Friday, December 6, 2013

Tanyalah Ustaz Siri 16 (Doa Mudah Bersalin, Menjaga Lidah, Zakat Emas, Amalan Waktu Malam dan Memberi Salam)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 16 adalah menjelaskan persoalan doa mudah bersalin, menjaga lidah, zakat emas perhiasan, amalan diwaktu malam dan memberi salam di masjid.

76. Soalan : .Saya nak tanya,. saya sedang mengandung anak kedua,orang tua cakap nak mudah bersalin minum air lebihan suami,betul ke? Tiap-tiap pagi suami pergi kerja mesti dia aken tinggalkan air lebihan dia untuk saya. Ada tak doa-doa yang boleh saya baca sebelum minum air tersebut?.Terima kasih.

Jawapan :

Tidak ada nas yang mengatakan meminum air lebihan suami boleh memudahkan bersalin. Banyakkan berdoa, berzikir dan membaca al-Quran. Bayi di dalam kandungan akan mendapat keberkatan dan akan memberi kesan pada bayi apabila ibu yg sedang mengandung banyak berdoa, berzikir dan membaca al-Quran. Banyak solat sunat dengan bersujud juga akan memudahkan bersalin insyaa Allah.

77. Soalan : Macam mana kita ingin menjaga lisan supayah tak boleh meyakitkan orang lain? Kadang-kadang tanpa kita sedari dan tanpa ada niat kita telah menyakitkan orang lain melalu lisan. Harap ustaz boleh terang terima kasih.

Jawapan :

Jagalah lidah kerana dari lidah ini ramai manusia akan dimasukkan ke dalam neraka.Suatu hari seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW seraya berkata, “Ya Rasulullah! Sungguh si fulanah itu terkenal banyak solat, puasa, dan sedekahnya. Akan tetapi juga terkenal jahat lidahnya terhadap jiran tetangganya.”. Maka berkatalah Rasulullah SAW kepadanya, “Sungguh ia termasuk ahli neraka”.
Kemudian lelaki itu berkata lagi, “Kalau si fulanah yang satu lagi terkenal sedikit solat, puasa dan sedekahnya, akan tetapi ia tidak pernah menyakiti tetangganya.” Maka Rasulullah SAW berkata, “Sungguh ia termasuk ahli syurga.” (Hadis Riwayat Muslim).

Kisah dalam hadis tersebut memberi pelajaran akan bahaya lidah. Betapa jika tidak dikawal lidah itu dengan iman, lidah boleh menjerumuskan ke dalam neraka. Meskipun seseorang itu ahli ibadah, banyak solat, puasa, akan tetapi bila tidak mampu menjaga lidahnya dari memfitnah, berbohong dan hasad-dengki maka amalannya akan menjadi sia-sia.

Oleh sebab itu, lidah boleh menjadi alat untuk taat kepada Allah, dan boleh pula untuk memuaskan hawa nafsu. Lidah boleh digunakan untuk membaca al-Quran, hadis dan nasihat menasihati tetapi lidah juga boleh berubah menjadi "batu api" memfitnah dan mengadu domba. Memfitnah, bersaksi palsu, mengumpat, mendedahkan aib orang lain, dan boleh memecah belahkan umat Islam. Lidah yang jahat ini boleh mendatangkan huru-hara dan pergaduhan di dalam masyarakat.


 Rasulullah SAW memperingatkan, bahawa bahaya lidah adalah salah satu perkara yang paling baginda khawatirkan. Sebabnya, semua amal akan terhapus dan berguguran jika lidah kita jahat.

Suatu kali salah seorang sahabat Sufyan al-Tsaqafi bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, katakan kepadaku dengan satu perkara yang aku akan berpegang dengannya!" Baginda menjawab: "Katakanlah, 'Rabbku adalah Allah', lalu istiqamahlah". Aku berkata: "Wahai Rasulullah, apakah yang paling tuan khawatirkan atasku?". Baginda memegang lidah baginda sendiri, lalu bersabda: “Ini." (Hadis Riwayat Tirmidzi dan Ibnu Majah). Oleh itu berhati-hatilah jika berkata-kata. Jika rasa tak perlu lebih baik diam, kerana diam menjadi lebih baik apabila berkata-kata boleh mendatangkan dosa dan mengata orang lain. 


