Friday, March 21, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 75 (Qada Solat Kerana Tertidur, Menggugurkan Janin, Cara Bayaran Hutang, Hukum Melabur Wang dan Hukum Ikhtikaf)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sahabat yang dirahmati Allah,    
Tanyalah Ustaz Siri 75 adalah menjelaskan persoalan qada solat kerana tertidur, menggugurkan janin, cara bayaran hutang, hukum melabur wang dan hukum ikhtikaf. 

431. Soalan : Bagaimana cara nak qada solat subuh sebab bangun lewat jam 7.30 pagi. Dan pada hari Jumaat solat subuh kenapa imam sujud pada rekaat pertama sebelum rukuk?

Jawapan : 

Mereka yang meninggalkan solat sama ada sengaja atau tidak, diwajibkan menggantikan solat itu di luar waktunya iaitu sebaik tersedar daripada tidur.
Dari Anas bin Malik ra, berkata Rasulullah SAW: "Jika salah seorang dari kamu tertidur atau lalai hingga lupa solat, hendaklah dia mengerjakannya apabila teringat kerana Allah berfirman : Dirikanlah solat untuk mengingatiKu." (Hadis Sahih Muslim)

Meninggalkan solat tanpa uzur yang syarie dianggap berdosa. Uzur yang dibenarkan ialah dua perkara sahaja iaitu terlupa dan tertidur.

Mereka yang meninggalkannya secara sengaja, wajib bertaubat kepada Allah SWT dengan taubat yang bersungguh-sungguh dan solat qada yang ditinggalkan.

Taubat tidak akan diterima selagi tidak memenuhi syarat-syarat taubat iaitu tidak lagi meninggalkan solat dalam keadaan bagaimana sekalipun, menyesal atas segala perbuatan maksiat khususnya solat yang ditinggalkan dan berazam tidak mengulangi kelalaian tersebut pada masa akan datang.

Meninggalkan solat secara sengaja hukumnya adalah berdosa. Ini kerana solat itu adalah tiang agama. Sesiapa yang menunaikannya bererti telah mendirikan agama dan sesiapa yang meninggalkannya bererti meruntuhkan agama.

Namun begitu, bagi orang yang tertinggal solat bukan secara sengaja seperti bangun subuh lewat dari waktu- nya dan perkara ini jarang berlaku kepada dirinya, maka yang terlibat tidak berdosa.

Sabda Nabi SAW, daripada Ibnu Abbas r.a: 'Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah Taala telah memaafkan untukku daripada umatku akan perkara yang dilakukan kerana tersilap, terlupa dan perkara yang mereka dipaksa melakukannya." (Hadis hasan diriwayatkan oleh Ibnu Majah, Baihaqi dan lainnya). 

Sebaik-baiknya segarakan solat qada subuh jangan ditangguh hingga masuk waktu zohor.
Semasa solat subuh pada hari Jumaat surah yang sunat dibaca adalah surah al-Sajadah dan surah al-Insan . Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam biasa membaca pada hari Jumaat dalam solat Subuh (surah) Alif lam mim tanzilus sajadah dan (surah) Hal ata ‘alal insani hinum minad dahr. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam Sahihnya, Kitab al-Jumu‘ah, Bab apa yang dibaca dalam solat subuh pada hari Jumaat, hadis no: 891.) 

Semasa membaca surah al-Sajadah ayat ke 15 pada rekaat pertama ada sujud sajadah (sunat sahaja). Jika kita solat subuh tak baca surah al-Sajadah tak apa ianya sunat saja.
Jika kita tak baca doa qunut sah solat kita kerana doa qunut adalah sunat abád saja. Sebaik-baiknya kita baca dan hafal doa tersebut untuk kebaikan diri kita. 

Jika kita solat berjemaah di masjid atau surau imam sudah membaca doa qunut kita mengaminkan saja, oleh itu eloklah jika setiap solat subuh solat berjemaah di masjid atau surau akan mendapat 27 kali ganjaran berbanding solat bersendirian di rumah.

432. Soalan : Saya ingin bertanya :

1 - ada di benarkan kita mengugurkan janin sebelum usianya 6 minggu?

