Wednesday, January 15, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 42 (Orang Bunian, Jin Di Tangkap, Bertaubat, Hormati Ibu Bapa Dan Harta Pusaka)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 42 adalah menjelaskan persoalan orang bunian, jin ditangkap, bekas isteri bertaubat, hormati ibu bapa dan harta pusaka.

206. Soalan : Ustaz adakah orang bunian ini wujud? Adakah mereka termasuk dalam kategori manusia kerana disebut orang atau ianya termasuk dalam golongan makhluk halus? Sila berikan pencerahannya.

Jawapan : 

Bunian adalah istilah yang digunakan oleh masyarakat melayu merujuk makhluk halus yang tinggal perkampungannya berhampiran dengan manusia. Bunian kebanyakkannya adalah jin islam dan ada sebahagian daripada bunian adalah jin kafir.

Makhluk halus yang dikenali dengan jin, syaitan, iblis, ifrit dan sebagainya jelas terpapar dalam al-Quran dan hadis sahih yang boleh dirujuk . Dalam kamus arab tidak terdapat perkataan bunian.

Adapun istilah orang bunian ataupun bunian sahaja, dalam masyarakat Melayu pernah difilemkan oleh allahayarham P. Ramlee yang menceritakan perihal masyarakat makhluk bunian.

Pada saya, makhluk ini wujud, ia tergolong dalam makhluk halus. Ianya dikaitkan dengan suatu perkampungan atau penempatan yang mereka berumahtangga, beranak pinak dan bermasyarakat.

Ada yang mendakwa melihat bunian dan ada juga dakwaan manusia berkomunikasi dengan bunian sehingga boleh berjiran tetangga termasuk meminjam barang-barang harian di dalam masyarakat melayu dahulu kala. Betul atau tidak cerita itu saya pulangkan kepada Allah S.W.T lebih mengetahui.

Saya yakin bunian tergolong dalam makhluk halus kerana hadis Nabi SAW menyebut bahawa ada makhluk halus ini yang suka tinggal bersama manusia dalam rumah manusia, malah mereka suka mencari tempat yang tidak berjauhan dari perkampungan manusia.

Golongan bunian ini disebut Rasulullah sebagai 'aamir atau ummar' yang tinggal berhampiran dengan manusia.

Dalam suatu kisah yang diriwayatkan, kejadian berlaku di zaman Rasulullah SAW, ada seorang sahabat yang bernama Khurafah tiba-tiba hilang daripada masyarakat. Lalu keluarganya bertemu dengan Nabi SAW menceritakan kehilangan Khurafah.

Tidak berapa lama kemudian Khurafah muncul semula dan menceritakan pengalamannya. Dia telah membunuh seekor ular hitam, tiba-tiba beliau tidak sedar diri dan apabila sedar dia berada dalam masyarakat seperti manusia, tetapi penuh dengan keganjilan.

Ringkasnya dia dituduh membunuh salah seorang daripada orang penting dalam masyarakat itu. Mereka menuntut supaya dia dibunuh balas. Dibicarakan dalam mahkamah yang telus, mempunyai sistem keadilan yang hampir sama dengan manusia, dengan menggunakan peguambela dan sebagainya. Khurafah dibela oleh seorang peguam dan mengemukakan hujah dengan berkata, "Khurafah tidak boleh dipersalahkan kerana dia membunuh satu anggota daripada masyarakat kita (bunian) yang menyerupai ular, sedangkan ular adalah musuh utama kepada manusia. Maka Khurafah membunuh ular, bukan berniat membunuh orang kita, tetapi membunuh musuh di alamnya."

Maka dengan itu Khurafah dibebaskan dan dihantar balik ke alamnya.

Apabila dikisahkan hal ini kepada Nabi SAW, maka ramai sahabat mempertikaikannya. Maka Nabi SAW menyebut (maksudnya), "Dengarlah cerita Khurafah, ianya ganjil tapi betul."

Bagaimanapun dalam masyarakat kita, apabila dirujuk tentang cerita-cerita ganjil dan tidak masuk akal, kita menggelarnya khurafat. Tetapi asalnya adalah cerita benar orang yang bernama Khurafah.

