Tuesday, December 24, 2013

Tanyalah Ustaz Siri 31 (Sihir dan Gangguan Jin, Qada dan Qadar, Hati Tak Boleh di Paksa, Hukum Memotong Kuku Dan Bersolat Tetapi Masih Melakukan Perbuatan Keji dan Mungkar.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 31 adalah menjelaskan persoalan sihir dan gangguan jin, qada dan qadar, hati tak boleh di paksa, hukum memotong kuku dan bersolat tetapi masih melakukan perbuatan keji dan mungkar.

151. Soalan : Bagaimana kita hendak tahu bahawa terdapat sihir atau gangguan jin di dalam diri kita. Adakah ada ayat-ayat al-Quran yang boleh kita baca untuk mendapat tahu terdapat sihir dan gangguan jin?

Jawapan :


Ada beberapa cara kita boleh menguji adalah diri kita mempunyai saka / sihir / gaangguan jin iaitu : Cara-caranya adalah seperti berikut :

Membaca ayat-ayat dibawah ditapak tanganmu :

1. Baca surah Ibrahim ayat 42-52 

2. Baca surah al-Mukminun ayat 98-118

3. Baca surah al-Falaq ayat 1-5.

4. Baca surah an-Nas ayat 1-6


Ketika membaca ayat-ayat di atas , letakkan mulut kita di telapak tangan kanan, sehingga nafas kita atau sebahgian dari ludah mengenainya. Kemudian hulurkan tapak tangan kanan kita itu di depan mata (niat di hati mohon pada Allah SWT untuk mengetahui adakah pada diri kita ada SAKA), dan . Kalau kita tak dapat melihatnya atau mata menjadi silau atau nanar, atau kita melihat tapak tangan kita sendiri berwarna sangat merah atau hitam, atau melihat banyak salib di telapak tangan, atau tiba-tiba kepala kita terasa sangat pening, atau menunjukkan suatu gejala yang muncul secara tiba-tiba, maka tidak diragukan, bahawa kita memiliki saka , terkena sihir atau kesurupan atau kesemua sekali. Wallahu a'lam

152. Soalan : Ustaz..,benarkah seseorang yang melakukan kejahatan seperti mencuri,merogol dan sebagainya,telah ditakdir oleh Allah SWT sebagai qada dan qadar-Nya...mohon jelasan ustaz.

Jawapan : 



Di zaman Umar Al-Khattab ra, seorang lelaki telah ditangkap kerana mencuri dan beliau telah dibawa menghadap khalifah Umar al-Khattab. Lelaki itu telah disoal: “Mengapa kamu mencuri?” Lelaki itu menjawab: “Kerana Allah telah mentakdirkan ini ke atas diri saya.” Khalifah Umar r.a amat marah dengan lelaki ini lantas beliau terus berkata: “Pukul lelaki ini dengan tiga puluh sebatan selepas itu potong tangannya.” Lelaki ini terkejut dengan hukuman itu dan terus bertanya: “Mengapa hukumannya begitu berat?” Berkata Umar al-Khattab r.a: “Kamu akan dipotong tangan kerana mencuri dan disebat kerana berdusta atas nama Allah.” 

Maksudnya, manusia diizinkan Allah untuk membuat pilihan dan hal ini adalah sebahagian daripada ketetapan Qada dan Qadar. Khalifah Umar menyatakan lelaki tersebut berdusta atas nama Allah SWT kerana dia telah di suruh untuk membuat pilihan yang baik dan yang jahat tetapi dia pilih yang jahat. Maka perlu salahkan diri sendiri dan tak boleh menyalahkan Qada dan Qadar Allah SWT. 

Allah SWT menutus para Rasul untuk membawa ilmu yang hak, menunjukkan jalan-jalan yang benar, lurus, kehidupan yang baik untuk menyelamatkan manusia daripada kebinasaan, kerosakkan, kehancuran, kebatilan dan kekufuran. Manusia dikurniakan akal fikiran yang waras dan boleh membuat pilihan mana satu yg hak dan mana satu yang batil. Para Rasul juga memberi pilihan kepada manusia samaada untuk masuk syurga atau neraka. Jika manusia pilih syurga maka mereka akan beramal soleh beramal ibadah dan mentaati Allah SWT dan Rasul-Nya. Jika manusia pilih neraka maka dia akan buat kerosakkan dimuka bumi seperti mencuri, merogol, berzina, minum arak, main judi, membunuh. Manusia akan mendapat balasannya di dunia (dihukum hudud dan qisas) jika disahkan bersalah dan diakhirat mereka akan disumbat kedalam neraka. 

