Thursday, April 10, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 90 ( Perniagaan Riba, Niat Puasa Sunat, Jiran Yang Suka Memfitnah, Di larang Mengkafirkan Seorang Muslim dan Salam Dalam Solat.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 90 adalah menjelaskan persoalan perniagaan riba, niat puasa sunat, jiran yang suka memfitnah, di larang mengkafirkan seorang muslim dan salam dalam solat.

506. Soalan : Ustaz..saya ada satu soalan...apakah hukum jika kita melibatkan wang sejumlah rm20,000 dalam urusan pembelian modal minyak.seterusnya tiap-tiap minggu kita akan dapat keuntungan rm500...jika kita nak stop maka company yang terlibat akan baga balik wang rm20,000 tadi...jadi apakah hukum wang yang kita dapat tiap-tiap minggu itu...mohon pencerahan daripada ustaz terima kasih...

Jawapan : 

Keuntungan yang berbentuk tetap setiap minggu adalah dikira riba kerana perniagaan di dalam sistem Islam (cara mudharabah) keuntungan dan kerugian di tanggung bersama dan tidak boleh ditetapkan peratus keuntungannya untuk pelabur yang mengeluarkan modal.

 Riba Zaman Jahiliyyah


Pada zaman Jahiliyyah, riba terkenal dengan dua model iaitu riba nasi'ah dan riba fadhl:

Riba Nasi'ah

1. Menurut Qatadah, riba nasi'ah adalah riba kaum jahiliyyah dimana seorang menjual sesuatu hingga batas waktu tertentu. Apabila batas waktu itu tamat sedangkan pembelinya belum juga mampu melunasi pembayarannya maka harganya dinaikkan dan tempuhnya ddiundurkan lagi.

2. Mujahid mengatakan bahawa pada zaman jahiliyyah ada orang yang mempunyai hutang kepada orang lain, lalu yang punya hutang berkata kepada pemilik wang, "Hutang saya akan saya bayar "sekian" dengan syarat anda mengundurkan tempuhnya kepada saya". Lalu orang itu mengundurkan waktunya.

3. Abu Bakar Al Jashshah mengatakan bahawa pada zaman jahiliyyah riba hanya pinjaman berjangka dengan penambahan bunga bersyarat. Penambahan bunga itu sebagai imbalan dari penundaan waktu pelunasan hutangnya, lalu Allah SWT membatalkan sistem itu.

4. Menurut Al Imam Ar-Razi dalam tafsirnya, "Sesungguhnya riba nasi'ah itulah yang terkenal di zaman jahiliyyah kerana seseorang dari mereka meminjamkan wangnya kepada orang lain dengan tempoh, dengan syarat ia harus memberinya bunga tertentu setiap bulan. Kalau tidak sanggup memenuhi janjinya maka bunganya ditambah dan waktunya diundurkan".

Riba Fadhl

Riba ini terjadi apabila seseorang menjual sesuatu dengan sejenisnya dengan tambahan, seperti menjual emas dengan emas, mata wang dirham dengan dirham, gandum dengan gandum dan seterusnya.

Abu Said Al Khudari berkata, "Rasulullah bersabda maksudnya : "Emas dengan emas, perak dengan perak, bur dengan bur, syair dengan syair, kurma dengan kurma dan garam dengan garam dipertukarkan dengan sama, segenggam dengan segenggam,. Siapa yang manambah atau minta tambah maka ia telah malakukan praktik riba, baik yang meminta mahupun yang memberi, dalam hal itu sama saja." ( HR. Asy Syaikhan)

Dari Abu Said Al Khudari, katanya, "Bilal datang kepada Rasulullah SAW dengan membawa kurma kualitas Barni. Lalu Rasulullah SAW bertanya kepadanya, "Dari mana kurma itu ?". Ia menjawab , "Kami punya kurma yang buruk lalu kami jual barter dua liter dengan satu liter". Maka Rasulullah bersabda:

"Masya Allah, itu juga adalah perbuatan riba. Jangan kau lakukan. Jika kamu mahu membeli, juallah dahulu kurmamu itu kemudian kamu beli kurma yang kamu inginkan." ( Muttafaq 'alaih)

Jenis riba yang pertama sudah jelas, sedangkan jenis yang kedua hanya terdapat pada perbezaan kualiti barang sejenis yang dipertukarkan sehinga jual beli tersebut tersebut digolongkan riba. Rasulullah SAW memerintahkan untuk menjual dulu kurma yang hendak dipertukarkan dan wangnya digunakan untuk membeli kurma yang lebih baik. Ini semua diamanahkan oleh Rasulullah SAW untuk menjauhkan umatnya sejauh mungkin dari bayangan praktik riba. Begitu pekanya perasaan Rasulullah SAW dari bayangan riba dalam berbagai praktik ekonomi kemasyarakatan dan hikmahnya. Baginda berhasil memecah penyakit riba yang telah menjadi darah daging di zaman jahiliyyah.

