Saturday, January 4, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 40 (Qarin, Baru Belajar Sembahyang, Ketam Nipah, Bersalin Di sambut Doktor Lelaki, Jumpa Bomoh Merawat Penyakit)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 40 adalah menjelaskan persoalan siapakah qarin manusai?, baru belajar sembahyang, makan ketam nipah, bersalin di hospital dan jumpa bomoh untuk merawat penyakit mistri.

196. Soalan : Ustaz..Sedikit pertanyaan ingin diajukan.. Apakah itu Qarin?
Adakah Qarin itu syaitan?

Jawapan : 

Qarin adalah jin pendamping manusia. Jin ini adalah jin kafir, jika jin ini sentiasa berdamping dengan orang kafir maka dia akan kafir tetapi jika dia berdaming dengan orang Islam ada yang masuk Islam dan ada yang terus kafir. Qarin Rasulullah SAW awal-awal masuk Islam dan di Islamkan oleh Rasulullah SAW ini adalah kelebihan mukjizat Rasulullah SAW.

Sabda Nabi S.A.W. maksudnya : "Tidak ada sesiapa diantara kamu melainkan baginya ditugaskan Qarin dari kalangan Jin, Mereka berkata : 'Walaupun kamu Ya Rasulullah?', Baginda menjawab : 'Walaupun Aku, akan tetapi Allah menolongku dan aku selamat darinya (atau - mengIslamkannya), maka dia hanya akan memerintahku melakukan perkara yang baik" (Hadis Riwayat Muslim)

Qarin adalah sejenis jin yang berdamping dengan manusia. Qarin di sini adalah makhluk halus (dikalangan jin) yang mengiringi kelahiran seseorang bayi. Qarin suka menghasut manusia kearah kejahatan, melainkan qarin Nabi S.A.W. yang telah ditundukkan oleh baginda. 

Firman Allah S.W.T. maksudnya : ( Syaitan) yang sentiasa menyertainya (di dunia dahulu) berkata: 'Wahai Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya tetapi sememangnya dia sendiri berada di dalam kesesatan yang jauh terpesong'. (Allah berfirman) : 'Janganlah kamu bertengkar dihadapan-Ku, dan sungguh, dahulu Aku telah memberikan ancaman kepadamu.'. Keputusan-Ku tidak dapat diubah dan Aku tidak menzalimi hamba-hamba-Ku." (Surah Qaf ayat 27-29)

Menurut Ibn Kathir rh, ayat "(qarin) syaitan yang sentiasa menyertainya (di dunia dahulu) berkata : "Ibn Abbas r.a, Mujahid, Qutaadah dan lain-lain mengatakan bahawa ia merujuk kepada 'syaitan' yang ditugaskan berdamping dengannya".

Disifatkan bahawa qarin ini pada hari kiamat tidak mengaku telah menyesatkan manusia, lalu mengatakan bahawa manusialah yang menyesatkan diri mereka sendiri. Seterusnya Ibn Kathir rh. memetik firman Allah S.W.T. menyatakan tugasan syaitan setelah berjaya menyesatkan manusia :-

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Dan berkatalah pula syaitan setelah selesai perkara itu: Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kamu dengan janji yang benar dan aku telah menjanjikan kamu lalu aku mungkiri janjiku itu kepada kamu dan tiadalah bagiku sebarang alasan dan kuasa mempengaruhi kamu selain daripada aku telah mengajak kamu lalu kamu terburu-buru menurut ajakanku itu; maka janganlah kamu salahkan daku tetapi salahkan diri kamu sendiri. Aku tidak dapat menyelamatkan kamu dan kamu juga tidak dapat menyelamatkan daku. Sesungguhnya dari dahulu lagi aku telah kufur ingkarkan (perintah Tuhan) yang kamu sekutukan daku denganNya. Sesungguhnya orang-orang yang zalim (yang meletakkan sesuatu pada bukan tempatnya) beroleh azab yang tidak terperi sakitnya." (Surah Ibrahim ayat 22)

Ibn Kathir rh menerangkan bahawa apabila dihadapan Allah kelak, kedua-dua manusia dan qarin saling menuduh diantara satu sama lain. Seterusnya Allah S.W.T. mengatakan bahawa semuanya sudah di hakimi, dan Allah hanya akan mengazab dosa yang ditanggung oleh masing2 dan bukan dosa orang lain. [Mukhtasar Tafsir al-Quran al-Azhim - Umdah al-Tafsir 'an al-hafiz Ibn Kathir 3/371, Dar el-Wafa' 2003. syiekh Ahmad Muhammad Syakir]

Satu persoalan yang timbul, adakah qarin Nabi S.A.W. juga seperti qarin manusia yang lain? Tentu sekali tidak. Nabi S.A.W telah megislamkan qarinnya. Kewujudan qarin ini ialah untuk menggoda manusia menampakkan hal-hal yang buruk dan yang jahat-jahat seolah-olah baik pada pandangan mata manusia. Qarin sentiasa berusaha untuk menjeru­muskan manusia dan mengajak mereka melakukan kemungkaran dengan cara menggoda, merayu, memujuk dan menipu. Semua manusia mempunyai qarin sama ada ia nabi atau orang yang alim.

