Thursday, September 11, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 152 ( Fitnah Dajjal, Hukum Berjabat Tangan, Ciri-ciri Suami Soleh, Hukum Isteri Curang Dan Telinga Berdengaung.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sahabat yang dirahmati Allah,    
Tanyalah Ustaz Siri 152 adalah menjelaskan persoalan fitnah dajjal, hukum berjabat tangan, ciri-ciri suami soleh, hukum isteri curang dan telinga berdengaung .

716. Soalan : Apakah yang di maksudkan fitnah dajjal di akhir zaman?

Jawapan : 


Fitnah Dajjal:


Dajjal telah diberi peluang oleh Allah swt untuk menguji umat ini. Oleh kerana itu, Allah memberikan kepadanya beberapa kemampuan yang luar biasa. Di antara kemampuan Dajjal ialah:


1. Segala kesenangan hidup akan ada bersama dengannya.


Benda-benda beku akan mematuhinya. Sebelum kedatangan Dajjal, dunia Islam akan diuji dahulu oleh Allah dengan kemarau panjang selama 3 tahun berturut-turut. Pada tahun pertama hujan akan kurang sepertiga dari biasa dan pada tahun kedua akan kurang 2/3 dari biasa dan tahun ketiga hujan tidak akan turun langsung.


Umat akan dilanda kebuluran dan kekeringan. Di saat itu Dajjal akan muncul membawa ujian. Maka daerah mana yang percaya Dajjal itu tuhan, ia akan berkata pada awan: Hujanlah kamu di daerah ini! Lalu hujan pun turunlah dan bumi menjadi subur. Begitu juga ekonomi, perdagangan akan menjadi makmur dan stabil pada orang yang bersekutu dengan Dajjal. Manakala penduduk yang tidak mahu bersukutu dengan Dajjal..mereka akan tetap berada dalam kebuluran dan kesusahan.


Dan ada diriwayatkan penyokong Dajjal akan memiliki segunung roti (makanan) sedangkan orang yang tidak percaya dengannya berada dalam kelaparan dan kebuluran.

Dalam hal ini, para sahabat Rasullullah SAW. bertanya:”Jadi apa yang dimakan oleh orang Islam yang beriman pada hari itu wahai Rasulullah?” Nabi menjawab:”Mereka akan merasa kenyang dengan bertahlil, bertakbir, bertasbih dan bertaubat. Jadi zikir-zikir itu yang akan menggantikan makanan.” (H.R Ibnu Majah)

2. Ada bersamanya seumpamanya Syurga dan Neraka:


Di antara ujian Dajjal ialah kelihatan bersama dengannya seumpama syurga dan neraka dan juga sungai air dan sungai api. Dajjal akan menggunakan kedua-duanya ini untuk menguji iman orang Islam kerana hakikat yg benar adalah sebalik dari apa yang kelihatan. Apa yg dikatakan Syurga itu sebenarnya Neraka dan apa yang dikatakannya Neraka itu adalah Syurga.


3. Kepantasan perjalanan dan Negeri-Negeri yang tidak dapat dimasukinya:


Kepantasan yang dimaksudkan ini tidak ada pada kenderaan orang dahulu. Kalau hari ini maka bolehlah kita mengatakan kepantasan itu seperti kepantasan jet-jet tempur yang digunakan oleh tentera udara atau lebih pantas lagi daripada kenderaan tersebut sehinggakan beribu-ribu kilometer dapat ditempuh dalam satu jam”…


Kami bertanya: "Wahai Rasulullah! Bagaimana kepantasan perjalanannya di atas muka bumi ini? Nabi menjawab:”Kepantasan perjalanannya adalah seperti kepantasan “Al Ghaist” (hujan atau awan) yang dipukul oleh angin yang kencang.” (H.R Muslim)


Namun demikian, Dajjal tetap tidak dapat memasuki dua bandar suci umat Islam itu Makkah Al Mukarramah dan Madinah Al Munawwarah.


4. Bantuan Syaitan-Syaitan untuk memperkukuhkan kedudukannya:


Syaitan juga akan bertungkus-lumus membantu Dajjal. Bagi syaitan, inilah masa yang terbaik untuk menyesatkan lebih ramai lagi anak cucu Adam a.s.


Dajjal Membawa Air & Api.


