Sunday, April 20, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 97 ( Gangguan Dalam Diri, Tebus Talak, Solat Jamak Ketika Pembedahan, Wang Zakat di Gunakan Untuk Umrah dan Tak Ada Wuduk Memegang Al-Quran.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 97 adalah menjelaskan persoalan gangguan dalam diri, tebus talak, solat jamak ketika pembedahan, wang zakat digunakan untuk umrah dan tak ada wuduk memegang al-Quran.

541. Soalan :  Ustaz saya harap ustaz dapat membantu diri saya ini...saya sekarang cuba untuk berubah tapa bila saya nak berubah tiba-tiba macam ada satu perasaan yang menganggu kehidupan seharian saya, seolah-olah  saya akan mati tak lama lagi apa lagi bila saya ada baca tentang tanda-tanda kematian adakah memang orang yang akan mati akan merasakannya atau itu ganguan syaitan yang ingin melemahkan diri saya yang ingin berubah setahu saya mati itu rahsia Allah...sekarang saya banyak berzikir dan alhamdulillah ia mngurangkan ketakutan saya cuma saya nak tanya ustaz benar ke memang tanda-tanda tentang kematian boleh ustaz dapat menjelaskannya?

Jawapan :

Hidup dan mati itu adalah hak Allah SWT yang menentukannya. Kematian seseorang adalah rahsia Allah SWT tak ada siapa yang mengetahuinya. Tidak ada nas yang sahih menunjukkan tanda-tanda kematian seseorang, yang biasa kita jumpa di internet tanda-tanda kematian itu mungkin pengalaman seseorang saja dan tidak boleh dijadikan ketetapan untuk semua orang. Syaitan sememangnya akan menggoda orang mukmin daripada kanan-kiri, depan-belakang, atas -bawah semata-mata untuk menyesatkan manusia. Jika saudari rasa telah berubah maka teruskan berubah sehingga menjadi wanita solehah, beriman dan bertakwa. Terlalu banyak perkara yang perlu dipelajari. Ilmu agama perlu dicari dan diperingkatkan setiap hari, akhlak perlu di sempurnakan kepada akhlak Islam, amal-amal soleh perlu diteruskan dan ditingkatkan seperti membaca al-Quran, berzikir, solat-solat sunat. beristighfar, berselawat dan bersedekah. Pastikan setiap hari ada ilmu baru yang kita pelajari dan terus dipraktikkan dan perlu juga berdakwah dan menjalankan tarbiah kepada masyarakat. Di antara syarat-syarat taubat yang di perkatakan oleh para ulama berdasarkan hadis dan ayat-ayat al-Quran ialah :

1. Berhenti serta merta daripada dosa yang dilakukan itu.

2. Mewujudkan rasa menyesal di atas perbuatan-perbuatan dosa yang telah dilakukan dahulu. 

3. Berazam tidak akan melakukan kembali dosa-dosa terdahulu.

4. Jika dosa yang melibatkan hak insan lain hendaklah dipulangkan semula hak insan tersebut dan meminta ampun dan maaf daripada insan tersebut.

Dan terdapat sepuluh (10) syarat-syarat tambahan kepada syarat-syarat utama di dalam bertaubat ialah :

1. Hendaklah meninggalkan dosa-dosa tersebut berniat kerana Allah SWT

Tidaklah dikira bertaubat jika meninggalkan dosa tersebut disebabkan tiada lagi kemampuan untuk melakukan dosa tersebut,atau kerana takutkan cercaan manusia kepadanya atau kerana ingin memuaskan hati manusia lainya.

Tidaklah dinamakan bertaubat jika meninggalkan dosa yang dilakukan itu adalah kerana takutkan dosa tersebut akan terkesan ke atas jawatan yang dipeganginya atau takutkan bakal dibuang kerja.

