Thursday, September 25, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 160 (Hukum Onani, Ciri-ciri Isteri Tak Solehah, Payung Emas (Bukan Hadis Sahih) , Hukum Air Liur Kucing , Taubat Di Terima (Tanda-tandanya) Dan Jenazah Di Kebumikan Tiada Makhluk Yang Ikut Ke Kubur.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sahabat yang dirahmati Allah,    
Tanyalah Ustaz Siri 160 adalah menjelaskan persoalan hukum onani, ciri-ciri isteri tak solehah, payung emas (bukan hadis sahih) , hukum air liur kucing , taubat di terima (tanda-tandanya) dan jenazah di kebumikan tiada makhluk yang ikut ke kubur.

756. Soalan : Saya nak tanya mengenai "masturbasi".(onani).. Jika seseorang itu melakukan masturbasi dengan sengaja (menggunakan tangan) hukumnya apa ustaz?

Jawapan :  

Perbuatan onani atau masturbasi adalah haram kerana mengeluarkan air mani dengan sengaja bukan di tempatnya. Para ulama mazhab Maliki, Syafi’i dan Zaidiyah berpendapat bahawa onani adalah haram. Alasan mereka akan pengharaman onani ini adalah bahawa Allah SWT telah memerintahkan untuk menjaga kemaluan dalam segala keadaan kecuali terhadap isteri mereka. 

Apabila seseorang tidak melakukannya terhadap isteri mereka kemudian melakukan onani maka ia termasuk kedalam golongan orang-orang yang melampaui batas-batas dari apa yang telah dihalalkan Allah bagi mereka dan beralih kepada apa-apa yang diharamkan-Nya atas mereka. Firman Allah SWT

وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ ﴿٥﴾
إِلَّا عَلَى أَزْوَاجِهِمْ أوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ ﴿٦﴾
فَمَنِ ابْتَغَى وَرَاء ذَلِكَ فَأُوْلَئِكَ هُمُ الْعَادُونَ ﴿٧﴾

Maksudnya : “dan orang-orang yang menjaga kemaluannya, kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau budak yang mereka miliki. Maka Sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada terceIa. Barangsiapa mencari yang di balik itu. Maka mereka Itulah orang-orang yang melampaui batas.” (Surah Al Mukminun ayat 5 – 7)
 

Jika melakukan onani dengan tangan keluar air mani maka wajib mandi hadas besar. Jika bermimpi dan keluar air mani maka juga di wajibkan mandi hadas besar. Jika melakukannya tidak keluar air mani maka tak wajib mandi. Dalam Islam tak ada hukum hudud untuk mereka yang melakukan onani jika sabit kesalahan adalah boleh dikenakan takzir sahaja.
mandi wajib sunat di segerakan jika di waktu malam sejuk nak tangguhkan sehingga fajar maka ambil wuduk dahulu dan baru tidur dan bagun di waktu fajar sebelum solat subuh.
 

Air Mazi adalah sejenis cecair jernih sedikit melekit dan kurang berbau yang keluar dari kemaluan lelaki dan wanita setiap kali ada rangsangan syahwat. Ia berbeza dengan Air Mani pula cecair melekit dan berbau kuat seperti klorok, yang keluar hanya di kemuncak syahwat semasa persetubuhan atau ia juga boleh keluar di kemuncak syahwat apabila seseorang melakukan kesalahan mastubarsi (onani).

Air Mani adalah sejenis cecair pekat, yang biasanya keluar dengan rasa kenikmatan. Berbeza dengan Air Mazi yang keluar tanpa sedar, hasil peningkatan syahwat. Air Mazi adalah najis dan perlu dibasuh sedangkan air mani pula jika keluar, seseorang itu perlu mandi hadas ( MANDI WAJIB) untuk kembali menyucikan diri bagi melaksanakan ibadah khusus seperti solat dan membaca al-Quran.


757. Soalan : Apakah ciri-ciri isteri yang yang tidak solehah?

Jawapan : 

Tujuh ciri-ciri isteri tang tak solehah iaitu :

1. Ketika suamimu pulang dari kerja, kamu masih sibuk di rumah, tidak menyambutnya di pintu malah tidak memberikan senyuman dalam keadaan dia kepenatan.

