Saturday, February 15, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 59 (Futur, Umat Islam Perlu Bersatu, Soalt Witir, Fadilat Surah Al-Fatihah Dan Zakat)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 59 adalah menjelaskan persoalan maksud futur, umat Islam perlu bersatu, solat witir, fadilat surah al-Fatihah dan agihan wang zakat, 

351. Soalan : Apakah makna futur dan sebab musabab kenapa boleh terjadinya futur?

Jawapan : 

Iman seorang muslim adakala kuat dan adakalanya lemah. Ianya turun naik setiap masa bergantung pada kehidupan dan keadaan seseorang itu. Ketika seseorang  ditimpa dengan berbagai masaalah kehidupan dan diuji dengan berbagai musibah maka ketika ini biasanya iman akan menjadi lemah kerana timbul rasa gelisah dan keluh kesah.

Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Iman itu naik dan turun, maka sentiasa perbaharui iman kamu".

Tetapi, kebanyakan daripada kita mentafsirkan hadis tersebut bahawa sekiranya berlaku kelemahan diri kita, kita mengatakan sememangnya iman itu ada masa naik dan ada masa turun. Sepatutnya kita merasakan bahawa sekiranya tahap iman kita rendah kita berusaha untuk meningkatkannya.

Tapi kita lupa hal terpenting yang harus kita ambil dari hadis itu, iaitu apakah tindakan selanjutnya apabila mendapati iman kita semakin turun, maka tidak seharusnya kita membiarkannya turun. Kita harus memperbaharuinya dan ini boleh dilakukan dengan banyak cara.

Istilah futur adalah merujuk kepada kemerosotan atau kemalapan yang berlaku pada keimanan atau keislaman seseorang. Futur adalah satu penyakit. Seseorang yang dihinggapi penyakit ini akan lemah dalam melaksanakan tanggungjawab yang di amanahkan oleh Allah S.W.T.

Terdapat 9 faktur jika wujud dalan diri seseorang sebenarnya dia sedang mengalami futur, ketika inilah perlu kita bertindak segera untuk meningkatkan semulai iman kita ketahap yang biasa atau lebih tinggi lagi. Perkara-perkara tesebut adalah seperti berikut :

1. Malas beribadah.

Sering melewat-lewatkan waktu solat. Kadangkala sehingga terlepas waktunya tanpa disedari. Malas solat sunat , berzikir dan membaca al-Quran . Menghabiskan banyak masa untuk tidur, berbual kosong atau melayan hobi yang kurang manfaatnya.

Betapa besarnya dosa orang yang meninggalkan solat atau melalaikan solat hingga luput waktunya. Renungkan hadis Rasulullah S.A.W. di bawah yang menghalang perbuatan tersebut .

Saad bin Abi waqas bertanya Rasulullah S.A.W. mengenai orang yang melalaikan solat maka jawab baginda " Iaitu mengakhirkan waktu solatnya dari waktu asalnya hingga sampai waktu solat lain. Mereka telah mensia-siakan dan melewatkan waktu solatnya, maka mereka diancam dengan Neraka Wail".

2. Tidak ada perasaan takut mengenai kematian. 

Apabila hati tidak langsung mengingati kematian ini bermakna iman sedang ditahap yang lemah. Oleh itu kita digalakkan menziarahi orang mati  dan menziarahi kubur sebagai ubat agar hati dapat mengambil pengajaran daripada kematian. Hati orang mukmin sentiasa mengingati kematian sebagai satu cara untuk membersihkan hatinya.

Daripada Abu Hurairah r.a , Rasulullah S.A.W.  bersabda yang bermaksud :
"Perbanyakkanlah olehmu mengingati sesuatu yang memutuskan segala kelazatan (mati)."
(Hadis Riwayat Tirmizi)

3. Melakukan maksiat samaada kecil atau besar. 

Lebih teruk lagi apabila maksiat sudah menjadi kebiasaan dan bergembira dengan maksiat.
Sabda Nabi S.A.W maksudnya : " Barang siapa di antaramu melihat kemungkaran hendaklah ia merubahnya (mencegah) dengan tangannya (kekuasaan) jika ia tidak sanggup, maka dengan  lisannya (nasehat), dan jika tak sanggup juga, maka dengan hatinya (merasa tak
senang dan tak setuju, tinggalkan !) dan itu adalah selemah-lemahnya Iman. " 
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Berdasarkan hadis di atas jika seseorang itu tidak rasa bersalah dengan maksiat yang dilakukan dan gembira pula maka sebenarnya sedikit pun iman tidak ada didalam hatinya.