Sedikit atau Banyak Sama Hukumnya

Firman Allah SWT maksudnya, "Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memakan riba dengan berlipat ganda dan bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu mendapat keuntungan." (Surah Al Imran (3) ayat 130)

"Dan peliharalah dirimu dari api neraka, yang disediakan untuk orang-orang yang kafir" (Surah..Al Imran (3) ayat 131)

507. Soalan : Ustaz bolehkah saya nak puasa sunat ..tapi saya terlupa nak niatnya baru teringat pagi ni...boleh ke saya nak puasa?

Jawapan : 

Puasa sunat boleh diniatkan di waktu pagi sebelum makan atau minum. Tetapi puasa Ramadan, qada, nazar dan puasa kaffarah perlu niat sebelum masuk waktu subuh.

Dari Umar bin Al Khaththab diatas mimbar berkata; saya mendengar Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda: "Semua perbuatan tergantung niatnya, dan tiap orang mendapatkan apa yang diniatkan (Hadis Riwayat Bukhari)

Berdasarkan hadis di atas, orang yang menahan diri dari makan dan minum tapi tidak berniat ibadah, misalnya kerana mogok makan, maka dia tidak mendapatkan pahala apapun.

Hanya saja terkait puasa sunat, niat boleh dilakukan di siang hari meskipun setelah terbit fajar. Dalil yang menunjukkan kebolehan ini adalah hadis berikut ini;

Dari Aisyah Ummul Mukminin, ia berkata; Pada suatu, Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam menemui dan bertanya, "Apakah kamu mempunyai makanan?" kami menjawab, "Tidak." Baginda bersabda: "Kalau begitu, saya akan berpuasa." (Hadis Riwayat Muslim)

Dalam hadis di atas, Rasulullah Sallalahu 'Alaihi Wasallam berpuasa sunat. Ketika niat puasa Rasulullah Shallalahu 'Alaihi Wasallam ternyata dilakukan di siang hari, yakni setelah terbit fajar kerana baginda tidak mendapati makanan di rumahnya yang boleh diimakan, maka hal ini menunjukkan puasa sunat boleh diniatkan di siang hari.

Sejumlah shahabat seperti Abu Ad-Darda', Ibnu Abbas, Hudzaifah, Abu Thallah dan Abu Hurairah juga memiliki kebiasaan seperti Rasulullah Shallalahu 'Alaihi Wasallam ini. Yakni berniat puasa sunat di siang hari jika tidak mendapatkan makanan yang boleh di makan di rumahnya. Bukhari meriwayatkan;

Ummu Ad-Darda' berkata: Kebiasaan Abu Ad-Darda' jika bertanya: Apakah ada makanan?,lalu kami menjawab: Tidak, maka beliau berkata; Aku puasa hari ini. Abu Tholhah, Abu Hurairah, Ibnu Abbas, dan Hudzaifah juga melakukan kebiasaan ini (Hadis Riwayat Bukhari)

Adapun hadis yang mewajibkan niat harus di malam hari sebelum terbit fajar, misalnya hadis berikut ini;

Dari Hafshah dari Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, baginda bersabda: "Barangsiapa yang tidak berniat puasa sebelum terbit fajar, maka ia -dianggap- tidak berpuasa." (Hadis Riwayat An-Nasai)

508. Soalan : Saya ingin bertanya berdosakah saya sekiranya saya mengambil jalan mendiamkan diri dari bertegur sapa dengan jiran sebelah rumah (ibu saudara suami) kerana dia telah menyebar cerita kepada ipar-ipar saya bahawa saya telah memburuk-burukkan ipar-ipar saya kepada orang lain,.... hal ini menyebabkan ipar-ipar saya telah bermasam muka dengan saya dan suami.... ini adalah kali kedua dia telah mengadu domba tentang saya dan suami.

