Saturday, December 21, 2013

Tanyalah Ustaz Siri 28 (Hutang Budi, Mimpi Melihat Ayat Al-Quran, Solat Memakai Kasut, Pasang Batu Nisan Dan Anak Angkat)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 28 adalah menjelaskan persoalan hutang budi di ungkit-ungkit, mimpi melihat ayat al-Quran (3 qul), solat di memakai kasut di hutan, pasang kepuk dan batu nisan di kubur dan anak angkat.

136. Soalan : Biasa kita dengar orang yang berhutang (wang) wajib membayar hutang sekiranya dia mampu membayarnya semula...Bagaimana pula hutang budi? adakah kita wajib membalasnya? contoh kalau suatu ketika dahulu seseorang pernah membantu kita dan kemudian dia ingin kita membalas budinya semula dikala dia dilanda kesusahan...mohon pencerahan...syukran.

Jawapan :

Kita tak boleh mengunkit-ungkit bantuan atau budi yang telah kita berikan kerana kebaikan yang kita berikan jika diungkit-ungkit akan menghapuskan pahala yang telah kita buat.

Diriwayatkan hadis daripada Taus, daripada Ibnu Abbas (r.a) dan daripada Ibnu Omar (r.a) yang mengangkat hadis sampai kepada Nabi (SAW) [Nota: Hadis kategori ini hadis ‘marfu’ - Hadis yang disabdakan oleh Rasulullah SAW menjawab sesuatu pertanyaan atau permasalahan secara langsung] dengan sabdanya: "Tidak halal (tidak dibenarkan) bagi seorang lelaki (atau perempuan) apabila memberi dia (sesuatu kepada orang lain) satu pemberian (kemudian) kembali dia dengannya (yakni, dimintanya semula pemberiannya itu dari orang itu) (atau, diungkit-ungkitnya pemberiannya) kecuali (pemberian) kedua orang tua (yakni, ibu bapa) di dalam memberi (sesuatu kepada) anak-anaknya." (Hadis Riwayat Ibnu Majah, Kitab Khiat) 

Bukan saja amalan yang dilakukan dahulu terhapus pahalanya malahan orang yang mengunkit-ungkit akan mendapat dosa kerana menyakiti hati orang yang pernah ditolongnya. Jika dia sedang susah boleh dia minta pertolongan pada orang yang telah dibantunya dahulu tetapi jika orang yang pernah ditolongnya tak mampu nak tolong maka dia tak perlu ungkit-ungkit budi baik yang pernah di lakukan dahulu. Wallahu a'lam

137. Soalan : Ustaz..seorang kawan saya berkata..dia bermimpi melihat 3 ayat qul diatas langit..kemudian jatuh ke bumi. Apabila dia bertanya kepeda seorang guru agama, guru itu berkata akan dapat petanda baik..benarkah begitu?

Jawapan :

menurut Buku Tafsir Mimpi Menurut Islam oleh Imam Ibnu Sirin ; 

Surah al-Ikhlas tafsirannya : Mendapat kesenangan, mulia dan terpelihara akidahnya. 

Surah al-Falaq tafsirannya: Allah SWT memelihara daripada kejahatan manusia dan jin, daripada gangguan binatang dan dengki mausia. 

Surah al-Nas tafsirannya : Selamat daripada gangguan syaitan dan tenteranya. 

Seorang ulama yang pakar di dalam tafsir mimpi bernama Abu Sa'id berkata , "Orang yang mentakwil mimpi itu hendaklah memperhatikan maksud ayat yang dilihat di dalam mimpi itu. Jika orang yang bermimpi itu melihat membaca surah atau ayat-ayat rahmat, bererti dia akan mendapat rahmat, nikmat, keamanan dan kebahagiaan. Kalau dia melihat membaca ayat-ayat azab bererti merupakan teguran terhadap perbuatan-perbuatan maksiat yang biasa dilakukannya atau sudah bermaksud akan melakukannya. Wallahu a'lam

138. Soalan : Ustaz. boleh terangkan tak berkaitan solat medan secara terperinci dari pengambilan wuduk sehingga ke solat. solat medan ialah solat semasa askar sedang melakukan operasi di hutan.

Betul ke jika seseorang itu mempunyai wuduk dalam keadaan dia berkasut lalu wuduknya terbatal, maka dia perlu berwuduk semula tanpa perlu membuka kasut itu dan basuh bahagiian luaran kasut itu sahaja.?

Jawapan :


Sapu kasut dan Solat Dengan Memakai kasut

*Sapu bahagian atas kasut sahaja.