 4. Suka melihat atau menyaksikan maksiat.
Zina mata adalah mata suka melihat maksiat dilakukan oleh orang lain. Memerhatikan aurat wanita yang bukan mahram dan juga melihat filem-filem lucah atau gambar-gambar seksi adalah maksiat yang dibuat oleh mata, dari mata akan turun ke hati dan hati akan hilang kemanisan beribadah kepada Allah S.W.T. 

5. Ukuwah menjadi longgar. 

Sifat orang mukmin adalah sentiasa baik sangka kepada saudaranya yang lain. Dia cinta dan kasih pada saudaranya semata-mata kerana Allah. Dia datang berziarah adalah semata-mata kerana Allah dan bukan diatas sebab-sebab ada kepentingan duniawi kerana harta atau kerana hubungan keluarga.

Dari Muaz bin Jabal meriwayatkan, aku mendengar Rasulullah S.A.W.  meriwayatkan hadis qudsi : Allah Azzawa Jalla berfirman yang bermaksud : " Orang-orang yang mencintai satu sama lain kerana kebesaran dan kemuliaan-Ku akan duduk diatas mimbar-mimbar nur pada hari Qiyamat, (bahkan) nabi-nabi dan para syuhada akan beriri hati kepada mereka."
(Hadis Riwayat Tirmizi)

Orang mukmin akan mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya sendiri. Jika perasaan kasih sayang dan ukhwah menjadi longgar ini petanda imannya sedang lemah.

6. Ghairah kepada dunia. 

Sebuk dengan dunia hingga membuang masa dengan kerja-kerja yang tak berfaedah.
Firman Allah s.w.t bermaksud :“Tetapi kamu (orang-orang kafir) memilih kehidupan duniawi. Sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal.” 
(Surah Al-A’laa: 16-17)

Apabila seseorang sibuk dengan hal-hal dunia seperti hiburan yang melalaikan , hanya memikirkan nak besarkan rumah, perabut yang mahal-mahal, kereta mewah, untuk mengaut keuntungan dan bekerja siang malam , jika kesemua ini menjejaskan berhubungannya dengan Allah, dan membuat seseorang merasa jauh dari kedudukan yang tinggi di akhirat kelak, sebenarnya dia sedang ghairah dan mabuk dengan dunia.

Firman Allah maksudnya :“Kemudian kamu pasti akan ditanyai pada hari itu tentang kenikmatan (yang kamu megah-megahkan di dunia itu).”
(Surah At-Takaatsur ayat  6)

7. Berbangga dengan kemajuan duniawi.

 Islam tidak menghalang kemajuan duniawi dengan bangunan yang mencakar langit, kemajuan sains dan teknologi. Tetapi Islam amat menitik beratkan nilai-nilai rohani dan jika nilai rohani dan akhlak yang mulia diabaikan dan lebih mengutamakan kemajuan duniawi maka ianya dilarang. Dibarat dan Jepun terlalu mengutamakan kemajuan tetapi mengabaikan nilai-nilai moral manusia akibatnya mereka menuju kepada kehancuran.

Qarun, kaum 'Ad, kaum Samud dan kaum Luth semua mereka maju dengan pembangunan material tetapi mereka engkar dengan perintah Allah S.W.T. yang di bawa oleh para Rasul maka mereka dibinasakan oleh Allah S.W.T.

Firman Allah s.w.t maksudnya : "Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri- isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah- rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehinggga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya) kerana Allah tidak akan memberi pertunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka). 
(Surah at-Taubah ayat 24)

8. Lemah atau tidak bersedia dengan kerja-kerja amal Islam.

Jika timbul perasaan malas bekerja untuk amal Islam dan sanggup membiarkan kerosakkan masyarakat berlaku tanpa di jalankan kerja-kerja dakwah dan tarbiyah maka ini adalah petanda futur sedang melanda seorang da'i atau  seorang pekerja Islam. Kerja-kerja amal makruf nahi mungkar perlu dijalankan tanda kita menyahut seruan Allah S.W.T.