Jawapan : 

Islam melarang umatnya dari tidak bertegur sapa dengan sahabat seIslamnya yang lain dek kerana pergaduhan perkara keduniaan lebih dari 3 hari. Walaupun jiran kita telah membuat fitnah dan mengadu domba , kita disuruh untuk tetap bertegur sapa dan jangan sekali-kali putuskan silaturahim.

Nabi SAW bersabda :

ولا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يَهْجُرَ أَخَاهُ فَوْقَ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ

Ertinya : Dan tidak halal bagi seorang Muslim itu meninggalkan ( tidak bertegur sapa kerana pergaduhan) saudara seIslamnya lebih dari 3 hari” (Hadis Riwayat Al-Bukhari, 5/2253)

Kenapa 3 hari?, inilah sifat fitrah dalam kerana Islam. Walaupun Nabi SAW pernah menasihatkan agar jangan marah dalam sabdanya :-

سَأَلَ رَسُولَ اللَّهِ مَاذَا يباعدني من غَضِبِ اللَّهِ عز وجل قال لاَ تَغْضَبْ

Ertinya : Ditanya kepada Rasulullah SAW : Apakah yang menjauhkan aku dari kemurkaan Allah SWT , jawab Nabi : Janganlah kamu marah ” (Hadis Riwayat Ahmad, 2/175). 

Daripada Abu Hurairah r.a, bahawasanya seorang lelaki bertanya, “Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya aku mempunyai kaum kerabat yang aku eratkan hubunganku dengan mereka tetapi mereka memutuskan, dan aku berbuat baik dengan mereka tetapi mereka membuat jahat kepadaku, aku berlemah lembut dengan mereka tetapi melakukan kekasaran terhadap aku”. 

Maka jawab Rasulullah, “Jika benarlah apa yang engkau katakan itu maka seolah-oleh engkau memberi makan abu panas (mereka melakukan dosa besar) dan Allah sentiasa bersama engkau memberi pertolongan selagi kamu mengekalkan sifat-sifat kamu”. 
(Hadis Riwayat Muslim)

Huraian Hadis: Islam mengajar umatnya berbuat baik bagi mengeratkan hubungan antara keluarga walaupun kebaikan itu dibalas dengan keburukan. Berbuat baiklah dengan kaum keluarga dengan tujuan mengeratkan hubungan silaturahim, semoga mendapat keredaan dan pertolongan daripada Allah SWT. Islam menghendaki umatnya mengerjakan kebaikan sesama keluarga untuk menjamin kesejahteraan. Orang yang cuba melakukan permusuhan dan kemarahan kepada orang yang hendak berbuat baik dengannya adalah dimurkai oleh Allah dan dia akan mendapat seksaan diakhirat kelak.

Silaturahim adalah kunci terbukanya rahmat dan pertolongan Allah SWT. Dengan terhubungnya silaturahim, maka ukhuwah Islamiyah akan terjalin dengan baik. Bagaimana pun besarnya umat Islam secara kuantitatif, sama sekali tidak ada ertinya bila di dalamnya tidak ada persatuan dan kerja sama untuk taat kepada Allah...

Tahukah sahabat tentang sesuatu yang paling cepat mendatangkan kebaikan ataupun keburukan?

"Sesuatu yang paling cepat mendatangkan kebaikan adalah pahala orang yang berbuat kebaikan dan menghubungkan tali silaturahim, sedangkan yang paling cepat mendatangkan keburukan ialah siksaan bagi orang yang berbuat jahat dan yang memutuskan tali persaudaraan" (Hadis Riwayat. Ibnu Majah).

Silaturahim tidak sekadar bersentuhan tangan atau memohon maaf belaka. Ada sesuatu yang lebih hakiki dari itu semua, yaitu aspek mental dan keluasan hati.apabila kita bersilaturahim jangan pula kita memilih-milih siapakah yang layak kita mengikat silaturahim,contohnya memilih yang kaya,cantik dan setaraf ini bukanlah yang di maksudkan silaturahim didalam islam.

Rasulullah SAW bersabda, "Yang disebut bersilaturahim itu bukanlah seseorang yang membalas kunjungan atau pemberian, melainkan bersilaturahim itu ialah menyambungkan apa yang telah putus" (Hadis Riwayat. Bukhari).

509. Soalan : Saya nak tanya...adakah salafi itu sesat...sedangkan mereka pandu pada al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW?