Saya sebut kisah ini kerana saya lihat seolah-olahnya yang berlaku ini, mungkin boleh disamakan dengan masyarakat bunian. Ertinya mereka boleh melakukan sama seperti manusia seperti dalam kisah Khurafah tersebut.

Masyarakat bunian adalah satu daripada kelompok yang banyak dari masyarakat jin atau syaitan. Daripada cerita-cerita rakyat yang menyentuh soal orang bunian, menjadi suatu lagenda masyarakat Melayu sehingga kini, bunian dikaitkan dengan masyarakat beragama yang mempunyai masjid, surau dan bunyi azan, termasuk orang mengaji al-Quran dan sebagainya. Orang Melayu lebih percaya ianya dikaitkan dengan jin Islam.

Sememangnya Islam mengakui adanya jin Islam sebagaimana yang disebut dalam Suratul Jin. Dalam surah itu menyebut bahawa jin mengakui telah mendengar al-Quran yang penuh dengan keajaiban, menunjuk ke jalan yang lurus, maka kami beriman (kata jin). Jin juga mengaku di kalangan mereka ada yang Islam dan ada yang kafir.

Oleh itu memang ada kemungkinan, masyarakat bunian ini jika betul seperti yang didakwa merupakan sebuah masyarakat beragama.

Dalam masyarakat manusia contohnya ada yang tidak Islam. Hatta dalam masyarakat Islam awal di zaman Rasulullah SAW di Madinah, dalam masyarakat ideal itupun wujud golongan munafik dari kalangan Islam. Seperti dalam masyarakat kita hari ini juga wujud golongan tidak Islam, Islam fasik dan Islam munafik dan sebagainya.

Oleh itu apakah tidak mungkin dalam masyarakat bunian, berlaku sama seperti masyarakat manusia? Waalahu a'lam.

207. Soalan : Banyak kali orang menyebut jin telah ditangkap, makhluk halus telah dipenjarakan, toyol telah dimasukkkan ke dalam botol, dibuang ke laut dan berbagai dakwaan lain seperti itu? Apakah ada asasnya dalam syarak bahawa makhluk halus seperti itu boleh ditambat, disumbat dalam botol atau dibuang ke sungai ke laut. Bolehkah dipercayai? Sila ustaz jika dapat memberi pencerahannya. Terima kasih.

Jawapan : 

Masyarakat Melayu adalah masyarakat yang budayanya dicambahi dengan pelbagai kepercayaan dan tahayul. Disebarkan dengan berbagai dakwaan yang kebanyakannya ada yang menyalahi hukum syarak.

Masalah makhluk halus adalah masalah kefahaman kepada istilah itu sendiri.

Al-Qurannul karim merujukkannya sebagai syaitan, iblis, jin, ifrit dan beberapa istilah lain dalam hadis yang semuanya merujuk kepada makhluk halus.

Pernah berlaku seketika di zaman Rasulullah SAW, ketika baginda mengimamkan solat di Masjidil Haram, tiba-tiba dalam solat itu, kelihatan oleh para sahabat, Rasulullah sedang mengelak daripada sesuatu dan sedang memegang atau menangkap sesuatu yang mereka tidak nampak.

Selesai solat sahabat bertanya Rasulullah SAW, mengapakah gerak geri Rasulullah dalam solat tidak pernah dilihat sebelum itu.

Rasulullah menjelaskan kepada mereka, "Bahawa ifrit telah datang kepada ku dengan obor api untuk menganggu solat ku, aku mengelak daripada nyalaan obor api itu dari muka ku dan aku telah menangkapnya dengan tangan. Dan ketika itu aku berazam mengikat ifrit ini pada salah satu tiang di Masjidil Haram, biar selepas itu dilihat dan dimain-mainkan oleh anak-anak kita. Tiba-tiba aku teringat doa Nabi Sulaiman, yang meminta kepada Allah SWT bahawa kekuatan yang ada padanya, boleh menawan, mengangkap dan mengurung makhluk halus ini tidak diberi lagi kepada mana-mana orang, maka aku lepaskan ifrit itu setelah aku terasa lidahnya mula mengena ke lengan aku."