2. Makanan suami bukan lagi dari air tanganmu sebaliknya air tangan mamak Restoran. Pakaian suami diberikan kepada tukang dobi untuk dicuci dan digosok.

3. ketika suami marah menegur mu, kamu menjawabnya dengan leteran dan meninggikan suara kepadanya.

4. Ketika suami duduk bersamamu di rumah, baumu tidak menyenangkan, pakaianmu tidak bersih dan tidak menarik.

5. Rahsia rumah tanggamu diceritakan kepada ibumu, kakak dan juga sahabat handaimu.

6. Tidak berlaku baik dengan keluarga suami malah menghasut suami sehingga meninggalkan tanggungjawab terhadap keluarga suamimu.

7. Tiba waktu solat, kamu tidak mengejutnya bangun untuk solat dan tidak menyuruh melakukan ketaatan, tidak meminta suamimu bertaubat dari dosa dan tidak meminta suami meninggalkan maksiat.

Ya Allah, kurniakan kepada pemuda Islam dengan isteri yang solehah dan kurniakanlah kepada perempuan Islam dengan suami yang soleh.


758. Soalan ; Betul isteri yang sudi berpoligami akan dberi payung emas di akhirat nanti.... Mohon beri pandangan...

Jawapan : 

Tidak ada hadis sahih menjelaskan isteri yang membenarkan suaminya berpoligami akan mendapat payung emas. Sebenarnya dalam hadis yang sahih menjelaskan bahawa isteri solehah di dunia akan menjadi ketua bidadri di syurga yang mana kecantikannya melebihi kecantikan bidadari-bidadari bermata jeli. Daripada Umm Salamah, isteri Nabi SAW, katanya :

Aku bertanya, "Ya Rasulullah, manakah yang lebih utama, wanita dunia ataukah bidadari bermata jeli?

Baginda menjawab, "Wanita-wanita dunia lebih utama daripada bidadari-bidadari seperti kelebihan apa yang nampak dari apa yang tidak terlihat."

Aku bertanya, "Mengapa wanita-wanita dunia lebih utama daripada bidadari?"

Baginda menjawab, "Kerana solat mereka, puasa dan ibadah mereka kepada Allah. Allah meletakkan cahaya di wajah mereka, tubuh mereka adalah kain sutera, kulitnya putih bersih, pakaiannya berwarna hijau, perhiasannya kekuningan, sanggulnya mutiara dan sisirnya terbuat dari emas."

Mereka berkata : "Kami hidup abadi dan tidak mati. Kami lemah lembut dan tidak jahat sama sekali. Kami selalu mendampingi dan tidak beranjak sama sekali. Kami reda dan tidak pernah bersungut-sungut sama sekali. Berbahagialah orang yang memiliki kami dan kami memilikinya."

(Hadis Riwayat ath-Tabrani)

Subhanallah...alangkah mulianya darjat seorang wanita solehah! Sehingga dikatakan lebih baik daripada bidadari syurga. Semoga hadis ini menjadi motivasi bagi kita semua dalam memperbaiki diri agar menjadi lebih baik daripada bidadari syurga. InsyaAllah..
September 19 at 1:44am · Like · 2
Abu Basyer Apakah ciri-ciri wanita solehah yang lebih mulia itu? Pertama wanita solehah itu tak akan menghalang suaminya berpoligami dengan hati rela dan redha, tak ada sedikit pun rasa iri hati, hasad dengki dan memberontak kepada suaminya yang berpoligami. Wanita solehah seniasa mencintai Allah dan Rasul-Nya melebihi cintanya kepada dirinya sendiri dan manusia seluruhnya.

Wanita solehah tidak suka perangai wanita jahiliah yang suka berhibur dan berhias diri hingga menimbulkan fitnah dunia.

Wanita solehah tidak bermusafir melainkan bersama mahram atau suaminya. Kecuali dalam keadaan terpaksa dan berhati-hati menjaga keselamatan dirinya.

Wanita solehah sentiasa membantu dalam perkara kebenaran, kebajikan dan takwa dan menjauhkan dirinya daripada membantu dalam bermaksiat kepada Allah S.W.T.

Wanita solehah sentiasa bersedekah dan infak di jalan Allah, samaada dalam keadaan susah atau senang.

