Friday, April 4, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 86 (Nazar Perkara Wajib, Masaalah Mertua Dengan Menatu, Solat Duha, Rukun Dalam Solat dan Hukum Makan Ikan Rebus)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sahabat yang dirahmati Allah,    
Tanyalah Ustaz Siri 86 adalah menjelaskan persoalan nazar perkara wajib, masaalah mertua dengan menatu, solat duha, rukun dalam solat dan hukum makan ikan rebus.

486. Soalan : Ustaz, saya nak bertanya sikit kepada ustaz.saya musykil, bagaimana kalau seseorang itu berjanji ,contohnya '' saya berjanji akan memakai tudung labuh selama lamanya'' apa yang dia perlu buat jika dia memungkiri janjinya?adakah kafarahnya sama seperti kafarah melanggar sumpah.mohon penjelasan sepenuhnya daripada ustaz.terima kasih.

Jawapan : 

Bernazar di dalam perkara yang wajib : Maka nazar dalam perkara wajib adalah TIDAK SAH, dan tidak dikenakan kaffarah. Memakai tudung labuh adalah wajib maka nazar tersebut tidak sah.

Demikianlah yang difatwakan oleh kebanyakan ulama, dan dimuktamadkan dalam dalam keempat-empat mazhab. Cuma dalam mazhab Hanbali ada riwayat atau ihtimal bahawa sah nazarnya, dan jika melanggarnya maka dikenakan kaffarah.

Dalil-dalil TIDAK SAH nazar wajib, atau nazar tinggal maksiat:

1) Perkara itu telah wajib dengan syarak, maka tidak ada apa-apa erti untuk kita wajibkan ia dengan nazar. Tutup aurat adalah wajib, pakai tudung labuh adalah tutup aurat yang sempurna.

2) Kaedah feqah yg masyhur: "Sesuatu yang sabit dengan syarak didahulukan daripada sesuatu yang sabit dengan syarat". Dalam kes ini, kewajipan asal syarak yg diambil kira, manakala syarat iaitu nazar tidak diambilkira.
Lihat kaedah dalam: Asybah Wa Nazair oleh Suyuti 279. dan Imam Suyuti membawa contoh ini.

3) Kata Ibn Qudamah: Tidak sah beriltizam dengan sesuatu yang telah lazim. Manakala al-Buhuti berkata: ia satu bentuk Tahsil al-Hasil. iaitu: menghasilkan sesuatu yang telah ada. Maka Tahsil Hasil adalah batil.

Kesimpulan:
-Nazar yg anda lafazkan adalah TIDAK SAH
-Tetapi anda tetap wajib memakai tudung labuh tersebut, kerana itu kewajipan asal syarak.
-Anda tidak dikenakan apaapa kaffarah sekalipun anda melakukan tidak memakai tudung labuh, cuma tutup aurat anda taksempurna jika tak pakai tudung labuh.

Rujukan:
-Mazhab Hanafi, Ktab al-Asl (al-Mabsut) oleh Imam Syaibani (Anak murid Abu Hanifah) m/s 3/148-149.
-Mazhab Maliki, kitab al-Tafri' oleh Ibn Jallab 1/377
-Mazhab Syafie, kitab Kanzul Raghibin, dan Hasyiah Qalyubi wa Umairah 4/289
-Mazhab Hanbali, kitab al-Mugni Ibn Qudamah 13/628, dan Kasyyaful Qina' 5/237

wallahu a'lam

487. Soalan : Ustaz, saya ingin bertanya sesuatu. Saya mempunyai seorang ibu yang duduk dengan kami sekeluarga. Tetapi semenjak suami saya rasa dirinya diperkecilkan dan abang saya yang seorang mengambil kesempatan diatas kelembutannya, sepeeti tidak ambil tahu ttg ibu saya & melepaskan tanggungjawab menjaga dan memberi makan keatas bahu syami saya, beliau rasa terpaksa bertegas dan ingin abang saya mengambil berat ttg kebajikan ibu saya. Suami saya juga pernah menyuarakan kpd ibu agar tidak bermastautin di rumah seorang anak sahaja. Bergerak2lah ke rumah anak2 yg lain sambil bermesra dgn cucu2 yg lain. Tetapi ibu saya sering mendapati suami saya seperti tidak suka beliau dan menghalau beliau dari rumah saya. Adakah salah apa yg suami saya buat itu. Patutkah suami saya berterus terang begitu? Suami saya kata saya pwrlu mendengar cakapnya kerana saya ni isteri & tidak patut membantah. Adakah benar perbuatan kami? Suami saya juga berkata saya sepatutnya mendengar cakap dia sebagai suami dan buka ibu saya.