9. Menangguh-nangguhkan kerja.

Apa sahaja kerja yang membawa kebaikan dan amal soleh tidak boleh ditangguh-tangguhkan.
Dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
"Bersegeralah kalian untuk berbuat amal soleh, kerana akan muncul berbagai fitnah seperti penggalan-penggalan malam yang gelap-gulita, ada orang yang paginya beriman, petangnya kafir. Ada yang petangnya beriman, paginya kafir. Ia jual agamanya dengan barang perhiasan dunia."
(Hadis Riwayat Muslim)

Sama-sama kita tingkatkan iman kita kepada Allah S.W.T dengan melaksanakan semua suruhanNya dan meninggalkan semua larangan-Nya. Jika salah satu sifat diatas wujud pada diri kita sebenarnya kita sedang futur atau lemah iman maka perlulah kita perbaiki segera. Peruntukkanlah masa kita untuk berjumpa orang-orang soleh untuk menimba ilmu pengetahuan dan tarbiyah. Perbanyakkanlah membaca al-Quran, berzikir dan solat tahajud supaya kita dapat perbaiki iman dan jiwa kita yang lemah menuju kepada kecintaan kepada Allah S.W.T dan Rasul-Nya Muhammad S.A.W.

352. Soalan : Ustaz yg dihormati. Izin saya satu soalan: Ambil sabuah negara berbilang bangsa dan agama. Orang Islam ditampuk kuasa. Negara aman dan perjalanan negara normal. Isu-isu negara pasti ada.. Dgn rasuah nya, dengan kurang adilnya, dengan berat sebelah, dengan perpecahan umat Islam nya dan lain-lain. Dalam senario ini, saya yakin perpaduan umat agenda tertinggi untuk pemimpin-pemimpin Muslim. Kerana jika umat terus berpecah, berlawan sesama sendiri, Muslim akan hilang kuasa di negara sendiri. Bersatu padu agenda tertinggi dari sudut Islam. Minta pandangan Islam dari perhatian ustaz. Terima Kasih.

Jawapan : 

Umat Islam menjadi kuat dan bersatu apabila berpegang teguh dengan akidah dan syariat Islam. Samaada pemimpin dan rakyatnya. Jika pemimpinnya sebuk dengan mengumpul harta, memperkayakan kroni dan ahli keluarga dan merasa tidak istiqamah dengan akhlak dan ajaran Islam maka rakyat tak akan bersatu.

Islam bukanlah bangsa atau keturunan seseorang, Islam adalah deen (cara hidup) ciptaan Allah SWT. Semua bangsa yang menerima akidah Islam adalah saudara kita dan tidak perlu dipisah-pisahkan kepada puak, kaum dan bangsa. Orang yg paling mulia disisi Allah SWT adalah orang yg paling beriman dan bertakwa. Seruan untuk bersatu saja tanpa di ikuti mengikut syariat Islam sepenuhnya tidak akan mendatangkan hasil kerana Allah SWT perintahkan kita kembali kepada Allah dan rasul-Nya apabila berlaku perselishan pendapat.

Firman Allah SWT di dalam Surah al-Nisa' ayat 59: (maksudnya) "... Kemudian jika kamu berselisih pendapat dalam sesuatu maka kembalilah kepada Allah (al-Quran) dan ar-Rasul (Sunnah), jika kamu benar beriman dengan Allah dan hari akhirat. Yang demikian itu yang paling utama dan paling baik akibatnya."

Umat islam perlu bersatu di dalam akidah dan bersatu untuk menghayati dan melaksanakan ajaran Islam di dalam kehidupan berjemaah dan bermasyarakat.Umat Islam digalak hidup bersatu padu dan saling bantu membantu antara satu sama lain. Tetapi sejak kebelakangan ini, sikap benci membenci sesama Islam semakin ketara dan menular di seluruh negara. Ini semua disebabkan adanya kempen politik keterlaluan oleh sesetengah parti politik yang tidak lagi memperdulikan batasan kesusilaan dengan memaki hamun dan mencerca peribadi pemimpin Muslim yang lain. Ini bertentangan dengan ajaran Islam yang amat jelas melarang umatnya bermusuhan dan saling membenci. 

