Wednesday, September 3, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 144 ( Tebus Talak, Wang Pinjaman Bank Untuk Perniagaan, Aqiqah Untuk Bukan Islam, Konsep Qada Dan Qadar Dan Hukum Bulu Kucing.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sahabat yang dirahmati Allah,    
Tanyalah Ustaz Siri 144 adalah menjelaskan persoalan tebus talak, wang pinjaman bank untuk perniagaan, aqiqah untuk bukan Islam, konsep qada dan qadar dan hukum bulu kucing.

676. Soalan : Ustaz adakah isteri boleh meminta cerai secara tebus talak jika isteri sudah benci pada suaminya?

Jawapan :  

Suami yang berpoligami tetapi tak mampu berlaku adil dan tak mahu memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak telah melakukan kezaliman dan akan menanggung dosa besar kerana mengabaikan kewajipannya terhadap keluarganya. Suami seperti inilah yang telah mencemarkan kemurnian poligami di dalam Islam dan tidak cukup kefahaman Islam ketika hendak berpoligami. Isteri boleh memohon cerai dengan 2 cara iaitu dengan cara fasakh dan dengan cara tebus talak. 

Cara tebus talak adalah cara yang lebih mudah dan dapat di selesaikan untuk memohon cerai bagi pihak isteri. Dalam urusan cerai cara tebus talak suami akan meminta suatu bayaran tertentu sebagai pertukaran lafaz cerai yang akan dia berikan, cara ini di benarkan dalam Islam. Tetapi meminta jumlah wang hantaran adalah satu yang membebankan isteri kerana isteri mungkin tak mampu nak sediakan wang sebanyak itu. Sepatutnya suami bertimbang rasa dengan meminta jumlah bayaran yang tak membebankan kerana isteri tak bekerja.. Jumlah yang di minta mestilah mendapat persetujuan kedua belah pihak bukan pihak suami saja yang menetapkan.
 

Talak (Khulu’)

Definisi

Suatu perceraian yang diminta oleh isteri daripada suaminya dengan memberi wang atau lain-lain harta benda kepada suaminya. Sekiranya suami tidak bersetuju menjatuhkan talak dengan kerelaannya sendiri tetapi bersetuju bercerai dengan cara penebusan atau dengan bayaran yang dipersetujui bersama, Mahkamah hendaklah mengarahkan suami itu melafazkan cerai khulu; dan menjadi bain sughra.

Kesan Perceraian Tebus Talak

i. Suami tidak boleh rujuk pada isterinya semasa eddah kerana khulu’ adalah jenis ta’liq bain;

ii. Boleh hidup bersama dengan mengadakan akad semula serta membayar mas kahwin lain;

iii. Bekas isteri mempunyai hak penuh untuk membuat keputusan semada untuk bernikah semula atua tidak.

Tatacara Pendaftaran Kes

i. Tuntutan hendaklah dimulakan dengan memfailkan Saman dan Penyata Tuntutan di Mahkamah Tinggi Syariah

ii. Dokumen pendaftaran kes hendaklah difailkan seperti berikut :

- Surat iringan pendaftaran kes

- Penyata tuntutan

- Salinan kad pengenalan plaintif

- Salinan sijil cerai/sijil kematian

- Wakalah Peguam Syarie (jika guna khidmat peguam)

- Lain-lain dokumen berkaitan tuntutan (jika ada)

Nota Peringatan

Segala maklumat di dalam risalah ini hanyalah sebagai panduan dan tidak boleh dijadikan sebagai hujah di dalam mana-mana prosiding mahkamah
 

Tebus Talak (Khul') juga diasaskan kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas yang berbunyi: Sesungguhnya isteri Thabit bin Qais datang kepada Rasulullah SAW dan berkata, Wahai Rasulullah SAW sesungguhnya saya tidak mengaibkan akhlak dan agama (suami saya Qais) tetapi sesungguhnya saya tidak menyukainya dan tidak mahu hidup bersamanya. Menyebabkan saya melakukan maksiat (atau kerana kebencian yang bersangatan akan mendorongnya menzahirkan kekufuran supaya terfasakh perkahwinan)."
"Mahukah kamu kembalikan kepadanya kebun (yang dijadikan maharmu)?" Jawab isteri Qais, "Ya". Kemudian Rasulullah SAW bersabda (kepada Qais): "Terimalah kembali kebun itu, dan ceraikan dia satu talak."

