Sunday, September 21, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 159 (Syarat-syarat Taubat, Cara Menjawab Salam, Wanita Ziarah Kubur, Nabi SAW Di Racun Yahudi Dan Syarat Mendapat Rahmat Allah.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sahabat yang dirahmati Allah,    
Tanyalah Ustaz Siri 159 adalah menjelaskan persoalan syarat-syarat taubat, cara menjawab salam, wanita ziarah kubur, Nabi SAW di racun Yahudi dan syarat mendapat rahmat Allah.

751. Soalan : Apakah syarat-syarat taubat ?

Jawapan :  

Syarat-syarat Taubat

Mengikut Manhaj Salaf as-Soleh, antara syara-syarat taubat yang wajib dipenuhi agar taubat di terima oleh Allah :

1. Berazam dan bertekad untuk meninggalkan (tidak akan mengulangi lagi) perbuatan dosa yang telah dilakukan.

2. Kesal (menyesali) dan berduka di dalam hati terhadap perbuatan dosa yang dibuat.

3. Bersegera meninggalkan dosa yang telah dilakukan semata-mata kerana Allah.

Jika dosa yang dilakukan berkaitan dengan orang lain, syaratnya ia wajib membebaskan dirinya dari hak yang bukan miliknya untuk dikembalikan kepada yang berhak atau minta dihalalkan, ini bererti jika berupa harta benda wajib dikembalikan. Jika berupa fitnah, ghibah (umpatan), penghinaan, cacian, kutukan, laknat dan kezaliman, maka wajib meminta maaf daripada orang tersebut terutama terhadap kezaliman yang dilakukan kepadanya.

Cara-Cara Bertaubat
1. Menyedari besarnya dosa yang dilakukan sehingga menyesalinya dan menggeruni balasannya yang akan tertimpa diakhirat kelak jika tidak bertaubat, sebagaimana sabda Rasullullah saw : “Menyesali (dosa) itu adalah taubat”. (Riwayat Ahmad dan Ibn Majah)

2.Berniat serta berusaha sedaya upaya menjauhi dan meninggalkan dosa yang telah dilakukan dan bertekad tidak akan mengulanginya lagi.

3. Meninggalkan setiap apa yang dibenci dan diharamkan oleh Allah zahir dan batin, lantas beralih kepada yang dicintai dan diredhaiNya.

4. Bertaubat dengan taubat nasuha sebagaimana firman Allah : “Wahai orang-orang Yang beriman! bertaubatlah kamu kepada Allah Dengan taubat Nasuha, Mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke Dalam syurga Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai” (At-Tahrim : 8)

Hukum Taubat

Ketahuilah bahawa hukum bertaubat adalah wajib kepada semua umat Islam untuk memohon keampunan kepada Allah atas segala kesalahan yang dilakukan. Firman Allah yang bermaksud :

“Dan bertaubatlah kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung." (Surah An-Nur ayat 31)

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :

“Wahai sekalian manusia bertaubatlah kalian kepada Allah, karena sesungguhnya aku bertaubat kepada Allah seratus kali dalam sehari.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Manusia tidak pernah sunyi melakukan kesalahan, kerana manusia dibekalkan nafsu sentiasa suka kepada perkara yang lazat atau keseronokan. Maka di sini, taubat adalah wajib dan fardhu ain kepada semua umat Islam. Taubatlah cara untuk menghapuskan dosa dan diampunkan Allah atas segala kesalahan yang dilakukan. Sebagai muslim yang baik, marilah kita sentiasa memohon taubat kepada Allah, supaya segala kesalahan kita diampunkan.

Penutup

Taubat adalah kembali kepada Allah atau menyesali atas segala perbuatan dosa yang dilakukan selama ini. Ia bermunajat kepada Allah dan penuh keinsafan dan penyesalan atas segala dosa yang dilakukan. Taubat kepada mesti dengan sebenar-benar taubat, kerana orang yang tidak ikhlas taubatnya tidak akan diterima oleh Allah. Taubatlah dengan secepat yang mungkin dan jangan berlengah-lengah kalau kita menyedari telah melakukan kesalahan. Orang yang melengah-lengahkan taubat adalah orang yang sombong dengan Allah dan tidak takut dengan azab Allah yang sangat dahsyat. Sentiasalah bermuhasabah diri kita dan sentiasalah beristiqfar dan memohon ampun kepada Allah, mudah-mudahan Allah menerima taubat kita.