Persoalan ini memang menjadi satu masalah sosial di negara kita, khususnya di kalangan umat Islam masa kini. Memang tidak dinafikan punca utama masalah ini kerana permainan politik keterlaluan oleh sesetengah pihak.

Kalau ditinjau dari sudut pandangan Islam, maka secara terang dan jelas kita akan mendapati banyak ayat al-Quran dan hadis melarang umatnya daripada bertelagah, apa lagi bermusuh-musuhan sesama sendiri.

Ini kerana hasil daripada sikap yang tidak baik itu semata-mata akan menghancurkan kekuatan ummah dan sekiranya ini terjadi, maka sudah tentu ia memenuhi impian musuh Islam yang selama ini menanti saat seumpama ini.

Merujuk sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, katanya, Rasulullah bersabda, bermaksud: "Ditunjukkan amalan itu kepada Allah oleh kalangan malaikat pada hari Isnin dan Khamis. Lalu Allah memberikan pengampunan kepada setiap orang yang tidak menyengutukan Allah dengan sesuatu, melainkan (Allah tidak mengampunkan) seseorang yang antara dirinya dan saudaranya ada rasa kebencian (dalam hati masing-masing). Lalu Allah berfirman: "Tinggalkanlah kedua-dua orang ini, yakni jangan dihapuskan dosanya sehingga kedua-duanya berdamai semula." - (Hadis Riwayat Muslim).

Hadis ini dengan jelas menunjukkan betapa sikap bencikan saudara sendiri (apa lagi yang seagama) amat dimurkai Allah dan sukar mendapat pengampunan-Nya.

Hubungan sosial atau kemasyarakatan, tunggak kesejahteraan ummah. Oleh itu, setiap anggota masyarakat sewajarnya berada dalam satu kelompok keluarga yang besar secara harmoni tanpa sikap benci membenci antara satu dengan yang lain.

Hidup bersatu padu dan tolong menolong antara satu sama lain ke jalan takwa sepatutnya pegangan umat Islam. Sebaliknya, janganlah kita tolong menolong dalam membesarkan permusuhan atau perkara dosa yang lain.

Dalam keadaan apapun, umat Islam tidak sepatutnya menyemai sikap permusuhan serta perpecahan kerana kelemahan paling besar bagi sesuatu ummah ialah permusuhan dan perpecahan sesama sendiri.

Islam mengajar umatnya tidak membenci orang lain, khususnya yang se agama. Malah, kita dilarang menimbulkan kebencian atau menghasut orang lain supaya membenci sesuatu golongan dalam kelompok Islam.

Dalam hadis lain, ada dinyatakan Rasulullah memperingatkan umatnya agar tidak berhasad dengki dan tidak halal bagi seorang Muslim untuk tidak bersapa sesama saudara Muslim yang lain selama lebih daripada tiga hari kerana perasaan benci kepada saudaranya itu.

Selepas tiga hari bermasam muka, wajarlah orang yang berselisih faham memohon maaf sesama sendiri dan mereka juga wajar bertaubat serta kembali menyatukan Silaturrahim antara satu sama lain.

Dalam hadis ini dinyatakan, amalan kita diangkat setiap hari Isnin dan Khamis kepada Allah, tetapi sekiranya kita masih dalam keadaan benci membenci sesama saudara seagama hingga saat amalan kita itu diangkat kepada Allah, Dia tidak akan mengampunkan dosa kita kerana sikap membenci saudara seagama itu.

Oleh kerana itu, segeralah bertaubat sebelum amalan kita diangkat kepada-Nya, Allah. Wallahu a'lam

353. Soalan : Bila saya teliti surah al-Fatihah. Pada pendapat saya, surah ini adalah doa kita kepada Allah SWT. Ia dimulakan dengen pujian kepada Allah SWT,kemudian doa, dan diakhiri dengan Amin, iaitu semoga diperkenankan doa kite tadi. Betul ke surah al-Fatihan adalah doa kita kepada-Nya ustad?

