Saturday, January 4, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 39 (Jangan Putus Asa, Orang Bukan Islam Masuk Masjid, Isteri Curang, Aurat Wanita Dan Tidur Gigi Berkacip)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 39 adalah menjelaskan persoalan hilang jangan berputus asa dari rahmat Allah, hukum orang bukan Islam masuk masjid, isteri curang dibelakang suami, kaki wanita aurat dan tidur gigi berkacip-kacip.

191. Soalan : Bagaimana nak hilangkan rasa sayang pada seseorang yang kita sayangi kerana hati dia bukan untuk saya lagi. Sekarang dia sudah menjauhkan diri dari saya dan ada orang lain.saya benar-benar harap ustaz dapat membantu saya..kerana saya rasa lemah sangat untuk hadapi semua ini.

Jawapan : 

Setiap kejadian yang berlaku dimuka bumi dan kepada diri manusia semuanya mengandungi hikmah dan Allah S.W.T. Maha Mengetahui setiap apa yang diciptakan dan ditakdirkan-Nya.

Manusia perlu bersabar dan bertenang dan mencari kebaikan dan hikmah dibalik setiap peristiwa yang berlaku. Dari sinilah akan melahirkan jiwa yang reda dengan Qadak dan Qadar dan bersyukur di atas nikmat dan rahmat daripada Allah S.W.T. Firman Allah SWT maksudnya : "Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu , padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui".
(Surah al-Baqarah ayat 216)

Sesungguhnya sesuatu perkara itu hakikat sebenarnya Allah Maha Mengetahui. Baik atau buruk sesuatu perkara itu ianya adalah di dalam ilmu Allah. Yakinilah jika sesuatu doa atau hajat tidak ditunaikan-Nya ada sesuatu yang lebih baik akan diberi Allah S.W.T. sebagai penganti apa yang kita hajatkan. Jika tidak dapat di dunia, nanti di hari akhirat Dia akan memberkannya kepada kita, oleh itu berbaik sangkalah dengan Allah SWT. Firman-Nya lagi yang bemaksud : "Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya".
(Surah al-Baqarah ayat 286)

Allah S.W.T. Maha Mengetahui kemampuan kita sebagai hamba-Nya yang kerdil, oleh itu apa sahaja yang berlaku keatas diri kita sebenarnya masih dibawah kemampuan kita untuk menghadapinya. Anggaplah sesuatu ujian itu dengan fikiran yang positif dan cubalah renungkan bahawa terdapat orang lain yang lebih berat menghadapi ujian daripada kita maka dengan itu akan terasa beban yang ditanggung akan menjadi lebih ringan.

Janganlah rasa kecewa kerana kita adalah orang-orang yang beriman.

Firman Allah SWT yang bermaksud : "Janganlah kamu bersikap lemah , dan janganlah pula kamu bersedih hati , padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya , jika kamu orang-orang yang beriman".(Surah Ali Imran ayat 139)

Yakinlah sifat orang mukmin tidak akan rasa kecewa atau putus asa kerana orang mukmin akan sentiasa reda dengan Qadak dan Qadar. Jika kita merasai kita mulia di sisi Allah S.W.T. kerana kita orang yang beriman dan bertakwa maka akan hilang perasaan negatif ini. Sesungguhnya apa yang hilang dari kita itu bukanlah jodoh kita, berdoalah kepada Allah SWT semoga Dia pertemukan kita dengan orang yang lebih baik dan solehah dan akan kekal insyaa Allah hingga ke syurga.

192. Soalan : Apakah hukumnya orang bukan Islam memasuki masjid? Adakah diharuskan atau tidak dibenarkan langsung. Minta pencerahan.

