Wednesday, December 4, 2013

Tanyalah Ustaz Siri 14 (Solat Jamak dan Qasar, Suami Mengaku Bujang, Wang di Pinjamkan Tak Perlu Zakat, Cadar Dari Sutera dan Hukum Mengumpat)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sahabat yang dirahmati Allah,    
Tanyalah Ustaz Siri 14 adalah menjelaskan persoalan solat jamak dan qasar, suami mengaku bujang adakah gugur talak, wang yang dipinjamkan tidak perlu dibayar zakat, cadar dan selimut kain sutera dan hukum mengumpat.

66. Soalan : Apakah nas-nas yang mengharuskan kita solat jamak dan qasar?


Jawapan :


Keterangan mengenai qasar solat telah difirmankan oleh Allah SWT dalam al-Quran surah al-Nisa' ayat 101 yang bermaksud: "Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa 'mengqasarkan' (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh yang amat nyata bagi kamu."


Asbabun Nuzul ayat 101 surah an-Nisa' : Ali k.wj menjelaskan bahawa ayat ini diturunkan berkenaan dengan sekelompok orang dari Bani Najjar yang suatu ketika bertanya kepada Rasulullah SAW : "Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami ini sering berpergian untuk berniaga, bagaimana cara kami melakukan solat?" (Hadis Riwayat Ibnu Jarir. Lihat Ibnu Katsir 1/721) maka turun ayat ini.


Dalam ayat ini, mengqasar solat dikaitkan dengan "apabila takut dengan musuh."


Ketika turun ayat ini, para sahabat merasa hairan, adakah masih dibolehkan untuk mengqasar solat jika keadaan aman dan tenteram?


Justeru, ketika persoalan ini diajukan oleh sahabat kepada Rasulullah SAW, maka baginda SAW bersabda: "Ia adalah sedekah dari Allah SWT, maka terimalah sedekah-Nya".


Allah SWT telah memberi kelonggaran/keringanan kepada umat Islam dalam mengerjakan ibadah solat dalam situasi tertentu khususnya ketika bermusafir. Kelonggaran ini dinamakan rukhsah solat.



Sabda Rasullah SAW maksudnya : “Sesungguhnya Allah suka dilaksanakan rukhsah (keringanan) yang diberikan olehNya seperti Allah membenci dilakukan maksiat kepadaNya”. (Hadis riwayat Ahmad).

Dalil Solat Qasar : Berkata Anas bin Malik ra. :

خرجنا مع النبي صلى الله عليه وسلم من المدينة إلى مكة فصلى ركعتين، ركعتين حتى رجعنا إلى المدينة


"Kami keluar bersama Nabi SAW dari Madinah ke Mekah, dan kami bersolat 2 rakat, 2 rakaat, sehinggalah kami kembali ke Madinah" [Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim].Dalil Jamak Taqdim


Riwayat dari Anas bahawa :


كان رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا رحل قبل أن تزيغ- تميل ظهرا- الشمس، أخر الظهر إلى وقت العصر، ثم نزل يجمع بينهما، فإن زاغت قبل أن يرتحل صلى الظهر، ثم ركب.


"Sesungguhnya apabila Nabi SAW bermusafir sebelum gelincir matahari, baginda akan mengakhirkan / melewatkan waktu Zohor sehinggalah waktu Asar, kemudian baginda singgah disuatu tempat dan bersolat jamak kedua-dua solat. Apabila baginda berangkat sebelum gelincir matahari, Nabi akan bersolat Zohor dan kemudian berangkat." [Hadis Bukhari dan Muslim].Dalil Solat Jamak Ta'khir


Dari Muaz bin Jabal ra. :


أن النبي صلى الله عليه وسلم كان في غزوة تبوك إذا ارتحل بعد المغرب عجل العشاء فصلاها مع المغرب



"Bahawa Nabi SAW ketika peperangan Tabuk, apabila bergerak selepas Maghrib disegerakan solat Isyak, maka dilakukan solat Isyak dengan Maghrib" [Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmudzi].