2- adakah dibenarkan 2 saudara kembar bernikah dgn 1 suami dgn alasan tidak sanggup berpisah?. Terima kasih.

Jawapan : 

Ustaz Dr Zaharuddin Abd Rahman menjelaskan : HUKUM MENGGUGURKAN JANIN

Sebagai tambahan dan lebih faedah untuk pembaca disertakan hukum Menggugurkan Janin dalam keadaannya yang berbeza :

1. JANIN mengidap Penyakit yang ringan (tidak mengakibatkan kematian) yang boleh diubati.
Hukumnya : HARAM sebelum 4 bulan dan selepas

2. JANIN mengidap kecacatan ringan yang tidak boleh diubati tetapi ia boleh hidup. Seperti Buta, Cacat sebelah tangan, atau kedua-duanya, cacat kaki, kurang jari dan sebagainya.
Hukumnya : HARAM jika umur janin melebihi 4 bulan, HARUS kiranya umur bayi di bawah 4 bulan.

3. JANIN mengidap Kecacatan yang Serius yang membawa kematian . seperti tiada kepala, tiada paru2 dan sebagainya
Hukumnya : Biasanya janin akan gugur dengan sendirinya. Tiada hukum.

4. JANIN mengalami kecacatan anggota yang membawa akan membawa kematian sejurus selepas dilahirkan.
Hukumnya : Terdapat perbezaan pandangan ulama'

a) HARUS sebelum 4 bulan, Haram selepas 4 Bulan.

b) HARUS walaupun selepas 4 bulan, dengan syarat, Keyakinan tinggi hasil analisa Doktor2 pakar.

5. JANIN menghidapi penyakit AIDS.
Hukumnya : HARUS sebelum 4 bulan , Haram selepas 4 Bulan.

6. JANIN yang terhasil akibat dirogol
Hukumnya : HARUS digugurkan hanya sebelum 4 Bulan.

7. JANIN yang sihat @ sakit @ cacat tetapi nyawa Ibu terancam kiranya janin dilahirkan.
Hukumnya : HARUS gugur janin samada sebelum atau selepas 4 bulan, kerana nyawa Ibu diutamakan dalam hal ini.

PERSOALAN : Mengapa umur Janin SEBELUM DAN SELEPAS 4 bulan membawa perbezaan hukum ?

Jawapan : Berdasarkan hadis Riwayat Muslim, titik hidup manusia bermula sebagai manusia dengan mempunyai hak-hak kemanusian yang dikitiraf dalam Islam adalah dari umur 4 bulan dalam kandungan. Kerana berdasarkan hadis Nabi SAW, "MANUSIA DITIUPKAN RUHNYA KETIKA SEKITAR UMUR 120 HARI. DEMIKIAN PANDAGAN MAZHAB YANG EMPAT DAN MAJORITI FUQAHA."

Maka apabila telah ditiup Ruh, janin tersebut dianggap sebagai seorang manusia yang mempunyai hak seperti manusia sempurna. Justeru, penggugurannya adalah dikira membunuh manusia atau nyawa. Ia diharamkan oleh Allah sebagaimana FirmanNya yang bermaksud "Dan janganlah kamu membunuh nyawa manusia yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan alasan yang benar (di sisi syarak)." (Surah Al-An'am ayat 151)

Walaupun majoriti fuqaha memfatwakan boleh menggugurkan janin sebelum 4 bulan dengan sebab-sebab yang konkrit, bagaimanapun terdapat sekumpulan kecil ulama yang mengharamkannya dalam semua peringkat umur janin, ia adalah pandangan Imam Abu Hamid Al-Ghazali (wafat 505 H), serta sebahagian Fuqaha' Mazhab Maliki. Wallahu a'lam.

Haram dua anak kembar perempuan berkahwin dengan suami yang sama. Dalam syariat islam tidak boleh bermadu dua bersaudara dengan satu suami.