Jawapan : 

Masaalah perhubungan di antara ibu mertua dengan anak menantu perlulah dijaga supaya tidak wujud pergeseran dan salah faham di antara mereka. Perbalahan boleh membawa kepada fitnah memfitnah dan mengaibkan di antara satu sama lain dan boleh memutuskan silaturahim, sedangkan memutuskan silaturahim boleh membawa kemurkaan Allah SWT dan hilang keberkatan di dalam kehidupan. 

Puan sebagai anak perempuan dan boleh menjadi orang tengah di antara suami , emak puan dan abang puan. Berbaik-baiklah jangan bermasam muka kerana dilarang tidak bertegur sama lebih daripada 3 hari.“Tidak halal bagi seorang Muslim “hajr” (tidak bertegur sapa) saudaranya melebihi tiga hari, kedua-duanya bertemu, lantas saling berpaling muka antara satu sama lain. Yang terbaik antara mereka ialah orang yang memulakan salam”. (Hadis Riwayat Muslim no 6697).

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW. menyebut balasan perbuatan ini :
Maksudnya : “Tidak halal bagi seorang Muslim tidak bertegur sapa saudaranya melebihi tiga hari, maka barangsiapa yang tidak bertegur sapa lebih daripada tiga hari, nescaya akan masuk neraka”. ( Hadis Riwayat Abu Dawud : no 4914).

Hadis riwayat Aisyah r.a., ia berkata:Rasulullah SAW. bersabda: Rahim (tali persaudaraan) itu digantungkan pada Arsy, ia berkata: "Barang siapa yang menyambungku (berbuat baik kepada kerabat), maka Allah akan menyambungnya dan barang siapa yang memutuskan aku, maka Allah pun akan memutuskannya." (Hadis Shahih Riwayat Muslim)

Hadis riwayat Jubair bin Muth`im ra.: Dari Nabi SAW. bahwa beliau bersabda: "Tidak akan masuk Syurga orang yang memutuskan hubungan kekeluargaan." (Hadis Shahih Riwayat Muslim )

Hadis riwayat Anas bin Malik ra., ia berkata: Aku pernah mendengar Rasulullah SAW. bersabda: "Barang siapa yang merasa senang bila dimudahkan rezekinya dan dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung hubungan kekeluargaan (silaturahmi)."
(Hadis Shahih Riwayat Muslim)

488. Soalan : Saya nak tanya  solat sunat Duha.. kalau pukul 8 pagi dah boleh ke buat solat sunat Duha?

Jawapan : 

Solat duha waktu paling awal adalah 28 minit setelah masuk waktu syuruk. Pada 3.4.2014 waktu syuruk di Shah Alam adalah jam 7.12 pagi. waktu duha adalah jam 7.40 pagi. Waktu akhir solat duha adalah 9 minit sebelum masuk waktu zohor.

489. Soalan : Ustaz..saya nak bertanyakan tentang hukum membaca al-quran tanpa suara. Saya bekerja dan sememangnya mmbaca al-quran pd subuh atau maghrib. Kadang-kadang saya diam dan membaca di dalam hati apabila tekak perit atau saya dlm keadaan tak bertenaga. Apakah hukumnya? Yassiin baca didalam hati bolehkah? Kalau bersuara kecil dikira bersuara jugakah ustaz? mohon bimbing saya...insyaAllah.

