Saturday, January 25, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 46 (Doa Nabi Musa a.s, Hukum Mencuri, Keburukkan Meminta-minta, Selawat Nabi SAW Dan Cara Berwuduk Ketika Luka)



Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 46 adalah menjelaskan persoalan doa sebelum memulakan ucapan, hukum mencuri, keburukkan meminta-minta, selawat Nabi SAW, dan cara berwuduk kerana luka.


286. Soalan : Apakah doa yang baik dibaca sebelum kita menyampaikan ucapan di majlis keramaian yang dihadiri oleh orang ramai?

Jawapan : 


Bacalah doa ini (doa Nabi Musa a.s) sebelum memberi ceramah atau menghadapi perbicaraan di mahkamah : Doa agar lancar berbicara ini terdapat dalam Surah Thoha ayat 25-28:

قَالَ رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي (25) وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي (26) وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِنْ لِسَانِي (27) يَفْقَهُوا قَوْلِي (28

Berkata Musa: “Ya Tuhanku, lapangkanlah untukku dadaku, dan mudahkanlah untukku urusanku, dan lepaskanlah kekakuan dari lidahku, supaya mereka mengerti perkataanku.

287. Soalan : Ustaz, kalau seseorang ni mencuri di banyak tempat dan tak ingat jumlah yang dicurinya dan malu untuk meminta maaf,macam mana ustaz..adakah cukup sekadar melakukan solat taubat? Bagaimana kalau pernah makan makanan yang tak dibayar,adakah solat orang itu akan diterima oleh Allah?

Jawapan : 


Hukum perbuatan tersebut adalah diharamkan di dalam Islam.

Ringkasnya, hukum anda berbuat demikian adalah dilarang keras di dalam Islam. Ia adalah satu perbuatan yang diharamkan oleh Islam.

Hal ini adalah kerana barang yang anda curi tersebut adalah milik pemilik kedai tersebut. Jika anda tidak membayarnya, ini bermakna anda telah berlaku zalim terhadap pemilik kedai tersebut dan perbuatan menzalimi orang lain adalah dilarang di dalam Islam sekalipun terhadap seorang yang bukan Islam.

Larangan berlaku zalim ini dengan jelas dapat dilihat melalui firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala di dalam ayat di bawah ini, maksudnya:

“Wahai orang-orang Yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu Dengan jalan Yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali Dengan jalan perniagaan Yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu (reda meredai), dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu”.
(Surah Al-Nisa’ (4) ayat 29)

Melalui ayat di atas dengan jelas Allah Subhanahu Wa Ta'ala telah melarang hamba-hambanya daripada melakukan penipuan,perjudian dan sebagainya di dalam menjalankan urusan jual beli, malah Dia memerintahkan supaya setiap hambanya menjalankan urusan jual beli dalam keadaan yang saling reda meredai ataupun saling suka sama suka di antara penjual dengan pembeli.

Barang yang diambil di kedai tersebut perlu dibayar harganya sekalipun ia dimiliki oleh seorang bukan Islam. Jika tidak dibayar, hukumnya haram dan perbuatan tersebut adalah dilarang keras di dalam Islam. Ringkasnya, Islam adalah agama yang membawa rahmat ke seluruh alam sama ada kepada manusia yang beriman kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala ataupun kepada mereka yang tidak beriman. 

Mencuri barang orang Islam atau bukan Islam tetap haram dan berdosa. Sebaik-baiknya saudara pulangkan nilai barang tersebut kepada pemiliknya untuk melepaskan dosa mengambil barang orang lain. Caranya mungkin saudara berikan wang kepada anak taukeh kedai itu sebagai hadiah hari lahir tetapi niat untuk membayar balik nilai barang yg dicuri, atau berterus terang saja katakan kepada taukeh kedai kita pernah ambil barang tersebut dan nak pulangkan balik nilai barang tersebut. Selesaikan hutang sesama manusia ketika di dunia ini lagi.Dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi SAW. bersabda yang bermaksud : “Tahukah kamu siapakah dia Orang Muflis?”

Sahabat-sahabat baginda menjawab : “Orang Muflis di antara kami, ya Rasulullah ialah orang yang tidak ada wang ringgit dan tidak ada harta benda.”

Nabi SAW. bersabda yang bermaksud : “Sebenarnya Orang Muflis dari kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat membawa sembahyang, puasa dan zakat , sedang datangnya itu dengan kesalahan memaki hamun orang ini, dan menuduh orang itu , memakan harta orang orang ini ,menumpah darah orang itu dan juga memukul orang . Maka akan di ambil dari amal kebajikannya serta di beri kepada orang ini dan orang itu , kemudian kiranya habis amal kebajikannya sebelum habis di bayar kesalahan-kesalahan yang di tanggungnya , akan di ambil pula dari kesalahan-kesalahan orang yang di aniayakannya serta di timpakan keatasnya , kemudian ia di humbankan kedalam neraka.” (Hadis Riwayat Muslim dan Tirmizi)

Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa amal soleh (sembahyang, puasa dan zakat) yang di lakukan sesaorang belum tentu menjamin dia akan masuk syurga , sekiranya di samping dia membuat amal soleh tersebut dia juga melakukan amal kejahatan yang membawa kepada dosa. Apabila berlaku proses timbangan segala amalan-amalan manusia yang baik dan buruk , maka sekiranya habis amalan kebaikannya di bayar atas kesalahannya tadi maka ketika ini dia akan jadi Orang Muflis. Segala penyesalannya sudah tidak berguna lagi kerana dia akan di masukkan kedalam neraka.