Kejadian ini membolehkan kita mengambil kesimpulan bahawa Nabi Muhammad sendiri pun tidak pernah menangkap atau menambat iblis, jauh sekali memasukkannya ke dalam botol, untuk dibuang ke mana-mana.

Yang berlaku ialah, baginda hendak mengelak dia diganggu, baginda adalan seorang Rasul yang dapat melihat sesuatu yang orang ramai tidak dapat melihatnya.

Baginda menangkap hanya kerana ifrit menganggunya, walaupun Muhammad teringin untuk menambat ifrit, namun mengingatkan doa Sulaiman maka ianya tidak berlaku.

Maka pada saya, soalan saudari tadi tiada asasnya untuk dipercayai hukum syarak.

Lagipun makhluk ini diperbuat daripada api (bukan fizikal). Kuasa api ialah kuasa cahaya yang boleh melepasi tembok.

Botol adalah benda fizikal sedangkan makhluk halus bukan fizikal. Makhluk halus adalah api, dari unsur cahaya, kederasannya adalah sama seperti kederasan cahaya.

Tidak perlu dimasukkan ke dalam botol. Dia boleh masuk dan dia boleh keluar bila-bila masa.

Nabi Sulaiman dan Nabi Muhammad boleh menangkapnya kepada mereka Rasul. Tetapi tidak sabit pada amalan sahabat atau tabiin bahawa mereka boleh menangkap makhluk halus untuk dimasukkan ke dalam botol.

Apa yang ada hanyalah ikhtiar manusia untuk mengelakkan gangguan makhluk halus dengan membaca ayat-ayat al-Quran yang ditunjukkan oleh Rasullah SAW.

Tujuan kita ialah memohon Allah SWT menjauhkan makhluk halus daripada kita.

Di antaranya yang Nabi sebut dalam Surah al-Baqarah, ayat Kursi dan sebagainya untuk mengelakkan diri daripada gangguan jin dan syaitan.

Dengan bacaan ayat-ayat al-Quran, insya Allah dengan kehendak Allah, maka makhluk halus akan menjauhkan dirinya atau mengeluarkan dirinya dari badan manusia. Wallahu a'lam.

208. Soalan : Ustaz., soalan; sepasang suami isteri dah bercerai dan masing-masing akan berkahwin dengan pilihan masing-masing... Ketika mereka bersama dulu... isterinya pernah melakukan zina akan tetapi si suami tidak mengetahui... adakah isteri patut meminta maaf dan memberitahu yg dia pernah melakukan zina semasa mereka bersama dulu?.... Bagaimana dosa kalau dia dah bertaubat.? dan adakah amalan kebaikan yg dia buat itu diterima Allah? kerana dia tak tinggal solat selalu mengaji al-Quran selalu tolong orang susah?

Jawapan : 

Jika dia pernah melakukan zina maka simpan rahsia tersebut jangan diceritakan kepada sesiapa saja samaada bekas suami, suami sekarang atau rakan-rakannya. Allah SWT telah tutup aib tersebut jangan dibukanya kerana akan mengundang kemurkaan Allah dan akan menyebabkan manusia akan memandang hina terhadapnya. Yang paling penting dia bertaubat kepada Allah SWT dengan taubat nasuha, tidak mengulangi perbuatan terkutuk tersebut dan berazam untuk menjadi isteri solehah .
Daripada Anas bin Malik r.a katanya : "Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Allah telah berfirman : 'Wahai anak Adam! Sesungguhnya sebagaimana kamu meminta dan berharap kepada-Ku, maka Aku akan mengampuni segala dosa yang telah kamu lakukan dan Aku tidak pedulikannya lagi.' 'Wahai anak Adam! Sekiranya dosamu setinggi langit, kemudian kamu memohon ampun kepada-Ku, nescaya Aku mengampuni dosamu.' 'Wahai anak Adam! Jika kamu datang kepada-Ku dengan kesalahan sepadat isi bumi. Kemudian kamu menemui Aku di akhirat dalam keadaan kamu tidak menyengutukan-Ku dengan yang lain, nescaya Aku datang kepadamu dengan keampunan sepenuh bumi pula'." (Hadis Riwayat Tarmizi)

Tentang dorongan dan anjuran untuk bertaubat, al-Quran berbicara yang maksudnya : "Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang taubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri." (Surah al- Baqarah ayat 222).

