Saturday, December 28, 2013

Tanyalah Ustaz Siri 36 ( Solat Pejam Mata, Khusyuk Dalam Solat, Mandi Wajib Ketika Sakit, Melihat Aurat Wanita Dan Perpaduan Dalam Masyarakat)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 36 adalah menjelaskan persoalan solat dengan pejam mata, khusyuk dalam solat, mandi wajib ketika sakit, melihat aurat wanita ketika bersukan dan perpaduan sesama rakyat.

176. Soalan : Saya difahamkan....semasa bersolat, lebih afdal kita memandang pada tempat kita sujud. Apakah pandangan ustaz jika seseorang merasakan memejam mata sambil menghayati bacaan lebih membuatkannya khusyuk...
Sila betulkan jika terdapat kesilapan dalam pemahaman saya dan mohon di berikan pencerahan..terima kasih..

Jawapan : 

Sembahyang adalah satu penyerahan atau persembahan diri dengan disertai doa dan bacaan tertentu ke hadapan Allah Taala. Sebaik-sebaiknya penyerahan diri dengan penuh kyusuk, tawaduk dan penuh kesempurnaan dan penampilan diri termasuklah dengan tidak memejamkan mata tetapi memandang ke tempat sujud bila berdiri, memandang ke kaki jika sujud dan memandang ke lutubila duduk. Jika dengan memejamkan mata itu lebih menghadirkan kekusyukan berbanding mencelikkan mata, maka bolehlah kita memejamkan mata bila kita membaca bacaan dalam sembahyang.  Waalakumusalam Insan SolehahLarangan memejam mata ketika solat TIDAK SAHIH daripada Nabi SAW. Diriwayatkan dalam hadis dhaif : "Apabila seseorang dari kamu berdiri di dalam solat, maka janganlah memejamkan matanya".

Ibn Abi Hatim mengatakan: hadis munkar. Dinukilkan oleh Ibn Qudamah. Kata al-Haithami: Diriwayatkan oleh Thabarani di dalam tiga kitabnya (Mukjam Saghir, Mukjam Ausat dan Mukjam Kabir), dan di dalamnya terdapat perawi bernama Laith bin Abi Sulaim, seorang mudallis dan dia meriwayatkan secara 'an'anah (maksudnya yang sanadnya dengan menggunakan kata 'an Fulan, 'an Fulan dan seterusnya). Oleh itu, harus memejam mata ketika solat jika perbuatan itu memudahkan khusyuk, dan harus juga memandang ke tempat sujud atau ke memandang ke hadapan, atau memandang apa sahaja yang membawa kekhusyukan hati. Cuma dilarang memandang ke langit kerana sabit larangannya dalam hadis yang sahih riwayat Imam Bukhari.

177. Soalan : ustaz..macamana kita hendak mempertngkatkn kekusyukan kta di dalm solat?ada kah dengan memakrifatkn nama Allah,mahupn mengingt kan mati d dalam solat?

Dan adakh batal solat kita jikalau terlntasnya perkara dunia d fikirkan kita ketika kita solat ustaz?

Seperti ingatkan kerja,kawan-kawan,teman-teman dan perkara yang mengembirakn hati.,adakah batal ustaz?

Jawapan : 

Untuk mendapat khyusuk di dalam solat terdapat 17 amalan yang boleh dilakukan. Amalan untuk mendapat khusyuk dalam solat dan kemanisan ibadah ada 17 perkara :

1.Sentiasa melaksanakan solat berjemaah (yang paling afdhal ialah di masjid).

2.Menjaga makan minum agar terjamin halalnya (pastikan tidak di makan makanan yang haram dan syubhat kerana ianya boleh mengelapkan hati).

3.Membanyakkan sedekah kepada fakir dan miskin.

4.Jangan solat dengan menangguh untuk membuang air besar atau kecil dan perkemaskan segala urusan supaya tidak timbul kebimbangan dalam solat.

5.Mengambil wudhuk dengan sempurna supaya air mengenai semua anggota wajib serta mengingati niat atau do'a apabila air melalui di tiap-tiap anggota.

6.Memakai pakaian yang bersih dan kemas seperti akan menghadap pembesar negeri.

7.Tempat sujud dipastikan tidak ada gambar yang menganggu fikiran atau membimbangkan hati.

8.Mengingatkan mati dan kemungkinan itulah solat kita yang terakhir dalam hidup.

