Saturday, December 21, 2013

Tanyalah Ustaz Siri 27 (Cari Jodoh, Syarat Sujud, Kerja Kilang Kondom, Daging Khinzir dan Solat Jumaat)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 27 adalah menjelaskan persoalan mencari jodoh, syarat-syarat sujud dalam solat, kerja di kilang kondom, kenapa daging khinzir diharamkan dan solat jumaat.

131. Soalan : Ustaz saya hendak tanye macamana  hendak cari jodoh lelaki soleh, selalunya saya dapat lelaki biasa saja.

Jawapan :

Alhamdulillah, tahniah diucapkan kepada saudari kerana mempunyai azam untuk mempersuamikan dengan suami yang soleh. Ini penting kerana suami atau lelaki itu adalah bakl pemimpin yang akan memimpin kemanakah kita, sama ada ke syurga atau ke neraka (na'uzubillah). Sebagai motivasi diri kepada Tasha, saya bawakan satu ayat yang Allah telah berfirman dalam surah an-Nur’ ayat 26 yang bermaksud “(Lazimnya)Perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki yang jahat dan lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelak-lelaki i yang baik untuk perempuan-perempuan....." dan sunnatullah ini tak akan berubah sebagai satu keadilan Allah yang Maha Adil. Semoga Ayat ini menjadi panduan kepada kita. Didoakan kepada Tasha agar dipermudahkan untuk dijodohkan dengan lelaki yang baik lagi soleh agar bahagia di dunia dan di akhirat. Amin.

Firman Allah SWT maksudnya :"Dan di antara tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmatNya, Ia menciptakan pasangan untukmu dari jenis kamu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya yang demikian itu benar terdapat tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir" (Surah ar-Rum ayat 21)

Terdapat 5 cara untuk kita perbaiki diri menjadi wanita solehah dan bertakwa. 

Umpama cermin yang kotor yang tak pernah dibersihkan. Semakin hari ia menjadi lebih kotor dan berhabuk, sehingga yang nampak hanyalah hitam dan kita tak dapat melihat diri kita untuk berhias.
Kemudian kita ambil cermin itu lalu dibersihkan dengan sabun dan air sehingga kelihatan berkilat dan mempu memantulkan cahaya. Dan kita dapat melihat keadaan diri kita dengan jelas dalam cermin itu.

Begitu juga dengan hati, ketika hati sudah hitam dan dipenuhi dengan fikiran-fikiran yang kotor sepatutnya kita bersihkan hati itu juga. Jadi, cara membersihkan hati adalah dengan bertakwa kepada Allah SWT menerusi 5 tindakan penting ini:

1.Mua'hadah.

Mengingati Perjanjian kita dengan Allah sehingga hati kita tidak hitam kerana selalu ingat janji yang sering kita ucapkan kepadaNya.

Firman Allah SWT maksudnya :

 “Dan tepatilah perjanjian dengan Allah apabila kamu berjanji….“ (Surah an-Nahl ayat 91) 

"Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman):` Bukankah Aku ini Tuhanmu? `Mereka menjawab: Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi`. (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan: `Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap ini (keesaan Tuhan)".(Surah al-A'raf ayat 172)

"Hanya Engkaulah yang kami sembah dan hanya kepada Engkaulah kami mohon pertolongan".(Surah al-Fatihah ayat 5)

2.Muroqobah. 

Merasakan kekuasaan dan kebersamaan Allah.

Muroqobah dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah adalah beramal dengan Ikhlas.

Muroqobah terhadap maksiat adalah dengan taubat, penyesalan dan meninggalkannya secara total.(jika belum menutup aurat cuba sedaya upaya untuk menutup aurat)

Muroqobah dalam perkara mubah (harus) adalah dengan menjaga adab dengan Allah dan bersyukur atas segala nikmatNya.

Muroqobah dalam musibah adalah dengan redha terhadap ketentuanNya serta memohon pertolongan- Nya dengan penuh kesabaran.

Maksud hadis Nabi SAW, “Hendaklah kamu beribadah kepada Allah seolah-olah kamu melihatNya dan jika memang kamu tidak melihatNya, maka sesungguhnya Allah melihat kamu“ - ciri-ciri Ihsan

3.Muhasabah.

Menghitung atau menilai diri sehingga setiap hari ada peningkatan iman dan takwa dan semakin jauh dari kemungkaran, seperti cermin yang setiap saat dibersihkan dan kita dapat melihat wajah kita setisp hari dengan jelas.