Maka derajat apa yang lebih tinggi dari pada mendapatkan kasih sayang Rabb semesta alam. Dalam menceritakan tentang ibadurrahman yang Allah SWT berikan kemuliaan dengan menisbahkan mereka kepada-Nya, serta menjanjikan bagi mereka syurga, di dalamnya mereka mendapatkan ucapan selamat dan mereka kekal di sana, serta mendapatkan tempat yang baik. Sabda Rasulullah SAW. yang diriwayatkan oIeh Imam Al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud:

"Setiap umatku dimaafkan melainkan orang yang terang-terangan dan menunjuk-nunjuk dalam melakukan kemaksiatan (Al-Mujaharah). Dan sesungguhnya termasuk di bawah (Al-Mujaharah) ialah orang yang bangga melakukan kejahatan pada malam hari kemudian pada paginya Allah menyembunyikan keaibannya tetapi dia pula menceritakan kepada orang lain dengan berkata: "Ya Pulan, aku melakukan perbuatan ini dan itu semalam", pada hal ketika dia tidur pada malamnya Allah telah menutup keaibannya tetapi pada keesokannya dia mendedahkan apa yang telah ditutup oIeh Allah SWT."

209. Soalan : Ustaz. bgaimanakah cara-cara untuk menghilangkan rasa sakit hati dan marah kepada kedua orang tua kita? kita kan disuruh untuk berbuat baik pada kedua ibu bapa selagi tak langgar syariat. Jiwa anak muda ini pantang di tegur. Maafkan saya sekali lagi. 

Jawapan : 

Dari mana asal kita? Tidak lain dari keturunan ibu dan bapa.

Begitulah satu renungan besar yang mesti terpahat di dalam sanubari.
Betapa susahnya si ibu membawa kandungan berbulan-bulan, saat melahirkan penentuaan antara hidup dan mati, menyusukan dan membesarkan dan mendidik kita, bapa pula bersusuh payah mencari rezeki dan menyara keluarga. Terlalu besar jasa dan pengorbanan mereka berdua dan kita tidak akan mampu membalasnya.

Abu Laith Samarqandi meriwayatkan bahawa datang seorang pemuda berkata kepada Rasulullah SAW "Ya Rasulullah, ibu saya sakit di tempat saya, maka sayalah yang memberi makan dan minum. Tangan sayalah yang mewudhukkan mereka, mengangkat di atas bahu saya. Apakah dengan itu terbalas jasa-jasa mereka?"

Jawab Nabi SAW yang bermaksud, "Belum satupun dari jasa-jasa mereka! Cuma kau telah berbuat baik, dan Allah akan memberi pahala yang besar terhadap amal kau yang sedikit itu."

Untuk menjadi anak yang soleh dan solehah, kita semestinya berbakti semaksima mungkin kepada kedua ibu dan bapa. Hormatilah dan dengarlah nasihat mereka, sekiranya pilihan hati kita tidak direstui oleh ibu bapa , utamakanlah pendapat mereka kerana keredhan Allah bergantung kepada keredhaan ibu bapa. Janganlah menjadi anak yang derhaka, sesungguhnya anak yang derhaka tidak akan mencium bau Syurga.

Firman Allah SWT.yang bermaksud :"Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun;(dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)." (Surah al-Luqman ayat 14)

Berurusanlah dengan mereka dengan berendah hati untuk mengelak membantah dengan suara keras. Membentak sekalipun dengan satu perkataan umpama 'cis' menguris hati mereka. Tanyalah mana-mana orang tua dan mula lemah anggota kerana ketuaan, bantahan anak memang memilukan hati. Hati orang tua cukup sensitif.