Jawapan : 

Orang bukan Islam boleh memasuki masjid. Seseorang bukan Islam tidak dilarang memasuki masjid jika niatnya baik dan dibenarkan orang Islam kecuali Masjidil Haram di Mekah

"Menurut pandangan majoriti para ulama termasuk Imam Malik, Syafie dan ulama fiqh yang lain, adapun larangan khusus bagi bukan Muslim daripada memasuki masjid hanyalah terhad kepada Masjidil Haram di Mekah dan kawasan tanah suci di sekitarnya berdasarkan firman Allah dalam surah at-Taubah ayat 28," katanya.

Seseorang bukan Muslim wajar memasuki masjid berdasarkan syarat-syarat berikut:

- Non-Muslim diharuskan memasuki masjid selain daripada Masjidil Haram di Mekah dengan keizinan orang Islam. 

- Mereka seharusnya menghormati kesucian masjid dan perlu sedar bahawa masjid adalah tempat suci bagi orang Islam beribadah. 

- Kedua-dua kaum lelaki dan wanita non-Muslim yang ingin memasuki masjid mestilah tidak mendedahkan aurat yakni anggota tubuh mereka yang seharusnya ditutup dengan pakaian yang bersesuaian. 

Sikap terbuka masyarakat Islam dengan membenarkan bukan Muslim memasuki masjid berdasarkan syarat-syarat yang tersebut di atas sudah pasti memberikan peluang dan ruang untuk masyarakat Islam berdakwah dan menyampaikan mesej Islam kepada bukan Muslim.

Orang bukan Muslim pula akan melihat keterbukaan Islam dalam memelihara keharmonian hubungan antara pelbagai kaum dan agama dalam negara ini.

Amalan menerima bukan Islam memasuki masjid atas tujuan yang murni juga telah diamalkan di beberapa negara lain dan ia terbukti memberi nilai positif kepada keberkesanan dakwah Islam kepada bukan Muslim. 

Nabi SAW sendiri tak menghalang orang yang bukan Islam masuk ke masjid Nabawi di Madinah. Banyak dalil dan hadis yang jelas menggambarkan bahawa berlakunya orang bukan Islam berjumpa Rasulullah SAW di dalam masjid. Malah ada mereka yang tidak Islam ini (beribadat megikut cara agama mereka di dalam masjid) dan tidak di larang oleh Nabi di masjid Madinah. Begitu juga hadis riwayat Bukhari tentang Thamamah ibn Athal (bukan Islam) yang ditangkap dan ditambat di masjid.

Namun di sebalik segala peristiwa dan sumber dalil yang terdahulu mengharuskan orang bukan islam di masjid. Umat Islam perlu berfikiran terbuka dan tidak berfikiran sempit, inilah ruang untuk kita berdakwah kepada mereka . Wallahu a'lam

193. Soalan : Ustaz,si suami dera isteri setelah suami mendapat tahu yang bayi yang dkandung oleh isteri yang telah gugur anak kepada pakwenye dulu..Si suami tidak dapat menerima keadaan itu..apakah hukum cara layanan suami terhadap isterinye? Berdosa ke ustaz?

Jawapan : 

Suami mana yang tidak sedih dan mengalami gangguan emosi yang hebat apabila isteri yang harap-harapkan menjaga kehormatan diri telah berlaku curang di belakang suaminya. Allah SWT Maha berkuasa mendedahkan aib tersebut sebelum suaminya tahu bahawa isterinya tidak jujur dan sanggup melakukan perbuatan dosa besar hingga melahirkan zuriat yang bukan daripada zuriat suaminya yang sah. Berikan masa pada suaminya kerana sebagai manusia biasa ujian ini memang hebat dan tidak semua suami sanggup menghadapai musibah seperti ini. 

Sama-samalah kita berdoa semoga keluarga mereka dapat diselamatkan tetapi jika suami sudah tak mahu melihat wajah isteri di atas peristiwa hitam ini jalan keluarnya adalah bercerai dengan talak satu. Jika semasa iddah terbuka pintu hati suami- isteri untuk bersama maka eloklah buka buku baru dan pindahlah daripada daerah tempat yg menjadi sejarah hitam untuk mereka berdua. Jika perpisahan terus adalah jalan terbaik maka itu adalah suratan takdir maka terimalah dengan hati yg redha. 

