Friday, January 3, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 37 (Ucapan Salam, Tanggungjawab Suami, Isteri Derhaka, Fitnah Dan Membayar Hutang)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 37 adalah menjelaskan persoalan memberi salam di antara lelaki dan wanita, suami abaikan tanggungjawab, isteri derhaka, hukum membuat fitnah dan membayar hutang.

181. Soalan : Ustaz,saya nak tanya sikit..apa hukum beri salam antara lelaki dan perempuan..?Boleh ustaz terangkan?

Jawapan : 

Ulama memberi huraian mengenai salam lelaki kepada wanita : Ucapan salam antara lelaki dan perempuan

1. Sekiranya yang memberi salam atau menjawab salam itu isteri, hambanya atau orang yang haram berkahwin dengannya hukumnya sama seperti salam antara lelaki sesama lelaki - wajib menjawabnya.

2. Makruh atas lelaki memberi salam terhadap perempuan muda yang boleh dikahwini sedangkan perempuan itu haram menjawabnya.

3. Haram perempuan muda yang boleh dikahwini memberi salam, sementara lelaki yang diberi salam makruh menjawabnya.

4. Harus seorang lelaki memberi salam kepada sekumpulan perempuan dan wajib diatas salah seorang dari mereka itu menjawabnya sekiranya tidak timbul fitnah.

5. Sunat sekumpulan perempuan memulakan salam dan wajib atas lelaki menjawabnya jika tidak timbul fitnah.

6. Apabila sekumpulan lelaki memberi salam terhadap seorang perempuan wajib dia menjawab sekiranya tidak takut fitnah, begitu juga sebaliknya.

7. Harus sekumpulan lelaki memberi salam terhadap sekumpulam wanita dan wajib mereka itu menjawabnya jika tidak takut fitnah begitu juga sebaliknya.

182.Soalan : Apakah hukum bagi seorang suami yang sengaja mengabaikn tanggungjawab sebagai suami dengan tidak memberi nafkah zahir dan batin (makan minum isteri cari sendiri) malahan si suami sering bila berjanji dia menipu dengan mengambil duit kwsp dan juga barang-barang kemas isteri tanpa kerelaannya.?

Jawapan : 

Suami yang sengaja tidak menunaikan tanggungjawabnya sebagai suami terhadap isteri atau sebagai ayah terhadap anak-anaknya adalah dikira sebagai satu pengkhianatan terhadap amanah yang telah beliau ikrarkan dalam taklik semasa akad nikah. ia adalah sehahagian dosa besar kerana kesalahan itu malah dengan penipuan yang dilakukan terhadap harta isterinya adalah satu tindakan yang zalim. Tindakan untuk memutuskan silaturrahim dengan ahli keluarga rapat adalah juga tindakan yang menyebabkan dosa besar.

Suami yang mengabaikan tanggungjawab terhadap isteri dan anak-anaknya akan dipertanggungjawabkan dihadapan Allah SWT di hari akhirat nanti. Semuanya akan disoal satu persatu adakah dia menunaikan amanah yang diberikan ke atas dirinya atau dia menghianatinya? Jika dia gagal melaksanakan amanah tersebut , dia tak akan mudah melepasi timbangan amal di Mizan kerana semua orang-orang dibawahnya akan menuntut satu persatu kesalahan dan dosanya kepada mereka. Ketika ini seorang tak akan memikirkan nasib orang lain kerana masing-masing berada di dalam keadaan terdesak dan tertekan yang akan menentukan dirinya akan ke syurga atau neraka.! 

Sesiapa yang memutuskan silaturahim tidak akan mencium syurga. "Dari Al-Zuhri bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda maksudnya : "Tidak akan masuk Syurga bagi yang memutuskan silaturahim".(Hadis Riwayat Al-Imam Muslim) 

Adalah menjadi kewajipan setiap suami dan isteri untuk menjaga hubungan silaturahim dengan sebaik-baiknya. Janganlah disebabkan masalah kecil dan remeh-temeh menyebabkan hubungan menjadi renggang atau retak. Perkara sebegini boleh menimbulkan ketegangan yang menyebabkan mereka bermasam muka, saling benci-membenci, fitnah-memfitnah dan akhirnya boleh memporak-perandakan hubungan rumah tangga dan silaturahim dalam berkeluarga .

