Saturday, December 14, 2013

Tanyalah Ustaz Siri 23 (Syurga Anak, Aurat Wanita, Ibu bapa Menjaga Cucu, Riak dan Sombong dan Lain-lain)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sahabat yang dirahmati Allah,    
Tanyalah Ustaz Siri 23 adalah menjelaskan persoalan syurga anak di bawah tapak kaki ibu, aurat wanita, anak-anak dijaga oleh ibu bapa, riak dan sombong dan lain-lain

111. Soalan : Saya ada soalan mengenai syurga bagi seorang wanita. Semua tahu yang syurga bagi anak lelaki adalah dibawah tapak kaki ibu, yang wanita pula, sebelum berkahwin syurganya di bawah tapak kaki ibu mereka tetapi bila sudah berkahwin, syurga mereka di bawah tapak kaki suami mereka, betul? Betulkan saya jika saya salah.

Saya mempunyai situasi yang memusykilkan saya. Ada seorang individu ini, seorang wanita dan beliau sudah berkahwin, dan yang menghampakan dan memusykilkan saya, sesudah berkahwin, tingkah laku, perbuatan, perangainya terhadap ibunya sangat tidak beradab dan sangat “kurang ajar”.

Apabila saya bertanya kepadanya, mengapa beliau berbuat demikian sedangkan ibunya melayannya dengan penuh kasih sayang, ibunya menangis setiap hari dan perkara itu sangat menyentuh hati saya. Jawapan beliau terhadap soalan saya tadi ialah beliau berkata bahawa, “Syurga aku di bawah tapak kaki suami, bukan tapak kaki ibu lagi,” saya sangat kasihan akan ibunya. Adakah boleh sebegitu tindakan wanita tadi? Ataupun ada penyelesaian di sebalik permasalahan ini dan hukum bagi situasi tersebut, saya harap ustaz dapat meleraikan kekusutan saya ini.

Jawapan

Kawan saudara itu telah tersalah ilmu tentang hakikat sebenarnya. Seorang anak (lelaki atau wanita) tetap wajib menghormati ibu-bapanya, wajib berbakti kepada mereka, menjaga silaturrahim dengan mereka, mendoakan mereka dan menafkahi mereka (jika mereka miskin) sekalipun dia telah berkahwin. Hanya jika bertembung antara perintah suami dan perintah ibu-bapa, maka perintah suami wajib didahulukan kerana haknya lebih besar. Hal itu tiada kaitan dengan kewajipan-kewajipan terhadap ibu-bapa yang mesti diteruskan sekalipun telah berkahwin.


Firman Allah (bermaksud); “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa” (Surah al-Isra’ : ayat 23).

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya…” (Surah Luqman : ayat 14).

“…bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu.” (Surah Luqman : ayat 14).

“…maka janganlah engkau berkata kepada kedua ibu-bapamu (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘Ha’ dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)…” (Surah al-Isra’ : ayat 24).

“…Dan hendaklah engkau merendah diri kepada kedua ibu-bapamu kerana belas kasihan dan kasih sayangmu…” (Surah al-Isra’ : ayat 24).

“…dan doakanlah (untuk kedua ibu-bapamu, dengan berkata): Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (Surah al-Isra’ : ayat 24).

Sekalipun telah berkahwin, perintah Allah dalam ayat-ayat di atas terus berjalan dan wajib dipatuhi oleh anak sama ada lelaki atau perempuan. Tidak harus sama sekali menderhakai mereka kerana Nabi SAW bersabda; “Dosa-dosa paling besar ada empat;

1. Mensyirikkan Allah,
2. Menderhakai dua ibu-bapa,
3. Membunuh
4. Bersaksi palsu”

(Hadis Sahih Riwayat Bukhari; 2653, dari Anas r.a.).

Kesimpulannya, sekalipun telah berkahwin, seorang anak perempuan tetap wajib menghormati ibu bapanya, menghubung silaturrahim dengan mereka, merendah diri di hadapan mereka, berbaik dengan mereka dan berbakti kepada mereka mengikut kemampuannya. Tidak boleh sekali-kali bersikap biadap dengan mereka atas alasan telah berkahwin. Ayat-ayat Allah SWT tadi yang memerintahkan anak agar berbuat baik kepada ibu-bapa, berterima kasih kepada mereka, menjaga tutur kata dengan mereka dan merendah diri kepada mereka, ayat-ayat tersebut tiada siapa dapat mengubahnya termasuk suami. Sampai bila-bilapun syurga tetap di bawah tapak kaki ibu-bapa dan keredhaan Tuhan berada pada keredhaan Ibu-bapa.