Jawapan :  

Umat Islam perlu berhati-hati untuk membuat dakwaah sesuatu kumpulan itu sesat atau tidak. Jika jelas sesat darisegi akidah, ibadah, amalan zikir, menolak hadis, menolak hukum Allah SWT, menghalakan yang diharamkan oleh Allah SWT . Kumpulan yang jelas sesat terdapat di dalam laman web JAKIM dan bahagian penyelidikan JAKIM telah menyenaraikan dan mewartakan 56 ajaran sesat yang terdapat di Malaysia.. Kumpulan Salafi tidak tersenarai di dalam ajaran sesat yang diputuskan oleh pihak JAKIM.
Bahaya Menuduh Orang dengan Kata Kafir Atau Fasiq

BAHAYA MEMANGGIL DENGAN KAFIR ATAU FASIQ

عَنْ أَبِي ذَرٍّ أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَيْسَ مِنْ رَجُلٍ ادَّعَى لِغَيْرِ أَبِيهِ وَهُوَ يَعْلَمُهُ إِلَّا كَفَرَ وَمَنِ ادَّعَى مَا لَيْسَ لَهُ فَلَيْسَ مِنَّا وَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ وَمَنْ دَعَا رَجُلًا بِالْكُفْرِ أَوْ قَالَ عَدُوَّ اللَّهِ وَلَيْسَ كَذَلِكَ إِلَّا حَارَ عَلَيْهِ

Dari Abu Dzar, dia mendengar Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam bersabda,“Tidak ada seorang lelakipun yang mengakui bapa kepada orang yang bukan bapanya padahal ia tahu (kalau itu bukan bapanya), kecuali dia telah kufur. Barangsiapa yang mengaku sesuatu yang bukan haknya, bererti dia tidak termasuk golongan kami dan hendaklah ia menempati tempat duduknya dari api neraka. Dan barangsiapa yang memanggil seseorang dengan panggilan “kafir” atau “musuh Allah” padahal dia tidak kafir, maka tuduhan itu akan kembali kepada penuduh.(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

TAKHRIJ HADIS

Hadis dari sahabat yang mulia Abu Dzar Al Ghifari ini, diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam shahihnya di dua tempat; kitab Al Manaqib, Bab Nisbatul Yaman Ila Isma’il, hadits no. 3317 dan kitab Al Adab, Bab Ma Yanha Minas Sibab Wal La’ni, hadits no. 5698 dan Imam Muslim dalam shahihnya, kitab Al Iman, Bab Bayan Hali Iman Man Raghiba An Abihi Wahua Ya’lam, hadits no. 214.

SYARAH HADIS

1. Sabda Rasulullah yang maksudnya: Tidak ada seorang lelakipun yang mengakui bapa kepada orang yang bukan bapanya padahal ia tahu, kecuali dia telah kafir.

Mengakui orang lain sebagai orang tua kandung, padahal bukan orang tuanya termasuk dosa besar. Kebiasaan seperti banyak dilakukan oleh orang kafir Quraisy pada zaman dulu untuk mencari kebanggaan. Kemudian kebiasaan ini dilarang oleh agama Islam. Bahkan dalam hadis di atas, perbuatan seperti ini dianggap sebuah kekufuran. Kata kufur disini mengandung dua makna. Pertama, kafir yang sebenarnya jika perbuatan ini dianggap halal. Dan makna kedua, iaitu kufur (tidak bersyukur) terhadap nikmat, kebaikan, hak Allah dan hak orang tua.

Kekufuran yang disebutkan dalam hadis ini bukanlah kekufuran yang mengakibatkan seseorang murtad dari agama ini. Kata kufur disini, bermakna sama dengan kata kufur yang terdapat dalam sabda Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wa sallam.


أُرِيتُ النَّارَ فَإِذَا أَكْثَرُ أَهْلِهَا النِّسَاءُ يَكْفُرْنَ قِيلَ أَيَكْفُرْنَ بِاللَّهِ قَالَ يَكْفُرْنَ الْعَشِيرَ وَيَكْفُرْنَ الْإِحْسَانَ لَوْ أَحْسَنْتَ إِلَى إِحْدَاهُنَّ الدَّهْرَ ثُمَّ رَأَتْ مِنْكَ شَيْئًا قَالَتْ مَا رَأَيْتُ مِنْكَ خَيْرًا قَطُّ