Dari Rib`iy bin Hirasy (ربعيّ بن حراش) berkata: “Saya pergi bersama Abu Mas`ud al-Ansari (ابي مسعود الانصارى ) ke tempat Huzdaifah bin Al-Yaman (حذيفة بن اليمان) radhi allahu `anhum, kemudian Abu Mas`ud berkata kepada Hudzaifah, “Ceritakanlah kepadaku berita tentang Dajjal yang engkau dengar dari Rasulullah SAW.”


Hudzaifah berkata, “Sesungguhnya Dajjal itu akan keluar dengan membawa air dan api. Adapun apa yang terlihat air oleh manusia maka itu sebenarnya adalah api yang membakar. Sedangkan apa yang terlihat api oleh manusia maka itu sebenarnya adalah air yang dingin dan segar.” 


Barangsiapa di antara kamu sekalian berjumpa dengan Dajjal, maka hendaklah ia membuat keputusan memilih pada apa yang terlihat sebagai api kerana sesungguhnya itu adalah air yang segar dan baik.” Kemudian Abu Mas`ud berkata, “Saya pun telah mendengar berita yang seperti itu.” (HR al-Bukhari dan Muslim). 


Peringatan Para Nabi Mengenai Dajjal & Rupa Dajjal :


Dari Anas radhiAllahu `anhu berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya :


“Tidak ada seorang nabi pun melainkan telah memperingatkan kepada umatnya terhadap si buta sebelah yang sangat pendusta. Ingatlah bahawasanya Dajjal itu buta sebelah, dan sesungguhnya Tuhan Yang Maha Mulia lagi Maha Agung itu tidaklah buta sebelah. Dan di antara dua mata Dajjal itu ada tulisan, ك ف ر” (HR al-Bukhari dan Muslim)


Dari Abu Hurairah radhiallahu `anhu berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya :


“Sukakah aku jelaskan kepada kamu tentang Dajjal yang belum pernah dijelaskan oleh seorang nabi kepada umatnya. Sesungguhnya Dajjal itu buta sebelah dan sesungguhnya ia akan muncul dengan membawa semacam Syurga dan Neraka. Sesuatu yang dikatakan Syurga oleh Dajjal itu sebenarnya adalah Neraka.” (HR al-Bukhari dan Muslim)


Dajjal Diiringi Oleh 70,000 Yahudi Isbahan (bandar purba Yahudi di Iran)

Dari Anas radhiAllahu `anhu bahawasanya Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam telah bersabda:, “Orang Yahudi Isbahan (اصبهان) sebanyak 70,000 yang lengkap dengan pakaian seragamnya (الطّيالسة) akan selalu mengikuti Dajjal.” (HR Muslim)

Dajjal akan keluar di antara Syam (Syria) dan Iraq . "Dajjal itu adalah seorang pemuda yang berambut kerinting, matanya agak menonjol keluar. Kalau boleh aku mengumpamakan, dia itu seperti `Abdul `Uzza bin Qathan (عبد العزّى بن قطن). Barangsiapa di antara kalian menjumpainya maka hendaklah membaca permulaan surah al-Kahfi kepadanya. Dajjal keluar di antara Syam dan Iraq, kemudian dia membuat onar ke kanan dan ke kiri. Wahai hamba ALLAH, teguhkanlah pendirianmu.”


Haya orang beriman saja akan kenal mana yang baik dan mana yang buruk. Di dahi dajal jelas tertulis kafir maka hanya orang beriman akan kenal dengan sihir dajjal dan sanggup dirinya terkorban semata-mata untuk mendapat syahid.


Kedatangan dajjal adalah tanda akhir kiamat dan tak siapa yang tahu bila masanya melainkan Allah SWT.Rahsia 10 tanda-tanda besar hanya ada dalam ilmu Allah SWT. Manusia yang meletakkan tahun berapa akan kiamat boleh jatuh syirik seperti masyarakat barat. Dajjal akan berdakyah keseluruh dunia tak ada tempat yang tak di datangi dajjal melainkan Mekah dan Madinah kerana dajjal tak boleh masuk kerana dijaga oleh para malaikat.


717. Soalan : Apakah hukum berjabat tangan dan asal berjabat tangan daripada mana?

Jawapan : 

Berjabat tangan adalah sunnah yang disyari'atkan dan adab mulia para sahabat radhiyallahu anhum yang dipraktikkan sesama mereka tatkala berjumpa.