Oleh itu ingatlah, bahawa orang yang paling rugi di akhirat nanti adalah Orang Muflis ,semasa di dunia tidak berhati-hati dalam tindakan dan amalannya, banyak di dorong oleh hawa nafsu dan pujukan syaitan. Pepatah melayu ada berkata : “Ikut hati mati, ikut rasa binasa dan ikut nafsu lesu .“ Anggota manusia yang paling bahaya adalah lidah. Walaupun dia lembut dan tidak bertulang tetapi apabila silap menggunakannya ianya boleh menghumban pemiliknya masuk kedalam neraka. Wallahu a'lam.

288. Soalan : Ustaz apakah hukum orang yang suka meminta-minta...dan apkah balasan di akhirat nanti? 

Jawapan  : 

Di antara sifat buruk yang dijauhi oleh syarak adalah meminta-minta kepada manusia, yang dimaksud meminta-minta adalah inisiatif seseorang untuk meminta-minta kepada orang lain harta dan segala keperluannya pada mereka tanpa ada keperluan dan tuntutan yang mendesak, sebab meminta-minta mengandung kehinaan kepada selain Allah Azza Wa Jalla.

Allah SWT berfirman maksudnya : "(Berinfaqlah) kepada orang-orang fakir yang terikat (oleh jihad) di jalan Allah; mereka tidak dapat (berusaha) di bumi; orang yang tidak tahu menyangka mereka orang Kaya Karena memelihara diri dari minta-minta. kamu kenal mereka dengan melihat sifat-sifatnya, mereka tidak meminta kepada orang secara mendesak. dan apa saja harta yang baik yang kamu 
nafkahkan (di jalan Allah), Maka Sesungguhnya Allah Maha Mengatahui." (Surah Al-Baqarah ayat 273) 

Ibnu Katsir berkomentar ketika menafsirkan ayat di atas: Allah berkehendak agar mereka tidak memelas dalam meminta-minta dan mereka tidak memaksa manusia dengan sesuatu yang mereka tidak perlukan, sebab orang yang meminta-minta padahal dia memiliki sesuatu yang boleh mencegahnya dari meminta-minta maka sungguh dia termasuk orang yang meminta-minta kepada manusia secara memaksa.(Tafsir Ibnu Katsir 1/324)

Dari Abi Hurairah ra bahwa Nabi SAW bersabda: Bukanlah orang yang miskin orang yang berkeliling meminta-minta, yaitu orang yang berkeliling kepada orang lain untuk meminta-minta lalu dia ditolak satu suap atau dua suap atau satu biji korma dan dua biji kurma. Lalu mereka bertanya: Siapakh orang yang miskin tersebut wahai Rasulullah?. Beliau bersabda: Orang yang tidak memilki apa yang mencukupinya dan dia tidak pandai mencar lalu orang-orang bersedekah kepadanya serta tidak meminta kepada orang lain sesuatu apa pun”.(Hadis Sahihul Bukhari: 1/457 no: 1476 dan sahih Muslim: 2/719 no: 1039 )

Dari Abi Hurairah ra bahwa Nabi SAW bersabda: "Barangsiapa yang meminta-minta harta orang lain untuk dikumpulknnya maka sungguh dia telah meminta bara api Jahannam, maka hendaklah dia mempersedikitnya atau memperbanykannya”.(Hadis Sahih Riwayat Muslim: 2/720 no: 1041 )

289. Soalan : Saya hendak tanya kenapa orang kita berselawat semasa Maulidul Rasul Saja? 

Jawapan : 

Selawat kepada Nabi SAW perlu dibuat bukan haya ketika sambutan Mauludir Rasul saja tetapi setiap masa kerana Allah SWT perintahkan supaya manusia berselawat. Terutama di malam dan hari Jumaat. Nabi Muhammad SAW. bersabda : “Perbanyakkanlah membaca selawat pada ku pada malam dan hari Jumaat, maka siapa yang membaca selawat untukku satu kali, Allah akan berselawat kepadanya 10 kali (Allah akan memberinya rahmat 10 kali) “(Hadis Riwayat Al Baihaqi). 

Umat Islam perlu di beri kesedaran bahawa berselawat dan menceritakan kisah perjuangan Rasulullah SAW perlu berjalan setiap masa kerana Nabi SAW ada contoh ikutan umat Islam seluruhnya.

Dari Ibnu Mas’ud r.a. bahwasanya Rasulullah SAW. bersabda: "Seutama-utama manusia bagiku pada hari kiamat ialah orang yang terbanyak bacaan selawat padaku, yakni lebih diutamakan oleh beliau s.a.w untuk dapat memperoleh syafaatnya dan dapat kedudukan yang terdekat dengannya.
(Diriwayatkan oleh Imam Tarmidzi dan ia mengatakan bahwa ini adalah Hadis hasan.)