 Zaman ICT hujung jari sama umpama lidah. Jika jari ini suka menulis berita fitnah, sebarkan berita bohong dan dusta, mengaibkan orang lain, menentang hukum-hukum Allah SWT maka dosa lidah seperti hadis Nabi SAW adalah sama dengan dosa jari yang menulis berita fitnah tadi malahan jari lebih merbahaya lagi sekali tekan button maka seluruh dunia akan dapat berita fitnah maka dosanya berlipat kali ganda berbanding dosa lidah. Wallahu a'lam

78. Soalan : Ustaz saya ada barang kemas ,tak banyak  sekadar untuk saya dan anak-anak . Dulu saya setiap tahun saya bayar zakat ,tapi sekarag saya tak bayar ,kalau ada duit hanya cukup keperluan saya dan anak-anak. Saya pun tak berapa sihat ,dan 2 anak saya masih belajar. Tapi sya tkut ustaz...dan ape hukumnya dan wajibkah sya membayarnya..

Jawapan :

 Firman Allah S.W.T yang bermaksud: "Dan mereka yang menyimpan emas dan perak dan tidak membelanjakan pada jalan ALLAH SWT (mengeluarkan zakat) maka khabarkanlah kepada mereka dengan azab yang pedih pada hari emas dan perak dibakar di dalam neraka jahanam lalu diselar dengannya dahi dan rusuk mereka di belakang mereka seraya dikatakan kepada mereka inilah harta yang kamu simpan selama ini buat dirimu, maka rasailah balasan apa yang kamu simpan dulu" (Surah At-Taubah:ayat 34-35)

Begitu juga dengan hadis Nabi S.A.W..Riwayat daripada muslim yang bermaksud: " Tidak ada seorang yang mempunyai emas dan perak yang tidak menunaikan zakatnya, melainkan pada hari kiamat dijadikan hartanya itu beberapa keping api neraka. Setelah dipanaskan digosokkan ke lambung dahi dan belakangnya.Setiap kali ia sejuk, dipanaskan semula pada satu hari yang lamanya 50 ribu tahun sehingga Allah menyelesaikan segala perkara yang berkaitan dengan hambaNya."

Daripada sumber rujukan mereka yang pakar bab-bab emas ini, zakat emas dikira dalam dua keadaan iaitu:


1. Zakat emas yang disimpan (tidak dipakai)
2. Zakat emas yang dipakai

1. Zakat emas yang disimpan (tidak dipakai)
Emas yang disimpan dan dipakai wajib dizakatkan sekiranya cukup syarat. Emas yang disimpan bermaksud emas yang tidak digunakan atau tidak dipakai walaupun sekali dalam tempoh setahun. Nisab zakat emas yang disimpan (tidak dipakai) ialah 85gram. Ulama sepakat mengatakan bahawa emas apabila cukup 20 misqal, wajib dikenakan zakat. Kadar zakat emas ialah rubu'al-usyur iaitu satu perempat puluh atau dua setengah peratus (1/40 atau 2.5%) daripada nilai emas semasa sekiranya kadar yang dimiliki itu sama atau melebihi nisabnya. Harga zakat emas yang dikenakan adalah mengikut ketulenan emas. Sebelum anda ingin membayar zakat, anda mestilah memberitahu ketulenan emas tersebut samada 999,916,875 atau 750. Pegawai zakat akan mengira berdasarkan ketulenan emas tersebut. Setiap ketulenan emas mempunyai nilai per gram yang berbeza untuk dizakatkan.

2. Zakat emas yang dipakai (sebagai perhiasan)
Ya, barang kemas yang tidak dikenakan zakat selagi ianya tidak melebihi had pemakaian yang dibenarkan. Emas yang dipakai (sebagai perhiasan) sekali-sekala atau secara berterusan dalam tempoh setahun tidak wajib dikeluarkan zakat ke atasnya. Walau bagaimanapun, jika ia melebihi 'uruf maka wajib dikeluarkan zakat dengan kadar 2.5 % atas nilai emas yang dipakai. Nilai yang di ambil kira adalah nilai semasa sahaja dan tidak termasuk batu permata atau seumpamanya.