Imam Bukhâri rahimahullah dalam kitab al-Isti'dzân dalam kitab Shahihnya memuat sebuah bab yang berjudul Babul Mushafahah (Bab: Berjabat Tangan). Dalam bab ini, beliau rahimahullah membawakan beberapa hadits yang menjelaskan sunnahnya berjabat tangan tatkala bersua, diantaranya :

عَنْ قَتَادَةَ قَالَ قُلْتُ لِأَنَسٍ أَكَانَتْ الْمُصَافَحَةُ فِي أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ نَعَمْ

Dari Qatâdah radhiyallahu anhu ia berkata, “Saya bertanya kepada Anas (bin Mâlik) radhiyallahu anhu , ‘Apakah berjabat tangan dilakukan dikalangan para shahabat Rasûlullâh Sallallahu ‘Alaihi Wasallam ?’ Beliau Radhiyallahu anhu menjawab, ‘Ya’ [HR Bukhâri (no.5908). ]

Dalam riwayat lain :

كَانَ أَصْحَابُ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا تَلاَقَوْا تَصَافَحُوْا وَإِذَا قَدِمُوْا مِنْ سَفَرٍ تَعَانَقُوْا

Adalah shahabat nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam apabila mereka bertemu, mereka saling berjabat tangan dan apabila kembali dari perjalanan mereka saling berangkulan .[HR. ath-Thabarani dalam "al-Mu'jamul Awsath" (no.97). dan dishahihkan oleh Syaikh al-Albâni dalam ash Shahihah (no. 2647).]

Dan hadis Ka'ab Bin Mâlik radhiyallahu anhu setelah turunnya taubat beliau, ia berkata :

دَخَلْتُ الْمَسْجِدَ فَإِذَا رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَالِسٌ حَوْلَهُ النَّاسُ فَقَامَ إِلَيَّ طَلْحَةُ بْنُ عُبَيْدِ اللهِ يُهَرْوِلُ حَتَّى صَافَحَنِي وَهَنَّأَنِي

Saya masuk masjid (Nabawi) sementara Rasûlullâh Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam sedang dalam keadaan duduk dan dikelilingi oleh manusia (para sahabat), lalu Thalhah bin Ubaidillah radhiyallahu anhu berlari ( kearahku) lalu beliau radhiyallahu anhu berjabat tangan denganku dan memberikan ucapan selamat kepadaku. [HR Bukhâri (no.4156) dan Muslim (no.2769).]

Imam Nawawi rahimahullah menyebutkan bahawa dalam hadis ini banyak terkandung faedah, diantaranya : "Disunnahkan berjabat tangan tatkala berjumpa. Ini merupakan sunnah yang tidak diperselisihkan."[Syarh Shahih Muslim" Imam Nawawi (17/101).]

Dari sebagian hadis diatas disimpulkan bahwa berjabat tangan tatkala bersua adalah sunnah yang disyari'atkan, sebagaimana yang dipertegas oleh para Ulama, seperti :

Imam Ibnu Baththal rahimahullah yang mengatakan, "Berjabat tangan adalah kebaikan menurut seluruh Ulama." [Lihat "Fathul Bâri" (11/57) cet. Dar Ar Rayyan.]

Imam Nawawi rahimahullah yang juga mengatakan, "Berjabat tangan adalah sunnah tatkala bersua berdasarkan hadits hadits yang shahih dan ijma' para Imam." [al-Majmu' Syarah al-Muhazzab" Imam Nawawi (4/475).]

ASAL-USUL JABAT TANGAN
Orang-orang melakukan ini untuk kali pertama adalah penduduk Yaman yang terkenal dengan keimanan dan keilmuan mereka. Anas bin Malik radhiyallahu anhu mengungkapkan :

لَمَّا جَاءَ أَهْلُ الْيَمَنِ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَدْ جَاءَكُمْ أَهْلُ الْيَمَنِ وَهُمْ أَوَّلُ مَنْ جَاءَ بِالْمُصَافَحَةِ

Tatkala penduduk Yaman datang (ke Madinah) Rasûlullâh Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam bersabda, "Telah datang kepada kalian penduduk Yaman, dan merekalah orang yang pertama sekali yang melakukan berjabat tangan." [HR Abu Daud (no. 5213) disahihkan oleh Imam Nawawi dalam kitab Riyâdush Shâlihîn dan Hafidz Ibnu Hajar dalam Fathul Bari (11/57). "dengan sanad yang sahih".]