Firman Allah SWT maksudnya : “Hai orang beriman , bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri perhatikan apa yang telah dibuat untuk hari esok (akhirat) dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang telah kamu kerjakan“ (Surah Al Hasyr ayat 18)

Dari Saidina Umar al Faruq r.a. berkata, “Hisablah diri kalian sebelum kalian dihisab, timbanglah diri kalian sebelum kalian ditimbang pada hari yang agung (hari kiamat). Di hari itu kamu dihadapkan kepada pemeriksaan, tiada yang tersembunyi dari amal kalian walau satu pun"

Bagaimana mungkin memperbaiki diri jika tidak ada muhasabah, tanpa muhasabah tidak akan ada perubahan.

4.Mua'qobah.

Menghukum diri ketika melakukan dosa dan menghargai diri ketika buat kebaikan. Ini menjadi motivasi dalam hidup supaya terhindar dari dosa dan terus menerus menguatkan keimanan dengan kebaikan.

Apabila seorang mukmin melakukan dosa maka jangan membiarkannya. Kerana membiarkan diri dalam dosa mengundang datangnya dosa lain dan semakin susah untuk meninggalkannya.Banyakkan beristighfar setiap hari.

5.Mujahadah.

Apabila seorang mukmin terjerumus dalam kemalasan, suka berehat, cinta dunia dan tidak melaksanakan amal sunnah atau ketaatan maka ia harus memaksa dirinya melakukan amal-amal sunnah itu.

Firman Allah SWT maksudnya : “Dan orang2 yang berjihad (mencari keredhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguh-Nya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik" (Surah al-Ankabuut ayat 69)

Beramal bukan seadanya tetapi bersungguh dalam keadaan apa saja.

Dari Abu Hurairah bahwa beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah berfirman: Tidaklah seorang hamba-Ku mendekat kepada-Ku dengan sesuatu yang lebih Aku sukai selain dari amalan-amalan wajib dan seorang hambaKu sentiasa mendekat kepada-Ku dengan melakukan amalan-amalan sunat, sehingga Aku mencintainya. Apabila Aku telah mencintai-Nya, maka Akulah yang menjadi pendengarannya dan sebagai tangan yang digunakannya untuk memegang dan kaki yang dia pakai untuk berjalan dan apabila ia memohon kepada-Ku pasti Kukabulkan, dan jika berlindung kepada-Ku pasti Ku lindungi.’’


Dengan mujahadahlah, seorang muslim akan memberikan amalan yang terbaik. Dan amal terbaik akan menghasilkan hasil terbaik, fiddunia wal akhirat.

132. Soalan : Kalau sujud semasa solat tapak tangan boleh berlapik ke?
seperti berlapik dengen kain telekung sendiri.

Jawapan : 



Tidak boleh kain telekong menutupi tempat sujud dua tapak tangan juga kena letakkan di sejadah tak boleh berlapik dengan kain telekong.


Dari Ibnu Abbas ra, berkata : Nabi SAW bersabda : "Aku diperintah sujud diatas tujuh tulang dan dahi, dan baginda memberi isyarat dengan kedua tangannya ke hidung baginda, kedua tangannya, kedua lututnya dan kedua ujung kakinya, dan kami tidak menggabung pakaian dan rambut".(Hadis Riwayat Bukhari)

Syarat-syarat sujud ialah:

a. Terbuka dahi tanpa berlapik dan tidak tertutup ketika melakukannya. (hidung juga hendaklah menyentuh sejadah)

b. Sujud hendaklah berlaku di atas tujuh anggota iaitu dahi, kedua-dua tangan (tapaknya), kedua-dua lutut dan hujung jari kedua-dua kaki dengan serentak.

c. Bahagian paling bawah (punggung) hendaklah terangkat melebihi bahagian yang paling atas (kepala) sekadar yang termampu.

d. Sujud tidak dilakukan di atas pakaian yang bersambung dengannya yang bergerak dengan pergerakannya.

e. Tidak diniatkan selain daripada sujud sembahyang.

f. Dahi hendaklah ditekan ke tempat sujud dengan tekanan yang sederhana sekadar memberi kesan pada kain jika terdapat di bawahnya.

g. Tama’ninah ketika sujud dengan kadar mengucap sekali tasbih.