Di dalam perkara yang haram tak boleh patuh kepada suami. 
Lihat hadis di bawah : 

حَدَّثَنَا مُسَدَّدٌ حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ سَعِيدٍ عَنْ عُبَيْدِ اللَّهِ حَدَّثَنِي نَافِعٌ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ عَلَى الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ فِيمَا أَحَبَّ وَكَرِهَ مَا لَمْ يُؤْمَرْ بِمَعْصِيَةٍ فَإِذَا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلَا سَمْعَ وَلَا طَاعَةَ

Terjemah ;

Dari Abdullah Bin Umar, Dari Nabi Shallallahu Alaihi Wa Sallam, berkata, “(keharusan) mendengar dan taat atas orang muslim itu bergantung terhadap apa yang ia senangi dan benci, selama belum diperintahkan berbuat maksiat, bila kemudian diperintahkan untuk berbuat maksiat maka tidak ada lagi (keharusan untuk) mendengar taat”. (Hadis Riwayat Bukhari)

433. Soalan : Jika seseorang yang berhutang tanpa diketahui oleh warisnya, jika meninggal, tiada siapa yg melunaskan hutang tersebut bagi pihak dirinya, jadi bagaimana dosa hutang yang ditanggung tersebut, adakah diselesaikan di akhirat nanti dengan cara membayar pahala amalan kepada si penghutang.?

Jawapan :

Jika seseorang berhutang tetapi dia berniat hendak membayarnya jika berkemampuan, tetapi dengan izin Allah SWT dia meninggal dunia, maka dia di kira tidak berdosa kerana bukan di sengajakan untuk tidak membayar hutang.

Terdapat hadis menegaskan;

مَنْ أَخَذَ أَمْوَالَ النَّاسِ يُرِيدُ أَدَاءَهَا أَدَّى اللَّهُ عَنْهُ، وَمَنْ أَخَذَ يُرِيدُ إِتْلاَفَهَا أَتْلَفَهُ اللَّهُ

“Sesiapa mengambil harta orang lain dengan keinginan untuk membayarnya, Allah akan membayar bagi pihaknya. Sesiapa mengambilnya dengan keinginan untuk memusnahkannya (yakni tiada keinginan untuk membayarnya), Allah akan memusnahkannya” (Hadis Riwayat Bukhari dari Abu Hurairah r.a. Soheh al-Bukhari, Kitab al-Istiqradh…, hadis no. 2387).

Menurut penjelasan ulamak; maksud “mengambil harta orang lain’ merangkumi mengambilnya sebagai hutang, mengambilnya untuk menyimpanya (wadi’ah), melalui melalui satu bentuk mu’amalah atau lain-lainnya. Ia tidak terikat dengan mengambil secara zalim sahaja. Maksud; “dengan keinginan untuk membayarnya” ialah; berniat untuk membayarnya ketika di dunia.

Maksud “Allah akan membayar bagi pihaknya” ialah; Allah akan membantunya untuk membayarnya atau Allah akan melapangkan rezkinya sehingga ia dapat membayar hak orang lain sebelum kematiannya. Atau boleh juga difahami dengan maksud doa dari Nabi SAW, iaitu; “Semoga Allah akan membayar bagi pihaknya”. Menurut Imam al-Munawi; makna zahir hadis ini menunjukkan bahawa sesiapa berniat untuk menunaikan/membayar (hutang kepada orang lain yang tertanggung atas bahunya), kemudian ia mati sebelum sempat membayarnya kerana kesusahannya atau kerana matinya secara tiba-tiba, Allah tidak akan mengambil dari kebaikan-kebaikannya di akhirat (untuk dibayar kepada pemilik hutang tadi), akan tetapi Allah akan menjadikan pemilik hutang redha kepadanya (dan tidak menuntut haknya)” (Faidhul-Qadier, hadis no. 8351).

Maksud “mengambil dengan keinginan untuk memusnahkannya” ialah mengambil hak orang lain tanpa berniat membayarnya. Maksud “Allah akan memusnahkan hartanya” ialah; Allah akan memusnahkan hartanya di dunia dengan mentakdirkan banyak berlaku dugaan kepadanya, kerugian demi kerugian, musibah dan terhapusnya barakah, dan di akhirat pula Allah akan menghukumnya kerana hak orang lain tersebut.

Abu Hurairah r.a. menceritakan; Suatu hari Nabi SAW pernah bertanya sahabat-sahabatnya; ‘Tahukah kamu siapa orang muflis?’. 