Dalam al-Quran semua bentuk kejahatan yang dilakukan oleh iblis, syaitan atau jin-jin kafir dipanggil syaitan. Qarin adalah jin kafir (bukan syaitan) apabila dia sentiasa menggoda dan menyesatkan manusia dia di panggil syaitan dan di akhirat qarin inilah yang akan melepaskan dirinya kerana manusialah yang melakukan maksiat tersebut dia hanya menggoda dan mempengaruhi manusia tapi dia tak ada kuasa untuk memaksa manusia.

197. Soalan : ustaz..saya nak tanya,jika seseorang itu baru nak mula sembahyang..tapi tak tahu apa yang nak d baca..dia hanya tahu surah al-fatihah,surah an nas dan 4 kul sahaja..adakah sembahyang-Nya itu sah..mohon ustaz bagi jawapan..terima kasih.

Jawapan : 

Dalam solat, teradapat rukun yang dinamakan rukun qauli ( bacaan). Bacaan tersebut ialah membaca takbiratulihram, al-fatihah, Membaca tahiyat akhir, selawat atas Nabi Muhammad SAW dan salam yang pertama. Tidak sah solat jika meninggalkan salah satunya. Namun bagi mereka yang baru belajar contohnya saudara-saudara baru, mereka tidak berkuasa untuk membaca fatihah, maka cukup bagi menggerakkan lidahnya sahaja , atau sekadar berdiri tegak selama kadar masa membaca fatihah, begitu juga dengan bacaan yang lain.  Dia boleh mengucapkan kalimah Allah, atau subhanallah. Adalah wajib baginya untuk segera belajar agar boleh mendirikan solat dengan sempurna. Jika dia boleh membaca al-Fatihah maka baca surah al-Fatihah untuk setiap rekaat dan mambaca surah yang dia hafal untuk rekaat pertama dan kedua. Belajar lagi bacaan tahyat akhir hingga hafal termasuk selawat kepada Rasulullah SAW. dan mengucapkan salam maka jika 4 rukun qauli boleh dibacanya dan yang lain-lain adalah rukun fe'li dan qalbi. maka sah solatnya.

198. Soalan : Ustaz...apakah hukum memakan ketam nipah...yang selalu dijual di pasar ..adakah haram..kerana ia boleh hidup 2 alam sama seperti siput belitung atau lebih dikenali dgn siput sedut....? T.kasih...

Jawapan : 

Ketam nipah halal dimakan kerana ketam nipah tak duduk 2 alam , dia duduk di air bernafas melalui insan dan dia boleh hidup seketika di darat kerana ada udara yang terperangkap di dalam dirinya. Ketam batu memang tinggal dua alam ulama mengatakan ketam batu tak boleh dimakan tetapi bukan ketam nipah.

KETAM Nipah HALAL Dimakan : Majlis FATWA

Ramai yang sangsi akan halal haram ketam nipah untuk dimakan. Pemikir telah beberapa kali memperjelaskan bahawa ketam nipah adalah halal dan ketam nipah bukanlah dua alam. Sebenarnya ramai yang keliru antara ketam nipah dan ketam BATU yang memang benar hidup dua alam.

Untuk itu biarlah kita lihat keterangan yang lebih sahih akan hal ini agar tidak lagi timbul lagi was was kepada umat Islam. Oleh itu Pemikir telah mencari satu artikel berkaitan hal ini di laman FATWA Kebangsaan. Walaupun hal ini telah lama diputuskan, namun, kekangan Teknologi maklumat pada masa itu mungkin membantutkan edaran maklumat penting sebegini. 

HALAL MEMAKAN KETAM NIPAH - MAJLIS FATWA KEBANGSAAN. 

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-26 yang bersidang pada 7-8 Mar 1990 telah membincangkan Menternak Binatang Dua alam. 

Muzakarah telah memutuskan bahawa :

1. Perusahaan menternak ketam nipah untuk tujuan eksport adalah harus kerana ia bukan binatang dualam. 

2. Perusahaan menternak katak untuk tujuan eksport adalah khilaf ulama'; 

2.1. Menurut jumhur ulama', perusahaan menternak katak untuk tujuan eksport adalah haram kerana ia adalah binatang dualam. 