Begitulah juga dalam menghubungkan silaturahim ini Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah menyuruh seorang sahabat untuk tidak memutuskan hubungan silaturahim walaupun ia dizalimi atau disakiti oleh saudaranya itu, sebagaimana hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Muslim : Bahawa seorang sahabat bertanya kepada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam : Sesungguhnya saya mempunyai keluarga dan saya menghubungkan silaturahim dengan mereka tetapi mereka memutuskannya dan saya berbuat baik kepada mereka tetapi mereka berbuat jahat kepada saya dan saya memaafkan mereka tetapi mereka berlaku zalim terhadap saya. Bolehkah saya buat sebagaimana yang mereka buat? Sabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam : 'Tidak boleh dan jika kamu buat yang demikian bererti kamu juga telah memutuskan silaturahim dengan mereka. Tetapi bersikap mulialah terhadap mereka dan teruskanlah menghubungkan silaturahim dengan mereka kerana sesungguhnya pertolongan Allah sentiasa bersama kamu selagi kamu berbuat yang demikian'.

183. Soalan : Ustaz, ini adalah antara masalah yang dialami oleh suami-suami yang bernasib kurang baik. Kita sering mendengar kisah suami tidak memberi nafkah kepada isterinya, tetapi ini adalah contoh kes isteri yang tidak taat kepada suami yang juga banyak berlaku menurut rakan yg meminta diajukan persoalan ini. Seorang isteri telah meminta cerai dari suaminya dengan alasan tidak lagi suka kepada suaminya. Walaupun suaminya belum menceraikannya. Apa hukumnya tindakkan isteri tersebut.

Jawapan : 

Jika seorang isteri itu nusyuz (derhaka) kepada suaminya sedangkan suaminya melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang suami maka si isteri itu berdosa besar dan tidak akan cium bau syurga jika dia berkekalan menderhakai suaminya, dan suaminya tidak memaafkan kesalahannya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“Aku melihat ke dalam Syurga maka aku melihat kebanyakan penghuninya adalah fuqara’ (orang-orang fakir) dan aku melihat ke dalam Neraka maka aku menyaksikan kebanyakan penghuninya adalah wanita.” (Hadis Riwayat Al- Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menjelaskan kepada kita apa yang disaksikan oleh Rasulullah SAW tentang penghuni Syurga yang majoritinya adalah fuqara (para fakir miskin) dan Neraka yang majoriti penghuninya adalah wanita. Tetapi hadis ini tidak menjelaskan sebab-sebab yang menyebabkan mereka dimasukkan ke dalam Neraka dan menjadi majoriti penghuninya, namun demikian sebab-sebab tersebut disebutkan dalam hadis lainnya.

Di dalam kisah solat gerhana matahari, Rasulullah SAW. dan para sahabatnya melakukan solat gerhana padanya dengan solat yang panjang , Rasulullah SAW melihat Syurga dan Neraka. Ketika beginda melihat Neraka beginda bersabda kepada para sahabatnya:

“ … dan aku melihat Neraka maka tidak pernah aku melihat pemandangan seperti ini sama sekali, aku melihat kebanyakan penghuninya adalah kaum wanita. Para sahabat pun bertanya : “Mengapa (demikian) wahai Rasulullah?” Baginda SAW menjawab : “Kerana kekufuran mereka.” Kemudian ditanya lagi : “Apakah mereka kufur kepada Allah?” Baginda menjawab : “Mereka kufur terhadap suami-suami mereka, kufur terhadap kebaikan-kebaikannya. Kalaulah engkau berbuat baik kepada salah seorang di antara mereka selama waktu yang panjang kemudian dia melihat sesuatu pada dirimu (yang tidak dia sukai) nescaya dia akan berkata : ‘Aku tidak pernah melihat sedikitpun kebaikan pada dirimu.’ ” (Hadis Riwayat Imam Al-Bukhari)

Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW menjelaskan tentang wanita penghuni Neraka, baginda bersabda : “ … dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi hakikatnya mereka telanjang, melenggak-lenggokkan kepala mereka kerana sombong dan berpaling dari ketaatan kepada Allah dan suaminya, kepala mereka seakan-akan seperti bunggul unta. Mereka tidak masuk Syurga dan tidak mendapatkan wanginya Syurga padahal wanginya boleh didapati dari jarak perjalanan sekian dan sekian.” (Hadis Riwayat Muslim dan Ahmad)

Terdapat 6 ciri-ciri atau tanda-tanda isteri derhaka:

Pertama : Tidak mensyukuri kebaikan yang dilakukan suami.

Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bermaksud: "Aku lihat api neraka, tidak pernah aku melihatnya seperti hari ini, kerana ada pemandangan yang dahsyat di dalamnya. Telah aku saksikan kebanyakan ahli neraka ialah wanita. Rasullullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam ditanya: "Mengapa demikian ya Rasulullah?" Baginda menjawab: "Wanita mengkufurkan suaminya dan mangkufurkan ihsannya. Jikalau engkau berbuat baik kepadanya seberapa banyak pun dia masih belum merasa berpuas hati dan merasa cukup." (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Ibnu ‘Asakir pula menyebut: "Apabila seorang isteri berkata kepada suaminya, aku belum pun melihat atau merasa nikmat pemberian daripadamu, maka ketika itu gugurlah segala pahala amalan kebajikannya." 

Isteri yang mementingkan harta dunia, suka kepada kemewahan dan perhiasan dunia tidak akan ada sifat qanaah dan sering membebankan suami dengan perkara-perkara diluar kemampuan suami. Sifat kebendaan ini akan menyebabkan mereka tidak akan bersyukur di atas nikmat rezeki yang diberikan oleh suaminya.

Kedua : Suka menyakiti hati suami.

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: "Kebanyakan ahli neraka adalah terdiri daripada kaum wanita." Maka menangislah mereka dan bertanya salah seorang daripada mereka: "Mengapa terjadi demikian, adakah kerana mereka berzina atau membunuh anak atau kafir ?" Baginda menjawab : "Tidak, mereka ini ialah mereka yang menggunakan lidah menyakiti hati suami dan tidak bersyukur akan nikmat yang disediakan oleh suaminya."(Hadis Riwayat Muslim)

Isteri yang suka menyakiti hati suami akan menerima balasan buruk sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam: " Seorang wanita menyakiti suaminya, maka isterinya yang bidadari itu berkata: 'Janganlah kamu menyakitinya semoga Allah mengutukmu, kerana dia (suami) itu disampingmu hanyalah sebagai orang asing yang akan berpisah denganmu menuju kami'." (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Ketiga : Meneriama kedatangan seorang lelaki dirumah tanpa izin suaminya.

Suasana di akhir zaman ini kadangkala pergaulan bebas di antara lelaki dan wanita tanpa batas. Wanita muslim terbawa-bawa sikap wanita barat yang bebas bergaul walaupun mereka sudah menjadi isteri seperti keluar makan bersama ditempat kerja, keluar membeli belah dipasaraya dan membawa kawan lelaki datang kerumah dengan alasan membincangkan urusan perniagaan atau aktiviti masyarakat.

Akibat daripada pergaulan bebas tanpa had ini amat mudah boleh mengakibatkan wanita (isteri) berlaku curang kepada suaminya di luar rumah.

Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang bermaksud : "Tidak boleh seorang isteri mengerjakan puasa sunat, jika suaminya ada dirumah, serta tidak dengan izinnya dan tidak boleh memasukkan seorang lelaki ke rumahnya dengan tidak izin suaminya."(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Walaupun lelaki yang datang kerumah isteri tersebut adalah terdiri daripada mahramnya perlulah mendapat keizinan suaminya terlebih dahulu. Tetapi jika suami tidak ada halangan di atas kehadiran mereka tidak menjadi masaalah .

Keempat : Keluar rumah tanpa izin suami.

Maksud firman Allah: “Janganlah mereka (perempuan-perempuan) menampakkan perhiasannya melainkan untuk suaminya.” (Surah an-Nur ayat 31)

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Apabila perempuan keluar rumah, sedangkan suaminya membencinya, dia dilaknat oleh semua malaikat di langit, dan semua apa yang dilaluinya selain daripada jin dan manusia sehingga dia kembali." (Hadis Riwayat Thabarani di dalam al-Awsat)

Wanita sering keluar rumah dengan berhias, berwangi-wangian dan berpakaian tanpa menutup aurat yang sempurna. Terdapat kebanyakkan wanita muslim tidak menjaga aurat ketika keluar rumah. Suka memakai seluar jean, berbaju kemeja T-lengan pendik, tudung tiga segi yang nipis dan kecil dan berpakaian ketat menampakkan susuk tubuh mereka. Walaupun suaminya mengizinkan isterinya memakai pakaian tersebut (tidak sempurna berpakaian menurut Islam) darisegi akhlak islam suami dan isteri tersebut akan mendapat dosa disisi Allah SWT.

Kelima : Meminta cerai daripada suami.

Sabda Rasulallah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang bermaksud : "Mana-mana isteri yang meminta suaminya menceraikannya dengan tiada sebab yang dibenarkan oleh syarak haram baginya bau syurga." (Hadis Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

Dalam kes meminta cerai kepada suaminya, seorang isteri dibenarkan sekiranya terdapat beberapa sebab yang di benarkan syarak seperti suami tidak memberikan nafkah zahir dan batin, suka memukul isteri dan menyuruh isteri melakukan perkara yang haram. Isteri boleh mengadu pada mahkamah syariah di atas perbuatan suaminya dan boleh menuntut fasakh. Jika isteri sudah merasakan tidak bersesuaian untuk hidup bersama suaminya dia boleh juga mengadu di makhamah syariah untuk Tebus Talak iaitu memberikan beberapa sejumlah wang sebagai tebusan kepada suaminya untuk dia diceraikan.

Tetapi dalam kes suami hendak berpoligami dan suami berkemampuan ketika ini isteri tidak ada hak untuk meminta cerai . Ini adalah kerana hukum berpoligami telah termaktub di dalam al-Quran dan ianya di halalkan oleh Allah SWT. Jika suaminya telah pun berkahwin lain tanpa pengetahuannya dan jika dia memaksa suaminya mencerikan madunya dia akan mendapat laknat Allah dan berdosa besar. Suaminya akan menjadi dayus apabila mengikut telunjuk isteri pertama dengan mengabaikan isteri keduanya.

Jalan sebaik-baiknya isteri pertama perlulah bertolak ansur dan janganlah mengikut nafsu amarah dan membelakangkan hukum agama. Jika kalian bersabar dan menerima kehadiran isteri kedua dengan hati yang tenang dan terbuka dan berfikiran positif ganjaran yang akan kalian terima cukup besar disis Allah SWT. Jika kalian bertindak secara melulu tanpa di dorong oleh iman dan takwa berdasarkan hadis di atas tidak akan masuk syurga isteri yang meminta cerai tanpa alasan yang dibenarkan syarak.

Keenam : Isteri yang tidak menunaikan hajat suami.

Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam maksudnya : "Apabila memanggil suami akan isterinya ke tempat tidur, tetapi ditolaknya sehingga marahlah suaminya, maka akan tidurlah wanita itu di dalam laknat malaikat sehingga ke pagi."(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah SAW terlihat wanita yang mengagumkan baginda. Kemudian baginda mendatangi isterinya (iaitu Zainab r.ha) yang sedang membuat adonan roti. Lalu baginda melakukan hajatnya (berjimak dengan isterinya). Kemudian baginda bersabda: Sesungguhnya wanita itu menghadap dalam rupa syaitan dan membelakangi dalam rupa syaitan (mengajak kepada hawa nafsu). Maka, apabila seseorang dari kalian melihat seorang wanita (yang mengagumkan), hendaklah ia mendatangi isterinya. Kerana yang demikian itu dapat menolak apa yang ada di dalam hatinya. (Hadis Riwayat Muslim, Tirmidzi, Abu Daud, Ahmad dan Baihaqi)

Jika seorang isteri itu nusyuz (derhaka) kepada suaminya sedangkan suaminya melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang suami maka si isteri itu berdosa besar dan tidak akan cium bau syurga jika dia berkekalan menderhakai suaminya, dan suaminya tidak memaafkan kesalahannya. 

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Aku melihat ke dalam Syurga maka aku melihat kebanyakan penghuninya adalah fuqara’ (orang-orang fakir) dan aku melihat ke dalam Neraka maka aku menyaksikan kebanyakan penghuninya adalah wanita.” (Hadis Riwayat Al- Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menjelaskan kepada kita apa yang disaksikan oleh Rasulullah SAW tentang penghuni Syurga yang majoritinya adalah fuqara (para fakir miskin) dan Neraka yang majoriti penghuninya adalah wanita. Tetapi hadis ini tidak menjelaskan sebab-sebab yang menyebabkan mereka dimasukkan ke dalam Neraka dan menjadi majoriti penghuninya, namun demikian sebab-sebab tersebut disebutkan dalam hadis lainnya.

Di dalam kisah solat gerhana matahari, Rasulullah SAW. dan para sahabatnya melakukan solat gerhana padanya dengan solat yang panjang , Rasulullah SAW melihat Syurga dan Neraka. Ketika beginda melihat Neraka beginda bersabda kepada para sahabatnya:

“ … dan aku melihat Neraka maka tidak pernah aku melihat pemandangan seperti ini sama sekali, aku melihat kebanyakan penghuninya adalah kaum wanita. Para sahabat pun bertanya : “Mengapa (demikian) wahai Rasulullah?” Baginda SAW menjawab : “Kerana kekufuran mereka.” Kemudian ditanya lagi : “Apakah mereka kufur kepada Allah?” Baginda menjawab : “Mereka kufur terhadap suami-suami mereka, kufur terhadap kebaikan-kebaikannya. Kalaulah engkau berbuat baik kepada salah seorang di antara mereka selama waktu yang panjang kemudian dia melihat sesuatu pada dirimu (yang tidak dia sukai) nescaya dia akan berkata : ‘Aku tidak pernah melihat sedikitpun kebaikan pada dirimu.’ ” (Hadis Riwayat Imam Al-Bukhari)

Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW menjelaskan tentang wanita penghuni Neraka, baginda bersabda : “ … dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi hakikatnya mereka telanjang, melenggak-lenggokkan kepala mereka kerana sombong dan berpaling dari ketaatan kepada Allah dan suaminya, kepala mereka seakan-akan seperti bunggul unta. Mereka tidak masuk Syurga dan tidak mendapatkan wanginya Syurga padahal wanginya boleh didapati dari jarak perjalanan sekian dan sekian.” (Hadis Riwayat Muslim dan Ahmad)

Tertakluk kepada Hukum Syarak dan pengesahan Mahkamah, seseorang isteri tidaklah berhak mendapat nafkah apabila dia nusyuz atau enggan dengan tidak berpatutan menurut kemahuan atau perintah sah suaminya, iaitu, antara lain. Dan ini termasuklah nafkah muta'ah dan nafkah iddah.
(a) apabila dia menjauhkan dirinya dari suaminya;
(b) apabila dia meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suaminya; atau
(c) apabila dia enggan berpindah bersama suaminya ke suatu rumah atau tempat lain, tanpa apa-apa sebab yang sah mengikut Hukum Syarak.