Mereka menjawab; ‘Orang muflis mengikut kefahaman kami ialah seorang yang tidak memiliki wang (untuk membayar hutangnya) dan tidak pula memiliki barang (untuk digadai bagi membayar hutangnya)’. 

Lalu Nabi bersabda; “Seorang muflis dari kalangan umatku ialah seorang yang datang pada hari Kiamat dengan solat, puasa dan zakat, namun (pada masa yang sama) ia juga membawa dosa mencela orang ini, menuduh orang itu, memakan harta orang ini, menumpahkan darah oang itu dan memukul orang ini (dan seumpamanya), lalu diberikan kepada orang ini sebahagian dari pahala-pahala kebaikannya dan diberikan kepada orang itu pula sebahagian pahalanya, hinggalah akhirnya habis pahalanya namun belum lagi terbayar dosa-dosa yang tertanggung atasnya, lalu diambil dosa-dosa mereka tadi dan ditapukkan ke atasnya hingga akhirnya ia dihumban ke dalam neraka (kerana banyak dosa)” (Hadis Riwayat Muslim. Soheh Muslim, kitab al-Birri wa as-Shilah wa al-Adab, hadis no. 2581).

434. Soalan : .Rakan saya mengajak saya untuk melabur dalam perniagaan yang sedang di usahakannya dia menjanjikan dividen tahunan 10% dari nilai pelaburan, namun dividen itu adalah beranggapan hanya sebagai hadiah penghargaan kepada saya dalam perniagaan runcitnya . Adakah situasi ini diizinkan syarak ustaz? Mohon pencerahan terima kasih.

Jawapan : 

Pelaburan yang menjanjikan keuntungan tetap pada setiap bulan (atau dalam tempoh tertentu), tanpa tertakluk kepada untung-rugi yang dikongsi bersama, pelaburan itu tidak sah di sisi Syariat kerana ia berunsurkan riba. 

Hal ini telah disepakati para ulamak. Jadi 3% yang dijanjikan pada setiap bulan itu adalah riba dan tidak halal. Kecualilah jika 3% yang dijanjikan itu dinisbahkan kepada keuntungan dan tertakluk kepada untung rugi syarikat atau perniagaan terbabit (yakni tiada keuntungan yang akan diberikan jika syarikat/perniagaan mengalami kerugian pada bulan tertentu), maka ia sah di sisi Syariat. Itu dilihat dari aspek pembahagian keuntungan. 

Perlu juga dilihat dari aspek-aspek lain seperti produk yang diperniagakan (adakah halal?), bentuk perkongsian dan sebagainya untuk memastikan keseluruhannya sah mengikut syariat. Wallahu a'lam.

435. Soalan : .Apakah kebaikan yang boleh saya peroleh jika saya melakukan ikhtikaf di masjid?

Jawapan : 

Kebaikan berikhtikaf adalah :

Pertama: Mendatangkan ketenangan kepada fikiran dan jiwa dari bermacam-macam kesibukan dan boleh merehatkan seluruh anggota badan dari kepenatan dan keletihan.

Kedua: Dari segi rohani akan mendorong kita supaya memikirkan kelemahan diri dan merenung tanda-tanda kebesaran Allah SWT kerana dengan jalan demikian akan mendekatkan kita lagi kepada Allah SWT.

Ketiga: Iktikaf boleh mendidik diri kearah jiwa muthmainnah ( jiwa yang tenang ) dan tidak tunduk kepada dorongan hawa nafsu, sebaliknya tunduk dan taat kepada Allah Subhanahu Wataala dengan akal yang sihat.

Keempat: Iktikaf juga akan meningkatkan iman dan takwa kerana dengan memperbanyakkan ingat kepada Allah SWT sahajalah kita akan gementar dan terasa kebesaran Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dengan berfirman: 'Bersihkanlah rumah Ku (Kaabah dan Masjidil-haram dari segala perkara yang dilarang) untuk orang-orang yang bertawaf dan orang-orang yang beriktikaf (yang tetap tinggal padanya) dan orang-orang yang rukuk dan sujud." (Surah Al-Baqarah ayat 125)




No comments:

Post a Comment