67.Soalan : Ustaz..betulkah suami yg bergurau mengatakan bahawa dia belum berkahwin pada orang lain boleh menyebabkan gugurnya talak terhadap isterinya? Mohon pencerahan ustaz


Jawapan :



Tidak sabit kepada talak terhadap isterinya kerana suami menipu.Talak adalah melepaskan ikatan perkahwinan dengan menggunakan lafaz cerai, talak atau seumpamanya oleh suami kepada isteri . Lafaz talak itu terbahagi kepada 3 jenis iaitu lafaz talak sarih (nyata), lafaz talak kinayah (sindiran) dan lafaz taklik (bersyarat).
Lafaz sarih adalah lafaz yang jelas menunjukkan maksud talak atau cerai maka talaknya jatuh walaupun tanpa niat.
Contohnya:
- “Saya ceraikan kamu” atau;
- “Saya ceraikan kamu dengan talak 1 atau 2 atau 3.”
Lafaz kinayah adalah Lafaz yang boleh membawa maksud talak dan lain daripadanya, talak tidak akan jatuh melainkan dengan niat cerai.

Contohnya:
“Kamu baliklah ke rumah ibu bapa kamu atau saya bebaskan kamu.”

Lafaz taklik pula adalah Lafaz cerai oleh suami yang dikaitkan dengan sesuatu perkara:

Contohnya:
- “Jika kamu keluar dari rumah ini, maka tertalaklah kamu”
- “Andainya kamu balik ke rumah ibu bapa kamu maka jatuhlah talak bagi kamu.”

68. Soalan : Ustaz., saya ada masaalah dah lama teman saya ada pinjam duit dengan saya 2 orang yang satu RM 5k dah masuk masok 4 tahun... Yg satu lagi 4k hampir 10 tahun....saya nak tanya ada kah saya harus membayar zakat atas hutang-hutang yang saya dah bagi... Ada mengatakan saya wajib bayar zakat harap ustaz boleh memberikan pandagan ... Terima kasih.


Jawapan : 

Dari Ali r.a katanya telah bersabda Rasulullah SAW: Bila ada bagimu dua ratus dirham, dan telah sampai pula satu tahun, maka wajiblah dikeluarkan daripadnay lima dieham, dan tiadalah wajib atas engkau berzakat hingga ada dua puluh dinar dan telah sampai tempohnya satu tahun maka wajib dikeluarkannya setengah dinar". Makanya wang simpanan yang ada di tangan seseorang yang telah genap setahun, perlulah dikeluarkan zakatnya mengikut kadar yang telah ditetapkan. Oleh kerana wang tuan itu di tangan seseorang yang lain dan untuk mendapatkan kembali tidak dapat dipastikan bila, maka wang tersebut dianggap tidak ada dalam simpanan tuan. Sekiranya wang telah dikembalikan kepada tuan dan telah cukup jumlah dan haulnya(tempohnya) maka wajiblah tuan membayar zakat tersebut. Prinsipnya di sini ialah tuan tidak meyimpan wang tersebut dimana tuan boleh mengeluarkan atau mendapatkannya mengikut masa yang khendaki. 

Zakat yang wajib ditunaikan adalah sekiranya wang tersebut cukup nisab dan cukup tempuh setahun (Tahun Hijrah) dan wang tersebut dibawah pemilikan kita 100%. Jika wang tersebut dipinjamkan kepada orang lain maka wang tersebut tidak cukup syarat untuk di bayar zakat. Sama juga wang simpanan di KWSP sebelum umur 55 tahun kita tak boleh ambil akaun 1, selagi wang tersebut bukan didalam simpanan kita dan bukan pemilikan yang sempurna maka tidak wajib dibayar zakat. Wallahu a'lam.

69. Soalan : Ustaz, Isteri saya ada membeli cadar dan selimut daripada kain sutera, adakah saya, boleh tidur diatas kain dan berselimut dengan kain sutera?

Jawapan :



Sebagaimana telah dimaklumkan bahawa, sutera dihalalkan untuk dipakai oleh wanita. Keraana itulah Anas bin Malik radhiyallaahu ‘anhu pernah melihat Ummu Kultsum putri Rasulullah Sallallaahu ‘Alaihi Wasallam mengenakan pakaian sutera yang bergaris-garis. (Hadis Sahih Riwayat Bukhari no. 5842)

‘Ali bin Abi Thalib radhiyallaahu ‘anhu meyatakan : “Nabi Sallallaahu ‘Alaihi Wasallam pernah memberiku pakaian dari sutera bergaris maka aku pun keluar mengenakannya. Ketika Rasullah Sallallaahu ‘Alaihi Wasallam melihatnya, tampaklah kemarahan di wajah baginda. Maka aku pun membagi-bagikan pakaian sutera tersebut di antara wanita-wanitaku.” (Hadis Sahih Riwayat Bukhari no. 5840 dan Muslim).