752. Soalan : Saye nak tanye berkenaan dengan Salam.. Hari tu kawan saye cakap kat saye macam ni "tak semestinya kite kene bagi Salam semasa chat kat wechat, fb , ataupun whatsapp..dan kalau kite tak jawab ucapan salam dalam mesej pun tak pe,sebab ape? Sebab,ucapan Salam tu wajib di jawab ketika di ucapkan bukan d tulis.." mohon pencerahan tentang ape yg kawan sye cakapkan tu Ustaz.. Terima Kasih

Jawapan : 

Pendapat tersebut tak betul kerana wajib menjawab salam dalam keadaan salam itu di tujukan kepada kita. Jika berjumpa dan salam di berikan dalam bentuk ucapan maka wajib jawab dalam bentuk ucapan dan jika salam di berikan dalam bentuk isyarat dengan angkat tangan (di kenderaan misalnya) maka jawab salam tersebut dengan isyarak dan jika salam di berikan dalam bentuk tulisan surat, sms, whatapp, chatting, E-Mail dan sebagainya maka wajib jawab salam seperti yang di tuliskan.Dalam Islam apabila seseorang memberi salam maka perlulah dijawab dengan salam yang serupa atau yang lebih baik.

Allah Subhanahu Wa Ta’aalaa berfirman:

وَإِذَا حُيِّيتُمْ بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا إِنَّ اللهَ كَانَ عَلَى كُلِّ شَيْئٍ حَسِيبًا

Maksudnya : “Apabila kamu dihormati dengan suatu penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan lebih baik, atau balaslah (dengan yang serupa). Sesungguhnya Allah memperhitungkan segala sesuatu”. (Surah an-Nisa ayat 86)
 

Manakala salam yang didengari di dalam radio dan TV, memadai salah seorang pendengar untuk menjawab. Dan orang yang diutamakan untuk menjawab adalah mereka-mereka yang berada di studio terutamanya penonton atau krew-krew rancangan kerana merekalah yang paling dekat dengan pemberi salam.

Dalam satu riwayat menjelaskan : “Memadai bagi satu jemaah jika mereka melalui suatu tempat salah seorang dari mereka memberi salam, dan memadai bagi salah seorang yang duduk menjawabnya”
Diriwayatkan oleh Ahmad, dan Baihaqi dengan sanad yang lemah.

Berkata Imam Nawawi di dalam syarah An-Nawawi:
“Apabila diberi salam pada suatu jemaah, menjadi fardu kifayah kepada jemaah itu untuk menjawab, jika salah seorang menjawab maka terjatuh kefarduan terhadap orang lain”. Jika siaran terus menerus kita yang tinggal di rumah sunat menjawabnya kerana salam adalah doa, dan wajib bagi mereka yang berada di sekeliling pemberi salam tadi. Jika siaran ulangan tak payah menjawabnya.


753. Soalan : Ustaz saya ada kemuskilan .apa hukum seorang perempuan menghantar jenazah kekubur.ada setengah org kata perempuan tidak boleh menghantar jenazah ke kubur.pd pendapat saya klu kita tidak boleh macamana nk dengar bacaan talkin. rasanya talkin utk teladan yg hidup.bukan begitu ustaz.tidak akan tunggu mati baru boleh dengar talkin.harap ustaz dapat beri penerangan .

Jawapan : 

Hukum Ziarah Kubur Bagi Wanita

Keadaan wanita berbeza dengan lelaki dari segi emosi dan perasaan. Perasaan mudah tersentuh dengan apa sahaja yang berlaku sering dikaitkan dengan mereka. Apabila seseorang yang dikenali meninggal dunia, lebih-lebih lagi jika orang tersebut adalah seseorang yang disayangi atau terlalu rapat dengannya selalunya membangkitkan perasaan emosi dan ada sesetengahnyatidak dapat membendung perasaan sehingga meraung-raung di depan mayat atau di tanah perekuburan.