Wanita solehah sentiasa berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, adik beradik dan kaum kerabatnya, tidak suka memutuskan silaturahim

Wanita solehah sentiasa menjaga solat fardu , puasa Ramadan, mentaati suaminya dan menjaga kehormatan diri.

Wanita solehah sentiasa menjaga hubungan baik dengan jiran tetangga dan menghormati tetamu.

Wanita solehah bukanlah dilihat dari bentuk tubuh badannya yang mempersona, tetapi dilihat dari sejauh mana ia menutupi bentuk tubuhnya yang mempersona itu.

Wanita solehah bukanlah dilihat dari sebanyak mana kebaikan yang diberikannya , tetapi dari keikhlasan ketika ia memberikan segala kebaikan itu.

Wanita solehah bukanlah dilihat dari seberapa indah lantunan suaranya menyayi dan bernasyid, tetapi dilihat dari apa yang sering mulutnya bicarakan yang benar, tidak mengumpat, mengadu domba dan keluar kata-kata kesat.

Wanita solehah bukan dilihat dari keahliannya berbahasa dan berpidato, tetapi dilihat dari bagaimana caranya ia berbicara dan berhujah untuk menegakkan kebenaran.

Berdasarkan ayat 31, surah An Nurr, Abdullah Ibn Abbas dan lain-lainnya berpendapat,

"Seseorang wanita Islam hanya boleh mendedahkan wajah, dua tapak tangan dan cincinnya di hadapan lelaki yang bukan mahram"(As Syeikh Said Hawa di dalam kitabnya Al Asas fit Tasir)

Firman Allah S.W.T maksudnya : "Janganlah perempuan -perempuan itu terlalu lunak dalam berbicara sehingga menghairahkan orang yang ada perasaan dalam hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan yang baik-baik"(Surah al-Ahzab ayat 32)

Wanita solehah bukan dilihat dari keberaniannya dalam berpakaian yang berfesion dan mahal-mahal tetapi dilihat dari sejauh mana ia berani mempertahankan kehormatannya melalui apa yang dipakainya. Bertudung labuh dan berbaju kurung tidak membenarkan bentuk tubuhnya di tonton oleh lelaki yang bukan mahram.

Wanita solehah bukan dilihat dari kekhuwatirannya digoda orang di tepi jalanan tetapi dilihat dari kekhuwatirannya dirinyalah yang mengundang orang tergoda.

Wanita solehah bukanlah dilihat dari seberapa banyak dan besarnya ujian yang ia jalani tetapi dilihat dari sejauh mana ia menghadapi ujian itu dengan penuh rasa reda dan kehambaan kepada Tuhannya, dan ia sentiasa bersyukur dengan segala kurniaan yang diberi.

Wanita solehah bukan dilihat dari sifat mesranya dalam bergaul tetapi dilihat dari sejauh mana ia mampu menjaga kehormatan dirinya dalam bergaul dan sentiasa menjauhkan dirinya daripada fitnah
Wanita solehah itu berhati lembut, menyenangkan dan menyejukkan bila dipandang mata serta menenteramkan hati setiap pemiliknya. Dialah wanita solehah yang menjaga kesucian dirinya. Allah telah menetapkan beberapa wanita mulia sebagai penghuni surga dan penghulu (pemimpin) para bidadari.

Firman Allah S.W.T. dalam surah ad-Dukhan ayat 51-54 maksudnya : "Sesungguhnya orang-orang bertakwa berada di tempat yang aman. Di dalam taman-taman dan mata air-mata air. Mereka memakai sutera halus dan sutera tebal (duduk) berhadap-hadapan. Demikianlah dan Kami jodohkan mereka kepada bidadari-bidadari bermata jeli".

Ingatlah wahai lelaki mukmin! Orang yang terbaik dikalangan kalian adalah orang yang berbuat baik kepada isterinya (wanita solehah) dan memuliakan kaum wanita. Nabi S.A.W mengatakan orang lelaki yang menghina wanita adalah orang yang tidak tahu budi.

Rasulullah SAW bersabda, “Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya, dan yang berbuat baik kepada ahli keluarganya.” (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi) Lagi sabda Rasulullah SAW, “Sebaik-baik kamu adalah yang terbaik terhadap keluarganya; dan aku adalah yang terbaik dari kamu terhadap keluargaku. Orang yang memuliakan kaum wanita adalah orang yang mulia, dan orang yang menghina kaum wanita adalah orang yang tidak tahu budi.” (Hadis Riwayat Abu ‘Asakir).

Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud " Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan itu adalah wanita solehah. "

Begitulah Islam memuliakan wanita solehah bukan saja dia adalah bidadari di dunia tetapi dia juga akan menjadi ketua bidadari di syurga.


759. Soalan : Saya ada kemuskilan sedikit, Nasi yang sedang kita makan.....tiba2 dimakan sedikit oleh kucing peliharaan kita. Bolehkah kita makan semula nasi tersebut.

Jawapan : 


Jika dipelihara dan dijaga, kucing adalah binatang yang lucu. Namun sebahagian dari kita ada yang was-was jika memelihara kucing. Terutama kerana cara penjagaannya.

Tapi kucing berbeza dengan anjing.

Kucing termasuk binatang yang suci. Suci badannya dan suci liurnya.

Sebagaimana disebutkan dalam hadis bahawa ada seorang budak wanita yang membawa makanan untuk Aisyah ra, tapi ketika itu beliau sedang solat.. Kemudian budak ini meletakkan makanannya. Tiba-tiba datang seekor kucing dan memakan makanan itu.

Setelah Aisyah ra selesai, beliau mengambil bekas gigitan kucing. Kemudian Aisyah ra menceritakan bahawa Nabi SAW bersabda, "Kucing itu tidak najis, kerana mereka termasuk binatang yang sering berkeliaran di tengah-tengah kalian."

Aisyah menambah, "Aku pernah melihat Nabi SAW berwudhu dari sisa air yang diminum kucing," (HR. Abu Daud 76 dan disahihkan Al-Albani).

Hadis ini menunjukkan bahawa kucing adalah binatang yang suci, dan air liurnya juga suci. Abu Yusuf, Imam Malik, Imam Syafie, dan Imam Ahmad berpendapat bahawa kucing suci badannya dan air liurnya tanpa makruh.

Sementara kencingnya dan kotorannya, majoriti ulama berpendapat statusnya najis

Wallahualam.


760. Soalan : Saya ada dua soalan :

1. Apakah tanda-tanda taubat di terima Allah SWT  dan 

2. Betul ke ada makhluk lain yg ikut kita bila kita bawa dan mengiringi jenazah ke kubur?bila kita pulang ke rumah dr tanah perkuburan kita sekeluarga terutama anak-anak kecil akan diganggu makhluk tersebut..istilah lain badi mayat?
   
Jawapan 1: 

1. Tujuh Tanda Taubat Seseorang Diterima Allah. 

Pertama adalah selepas bertaubat, kita akan menjadi lebih baik daripada sebelumnya.

Firman Allah SWT: “Dan sesungguhnya Aku Maha Pengampun bagi orang yang bertaubat, beriman, beramal soleh, kemudian tetap di jalan yang benar.” (Surah Taha, ayat 82)

Kedua adalah hatinya selalu dihiasi rasa takut kepada Allah SWT, tidak pernah berpisah dengan-Nya siang dan malam sehingga ia mendengar malaikat berbicara pada ketika mencabut nyawanya seperti firman

Allah SWT yang bermaksud: “Jangan kamu merasa takut dan janganlah kamu merasa sedih, dan bergembiralah kamu dengan memperoleh syurga yang dijanjikan Allah kepadamu.” (Surah Fussilat, ayat 30)

Ketiga pula adalah selalu menyesal kepada Allah SWT, penyesalan yang datangnya dari lubuk hati, menghadap Allah SWT dengan rasa malu, takut dan hina.

Keempat, merasa dan menyedari buruknya perbuatan dosa dan bahayanya.

Imam Ibn Qayyim memaparkan bahayanya perbuatan dosa dalam kitabnya Ad-Da’ wa Ad-Dawa’ dan al-Fawa’id.

Antara bahaya itu ialah menyempitkan hati, wajah menjadi suram, urusan menjadi sulit, malas beribadat, dibenci oleh ramai manusia, badan menjadi lemah, terbiasa melakukan perbuatan dosa, hilangnya rasa malu, berkurangnya nikmat hidup, hidup sengsara, mati su’ul khatimah dan mendapat seksa di akhirat.

