juga puasa (termasuk puasa Ramadan). Puasa Ramadan wajib diqadha, adapun solat tidak perlu diqadha. Dalil larangan solat dan puasa tersebut ialah hadis Dari Abu Sa’id al-Khudri r.a. yang menceritakan; Nabi SAW. telah bertanya kaum wanita; “Bukankah kesaksian seorang wanita sama seperti separuh kesaksian seorang lelaki?”. Mereka menjawab; “Ya”. Baginda lalu berkata; “Itu tanda kurangnya akal wanita”. Baginda bertanya lagi; “Bukankah jika kamu kedatangan haid, kamu tidak boleh mengerjakan solat dan berpuasa?”. Mereka menjawab; “Ya”. Baginda lantas berkata; “Itu tanda kurangnya agama wanita” (Hadis Riwayat Bukhari dari Abu Sa’id al-Khudri r.a.).

2. Adapun hukum membaca al-Quran, terdapat khilaf di kalangan ulamak seperti berikut;

2.1. Menurut Jumhur ulama (yakni pandangan teramai ulamak termasuk Imam-Imam mazhab empat); Diharamkan ke atas orang yang berhadas besar membaca al-Quran dengan lidahnya sekalipun satu ayat. Mereka berdalilkan hadis dari Ibnu Umar yang menceritakan Rasulullah bersabda;"Janganlah wanita dalam haid dan orang yang berjunub membaca sesuatupun dari al-Quran" (Hadis Riwayat  at-Tirmizi dan Ibnu Majah). Berdalilkan hadis ini, jumhur ulama memutuskan; orang-orang yang berada dalam haid dan junub dilarang membaca al-Quran dengan lidah. Adapun membaca dengan hati (tanpa menggerakkan lidah), diharuskan.

2.2. Imam Malik berpandangan; Diharuskan wanita dalam haid dan nifas membaca al-Quran dari ayat-ayat yang dihafalnya jika dibimbangi takut hilang dari ingatannya jika tidak dibaca sepanjang tempoh haid atau nifasnya. Namun, orang berjunub dilarang sama sekali membaca al-Quran.

2.3. Terdapat ulama-ulama yang menyanggahi pandangan jumhur ulama di atas iaitulah Imam Daud az-Dzahiri, Imam Ibnu Hazm, Imam Ibnu Taimiyyah dan beberapa lagi. Menurut mereka; harus bagi orang berjunub dan begitu juga wanita yang kedatangan haid membaca al-Quran keseluruhannya. Di kalangan Salaf, pendapat ini ada diriwayatkan dari Ibnu ‘Abbas dan juga Ibnu al-Musayyab. Dalil mereka ialah hadis dari Saidatina ‘Aisyah r.a. yang menceritakan; “Sesungguhnya Nabi SAW sentiasa berzikir kepada Allah pada setiap ketika/masanya” (Hadis Riwayat Muslim) dan membaca al-Quran termasuk di dalam pengertian zikir. Adapun hadis yang dijadikan dalil oleh jumhur tadi, hadis tersebut adalah dhaif mengikut penilaian ulamak-ulamak hadis.

3. Mengenai zikir dan doa, tidak ada nas (dalil dari al-Quran atau as-Sunah) yang melarang wanita yang kedatangan haid dan nifas dari melakukannya. Oleh itu, ia kekal sebagai harus (tidak dilarang). Dalam kaedah Fiqh ada dinyatakan "Sesuatu itu kekal dalam hukum asalnya selagi tidak ada dalil yang mengubahnya atau mengecualikannya dari hukum asal".

Dari keterangan di atas, kita dapat melihat bahawa ruang untuk wanita dalam haid dan nifas beribadah adalah luas seluas ruang doa dan zikir itu sendiri walaupun mereka tidak dibolehkan solat, puasa dan membaca al-Quran (mengikut pandangan jumhur tadi). Berikut kita senaraikan dengan terperinci ibadah-ibadah yang boleh dilakukan oleh wanita-wanita yang berada dalam haid dan nifas;

1. Berdoa dengan apa sahaja doa termasuk dari al-Quran

2. Beristighfar; termasuk istighfar dari al-Quran

3. Berzikir; sama ada bertahlil, bertahmid, bertasbih dan sebagainya.

4. Berselawat kepada Nabi

5. Mendengar bacaan al-Quran

6. Menghadiri/mendengar majlis ilmu (yang diadakan di tempat lain selain masjid)

7. Mengulang hafalan al-Quran (mengikut pandangan Imam Malik tadi)

8. Membaca buku-buku agama termasuk kitab-kitab hadis

9. Bersedekah

10. Membuat kebajikan kepada orang lain

Bagi doa, istighfar dan zikir yang diambil dari al-Quran hendaklah dibaca dengan niat untuk berdoa, berzikir dan beristighfar, bukan dengan niat membaca al-Quran.

