Thursday, December 5, 2013

Tanyalah Ustaz Siri 15 (Sifat Mazmumah, Suami Tidak Jalankan Tanggung jawab, Hadis Dhaif dan Palsu, Anak Angkat Dan Aurat Wanita)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sahabat yang dirahmati Allah,    
Tanyalah Ustaz Siri 15 adalah menjelaskan persoalan cara membuang sifat mazmumah, suami tak jalankan tanggungjawab, hadis dhaif dan palsu, anak angkat dan aurat wanita.

71. Soalan : Ustaz, saya nak tanya bagaimana nak kikis sikap mazmumah dalam diri dan mendekatkan diri dengan sikap mahmudah?

Jawapan .

Bermula dengan perbetulkan niat hidup ini untuk memperolehi redha Allah, langkah seterusnya ialah meninggalkan jauh-jauh atau mengosongkan diri dengan sifat-sifat terkeji dan mengisikan semula dengan sifat-sifat mahmudah. Ia tidaklah mudah dan seringkas seperti kata-kata di atas tetapi beberapa proses yang agak panjang dan juga perlunya kekuatan diri adalah beberapa asas yang perlu ada pada diri kita. Proses-proses yang [perlu dilalui antaranya adalah Mu’ahadah, Muhasabah, Mu’aqobah, Muraqobah, dan Mujahadah. Dengan izin Allah, selepas ini akan diberikan sedikit ringkasan mengenai proses-proses di atas.

 Mu'adah itu adalah ikrar akan taat setia kepada tuhan yang dilafazkan oleh seseorang sekurang-kurangnya 5 kali dalam doa iffitah dan 17 dalam surah al-fatihah, Ikrar ini membawa seseorang mukmin sentiasa ingat akan perintah dan perkara-perkara yang dituntut untuk diamalkaan dan menjauhi perkara-perkara yang ditegah kerana Alllah sesekali tidak kan redha dengan kemungkaran yang dilakukan.

 Muroqobah itu adalah `merasakan Allah sentiasa berserta atau sangat hampir dengan kita' . Ini akan menyebabkan kita merasa bahawa Allah ssetiap masa memerhati gerak geri kita dan mengetahui akan segala apa yang terkandung dalam hati kita. Ini akan menerbitkan rasa taqwaq didalam diri dengan takut atau malu untuk melakukan perkara mazmumah sebaliknya selalu melakukan perkara yang mahmudah yang tentu Allah menyukainya.

 Muhasabah pula ialah menghitung atau menghisab atau menilai setiap perkara yang dilakukan sama ada adakah dia perkara yang mezmumah atau mahmudah. Kerajinan kita dalam menilai setiap perbuatan yang kita lakukan akan sendrinya mendorong untuk kita menyesali perkara yang buruk(mazmumah) dan menginginkan perkara yang baik (mahmudah)

72. Soalan : Apakah hukumnya suami tidak boleh menerima sebarang kekurangan pada isteri dan berkehendakkan kesempurnaan. dan sentiasa cari salah isteri.?

Yang paling menyedihkan, suami tidak pernah mahu mengimamkan solat jemaah bersama isteri dan anak-anak. Alasannya : tidak tahu, tidak pandai. Walaupun beberapa kali diminta untuk menjadi imam solat bersama keluarga.  Namun si isteri tetap dapat bersabar dan bertahan dengan doa dan munajat. Apakah isteri dan anak-anak akan menanggung segala dosa yang dilakukan oleh suami, ustaz?

Jawapan.

Suami sebagai ketua keluarga wajib mendidik isteri dan anak-anak ke jalan yang diredhai oleh Allah SWT. Suami juga sepatutnya memberikan kasih sayang kepada ahli keluarganya bukan membenci ahli keluarganya sendiri. Suami akan berdosa jika mengabaikan tanggungjawab kepada isteri dan anak-anaknya. Isteri dan anak-anak tidak menanggung dosa suami yang melakukan maksiat cuma isteri boleh memberikan nasihat dengan baik kepada suami,  jika beliau enggan menerimanya maka serahkan kepada Allah SWT.

Jika isteri solehah bertemu jodoh dengan suami yang tidak soleh maka banyakkan bersabar ini adalah dugaan mungkin ada hikmahnya tanpa disedari. 