133. Soalan : Ada satu soalan apa hukumya kerja dikilang kondom dan apa dalilnya?

Jawapan :

Kerja dikilang kondom adalah dikira syubhat kerana kita tahu bahawa fungsi kondom adalah nak mengelakkan kehamilan untuk mereka yg berkeluarga (perancang keluarga) dan untuk pasangan yang belum berkahwin untuk elakkan kehamilan anak luar nikah. Oleh kerana fungsinya untuk perkara halal dan haram maka termasuk di dalam syubhat. 

Dalilnya : An-Nu'man bin Basyir berkata, "Saya mendengar Rasulullah SAW. bersabda, "Yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas, dan di antara keduanya terdapat hal-hal musyabbihat (syubhat / samar, tidak jelas halal-haramnya), yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia. Barangsiapa yang menjaga hal-hal musyabbihat, maka ia telah membersihkan kehormatan dan agamanya. Dan, barangsiapa yang terjerumus dalam syubhat, maka ia seperti penggembala di sekitar tanah larangan, hampir-hampir ia terjerumus ke dalamnya. Ketahuilah bahwa setiap raja mempunyai tanah larangan, dan ketahuilah sesungguhnya tanah larangan Allah adalah hal-hal yang diharamkan-Nya. Ketahuilah bahwa di dalam tubuh ada sekerat daging. Apabila daging itu baik, maka seluruh tubuh itu baik; dan apabila sekerat daging itu rusak, maka seluruh tubuh itu pun rusak. Ketahuilah, dia itu adalah hati." (Hadis Riwayat Bukhari).

134. Soalan : Ustaz saya mahu bertanya kenapa memakan babi di haramkan oleh agama Islam?

Jawapan :



Di dalam al-Quran terdapat 4 ayat yang menjelaskan daging babi (khinzir) itu haram iatu Allah SWT jelas telah MENGHARAMKANNYA BABI

1. QS. Al Baqarah (2) : 173

2. QS. Al Maa’idah (5) : 3

3. QS. Al An `Aam (6) : 145

4. QS. An Nahl (16) : 115, 

Firman Allah SWT maksudnya ,"Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan atasmu bangkai, darah, daging khinzir , dan (haiwan) yang disembelih dengan (menyebut nama) selain Allah..". 
(Surah an-Nahl (16) ayat 115)

Sebagai seorang muslim yang beriman kepada Allah, Rasul-Nya dan rukun Iman yang lain dan beriman dengan ayat-ayat Allah SWT sudah cukup kita meyakini tanpa soal bahawa apa yang diharamkan Allah SWT itu adalah hukum muktamat dan tidak boleh di pertikaikan. Pasti ada hikmah dan kebaikannya. Dahulu sahabat-sahabat Rasulullah SAW tidak mengetahui bahawa daging khinzir mengandungi cacing atau bakteria yang merbahaya sebagaimana kita tahu sekarang ini hasil kajian para saintis mereka berkata "kami dengar dan kami patuh". Mereka tak tanya pada Nabi SAW kenapa daging khinzir itu tak boleh dimakan? Semua yang di haramkan oleh Allah SWT seperti zina, arak, rasuah, riba, membuka aurat, dilarang berdua-duaan sebelum berkahwin di antara lelaki dan wanita maka semuanya ada kebaikannya jika dikaji satu persatu akan bertemu segala kebaikannya dan mengandungi hikmah yang besar.

Islam telah melarang segala jenis darah, analisis kimia dari darah babi menunjukkan adanya kandungan yang tinggi dari uric acid (asam urat), suatu adunan kimia yang berbahaya bagi kesIhatan manusia, bersifat racun. Dengan kata lain uric acid sampah dalam darah yang terbentuk akibat metabolisme tubuh yang tidak sempurna yang diakibatkan oleh kandungan purine dalam makanan. Dalam tubuh manusia, senyawa ini dikeluarkan sebagai kotoran, dan 98% dari uric acid dalam tubuh, dikeluarkan dari dalam darah oleh ginjal.

Dalam Islam dikenal peraturan khusus dalam penyembelihan haiwan, iaitu menyebut nama Allah Yang Maha Kuasa dan membuat irisan memotong urat nadi leher haiwan, tindakan membiarkan urat-urat dan organ organ lainnya utuh. Dengan cara ini menyebabkan kematian haiwan kerana kehabisan darah dari tubuh, bukannya kerana cedera pada organ asasnya, sebab jika organ-organ misalnya jantung, hati, atau otak dirosak, haiwan tersebut mati dengan segera dan darahnya akan menggumpal dalam urat-uratnya dan akhirnya mencemari daging, mengakibatkan daging haiwan akan tercemar oleh uric acid, sehingga menjadikannya beracun, dan pada masa-masa kinilah para ahli makanan telah menyadari akan perkara ini, subhanallah.