Aku diperlihatkan neraka, tiba-tiba (aku lihat) kebanyakan penghuninya adalah perempuan yang kufur. Beliau ditanya,”Apakah mereka kufur kepada Allah?” Baginda menjawab,”Mereka kufur kepada suami dan kebaikannya. Jika engkau berbuat baik kepada salah seorang diantara mereka selama setahun, kemudian melihat sesuat yang mengecewakan, dia akan berkata,’Saya tidak pernah melihat kebaikanmu sedikitpun’. (Hadis Riwayat Bukhari)

Rasulullah menjelaskan kata kufur disini dengan kufur kepada suami dan kebaikan. (Lihat Syarah Shahih Muslim, 2/237)

Jadi orang yang mengakui orang lain sebagai bapanya, padahal dia tahu itu bukan bapanya, maka dia telah kufur terhadap orang tuanya. Padahal orang tuanya merupakan orang yang paling berhak padanya. Orang tuanya telah melahirkan, mendidik dan memeliharanya. Kerananya Allah meletakkan kewajiban bersyukur kepada kedua orang tua setelah kewajiban bersyukur kepada Allah. Sebagaimana firmanNya,


أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ

Maksudnya, "Hendaklah kamu bersyukur kepadaKu dan kepada kedua orang tuamu." (Surah Luqman ayat 14 )
 

2. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wa sallam yang ertinya : "Barangsiapa yang mengakui yang bukan haknya, bererti dia tidak termasuk golongan kami dan hendaklah ia menjadikan tempat duduknya dari api neraka."

Kata dakwa ( الدعوى ) , maksudnya seseorang mengakui sesuatu sebagai miliknya, haknya atau yang sejenisnya.

Sedangkan menurut syar’i, dakwa adalah mengaku berhak atas sesuatu yang sedang berada dalam tanggungan seseorang, atau berada di tangan orang lain atau yang sejenis nya.

Sabda Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wa sallam diatas memiliki makna yang umum. Mencakup semua pengakuan, baik mengaku memiliki, mengaku berhak, mengaku anak atau yang lainnya. Semua itu masuk dalam pengertian hadis tersebut.

Adapun sabda Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wa sallam, bererti dia bukan golongan kami, maksudnya ialah ia tidak berada di atas sunnah kami dan tidak berada di atas jalan kami yang indah. Baginda tidak bermaksud mengkafirkan orang ini, meskipun secara zahir ucapan ini mengkafirkan.

Dalam masalah pengakuan ini, terdapat juga hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim,


لَوْ أُعْطِيَ النَّاسُ بِدَعْوَاهُمْ لَادَّعَى نَاسٌ دِمَاءَ رِجَالٍ وَأَمْوَالَهُمْ وَلَكِنَّ الْبَيِّنَةَ عَلَى الْمُدَّعَى

Kalau seandainya orang-orang itu diberi sesuai dengan pengakuan mereka, tentu mereka akan mengaku berhak atas darah atau nyawa orang dan harta orang, akan tetapi wajib atas orang yang mengaku mendatangkan bukti.

Maksudnya, jika seseorang diberikan hanya berdasarkan pengakuan saja, maka boleh jadi ada orang yang mengaku berhak atas nyawa seseorang dengan tuduhan sebagai pembunuh atau sejenisnya. Maka wajib atas orang yang mengaku atau menuduh untuk mendatangkan bukti nyata dan wajib atas orang yang tertuduh itu bersumpah untuk membela diri, jika memang dia tidak benar.

Dalam hadis yang lain, Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wa sallam bersabda,
الْبَيِّنَةُ عَلَى الْمُدَّعِي وَالْيَمِينُ عَلَى الْمُدَّعَى عَلَيْهِ

Penuduh wajib mendatangkan bukti dan orang yang tertuduh wajib bersumpah. (Hadis Riwayat Tirmidzi)

Mengenai sabda baginda hendaklah dia menempati rumahnya dari api neraka, para ulama berpendapat, bahawa ungkapan itu berkisar antara doa baginda atau pemberitahuan. Tetapi dengan lafaz perintah. Imam Nawawi mengokohkan pendapat yang kedua, Beliau berkata, ”Itu pendapat yang paling jelas diantara dua pendapat.”

Maksudnya orang yang mengaku-ngaku terhadap sesuatu yang bukan haknya, maka dia akan mendapatkan balasan berupa tempat tinggal dari api neraka. Namun ini bukan bererti, bahawa balasan itu pasti akan didapatkan, kerana boleh jadi ia bertaubat sebelum mati, lalu Allah menerima taubatnya dan mengampuni orang tersebut sehingga terbebas dari siksa.