Jawapan : 

Surah al-Fatihah adalah surah Makkiyyah mengandungi tujuh ayat. Surah yang wajib dibaca berulang-ulang setiap rekaat semasa solat. Tidak sah solat tanpa membaca surah ini. Surah al-Fatihah juga dipanggil sebagai Umm al-Quran (ibu al-Quran) atau Umm al-Kitab (ibu al-Kitab)

Kita mengerjakan solat 5 waktu sehari, dan ini bermakna kita membaca Al-Fatihah sebanyak 17 kali setiap hari. Keistimewaan dan kebaikan surah ini cukup jelas ianya merangkumi maksud yang terkandung di dalam keseluruhan al-Quran nul Karim.
As-Shahid Hasan al-Banna dalam risalahnya "Mukadimah fi at-Tafsir " berkata  : "Tiada syak siapa yang tadabbur al-Fatihah yang mulia ini pasti dapat melihat kayanya makna dan keindahannya serta keserasiannya, antara lain dapat dilimpahi cahaya pada hatinya."

As-Shahid Syed Qutb dalam tafsirnya "Fi Zilal al-Quran" antara lain berkata : "Sesungguhnya surah ini mengandungi inti pati akidah Islamiah, tasawur Islam, perasaan dan harapan doa kepada Ilahi yang diisyaratkan daripada hikmah pemilihan surah ini pada setiap rakaat solat.

Surah al-Fatihah adalah ibu al-Quran yang diasaskan dengan maksud-maksud secara menyeluruh, terdiri daripada usul ad-din dan cabang-cabangnya seperti akidah, ibadah, tasyri’, iqtikad dengan hari akhirat, beriman dengan sifat-sifat Allah yang mulia, mengesahkannya dalam beribadah, meminta pertolongan dan doa kepada Allah SWT.

Marilah kita hayati dan amalkan Surah al-Fatihah ini kerana ianya mengandungi beberapa keistimewaan yang tidak terdapat di dalam surah-surah lain di dalam al-Quran.

Pertama : Paling Besar (A’zham)

Abu Said al-Ma’alli r.a., katanya : “Aku sedang solat, lalu dipanggil oleh Rasulullah SAW., maka tak dapat aku menyahut. Sesudah aku selesai solat, aku datangi baginda, Rasulullah berkata : Kenapa engkau tidak segera mendatangiku ? 
Aku menjawab : Kerana aku dalam bersolat ya Rasulullah.
Berkata Rasulullah : Bukankah Allah sudah berfirman : 'Hai orang-orang beriman, sahutilah seruan Allah dan Rasul bila menyeru kamu kepada apa yang menghidupkan kamu'. 
Kemudian baginda berkata : 'Aku akan mengajarkan kepadamu sebesar-besar surah di dalam al-Quran sebelum engkau keluar dari masjid ini'. 
Ketika Rasulullah akan keluar dari masjid, baginda memegang tanganku, lalu aku berkata : 'Ya Rasulullah, Engkau mengatakan mahu mengajarkan kepadaku sebesar-besar surah di dalam al-Quran.'
Berkata Rasulullah : 'Ya, ialah al-Hamdulillahi Rabbil “Aalamin (dan seterusnya), ialah 7 ayat yang berulang-ulang, dan itulah al-Qur’an al-‘Azhim yang telah disampaikan kepadaku” (Hadis Riwayat Bukhari, Abu Dawud, an-Nasa’i)

Kedua : Dua cahaya untuk Nabi SAW.

Ibnu Abbas r.a. katanya : “Pada suatu hari Rasulullah SAW. duduk bersama Jibril, tiba-tiba Rasulullah mendengar suatu bunyi dari atas, lalu Jibril menoleh ke atas, kemudian lalu berkata : “Itu sebuah pintu sudah terbuka di langit, dan tak pernah pintu itu terbuka sebelum ini”, dari pintu itu turun satu malaikat, yang langsung menuju kepada Rasulullah, dan berkata : “Bergembiralah engkau (Muhammad) mendapat dua cahaya yang aku bawakan ini, yang tak pernah kedua cahaya ini diberikan kepada Nabi yang manapun sebelum engkau, kedua cahaya itu ialah Fatihatul-Kitab dan beberapa ayat di akhir Surah al-Baqarah, setiap huruf engkau baca dari keduanya pasti engkau mendapatkannya”.
(Hadis Riwayat Muslim dan Nasa'i)

Ketiga : Langsung mendapat jawapan daripada Allah SWT.