718. Soalan : Apakah ciri-ciri suami yang soleh untuk menjamin kebahagian rumah tangga?

Jawapan : 

Terdapat lapan ciri-ciri suami yang soleh menjadi idaman isteri solehah. Ciri-ciri tersebut adalah seperti berikut :

1. Memiliki hati yang lemah lembut.

Suami soleh haruslah memiliki hati lembut dan perasan yang peka, dapat merasakan perasan orang lain. Ia dapat merasakan derita orang lain dan berusaha meringankan tanpa diminta. Ia ubati luka itu dengan kata-kata indah, senyuman tulus serta hadiah-hadiah yang menyenangkan. Kadang-kadang seorang isteri tertimpa musibah, ia seorang diri menanggung bebannya, hatinya luka, fikirannya keruh dan ghairah pun padam.

Rasulullah SAW. memberikan petunjuk agar suami selalu berusaha mengubati hati isteri-isterinya apabila ia terluka.

Dari Anas ra. berkata: “Shafiyyah mendengar bahawa Hafshah berkata Shafiyyah itu anak Yahudi. Maka menagislah ia. Lantas Rasulullah SAW. menghampiri sedangkan Shafiyyah masih dalam tangisannya.

Rasulullah bersabda maksudnya : “Apa yang menyebabkan kamu menangis?”

Shafiyyah menjawab: “Hafshah berkata kepadaku bahawa aku anak Yahudi.”

Bersabda Rasulullah SAW. maksudnya : “Engkau adalah anak Nabi, bapa saudaramu Nabi dan engkau menjadi isteri Nabi. Dengan apa dia membanggakan dirinya atas dirimu?”

Kemudian Nabi bersabda maksudnya : “ Bertakwalah kepada Allah wahai Hafshah.” (Hadis Riwayat Nasai dan Tirmidzi)

Oleh itu pentingnya para suami mengambil teladan hikmah nabawiah yang agung ini dalam mengubati hati isteri yang terluka.

2. Menjaga rahsia rumah tangga.

Suami yang soleh mengetahui tentang kewajipan menjaga rahsia terutamanya rahsia rumahtangga. Islam melarang keras suami isteri menceritakan rahsia rumah tangga mereka kepada orang lain.

Dari Abu Sa’id Al Khudriy r.a. berkata, bersabda Rasulullah SAW maksudnya : "Sesungguhnya seburuk-buruk kedudukkan manusia di hadapan Allah pada hari kiamat adalah seorang suami yang membuka rahsia dirinya kepada isteri dan isteri yang membuka rahsia dirinya kepada suami lantas salah seorang daripadanya menceritakan kepada orang ketiga.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

3. Mentaati perintah Allah.

Suami soleh dan isteri solehah hendaklah selalu bekerjasama dalam menegakkan ketaatan kepada Allah SWT serta saling menasihati dalam mencari reda Allah.

Allah SWT berfirman maksudnya : " Dan janganlah sekali-kali kebencian(mu) kepada sesuatu kaum kerana mereka menghalang-halangi kamu dari Masjidilharam, mendorongmu berbuat aniaya (kepada mereka). Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat seksa-Nya.” (Surah al-Maaidah ayat 2)

Sesungguhnya bekerjasama dalam ketaatan dan ibadah khususnya seperti solat, zikir, sedekah dan lain-lainnya memiliki pahala yang agung dan kesan positif dalam kehidupan di dunia dan di akhirat. Rasulullah SAW memuji suami isteri yang saling tolong menolong dalam taat kepada Rabbnya, rukuk dan sujud di tengah malam .

Dari Abu Hurairah ra. berkata, Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : “Semoga Allah merahmati seorang lelaki yang bangun mengerjakan solat dan membangunkan isterinya. Jika ia enggan, disiramkan air diwajahnya. Semoga Allah merahmati seorang wanita yang bangun malam mengerjakan solat dan membangun suaminya, apabila ia enggan disiramkan air di wajahnya.” (Hadis Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)

4. Memuliakan keluarga isteri.

Suami yang baik ialah suami yang memuliakan isteri dan memuliakan kedua mertuanya serta kerabat dan sahabat-sahabatnya.