Tidaklah dinamakan bertaubat jika meninggalkan dosa yang dilakukan itu adalah kerana ingin menjaga kesihatan dan kekuatan badanya,seperti seseorang yang meninggalkan perlakuan zina kerana takutkan penyakit yang bakal menimpanya nanti, atau takutkan dijangkiti penyakit kelamain atau HIV dan sebagainya.

2. Hendaklah mewujudkan rasa benci terhadap dosa-dosa lalu yang telah dilakukan.

Ini kerana orang yang telah bertaubat dengan taubat yang sahih itu tidaklah boleh dia merasa suka bahkan berbangga pula dengan dosa-dosa yang dilakukanya dahulu ketika mana dia teringat kembali dosa-dosanya atau menceritakanya kepada orang lain (atas niat memberi pengajaran), ataupun ada terselit suatu niat ingin kembali melakukan dosa-dosa terdahulu itu.

3. Hendaklah seorang hamba Allah yang melakukan dosa itu bercepat-cepatan melakukan taubat kepada Allah,kerana walaupun dia melambat-lambatkan taubat sekalipun, dia tetap perlu bertaubat juga suatu hari nanti, itu pun jikalau dia masih diberikan peluang hidup oleh Allah.

4. Hendaklah dia mewujudkan rasa tidak cukup atau merasa adanya kekurangan terhadap taubatnya supaya dia dapat memperbanyakkan taubatnya kepada Allah dan janganlah dia mewujudkan rasa yakin bahawa taubatnya diterima,kerana nanti akan menyebabkan perasaan merasa selamat daripada kemarahan Allah SWT apabila melakukan dosa.

5. Hendaklah dia memenuhi kembali hak-hak Allah yang telah dia terlepas melakukanya dahulu sebanyak yang boleh,seperti mengeluarkan zakat yang terhalang untuk dikeluarkanya dahulu ataupun hak-hak orang fakir miskin.

6. Hendaklah dia cuba menjauhkan dirinya daripada tempat-tempat yang boleh mendatangkan maksiat kepada Allah kerana dikhuatiri dia akan kembali melakukan dosa itu demi kerana pintunya yang terbuka luas di hadapanya.

7. Hendaklah dia menjauhkan dirinya daripada kawan-kawan lama yang suka kepada maksiat dan insan-insan lain yang boleh menjuruskanya kembali melakukan maksiat kepada Allah.

8. Hendaklah dia menghapuskan segala perkara-perkara haram yang masih wujud lagi didalam simpananya seperti benda-benda yang memabukkan, gambar-gambar lucah serta video-video lucah, pakaian-pakaian yang menjolok mata,yang mana semestinya dia menghapuskanya atau membakar kesemuanya, kerana kebanyakkan manusia-manusia yang telah bertaubat tidak dapat beristiqamah di dalam bertaubat kepada Allah adalah kerana masih ada lagi perkara-perkara haram ini di dalam simpananya, semoga Allah memberikan jalan istiqamah kepada setiap insan yang bertaubat.

9. Hendaklah dia memilih rakan-rakan yang soleh dan baik akhlaknya yang boleh menolongnya mencari jalan keredaan Allah sebagai mengganti rakan-rakanya yang lama yang boleh mengajaknya kembali kepada dosa-dosa lamanya.

Begitu juga hendaklah dia cuba menghadiri majlis-majlis zikir kepada Allah ataupun majlis-majlis ilmu yang bermanfaat agar dapat mengisi masa lapangnya dengan perkara yang berfaedah supaya tidaklah dapat syaitan itu mencari peluang membisikkan kepadanya agar teringat kembali dosa-dosa lamanya.

10. Dan yang paling penting…Hendaklah dia cepat-cepat bertaubat sebelum al-Ghargharah dan juga sebelum terbitnya matahari dari sebelah Barat.

542. Soalan : Apakah yang dimaksudkan dengan tebus talak?

Jawapan : 

Tebus talak atau dalam bahasa Arab disebut khuluk iaitu berasal daripada kata-kata khala'a al-thauba yang bermaksud menanggalkan pakaian.