9.Menyedari bahawa kita sedang berhadapan dengan Allah Yang Maha Agung dan Maha Mengetahui segala rahsia hamba-Nya.

10.Memenuhkan dada dalam perasaan takut dan rendah diri kepada Allah yang melihat segala gerak geri kita.

11.Memahami segala bacaan dalam solat termasuk ayat-ayat Al-Qur'an dan segala zikir.

12.Sebelum mengangkat takbir, membaca surah An-Nas, selawat atas Nabi s.a.w., istighfar dan apa-apa bacaan untuk menjauhkan gangguan syaitan.

13.Memandang ketempat sujud dan tidak terlalu banyak mengerakkan anggota badan.

14.Memusatkan seluruh ingatan kepada solat.

15.Memanjangkan sedikit tempoh semasa rukuk dan sujud.

16.Memastikan tidak ada gangguan di dalam kawasan solat.

17.Jangan menjeling ke kiri dan ke kanan. 

Sama-sama kita perbaiki solat kita supaya ianya menjadi khusyuk dan berkualiti dan dapat di persembahkan kepada Allah s.w.t sebagai persembahan yang pertama ketika berhadapan dengan Allah SWT. di hari akhirat nanti. Bila lulus solat kita maka segala amalan-amalan yang lain akan mudah melalui proses timbangan amal. Semoga kita ditempatkan oleh Allah s.w.t. kedalam Syurga yang disediakan-Nya untuk hamba-hamba-Nya yang dikasihi.

178. Soalan :  Saya hendak bertanya. Baru-baru ni saya telah melalui pembedahan dan saya tak mampu untuk mandi lagi. Hanya boleh sekadar lap-lap badan sahaja. Jadi bagaimana caranya saya hendak mandi wajib dengan sempurna ya ustaz?

Jawapan : 

Seseorang yang mengalami kecederaan atau patah mana-mana anggotanya di bahagian anggota wuduk dan ia pula ingin mengambil wuduk atau mandi wajib, maka wajiblah atasnya membasuh semua anggotanya, walaupun terpaksa memanaskan air yang sejuk. Jika ditakuti berlaku kemudaratan pada bahagian anggota yang dibasuh tadi seperti bertambahnya penyakit atau lambat sembuh, maka kewajipan membasuhnya bertukar menjadi wajib menyapu anggota yang sakit dengan air.

Jika perbuatan menyapu air itu pun menjadi kemudaratan, wajiblah ke atasnya membalut bahagian yang luka atau bahagian yang patah dengan tidak melampaui tempat yang luka atau patah itu kecuali kerana kepentingan ikatan, kemudian disapunya ke atasnya sekali sapu yang diratakan di semua bahagian yang cedera atau patah atau bekas pembedahan.

Pembalut itu tidak disyaratkan mesti didahului oleh bersuci dan tidak diikat dengan sesuatu masa, malah orang berkenaan boleh menyapu ke atas tempat yang luka atau patah tadi secara terus menerus ketika mengambil wuduk dan mandi junub, selagi mana keuzuran itu masih ada.

Bagi mazhab Shafie dan Hambali, mereka yang terbabit dikehendaki mengulangi kembali solatnya selepas sembuh. Penyapuan atas pembalut luka ini akan batal selepas pembalut dicabut dari tempatnya atau tertanggal sendiri dari tempatnya kerana penyakit atau bahagian yang patah sudah sembuh atau tempat yang luka atau patah tadi sembuh, walaupun pembalutnya tidak tanggal.

Sebuah hadis daripada Jabir, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Seorang lelaki sudah ditimpa batu di kepalanya, lalu melukakan kepala lelaki berkenaan, kemudian selepas itu beliau bermimpi (berjunub), lalu beliau bertanya kepada sahabat: “Adakah anda semua berpendapat saya berhak memperoleh rukhsah (kelonggaran) untuk bertayamum?”

Mereka menjawab: “Kami berpendapat kamu tidak berhak mendapat rukhsah (kelonggaran) kerana kamu mampu menggunakan air. Lalu lelaki berkenaan mandi junub dan meninggal dunia selepas itu. Apabila kami menemui Rasulullah SAW, dan baginda diberitahu mengenai perkara itu lalu baginda bersabda yang bermaksud: “Mereka sudah membunuhnya. Kenapa mereka tidak bertanya ketika mereka tidak mengetahui. Sesungguhnya penyembuhan daripada penyakit buta huruf ialah bertanya. Sebenarnya cukuplah kepada lelaki berkenaan bertayamum atau membalut lukanya, kemudian disapu di atasnya dan dibasuh seluruh bahagian badan yang lain.” (Hadis Riwayat Ibn Majah).