Zakat emas perhiasan wanita akan dikenakan berdasarkan nilai uruf. Uruf bererti cara dan corak pemakaian wanita tempatan. Zakat emas perhiasan ini tertakluk pada lembaga zakat negeri masing-masing. Contohnya zakat emas di Terengganu dikenakan sekiranya emas perhiasan mempunyai berat lebih dari 850gram manakala di Kelantan emas yang dipakai tidak dikenakan zakat. Maklumat ini mungkin berubah dan anda haruslah berhubung sendiri dengan lembaga zakat negeri masing-masing mengenai kadar uruf masing-masing. 


Nilai uruf bagi negeri-negeri di Malaysia pada tahun  2013 berkemungkinan ada perbezaan dengan apa yang dinyatakan dibawah kerana uruf dibawah adalah diambil daripada Pusat Zakat untuk tahun 2008.


Berikut adalah nilai uruf bagi negeri-negeri di Malaysia.pada tahun 2008 untuk makluman sahaja.


1. Uruf emas bagi negeri Kedah adalah 150 gram.
2. Uruf emas bagi negeri Perlis adalah 170 gram
3. Uruf emas bagi negeri Pulau Pinang adalah 165 gram
4. Uruf emas bagi negeri Melaka adalah RM5000
5. Uruf emas bagi negeri Johor adalah 850 gram
6. Uruf emas bagi negeri Sembilan adalah 200 gram
7. Uruf emas bagi negeri Selangor adalah 800 gram
8. Uruf emas bagi Wilayah Persekutuan adalah 150 gram
9. Uruf emas bagi negeri Kelantan : tiada uruf
10. Uruf emas bagi negeri Terengganu adalah 850 gram
11. Uruf emas bagi negeri Pahang adalah 200 gram
12. Uruf emas bagi negeri Perak adalah 500 gram
13. Uruf emas bagi negeri Sabah adalah RM5000
14. Uruf emas bagi negeri Sarawak adalah 775 gram


79. Soalan :  Ustaz saya selalu terbangun antara pukul 3/4 pagi...yang selalu saya buat solat sunat tahjjud ...Harap ustaz beri penjelsan yg terperinci sebab saya kurang arif dan jahil dalam bab ini...Tolong terangkan satu persatu apa yang patut saya buat dan bacaan apa yang sepatutnya saya lakukan.?

Jawapan :

Amalan yang boleh dilakukan selepas terbangun daripada tidur sekitar jam 3pagi  atau 4 pagi adalah : 


1. Ketika bangun tidur hendaknya membaca doa, “Alhamdulillahil ladzi ahyaana ba’da maa amaatanaa wa ilaihin nusyuur (Segala puji bagi Allah yang telah membangkitkan kami dari mati (tidur) dan hanya kepada-Nya semuanya kembali)” (Hadis Riwayat Bukhari). 

2. Selepas membaca doa hendaklah mencuci tangan 3 kali.

Sebuah hadis oleh Abu Hurairah r.a :

وإذا استيقظ أحدكم من نومه فليغسل يديه قبل أن يدخلهما في الإناء ثــلاثا ، فــإن أحــدكم لا يــدري أين بــاتت يــده
Maksudnya : “Dan apabila seseorang bangun daripada tidurnya , hendaklah ianya membasuh kedua tangannya 3 kali sebelum ia memasukkannya (tangan) ke dalam bekas yang berisi air (kolam).Kerana sesungguhnya , ia tidak tahu dimana tangannya berada (semasa tidur).” (Hadis Muttafaqun ‘Alaihi , Bukhari : 162 dan Muslim : 278)

Hadis di atas menyebutkan tentang suruhan membasuh tangan sebelum memasukkannya ke dalam kolam atau apa sahaja bekas yang mengandungi air atau memegang apa sahaja benda-benda yang basah.[Taisir al-‘Allam syarh ‘Umdatul Ahkam , m/s : 20]


3. Memasukkan air kehidung 3 kali dan buangkan keluar.

Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, “Jika salah seorang kalian berwuduk maka hendaklah dia memasukkan air ke dalam hidungnya kemudian mengeluarkannya. Barang siapa melakukan istijmar (iaitu beristinjak dengan batu) maka hendaklah dia lakukan dengan bilangan ganjil. Dan jika salah seorang kalian bangun dari tidur maka hendaklah dia membasuh kedua tangannya tiga kali sebelum memasukkan keduanya ke dalam bekas air, kerana sesungguhnya dia tidak tahu di mana tangannya bermalam.”