Selepas sahaja isteri itu bertaubat dan menurut kemahuan dan perintah sah suaminya, maka isteri itu tidaklah lagi menjadi nusyuz.

Jika isteri dan tak suka suaminya atau sebaliknya suami dah tak suka isterinya mereka masih boleh berpisah secara baik kerana jika diteruskan perkahwinan akan mendatangkan banyak gangguan jiwa, tidak tenang dan pengurusan keluarga akan berlaku kepincangan di sebabkan tidak ada kefahaman di antara suami dan isteri . Sudah tak ada lagi sakinah mawaddah warahmah maka eloklah berpisah. Peristiwa ini pernah berlaku ke atas anak angkat Rasulullah SAW Zaid bin Harith dengan Zainab binti Jasash. Rundinglah elok-elok dan jika isteri dah tak suka pada suami skg boleh mohn di mahkamah mohon cerai secara tebus talak.

184. Soalan : Apakah hukum menyebarkan berita fitnah?

Jawapan :  

Fitnah adalah satu perbuatan yang boleh mendatangkan dosa besar kerana menyebarkan sesuatu berita yang tidak benar. Islam mempunyai kaedah lebih ketat bagi memastikan kebenaran sesuatu berita supaya tidak terperangkap dengan berita berunsur fitnah. Wajib bagi Muslim menghalusi setiap berita diterima supaya tidak terbabit dalam kancah berita berunsur fitnah. Sebarang berita diterima perlu dipastikan kesahihannya. Kebijaksanaan dan kewarasan fikiran amat penting digunakan bagi memastikan tidak terpedaya dengan berita berunsur fitnah.

Firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)

Banyak pihak yang turut terbabit menyebar fitnah sebenarnya tidak mempunyai sebarang kepentingan berkaitannya. Tetapi, disebabkan amalan menyebar fitnah sudah menjadi kebiasaan, banyak yang turut menyertainya dan seperti mendapat kepuasan daripada perbuatan itu. Fitnah biasanya disebarkan bertujuan memburukkan individu atau kumpulan. Pada masa sama, perbuatan itu dapat menonjolkan dirinya sebagai lebih baik dan lebih layak berbanding orang yang diburukkan itu.

Dosa membuat fitnah digolongkan sebagai dosa sesama manusia. Justeru, dosa itu tidak akan diampunkan Allah, melainkan orang yang difitnah itu memberi keampunan terhadap perbuatan itu. Mungkin ramai menyangka perbuatan menyebarkan berita fitnah sekadar satu kesalahan kecil. Sebab itu, perbuatan seumpamanya dilakukan seperti tiada apa merugikan.

Hakikatnya, dosa membuat fitnah menjauhkan diri dari syurga. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Dosa menyebar fitnah umpama api membakar ranting kering kerana ia cepat merebak dan akan menjadi abu sepenuhnya. Dosa menyebar fitnah menyebabkan pahala terdahulu dihilangkan sehinggakan penyebar fitnah akan menjadi muflis di akhirat nanti.

Penyebar khabar angin biasanya menyebut perkataan ‘dengar khabar’ mengenai berita yang disebarkan. Bagaimanapun, apabila berita tersebar daripada seorang ke seorang, maklumat yang belum sahih itu sudah hilang dan kemudian disebarkan seperti berita benar. Dalam Islam, sesuatu berita benar tetap tidak boleh disebarkan jika orang yang berkaitan cerita itu tidak mahu ia disebarkan kepada orang lain. Menyebarkan berita benar tetap dilarang, inikan pula menyebarkan berita tidak benar.