Kelima, menjauhi dan meninggalkan kawan-kawan yang berperangai buruk kerana seseorang akan selalu mengikuti kebiasaan temannya. Allah SWT mengingatkan akibat berkawan dengan mereka.

Firman Allah SWT: “Dan Allah ingin menerima taubatmu, sedangkan orang yang mengikuti hawa nafsunya bermaksud supaya kamu berpaling sejauh-jauhnya (dari kebenaran).” (Surah an-Nisa’, ayat 27)

Justeru, berhati-hatilah dengan kawan-kawan yang berperangai buruk, berpalinglah dari mereka dan ikutilah selalu jalan orang soleh. Ibn Atha’illah berkata: “Janganlah kamu berteman dengan seseorang yang keadaannya tidak membuatmu terdorong untuk berbuat baik dan ucapannya tidak membimbingmu menuju Allah.”

Keenam pula adalah tidak menganggap remeh dosa-dosa kecil seperti melihat perempuan yang bukan mahram dan bersalaman dengannya. Bilal bin Sa’ad berkata: “Jangan kamu melihat kecilnya dosa yang kamu lakukan tetapi lihatlah pada besarnya yang kamu langgar perintah-Nya.”

Ketujuh adalah melenyapkan segala sesuatu yang menjadi sebab berlakunya maksiat seperti majalah lucah dan sebagainya. Jika tanda-tanda itu ada dalam diri saudara, Insya Allah taubat saudara diterima Allah SWT.

Jawapan 2: 

Tidak ada nas yang sahih menyatakan ada makhluk lain yang ikut kita bila bawa dan mengiringi jenazah ke kubur. Yg jelas ada di nyatakan dalam hadis 3 yang mengiringi jenazah , dua akan pulang dan satu akan tinggal. “Tiga Perkara Yang Mengikuti Jenazah”

عن أنس رضي الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم ( يتبع الميت ثلاث فيرجع اثنان ويبقى واحد يتبعه أهله وماله وعمله فيرجع أهله وماله ويبقى عمله ) رواه البخاري ومسلم .

Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim di dalam kitab shahihnya dari hadith Dari Anas bin Malik RA bahwa Nabi Muhammad SAW bersabda:

“ Si mati itu diikuti oleh tiga golongan. Akan kembali dua golongan dan satu golongan akan tetap menemaninya. Dia akan diikuti oleh keluarganya, hartanya dan amalnya. Maka keluarga dan hartanya akan kembali pulang sementara amalnya akan tetap menemaninya ”. [Sahih Bukhari: 4/194 no: 6514 dan shahih Muslim: 4/2273]

Hadis ini telah dijelaskan oleh Al-Hafiz Ibnu Rajab Al-Hambali di dalam risalah yang sangat berharga. Dia berkata: “Tafsir hadis ini adalah bahawa anak Adam mesti memiliki keluarga yang selalu bergaul dengan dirinya dan juga harta sebagai bekal hidupnya. Dua teman ini selalu menyertainya dan suatu saat akan berpisah dengannya. Maka orang yang berbahagia adalah orang yang menjadikan harta sebagai jalan untuk berzikir kepada Allah SWT, dan menafkahkannya untuk kepentingan akhirat, dan dia mengambil harta itu untuk kehidupan akhirat, dia mencari isteri yang solehah yang boleh menjaga keimanannya. Adapun orang yang menjadikan harta dan keluarga yang menyibukkannya sehingga melalaikan Allah SWT maka dia temasuk orang yang rugi.

Sebagaimana firman Allah SWT tentang orang-orang Badwi:

شَغَلَتْنَا أَمْوَالُنَا وَأَهْلُونَا فَاسْتَغْفِرْلنَا

"Harta dan keluarga kami telah menyibukkan kami, maka mohonkanlah ampun untuk kami…”. (Surah. Al-Fath ayat 11).

Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُلْهِكُمْ أَمْوَالُكُمْ وَلَا أَوْلَادُكُمْ عَن ذِكْرِ اللَّهِ وَمَن يَفْعَلْ ذَلِكَ فَأُوْلَئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ

Hai orang-orang yang beriman, janganlah harta-hartamu dan anak anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Barang siapa yang membuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang rugi.. (Surah Al-Munafiqun ayat 9).