Jawapan : 

Rukun Qauli, iaitu rukun berkaitan bacaan di dalam solat (sekurang-kurangnya kena dengar bacaan itu ke telinga kita, jika kita sendiri tidak dengar, tidak sah solat kita itu) ia ada 5 perkara:

1. Takbiratul ihram;
2. Membaca Al-Fatihah;
3. Membaca tahiyyat akhir;
4. Berselawat kepada Nabi SAW. di dalam tahiyyat akhir;
5. Mengucap salam yang pertama

Bacaan surah dan zikir semasa rukuk dan sujud, doa semasa duduk antara dua sujud, membaca tahyat awal walaupun sunat sebaik-baiknya dibaca sekurang-kurangnya kena dengar bacaan itu ditelinga kita, untuk menyempurnakan solat kita. Di luar solat ketika kita membaca al-Quran dan berdoa dan berzikir juga dengan suara yang boleh kita dengan sendiri. Membaca di hati boleh tetapi lebih afdhal kita keluarkan suara supaya telinga ini akan menjadi saksi di atas bacaan yang kita ucapkan semasa membaca al-Quran, berzikir dan berdoa.

 Rukun solat terbahagi kepada tiga kategori:

1. Qalbi (diingat dalam hati) , 

2. Qauli (diucap dengan lidah). 

3. Fi'li (perbuatan)

Rukun solat ada 13 perkara iaitu:

1. Berdiri bagi yang mampu. [Fi'li]

2. Niat.[Qalbi]

3. Takbiratul Ihram (Allahu Akhbar yang pertama). [Qauli]

Takbiratul Ihram dilafazkan dengan salah. Contohnya, bertakbir dengan lafaz ﭐﷲ di mulut, dan ﺃﻛﺒﺮ di dalam hati. Walhal, lafaz takbiratul ihram adalah RUKUN QAULI, maka, ia WAJIB dilafazkan 100% di mulut tanpa meninggalkan satu hurufpun dalam kalimah ﭐﷲ ﺃﻛﺒﺮ . Selain itu, sekiranya makhraj lafaz takbiratul ihram ini salah, maka ia boleh juga membatalkan solat. Contohnya, melafazkan takbiratul ihram dengan suara angin (seperti suara orang berbisik).

4. Membaca surah Al-Fatihah. [Qauli]

Al-Fatihah merupakan RUKUN QAULI yang wajib dilafazkan 100% oleh mulut dengan makhraj dan tajwid yang betul. Sekiranya membaca al-Fatihah dalam hati atau menggunakan suara angin, maka, ia boleh membatalkan solat.

5. Rukuk dengan tama'ninah .[Fi'li]

6. Iktidal dengan tama'ninah. [Fi'li]

7. Sujud dengan tama'ninah. [Fi'li]

8. Duduk di antara dua sujud, dengan tama'ninah. [Fi'li]

9. Duduk Tasyahhud akhir. [Fi'li]

10. Membaca bacaan Tasyahhud / Tahiyat Akhir. [Qauli]

Lafaz tahiyyaat akhir yang salah. Perkara ini merupakan antara kesalahan yang amat biasa dilakukan tetapi ramai yang tidak menyedarinya. Lafaz tahiyyaat wajib disebut dengan makhraj yang betul kerana ia adalah rukun qauli. Sekiranya lafaz tahiyyat itu dilafazkan dengan suara angin juga, ia akan membatalkan solat.

11. Selawat kepada Nabi Muhammad s.a.w. dalam Tasyahhud Akhir. [Qauli]
اللهم صَلِّ على سيـّدنا مُحمـّد

12. Mengucapkan salam yang pertama. [Qauli]

Lafaz salam dibaca dalam hati, dilafaz dengan suara angin, atau melafazkan salam dengan makhraj dan huruf yang salah juga boleh membatalkan solat. Lafaz yang tepat adalah ﭐﻟﺴﻼﻢﻋﻠﻴﻜﻢﻭﺭﺣﻤﺔﭐﷲ (assalaamu’alaikum warahmatullaah). Sekiranya menyebut “asalaamu’alaikum”, “salaamu’alaikum”, menukar huruf ﻉ kepada ﺃ, huruf ﺡ kepada ﻫ, atau apa sahaja sebutan yang selain daripada ﭐﻟﺴﻼﻢﻋﻠﻴﻜﻢﻭﺭﺣﻤﺔﭐﷲ , ia akan membatalkan solat. Menyebut salam dalam hati juga boleh membatalkan solat, kerana lafaz salam pertama adalah rukun qauli, ia WAJIB dilafazkan 100% oleh mulut dengan makhraj dan tajwid yang betul.