3. Sabda Rasulullah yang ertinya: Dan barangsiapa yang memanggil seseorang dengan panggilan “kafir” atau “musuh Allah” padahal dia tidak kafir, maka tuduhan itu akan kembali kepada penuduh.

Dalam hadis yang lain Rasulullah bersabda,
عَنْ أَبِي ذَرٍّ رَضِي اللَّهُ عَنْهُ أَنَّهُ سَمِعَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا يَرْمِي رَجُلٌ رَجُلًا بِالْفُسُوقِ وَلَا يَرْمِيهِ بِالْكُفْرِ إِلَّا ارْتَدَّتْ عَلَيْهِ إِنْ لَمْ يَكُنْ صَاحِبُهُ كَذَلِكَ

Dari Abu Zar radhiyallahu ‘anhu, beliau mendengar Rasulullah Sallallahu ‘Aaihi Wa sallam bersabda,”Tidaklah seseorang menuduh orang lain dengan kata fasiq, dan menuduhnya dengan kata kafir, kecuali tuduhan itu akan kembali kepada si penuduh jika orang yang tertuduh tidak seperti yang dituduhkan. (Hadis Riwayat Bukhari)

Dua hadis diatas menjelaskan kepada kita bahaya ucapan kafir. Tuduhan kafir yang ditujukan kepada seorang muslim, pasti akan tertuju kepada salah satunya, penuduh atau yang dituduh.

Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wa sallam bersabda.
إِذَا كَفَّرَ الرَّجُلُ أَخَاهُ فَقَدْ بَاءَ بِهَا أَحَدُهُمَا

Apabila ada seseorang yang mengkafirkan saudaranya (seiman-red) maka salah satu dari keduanya akan tertimpa kekufuran. [Hadis Riwayat Muslim)
أَيُّمَا امْرِئٍ قَالَ لِأَخِيهِ يَا كَافِرُ فَقَدْ بَاءَ بِهَا أَحَدُهُمَا إِنْ كَانَ كَمَا قَالَ وَإِلَّا رَجَعَتْ عَلَيْهِ

Barangsiapa yang berkata kepada saudaranya, “hai orang kafir,” maka kata itu akan menimpa salah satunya. Jika benar apa yang diucapkan (bererti orang yang dituduh menjadi kafir); jika tidak, maka tuduhan itu akan menimpa orang yang menuduh. [Hadis Riwayat Muslim].

Jika panggilan itu keliru, ertinya orang yang dipanggil kafir tidak benar kafir, maka kata kafir akan kembali kepada orang yang memanggil. Wal iyadzu billah. Jika benar, maka dia selamat dari resiko kekafiran atau kefasikaan, namun bukan bererti ia selamat dari dosa. Sebagaimana yang dikatakan oleh Ibnu Hajar. [2] Maksudnya, orang yang memanggil saudaranya dengan kata kafir atau fasiq, meskipun benar, namun boleh jadi ia menanggung dosa. Misalkan jika maksud dan tujuannya untuk mencela, membongkar aib orang di masyarakat atau memperkenalkan orang ini. Perbuatan seperti ini tidak diperbolehkan. Kita diperintahkan untuk menutupi aib ini kemudian membimbing dan mengajarinya dengan lemah lembut dan bijaksana. Sebagaimana firman Allah,
اُدْعُ إِلَى سَبِيْلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ

Berserulah ke jalan Rabbmu dengan hikmah dan dengan nasihat yang baik. (Surah An Nahl ayat 125)

Selama masih boleh dibimbing dengan lemah lembut, maka jalan kekerasan tidak boleh ditempuh. Dan juga, panggilan kafir dan fasiq sering membuat orang menjadi marah. Lalu syaithan mendorongnya untuk terus-menerus melakukan perbuatan dosa. Sehingga kadang ada yang mengatakan,“Ya saya ini kafir,” kemudian terus-menerus berbuat dosa.


510. Soalan : Maaf saya nak bertanyakan tentang rahsia didalam solat, Ustaz perbuatan terakhir dalam solat ialah salam. Apakah mesej yg tersirat dalam memberi salam dan kepada siapa salam itu ditujukan. Maaf saya tidak tahu,mohon pencerahan dan nasihat.