Dalam kes seperti ini tak boleh disorok aib tersebut kerana dia melibatkan zuriat yang sah. Jika isteri yang telah berzina tadi tahu bahawa zuriat yang dia kandung itu bukan daripada suami yg sah maka dia kena berterus terang kerana si suami tak boleh bersama sehingga bayi tersebut dilahirkan, berdasarkan satu hadis Nabi SAW. Dari Rufai' bin Tsabit bahwa Nabi SAW bersabda, "Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka janganlah menyiramkan airnya pada tempat yang sudah disirami orang lain." (HR Tirmizi dan beliau menghasankannya). 

Walau pun dia isteri yang sah tetapi telah berzina dan benih yang terjadi di dalam perutnya bukan benih suaminya maka kena lahirkan dulu anak tersebut. Dalam hukum Islam wanita tersebut setelah anak dilahirkan dihukum rejam sampai mati (oleh kerana skg hukum hudud tak berfungsi maka jalan terbaik adalah bertaubat nasuhah). Tetapi dalam kes ini wanita tersebut setelah berzina dia menguggurkan pula kandungannya (dua kali dosa besar , pertama dosa berzina dan kedua dosa membunuh bayi dalam kandungan). Peringatan untuk semua para isteri dan suami jauhilah jalan-jalan yang boleh menghampiri zina dan jagalah keluarga masing-masing supaya peristiwa hitam tersebut tak berlaku dikalangan ahli keluarga kita. Wallahau a'lam

194. Soalan : Adakah aurat bahagian kaki di ringankan sekiranya ada menerima tetamu di rumah sendiri? Sebab dengar tazkirah, dibolehkn tanpa memakai stokin sekiranya berada di rumah sendiri.?

Jawapan : 

Aurat wanita yang wajib ditutup adalah seluruh tubuh kecuali muka dan kedua tapak tangan hingga pergelangan tangan. Adakah kaki wanita dikira sebagai aurat ? Di jelaskan perbezaan pendapat ulama berkaitan kaki sebagai aurat.

Tidak ada nas yang langsung dalam masalah ini melainkan sepotong ayat umum dari Surah an-Nuur ayat 31.

Firman Allah SWT maksudnya : "...dan janganlah mereka (perempuan Islam) menzahirkan perhiasannya kecuali yang biasa nampak dari padanya..." (Surah an-Nuur ayat 31)

Secebis ayat umum ini telah melahirkan pelbagai pendapat fiqih mengenai apakah yg boleh dizahirkan oleh perempuan kepada umum bila mereka keluar dari rumah-rumah mereka. Kami simpulkan: 

1. Fiqh Hanafi menetapkan dua kaki wanita bukanlah aurat kerana ia termasuk apa yang biasa nampak darinya kerana keperluan wanita melakukan pekerjaan hariannya. (alKasani, alBada'iy alSana'iy: Kitab alIstihsan, Jld 5) 

2. Fiqh Syafi'iyah, ada dua pendapat: 
Imam Muhyidin an-Nawawi (Syarah alMuhadzab,:3/173) kaki wanita adalah aurat. Imam al-Muzani pula berpendapat kaki bukan aurat. 

3. Imam atsTsauri juga berpendapat kaki bukan aurat (Syarah alMuhadzab, op cit, ms 173) 

4. Fiqh Maliki menetapkan kaki adalah aurat ( al-Mudawwanah: 1/109; Syarah alKabeer: 1/215) 

5. Fiqh alHanbaliah juga menetapkan kaki adalah aurat (al-Mughny: 1/601) 

Fiqh Tahqeeq (Fiqh Analitis)

Bila ada banyak pendapat, maka kita beralih pada Fiqh Tahqeeq (Fiqh Analitis): 

1. Imam asySyawkani (Nailool Awthor: 2/144) dan Tafsirnya, Fathul Qadeer: Tafsir surah an-Nuur) memilih pendapat bahawa kaki bukanlah aurat kerana memberi kemudahan kepada wanita. 