Sabda Nabi SAW; “Jagalah kedua ibu-bapamu kerana Syurga di bawah kaki kedua mereka”(Hadis riwayat Imam at-Thabrani dengan sanad yang baik. Lihat; al-Muntaqa, Dr Yusuf al-Qaradhawi, hadis no. 1475).

Sabda baginda juga; “Keredhaan Tuhan berada pada keredaan Ibu-bapa dan kemurkaan Tuhan berada pada kemurkaan ibu-bapa.” (Hadis riwayat Imam at-Tirmizi dan al-Hakim dari ‘Abdullah bin ‘Amru r.a. Menurut as-Suyuti; hadis ini adalah soheh. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 4456).


112. Soalan : Apakah aurat wanita didalam rumah apabila bersendirian dan apakah aurat di hadapan  mahram dan aurat ketika solat? 

Jawapan :


Apabila wanita bersendirian di dalam rumah sebaik-baiknya wanita menutup auratnya di antara pusat dan lutut kerana malaikat rahmat ada didalam rumah seorang mukmin, walaupun wanita tidak ada halangan membuka lebih daripada itu. Bagaimana aurat wanita ketika berhadapan dengan mahramnya? 

Ulama berselisih pendapat . Pendapat pertama mengatakan perlu tutup di antara pusat dan lutut. 
Pendapat kedua mengatakan yang boleh ditunjukkan adalah anggota wuduk wanita. Dalil pendapat kedua adalah ; Seorang mahram hanya boleh melihat anggota tubuh wanita yang biasa nampak, seperti anggota-anggota tubuh yang terkena air wuduk. [Lihat Sunan al-Baihaqi (no. 9417), al-Inshaaf (VIII/20), al-Mughni (VI/554), al-Majmuu' Fataawaa Ibn Taimiyah (XVI/140) dan Ensiklopedi Fiqh Wanita (II/159)]

Diriwayatkan dari Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma, “Dahulu kaum lelaki dan wanita pada zaman Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam melakukan wuduk secara bersamaan.” [Hadis shahih. Riwayat Bukhari (no. 193), Abu Dawud (no. 79), an-Nasa'i (I/57) dan Ibnu Majah (no. 381)]

Hadis di atas difahami sebagai suatu keadaan yang terjadi khusus bagi para isteri dan mahram, di mana mahram boleh melihat anggota wuduk para wanita. [Lihat Fat-hul Baari(I/465), 'Aunul Ma'bud (I/147) dan Jaami' Ahkaamin Nisaa' (IV/195)]


Kesimpulan dari pendapat kedua adalah bahawa mahram hanya diperbolehkan untuk melihat anggota wuduk seorang wanita. Pendapat kedua lebih tepat memandangkan zaman sekarang banyak kes sumbang mahram dan ramai mahram sendiri (lelaki) akan naik nafsu apabila melihat mahramnya (wanita) sendiri yang memakai pakaian seksi. Tutuplah segala pintu fitnah jika boleh mendatangkan perkara yang dilarang oleh agama. 

Aurat wanita ketika solat adalah seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan 

Wallahu a'lam

113. Soalan : Ramai ibu-ibu yg bekerja menghantar anak mereka ke rumah ibubapa dijaga semasa mereka bekerja. Ada yg sudah berusia 60 ke atas masih dibebani tugas menjaga cucu. Ada yg terpaksa menjaga lebih ramai kerana masing-masing anak menghantar anak supaya dijaga oleh ibu mereka. Kadang-kadang kesian tengok hingga mereka susah untuk berehat. Sepatutnya umur sedemikian patut beri tumpuan pada ibadah memandangkan umur yang sudah lanjut. Apa pendapat ustaz?

Jawapan :

Tidak sepatutnya anak-anak membebankan ibu bapa mereka yang sudah berumur untuk menjaga cucu dengan tujuan nak jimatkan kos perbelanjaan kerana menghantar anak ke taska bayaran yang dikenakan agak tinggi. 