Hadis ini menunjukkan bahawa seorang isteri boleh menceraikan dirinya daripada suaminya melalui tebus talak, iaitu dengan mengembalikan semula mahar atau mas kahwin yang telah diberikan oleh suami kepadanya semasa akad dahulu.

Hadis ini juga jelas maksudnya, di mana isteri memohon untuk menebus dirinya ini bukan kerana kekurangan suaminya tetapi kerana dia sengat benci kepada suaminya. Kebencian itu menyebabkan dia tidak dapat melaksanakan tugasnya sebagai isteri.

Kes ini sangat menarik kerana di zaman Rasulullah lagi telah ada wanita yang tidak sanggup tinggal bersama suaminya kerana terlalu membencinya.

Isu kebencian adalah soal hati yang sangat rumit. Jika mulanya cinta setinggi langit, sedalam lautan, tiba-tiba selepas hidup bersama, sesingkat sebulan atau selama 25 tahun, perasaan benci menebal hingga tidak dapat dibendung lagi. Daripada mereka hidup sebagai suami isteri dalam keadaan kebencian yang boleh menjejas anak-anak, maka adalah lebih baik mereka bercerai.

Dari segi hukum khul' adalah sunat berdasarkan hadis mengenai isteri Qais ini. Jika suami amat menyintai isterinya, maka hendaklah dia cuba memujuk isteri dan menyabarkannya supaya tidak memohon khul'. Khul' adalah batal jika isteri dipaksa memohon khul'. Misalnya, isteri didera suami dan suami enggan melafaz talak kerana tabiat buruknya. Kerana terlalu tersiksa, isteri memohon khul' kerana sudah tiada cara memohon cerai.

Permohonan fasakhnya pula terlalu lama dan belum menjanjikan keputusan yang diharapkan. Jadi dia memohon khul' dan suami secara sewenang meletakkan harga ke atas khul' itu. Perbuatan itu berdosa berasakan surah al-Nisa ayat 19: ..Dan janganlah kami menyakiti mereka (dengan menahan dan menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian daripada apa yang kamu berikan kepadanya…

Perbuatan memaksa isteri mengembalikan mahar atau membayar sejumlah wang untuk menceraikan ini adalah perbuatan orang fasik dan ia berdosa. Khul' dibenarkan dalam keadaan di mana suami dan isteri takut tidak dapat melaksanakan hukum Allah jika terus berkahwin.

Kebanyakan ulama berpandangan khul' makruh atau tidak dibenarkan dalam keadaan yang mana isteri terpaksa memohon khul' kerana tidak sanggup hidup terseksa secara berterusan.

Ini bermakna kedua-dua pihak mesti bersetuju bahawa mereka bercerai secara khul' dan bersetuju jumlah khul' yang hendak dibayar.
Khul' tidak sah jika suami berkata, "Aku khul' kamu dengan RM1000 sedangkan isteri berkata, "Aku terima dengan RM800." Bahasa mudahnya, jumlah khul' mesti sama.


677. Soalan :  Ustaz. Saya ingin bertanya boleh kah duit pinjaman bank untk perniagaan di buat zakat. Dan bagaimana kah pengiraannya?

Jawapan : 

Jika pinjaman bank konvesional untuk di buat perniagaan maka tak boleh di zakatkan kerana wang tersebut tidak patuh syariah, hanya pinjaman bank Islam atau perbankkan Islam sahaja boleh di buat kiraan untuk di bayar zakat perniagaan. 