Syarat-syarat:

1. Pastikan sebelum pakai kasut anda dalam keadaan berwuduk.

2. Kasut anda suci dan bersih dari najis.

3. Sapu kasut hanya boleh dilakukan untuk mengangkat hadas kecil sahaja. Hadas besar tak boleh.

4. Jangka masa sapu kasut mesti ikut syarak. Bagi yang bermusafir, mereka boleh terus-menerus sapu kasut tanpa buka selama tiga hari tiga malam. Bagi yang bermukim, tempohnya hanya sehari semalam. Selepas dari itu kena basuh kaki macam biasa. Ali bin Abu Talib r.a. berkata: “Rasulullah SAW. menetapkan (tempoh menyapu khuf) tiga hari tiga malam bagi musafir dan sehari semalam ketika bermukim.” (Hadis Riwayat Muslim)

Sheikh Ibn Uthaimin r.h. menjelaskan hal ini sebagai katanya: “Berdasarkan kaedah ini, ia jelas menunjukkan kepada kita bahawa pendapat paling rajih (tepat) adalah permulaan tempoh (hari) sapuan dikira ketika mula menyapu khuf dan bukannya ketika (mula) berhadas.” (Rujuk Syarh al-Mumti’, jil. 1. m.s. 208)

Imam an-Nawawi juga menjelaskan sebagai katanya: “Hadis ini merupakan hujah yang terang dan dalil yang jelas bahawa syarat menyapu khuf telah ditetapkan waktunya, iaitu selama tiga hari tiga malam bagi musafir dan sehari semalam ketika bermukim. Inilah pendapat yang dipegang oleh Abu Hanifah, as-Syafie, Ahmad, dan jumhur ulama terdiri daripada para sahabat serta generasi selepas mereka.” (Rujuk Syarh Sahih Muslim, jil. 3, m.s. 176 dan al-Muhalla, jil. 2, m.s. 87-89)

*Masa dikira dari tempoh sapu kasut kali pertama, bukan dari tempoh mula memakai kasut.

Isu dan Perbincangan:

1. Kaedah Sapu

Sapu bahagian atas sahaja, tangan kanan sapu atas kaki kanan, tangan kiri sapu atas kaki kiri serentak. Untuk perbincangan lanjut, lihat hadis Mughirah ibn Syu'bah radiyallahu 'anhu dan ulasan Syeikh Ibn 'Uthaymin dalam Fatawa al-Mar'ah al-Muslimah vol. 1 m/s 250.

2. Kenapa sapu bahagian atas sahaja?

Sebab sunnah cuma beritahu sapu atas sahaja, tepi dan bawah tidak perlu. Saidina Ali bin Abu Talib r.a. berkata: “Kalaulah hukum-hukum agama ini terbina atas dasar akal, tentulah menyapu di bahagian bawah khuf itu lebih afdhal berbanding atasnya. Aku telah melihat Rasulullah SAW. menyapu di atas kedua-dua belah khufnya.” (Hadis Riwayat Abu Daud, ad-Darimi, Daruqutni, al-Baihaqi. Ibnu Hajar mengklasifikasikan sanadnya sebagai sahih. Dan al-Albani turut mensahihkannya di dalam al-Irwa, m/s. 103)

3. Wuduk dan Solat dengan Kasut - biar betul?!!

Sebahagian dari kita mesti rasa benda ni pelik. Sebelum rasa pelik mengatasi cinta pada sunnah, baca dan fahami hadis-hadis yang menunjukkan Rasulullah Sallallahu 'Alayhi Wasallam membenarkan solat dengan memakai kasut.

3.1 Anas ibn Malik radiyallahu 'anhu pernah ditanya: "Benarkah Nabi Sallallahu 'Alayhi Wasallam pernah solat sambil memakai kasut?" Jawab Anas: "Ya." (Al-Bukhariy & Muslim).

3.2 Kisah Nabi Sallallahu 'Alayhi Wasallam solat bersama para sahabah radiyallahu 'anhum sambil memakai kasut, di pertengahan solat baginda membuka kasut dan diikuti para sahabah. Baginda berbuat demikian kerana diberitahu Jibrail bahawa kasut baginda tidak suci. Kemudian Nabi berpesan agar mereka memeriksa kasut mereka dan bersihkan kasut sebelum solat sambil berkasut (Abu Dawud - sahih menurut Al-Albaniy).

3.3 Antara sebab Nabi Sallallahu 'Alayhi Wasallam suruh solat pakai kasut ialah untuk membezakan kita dengan kaum Yahudi yang tidak solat sambil berkasut (Abu Dawud - sahih menurut Al-Albaniy).

4. Menanggalkan kasut, wuduk batal atau tidak?

'Ulamak berbeza pendapat. Ada yang kata batal, ada yang kata tidak. Masing-masing ada alasan kukuh. 'Ulamak seperti Qatadah, Hasan al-Basri, Ibn Abi Layla, Ibn Hazm, Ibn Taimiyah, al-Nawawi dan lain-lain berpendapat menanggalkan stoking atau kasut tidak membatalkan wuduk, kerana apabila kita dah berwuduk, maka wuduk akan hanya batal bila perkara yang membatalkan wuduk berlaku, seperti buang air kecil, kentut dan sebagainya. Memandangkan pendapat ini lebih senang, maka saya lebih cenderung dengan pendapat ini.

Kesimpulan

Jika askar sedang beroperasi di hutan memang sesuailah menggunakan kasut ketika solat dan jika batal ambil wuduk seperti biasa hanya bila masa hendak membasuh kaki memadailah sapu di atas kasut tak payah membuka kasut dalam masa 3 hari ketika bermusafir.