Apakah kita tahu kalau babi tidak dapat disembelih di leher? Kerana babi tidak memiliki leher? Bagi orang muslim beranggapan kalau babi memang boleh dimakan dan layak bagi makanan manusia, tentu Allah SWT akan mencipta haiwan ini dengan memiliki leher. Ilmu kedoktoran mengetahui bahawa babi sebagai rerumah dari banyak macam parasit dan penyakit berbahaya, sistem biochemistry babi mengeluarkan hanya 2% dari seluruh kandungan uric acidnya, sedangkan 98% sisanya tersimpan dalam tubuhnya.

135. Soalan : Mintak ustaz jelaskan perkara-perkara yang membolehkan lelaki tidak bersolat Jumaat dalam perspektif ugama selain dari bermusafir & berperang, mohon ustaz sertakan sekali dalil@ hadis untuk sokongan.. Terima kasih.

Jawapan :


Syarat wajib solat Jumaat :

1. Islam - tidak wajib bagi orang kafir.
2. Baligh - tidak wajib bagi kanak-kanak yang belum baligh.
3. Berakal - tidak wajib bagi orang yang gila.
4. Merdeka - tidak wajib ke atas hamba abdi.
5. Lelaki - tidak diwajibkan untuk orang perempuan.
6. Sihat - tidak wajib bagi orang yang uzur dan berhalangan.
7. Bermastautin atau bermukim - tidak wajib bagi orang yang musafir.


Seorang Muslim yang mengalami salah satu perkara di bawah ini adalah dikecualikan dari menunaikan solat Jumaat, mereka hanya perlu solat Zohor seperti biasa:

1. Sakit - Iaitu sakit yang menyukarkan untuk ke masjid atau bimbang akan memudaratan penyakitnya.
2. Hujan - Jika hujan itu membawa kesukaran untuk pergi ke masjid.
3. Musafir - Iaitu orang yang keluar sebelum subuh untuk bermusafir.
4. Takut dizalimi - Orang yang bersembunyi kerana takut di zalimi.
5. Perang - Orang yang berada di medan perang.

Tersebut di dalam Kitab Mughni al-Muhtaj: Bahawa syara’ telah menentukan syarat-syarat wajib sembahyang Jumaat itu ke atas setiap orang yang Mukallaf iaitu baligh, berakal, merdeka, lelaki, orang yang muqim, yang tidak sakit dan lain-lain lagi seperti takut, tidak mempunyai pakaian, lapar dan dahaga. Dan tidak wajib Jumaat itu bagi kanak-kanak dan orang gila sebagaimana pada sembahyang yang lain. Berkata Imam an-Nawawi di dalam kitab ar-Raudhah: “Tidak wajib Jumaat bagi orang yang pitam kerana pitam itu seperti orang gila, dan tidak wajib bagi hamba, perempuan dan orang musafir yang diharuskan, sebagaimana sabda Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam:

الجمعة حق واجب على كل مسلم الا أربعة: عبد مملوك أو امرأة أو صبى أو مريض
((رواه ابو داود وغيره)

Maksudnya: “Sembahyang Jumaat itu hak yang wajib ke atas setiap orang Islam kecuali empat: Hamba yang dimiliki atau perempuan atau kanak-kanak atau orang sakit.”

(Hadis riwayat Abu Daud dan lain-lain)

Sabda Baginda lagi:

لا جمعة على مسافر ولا على مريض
(رواه البيهقي)

Maksudnya: “Tidaklah (wajib) sembahyang Jumaat itu bagi orang yang musafir dan orang yang sakit.”
(Hadis riwayat al-Baihaqi)

Berkata Imam an-Nawawi di dalam kitab yang sama: “Dan tidak wajib sembahyang Jumaat itu ke atas mereka yang berkeuzuran yang diberikan kelonggaran (rukhshah) pada meninggalkan sembahyang berjemaah.” (Kitab Mughni al-Muhtaj:1/376)

Dan berkata Ibnu ‘Abbas bahawa: “Sembahyang Jumaat itu adalah seperti sembahyang berjemaah..”