Khuluk adalah pembubaran perkahwinan yang dilakukan oleh pihak isteri dengan membayar ganti rugi kepada suami.

Ataupun, pembubaran perkahwinan melalui satu pembayaran yang dibuat oleh isteri kepada suami untuk melepaskan dirinya daripada ikatan perkahwinan.

Dalil keharusan pembubaran perkahwinan menurut kaedah ini adalah berdasarkan kepada ayat 229 surah al-Baqarah dan ia menjadi dalil kepada semua ulama.

"Dalil tersebut menyebut, Dan tidaklah halal bagi kamu mengambil kembali sesuatu daripada apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri kamu), kecuali jika kedua-duanya (suami isteri) takut tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah.

"Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa - mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu).

"Satu hadis yang lain pula menyebut bagaimana Jamilah binti Abdullah, isteri kepada Thabit bin Qais mengadu kepada Rasulullah SAW tentang isi hatinya yang tidak berkenan dengan penampilan dan perawakan suaminya. Jamilah menyatakan kebimbangan akan melakukan dosa dan tidak berlaku taat kepada Thabit sebagai suami.

"Dalam kes tersebut, Jamilah menyatakan bahawa Thabit tidak mempunyai masalah akhlak mahupun dalam perkara-perkara bersangkutan agama, akan tetapi beliau bimbang akan menjadi seorang hamba Allah yang berdosa disebabkan tidak mampu memenuhi tuntutan tanggungjawab sebagai seorang isteri, disebabkan keadaan lahiriah Thabit yang disebutkan tadi.

"Rasulullah SAW (yang memaklumi Thabit secara peribadi) telah bertanya pada Jamilah, iaitu sebagai suatu dorongan jalan penyelesaian kepada beliau, dengan cara mengembalikan semula sebidang tanah kebun yang diberikan oleh Thabit sebagai mahar pada waktu pernikahan. Persetujuan di pihak Jamilah dilanjutkan dengan saranan Rasulullah kepada Thabit untuk menerima semula mahar tersebut, dan berakhirlah kemelut perkahwinan antara Jamilah dengan Thabit dengan baik."

543. Soalan : Adakah boleh solat jamak sekiranya seorang doktor bedah menjalankan pembedahan melepasi waktu solat adakah beliau boleh menjamakkan solat?

Jawapan : 


Solat jamak selain daripada ketika bermusafir ulama menjelaskan bahawa boleh solat jamak ketika menghadapi suasana genting yang memerlukan dijamakkan solat iaitu 

1. Ketika doktor terpaksa menjalankan pembedahan memakan masa yang agak lama sehingga menyebabkan luput waktu solat. 

2. Ketika tersangkut dijalan raya di sebabkan kesesakkan dan kemalangan jalan raya . 

3. Ketika menghadapi pepereksaan tidak boleh keluar sebentar untuk mengerjakan solat.

4. Ketika sakit di hospital dan kesukaran untuk mengambil wuduk. Di sebabkan masaalah-masalaah tersebut di haruskan menjamakkan solat tetapi solat tak boleh diqasarkan kerana bukan berada di dalam musafir.

544. Soalan : Saya nak tahu dan penjelasan dari ustaz tentang wang kwsp suami saya.suami saya telah mengeluarkan wang kwsp tahun lepas,tepi dia tidak membayar zakat..dia membiayai umrah kepada adik perempuan jika di izinkan Allah kami pergi bulan Ramadan ni..suami saya mengatakan membiayai umrah adk prempuan nye itulah sbagai zakat.sedangkan adiknya dan suami dan anak lelaki dan hidup senang...adakah itu boleh di jadikan zakat atau hanya sedekah sahaja?