2.2. Menurut Mazhab Maliki, perusahaan menternak katak untuk tujuan eksport adalah harus Keterangan/Hujah: Mengikut istilah sains, haiwan dualam ini ada dua kategori iaitu reptilia dan amfibia yang mempunyai sistem pernafasan paru-paru. Edaran hidupnya sebahagian di dalam air dan sebahagian lagi di darat seperti katak, penyu, labi-labi, buaya dan seumpamanya. 

Ketam nipah pula bukanlah daripada jenis reptilia dan amfibia, tetapi ia adalah dari jenis rustasia iaitu sama golongan dengan udang dan kerang. Keseluruhan edaran hidupnya adalah di dalam air dan mempunyai sistem pernafasan melalui insang dan bukan paru-paru. Ia bernafas menggunakan oksigen dalam air sebagai pelarut. 

Oleh itu dari segi hukum ketam nipah ialah binatang yang boleh dimakan. Kehidupan ketam nipah di darat hanya dalam tempoh masa yang singkat sahaja iaitu lebih kurang dua tiga hari, kerana dalam insangnya mempunyai satu ruang pintu yang boleh ditutup dan mengandungi sedikit air. Ia menggunakan air tersebut untuk pernafasan dan sekiranya air itu kering ia akan mati. Katak adalah sejenis binatang dualam yang hidup di air dan juga di darat. Menurut Mazhab Syafie, tiap-tiap binatang yang hidup dua alam adalah haram dimakan. 

199. Soalan : ustaz..Saya yang sebelum ni...bersalin di hospital.Kerajaan tak pernah kena dengan doktor lelaki....tetapi kelmarin Ada kontraksi nak bersalin pukul 3 pagi masuk dewan bersalin...doktor lelaki yang check bukaan faraj....Allah saja yang tahu  perasaan saya yang sebelum ini melahirkan 2 orang anak 11 tahun yang lalu tak pernah jumpa doktor lelaki...inilah pertama kali dalam hidup doktor lelaki yang check bukaan faraj' hendak ke hospital swasta saya tak mampu....apakah hukumnya ustaz?

Jawapan : 

Dalam Islam urusan pemereksaan wanita yang mengandung dan menyambut kelahiran adalah di beri keutamaan dokor wanita muslim, jika tak ada doktor wanita muslim baru boleh doktor wanita bukan muslim , kemudian baru doktor lelaki muslim dan akhir sekali doktor lelaki bukan muslim. 

Tetapi di hospital kerajaan Malaysia sistem rawatan untuk pesakit wanita muslim di pereksa hanya doktor wanita tidak berlaku. Sistem jadual tugas doktor ikut masa bertugas jika ditakdirkan yang nak bersalin itu seorang muslimah dan doktor bertugas itu dokor India (hindu) maka dokor India itulah yang menyambutnya. 

Rakyat tidak ada hak nak tentukan dokor wanita ketika bersalin. Sedangkan agama sudah pun meletakkan siapa yang lebih layak merawat dan menyambut kelahiran bayi? Sudah pasti doktor wanita muslim atau pun jururawat perbidanan yang akan menyambutnya. 

Hanya di dalam kes tak ada doktor wanita dan perlu kepada pembedahan segera (darurat) saja baru doktor lelaki akan bertindak memberikan khidmat dan rawatannya. Sepatutnya para pemimpin Islam sudah lama memberi keselesaan kepada para ibu muslimah yang hendak melahirkan anak dihospital kerajaan. Mereka yang berkemampuan mereka boleh pilih hospital swasta untuk menyambut kelahiran bayi mereka tetapi rakyat biasa tak mampu nak bersalin dihospital swasta.

Nabi SAW bersabda maksudnya; “Janganlah seorang lelaki melihat kepada aurat lelaki yang lain dan janganlah seorang perempuan melihat aurat perempuan yang lain. Janganlah seorang lelaki berada bersama lelaki lain dalam satu pakaian/kain dan janganlah seorang perempuan berada bersama perempuan lain dalam satu pakaian/kain”. (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Adapun doktor lelaki menyambut kelahiran bayi, ia juga diharuskan ketika terdesak (darurat) sahaja dengan syarat-syarat berikut;

1. Tidak ada doktor perempuan yang dapat menggantinya. Jika ada doktor perempuan, haram membenarkan doktor lelaki melakukannya.