Ali memotong sutera tersebut hingga dapat digunakan sebagai kerudung lalu membagi-bagikannya kepada Fathimah isterinya, Fathimah bintu Asad bin Hasyim ibunya, dan Fathimah bintu Hamzah bin Abdil Muththalib -sepupunya-. (Fathul Bari, 10/310)

Dua hadis di atas ditempatkan Al-Imam Al-Bukhari dalam bab yang beliau beri judul “Sutera untuk Wanita”. Sementara laki-laki dilarang untuk memakai sutera terkecuali bila ada uzur seperti yang diberitakan Anas bin Malik: “Nabi Sallallaahu ‘Alaihi Wasallam memberikan keringanan kepada Az-Zubair dan Abdurrahman untuk memakai sutera kerana penyakit kudis yang diderita oleh keduanya.” (Hadis Sahih Riwayat Bukhari no. 5839).

Berkata Ath-Thabari sebagaimana dinukilkan Al-Hafidz Ibnu Hajar dalam Fathul Bari, (10/308): “Dalam hadis ini ditunjukkan bahawa larangan memakai sutera (bagi laki-laki) dikecualikan pada orang yang memiliki penyakit, di mana penyakitnya itu dapat diringankan dengan memakai sutera.” Apa hukum menggunakan selimut atau seprai atau kasur yang terbuat dari sutera?

Asy-Syaikh Sholih Al-Fauzan Hafizhahullah menjawab:

“Tidak boleh bagi lelaki menggunakan selimut dan kasur yang terbuat dari sutera. Kerana Allah telah mengharamkannya (sutera) bagi lelaki” [ Diterjemahkan sebisanya dari Al-Muntaqo min Fatawa Al-Fauzan jilid 5 fatwa no.453 ]

Wanita (isteri) boleh menggunakan untuk cadar, selimut, sarung bantal, baju dan sebagainya tetapi untuk lelaki tidak dibenarkan. Cadangan saya lebih baik jangan digunakan untuk katil suami isteri, gunakan kain biasa saja. Jika isteri gunakan kain selimut sutera dan suami gunakan kain selimut biasa rasanya tak sesuai kerana suami isteri elok gunakan kain selimut yang sama - melahirkan kemesraan suami isteri. Wallahu a'lam.

70.Soalan : Kalau ibu mengumpat dan mengata orang adakah saya patut menasihatinya dan menegurnya ? tetapi saya tidak berani nak menegur ibu saya kerana takut ibu marahkan saya

Jawapan :


 Mengumpat adalah perbuatan yg dibenci oleh Allah SWT.Dari Abu Hurairah radhiallohu ‘anhu berkata, Rasulullah Salallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda maksudnya : "Jadilah kamu sekalian hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seorang muslim adalah saudara bagi muslim yang lainnya, tidak layak untuk saling menzalimi, berbohong kepadanya dan acuh kepadanya.Takwa itu ada disini (baginda sambil menunjuk dadanya 3 kali). Cukuplah seseorang dikatakan jahat jika ia menghina saudaranya sesama muslim. Haram bagi seorang muslim dari muslim yang lainnya, darahnya, hartanya, dan harga dirinya” (Hadis Riwayat Muslim)


Oleh itu jauhilah perbuatan mengumpat kerana dosa mengumpat hanya boleh dihapuskan apabila orang yang menerima umpatan memaafkannya, jika tidak mendapat kemaafan maka tuntutannya akan dilakukan semasa berada di hari akhirat nanti. Saudari boleh menasihati ibu yang melakukan dosa tersebut tetapi denga cara yg himah dan tidak menyenggung perasaan hatinya. Contoh : Beritahu pada ibu bahawa dia pernah dengan ceramah agama ustaz tersebut menyatakan bahawa mengumpat adalah dosa besar org yg mengumpat tak akan terampun dosa jika tak minta maaf pada org yg diumpat.

No comments:

Post a Comment