Imam Ghazali dalam buku Ihya Ulumuddin menjelaskan perbuatan membocorkan rahsia orang lain dan menjejaskan kehormatannya dengan cara membuka rahsianya yang tidak mahu diketahui orang lain dianggap sebagai perbuatan mengadu-domba dan fitnah. Mengenai berita benar dan berita tidak benar yang disebarkan tanpa kebenaran atau kerelaan orang berkaitan, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Adakah kamu semua mengetahui apakah ghibah (mengumpat)? Sahabat menjawab: Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Lalu Baginda meneruskan sabdanya: Kamu berkata mengenai saudara kamu perkara yang tidak disenanginya. Lalu ditanya oleh seorang sahabat: Walaupun saya berkata perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya?’ Rasulullah bersabda lanjut: “Jika kamu berkata mengenai perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya bererti kamu mengumpatnya, jika perkara yang tidak berlaku pada dirinya bererti kamu memfitnahnya.” (Hadis riwayat Abu Hurairah)

Larangan mencari dan membocorkan rahsia orang lain jelas dilarang Allah seperti dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud: “Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain.” (Surah al-Hujurat, ayat 12). Justeru, setiap Muslim perlu bijak menilai sesuatu berita bagi mengelak daripada menerima dan kemudian menyebarkan sesuatu berita berunsur fitnah.

Perkara pertama perlu diberi perhatian untuk memastikan kesahihan berita ialah memastikan sumber berita itu, yakni siapakah yang mula menyebarkan berita dan rantaian orang yang membawa berita itu. Umat Islam tentu tidak lupa pada sejarah menyebabkan kematian khalifah ketiga kerajaan Islam di Madinah iaitu Uthman Affan, yang berpunca daripada fitnah disebarkan kumpulan ekstremis agama.

Penyebaran fitnah turut menjadi penyebab kepada peperangan sesama Islam atau perang saudara ketika zaman pemerintahan Saidina Ali dan zaman selepas itu. Fitnah juga meruntuhkan kekuatan Bani Umaiyah malah, sejarah kejatuhan empayar besar kerajaan Melayu Melaka tidak terkecuali kerana fitnah. Ubat bagi penyakit hati ialah dengan memperbanyakkan taubat dan selalu berzikir.

Fikir-fikirkanlah, sebelum menghantar e-mel atau SMS. Jika masyarakat Islam sendiri boleh berperang sesama sendiri kerana fitnah, apatah lagi masyarakat majmuk? Jika benar sekalipun beberapa berita, tetapi jika menyebarnya tanpa konteks ia seolah-olah menyiram minyak di atas bara api.

185. Soalan : Ustaz saya ingin bertanya bagaimana cara untuk memulangkan duit yang telah kita pinjam dan orang tersebut sudah lama tidak dapat dihubungi. Bolehkah ustaz memberi pencerahannnya kerana saya takut sekiranya saya bertemu Allah masih belum selesai lagi hutang saya?.

Jawapan : 

Duit yang dipinjamkan wajib dipulangkan kerana hutang sesama manusia tak akan selesai selagi hutang tersebut tidak dilangsaikan atau wang tersebut dihalalkan oleh oarng yang beri pinjam wang. Jika kita berusaha mencari pemberi hutang tak bertemu dan cari waris atau ahli keluarganya juga tak bertemu maka kita boleh sedekahkan wang tersebut untuk sedekah jariah seperti pembinaan sekolah agama dan maahad tahfiz, pembinaan rumah anak yatim, pembinaan masjid atau membeli tanah wakaf untuk tanah perkuburan. 

Wang tersebut elok diberikan kepada sedekah jariah yang berkekalan dan niatkan wang tersebut kepada orang yang memberikan hutang kepada kita. Tetapi sekiranya dengan izin Allah kita berjumpa dengan orang yang memberi hutang maka kewajipan membayar balik adalah satu kewajipan dan wang yang kita sedekahkan itu akan menjadi milik kita insyaa Allah.

No comments:

Post a Comment