Tepuk dada tanya iman. Firman Allah SWT maksudnya : "..dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya), maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya. Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya." (Surah Asy-Syam ayat 8-10)

Firman Allah SWT maksudnya : " tetapi Allah menjadikan kamu 'cinta' kepada keimanan dan menjadikan keimanan itu indah di dalam hatimu serta menjadikan kamu benci kepada kekafiran, kefasikan, dan kederhakaan. Mereka itulah orang-orang yang mengikuti jalan yang lurus, (Surah AL Hujurat ayat 7)


Firman Allah SWT maksudnya : "Telah sempurnalah kalimat Tuhanmu (Al-Quran) sebagai kalimat yang benar dan adil. Tidak ada yang dapat merobah robah kalimat-kalimat-Nya dan Dia lah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang yang di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti persangkaan belaka, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah). Sesungguhnya Tuhanmu, Dia-lah yang lebih mengetahui tentang orang yang tersesat dari jalan-Nya dan Dia lebih mengetahui tentang orang orang yang mendapat petunjuk. (Surah AL An'aam ayat 115-117). 

Jelaslah daripada ayat-ayat di atas manusia boleh membuat pilihan untuk dirinya sendiri, jika dia pilih yang baik maka Allah akan kurniakan yang baik jika dia pilih yang buruk Allah SWT juga izinkan di buat yang buruk maka dia perlu terima akibat keburukan yg dipilihnya, di akhitat dia tak boleh salahkan Allah kerana kesilapannya membuat pilihan . Semua yang masuk neraka menyesal kerana dulu mereka tak ikut para Rasul dan tak ada seorang pun yang menyalahkan Allah SWT di atas dosa-dosa yang telah mereka lakukan. Wallahu a'lam.

153. Soalan : Saya ingin bertanya ..pada ustaz ..apakah hukumnya sekiranya ada seseorang yang menaruh hati dan sayang akan diri kita ..sedangkan hati kita masih belum menerima untuk di sayangi dan di kasihi....Apakah dosa ataupun salah di segi hukum sekira nya hati kita tidak dapat menerima hajat dan permintaannya? Sekian terima kasih.

Jawapan :

 Tidak berdosa jika kita menolak hajat seseorang yang ingin menjadikan kita sebagai pemimpin atau sebagai suaminya. Masaalah hati bukan boleh dipaksa kerana perkahwinan perlu kepada kasih sayang di hati dan merasa berbahagia apabila dapat hidup bersama. Nabi SAW sendiri pernah ditawarkan diri oleh seorang wanita tetapi baginda diam sahaja (tak berkenan) dan ada sahabat bersama dengan baginda dan meminta jika baginda tak mahu dia mahukan wanita itu. Maka baginda izinkan beliau melawar wanita tersebut untuk menjadikan isterinya.

154. Soalan : Saya nak tanya adakah terdapat hadis sahih tentang kelebihan potong kuku mengikut hari. Mohon penjelasan?

Jawapan :



Ustaz Abdullah Zuqail menyebut beberapa perkara yang tidak ada dalil tentang memotong kuku, antaranya :

- Mengkhususkan hari Jumaat untuk memotong kuku.
- Makhruh memotong kuku pada malam hari.
- Orang yang sedang berpuasa tidak boleh memotong kuku.
- Larangan orang yang sedang haid dan janabah dari memotong kuku.
- Memotong kuku dengan cara-cara tertentu.

Berkata Ibn Daqiq al-’Ied : “Apa yang tersebar tentang memotong kuku dalam cara-cara tertentu, tidak ada asal baginya di dalam syariat. Adapun memulakannya dengan tangan kanan kemudian tangan kiri, maka ianya termasuk di dalam keumuman sabda Nabi SAW. …”


Dr. Abdul Wahab pula berkata : “Memotong kuku HARUS pada bila-bila masa dan tidak mengapa.” 

Tidak ada hadis sahih yang menceritakan mengenai kelebihan dan kesialan memotong kuku pada malam-malan tertentu. Kenyataan diatas itu tidak boleh ditsabitkan dengan Nabi SAW. Begitu juga terdapat hadis yang bertaraf Dhaif Jiddan yang mengarahkan agar kuku-kuku tersebut ditanam.

Memotong kuku ini termasuk didalam sunan al-fitrah, atau pun perkara biasa yang mesti dilakukan oleh seseorang muslim. Anas meriwayatkan bahawa :

وُقِّتَ لَنَا فِي قَصِّ الشَّارِبِ وَتَقْلِيمِ الأَظْفَارِ وَنَتْفِ الإِبِطِ وَحَلْقِ الْعَانَةِ أَنْ لَا نَتْرُكَ أَكْثَرَ مِنْ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً
"Dia (Nabi SAW) telah memberikan waktu kepada kami agar 'trim' misai kami, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan mencukur bulu kemaluan; kita tidak dibenarkan meninggalkannya lebih dari 40 hari" [Hadis Riwayat Muslim no. 258].

Hadis sahih ini menjelaskan tempoh makima seseorang untuk memotong kuku adalah tidak lebih dari 40 hari.