Secara tidak langsung secara saikologi anak-anak telah mendera ibu bapa mereka sendiri. Umur baki yg ada adalah untuk mereka beribadah dan berihat setelah puluhan tahun bekerja atau menjaga anak-anak mereka sendiri. Kini di saat umur yang tinggal berbaki anak-anak sewenang-wenangnya menyusahkan mereka berdua. Jika mereka terpaksa menjaga cucu mereka untuk menjaga hati anak-anak dan di dalam hatinya merunggut dan marah maka anak tetap akan mendapat dosa kerana membebankan ibu bapa mereka. Susah senang suami isteri perlu tanggung sendiri dan carilah pembantu rumah atau hantar anak-anak ke taska atau tadika. 

Pada masa ini sepatutnya anak-anak memberi kerehatan kepada ibu bapa mereka dan anak-anak perlu membantu ibu bapa mereka yg susah dan anak-anak perlu tanggung kos perubatan ibu bapa yang uzur dan telah tua.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud :" Dosa yang paling besar ialah mensyrikkan Allah , derhaka pada ibu bapa dan membunuh orang”
(Hadis riwayat Anas bin Malik)

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda yang bermaksud : “ Barangsiapa membuat ibu bapanya gembira (memberi keredan), maka sesungguhnya ia membuat reda Allah. Barangsiapa menyakitkan hati ibu bapanya, maka sesungguhnya ia membuat kebencian Allah”  (Hadis riyawat Bukhari )

Sahabat yang dimuliakan,

Anak derhaka tidak akan mencium bau syurga dan haram baginya untuk memasuki syurga Allah SWT.

114. Soalan : Apakah hukum seseorang ada perasaan riak dan sombong?. Padhal hal dia seorang pemimpin agama yang menjaga solat serta amalan yang lain. Dan apakah status amalannya?

Jawapan :


Seorang pemimpin yang berilmu agama tidak terlepas daripada sifat riak dan sombong apabila dia meletakkan dunia sebagai matlamat hidupnya dan cuba mencari pengaruh di dunia ini. Oleh itu kita perlulah menjaga akhlak dan peribadi kita supaya menjauhkan semua sifat-sifat mazmumah yang akan memakan atau memusnahkan amal soleh kita. 

Jika amal soleh sudah musnah dan habis terhapus kerana sifat buruk ini maka apakah yang hendak kita bawa nanti ketika berhadapan dengan Allah SWT di akhirat? Namun, bagi insan yang mengakui banyak kelemahan dan diri hanya tidak lebih sekadar hamba yang hina serta tidak mempunyai apa-apa, maka sudah tentu menerima kenyataan adalah perkara mudah dan menjadi amalan sepanjang kehidupan tanpa rasa takut atau bimbang.

Dalam hal ini Rasulullah SAW memerintahkan supaya umat Islam menghiasi diri dengan sifat tawaduk. Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah memberi wahyu kepadaku, supaya kamu bersifat tawaduk, sehingga tidak ada seseorang sanggup menganiaya orang lain dan menunjukkan sikap berbangga diri (sombong) kepada orang lain.” (Hadis riwayat Muslim)

Hikmah di sebalik suruhan Rasulullah SAW tadi, sifat tawaduk akan pasti melahirkan akhlak terpuji iaitu tidak akan menganiaya orang lain bahkan tersemai perasaan menyayangi saudaranya.

Tawaduk juga akan melenyapkan sikap berbangga diri, sombong dan mementingkan diri sendiri. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah kau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong takbur, lagi membangga diri.” (Surah Luqman, ayat 18)

Terdapat satu hadis menjelaskan 3 jenis amalan manusia yang tidak di terima oleh Allah SWT kerana dilakukan kerana riak dan mencari keredaan manusia bukan mencari keredaannya.

Tiga Golongan Tidak Di Terima Amal Mereka Kerana Riak Dan Di Lakukan Bukan Kerana Allah :

Daripada Abu Hurairah r.a. ,Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :"Sesungguhnya manusia yang pertama yang diadili pada hari kiamat ialah seseorang yang mati syahid.Orang itu dihadirkan di hadapan Allah ,lalu diingatkan nikmat-nikmat yang pernah diberikan kepadanya.Orang itu mengingati semua nikmat tersebut.