Siapa yang membaca Surah al-Fatihah, setiap ayat yang dibaca itu langsung dijawab oleh Allah SWT.  
Dari Abu Hurairah r.a. katanya : “Kami berada di belakang Imam (bersolat), maka berkatalah Imam itu kepadaku : “Bacalah al-Fatihah dalam hatimu, kerana aku telah mendengar Rasulullah SAW. mengatakan : Telah berkata Allah Azza-wa Jalla : Aku bagi solat (di sini maksudnya ialah al-Fatihah) antaraKu dan hambaKu menjadi dua bahagian (maksudnya : seperdua untukKu dan seperdua lagi untuk hambaKu), dan bagi hambaKu apa yang mereka minta."
Apabila hambaKu itu berkata : “Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalamin”, 
Allah menjawab : ”HambaKu memujiKu” ;
dan apabila hambaKu berkata : “Arrahmaanir Rahiim” , 
Allah menjawab : “HambaKu menyanjungKu” ; 
dan apabila hambaKu berkata : “Maaliki Yaumiddin”, 
Allah menjawab : “HambaKu memuliakanKu”, 
dan apabila hambaKu berkata “Iyyaka na’budu wa iyyaka nasta’iin”, 
Allah menjawab : “Ini seperdua untukKu dan seperdua untuk hambaKu, 
bagi hambaKu, apa yang ia minta; 
dan apabila hambaKu berkata “Ihdinashshiraathalmustaqiim, shiraathal ladzina an’amta ‘alaihim, ghairil maghdhuubi ‘alaihim waladh-dhaalliin”, 
Allah menjawab : Ini semuanya untuk hambaKu, dan bagi hambaKu apa yang ia minta”.
(Hadis Riwayat Muslim)

Keempat : Langsung Dari Arasy

Dari Ma’qal bin Yasaar r.a. : Telah berkata Rasulullah SAW  maksudnya : “Amalkanlah segala apa yang tersebut di dalam al-Quran, halalkanlah apa yang dihalalkannya, haramkanlah apa yang diharamkannya, dan patuhilah ia, jangan sekali-kali engkau engkar apa-apa yang tersebut di dalamnya, dan apa-apa yang kamu ragukan (maksudnya), kembalikanlah kepada Allah dan orang-orang yang mempunyai pengetahuan sesudah meninggal aku nanti, supaya diterangkannya kepada kamu, dan berimanlah kamu dengan Taurat, Injil dan Zabur, dan apa saja yang dibawa oleh para Nabi dari Tuhan mereka, dan akan memberi kelapangan kepadamu al-Quran dan segala keterangan yang tersebut di dalamnya, maka sesungguhnya al-Quran itu Pemberi Syafaat, sesuatu yang tak pandai bercakap tetapi membawa kebenaran, dan kepadaku diberikan Allah Surah al-Baqarah dari ZIKIR PERTAMA (Kitab-Kitab Suci yang diturunkan sebelum Musa a.s.) dan diberikan kepadaku surah yang berawalan Thaha, Thasin dan Hamim dari Papan-papan Musa (maksudnya : TAURAT), dan diberikan kepadaku Surah al-Fatihah langsung dari Arasy”.(Hadis Riwayat al-Hakim)

Kelima : Sebagai Ubat dan jampi.

Dari Abu Said al-Khudri r.a. “Pada suatu hari kami bersama-sama dalam perjalanan, bermalam di satu dusun. Datang kepada kami seorang budak perempuan dan berkata : “Sesungguhnya kepala desa ini sakit dan tak seorangpun di antara kami yang dapat mengubatinya, adakah diantara tuan-tuan yang dapat mengubatinya ?” Salah seorang dari rombongan kami berdiri dan mengikuti budak tadi. Kami tidak mengira yang ia dapat menjadi dukun. Si sakit itu lalu dijampinya dan sembuh. Kepadanya diberi hadiah 30 ekor kambing, dan kepada kami disuguhkan susu. Ketika ia kembali kami bertanya : “Apakah engkau membolehkan jampi, dan apakah engkau tukang jampi ?” Ia menjawab : “Tidak, saya bukan tukang jampi, tetapi aku hanya membacakan Ummul-Kitab (al-Fatihah).” Kami katakana : “Kejadian ini jangan dikabarkan kepada siapapun, sebelum kita tanyakan kepada Rasulullah s.a.w. lebih dahulu”. Sesudah kami sampai di kota Madinah, kami datangi Rasulullah s.a.w. dan kami ceritakanlah kejadian itu. Rasulullah lalu berkata : “Siapa tahu bahwa surah itu (al-Fatihah) adalah jampi (ubat) bagilah hadiah itu dan berikan saya sebahagian darinya”.(Hadis Riwayat Bukhari)

Keenam : Aman Dari Segala Bahaya.