2. Allamah Siddiq Hasan Khan (Nailool Maram: Tafsir surat anNuur ayat 31) memilih pendapat kaki bukan aurat.

3. Syaikhul Islam a Imam Salafiya Taqiyuddin Ahmed Ibn Taymiyah alharani (Majmu' Fatawa, cetakan Riyadh, Jld 22/114-115) juga memilih pendapat kaki bukanlah aurat kerana ia merupakan kesulitan bagi wanita baik dalam solat dan di luar solat berdasarkan Hadis Aisyah ra yang mentafsirkan "apa yg biasa nampak" dalam surah an-Nuur ialah termasuk Fatkhah (cincin yg dipakaikan oleh wanita Arab pada jari kaki) 

Pendapat yang Rajih : 

Pendapat yang dipilih oleh As-Syaikh Dr.Abd Karim Zaidan dalam Ensiklopedianya berjudul : “Adakah kaki wanita dikira sebagai aurat?” (Rujuk Al-Mufassal fi Ahkam al-Mar ah wa al-bait al-Muslim fi al-Syari’ati al-Islamiah , Jilid 3 , masalah 2282 , ms.198) ialah kaki wanita dikira sebagai aurat dan wajiblah bagi setiap wanita itu untuk menutupnya , kecuali jika terdapatnya hajat atau keperluan yang menyukarkan wanita tersebut untuk menutup kakinya , maka dalam hal ini ianya dibolehkan untuk tidak menutupnya. Wallahu a'lam

195. Soalan : Ustaz. saya ingin tahu benarkah seseorang itu tidor dalam giginya berkacip-kacip adakah tandanya keluarga bermasaalah?

Jawapan : 

Tidak ada kaitan gigi berkacip-kacip tanda keluarga bermasaalah. Gigi berkacip-kacip adalah gangguan semasa tidur. Untuk mengelakkan gangguan semasa tidur amalkan adab-adab tidur seperti :Tidur dengan berwuduk terlebih dahulu. Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW : “Apabila kamu hendak tidur maka berwuduklah sebagaimana wuduk untuk solat, kemudian berbaringlah di atas sisi kananmu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

- Memulai tidur dengan membaringkan tubuh ke sisi sebelah kanan sebagaimana dalam hadis di atas.

- Tidak tidur dengan tiarap, berdasarkan sabda Nabi SAW “Sesungguhnya itu adalah cara tidur yang dimurkai Allah ‘azza wa jalla”.(Hadis Riwayat Abu Daud dengan sanad yang shahih)

- Mengumpulkan kedua telapak tangannya. Kemudian ditiup dan dibacakan: surat Al-ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas. Kemudian dengan kedua telapak tangan tadi mengusap tubuh yang dapat dijangkau dimulai dari kepala, wajah dan tubuh bagian depan. Hal ini dilakukan sebanyak tiga kali." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

- Mengibaskan tempat tidur dengan ujung sarung atau dengan pakaiannya sebanyak tiga kali." (Hadis Riwayat Bukhari).

- Membaca doa-doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW, seperti membaca doa “Bismika Allahumma amuutu wa ahyaa (Dengan menyebut nama-Mu ya Allah aku mati dan hidup)” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

- Dianjurkan membaca tasbih 33 kali, tahmid 33 kali, takbir 33 kali atau 34 kali ketika hendak tidur, sebagaimana sabda baginda kepada Ali bin Abi Thalib dan isterinya ketika mereka hendak tidur, “Maka bacalah tasbih tiga puluh tiga kali, tahmid tiga puluh tiga kali, dan takbir tiga puluh tiga kali” dan dalam riwayat lain “takbirlah tiga puluh empat kali” (Hadis Riwayat Bukhari).

No comments:

Post a Comment