Di dalam lafaz Muslim: “Hendaklah dia memasukkan air ke dalam dua rongga hidungnya.”


Selepas masukkan air kehidung bolehlah dia buang air besar dan kecil.

4. Mengambil wuduk. 
 
Nabi SAW bersabda maksudnya : “Barang siapa yang berwuduk hendaklah dia istinsyaq (memasukkan air ke dalam hidung dengan nafasnya).” (Hadis Riwayat Al-Bukhari di dalam Al-Wuduk (154), Muslim dalam Al-Taharah (21), Al-Nasai dalam Al-Taharah (85).). 

 
5. Setelah selesai ambil wuduk solat sunat taubat 2 rekaat. 

6. Selepas itu beristighfar 100 kali. 

Allah SWT berfirman yang bermaksud, " Sesungguhnya Allah amat menyukai orang-orang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri." (Surah Al-Baqarah ayat 222)

7. Solat sunat tahajjud 2 rekaat. 

Firman Allah SWT maksudnya : “Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “solat Tahajjud” padanya, sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji”.
(Surah al-Israa’ ayat 79) 


8. Selepas solat tahajjud berdoa kepada Allah SWT .

Dari Abu Hurairah bahwasanya Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Rabb kita turun ke langit dunia pada setiap malam yaitu ketika sepertiga malam terakhir. Dia berfirman: Siapa yang berdoa kepada-Ku, maka akan Aku kabulkan, siapa yang meminta kepada-Ku, maka akan Aku berikan, dan siapa yang yang memohon ampun kepadaKu, maka akan Aku ampuni” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

80. Soalan :  Ustaz.. saya ada pertanyaan. Kalau kita sudah niat iktikaf dalam masjid masa solat Jumaat, lepas tu ada orang beri salam dengan kita, perlu kah kita jawab atau biarkan saja.. Kalau jawab, pahala Jumaat berjalan juga kah ustaz?

Jawapan :

Masuk ke dalam masjid kita tak dianjurkan memberi salam kepada jemaah di dalam masjid kerana masjid adalah tempat solat dan beribadah. Tetapi jika ada orang yang memberi salam wajib kita menjawabnya tidak membatalkan pahala solat Jumaat kita.“Jika Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam di beri salam ketika sedang solat, baginda membalas salam tersebut dengan memberi isyarat. Ini menunjukkan bahwa orang yang masuk kala itu, mengucapkan salam. Oleh kerana itu, orang yang sedang baca al-Quran diperintahkan untuk membalasnya, demikian pula dengan yang sedang duduk. Adapun orang yang sedang solat, dia juga membalasnya dengan isyarat.”

Terdapat hadis yang dikeluarkan oleh Abu Daud, no. 927 dan At-Tirmidzi, no. 368, dari hadis Abdullah bin Umar radhiallahu ‘anhuma disebutkan,


قُلْتُ لِبِلَالٍ كَيْفَ كَانَ النَّبِيُّ -صلى الله عليه وسلم- يَرُدُّ عَلَيْهِمْ حِينَ كَانُوا يُسَلِّمُونَ عَلَيْهِ وَهُوَ فِي الصَّلَاةِ؟ قَالَ: كَانَ يُشِيرُ بِيَدِهِ

Maksud : “Aku bertanya pada Bilal, ‘Bagaimanakah Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam menjawab salam sedangkan saat itu beliau sedang solat lalu disalami?’ Ia menjawab, ‘Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam membalasnya dengan berisyarat dengan tangannya."

 

No comments:

Post a Comment