Di antara keuzuran-keuzuran yang boleh seseorang itu meninggalkan sembahyang Jumaat ialah sibuk kerana menguruskan mayat yang ditakuti jika dilambatkan akan menyebabkan mayat menjadi busuk, dan orang yang menghidap penyakit cirit-birit dan takut akan mencemarkan kebersihan masjid. Imam ar-Rafi’e juga menyebut di dalam kitab at-Tatimmah mengenai sembahyang berjemaah bahawa orang yang dipenjara (dikurung) itu juga adalah dianggap sebagai keuzuran. (Kitab Mughni al-Muhtaj:1/376)

Berkata asy-Syirazi di dalam kitab al-Muhadzdzab: “Bahawa tidak wajib sembahyang Jumaat itu bagi orang yang takut akan berlaku suatu yang tidak baik pada dirinya atau hartanya sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

من سمع النداء فلم يجبه فلا صلاة له الا من عذر: قالوا: يا رسول الله وما العذر؟ قال: خوف أو مرض

(رواه أبو داود)

Maksudnya: “Barang siapa yang mendengar seruan azan dan dia tidak pergi kepadanya untuk bersembahyang, maka tiada sembahyang baginya kecuali orang-orang yang mempunyai keuzuran”. Mereka bertanya: “Ya Rasulullah, apakah keuzuran itu?” Baginda menjawab (bersabda): “Tepat dan sakit.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Tidak wajib sembahyang Jumaat itu bagi orang yang terkena hujan di dalam perjalanan menuju ke masjid menyebabkan pakaiannya basah dan terhalang tujuannya untuk bersembahyang, dan tidak wajib ke atas orang yang menunggu orang sakit yang tidak boleh ditinggalkan dan tidak wajib pula ke atas orang yang mempunyai keluarga (kerabat) atau menantu/ipar lelaki atau orang yang dikasihi yang hampir mati (nazak). (Al-Muhadzdzab:1/152)

Beliau (asy-Syirazi) juga menyebutkan, di antara keuzuran-keuzuran yang boleh seseorang itu meninggalkan sembahyang berjemaah ialah kerana hujan lebat, berlumpur dan angin yang kuat di waktu malam yang sangat gelap, makanan yang terhidang sedang dia merasa lapar atau menahan daripada kentut, berak dan kencing.

Daripada keuzuran berjemaah yang lain ialah orang yang takut akan berlaku sesuatu yang tidak baik (mudharat) pada dirinya atau hartanya atau dia sakit.(Al-Muhadzdzab:1/131)

Imam an-Nawawi menyebutkan, di antara yang dikatakan keuzuran itu ialah apabila dia takut daripada orang yang akan membuat zalim ke atas dirinya daripada sultan atau orang lain yang akan menzaliminya atau dia takut daripada pemiutang yang akan memenjarakannya atau dia mesti membayarnya sedangkan dia tidak berdaya. Dan termasuk takut tentang sesuatu yang mengenai harta itu ialah jika sekiranya roti sudah dibakar di dapur dan periuknya sudah di atas api sedang tidak ada orang yang menjaga di tempat itu. (Kitab al-Majmu’: 4/100)


Maka daripada penjelasan terhadap kelonggaran (rukhshah) yang diharuskan bagi meninggalkan sembahyang Jumaat itu, pegawai-pegawai yang ditugaskan bekerja pada waktu sembahyang Jumaat dan kerja tersebut tidak boleh ditinggalkan, kerana tidak ada orang lain yang akan mengendalikannya, adalah keadaan tersebut termasuk dalam keuzuran yang diharuskan syara’, sebagaimana juga orang yang menunggu orang sakit yang tidak boleh ditinggalkan, atau kerja tersebut tidak boleh ditinggalkan kerana mentaati ketua. Di dalam Islam mentaati ketua itu adalah wajib pada perkara yang bukan maksiat dan bukan menderhaka kepada Allah dan RasulNya.