Dari Aus bin Aus r.a.katanya, Rasulullah SAW  bersabda: "Sesungguhnya di antara hari-harimu yang paling utama sekali ialah hari Jumaat, maka perbanyakkanlah membaca selawat padaku pada hari itu, sebab sesungguhnya bacaan selawatmu itu ditunjukkan kepadaku.

Para sahabat berkata: Ya Rasulullah, bagaimanakah selawat kita semua itu dapat ditunjukkan kepada Tuan, sedangkan Tuan sudah hancur tubuhnya?

Nabi SAW bersabda yang bermaksud : "Sesungguhnya Allah mengharamkan pada tanah untuk makan tubuh sekalian Nabi. (Hadis Riwayat Abu Dawud dengan isnad sahih.)

Dari Abu Hurairah r.a. pula bahawasanya Rasulullah SAW. bersabda: "Tiada seorang pun yang memberi salam/selawat padaku, melainkan Allah mengembalikan rohku, sehingga saya dapat menjawab salam orang itu. (Hadis Riwayat Abu Dawuyd dengan isnad sahih.)

Dari Fadhalah bin Ubaid r.a. katanya: Rasulullah SAW  pernah mendengar seseorang yang berdoa, tetapi ia tidak mengucapkan puji- pujian kepada Allah Ta’ala dan tidak pula membaca salawat pada Nabi SAW, lalu Rasulullah SAW bersabda:

"Tergesa-gesa sekali orang ini, kemudian orang itu dipanggilnya. Nabi SAW lalu bersabda pada orang itu atau pada orang lain juga: 'Jikalau seseorang di antara engkau semua hendak berdoa, maka hendaklah memulai dengan mengucapkan puji-pujian kepada Allah yang Maha Suci serta puja-pujaan padaNya, selanjutnya membaca selawat kepada Nabi SAW. seterusnya bolehlah ia berdoa dengan apa yang dikehendakinya. (Hadis Riwayat Abu Dawud dan Termidzi mengatakan bahawa ia adalah hadis sahih.)

Dari Abu Mas’ud al-Badri r.a, katanya: Rasulullah SAW datang kepada kita dan kita semua sedang dalam majlis Sa’ad bin Ubadah, lalu Basyir bin Sa’ad berkata kepada baginda SAW:

Allah menyuruh kita supaya kita membaca selawat kepada Tuan, Ya Rasulullah, maka bagaimanakah cara kita membaca selawat kepada Tuan itu?

Rasulullah SAW. lalu diam, sehingga kita semua mengharapkan, alangkah baiknya kalau tadi Basyir tidak bertanyakan kepada beliau tentang hal itu.

Kemudian Rasulullah SAW bersabda: "Ucapkanlah: Allahumma shalli’ala Muhammad wa’ala ali Muhammad. Kama shallaita’ala Ibrahim wa’ala ali Ibrahim. Wa bari’ala Muhammad wa’ala ali Muhammad. Kama barakta’ala Ibrahim . Innaka.hamidum majid."

Maksudnya : "Ya Allah, berikanlah tambahan kerahmatan pada Muhammad dan pada keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberikan tambahan kerahmatan pada keluarga Ibrahim. Ya Allah, berikanlah tambahan keberkahan pada Muhammad dan pada keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah menambahkan keberkahan pada keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau adalah Maha Terpuji lagi Termulia." (Muttafaq ‘alaih).

290. Soalan : Sahabat mengalami jangkitan kuman pada kulit area 'tulang kering' berdekatan dengan pergelangan kaki sehingga ada kesan luka bersaiz 20sen. Walaupun jangkitan itu telah hampir sembuh namun kesan luka masih lagi terbuka dan mengeluarkan air kekuningan + sedikit darah. Dalam masa 2-3 minggu ini walaupun doktor membalut luka tersebut namun air kekuningan dari luka itu tetap mengalir sehingga masih mengalir air dari kapas balutan doktor tersebut. 

Persoalannya, bagaimana sahabat ingin menunaikan solat sedangkan dikuatiri air dari luka tersebut mengalir bersama sedikit darah membatalkan wuduk. Harap ustaz dapat membantu.

Jawapan   : 

Allah SWT memberi keringanan kepada seseorang yang sakit atau luka dikawasan wuduk seperi di kaki atau ditangan. Jika kawasan wuduk tersebut dibalut kain memadailah dibasuh kawasan yang boleh dikenakan air dan di sapu saja ditempat pembalut luka tersebut. 

Air nanah atau air kekuningan daripada luka lama sebelum ambil wuduk dilap dahulu luka tersebut dan di balut dengan kain dan kapas baru kemudian ambil wuduk. Jika selepas ambil wuduk air tersebut keluar ianya tak membatalkan wuduk begitu juga solat sekiranya semasa solat air kuning tersebut keluar maka tak membatalkan solat.





No comments:

Post a Comment