139. Soalan : Saya ada satu  soalan. Anak saya baru maninggal dunia hampir 3 bulan. Saya keliru tentang kepuk dan nisan. Ada yang cakap tak boleh buat kepuk dan ada yang kata boleh. Saya nak tahu hukum sebenarnya.

Jawapan :



"Aku mendengar Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasalam memerintahkan untuk meratakannya.’” (Hadis Riwayat Muslim : 968)

Bukan yang dimaksud meratakan kuburan harus meratakan kuburan dengan tanah, kerana meninggikan kuburan sewajarnya dan tidak berlebihan bukanlah perbuatan yang terlarang. Akan tetapi yang dimaksud adalah meratakan semua kuburan dan tidak membedakan antara kuburan orang kaya dengan kubur yang lain, tidak pula meninggikan kuburan secara berlebihan dan tidak pula mendirikan bangunan di atasnya. 

Hukum menyemin sekeliling kubur tersebut juga tidak digalakkan kerana bimbang akan mengambil ruang yang besar. Tanah kubur tersebut adalah tanah waqaf dan bukannya tanah milik si mati ataupun anak si mati. Tanah waqaf adalah tanah milik bersama masyarakat Islam setempat. Oleh itu, jika mengambil ruang yang besar sehinga melampaui had tanah kubur si mati, ia sudah menjadi satu kesalahan kerana mengambil ruang yang besar hanya untuk kubur si mati sahaja. Ulama mengharuskan meletakkan batu nisan untuk mengenali kubur simati yang terdiri daripada ahli keluarga. Wallahu 'alam.

140. Soalan : Ustaz, ada kemusykilan tentang status anak angkat.

1) Sekiranya yang menjadi ibu susuan kepada anak (lelaki) itu adalah adik perempuan kepada ayah angkat itu, ada kah dikira sebagai mahram kepada ibu angkatnya dan adik beradik angkatnya yang lain?

2) Adakah had umur memberi susu badan kepada anak angkat sama seperti biasa iaitu 2 tahun umur?...Yang terdiri daripada ahli keluarga. Wallahu 'alam.  

Jawapan : 

1. Jika ibu susuan kepada anak angkat adalah adik kepada ayah angkat maknanya hubungan anak susuan dengan ayah angkat ada lah bapa saudara susuan. Adik beradik daripada ibu susuan ( mak saudara dan bapa saudara susuan kepada anak susuan) adalah mahram susuan dan mereka tak boleh berkahwin dan boleh bersalaman. Anak-anak bapa saudara susuan bukan mahram kepada anak susuan tersebut. 

2. Ulama menjelaskan bahawa umur anak susuan mestilah dibawah 2 tahun. 

3. Hisapan susu daripada ibu susuan adalah 5 kali hisapan yang mengenyangkan bukan 3 kali sebagaimana yang dijelaskan oleh para ulama.

Syarat yang berkaitan dengan susu adalah seperti berikut:

a. Susu kekal dalam sifatnya yang asal sama ada mengalir atau sebagainya kerana dengannya akan memastikan tumbesaran tubuh dan penguatan tulang.

b. Sampai susu ke sistem penghadamannya melalui tekak atau saluran hidung.

c. Penyusuan mencecah lima kali kekenyangan bayi. Setiap kali kekenyangan dikenal pasti melalui perbuatan bayi itu sendiri yang meninggalkan susuan secara sukarela dan mengambil tempoh yang lama sebelum menyusu untuk kali yang seterusnya. Sekiranya bayi berhenti menyusu disebabkan oleh gangguan di sekelilingnya, ia tidak dikira sebagai susuan yang mengenyangkan. Susuan yang mengenyangkan tetap dikira sekiranya bayi meninggalkan susuan untuk sementara waktu seperti ingin mengambil nafas, bertukar posisi daripada payudara kanan ke kiri, bersin dan sebagainya.

Islam telah menetapkan jumlah susuan dan jumlah hisapan tertentu yang menyebabkan jadi mahram. Ia sebanyak lima kali susuan atau hisapan yang mengenyangkan. Jumlah penyusuan dan hisapan yang kurang daripada itu tidak diharamkan. Sebagaimana dijelaskan dalam hadis daripada Aisyah, Nabi bersabda: sekali hisapan (susuan) dan dua kali hisapan itu tidak menjadi mahram. 

Konsep susuan yang tidak menepati syarat yang telah ditetapkan oleh syarak tidak mengharamkan. Dalam hadis ini menerangkan dimana sekali susuan itu, iaitu apabila bayi menyusu kemudian dia melepaskan hisapan dengan kehendak dia sendiri ini dikira sekali susuan.

Apabila semua syarat ini dipenuhi, maka terhasillah hubungan pertalian antara bayi dan wanita yang menyusukannya. Perkara ini disandarkan kepada kaedah fiqh:

Maksudnya: Diharamkan (perkahwinan) disebabkan oleh penyusuan (sepertimana) apa yang diharamkan disebabkan oleh keturunan.


No comments:

Post a Comment