Dari Anas ra. berkata, Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : “Barangsiapa yang ingin dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, hubungkanlah silaturrahim.” (Muttafaqun Alaihi)

Bagi suami yang ingin membahagiakan isterinya hendaklah menjaga perangai ini. Kunjungilah keluarga isteri, selalu bertanya khabar mereka dan membantu bila mereka memerlukan. Bukankah seorang suami juga suka jika isterinya memuliakan saudara-saudara dan sahabatnya? Suami perlu faham bahawa ibu dan bapa mertua adalah sama seperti ibu dan bapanya sendiri.

5. Memberi nasihat terhadap isteri.

Suami yang soleh hendaklah mampu mendidik dan mengajar isterinya dengan ilmu-ilmu yang bermanafaat seperti ilmu tentang halal dan haram, ilmu kekeluargaan, ilmu fekah, akhlak , fiqhud dakwah dan ilmu kemasyarakatan.

Firman Allah SWT maksudnya : "Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan." (Surah At-Tahrim ayat 6)

Isteri yang solehah memperhatikan dan mencintai ilmu. Usahakanlah untuk memberi pengajaran kepadanya dan lapangkanlah jalan menuju kesana.

Rasulullah SAW. melarang orang yang menghalang wanita ke masjid.

Dari ibnu Umar r.a. sesungguhnya Nabi SAW. bersabda maksudnya : “ Apabila isteri-isterimu meminta izin untuk ke masjid pada malam hari izinkanlah.” (Muttafaqun Alaihi)

Daripada hadis di atas jelas sekali bahawa wanita mempunyai hak untuk mempelajari ilmu agama di luar rumah sekiranya suami tidak mampu mengajarnya sendiri.

6. Memiliki rasa cemburu (tidak dayus).

Sifat seorang lelaki soleh adalah memiliki rasa cemburu kepada isterinya kerana itu mengisyaratkan cinta dan tinggi nilai isteri dihatinya. Islam memuji lelaki yang memiliki rasa cemburu dan mencela yang tidak memilikinya kerana bererti lemahnya emosi dan tanggungjawab. Namun, Islam juga menetapkan batas-batasnya agar keharmonian rumah tangga tetap terpelihara.

Dari Abu Huraurah r.a. berkata, Rasulullah SAW. maksudnya : “ Allah itu pencemburu dan seorang mukmin juga pencemburu. Kecemburuan Allah adalah bila ada seorang hamba datang kepadaNya dengan perbuatan yang diharamkan.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Seorang yang tidak memiliki rasa cemburu terhadap kehormatan isterinya dengan membiarkan isterinya bersolek, membuka aurat, bercampur bebas dengan lelaki bukan mahram merupakan seorang yang dayus dan layak untuk mendapat azab ysang pedih di akhirat nanti.

Dari Ibnu Umar ra. berkata, bersabda Rasulullah SAW. maksudnya :” Tiga golongan yang yang tidak akan masuk syurga; orang yang derhaka kepada kedua orang tuanya, orang yang dayus dan wanita yang menyerupai lelaki.” (Hadis Riwayat Nasai dan hakim)

7. Memiliki sifat sabar dan penyantun.

Seorang suami harus memiliki sifat sabar dan penyantun. Ini kerana tiada sesuatu yang begitu ideal dalam kehidupan berumahtangga. Sebuah keluarga biasanya akan mengalami goncangan dan masalah. Jangan terburu-buru dalam melakukan sesuatu. Dengan berbekal sifat sabar segala masalah dapat diselesaikan dengan baik. Sifat santun dan pemaaf merupakan perangai yang dicintai Allah dan RasulNya.

Firman Allah SWT maksudnya : “(yaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.” (Surah Ali-Imran ayat 134)

8. Memiliki sifat pemaaf.

Suami perlu memiliki jiwa pemaaf kerana Allah SWT telah menghendaki wanita bersifat seperti dari tulang rusuk yang bengkok. Banyak masalah akan dapat diselesaikan sekiranya suami bersifat pemaaf. Kadang-kadang suami keliru membenci sesuatu yang ada pada isteri. Ternyata yang dibenci itu mengandungi kebaikan dan akan diperlukan pada saat tertentu.

Firman Allah SWT maksudnya : “Hai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mempusakai wanita dengan jalan paksa dan janganlah kamu menyusahkan mereka kerana hendak mengambil kembali sebagian dari apa yang telah kamu berikan kepadanya, terkecuali bila mereka melakukan pekerjaan keji yang nyata . Dan bergaullah dengan mereka secara patut. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.” (Surah an-Nisa' ayat 19)

Kita tidak harus mengharapkan wanita seperti malaikat, tanpa cacat. Wanita adalah makhluk Allah yang memiliki kelebihan dan kekurangan. Janganlah disebabkan sedikit kekurangannya telah menenggelamkan kesemua kebaikannya. Contohilah akhlak Rasulullah SAW terhadap isteri-isteri baginda.

Dari Abu Hurairah ra., bersabda Rasulullah SAW. maksudnya : “Janganlah seorang mukmin membenci seorang mukminah. Bila benci terhadap sebahagiannya ada bahagian lain yang menyenangkan.” (Hadis Riwayat Muslim)


719. Soalan :  Jika seorang isteri curang menjalinkan hubungan dengan suami orang lain,ape yang perlu dilakukan bagi mereka yang curang ini jika sudah insaf?
Adakah si isteri perlu meminta maaf pada suaminya dan mesti menceritakan kesalahannya itu? Syurga isteri di bawah tapak kaki suami. Mohon pencerahan ustaz..


Jawapan :   

Jika isteri curang di belakang suami adalah berdosa besar, jika sampai peringkat berzina adakah benih lelaki lain itu masuk kedalam rahimnya mengakibatkan dia mengandung? Jika si isteri tadi pasti dia mengandung hasil perbuatan curangnya dengan lelaki lain maka perkara ini tak boleh di diamkan akan merosakkan keturunan dan anak yang di kandung bukan anak suaminya yang sebenar. Jika keadaan seperti ini berlaku kena duduk sekali berbincang dan ada cara -cara untuk mengatasinya. 

Jika tidak ada benih yang terjadi di dalam kandungannya selepas dia berzina datang haid maka jelaslah bahawa kandungannya tak ada benih yang terjadi maka ketika ini dia boleh bertaubat nasuha bersungguh-sungguh dan tak mahu mengulangi lagi perbuatan yang terkutuk yang membawa dosa besar, dan peristiwa hitam ini tak perlu di ceritakan pada suaminya, simpan rahsia dia dengan Allah SWT dan jangan dia hubungi lagi lelaki tersebut, putuskan hubungan 100% dengan lelaki fasik yang merosakkan rumah tangga orang lain.
 

Dosa berzina adalah dosa dengan Allah SWT kerana ada hukum hudud dan hukuman yang perlu di jalankan barulah dosa tersebut terhapus. Oleh kerana hukum hudud belum terlaksana di dalam negara kita maka hanya bertaubat nasuha saja boleh melepaskan hukuman ini. Tak perlu dedahkan keaiban ini kepada suami kerana akan menyebabkan hubungan keluarga akan hancur berkecai jika suami tak boleh nak terima perbuatan isteri. 

Untuk menyelamatkan keadaan ini perlu rahsiakan pada suami, anak-anak dan siapa sahaja. Melainkan jika ada benih di dalam rahim isteri maka ketika ini tak boleh dirahsiakan kerana anak tersebut bukan anak suaminya kerana ada akibat darisegi hukum . Tetapi jika tak ada benih orang lain maka wajib dia bertaubat dan rahsiakan untuk menutup aib dirinya.
 

Rasulullah S.A.W. bersabda, maksudnya: “Semua umatku akan diampunkan dosanya kecuali orang yang mujaharah (terang-terangan dalam berbuat dosa) dan yang termasuk mujaharah adalah seorang yang melakukan perbuatan dosa di malam hari, kemudian hingga pagi hari Allah telah menutupi dosa terbabit, kemudian dia berkata: ‘Wahai fulan semalam saya berbuat ini dan berbuat itu. Padahal Allah telah menutupi dosa tersebut semalaman, tetapi di pagi hari dia buka tutup Allah terbabit’ .” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menjelaskan bahawa mereka yang melakukan maksiat dimalam hari perlulah menutupnya jangan di ceritakan kepada orang lain di siang harinya kerana Allah SWT telah menutup keaibannya. Sekiranya dia menceritakannya ini bermakna dia seronok dengan perkara maksiat tersebut dan mendedahkan dirinya sendiri kepada perkara yang dibenci oleh Allah SWT. Perbuatan seperti ini dikira juga sebagai mujaharah (terang-terangan dalam membuat dosa).
 