Dari Anas r.a. : Berkata  Rasulullah SAW. : “Bila engkau baca al-Fatihah dan Qul Huwallahu Ahad maka amanlah engkau dari segala sesuatu, kecuali dari maut”. (Hadis Riwayat al-Buzar)

Surah Al-Fatihah sebenarnya macam suatu doa dan munajat kita sebagai hamba-Nya. Adalah penting untuk kita sentiasa mengharapkan pertolonganNya. Konsep kepercayaan kepada Tuhan yang Esa dan konsep bergantung kepada Allah SWT. sahaja.

Didalam surah ini juga terangkum Tauhid Rububiyah dan Tauhid Uluhiyah. Di dalam Tauhid Rububiyah mengandungi sifat-sifat kesempurnaan Allah SWT., nama-nama Allah yang mulia dan dan kekuasaan Allah SWT mentadbir Allah semesta dan berkuasa di hari akhirat. 

Di dalam Tauhid Uluhiyah pula adalah pengabdian diri sepenuhnya manusia kepada Allah SWT, termasuk juga penyembahan, pergantungan dan pengharapan manusia kepada-Nya. 

Jalan yang lurus dalam surah ini bermaksud jalan hidup Islam yang sempurna dan lengkap. Jalan yang membolehkan manusia merasai nikmat iman, jalan ketaataan, jalan beramal dan beribadah hanya kerana Allah, jalan melakukan kebaikan dan menjauhi keburukan, sebagaimana yang dikehendaki dan diredhai oleh Allah SWT.  Jalan-jalan lain yang bengkuk adalah jalan syaitan yang akan menyesatkan manusia.

Siapakah golongan yang diberi nikmat oleh Allah SWT.? Allah SWT menjelaskan dalam surah An-Nisa' bahawa mereka yang diberi nikmat adalah para Nabi, para shiddiqun, orang-orang yang mati syahid dan orang-orang soleh seperti didalam firman-Nya yang bermaksud :"Dan barangsiapa yang menaati Allah dan Rasul-Nya, mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, iaitu para nabi, para shiddiqun, orang-orang yang mati syahid, dan orang-orang saleh. Dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah karunia dari Allah, dan Allah cukup mengetahui." (Surah An-Nisa' ayat 69 - 70).

Di akhir surah ini minta dijauhi daripada orang yang dimurkai Allah SWT dan orang yang sesat. Siapkah orang yang di murkai Allah SWT dan orang yang sesat? 
Menurut Hadis Nabi  SAW.: "Orang-orang yang dimurkai" itu ialah kaum Yahudi, dan “Orang-orang yang sesat” ialah kaum Nasrani.” (Tafsir Al-Alusi, 1:90).

Marilah sama-sama kita tadabbur dengan surah al-Fatihah , faham makna dan tafsirnya supaya kita mendapat khusyuk semasa menunaikan solat (ketika membaca surah al-Fatihah), seolah-olah kita sedang berbicara secara langsung dengan Allah SWT. Amalkan juga membaca surah ini ketika di luar solat kerana hikmah dan kebaikannya cukup besar akan terpelihara daripada sebarang musibah dan bala dan dapat menjalin hubungan hati dengan Allah SWT.

354. Soalan : Ustaz nak tanya dari hadis tersebut mengatakan solat sunat witir di buat sebelum tidur.
Hadis riwayat Abu Hurairah r.a, dia berkata, " Orang yang aku cintai, iaitu Rasulullah SAW berpesan kepadaku akan tiga hal, 'Puasa tiga hari pada tiap bulan, solat Duha dua rakaat, dan solat witir sebelum tidur, (Hadis Rwiayat Muslim, no.1182)". Soalan saya...elok buat sebelum tidur atau sepertiga malam setelah selesai solat sunat yang lain?