Menurut pendapat jumhur ulama, hukum ziarah kubur bagi wanita adalah makruh kerana ditakuti boleh mengundang fitnah atau ditakuti mereka menangis dengan mengeluarkan suara yang nyaring meratapi kepergian si mati.

Dalil yang menunjukkan bahawa hukum bagi perempuan menziarahi kubur adalah tidak haram berdasarkan beberapa hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam seperti berikut:

1. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu,katanya:

Maksudnya: “Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam berjalan melintasi seorang wanita yang sedang menangis di kubur anaknya, lalu Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Bertaqwalah engkau kepada Allah dan bersabarlah.” (Hadits muttafaq ‘alaih)

Daripada hadits di atas dapat difahami bahawa menziarahi kubur bagi wanita tidak dilarang. Ini kerana jika perbuatan tersebut dihukumkan haram, sudah tentunyalah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menegur ataupun melarang wanita tersebut daripada menziarahi kubur.

2. Sayyidatuna ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam tentang doa yang boleh dibacanya apabila berziarah ke perkuburan. RasulullahShallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Katakanlah: “Mudah-mudahan Allah limpahkan keselamatan ke atas ahli kubur daripada orang-orang mukmin dan orang-orang Islam dan semoga Allah merahmati orang-orang terdahulu dari kalangan kami dan orang-orang yang terkemudian, dan sesungguhnya sekiranya kami diizinkan oleh Allah kami akan bertemu dengan kamu.” (Hadits riwayat Muslim)

Hadits di atas adalah dalil yang menunjukkan bahawa tidak haram bagi perempuan berziarah kubur.

Namun perlu diingat, bahawa hukum berziarah kubur bagi perempuan ini bergantung pada tujuan dan keadaannya ketika berziarah. Hukum asalnya adalah makruh sekalipun tujuannya untuk mengambil iktibar, untuk mengingatkan kepada kematian, alam barzakh dan alam akhirat. Di samping itu, perempuan tersebut dapat menjaga adab kesopanan ketika berziarah, dapat menahan diri dari kesedihan atau dukacita yang bersangatan dan aman dari segala fitnah.Manakala apabila berlaku tujuan dan keadaan yang sebaliknya, maka hukum makruh tersebut akan bertukar kepada haram.

Menurut setengah ulama, jika tujuannya adalah untuk menimbulkan semula perasaan dukacita dan untuk meratapi si mati, maka adalah haram baginya menziarahi kubur. Begitu juga jika sekiranya perempuan tersebut tidak menjaga adab kesopanannya semasa berziarah, tidak aman dari segala fitnah atau seumpamanya, maka haram baginya menziarahi kubur.

Berbeza pula hukumnya menziarahi kubur Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Hukumnya adalah sunat bagi perempuan dan lelaki. Begitu juga menurut sebahagian ulama, sunat berziarah ke kubur para nabi, para ulama dan aulia.


754. Soalan : Benarkan Nabi Muhammad wafat di racun oleh Yahudi?

Jawapan : 

Tidak benar Nabi Muhammad SAW mati diracun oleh wanita Yahudi. Nabi SAW masih mampu berdakwah selama 4 tahun selepas termakan daging yang beracun.Nabi SAW memang benar-benar TERBUKTI sebagai SEORANG NABI, yakni, Rasulullah SAW tahu bahwa daging tersebut disusupi racun.

“Sesungguhnya, tulang daging ini memberitahukan kepadaku bahawa ia beracun.”

Cerita ini agak panjang, tapi ringkasnya adalah wanita yang mencuba menyusupi racun tersebut, yakni Zainab binti Harits (Isteri Sallam bin Misykam-pahlawan kaum yahudi yang mati dibunuh oleh tentara kaum muslimin) akhirnya masuk Islam kerana kebenaran tersebut. Ia (Zainab binti Harits) berkata dalam pengakuannya;

“Sayalah yang melakukan itu, sebab aku ingin tahu apakah kamu benar-benar seorang nabi, yang jika memang benar maka racun ini tidak akan mengganggumu, dan jika kamu ternyata seorang nabi palsu, maka aku akan dapat membebaskan masyarakat dari dirimu.”