Diriwayatkan Al-Hakim di dalam Al-Mustadrak dari hadith Sahl bin Sa’d bahwa Nabi Muhammad SAW bersabda:

)أتاني جبريل فقال : يا محمد ! عش ما شئت فإنك ميت، وأحبب من شئت فإنك مفارقه، واعمل ما شئت فإنك مجزي به، واعلم أن شرف المؤمن قيامه بالليل، وعزه استغناؤه عن الناس(

“Jibril datang kepada Nabi Muhammad SAW dan berkata: Wahai Muhammad hiduplah sekehendakmu sebab engkau pasti akan mati, cintailah siapa yang engkau kehendaki sebab engkau akan meninggalkannya, dan berbuatlah apa yang engkau kehendaki sebab engkau akan mendapat balasannya, kemudian dia berkata: Wahai Muhamad kemulian seorang mu’min ada pada saat qiamullail dan ketinggiannya pada ketidakbutuhannya pada manusia”.[.Mustadrakul hakim: 4/360 dan Al-Mundziri di dalam kitab: Al-Targib wat tarhib 1/485: HR. Thabrani fil awsath dengan sanad yang hasan, dan sahihkan oleh Al-Bani rahimhullah di dalam sahihul jami’: 1/76 no: 73.]

Maka apabila anak Adam mati, dan meninggalkan dunia ini maka dia tidak mengambil manfaat apapun dari keluarga dan hartanya kecuali do’a keluarga baginya, permohonan ampun mereka untuk dirinya dan perbuatan-perbuatan yang dijelaskan oleh syara’ yang boleh mendatangkan manfaat untuk dirinya serta apa yang di keluarkan dari hartanya untuk manfaat dirinya.

Allah SWT berfirman:

يَوْمَ لَا يَنفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ

(iaitu) di hari di mana harta dan anak-anak laki-laki tidak berguna. kecuali orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang bersih”.
(Surah Al-Asyu’ara ayat 88-89.

Tidak betul jika makhluk tersebut menganggu kanak-kanak di rumah simati dan tak ada istilah badi mayat (ini hanyalah kepercayaan orang melayu yang perlu di buang)

2 comments:

  1. assalamualaikum wr. wb.
    Maaf ustad saya mau bertanya, bagaimanakah hukumnya jika mengeluarkan sperma atau air mani dalam jumlah yang banyak tanpa menyentuh kemaluan, namun akibat dari menonto video porno? Apakah termasuk zina?apakah sholat dan amalan2 yang saya lakukan masih bisa diterima atau bagaimana dampaknya terhadap sholat yang saya lakukan jika saya sering melakukan hal tersebut (menonton video porno)? Dan bagaimana caranya untuk menebus dosa dari perbuatan tersebut? Mohon penjelasannya, terimakasih ustad
    Wassalamualaikum wr. Wb.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Itu tidak termasuk zina dan ia sama sekali tidak berdosa secara mutlak. Maka, tidak perlu bimbang tentang pahala solat dan amalan yang lain. Begitu juga tidak perlu penebusan kerana itu tidak termasuk perbuatan dosa. Saya sudah perincikan hal melancap dalam penulisan saya seperti berikut :

      http://yukioharuaki.strikingly.com/blog/hukum-melancap

      Kesimpulannya adalah (1) melancap bukan perkara yang disepakati keharamannya kerana terdapat sebahagian fuqaha' membolehkannya dan (2) pendapat yang membolehkannya adalah lebih tepat disebabkan istidlal dalil pengharaman tidak tepat dan kuat.

      Manakala, pornografi saya telah lanjutkan hal itu dalam penulisan saya di sini :

      http://yukioharuaki.strikingly.com/blog/perincian-tentang-kaedah-keredhaan-terhadap-maksiat-adalah-maksiat-pada

      Kesimpulannya adalah (1) menonton pornografi bukanlah maksiat kerana yang dipaparkan itu bukanlah sesuatu yang melakukan maksiat sehingga ia mampu menatijahkan dosa untuk menontonnya dan (2) penghukuman dosa terhadap penontonan pornografi perlu diteliti secara baik yang jika seseorang mengabaikannya, dia telah melakukan dosa dalam membuat pertuduhan yang salah.

      Delete