73. Soalan : Terdapat banyak hadis dhaif dan palsu telah di sampaikan dalam masyarakat  kita.. Sedangkan berdusta dengan Nama Allah dan Rasul itu kesalahan besar. Jadi macamana mana tu ustaz kita nak atasi perkara ini?

Jawapan :

Jika sesuatu hadis itu sudah dikenal pasti palsu (mauduk) maka perlulah ditinggalkan dan tidak dishare lagi di mana-mana ruang dlm fb atau blog. Tetapi sebaik-baiknya kita mempunyai huraian dan kupasan daripada ulama hadis kenapa sesuatu hadis itu palsu sebab musababnya. Jika boleh huraian tersebut kita simpan sebagai rujukan apabila perlu dan ada orang bertanya. Kita juga tidak mahu cepat menerima sesuatu dakwaan tanpa bukti . Hadis dhaif pula bukan semua tak boleh diterima kerana di situ ada pendapat ulama yg berbeza. Ulama A kata dhaif sedangkan ulama B kata sahih / hasan. Perlu kita berhati-hati di dalam menerima atau menolak sesuatu hadis. Wallahu a'lam

74. Soalan : Ustaz saya mempunyai dua anak angkat.. Keduanya saya susukan dengan bantuan makan ubat. Yang sulung sampai 2 tahun adiknya hanya sebulan sahaja. Adakah dikira cukup untuk jadikan ibu susuan bagi mereka. Boleh ustaz huraikan lebih jelas.?

Jawapan :



 Syarat yang berkaitan dengan susu adalah seperti berikut:

a. Susu kekal dalam sifatnya yang asal sama ada mengalir atau sebagainya kerana dengannya akan memastikan tumbesaran tubuh dan penguatan tulang.

b. Sampai susu ke sistem penghadamannya melalui tekak atau saluran hidung.

c. Penyusuan mencecah lima kali kekenyangan bayi. Setiap kali kekenyangan dikenal pasti melalui perbuatan bayi itu sendiri yang meninggalkan susuan secara sukarela dan mengambil tempoh yang lama sebelum menyusu untuk kali yang seterusnya. Sekiranya bayi berhenti menyusu disebabkan oleh gangguan di sekelilingnya, ia tidak dikira sebagai susuan yang mengenyangkan. Susuan yang mengenyangkan tetap dikira sekiranya bayi meninggalkan susuan untuk sementara waktu seperti ingin mengambil nafas, bertukar posisi daripada payudara kanan ke kiri, bersin dan sebagainya.
Islam telah menetapkan jumlah susuan dan jumlah hisapan tertentu yang menyebabkan jadi mahram. Ia sebanyak lima kali susuan atau hisapan yang mengenyangkan. Jumlah penyusuan dan hisapan yang kurang daripada itu tidak diharamkan. Sebagaimana dijelaskan dalam hadis daripada Aisyah, Nabi SAW bersabda: "Sekali hisapan (susuan) dan dua kali hisapan itu tidak menjadi mahram." 

Konsep susuan yang tidak menepati syarat yang telah ditetapkan oleh syarak tidak mengharamkan. Dalam hadis ini menerangkan dimana sekali susuan itu, iaitu apabila bayi menyusu kemudian dia melepaskan hisapan dengan kehendak dia sendiri ini dikira sekali susuan.
Apabila semua syarat ini dipenuhi, maka terhasillah hubungan pertalian antara bayi dan wanita yang menyusukannya. Perkara ini disandarkan kepada kaedah fiqh:
Maksudnya: "Diharamkan (perkahwinan) disebabkan oleh penyusuan (sepertimana) apa yang diharamkan disebabkan oleh keturunan."
tahniah di atas keperihatinan puan. semoga puan dan anak-anak akan diberkati. Syarat untuk menjadi anak susuan ialah apabila anak itu seketika lahirnya hinggalah 2 tahun (24 bulan qamariah) dapat di susukan oleh ibu susuan dengan sekurang-kurangnya 5 kali susuan yang mengenyangkan . Susu yang diminum oleh anak itu perlu masuk terus ke perutnya. Dibenarkan kepada wanita yang tidak melahirkan anak lalu dia mengambil anak angkat dan menyusukan sendiri anak tersebut dengan bantuan ubatan2 yang dibolehkan.

Ia menjadi mahram sebagaimana statusnya sebagai anak kandung tetapi tidak pula dapat mewarisi harta secara faraid.