Atau pun sekiranya wang pinjaman tersebut di simpan pula di dalam akaun bank selama setahun Hijrah dan cukup nisabnya maka di wajibkan bayar zakat harta sebanyak 2.5 % .(rm 11, 465.00 adalah nisab semasa tahun 2014 -Pusat Zakat Selangor)

678. Soalan : Ustaz..saya nak tahu .apa hukumnya jika seseorg tu buat aqiqah tapi hidangan tu di sediakan pada majlis perkahwinan yang dhadiri berbagai agama..dan bagaimana hukumnya jika hidangan tu di makan bukan beragama islam..mohon pencerahan  ustaz?

Jawapan : 

Sejak akhir-akhir ini, selepas hubungan silang agama semakin rapat dan akrab, ziarah menziarahi kerap berlaku, saling menjemput ke majlis jamuan dan kenduri kendara sudah menjadi kebiasaan.

Malah, seorang Islam atau bukan Islam mungkin berasa janggal jika tidak menjemput rakan bukan Islam ke majlis yang diadakan, terutama jiran satu taman dan rakan setempat kerja. Budaya dan interaksi seperti ini mungkin menimbulkan isu.

Keadaan lebih ketara pada ibadat aqiqah yang pada kebiasaannya dilakukan di rumah. Majoriti orang Islam di Malaysia berpendapat daging aqiqah haram diberi makan kepada orang bukan Islam. Seorang Muslim akan berasa serba salah, jika tidak menjemput jiran bukn Islam sebelah rumah.

Dianggap kurang manis jika tidak memberikan daging korban kepada jiran. Sebaliknya, berasa bersalah kerana sudah melanggar hukum syarak yang mengharamkan daging aqiqah dan korban diberi makan kepada bukan Islam.

Jiran bukan Islam juga akan tidak selesa berada di rumah dalam keadaan dia tidak dijemput. Biasanya mereka akan sengaja membuat helah untuk tidak berada di rumah pada masa majlis diadakan.

Keadaan seperti ini sebenarnya menimbulkan satu tanggapan bahawa Islam tidak mesra jiran. Apakah tidak ada cara bagi umat Islam mengatasi masalah ini. Apakah tidak ada pendapat lain, selain pendapat yang mengatakan daging korban dan aqiqah haram diberi makan kepada bukan Islam?

Pendapat umum dan amalan orang Islam di Malaysia mengatakan daging korban tidak boleh diberi makan kepada bukan Islam. Namun, kita boleh merujuk kepada pendapat dikemukakan ulama mazhab lain dalam isu ini. Kita dapat mengesan pelbagai pendapat dengan hujah masing-masing. Melalui pendapat itu umat Islam mungkin dapat menemui jalan keluar daripada isu ini.

Penulis Kitab Kasyf al-Qina menyatakan mazhab Maliki berpendapat makruh memberi makan daging korban kepada orang Yahudi dan Nasara. Mazhab Hambali pula mengharuskan memberi hadiah daging korban sunat kepada bukan Islam, tidak harus menghadiahkan daging korban wajib kepada mereka.

Dalam al-Bajrimi dinyatakan tidak harus memberi makan daging korban kepada bukan Islam. Dinyatakan juga dalam Kitab al-Majmu` disebutkan harus memberi makan daging korban sunat kepada fakir miskin ahli zimmah, tidak harus memberi mereka makan daging korban wajib.

Al-Majmu' Syarh al-Muhazzab, disebutkan bahawa Ibn al-Munzir menyatakan ulama sepakat daging korban boleh diberi makan kepada fakir miskin Islam, namun mereka khilaf mengenai memberi makan daging korban kepada fakir miskin kafir ahli zimmah.

Imam Hasan al-Basri memberi keringanan mereka memakannya. Abu Thur juga berpendapat demikian. Disebutkan juga Imam Malik lebih suka ia diberi makan kepada selain fakir miskin bukan Islam. Al-Lith menganggapnya makruh, namun berpendapat jika dimasak harus diberi makan kepada mereka berserta fakir miskin Islam.

Ibnai Qudamah dalam al-Mughni wa al-Syarh al-Kabir dan al-Syarbini dalam al-Iqna' menyebutkan mazhab Maliki berpendapat makruh menghadiahkan dan memberi makan daging korban kepada orang Yahudi dan Nasrani.