Secara khususnya, memang tidak ada hadis khas berkenaan dengan memotong kuku pada hari Jumaat. Secara umumnya, amalan memotong kuku ini termasuklah amalan membersihkan diri bagi persediaan solat Jumaat. Umat Islam dituntut agar membersihkan diri pada hari Jumaat sebelum menunaikan solat Jumaat. Sabda Nabi SAW :-

من غسل يوم الجمعة واغتسل وبكَّر وابتكر ومشى ولم يركب ، ودنا من الإمام فاستمع ولم يَلْغُ ، كان له بكل خطوة عمل سنة أجر صيامها وقيامها

Maksudnya : "Barangsispa yang membuat isterinya mandi dan dia pun mandi (kerana bersetubuh) pada hari Jumaat dan keluar rumah awal, berjalan kaki dan bukan menunggang, dan berada dekat dengan Imam dan mendengar (khutbah) tanpa gangguan, akan mendapat setiap langkah dia ambil menyerupai berpuasa dan bersolat malam bagi satu tahun" (Hadis Riwayat Tirmidzi).

Al-Hafiz Ibn Hajar rh menyatakan "Bahawa apa yang kami paparkan semuanya menandakan bahawa dikifaratkan dosa dari satu Jumaat ke Jumaat yang akan datang adalah tertaluk kepada kedaan seperti Mandi, membersih diri seseorang, memakai minyak wangi, memakai baju yang terbaik, berjalan secara tenang dan terhormat, tidak melangkah orang lain, tidak menolak diantara 2 orang, tidak menyakitkan hati orang lain, bersolat sunat, tekun mendengar (khutbah) dan mengelak dari cakap-cakap kosong"


Demikianlah kalau dilihat memotong kuku pada hari Jumaat didalam konteks pembersihan diri yang menjadi amalan orang Islam sebelum menghadirkan diri ke solat Jumaat. Wallahu a'lam

155. Soalan : Saya hendak tanya.. apakah hukum seseorang itu solat lima waktu,tetapi dalam masa yang sama apabila dia keluar dengan teman wanita dia pegang-pegang tangan dan naik motor bersama ? Adakah solat lima waktunya akan dterima..? atau pahala solatnya akan berkurang? Mohona penjelasan ustaz..

Jawapan :


Allah berfirman dalam surah al-Ankabut ayat 45 yang maksudnya : " dan kerjakanlah sembahyang, sesungguhnya sembahyang itu melarang(mencegah) segala yang keji dan yang mungkar " 

Berdasarkan dengan ayat di atas, bila seseorang telah sembahyang mengikut peraturan yang sebenarnya, mengingati kemuliaan dan kebesaran Allah, maka dengan sendirinya hilanglah sifat kemungkaran atau kekejian dan diganti pula dengan sifat kemuliaan, takut, dan berakhlak mulia. Jika seseorang itu masih berkekalan dengan kemungkaran, ini bermakna orang tersebut perlu semak semula kulaiti sembahyangnya adakah ia diterima atau adakah ia sempurna?

Walau bagaiamana pun, seseorang yang telah melakukan kesalahan walaupun dia telah mendirikan sembahyang dengan sempurna, namun sebagai manusia biasa yang tidak dapat lari melakukan kesalahan tetap terus perlu berusaha mendirikan sembahyang dengan sempurna kerana menurut satu hadis dari Jabir r. a berkata: rasulullah SAW telah bersabda : " Umpama sembahyang yang lima waktu, umpama sungai yang mengalir di pintu salah seorang dari mu, ia mandi daripadnya lima akali setiap hari : ( Hadis Riwayat oleh Muslim). Ini bermakna dengan solat lima waktu dengan sempurna ia mampu untuk mensucikan diri dari kekotoran jiwa dan dosa-dosa yang dilakukan.


Segera bertaubat untuk memotong mata rantai dosa dan mengiringi perbuatan dosa dengan kebaikan yang akan menghapuskan dosa.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Seandainya kamu melakukan perbuatan dosa sehingga dosa –dosamu mencapai setinggi langit, kemudian kamu bertaubat nescaya Allah akan mengampuninya (menerima taubatmu)”. (Hadis Riwayat Baihaqi)

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersanda maksudnya : “Seorang yang bertaubat dari suatu dosa seakan-akan tidak pernah memiliki dosa.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah).

Sabda Nabi SAW maksudnya : “Apabila kamu berbuat dosa, maka lakukanlah kebaikan (untuk menghapuskannya.” (Hadis Riwayat Baihaqi). 

Yakinlah janji Allah SWT bahawa Dia akan memberi bantuan para hamba-Nya yang melakukan solat kerana Allah SWT dan kekuatan untuk meninggalkan maksiat. Solat yang dikerjakan dengan khusyuk akan mendorong pelakunya untuk taat kepada Allah SWT dan akan menjauhkan diri daripada melakukan perbuatan yang keji dan mungkar.

No comments:

Post a Comment