Wallahu a'lam.

205. Soalan : Ustaz, apakah maksud isbal dan hukumnya?

Jawapan : 

Maksud isbal adalah memanjangkan kain sarung / jubah / seluar melebihi mata kaki. Terdapat khilaf dikalangan ulama. Sebahagian ulama mengatakan memakai pakaian melebihi mata kaki (buku lali) haram samaada dengan sombong atau tidak. Sebahagian ulama pula menyatakan bahawa tidak haram jika kain melebihi buku lali bukan kerana sombong. Ulama yang mengatakan jika melebihi mata kaki tetapi tidak sombong tidak menjadi haram. Hujah-hujahnya adalah seperti berikut : Dari Ibnu ‘Umar diriwayatkan bahwa Rasulullah SAW bersabda:

“Barangsiapa memanjangkan pakaiannya kerana sombong, maka Allah tidak akan melihatnya kelak di hari kiamat.” Kemudian Abu Bakar bertanya, “Sesungguhnya sebagian dari sisi sarungku melebihi mata kaki, kecuali aku menyingsingkannya.” Rasulullah SAW menjawab, “Kamu bukan termasuk orang yang melakukan hal itu kerana sombong.” [HR. Jama’ah, kecuali Imam Muslim dan Ibnu Majah dan Tirmidizi tidak menyebutkan penuturan dari Abu Bakar.]

Dari Ibnu ‘Umar dituturkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

“Isbal itu boleh terjadi pada sarung, sarung dan jubah. Siapa saja yang memanjangkan pakaiannya kerana sombong, maka Allah SWT tidak akan melihatnya kelak di hari kiamat.” [HR. Abu Dawud, an-Nasa`i, dan Ibnu Majah]

Kata khuyalaa’ berasal dari wazan fu’alaa’. Kata al-khuyalaa’, al-bathara, al-kibru, al-zahw, al-tabakhtur, bermakna sama, yakni sombong dan takabur.
Huraian hadis ini, Ibnu Ruslan dari Syarah al-Sunan menyatakan, “Dengan adanya taqyiid “khuyalaa’” (kerana sombong) menunjukkan bahawa siapa saja yang memanjangkan kainnya melebihi mata kaki tanpa ada unsur kesombongan, maka dirinya tidak terjatuh dalam perbuatan haram. Hanya saja, perbuatan semacam itu tercela (makruh).”

Imam Nawawi berkata, “Hukum isbal adalah makruh. Ini adalah pendapat yang dipegang oleh Syafi’iy.”

Imam al-Buwaithiy dari al-Syafi’iy dalam Mukhtasharnya berkata, “Isbal dalam solat mahupun di luar solat kerana sombong dan kerana sebab lainnya tidak diperbolehkan. Ini didasarkan pada perkataan Rasulullah SAW kepada Abu Bakar ra.”
Atas dasar itu, isbal yang diharamkan adalah isbal yang dilakukan dengan kesombongan. Sedangkan isbal yang dilakukan tidak kerana sombong, tidaklah diharamkan. Imam Syaukani berkata, “Oleh kerana itu, sabda Rasulullah SAW ‘Perhatikanlah, sesungguhnya memanjangkan kain melebihi mata kaki itu termasuk kesombongan.’ [HR. Abu Dawud, an-Nasa’i, dan at-Tirmidzi dari hadisnya Jabir bin Salim], harus difahami bahawa riwayat ini hanya berlaku bagi orang yang melakukan isbal kerana sombong. Sebab, semua orang memahami bahawa ada sebagian orang yang melabuhkan pakaiannya melebihi mata kaki memang bukan kerana sombong.



No comments:

Post a Comment