Mazhab Hambali, al-Hasan, Abu Thur, berpendapat harus memberi hadiah dan memberi makan orang bukan Islam, kafir zimmi daging korban sunat, tetapi daging korban wajib, seperti korban nazar tidak harus.

Hukumnya sama dengan hukum zakat dan kifarat sumpah. Mazhab Syafie pula berpendapat tidak boleh memberi hadiah dan memberi makan orang bukan Islam daging korban sunat atau wajib.

Ibh Hazmin dari Mazhab Zahiriyah dalam kitabnya al-Muhalla menyatakan tuan punya korban boleh memberi makan kepada orang kaya dan orang bukan Islam atau dia menghadiahkan sedikit daripadanya.

Berdasarkan pendapat itu, kesimpulan yang boleh dibuat:
1. Mazhab Syafie berpendapat haram memberi makan daging korban sunat atau wajib kepada bukan Islam.

2. Mazhab Maliki berpendapat makruh memberi makan daging korban sunat kepada bukan Islam dan tidak harus (haram) memberi mereka makan daging korban wajib, seperti korban yang dinazarkan, sama seperti hukum zakat.

3. Mazhab Hambali berpendapat harus menghadiahkan daging korban sunat kepada orang bukan Islam dan haram menghadiahkan kepada mereka daging korban wajib.

4. Semua ulama mazhab sepakat (ijma') memberi atau memberi makan daging korban atau aqiqah wajib kepada bukan Islam adalah haram.

Ini bererti hanya ulama Mazhab Syafi`ie saja yang berpendapat daging korban sunat atau wajib tidak boleh (haram) diberi atau diberi makan kepada bukan Islam. Majoriti ulama lainnya berpendapat harus memberi mereka makan daging korban sunat atau daging aqiqah sunat, tidak harus jika korban wajib.atau aqiqah wajib.

Dalam konteks Malaysia yang rakyatnya terdiri daripada penganut pelbagai agama, pendapat majoriti ulama yang mengharuskan orang bukan Islam diberi atau diberi makan daging korban sunat atau daging aqiqah sunat lebih baik diterima pakai.

Tujuannya adalah untuk menunjukkan kepada masyarakat bukan Islam bahawa Islam memang ada sistem yang mesra bukan Islam dan dapat memelihara perhubungan silang agama.

Di samping itu, menerima pakai pendapat majoriti dapat memberi ketenangan kepada orang Islam sendiri, kerana mereka tidak berasa bersalah untuk menjemput jiran kalangan bukan Islam menghadiri majlis kenduri mereka. - Ulasan Ustaz Alis Othman bekas pensyarah Akademik Islam Universiti Malaya.
 

Berdasarkan huraian di atas maka dapatlah di simpulkan bahawa menjemput jiran atau rakan yang bukan Islam di majlis perkahwinan yang mana terdapat daging aqiqah sunat adalah di haruskan dan majoriti ulama mazhab mengatakan bahawa harus orang bukan Islam dijamu dengan daging aqiqah sunat atau daging korban sunat. Wallahu a'lam

679. Soalan : Saya nak bertanya, Allah sudah tentukan amalan seseorang hamba itu sebelum seseorang itu lahir ke dunia sama ada baik atau buruk amalannya tetapi kenapa Allah mahu menghukum sesuatu yang sudah Allah tentukan sendiri.? Maaf jika soalan saya salah kerana saya kurang jelas konsep qada dan qadar.

Jawapan : 

Kita kena faham betul-betul konsep qada dan qadar supaya kita tak tersesat di dalam memahami rukun iman ke 6 iaitu percaya kepada qada dan qadar. Akidah kita adalah akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah dan bukan akidah Qadariah atau Jabariah. Kedua-dua akidah ini (Qadariah dan Jabariah) adalah sesat dan bertentangan dengan kefahaman dan akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah.
 