Allah menjadikan orang tua lazimnya bersifat pengasih dan penyayang, lebih-lebih lagi orang tua yang sangat manis beribadat. Mereka suka melihat kelakuan anak yang sopan terhadap mereka, mengambil berat tentang mereka, dan menjadi kawan bicara mereka. Tugas seumpama itu tidak berat. Usahlah kesibukan membuat kita abaikan mereka. Jika berjauhan seringkalilah hubungi mereka melalui telefon tanya khabar, walaupun hanya dua tiga patah perkataan sebenarnya boleh mengembirakan hati ibu bapa. Bila ada masa lapang ambillah cuti dan ziarahlah mereka, sesungguhnya apabila kita membuat hati ibu dan bapa gembira menyebabkan Allah meredhai hidup kita.

Firman Allah SWT. yang bermaksud : "Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan do'akanlah (untuk mereka dan berkata): "Wahai Tuhanku. Cucuri mereka dengan rahmat sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayang memelihara dan mendidikku semasa kecil." (Surah al-Isra' ayat 24)

210. Soalan : Ustaz. saya ingin bertanya mengenai harta pusaka.apabila kedua org tua telah meninggal dunia dan neninggalkan harta seperti kebun, rumah, kenderaan dan sebagainya. tetapi salah seorang adik beradik telah menjual harta tersebut dan duit dari hasil jualan tidak di bahagikn langsung kepada adik beradik yang lain.ini telah menimbulkn perasaan tidak puas hati.soalan saya apakah hukumnya dan apakah kedua orang tua kita didalam kubur akan mendapat seksaan di atas perbuatan anak tersebut hanya kerana sifat tidak puas hati.mohon ustaz berikan penjelasan. Terima kasih.

Jawapan : 

Jika harta pusaka tidak diberikan kepada ahli waris yang berhak dan salah seorang anak arwah membolotnya maka dia telah melakukan satu dosa besar . Hidupnya tidak akan diberkati dan harta haram yang dimakan nanti di akhirat akan menjadi bahan penyiksa jika tidak bertaubat dan memulangkan harta tersebut sebelum meninggal dunia. Dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi SAW. bersabda yang bermaksud :

“Tahukah kamu siapakah dia Orang Muflis?”

Sahabat-sahabat baginda menjawab :

“Orang Muflis di antara kami, ya Rasulullah ialah orang yang tidak ada wang ringgit dan tidak ada harta benda.” 

Nabi SAW. bersabda yang bermaksud : “Sebenarnya Orang Muflis dari kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat membawa sembahyang, puasa dan zakat , sedang datangnya itu dengan kesalahan memaki hamun orang ini, dan menuduh orang itu , memakan harta orang orang ini ,menumpah darah orang itu dan juga memukul orang . Maka akan di ambil dari amal kebajikannya serta di beri kepada orang ini dan orang itu , kemudian kiranya habis amal kebajikannya sebelum habis di bayar kesalahan-kesalahan yang di tanggungnya , akan di ambil pula dari kesalahan-kesalahan orang yang di aniayakannya serta di timpakan keatasnya , kemudian ia di humbankan kedalam neraka.” (Hadis Riwayat Muslim dan Turmizi)

Dalam hadis di atas Nabi SAW menyatakan secara khusus mereka yang akan menjadi muflis di hari akhirat adalah mereka yang suka :

1. Kesalahan memaki hamun orang ini.

2. Menuduh orang itu.

3. Memakan harta orang orang ini.

4. Menumpah darah orang itu dan 

5. Memukul orang.

Abu Salamah bin Abdurrahman dengan orang-orang terjadi sengketa tanah. Abu Salamah kemudian menemui Aisyah, istri Rasulullah, lalu menceritakan kejadiannya. Mendengar hal itu, Aisyah berkata, “Hai Abu Salamah, jauhilah masalah tanah! Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah bersabda, ‘Siapa yang berbuat zalim dengan mengambil sejengkal tanah milik orang lain, maka tujuh lapis bumi akan dikalungkan padanya (di hari kiamat).’” (HR Bukhari)

Dalam hadis lain, Rasulullah bersabda, “Siapa yang mengambil sedikit saja tanah milik orang lain yang bukan haknya, maka ia akan dibenamkan ke dalam bumi hingga tujuh lapis bumi pada hari kiamat.” (HR Bukhari)


No comments:

Post a Comment