Anak-anak angkat puan perlu diberitahu mengenai status mereka. Soalnya bilakah waktu yang sesuai?. Untuk makluman puan umur anak-anak 1-6 tahun, adalah waktu dimana mereka perlukan kasih sayang dan perihatian. Pada waktu ini mereka perlukan kasih sayang ibu dah ayah tanpa krompomi. Pada Umur 7 hingga 12 tahun, mereka mula bergaul dengan rakan-rakan dan mula melihat dan menilai. Manakala peringkat remaja mereka setelah mereka akil baligh seawal 9 tahun, mereka akan menempuh era baru dalam kehidupan remaja menuju awal dewasa mereka. Mengikut perkembangan psikososial mereka secara ringkas, pada pandangan puan, manakah masa yang sesuai untuk mereka mengetahui status mereka?. Jika puan boleh menentukan masanya, kelak kita bincang stretagi dan cara memberitahu kepada mereka supaya mereka benar-benar bersedia dan tidak menganggu kehidupan mereka.

75. Soalan :  Saya ada sedikit pertanyaan, jika seorang wanita bertandang ke rumah mertuanya yang tinggal bersama adik ipar (bukan mahram) , bagaimana auratnya ? Perlukah ditutup lengkap sepeti biasa atau ada kelonggaran?

Jawapan :



Adik ipar bukan mahram dan wanita kena tutup aurat dan tidak boleh bersalaman dengan mereka. Jika di rumah diberi kelonggaran sedikit tak payah pakai stokin kerana kesukaran untuk memasuki tandas (mengikut mazhab Syafie jari-jari kaki dan tapak kaki adalah aurat) .Menurut Mazhab Hanafi, menurut riwayat al-Hasan daripada Abu Hanifah, tapak kaki (dalam bahasa Arab, perkataan al-qadam bermaksud tapak kaki merangkumi bahagian atas, iaitu kura-kura kaki dan bawah) bukan aurat. Maka harus mendedahkannya serta harus bagi lelaki ajnabi melihatnya.

 Hujjahnya ialah apa yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a. bahawa beliau mentafsirkan ayat (dan janganlah wanita mukminah mendedahkan perhiasannya kecuali apa yang zahir daripadanya), maksud “apa yang zahir” yang disebut di dalam ayat itu ialah “al-qulbu wal-fatakhah”, iaitu cincin yang dipakai dijari kaki. Maka ini menunjukkan bahawa harus mendedahkannya kerana Allah Ta’ala melarang wanita mendedahkan perhiasan, dan Dia mengecualikan apa yang zahir. Dari segi lojiknya kita lihat, tapak kaki memang terdedah ketika berjalan. Maka ia termasuk dalam anggota yang dikecualikan daripada kewajipan menutupnya.

Sebaliknya, tapak kaki tidak ada keperluan untuk membukanya. Maka ia wajib ditutup. jika ada keperluan maka boleh dibuka. Bahagian lain kena tutup seperti biasa. Wallahua'lam

 Ulama mempunyai pandangan dan tafsiran berbeza namun mereka adalah mujtahid yang datang dengan dalil sah dalam hal ini.

Tidak perlu menyatakan satu pandangan lebih muktamad, benar atau lebih baik atau lebih tepat daripada yang lain. Ini kerana sikap merasa paling benar sendiri bukan ciri ulama.

Semua bukan ciri dari seorang yang berilmu, sebaliknya menandakan kurangnya fahaman seseorang. Di sinilah terletak perbezaan asasi antara ulama dengan orang awam yang sedikit ilmu.

Seorang yang banyak ilmunya memiliki sekian banyak wawasan dan mudah menerima dan memaklumi perbezaan pendapat daripada orang lain.

Sebaliknya, seorang yang kerdil ilmu mudah melemparkan tuduhan. Seolah-olah di dunia ini hanya dirinya yang benar, sedangkan orang lain salah.

Berikut saya perturunkan pandangan ulama yang berbeza dalam hal ini.

Mazhab Hanafi mengatakan kaki wanita tidak termasuk dalam lingkungan aurat.

Mazhab Maliki dalam pendapat muktamad mengatakan kaki bukan aurat.

Mazhab Syafi’e pula mengatakan ia sebagai aurat.

Mazhab Hambali pula menghukumkan kaki wanita sebagai aurat.