Bagi mereka yang mengalami kemudaratan atau patah tangan, baru melakukan pembedahan hukum sapu atas pembalut luka adalah wajib ketika mengambil wuduk dan ketika mandi junub, sebagai ganti membasuh bahagian anggota yang sakit. Bagaimanapun bagi mereka yang tidak mengalaminya, maka perkara itu tidak sah dilakukan. Wallahualam

179. Soalan : Apakah hukum melihat sukan yang dilakukan oleh wanita yang mendedahkan aurat?

Jawapan : 

Jika nak jaga hati dan jiwa supaya tidak terlibat dengan mengekori aurat wanita lihatlah sukan yang dilakukan oleh kaum lelaki yang tidak mendatangkan syahwat . Dari Abu Hurairah r.a. bahwa Rasulullah saw. telah bersabda yang artinya, “Kedua mata itu boleh melakukan zina, kedua tangan itu (boleh) melakukan zina, kedua kaki itu (boleh) melakukan zina. Dan kesemuanya itu akan dibenarkan atau diingkari oleh alat kelamin.” (Hadis sahih diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim dari Ibn Abbas dan Abu Hurairah). 

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Tercatat atas anak Adam nasibnya dari perzinaan dan dia pasti mengalaminya. Kedua mata zinanya melihat, kedua teling zinanya mendengar, lidah zinanya bicara, tangan zinanya memaksa (memegang dengan keras), kaki zinanya melangkah (berjalan) dan hati yang berhazrat dan berharap. Semua itu dibenarkan (direalisasi) oleh kelamin atau digagalkannya.” (Hadis Riwayat Bukhari).

180. Soalan : Ustaz bagaimana perpaduan sesama islam harus dilaksanakan ketika dalam masyrakat yang berbilang fahaman ideologi politik dan kelas terutama ketika ini.?

Jawapan :

Untuk bersatu perlu kembali kepada Allah dan rasul maksudnya kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah.Allah subhânahu wa ta’âlâ berfirman,

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا أَطِيعُوا اللهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي اْلأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلاً.

“Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Qur’an) dan Rasul (Sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” (QS An Nisâ’: 59)

Dan juga Allah subhânahu wa ta’âlâ berfirman,

اتَّبِعُوا مَا أُنْزِلَ إِلَيْكُمْ مِنْ رَبِّكُمْ وَلَا تَتَّبِعُوا مِنْ دُونِهِ أَوْلِيَاءَ قَلِيلاً مَا تَذَكَّرُونَ.

“Ikutilah apa yang diturunkan kepadamu dari Robbmu dan janganlah kamu mengikuti pemimpin-pemimpin selain-Nya. Amat sedikitlah kamu mengambil pelajaran (daripadanya).” (QS Al A’râf: 3)

Dan Allah subhânahu wa ta’âlâ mengingatkan tentang wajibnya taat kepada Rasul, dalam firman-Nya Allah subhânahu wa ta’âlâ menyatakan,

فَلاَ وَرَبِّكَ لاَ يُؤْمِنُونَ حَتَّى يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لاَ يَجِدُوا فِي أَنْفُسِهِمْ حَرَجًا مِمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيمًا.

“Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa keberatan dalam hati mereka terhadap putusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya.” (QS An Nisâ’: 65)

Dan Rasulullah shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda dalam hadits yang diriwayatkan oleh imam Malik dalam Al Muwaththa` secara balâghon dan juga Imam Al Hakim dan dihasankan oleh Syaikh Al Albani rahimahullâhu ta’ala dalam Takhrijul Misykâh, beliau bersabda,
تَرَكْتُ فِيْكُمْ شَيْئَيْنِ لَنْ تَضِلُّوْا بَعْدَهُمَا كِتَابُ اللهِ وَسُنَّتِيْ.

“Saya tinggalkan pada kalian dua perkara, kalian tidak akan sesat di belakang keduanya (yaitu) Kitab Allah dan Sunnahku.”

Jika masing-masing memahami bahawa keperluan untuk bersatu sebagai umat Islam satu akidah dan satu matlamat hidup insaay Allah boleh kita bekerjasama di dalam perkara yg dipersetujui bersama dan bermaaf-maafan di dlm perkara yg diperselisihkan selagi perkara yg diperselisihkan bukan masaalah prinsip.



No comments:

Post a Comment