Qadariah

Qadariah dinisbahkan dari perkataan Qudrat. Golongan ini beriktikad bahawa segala perbuatan manusia itu samada baik atau buruk adalah lahir dari usaha dan ikhtiar manusia itu sendiri, tiada hubung kait dengan kuasa ALLAH, pengasas mazhab ini ialah Ma’bad ibn Khalid al Juhani dan Ghailan al-Dimasyqi. Mazhab ini lahir di Basrah oleh sebab pertikaian umat islam tentang persoalan qada dan qadar ALLAH, nama mazhab ini diambil dari al-qadar. Mereka mengatakan bahawa segala usaha dan perbuatan manusia itu terjadi dengan kehendak mereka sendiri. 


Antara lain mengenai iktikad qadariah ini ialah:

a. Manusia bebas melakukan sesuatu mengikut kemahuan yang kesannya adalah dari manusia, akan tetapi dengan qudrat yang diberikan ALLAH kepada manusia.


b. Percaya ALLAH tidak membuat apa-apa takdir kepada manusia
Iktikad ini tidak tepat kerana setiap perbuatan manusia kebanyakan tidak tercapai dimana jika manusia itu berkuasa mestilah tiada yang sakit, hidup kemiskinan sengsara dan sebagainya. Fahaman ini adalah melampau sama sekali.

Jabariah

Berasal dari perkataan al-jabr atau jabrun yang bermaksud tergagah atau digagahi. Muncul di Kufah pada zaman pemerintahan Umaiyah yang dibawa oleh seorang lelaki bernama Jaham ibn Safuan dari Khurasan, mazhab ini beriktikad bahawa manusia itu dipaksa dan digagahi sepenuhnya oleh ALLAH, manusia itu langsung tidak berkemampuan melainkan ALLAH dan manusia seperti kapas dan debu yang ditiup angin.

Kefahaman Qadariah mengatakan bahawa baik buruk amalan manusia ini di tentukan oleh diri mereka sendiri dan kefahaman Jabariah pula bahawa segala perbuatan dan amalan manusia di tentukan oleh Allah SWT dan manusia umpama kapas ikut saja tak ada ikhtiar manusia. Kedua-dua kefahaman ini adalah sesat dan tidak boleh diterima kerana bertentangan dengan ayat-ayat Allah SWT dan hadis-hadis Rasulullah SAW.


Percaya dan beriman kepada Qada' dan Qadar adalah termasuk salah satu daripada Rukun Iman yang enam. Sesiapa yang mengingkarinya akan merosakkan imannya.
Percaya dan beriman kepada Qada' dan Qadar adalah termasuk salah satu daripada Rukun Iman yang enam. Sesiapa yang mengingkarinya akan merosakkan imannya.

Qada' dan Qadar ialah ketetapan Allah yang telah ditentukan sejak dari azali lagi berdasarkan ilmuNya yang Maha Tinggi, disusuli dengan kejadian seperti mana yang telah ditetapkan.

Qada' dan Qadar terbahagi kepada dua iaitu Mubram dan Muallaq.

Pertama : Qada' Mubram adalah takdir yang pasti. Sebagai contoh, wanita sahaja yang boleh mengandung dan melahirkan anak, manusia memerlukan oksigen, makan dan minum yang mencukupi untuk hidup. Itu adalah satu ketetapan yang pasti. Allah menetapkan gas atau asap akan memenuhi angkasa raya diikuti dengan kejadian bintang-bintang dan planet-planet dan itulah sebenarnya yang telah berlaku tanpa dapat dihalangi. Allah menetapkan satu bahagian oksigen perlu bercantum dengan dua bahagian hidrogen untuk menjadi air dan hakikat ini tidak dapat diubah sampai ke bila-bila.

Allah menetapkan mata sebagai alat untuk melihat dan telinga untuk mendengar dan fungsi ini akan berterusan sampai bila-bila masa. Allah menetapkan setiap yang hidup pasti merasai mati dan tidak ada seorang pakar perubatan pun yang mampu mengubah kenyataan ini. Semua ini dan yang lain-lainnya tidak dapat diubah sebab ia adalah ketetapan Allah sejak dari azali lagi berdasarkan kebijaksanaanNya yang tanpa batas dan ia telah menjadi hukum alam yang dikenali sebagai hukum sebab musabab dan sebab akibat.

Justeru, hukum alam yang berkait rapat dengan kehidupan manusia ini adalah sebahagian daripada ketetapan Qada' dan Qadar.

Kedua : Qada' Muallaq pula adalah ketetapan yang boleh berubah. Imam Baijuri di dalam kitab Tuhfatul Murid Syarh Jauharatut Tauhid berkata, “Mengikut pendapat yang hak, Luh Mahfuz menerima penghapusan dan penetapan.”

Salman Radhiallahu ‘anhu berkata, Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : “Tidak tertolak Qada' itu melainkan oleh doa dan tidak bertambah di dalam umur itu melainkan oleh kebajikan.”(Hadis riwayat Tirmidzi)

Doa itu sendiri sebagai satu ibadat dan menjadi bentuk perhambaan kepada Allah.Mereka yang berdoa perlu mempunyai keyakinan kerana ada dinyatakan, Allah tidak akan mempersia-siakan mereka.

Rasulullah SAW. yang diriwayatkan daripada Salman Al-Farisi:“Sesungguhnya Allah itu Hidup dan Maha Pemberi, Dia malu jika seseorang mengangkat kedua tangannya kepada-Nya lalu Dia mengembalikan kedua tangannya (membalas do'a orang itu) dalam keadaan kosong serta rugi.”(Hadis riwayat Tirmidzi)

Memetik kata-kata Imam al-Ghazali:“Jika ada orang bertanya, apa manfaat doa itu padahal Qada' (ketentuan Allah) tidak dapat dihindarkan. Ketahuilah bahawa Qada' juga boleh menghindarkan suatu bala dengan berdoa. Maka doa menjadi sebab bagi tertolaknya suatu bala bencana dan adanya rahmat Allah sebagaimana juga halnya, perisai menjadi sebab bagi terhindarnya seseorang daripada senjata dan air menjadi sebab bagi tumbuhnya tumbuh-tumbuhan di muka bumi.”

Perkara ini diperkuatkan lagi dengan firman Allah dalam surah Ar-Ra’d ayat 39 yang bermaksud: “Allah menghapuskan apa juga yang dikehendaki-Nya dan Dia juga menetapkan apa juga yang dikehendaki-Nya. Dan (ingatlah) pada sisi-Nya ada ibu segala suratan.”

Berkenaan dengan hal ini kita boleh mencontohi sikap para sahabat Nabi SAW walaupun sudah dijanjikan Syurga namun mereka masih lagi berusaha meningkatkan amal dan berbuat baik.


Sayyidina Umar Al-Khattab r.a pada suatu ketika, telah melafazkan do'a-do'a ini ketika bertawaf: “Ya Allah, jika Engkau telah mentakdirkan aku tergolong di dalam golongan orang-orang yang bahagia, tetaplah aku di dalam keadaan aku. Sebaliknya jika Engkau telah tetapkan aku di dalam golongan orang-orang yang celaka dan berdosa, hapuskanlah takdir itu dan masukkanlah aku ke dalam golongan orang-orang yang mendapat kebahagiaan dan keampunan.”

Di dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda yang bermaksud :"Sesiapa yang suka supaya diperluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia menjalankan hubungan tali silaturahim."(Hadis Riwayat al-Bukhari).

Umur seseorang itu adalah termasuk Qada' Muallaq boleh berubah-rubah samaada dipanjangkan atau dipendikkan. Dalam hadis tersebut Allah boleh memanjangkan umur seseorang apabila dia menghubungkan silaturahim.

Terdapat satu kisah di zaman Nabi Daud a.s. bahawa menjalin ikatan silaturahim dengan izin Allah dipanjangkan umur. Mengikut riwayat, pada suatu ketika malaikat maut datang kepada Nabi Daud. Pada masa itu kelihatan seorang lelaki duduk di depannya.

Malaikat maut berkata "Enam hari lagi, orang ini akan dicabut nyawanya".

Bagaimanapun, selepas beberapa hari, Nabi Daud menjenguk lelaki itu yang ternyata dia masih hidup. Bahkan keadaannya bertambah sihat. Lelaki itu juga kelihatan bertambah muda berbanding sebelumnya.

Nabi Daud pun bertanya kepada malaikat maut,"Mengapakah demikian (dia masih hidup) sedangkan katamu tinggal enam hari saja lagi lelaki itu akan dicabut nyawanya?".

Malaikat maut pun menjawab. "Ketika itu, selepas beredar dari hadapanmu, dia sudah menyambung silaturahimnya yang sudah lama terputus, maka Allah menambahkan umurnya hingga 20 tahun lagi."

Syed Sabiq di dalam kitabnya Al-Aqaid Al-Islamiyah berkata: “Imam Al-Khathabi telah berkata: ‘Ramai orang mengira Qada' dan Qadar adalah pemaksaan Allah ke atas hambaNya dan manusia hanya mengikut apa yang telah ditetapkan oleh Allah. Sebenarnya pandangan yang seperti ini adalah salah kerana takdir adalah ketetapan Allah berdasarkan ilmu Allah yang Maha Mengetahui tentang kejadian yang akan berlaku berhubung semua perkara..’ Pengetahuan Allah tentang sesuatu perkara tidak akan mempengaruhi kehendak hamba itu.”

Di zaman Umar Al-Khattab ra, seorang lelaki telah ditangkap kerana mencuri dan beliau telah dibawa menghadap khalifah Umar al-Khattab. Lelaki itu telah disoal: “Mengapa kamu mencuri?” Lelaki itu menjawab: “Kerana Allah telah mentakdirkan ini ke atas diri saya.” Khalifah Umar r.a amat marah dengan lelaki ini lantas beliau terus berkata: “Pukul lelaki ini dengan tiga puluh sebatan selepas itu potong tangannya.” Lelaki ini terkejut dengan hukuman itu dan terus bertanya: “Mengapa hukumannya begitu berat?” Berkata Umar al-Khattab r.a: “Kamu akan dipotong tangan kerana mencuri dan disebat kerana berdusta atas nama Allah.” Maksudnya, manusia diizinkan Allah untuk membuat pilihan dan hal ini adalah sebahagian daripada ketetapan Qada' dan Qadar.

Manusia dapat menolak takdir dengan takdir yang lain kerana kesemua itu telah dicipta dan ditetapkan oleh Allah bagi manusia. Justeru, takdir lapar dapat dihilangkan dengan takdir makan, takdir dahaga dapat dihilangkan dengan minum dan takdir mengantuk dapat dihilangkan dengan tidur. Mengikut sebuah riwayat yang sahih, Khalifah Umar al-Khattab r.a enggan memasuki kampung tertentu di Syam kerana ketika itu ia sedang dilanda wabak taun. Sahabat Abu Ubaidah ibn Jarrah r.a bertanya kepada Umar r.a: “Mengapa kamu lari dari takdir Tuhan?’ Umar r.a menjawab: “Aku lari dari takdir Allah kepada takdir yang lain.”(Tarikh At-Tabari)

Kesemua ini menunjukkan, Allah tidak pernah mengikat dan menzalimi manusia malah sebaliknya manusia telah diberi kebebasan untuk menentukan jalan hidupnya sendiri. Walau bagaimanapun, segala keputusan manusia tidak boleh keluar dari ruang kemanusiaan yang telah Allah tetapkan dan Allah sejak dari awal lagi telah mengetahui segala keputusan yang akan diambil oleh manusia.