Jawapan : 

Ada hadis lain yang memberi kelonggaran solat witir sebelum tidur atau selepas solat tahajud. Solat witir dilakukan setelah solat Isyak hingga menjelang fajar (subuh). Ia dapat dikerjakan sebagai pelengkap solat tahajjud atau solat tarawih. Ia sebagai penutup segala solat yang dilakukan hingga menjelang subuh.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: “Akhirilah solat malammu itu dengan solat witir.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim r.a.)
.
Sekiranya dirasa tidak akan terbangun mengerjakan solat tahajjud lagi, maka bolehlah terus mengerjakan solat witir sesudah mengerjakan solat Isyak.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: “Sesiapa yang berasa dirinya tidak mampu untuk bangun pada penghujung malam, sebaiknya mengerjakan solat witir pada awal malam, tetapi bagi sesiapa yang berasa dirinya mampu dan yakin akan dapat bangun pada penghujung malam, sebaiknya mengerjakan solat witir pada akhir malam, kerana solat pada akhir malam itu akan dihadiri oleh para malaikat dan itulah yang lebih utama.” (Hadis riwayat Ahmad, Muslim, Termizi dan Ibnu Majah)

355. Soalan : Ustaz ada satu soalan saya nak tanya mengenai zakat wang simpanan yg mana diagih agihkan kepada ahli keluarga sendiri apa pandangan dan mohon nasihat yg arif?

Jawapan :  

Wang zakat tak boleh difaraidkan kepada ahli keluarga sendiri kerana terdapat 8 asnaf yg layak mendapat wang zakat. Wang zakat juga tak boleh disedekahkan kepada sekolah tahfiz atau masuk tabung masjid. Wang ini hendaklah diserahkan kepada pusat zakat kerana di sini wang tersebut akan di agihkan kepada 8 asnaf. 

Jika kita nak bantu ahli keluarga maka bantulah dengan wang lebihan daripada poket kita sendiri bukannya di ambil daripada wang zakat sepatutnya kita keluarkan.

Firman Allah SWT maksudnya,“Sesungguhnya zakat-zakat itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus-pengurus zakat, para mu’allaf yang dibujuk hatinya, untuk (memerdekakan) budak, orang-orang yang berhutang, untuk jalan Allah, dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan, sebagai sesuatu ketetapan yang diwajibkan Allah; dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (Surah At-Taubah ayat 60)

Anak tidak boleh membayar zakat kepada ibu bapa kerana tanggungjawab anak adalah membantu kedua ibu bapanya. Ibu bapa tak boleh membayar zakat kepada anak-anaknya kerana ibu bapa masih bertanggungjawab memberi nafkah kepada anak-anaknya.

 Jika ada adik kandung atau adik tiri yang miskin dan layak mendapat zakat maka di haruskan memberikan wang zakat tersebut. Tetapi wang zakat jika di berikan kepada institusi zakat seperti Pusat Zakat maka wang zakat akan di agihkan kepada 8 asnaf dan golongan fakir miskin yang lebih ramai lagi. 

Wang zakat akan menjadi satu kekuatan ekonomi umat Islam. Jika semua umat Islam bayar sendiri-sendiri wang zakat tak dapat dikumpulkan untuk diagihkan lebih ramai penerima zakat yang berkelayakan termasuk 8 asnaf yang di jelaskan di dalam al-Quran. Lebih baik wang zakat kita di agihkan lebih ramai lagi penerima dan jika ada saudara mara yang miskin minta mereka mohon di pusat zakat untuk mendapat bantuan zakat. 

Sebagai ahli keluarga dia layak mendapatkan sedekah daripada kita sendiri sebagai ahli waris dan besar pahalanya di sisi Allah SWT bersedekah kepada adik beradik yang miskin. Jika kita serahkan wang zakat kita di pusat zakat maka telah terlepas satu amanah yang besar wajib kita tunaikan. Dan jika wang zakat kita di berikan kepada penerima zakat yang lebih ramai maka besar manfaatnya dan pahalanya yang akan kita terima. Wallahua'lam






No comments:

Post a Comment