 Hal ini telah dijelaskan dalam firman Allah Ta’ala:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ أَطِيعُواْ اللّهَ وَأَطِيعُواْ الرَّسُولَ وَأُوْلِي الأَمْرِ مِنكُمْ..(59)
(سورة النسأ:59)

Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada uli al-amri (orang-orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu.”
(Surah an-Nisa’ ayat 59)

Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam juga menjelaskan di dalam hadis daripada Ibnu ‘Umar, Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:

على المرء المسلم السمع والطاعة, فيما أحب وكره, الا أن يؤمر بمعصية, فان أمر بمعصية فلا سمع ولا طاعة
(رواه مسلم)

Maksudnya: “Bagi seorang Muslim itu adalah wajib mendengar dan taat kepada orang yang berkuasa, sama ada dia menyukai atau sebaliknya, kecuali dia diperintahkan melakukan perkara maksiat. Jika dia disuruh melakukan perkara maksiat, maka tidak wajib mendengar dan mentaati (perkara itu).” (Hadis riwayat Muslim)

Hendaklah diingat, bahawa pegawai yang ditugaskan itu janganlah dia bercita-cita atau mengharapkan supaya bertugas pada waktu sembahyang Jumaat agar dia terlepas daripada pergi menunaikan sembahyang Jumaat. Demikian juga menjadi kewajipan ketua untuk memerhatikan dan mencari jalan dengan bijaksana bagi mengaturkan jadual pekerjaan untuk pegawai-pegawai dan kakitangannya yang bertugas pada hari Jumaat sehingga tidaklah terhalang orang-orang yang wajib Jumaat untuk menunaikannya. Umpamanya dengan cara yang bijaksana, jika mungkin, kita mengaturkan orang-orang yang tidak wajib jumaat seperti pegawai-pegawai dan kakitangan yang bukan beragama Islam untuk menjalankan tugas-tugas itu pada hari jumaat, ataupun memadai pegawai-pegawai dan kakitangan yang beragama Islam itu hadir ke masjid dan selepas itu mereka akan mengambil alih semula tugas-tugas daripada pegawai-pegawai perempuan atau mereka yang bukan beragama Islam tadi.

Sekiranya tidak tedapat orang-orang yang bertugas itu mereka yang tidak wajib Jumaat, yakni semuanya wajib Jumaat belaka, maka hendaklah dipastikan serta dielakkan supaya pegawai-pegawai yang berkenaan itu, jangan sampai ada yang tidak menunaikan sembahyang Jumaat secara berterusan atau berturut-turut, dalam makna, mereka hendaklah digilir-gilir, umpamanya: Jumaat ini si A yang bertugas sementara si B menunaikan Jumaat. Untuk Jumaat yang lain, si A pula menunaikan sembahyang Jumaat sementara si B bertugas. Begitulah seterusnya.

Perlu diingat, bahawa amaran kerana meninggalkan fardu Jumaat secara berturut-turut tanpa uzur itu adalah sangat keras dan berat.

Banyak hadis Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang memberi amaran sekeras-kerasnya kepada orang yang meninggalkan sembahyang Jumaat tanpa keuzuran kerana perbuatan tersebut adalah tanda bagi orang-orang munafiq dan menjadi sebab turunnya kebinasaan di dunia dan di akhirat.

Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:

من ترك الجمعة ثلاثا من غير غذر فقد تبد الاسلام وراء ظهره
(رواه البيهقي)

Maksudnya: “Barangsiapa yang meninggalkan sembahyang Jumaat tiga kali dengan tiada keuzuran maka dia telah meletakkan Islam itu di belakangnya (meninggalkannya).”
(Hadis riwayat al-Baihaqi)

Di dalam hadis yang lain pula Baginda bersabda:

من ترك الجمعة من ترك الجمعة ثلاثا من غير عذر فهو منافق

(رواه ابن حبان)

Maksudnya: “Barangsiapa yang meninggalkan sembahyang Jumaat tiga kali dengan tiada keuzuran maka dia adalah seorang munafiq.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban)

Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda kepada satu kaum, yang tidak bersembahyang Jumaat:

أن النبى صلى الله عليه وسلم قال لقوم يتخلفون عن الجمعة لقد هممت أن آمر رجلا يصلى بالناس, ثم أحرق على رجال يتخلفون عن الجمعة بيوتهم
(رواه مسلم)

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda kepada satu kaum yang meninggalkan sembahyang Jumaat: “Aku menitikberatkan (memerintahkan) supaya lelaki itu bersembahyang dengan beramai-ramai (berjemaah), kemudian aku berazam membakar rumah-rumah mereka (lelaki) yang meninggalkan sembahyang Jumaat.” (Hadis riwayat Muslim)
Wallahu a'lam.

(Sumber di ambil daripada Fatwa Jabatan Mufti Brunei Darussalam.)


1 comment: