Monday, September 15, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 154 ( Hukum Halal Dan Haram, Syarat Membela Anjing, Aurat Wanita (Kesalahan Wanita), Masuk Tandas Tutup Kepala - Hadis Sangat Dhaif Dan Tempuh Darah Nifas, Hukum Berkorban Dan Tanggung Dosa)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sahabat yang dirahmati Allah,    
Tanyalah Ustaz Siri 154 adalah menjelaskan persoalan hukum halal dan haram, syarat membela anjing, aurat wanita (kesalahan wanita), masuk tandas tutup kepala - hadis sangat dhaif dan tempuh darah nifas, hukum berkorban untuk orang mati dan ibu bapa tak tanggung dosa anak.

726. Soalan : Bolehkan ustaz jelaskan yang di maksudkan, "Yang Halal, apa yang Allah halalkan dalam kitab-Nya dan Yang Haram, apa yang Allah haramkan dalam kitab-Nya dan apa yang ia diamkan dari itu, maka ia dari apa yang Ia maafkan dari-nya?

Jawapan : 

Prof Yusuf al-Qardhawi menjelaskan : Asal Tiap-Tiap Sesuatu Adalah Mubah.

Dasar pertama yang ditetapkan Islam, ialah: bahawa asal sesuatu yang dicipta Allah adalah halal dan mubah. Tidak ada satupun yang haram, kecuali kerana ada nas yang sah dan tegas dari syari' (yang berwenang membuat hukum itu sendiri, yaitu Allah dan Rasul) yang mengharamkannya. Kalau tidak ada nas yang sah --misalnya kerana ada sebagian Hadis lemah-- atau tidak ada nas yang tegas (sharih) yang menunjukkan haram, maka hal tersebut tetap sebagaimana asalnya, yaitu mubah.

Ulama-ulama Islam mendasarkan ketetapannya, bahawa segala sesuatu asalnya mubah, seperti tersebut di atas, dengan dalil ayat-ayat al-Quran yang antara lain:

Firman Allah SWT maksudnya, "Dialah Zat yang menjadikan untuk kamu apa-apa yang ada di bumi ini semuanya." (Surah al-Baqarah ayat 29)

"(Allah) telah memudahkan untuk kamu apa-apa yang ada di langit dan apa-apa yang ada di bumi semuanya daripadaNya." (Surah al-Jatsiyah ayat 13)

"Belum tahukah kamu, bahwa sesungguhnya Allah telah memudahkan untuk kamu apa-apa yang ada di langit dan apa-apa yang ada di bumi; dan Ia telah sempurnakan buat kamu nikmat-nikmatNya yang nampak maupun yang tidak nampak." (Surah Luqman ayat 20)

Allah tidak akan membuat segala-galanya ini yang diserahkan kepada manusia dan dikurniakannya, kemudian Dia sendiri mengharamkannya. Kalau tidak begitu, buat apa Ia jadikan, Dia serahkan kepada manusia dan Dia kurniakannya?

Beberapa hal yang Allah haramkan itu, justeru kerana ada sebab dan hikmatnya, 

Dengan demikian arena haram dalam syariat Islam itu sebenarnya sangat sempit sekali; dan arena halal malah justeru sangat luas. Hal ini adalah justeru nas-nas yang sahih dan tegas dalam hal-haram, jumlahnya sangat minima sekali. Sedang sesuatu yang tidak ada keterangan halal-haramnya, adalah kembali kepada hukum asal yaitu halal dan termasuk dalam kategori yang dima'fukan Allah.

Untuk soal ini ada satu Hadis yang menyatakan sebagai berikut:

Nabi bersabda maksudnya, "Apa saja yang Allah halalkan dalam kitabNya, maka dia adalah halal, dan apa saja yang Ia haramkan, maka dia itu adalah haram; sedang apa yang Ia diamkannya, maka dia itu dibolehkan (ma'fu). Oleh kerana itu terimalah dari Allah kemaafannya itu, sebab sesungguhnya Allah tidak bakal lupa sedikitpun." Kemudian Rasulullah membaca ayat: dan Tuhanmu tidak lupa.2 (Hadis Riwayat Hakim dan Bazzar)

"Rasulullah s.aw. pernah ditanya tentang hukumnya samin, keju dan keledai hutan, maka jawab beliau: Apa yang disebut halal ialah: sesuatu yang Allah halalkan dalam kitabNya; dan yang disebut haram ialah: sesuatu yang Allah haramkan dalam kitabNya; sedang apa yang Ia diamkan, maka dia itu salah satu yang Allah maafkan buat kamu." (Riwayat Tarmizi dan lbnu Majah)

Rasulullah tidak ingin memberikan jawaban kepada si penanya dengan menerangkan satu persatunya, tetapi baginda mengembalikan kepada suatu kaidah yang kiranya dengan kaidah itu mereka dapat diharamkan Allah, sedang lainnya halal dan baik.

Dan sabda beliau juga maksudnya, "Sesungguhnya Allah telah mewajibkan beberapa kewajiban, maka jangan kamu sia-siakan dia; dan Allah telah memberikan beberapa batas, maka jangan kamu langgar dia; dan Allah telah mengharamkan sesuatu, maka jangan kamu pertengkarkan dia; dan Allah telah mendiamkan beberapa hal sebagai tanda kasihnya kepada kamu, Dia tidak lupa, maka jangan kamu perbincangkan dia." (Hadis Riwayat Daraquthni, dihasankan oleh an-Nawawi)

727. Soalan : Ustaz.boleh tak terangkan syarat-syarat untuk membela anjing dan syarat-syarat wajib samak ke atas anjing itu?

Jawapan : 

Anjing sebagai binatang yang dianggap najis, termaktub di dalam hadis yang sahih. Justeru, menurut jumhur fuqahak, anjing membawa najis mughallazah. Ia berdasarkan perintah Rasulullah agar membasuh bekas yang dijilat anjing sebanyak tujuh kali dimulakan dengan air yang dicampur tanah. 

Nabi Muhammad saw bersabda, maksudnya: “Sucinya bejana (bekas) salah seorang daripada kamu yang dijilati anjing adalah dengan dibasuh bejana itu tujuh kali dengan air dan pada basuhan pertama dicampur dengan tanah.” (Hadis Riwayat. Muslim, Abu Daud dan Ahmad). 

Mungkin timbul persoalan mengapa Rasulullah menyuruh umatnya menggunakan tanah untuk menyuci bekas yang dijilat anjing? Hikmah yang sebenarnya, hanya Allah sahaja Maha Mengetahui. Namun, ada pendapat yang mengatakan bahawa dalam air liur anjing ada bakteria yang hanya dapat dimatikan oleh tanah yang dicampur air.

Walaupun Rasulullah mengarahkan agar membasuh bekas jilatan anjing sebanyak tujuh kali, namun ini tidak bermakna Islam menganggap anjing sebagai makhluk hina yang wajib dibenci dan dijauhi. Ini kerana Islam mengajar kita supaya mempunyai sifat rahmat di antara sesama makhluk, termasuk kepada binatang. 

Walau apa pun persepsi manusia terhadap anjing, ia merupakan salah satu daripada makhluk yang diciptakan Allah di atas muka bumi ini. Sekiranya seseorang itu melakukan kebaikan pada mana-mana makhluk Allah, maka sudah tentu akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah. 

Walaubagaimanapun, Islam telah menetapkan beberapa peraturan berkaitan dengan anjing ini, apatah lagi apabila ia termasuk dalam najis mughallazah. Contohnya ialah masalah memelihara anjing, adakah ia dibenarkan oleh syara' atau tidak? Oleh itu, hendaklah dilihat maksud pemeliharaan itu sama ada untuk menjaga kemaslahatan manusia atau tidak. Jika ya, maka hukumnya boleh, dan apabila tidak, maka hukumnya haram.

Menurut Prof Dr Yusof al-Qaradhawi dalam bukunya Halal wa Haram fi al-Islam, termasuk yang dilarang oleh Nabi ialah memelihara anjing di dalam rumah tanpa ada sesuatu keperluan. Nabi bersabda: "Barangsiapa memelihara anjing tidak untuk keperluan berburu atau penjagaan, maka pahalanya akan berkurang sebanyak satu qiroth bagi setiap hari" (Muttafaq 'Alaih)

Pemeliharaan anjing tanpa sebarang keperluan dilarang kerana malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang terdapat di dalamnya anjing. Sabda nabi: "Malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang ada di dalamnya anjing dan gambar" (Muttafaq 'alaih). 

Daripada Ibn Umar r.a.meriwayatkan bahawa malaikat Jibril as berjanji akan datang menemui Rasulullah SAW. Setelah sekian lama menanti, Jibril as tidak juga muncul. Lalu Rasulullah saw pun keluar, dan baginda menemui Jibril di luar. Rasulullah mengadu akan kelewatan tibanya. Jibril menjelaskan dengan berkata: "Sesungguhnya kami tidak memasuki rumah yang ada anjing dan gambar" (Hadis riwayat al-Bukhari). 

Abu Hurairah r.a mengatakan bahwa Rasulullah SAW bersabda, maksudnya : “Malaikat tidak akan menemani kelompok manusia yang di tengah-tengah mereka terdapat anjing". (Hadis Riwayat Muslim).

Menurut Abdul Qadir Ahmad 'Ata menerusi bukunya Haza Halal wa Haza Haram, antara sebab malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang mempunyai anjing ialah anjing merupakan binatang yang banyak makan benda-benda kotor serta mempunyai bau yang kurang menyenangkan yang tidak disukai oleh para malaikat. Sebahagian ulama lain pula ada yang berpendapat, bahawa hikmah dilarangnya memelihara anjing di rumah ialah apabila anjing itu menyalak, ia akan menakutkan tetamu yang berkunjung ke rumah.

Imam al-Qurtubi berkata : "Telah terjadi ikhtilaf di antara para ulama tentang sebab-sebab Malaikat Rahmat tidak memasuki rumah yang di dalamnya terdapat anjing. Sebahagian ulama mengatakan bahawa anjing itu najis, dan ada pula yang mengatakan bahawa ada anjing yang diserupai oleh syaitan. Malaikat yang tidak memasuki rumah yang mempunyai anjing itu ialah malaikat tertentu sahaja seperti Malaikat Jibril dan Malaikat Rahmat. Manakala malaikat-malaikat lain tetap akan masuk ke dalam rumah yang mempunyai anjing. Ini kerana terdapat nas-nas yang menunjukkan malaikat ada di mana-mana bersama anak Adam, khususnya Raqib dan 'Atid yang mencatat segala amalan manusia. Apatah lagi malaikat maut, akan masuk mana-mana rumah untuk mencabut nyawa penghuninya yang sudah sampai waktu ajalnya.

Ringkasnya, Islam melarang memelihara anjing tanpa sebarang keperluan kerana Islam merupakan agama yang mencintai kebersihan. Tambahan itu, larangan tersebut adalah kerana malaikat Rahmat tidak akan masuk kedalam rumah orang yang memelihara anjing di dalamnya.

Akan tetapi, anjing yang dipelihara kerana ada kepentingan dan maslahat bagi manusia, seperti untuk berburu, menjaga tanaman, menjaga binatang dan sebagainya adalah dikecualikan daripada larangan ini. Ini kerana terdapat hadis Rasulullah yang mengharuskannya. Sebagai contohnya ialah sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud: "Sesiapa yang memelihara anjing, selain anjing pemburu atau penjaga tanaman dan binatang, maka pahalanya akan berkurang setiap hari satu qirat." (Hadis Riwayat Jamaah)

Kesimpulannya : Membela anjing di rumah adalah dilarang kerana malaikat rahmat tak masuk rumah yang ada bela anjing (walaupun anjing itu tinggal di luar rumah). Tetapi membela anjing untuk tujuan menjaga kebun, binatang ternak atau berburu adalah di haruskan. Dan anjing tersebut di tempatkan di kebun tersebut atau di tempat ternakkan binatang.

Cara-cara basuhan yang terkena jilatan anjing.

Cara-cara membasuh najis daripada jilatan anjing kepada bekas air atau najis anjing yang terkena kasut. Bekas air yang terkena jilatan anjing maka buangkan air yang di jilat dan bekas air tersebut hendaklah di basuh dengan 1 bekas air mutlak bercampur tanah setelah itu di bilas lagi dengan 6 bekas air mutlak ke atas bekas air terebut. Nabi Muhammad saw bersabda, maksudnya: “Sucinya bejana (bekas) salah seorang daripada kamu yang dijilati anjing adalah dengan dibasuh bejana itu tujuh kali dengan air dan pada basuhan pertama dicampur dengan tanah.” (Hadis Riwayat. Muslim, Abu Daud dan Ahmad). 

Jika kasut kita terkena najis anjing maka perlu bersihkan najis yang melakat di kasut terlebih dahulu kemudian di sertu dengan 7 bekas air dan bekas yang pertama bercampur tanah sama dengan cara basuhan ke atas bekas air minum.

728.Soalan : Saya nak tanya macaman nak urus uri dan bab pantang semasa bersalin? 

Jawapan : 

Uri adalah sebahagian daripada anggota manusia (saluran bekalan makanan untuk bayi di dalam perut ibu). Iannya tidak di buang merata tempat ianya perlu dihormati hendaklah ditanam di tanah. Tidak ada upucara menanam uri atau amalan-amalan tertentu yang dilakukan oleh umat Islam . 

Wanita yang sedang nifas (sedang pantang) jika dilihat tidak ada lagi darah yang keluar dan jika telah bersih daripada darah nifas maka perlulah mandi hadas nifas.

Batasan Lama Darah Nifas.

Batasan minima lamanya nifas tidak ada. Jika seorang wanita melihat dirinya telah suci, maka ia segera mandi lalu mengerjakan solat. Demikian pendapat jumhur atau majoriti ulama. Lihat Al Mawsu’ah Al Fiqhiyyah, 41: 6.

Untuk batasan maksimanya para ulama berselisih pendapat. Ulama Syafi’iyah berpendapat darah nifas maksimanya adalah 60 hari. Ada juga yang berpendapat 40 hari. Mereka beralasan dengan hadis Ummu Salamah, di mana ia berkata,

كَانَتِ النُّفَسَاءُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- تَقْعُدُ بَعْدَ نِفَاسِهَا أَرْبَعِينَ يَوْمًا أَوْ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً

“Dahulu di masa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, wanita menunggu masa nifasnya selesai hingga 40 hari atau 40 malam.” (HR. Abu Daud no. 311, Tirmidzi no. 139, Ibnu Majah no. 648. Hadis ini disahihkan Al Hakim dan disepakati oleh Adz Dzahabi. Al Hafizh Abu Thohir mengatakan bahwa hadis ini hasan, sedangkan Syaikh Al Albani mengatakan sahih).

Darah Nifas Tidak Berhenti Setelah 40 Hari

Dalil di atas sebenarnya bukan menunjukkan batasan bahawa darah nifas maksima keluar selama 40 hari, namun menunjukkan umumnya darah nifas adalah keluar selama waktu itu. Ertinya, jika lebih dari 40 hari darah terus keluar, tetap masih berlaku darah nifas.

Syaikh ‘Abdurrahman bin Nashir As Sa’di berkata, “Yang tepat, masa nifas tidak ada batasan minima dan juga maksimanya. Pembicaraan lamanya nifas sama dengan pembicaraan lamanya haid (ertinya, tidak ada batasan minima ataupun maksimanya).” (Al Mukhtarot Al Jaliyah minal Masa-il Al Fiqhiyyah, hal. 39).

Dalam kitab lainnya Syaikh As Sa’di mengatakan, “Ketika darah kebiasaan itu ada, maka berlakulah hukum. Inilah yang ditunjukkan oleh dalil dan diamalkan oleh kaum muslimin. Adapun menetapkan umur tertentu di mana minima wanita mendapati haid atau menetapkan usia berapa berakhirnya haid, juga menetapkan batasan minima atau maksimanya, maka seperti itu tidaklah terdapat dalil. (Lihat Al Qowa’id wal Furuq, hal. 169, dinukil dari catatan kaki kitab Manhajus Salikin karya Syaikh As Sa’di, hal. 52)

Dalam mazhab Syafie selepas 60 hari jika keluar lagi darah maka itu di kira sebagai darah istihadah bukan darah nifas. Jika darah istihadah wajib solat dan boleh membaca al-Quran .

729. Soalan :  Boleh ke nak buat korban untuk orang-orang yang sudah meninggal dunia? 

Jawapan : 

Pendapat jumhur ulama mengatakanbahawa boleh berkorban untuk orang-orang yang telah meninggal dunia di kalangan ahli waris. Semasa sembelihan korban tersebut di sebut nama si mati bahawa bahagian tersebut adalah untuknya. 2. Boleh tidak menjadi masaalah simpan bahagian tuan yang berkorban tetapi bahagain orang miskin di tuntut di agihkan secepat mungkin.
 

HUKUM KORBAN UNTUK ORANG YG DAH MATI

Ulama berselisih pendapat terhadap masalah ini kepada tiga pendapat:

PERTAMA: Haram. 


Tidak sah korban untuk orang yang mati melainkan dia telah mewasiatkannya sebelum mati.

Ini mazhab Syafie. Imam Ramli berkata dalam Nihayatul Muhtaj:

ولا تجوز ولا تقع أضحية عن ميت إذا لم يوص بها

"Tidak boleh dan tidak sah korban untuk orang mati sekiranya dia tidak mewasiatkannya."

KEDUA: Makruh jika tidak ada wasiat dari si mati.
Ini mazhab Maliki. Imam Malik berkata:

ولا يعجبني أن يضحي عن أبويه الميتين، قال: وإنما كره أن يضحى عن الميت لأنه لم يرد عن

النبي صلى الله عليه وسلم ولا عن أحد من السلف، وأيضاً فإن المقصود بذلك غالباً المباهاة والمفاخرة.

“Aku tidak suka korban untuk ibu bapa yg sudah mati. Ianya makruh kerana tiada dalil dari Nabi SAW dan juga para salafus soleh. Ia juga kerana tujuannya ialah untuk berbangga-bangga.”

KETIGA: Harus.


Sebahagian Ulama Syafi'iyyah bahawa harus lakukan korban untuk yang telah mati walaupun tidak pernah diwasiatkan sedemikian kerana ia seperti sedekah dan ia sampai kepada si mati disisi IJMAK (rujuk At-Tuhfah, Al-Majmuk & Mughni Muhtaj).

Manakala dalam Mazhab Hanbali dan Hanafi mengharuskan amalan tersebut (rujuk Matolob Ulil Nuha dalam fiqh Hambali dan Durru Mukhtar serta Hasyiah oleh Ibnu 'Abidin dalam Mazhab Hanafi)
InI adalah pendapat mazhab Hambali dan Hanafi. Dalil mereka:

عن عائشة رضي الله عنها: أنّ امْرَأةً قَالَتْ: يَا رَسُولَ الله إنّ أُمّي افْتُلِتَتْ نَفْسُهَا، وَلَمْ تُوصِ وأراها لو تَكَلَّمَتْ تصَدَّقَتْ، أفَأَتَصَدَّقُ عَنْهَا؟ قَالَ: نَعَمْ فَتَصَدّقِي عَنْهَا.

Daripada Aisyah ra beliau berkata: Seorang wanita bertanya “ Ya Rasulullah sesungguhnya ibuku terbunuh dan tidak mewasiatkan apa-apa. Aku rasa kalau dia boleh berkata dia akan bersedekah. Adakah aku boleh bersedekah bagi pihaknya? Nabi SAW menjawab “ Ya, sedekahlah untuknya.” (Hadis Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim.

Inilah yang dapat difahami dari hadis Saidatina ‘Aisyah r.a. tadi yang menceritakan bahawa Nabi SAW menyembelih binatang korban dan mendoakan korban itu untuk dirinya, ahli keluarganya dan umatnya di mana Baginda SAW berkata tatkala menyembelih binatang korban itu;

;بِاسْمِ اللهِ، اللَّهُمَّ تَقَبَّلْ مِنْ مُحَمَّدٍ وَآلِ مُحَمَّدٍ، وَمِنْ أُمَّةِ مُحَمَّدٍ
“Dengan nama Allah. Ya Allah, terimalah ini dari Muhammad dan ahli keluarga Muhammad serta dari umat Muhammad”.(Hadis Riwayat Imam Muslim).

KESIMPULAN

 
Pendapat yang paling kuat adalah di haruskan berkorban untuk si mati sebagai pahala sedekah sebagaimana sedekah yang lain-lain di niatkan oleh ahli keluarga yang hidup kepada ahli keluarga yang telah meninggal dunia.


730. Soalan :  Ustaz andai seorang anak melakukan dosa adakah ibu bapa yang telah meninggal juga akan terima siksa disana...?

Jawapan : 

Ibu bapa tidak menanggung dosa anak-anak yang telah baligh melakukan dosa. Mereka akan tanggung dosa mereka sendiri. Cuma ibu bapa akan mendapat dosa jika semasa hidup di dunia dahulu mereka tak pernah mendidik anak-anaknya kepada ajaran Islam dan tak pernah menyuruh solat dan membiarkan anak-anak melakukan dosa dan maksiat. Dosa kerana lalai dan tak bertanggungjawab. Tetapi jika ibu bapa sudah hantar kesekolah agama dan di rumah pun mereka suruh anak-anak solat, melakukan kebaikan, menyuruh menutup aurat dan berakhlak mulia maka ibu bapa terlepas daripada dosa kerana telah menjalankan tugas mendidik dengan baik. Jadi dosa anak akan dia tanggung sendiri.
 

Tiap-tiap Orang Memikul Dosanya Masing-masing.

(سورة الإسراء)
وَكُلَّ إِنسَانٍ أَلْزَمْنَاهُ طَآئِرَهُ فِي عُنُقِهِ وَنُخْرِجُ لَهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ كِتَابًا يَلْقَاهُ مَنشُورًا (١٣) اقْرَأْ كَتَابَكَ كَفَى بِنَفْسِكَ الْيَوْمَ عَلَيْكَ حَسِيبًا (١٤) مَّنِ اهْتَدَى فَإِنَّمَا يَهْتَدي لِنَفْسِهِ وَمَن ضَلَّ فَإِنَّمَا يَضِلُّ عَلَيْهَا وَلاَ تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّى نَبْعَثَ رَسُولاً (١٥)

Terjemahan:

(13) Tiap-tiap manusia itu telah Kami tetapkan amal perbuatannya (sebagaimana tetapnya kalung) pada lehernya. Dan Kami keluarkan baginya pada Hari Kiamat sebuah kitab yang dijumpainya terbuka.

(14) “Bacalah kitabmu, cukuplah dirimu sendiri pada waktu ini sebagai penghisab terhadapmu”.

(15) Barangsiapa yang berbuat sesuai dengan hidayah (Allah), maka sesungguhnya dia berbuat itu untuk (keselamatan) dirinya sendiri; dan barangsiapa yang sesat maka sesungguhnya dia tersesat bagi (kerugian) dirinya sendiri. Dan seorang yang berbuat dosa tidak dapat memikul dosa orang lain, dan Kami tidak akan mengazab sebelum Kami mengutus seorang rasul.
(Surah Al-Israa (17) ayat 13-15)

Tafsir Ayat:

Dan tiap-tiap manusia itu telah Kami tetapkan amal perbuatannya (sebagaimana tetapnya kalung) pada lehernya:

Maksudnya: Dalam ayat ini Allah SWT ingin menyatakan betapa sempurnanya keadilanNya, bahwa setiap manusia mesti bertanggungjawab terhadap amalnya. Apakah amalnya baik atau jahat. Setiap insan akan dihisab berdasarkan amalnya sendiri.

Orang Arab selalu menggunakan kiasan tentang sesuatu yang menjadi kemestian dengan meletakkan suatu barang pada lehernya. Umpamanya: “Aku letakkan kerja ini pada lehermu”. Maknanya: Pekerjaan itu mesti dia lakukan dengan sempurna.

Dan Kami keluarkan baginya pada Hari Kiamat sebuah kitab yang dijumpainya terbuka.

Maksudnya: Pada hari perhitungan (hisab) nanti setiap manusia akan mendapat buku catitan masing-masing terbuka dihadapannya. Di dalamnya tertera segala amal perbuatan yang pernah dia lakukan ketika hidup di dunia, apakah amalnya yang baik ataupun amalnya yang buruk.

Bacalah kitabmu, cukuplah dirimu sendiri pada waktu ini sebagai penghisab terhadapmu.

Maksudnya: Ini juga menyatakan betapa adilnya Allah SWT karena kepada manusia pada hari hisab itu akan dikatakan:

“Hitunglah sendiri apa yang tertera dalam buku catitanmu itu”, sehingga dengan demikian mereka sendiri tahu dan sadar tentang kadar azab yang layak mereka terima daripada Allah SWT.

Barangsiapa yang berbuat sesuai dengan hidayah (Allah), maka sesungguhnya dia berbuat itu untuk (keselamatan) dirinya sendiri;

Maksudnya: Barangsiapa yang beramal dengan berpandukan ajaran yang benar iaitu sebagaimana ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad (sallallahu alaihi wasalam) maka pada hakikatnya dia telah menyelamatkan dirinya sendiri. Amalnya itu bukan sahaja sekedar diterima oleh Allah tetapi juga sangat tinggi mutu dan kualitinya.

Dan barangsiapa yang sesat maka sesungguhnya dia tersesat bagi (kerugian) dirinya sendiri.

Maksudnya: Sebaliknya barangsiapa yang beramal tetapi menyimpang dari panduan yang pernah diberikan oleh Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam) maka pada hakekatnya dia tidak menyesatkan dan merugikan siapapun kecuali dirinya sendiri. Hal ini disebabkan karena dia telah melakukan sesuatu yang sememangnya sangat layak mendapat murka dan kutukan serta azabNya yang pedih.

Dan seorang yang berbuat dosa tidak dapat memikul dosa orang lain

Maksudnya: Allah SWT membantah dakwaan seseorang yang kononnya dia sanggup memikul dosa yang dilakukan oleh orang lain. Ini sebagaimana yang diriwayatkan dari Ibnu Abbas (ra) bahwa ayat ini diturunkan karena peristiwa Al-Walid Bin Al-Mughirah yang pernah berkata:

واكْفُرُوا بِمُحَمَّدٍ وَعَلَىَّ أوزَارُكُمْ
Artinya: “Kufurlah kamu terhadap ajaran Muhammad, dan aku akan tanggung semua dosa kamu”.

Dan ayat ini juga telah mengecewakan harapan orang-orang kafir Quraisy yang mendakwa kononnya: Sekiranya mereka tidak berada di atas kebenaran, maka mereka hanya sekedar pengikut orang-orang silam yang lebih awal dari mereka. Dengan dakwaan ini seolah-olah mereka ingin menimpakan kesalahan yang mereka lakukan (menolah kebenaran) ke atas bahu nenek moyang mereka.



No comments:

Post a Comment