Jawapan : 

Salam pertama selepas membaca tahyat akhir adalah wajib tak sah solat jika tak memberi salam. Kenapa toleh kekanan dan kekiri dan untuk siapa salam itu jawapannya wallahu a'lam (hanya Allah SWT saja yang Maha Mengetahui). Dalam hadis sahih tak ada di ceritakan untuk siapa salam itu di ucapkan. Dalam ibadah bukan semua ada dinyatakan fadilat dan kelebihannya kita hanya di minta taat dan patuh dan kerjakan solat atau ibadah lain dengan penuh ketaatan tanpa soal.

Salam termasuk rukun solat. Sehingga orang yang meninggalkan salam, baik dengan sengaja mahupun lupa maka solatnya batal.

Dari Ali bin Abi Thalib radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam bersabda,

مِفْتَاحُ الصَّلَاةِ الطُّهُورُ، وَتَحْرِيمُهَا التَّكْبِيرُ، وَتَحْلِيلُهَا التَّسْلِيمُ

“Kunci solat adalah bersuci, yang mengharamkannya adalah takbiratul ihram, dan yang menghalalkannya adalah salam.” (HR. Ahmad, Abu Daud, Turmudzi, dan disahihkan Syuaib al-Arnauth)

Maknanya :

Mengharamkannya: batas yang mengharamkan untuk melakukan pekerjaan di luar solat
Menghalalkannya: batas yang menghalalkan untuk melakukan pekerjaan di luar solat
Dua Salam yang statusnya : Rukun solat adalah salam pertama, sedangkan salam kedua hukumnya sunat. Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam pernah melakukan salam sekali.

Dari Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, beliau menceritakan,

أن النبي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كان يسلم تسليمة واحدة

“Bahwa Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam pernah melakukan salam sekali.” (Hadis Riwayat Baihaqi dan dishahihkan al-Albani).

3. Inti dari salam adalah bacaan Assalamu alaikum wa rahmatullah….dan sebagainya. Sementara menoleh ketika salam, hukumnya di sunatkan dalam madzhab Syafiiyah. Sehingga solat tetap sah, sekalipun tidak menoleh ketika salam. Imam An-Nawawi mengatakan,

ولو سلم التسليمتين عن يمينه أو عن يساره أو تلقاء وجهه أجزأه وكان تاركا للسنة

Jika ada orang yang mengucapkan salam dua kali ke kanan atau ke kiri, atau menghadap ke arah depan (tidak menoleh), solatnya sah, sekalipun dia meninggalkan sunah. (al-Majmu’ Syarh Muhadzab, 3/478).

4. Dianjurkan untuk menoleh secara maksima ketika salam dua kali, sehingga pipi orang yang solat kelihatan dari belakang.

Dari Sa’d bin Abi Waqqash radhiyallahu ‘anhu, beliau menceritakan,

كُنْتُ أَرَى رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُسَلِّمُ عَنْ يَمِينِهِ، وَعَنْ يَسَارِهِ، حَتَّى أَرَى بَيَاضَ خَدِّهِ

”Saya melihat Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam melakukan salam dengan menoleh ke kanan dan ke kiri. Hingga aku melihat putihnya pipi baginda.” (Hadis Riwayat Muslim 582).

5. Tata cara salam ada 5:

a. Mengucapkan, ”Assalamu alaikum wa rahmatullah wa barakatuh” ketika menoleh ke kanan dan ke kiri.

Dari Abu Ubaidah,

أَنَّ ابْنَ مَسْعُودٍ كَانَ يُسَلِّمُ عَنْ يَمِينِهِ السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ، وَعَنْ يَسَارِهِ السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ، يَجْهَرُ بِكِلْتَيْهِمَا

Bahawa Ibnu Mas’ud radhiallahu ‘anhu salam ke kanan dengan mengucapkan, “Assalamu alaikum wa rahmatullah wa barakatuh” dan menoleh ke kiri dengan membaca, “Assalamu alaikum wa rahmatullah wa barakatuh” beliau mengeraskan keduanya. (HR. Abdurazaq dalam Mushannaf, 3129).

Hal yang sama juga dilakukan sahabat Ammar bin Yasir radhiallahu ‘anhuma (Mushanaf Abdurazaq 3134).

b. Mengucapkan, ”Assalamu alaikum wa rahmatullah wa barakatuh” ketika salam pertama dan mengucapkan, ”Assalamu alaikum wa rahmatullah” pada saat salam kedua.