Allah bertanya : "Apakah yang engkau lakukan untuk mensyukuri nikmat-nikmat ini ?"

Orang itu menjawab ."Aku berjuang di jalan-Mu sehingga terbunuh."

Allah berfirman :"Engkau berdusta!!Akan tetapi engkau berjuang agar disebut sebagai pemberani."Dan sememangnya orang ramai menyebutkannya sebegitu.Orang itu lalu diseret di atas wajahnya ,kemudian dicampakkan ke dalam neraka.

Allah lalu memanggil seseorang yang belajar ilmu,mengajarkannya dan membaca al-Quran .Orang ini dihadirkan ,lalu disebutkan kepadanya semua nikmat Allah sehingga ia mengingatinya.

Allah lalu bertanya :"Apakah yang engkau lakukan untuk mensyukuri nikmat-nikmat ini ?"

Dia menjawab :"Aku mempelajari ilmu ,lalu mengajarkannya dan membaca al-Quran."

Allah berfirman:"Engkau berdusta!!Akan tetapi engkau belajar agar disebut alim ,dan membaca al-Quran agar disebut qari(hafiz)".Dan sememangnya orang ramai menyebutnya seperti itu.

Orang itu lalu diseret di atas wajahnya ,kemudian dicampakkan ke dalam neraka.

Allah lalu memanggil seseorang yang telah diberikan harta yang melimpah ruah .Orang ini dihadirkan ,lalu disebutkan kepadanya nikmat-nikmat Allah SAW sehingga ia mengingatinya .

Allah bertanya:"Apakah yang engkau lakukan untuk mensyukuri nikmat-nikmat ini?"

Dia menjawab :"Aku membelanjakannya di tempat-tempat yang engkau kehendaki."

Allah berfirman:"Engkau berdusta!!Akan tetapi engaku melakukannya agar dikenali sebagai dermawan."Dan memang orang telah menyebutnya seperti itu .

Orang itu lalu diseret di atas wajahnya dan kemudian dicampakkan ke dalam neraka."


(Hadis Riwayat Muslim)

115. Soalan : Saya pernah terdengar ucapan seorang ustaz yang mengatakan bahawa orang yang 'like' atau 'comment' gambar perempuan yang tidak menutup aurat dan seumpanya adalah berdosa kerana menggalakkan lagi perbuatan jahil perempuan itu..mohon pencerahan ustaz. Terima kasih.

Jawapan :



Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Barang siapa menyeru kepada petunjuk (Islam) maka ia akan mendapat pahala seperti pahala yang diperoleh oleh orang-orang yang mengikutinya, tidak berkurang sedikit pun.” (Hadis Riwayat Muslim).

Perlu diingat bahawa sekiranya seseorang memasuki Islam dan beriman kepada Allah SWT kerana usaha-usahanya, atau pun kita share, like, tag , komen dan sebagainya artikal yang baik jika di amalkan perkara baik itu kita akan mendapat pahala. Jika org masuk Islam kerana usaha kita (dengan izin Allah) lagi besar pahalanya maka pahala orang tersebut dan pahala keturunannya yang beriman sehingga kehari kiamat akan diperoleh oleh orang yang berdakwah tadi tanpa dikurangkan walaupun sedikit. Umpama air sungai yang mengalir tanpa henti-henti.

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Sesiapa yang melakukan satu kebaikan, dan kebaikan itu diikuti oleh orang lain maka ia dapat ganjaran terhadap apa yang dia lakukan dan ganjaran terhadap apa yang dilakukan oleh orang lain tanpa ada sebarang kekurangan. Manakala sesiapa yang melakukan keburukan dan keburukan itu diikuti oleh orang lain maka ia mendapat ganjaran terhadap apa yang dia buat dan ganjaran terhadap apa yang dilakukan oleh orang lain tanpa sebarang kekurangan. ” (Hadis Riwayat Tirmizi). 

Begitu juga jika kita like , share, komen atas berita fitnah dan gambar-gambat tak tutup aurat seolah-olah kita buat promosi perkara haram. Oleh itu hentikanlah perkara yg tidak ada menfaatnya malahan bertambah dosa kita. Wallahu alam


No comments:

Post a Comment