13. Tertib [Qalbi]

490. Soalan : Ustaz.. Di perak ada menjual.ikan rebus yang dimasak terus selepas ditangkap dan baru2 ini saya mendengar ceramah bahawa ikan rebus itu haram dimakan sebab direbus sekali dgn isi perutnya.. Betulke ustaz?

Jawapan : 

Ulama berselisih pendapat najis daripada haiwan dagingnya boleh dimakan Imam Syafie mengatakan najis secara mutlak tetapi Imam Malik, Imam Hanafi dan Imam Hanbali megatakan suci.Dalam kitab Al-Majmuk Syarah Muhadzab, Imam Nawawi mengatakan:

وقد سبق أن مذهبنا أن جميع الأرواث والذرق والبول نجسة من كل الحيوان ، سواء المأكول وغيره والطير وكذا روث السمك والجراد وما ليس له نفس سائلة كالذباب فروثها وبولها نجسان على المذهب ، وبه قطع العراقيون وجماعات من الخراسانيين . وحكى الخراسانيون وجها ضعيفا في طهارة روث السمك والجراد وما لا نفس له سائلة ، وقد قدمنا وجها عن حكاية صاحب البيان والرافعي أن بول ما يؤكل وروثه طاهران وهو غريب ، وهذا المذكور من نجاسة ذرق الطيور كلها هو مذهبنا

Maksudnya, "Sudah dijelaskan dalam mazhab kita (yakni mazhab Syafi'i) bahawa seluruh kotoran haiwan, tahi burung dan kencingnya itu najis. Baik haiwan yang halal dimakan atau tidak. Adapun burung, tahi/kotoran ikan dan belalang dan haiwan yang darahnya tidak mengalir seperti lalat, maka hukum kotoran/tahi-nya dan kencingnya adalah najis menurut mazhab (Syafi'i). Ini pendapat ulama Irak dan segolongan ulama Khurasan. 

Najisnya kotoran burung semua adalah pendapat majoriti mazhab Syafi'i. 

KOTORAN HEWAN SUCI MENURUT MAZHAB HANBALI, MALIKI DAN HANAFI 

Menurut mazhab Hanbali, seluruh kotoran dan kencing haiwan yang halal dimakan itu suci. 

Ibnu Qudamah seorang ulama mazhab Hanbali dalam Al-Mughni mengatakan:

وبول ما يؤكل لحمه وروثه طاهر ... قال مالك : لا يرى أهل العلم أبوال ما أكل لحمه وشرب لبنه نجساً .... وقال ابن المنذر : أجمع كل من نحفظ عنه من أهل العلم على إباحة الصلاة في مرابض الغنم ، إلا الشافعي فإنه اشترط أن تكون سليمة من أبعارها وأبوالها

Maksudnya, "Kencing dan kotoran/tahi haiwan yang halal dimakan itu suci. Imam Malik berkata: Ahlul ilmi tidak menganggap kencingnya haiwan yang halal dimakan dan meminum susunya itu najis. Ibnu Mundzir berkata: Ahul ilmi sepakat atas bolehnya solat di kandang lembu kecuali Imam Syafi'i yang mensyaratkan harus selamat dari kencing dan kotoran sapi itu. 

Kesimpulan: Haiwan yang halal dimakan baik itu haiwan laut seperti ikan dan udang, haiwan udara seperti burung, atau haiwan darat seperti kambing, dll maka kotoran dan kencingnya hukumnya : 

1. Menurut mazhab Syafi'i hukumnya najis, kecuali pendapat sebagian kecil ulama mazhab Syafi'i yang mengatakan suci. 

2. Menurut ulama mazhab yang lain seperti mazhab Hanbali, Maliki dan Hanafi, hukumnya suci.

Oleh itu ikan yang direbus bersama isi perutnya menurut mazhab Syafie najis dan ikan rebus tersebut tak halal di makan tetapi menurut majoriti ulama di dalam mazhab Maliki, Hanafi dan Hanbali adalah suci dan ikan rebus tersebut hukumnya halal dimakan.

Adapun kotoran / najis haiwan yang haram dimakan dagingnya seperti babi, burung elang, buaya, anjing, biawak dll maka ulama dari keempat mazhab sepakat atas kenajisannya. Wallahu a'lam



No comments:

Post a Comment