Ia boleh merujuk kepada kitab Feq ala Mazahib Arbaah juz 1 muka surat 584 dan Al-Mufassal Dr Abb Karim Zaidan ada disebutkan satu bab khas mengenai kaki dengan tajuknya, “Adakah kaki wanita dikira sebagai aurat?” (Rujuk Al-Mufassal fi Ahkam al-Mar ah wa albait al-Muslim fi al-Syari’ati al-Islamiah, Jilid 3, masalah 2282, ms 198)

Tidak ada nas yg direct atau langsung dalam masalah ini melainkan sepotong ayat umum dari Surah an-Nuur ayat 31 , "...dan janganlah mereka (perempuan Islam) menzahirkan perhiasannya kecuali yg biasa nampak dari padanya..." 

Secebis ayat umum ini telah melahirkan pelbagai pendapat fiqih mengenai apakah yg boleh dizahirkan oleh perempuan kepada umum bila mereka keluar dari rumah-rumah mereka. Kami simpulkan: 

a. Fiqh Hanafi menetapkan dua kaki wanita bukanlah aurat kerana ia termasuk apa yg biasa nampak darinya kerana keperluan wanita melakukan pekerjaan hariannya. (alKasani, alBada'iy alSana'iy: Kitab alIstihsan, Jld 5) 

b. Fiqh Syafi'iyah, ada dua pendapat: 

1. Imam Muhyidin anNawawi (Syarah alMuhadzab,:3/173) kaki wanita adalah aurat.

2. Imam alMuzani pula berpendapat kaki bukan aurat. 

c. Imam atsTsauri juga berpendapat kaki bukan aurat (Syarah alMuhadzab, op cit, ms 173) 

d. Fiqh Maliki menetapkan kaki adalah aurat ( alMudawwanah: 1/109; Syarah alKabeer: 1/215) 

e. Fiqh alHanbaliah juga menetapkan kaki adalah aurat (alMughny: 1/601) 

Fiqh Tahqeeq (Fiqh Analitis)

Bila ada banyak pendapat, maka kita beralih pada Fiqh Tahqeeq (Fiqh Analitis): 

a. Imam asySyawkani (Nailool Awthor: 2/144) dan Tafsirnya, Fathul Qadeer: Tafsir surah anNuur) memilih pendapat bahawa kaki bukanlah aurat kerana memberi kemudahan kepada wanita. 

b. Allamah Siddiq Hasan Khan (Nailool Maram: Tafsir surat anNuur ayat 31) memilih pendapat kaki bukan aurat.

c. Syaikhul Islam a Imam Salafiya Taqiyuddin Ahmed Ibn Taymiyah alharani (Majmu' Fatawa, cetakan Riyadh, Jld 22/114-115) juga memilih pendapat kaki bukanlah aurat kerana ia merupakan kesulitan bagi wanita baik dalam solat dan di luar solat berdasarkan Hadis Aisyah ra yg mentafsirkan "apa yg biasa nampak" dalam surah anNuur ialah termasuk Fatkhah (cincin yg dipakaikan oleh wanita Arab pada jari kaki) 

Pendapat yang Rajih : 

Pendapat yang dipilih oleh As-Syaikh Dr.Abd Karim Zaidan dalam Ensiklopedianya berjudul : “Adakah kaki wanita dikira sebagai aurat?” (Rujuk Al-Mufassal fi Ahkam al-Mar ah wa al-bait al-Muslim fi al-Syari’ati al-Islamiah , Jilid 3 , masalah 2282 , ms.198) ialah kaki wanita dikira sebagai aurat dan wajiblah bagi setiap wanita itu untuk menutupnya , kecuali jika terdapatnya hajat atau keperluan yang menyukarkan wanita tersebut untuk menutup kakinya , maka dalam hal ini ianya dibolehkan untuk tidak menutupnya. 


Kesimpulan : Saya setuju mengatakan kaki adalah aurat tetapi apabila ada keperluan seperti dirumah mertua hendak masuk tandas atau bilik mandi wanita tak payahlah pakai stokin hingga masuk tandas boleh membukanya kerana ada hajat. Tetapi apabila keluar rumah eloklah pakai stokin menutup kaki daripada dilihat oleh lelaki ajnabi. Wallahu a'lam


No comments:

Post a Comment