Minta ampun kepada suami perlu secara umum saja bukan ceritakan secara khusus (perbuatan zinanya dengan lelaki lain). Suami tak boleh ampunkan dosa zina hanya Allah SWT saja boleh ampunkan dosa zina apabila dia bertaubat nasuha.

720. Soalan :  Gugur Bulu Mata Orang Kata Ada Seseorang Rindukan Kita.. Tapi Gugurnya Daun Di Syurga Maka Sampai La Ajal Seseorang Yang Bergelar Hamba Allah, betuk ke ustaz? Adakah ada hadis sahih menyatakan jika telinga kita berdengung kita perlu berselawat?

Jawapan :  

Kedua-duanya tidak ada hadis yang sahih menjelaskan oleh itu dalam perkara yang ghaib perlu ada nas al-Quran atau nas hadis yang sahih baru boleh kita percaya dan sebarkan pada orang lain.
 

Status Hadis Berselawat Ketika Telinga Berdengung.

Ramai yang bertanya tentang status hadis berselawat ketika berdengung. Maka ulama hadis memberikan penjelasan seperti berikut:

Hadis ini munkar (terlalu daif). Keterangannya seperti berikut:

Punca hadis ini dari riwayat Muhammad bin Ubaidillah bin Abi Rafi'. Berikut komentar ulama hadis terhadap beliau:


1. Kata al-Bukhari: munkar al-hadith.
2. Kata Abu Hatim al-Razi: tersangat munkar al-hadith..bahkan gugur hadisnya (tidak terpakai).
3. Kata Ibn Maien: tiada nilai.
4. Kata al-Daraqutni: beliau matruk (perawi yang ditinggalkan riwayatnya)
* rujuk: kitab al-Majruhin, jld. 2, hlm. 183, mizan al-I'tidal, jld. 3, hlm. 635
 

Oleh itu, kebanyakan ulama hadis menghukumnya sebagai palsu/munkar/tiada asal semisal al-Uqaili, Ibn al-Jauzi dan Ibn Qayyim. Manakala al-Baihaqi, Ibn Iraq dan al-Ajlouni menghukumnya daif. Tidak ada khilaf antara mereka yang menyatakan ia munkar dan daif kerana munkar sememangnya salah satu dari jenis-jenis hadis daif. Cuma pada saya ia tidak sampai kepada tahap palsu, ia hanya munkar. Walaubagaimana pun hadis munkar tetap dikategorikan sebagai hadis yang terlalu daif.

Maka tersilap al-Haithami apabila menilai hasan hadis ini sedangkan muhaddithin mutaqaddimin semisal al-uqaili menghukumnya sebagai tiada asal dan al-bukhari menghukumnya sebagai munkar. Manakala al-Munawi, beliau juga tersilap apabila hanya berpandukan kepada Ibn Khuzaimah dalam isu ini. (Rujuk: Faidh al-Qadir, jld. 1, hlm. 399). Sebenarnya Ibn Kathir sendiri menyatakan bahawa sanad Ibn Khuzaimah juga dari jalur Muhammad bin Ubaidillah. (Rujuk: Tafsir Ibn Kathir, cet: Darul Fikr, jld. 3, hlm. 622) Perlu diketahui bahawa tidak semua hadis yang Ibn Khuzaimah masukkan dalam sahihnya dianggap sahih di sisinya kerana terdapat hadis daif yang beliau masukkan dan beliau sendiri daifkan. Oleh itu Ibn Kathir memberi komentar selepas membawa riwayat ini dalam tafsirnya dengan berkata:

إِسناده غريب, وفي ثبوته نظر

Maksudnya: Sanadnya gharib (ganjil iaitu hanya 1 jalur sahaja) dan perlu perhatian kepada sabitannya (maknanya Ibn Kathir mendaifkannya). (Rujuk: Tafsir Ibn Kathir, cet: Darul Fikr, jld. 3, hlm. 622). Wallahua'lam.




No comments:

Post a Comment