Jawapan : 

Wang zakat bukan boleh suka-suka digunakan tanpa dirujuk kepada 8 asnaf. Wang zakat tak boleh digunakan untuk membantu ibu bapa yang susah, membantu pembinaan masjid, buat umrah untuk adik beradik tetapi wang zakat wajib disalurkan kepada 8 asnaf.

Firman Allah SWT maksudnya, "Sesungguhnya zakat-zakat itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus-pengurus zakat, para mu’allaf yang dibujuk hatinya, untuk (memerdekakan budak), orang-orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan, sebagai sesuatu ketetapan yang diwajibkan Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana (Surah at-Taubah (9) ayat 60) 

Tafsiran ayat tersebut jelas menunjukkan terdapat lapan golongan manusia yang berhak menerima zakat. Lapan golongan tersebut ialah 

1.al-fuqara’ (orang fakir), 

2. al-masakin (orang yang miskin), 

3. amil, 

4. muallaf yang perlu dijinakkan hatinya, 

5. al-riqab (hamba), 

6. al-gharimin (orang yang memiliki hutang),

7. fi-sabilillah (orang yang berjuang di jalan Allah) dan 

8. akhirnya ibn sabil (musafir yang sedang dalam perjalanan). 

Ayat tersebut memberi penerangan yang jelas tentang pengagihan zakat berbanding dengan masalah menentukan sumber zakat berdasarkan ayat tersebut yang memperincikan arahan. Ini disebabkan kemungkinan berlaku penyelewengan dan penggunaan hawa nafsu dalam mengagihkan zakat lebih besar berbanding menentukan sumber dan memungut zakat. 

Pendapat ini jelas menunjukkan pengagihan zakat merupakan satu tanggungjawab dan amanah yang besar dipikul oleh institusi zakat. Untuk menunaikan amanah mengagihkan zakat dengan berkesan dan amanah, maka penentuan definisi asnaf adalah amat penting memandangkan golongan asnaf yang dinyatakan

545. Soalan : Ustaz saya nak bertanya bolehkan kita tak ada wuduk membaca dan memegang mushaf al-Quran?

Jawapan :

Majoriti ulama menyatakan bahawa memegang mushaf al-Quran (tanpa terjemaahannya) mesti dengan berwuduk. Menurut firman Allah yang bermaksud : "Tidak menyentuhnya (Al-Quran) melainkan orang-orang yang suci." (Surah Al-Waaqiah ayat 79).

Berdasarkan ayat Al-Quran di atas ini, ulama menyatakan haram bagi sesiapa yang menyentuh Al-Quran (mushaf al-Quran tanpa terjemahannya) tanpa wuduk kerana ayat-ayat Al-Quran ini merupakan kalam Allah, perlu kita menghormati kalam Allah ini sebagai panduan kepada semua umat manusia. Haram juga bagi sesiapa yang datang haid menyentuh Al-Quran, kerana mereka berada dalam kekotoran atau berhadas besar. 

Mengikut sesetengah ulamak menyatakan bahwa dibolehkan bagi hafizah (wanita yang menghafal Al-Quran) sahaja di bolehkan mengulang dengan diniatkan kepada berzikir, tujuan dibolehkan ialah mengelakkan mereka lupa kepada surah-surah hafazan mereka kerana sesiapa yang menghafal Al-Quran diwajibkan kepada mereka menjaganya supaya mereka tidak lupa akan ayat-ayat yang telah dihafal. Tetapi jika mereka mengulang akan ayat-ayat Al-Quran yang telah dihafal dengan niat mengulang ayat Al-Quran maka tidak dibenarkan. 

Sekiranya membaca al-Quran terdapat tafsir atau terjemaahannya maka boleh tidak berwuduk tetapi sebaik-baiknya adalah berwuduk. Begitu juga surah Yasin jika surah Yasin tersebut bercampur dengan terjemahnnya, zikir-zikir tahlil maka boleh membacanya tanpa wuduk tetapi sebaik-baiknya adalah berwuduk.










No comments:

Post a Comment