Dari Wali bin Hujr radhiallahu ‘anhu, beliau menceritakan,

صَلَّيْتُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَكَانَ يُسَلِّمُ عَنْ يَمِينِهِ: «السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ»، وَعَنْ شِمَالِهِ: «السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ»

“Saya solat bersama Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam. Baginda mengucapkan salam ketika menoleh ke kanan, ”Assalamu alaikum wa rahmatullah wa barakatuh” dan ketika menoleh ke kiri beliau mengucapkan, ”Assalamu alaikum wa rahmatullah.” (Hadis Riwayat Abu Daud 997 dan dishahihkan al-Albani)

c. Mengucapkan, ”Assalamu alaikum wa rahmatullah” ketika menoleh ke kanan dan ke kiri.

Dari Ibnu Mas’ud radhiallahu ‘anhu,

رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُسَلِّمُ عَنْ يَمِينِهِ وَعَنْ شِمَالِهِ: السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ حَتَّى يُرَى بَيَاضُ خَدِّهِ

“Saya melihat Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam melakukan salam ke kanan dan ke kiri, mengucapkan ”Assalamu alaikum wa rahmatullah”, hingga terlihat putihnya pipi baginda.” (Hadis Riwayat Nasai, Abu Daud dan dishahihkan al-Albani).

d. Salam pertama mengucapkan, ”Assalamu alaikum wa rahmatullah.” dan salam kedua mengucapkan, ”Assalamu alaikum.”

Dari Wasi’ bin Hibban, beliau pernah bertanya kepada Ibnu Umar tentang tata cara solat Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam. Baginda pun mempraktikannya, diantaranya,

وَذَكَرَ السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ عَنْ يَمِينِهِ، السَّلَامُ عَلَيْكُمْ عَنْ يَسَارِهِ
Wasi’ menyebutkan bahawa Ibnu Umar mengucapkan ”Assalamu alaikum wa rahmatullah.” ketika menoleh ke kanan dan mengucapkan ”Assalamu alaikum.” ketika menoleh ke kiri. (Hadis Riwayat Nasai dan dishahihkan Syuaib al-Arnauth).

e. Salam sekali dengan hanya mengucapkan ”Assalamu alaikum.”

Aisyah menceritakan tata cara solat Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam,

ثم يسلم تسليمة واحدة، السلام عليكم، يرفع بها صوته، حتى يوقظنا
”Kemudian baginda salam sekali, mengucapkan ’Assalamu alaikum’ dengan mengangkat suaranya, sehingga membangunkan kami.” (HR. Ahmad dan dishahihkan Syuaib al-Arnauth).

6. Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam terkadang salam sekali dengan menoleh sedikit ke arah kanan,

Aisyah menceritakan,

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُسَلِّمُ فِي الصَّلَاةِ تَسْلِيمَةً وَاحِدَةً تِلْقَاءَ وَجْهِهِ يَمِيلُ إِلَى الشِّقِّ الْأَيْمَنِ قَلِيلًا

”Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam melakukan salam sekali ketika solat ke arah depan dengan menoleh sedikit ke kanan.” (Hadis Riwayat Daruquthni, al-Hakim, dan dishahihkan adz-Dzahabi).

Kesalahan Ketika Salam

Membuka tangan kanan dan kiri ketika menoleh pada saat salam.

Kebiasaan ini pernah dilakukan sebagian sahabat di zaman Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam.

Dari Jabir bin Samurah radhiallahu ‘anhu,

”Ketika kami solat bersama Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam, kami mengucapkan ”Assalamu alaikum wa rahmatullah – Assalamu alaikum wa rahmatullah” sambil berisyarat dengan kedua kanan ke samping masing-masing. Kemudian Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam mengingatkan,

عَلَامَ تُومِئُونَ بِأَيْدِيكُمْ كَأَنَّهَا أَذْنَابُ خَيْلٍ شُمْسٍ؟ إِنَّمَا يَكْفِي أَحَدَكُمْ أَنْ يَضَعَ يَدَهُ عَلَى فَخِذِهِ ثُمَّ يُسَلِّمُ عَلَى أَخِيهِ مَنْ عَلَى يَمِينِهِ، وَشِمَالِهِ

”Mengapa kalian mengangkat tangan kalian, seperti keledai yang suka lari? Kalian cukup letakkan tangan kalian di pahanya kemudian salam menoleh ke saudaranya yang di samping kanan dan kirinya. (Hadis Riwayat Muslim, Nasai, dan yang lainnya).


No comments:

Post a Comment