2. Doktor lelaki itu hanya melihat dan menyentuh kawasan yang diperlukan sahaja, yakni hendaklah ditutup bahagian lain yang tidak perlu dilihat dan disentuh.

3. Hendaklah dengan kehadiran mahram, yakni ada bersama wanita yang melahirkan itu bapa, suami atau saudara lelakinya.

4. Situasi tersebut tidak harus dibiarkan berterusan berlaku. Menjadi fardu kifayah ke atas umat Islam menyediakan pusat bersalin yang ditangani oleh doktor-doktor wanita supaya keadaan darurat ini tidak berterusan tanpa penyelesaian, yang mengambarkan seolah-olah masyarakat kita ialah masyarakat yang tidak menghiraukan hukum Syarak.

Dalam keadaan kita kurang berkemampuan dan hanya hospital kerajaan tempat yang paling murah utuk bersalin maka ianya dikira darurat. Jika seseorang berkemampun maka dia wajib mencari tempat yang sesuai dan dirawat oleh doktor wanita untuk isterinya bersalin kerana mengelakkan aurat isterinya dilihat oleh doktor lelaki semasa melahirkan anak.

200. Soalan : Ustaz, masyarakat melayu kita tidak boleh dijauhkan dengan "perubatan kampung"...sekiranya sesuatu penyakit itu tidak dapat dikesan Oleh doktor,pastinya usaha cara kampung akan digunakan Dan lazimnya perubatan cara kampung ini melibatkan makhluk seperti orang bunian atau Jin..Alasan yang sering digunakan adalah sedang berusaha...adakah berusaha cara ini dibenarkan ustaz? Atau pun jatuh kepada syirik? Jika jatuh kepada syirik, adakah dosa itu diampunkan ustaz?

Jawapan : 

Kita disuruh untuk berikhtiar mencari ubat atau penawar di atas penyakit yang kita hadapi. Tetapi biarlah betul orang yang kita berjumpa adalah mereka yang mahir berubat menggunakan ayat-ayat al-Quran dan doa-doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Amalan perubatan cara bomoh berbeza dengan perubatan cara Islam. Cara bomoh biasanya dia gunakan cara menurun , menggunakan asap kemenyan, jampi-jampinya dengan bahasa yang tidak difahami dan cepat membuat tuduhan ke atas orang lain kononnya sifulan yang menyihir pesakait yang datang berjumanya. Kebiasaannya di dalam masyarakat kita mempercayai dan menggunakan khidmat bomoh untuk menyihir kepada orang yang dibenci atau menggunakan khidmatnya untuk mendapat rawatan mengubati penyakit berpunca daripada gangguan sihir.

Islam melarang keras umatnya berjumpa bomoh untuk mengetahui perkara-pekara ghaib , tenung nasib, mencari-cari berita sesiapa yang "buat" atau membencinya dan berubat dengannya maka solatnya tidak akan diterima oleh Allah SWT selama 40 hari. Sebenarnya jin dan syaitan akan menceritakan berita bohong kepada bomoh tersebut supaya berlaku perpecahan dikalangan ahli keluarga atau jiran tetangga.

Sabda Nabi s.a.w bermaksud: “Barangsiapa datang kepada tukang tenung (bomoh), kemudian dia membenarkan perkataannya, maka sembahyangnya tidak diterima oleh Allah selama 40 hari.”(Hadis Riwayat Muslim).

Bomoh yang menggunakan khidmat jin atau syaitan ini selain mengubati mereka yang sakit, ia juga menawarkan khidmat tanam susuk, serikan wajah, ilmu pengasih, pelaris perniagaan, pendinding diri (menggunakan bahan-bahan yang telah dipuja), mandi bunga, semahan darah ayam hitam atau kambing hitam (baru buka gelanggang silat atau rumah baru) dan berbagai-bagai amalan syirik yang amat dilarang keras oleh Nabi SAW.

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang beriman! Sesungguhnya arak, judi, penyembahan berhala dan bertilik nasib (menggunakan khidmat bomoh) adalah najis (haram) dan ia daripada perbuatan syaitan.”(Surah al-Maidah, ayat 90) 

Oleh itu berhati-hatilah apabila berubat supaya kita tidak tertipu berjumpa bomoh yang menggunakan khidmat jin kafir. Setiap penyakit akan ada ubatnya berusaha, berdoa dan bertawakal kepada Allah SWT adalah ciri-ciri orang mukmin yang beriman dan bertakwa. Dosa syirik boleh diampunkan oleh Allah SWT dengan kembali mengucap dua kalimah syahadah, beristighfar dan bertaubat nasuhah dan berazab tidak mahu melakukannya lagi. Wallahu a'lam



No comments:

Post a Comment