Allah berfirman maksudnya : “Keputusan di sisiKu tidak akan berubah dan Aku sekali-kali tidak menzalimi hamba-hambaKu.”(Surah Qaaf ayat 29)

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum (bangsa) melainkan kaun itu sendiri mengubah nasibnya"(Surah Ar-Ra'd ayat 11)

Takdir ini boleh berubah dari masa ke semasa, sebagai contoh, jika seseorang telah ditakdirkan hidup hingga ke usia 60 tahun, dan beliau sering menghubungkan tali persaudaraan dengan manusia, Allah mungkin menambah umurnya melebihi 60 tahun. Atau jika seseorang telah ditulis akan memasuki Neraka kemudian di hujung hidupnya beliau bertaubat dan melakukan amal soleh dengan penuh keikhlasan, berkemungkinan beliau akhirnya akan dimasukkan ke dalam Syurga.
 

Kesimpulannya : Allah SWT memberi akal kepada manusia boleh berfikir dan membuat pilihan baik atau buruk. Allah SWT menjelaskan di dalam al-Quran dan Nabi Muhammad SAW telah menyampaikan wahyu daripada Allah SWT bahawa jika manusia pilih Islam dan iman dan menjadi manusia yang bertakwa maka mereka akan di masukkan ke dalam syurga tetapi jika manusia kufur dan tak mahu beriman kepada Allah SWT hendak pilih maksiat dan dosa walau pun tahu ancaman daripada Allah dia berdegil nak buat dosa dan maksiat juga maka jika dia di masukkan kedalam neraka tak boleh dia salahkan Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW. 

Dalam ajaran Islam jika seorang cacat akal semenjak dilahirkan maka insan seperti ini tak ada dosa dan pahala maka tak di bebankan untuk melaksanakan kewajipan terhadap Allah SWT. Manusia boleh membuat pilihan dan Allah SWT serahkan pada manusia untuk membuat pilihan. Sebagai seorang mukmin yang yakin dengan qada dan qadar akan berpegang pada 3 perkara iaitu berdoa, berusaha (berikhtiar) dan bertawakkal. Jika berjaya apa yang di usahakan dia bersyukur tetapi jika sudah berusaha mendapat kegagalan dia redha dan bersabar akan mendpat kebaikan juga pada manusia. Semua yang terjadi di muka bumi jika seorang mukmin itu faham hakikat iman maka semuanya adalah kebaikan belaka dan mereka berbaik sangka terhadap Allah SWT.

680. Soalan : Ustaz saya ni pengemar kucing, apakah batal solat saya, jika ada bulu kucing pada baju saya, apakah bulu kucing itu najis.. sedangkan tiada najis pada bulu kucing tersebut?

Jawapan : 

Menurut ulama bermazhab Syafii, bulu yang tercabut daripada binatang yang haram dimakan, bulu itu adalah najis. Oleh kerana kucing adalah binatang yang haram dimakan, maka bulu yang tercabut semasa kucing itu masih hidup adalah najis.

Namun bulu kucing itu adalah najis yang dimaafkan kerana kucing adalah binatang peliharaan dan sukar untuk dikawal dan berkebarangkalian bulunya merata-rata dan sukar dikawal. Oleh itu jika badan, pakaian, atau tempat sembahyang terkena bulu kucing, maka solat yang dikerjakan adalah sah.

Kabshah bt Ka’ab ibn Malik melaporkan, "Pada suatu hari Abu Qatadah berada di dalam rumah, lalu saya menyediakan baginya sebekas air untuk dijadikan sebagai air wuduk. Kemudian datang seekor kucing dan ia menjilat air tersebut. Abu Qatadah membiarkan sahaja kucing itu menjilat air daripada bekas tersebut." Kabshah meneruskan kata-katanya, "Abu Qatadah perasan yang saya memandang kepadanya, lalu dia bertanya, 'Adakah kamu merasa pelik wahai anak saudaraku?' Saya menjawab, 'Ya’. Abu Qatadah menjelaskan, "Rasulullah SAW pernah bersabda, 'Sesungguhnya kucing itu tidak najis kerana ia adalah binatang yang berkeliaran di sekeliling kamu.'" Hadis sahih direkod oleh Imam Abu Daud, Tirmizi, al-Nasa'i, dan Ibnu Majah. ). Wallahu a'lam .



No comments:

Post a Comment