Berikut lanjutannya:

“…Dan ternyata MEMANG BENAR engkau seorang nabi, daging tersebut memberi kabar kepadamu bahwa ia beracun, maka dengarlah bahwa saya bersaksi ‘Tiada Illah Selain Allah, dan Engkau Muhammad benar-benar utusan Allah”. Zainab binti Harist pun masuk Islam karena kebenaran itu dan juga berdasarkan kemauannya sendiri.

Secara logika:

Racun yang dibubuhi termasuk sangat kuat dan berbisa, terbukti sahabat nabi, Bisyr ibnul Barra bin Ma’ruf yang ikut makan pada waktu itu, meninggal dunai pada masa itu juga. Sedangkan Nabi SAW tidak jadi memakannya, malah memuntahkannya kembali. Bahkan dalam kitab tarikh, Umar r.a berkata kepada baginda :

“Demi ibu-bapakku wahai Rasul! Sungguh, andaikan Isa putra Maryam telah dikarunai oleh Allah kemampuan untuk dapat menghidupkan kembali orang mati, namun apakah hal itu lebih menakjubkan ketimbang DAGING KAMBING YANG DIRACUNI dan telah digoreng, KETIKA IA BERBICARA DENGANMU LEWAT PAHANYA, “JANGANLAH ENGKAU MEMAKANKU, KERANA AKU BERACUN!”

Selain itu baginda juga masih tetap berdakwah seperti biasanya ± empat tahun lamanya (628 M/ 7 H – 632 M /9 H ) pasca percubaan peracunan makanan baginda oleh wanita Yahudi tersebut. Apakah masuk akal jika baginda wafat kerana racun tersebut yang masanya empat tahun lamanya?


755. Soalan : Apakah syarat-syarat seseorang boleh mendapat rahmat Allah ?

Jawapan : 

Syarat-syarat seseorang boleh mendapat rahmat Allah SWT adalah seperti berikut :

Pertama : Tidak melakukan syirik kepada AllahS.W.T.

Dosa yang paling besar disisi Allah S.W.T.  adalah syirik kepada-Nya. Syirik terbahagi dua iaitu syirik besar (akbar) dan syirik kecil (tersembunyi). Allah S.W.T. tidak akan ampunkan dosa mereka yang mati dalam keadaan syirik kepada-Nya.
.

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud :"Orang-orang yang beriman dan tidak mencampuradukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan mereka itu adalah orang-orang yang mendapat petunjuk."
(Surah al-An'aam ayat 82)

Para sahabat Rasulullah keberatan dengan ayat ini, dan bertanya kepada baginda, "Hai Rsulullah, siapa orang yang tidak menzalimi dirinya sendiri?". Maka, baginda menjawab,"Maksud ayat ini bukan begitu, tetapi maksudnya adalah syirik. Bukankah kalian mendengar nasihat Luqman kepad anaknya, "Wahai anakku, janganlah engkau  menyekutukan Allah kerana sesungguhnya perbuatannya ini adalah dosa (kezaliman) besar."(Hadis Riwayat Muttafaq alaih).

Kedua : Sentiasa berzikir dan menjaga hubungan hati dengan Allah S.W.T.

Allah Yang Maha Besar selalu mengingatkan kita di dalam kitab-Nya Al-Quran Al-Karim supaya berzikirillah seperti berikut:“Dan sebutlah nama Tuhanmu pada waktu pagi dan petang, dan pada sebahagian dari malam, maka sujudlah kepadaNya dan bertasbihlah kepadaNya pada bahagian yang panjang di malam hari.” ( Surah Al Insan, Ayat 25- 26)

Firman-Nya lagi yang bermaksud : "Dan sebutlah nama Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut, dan dengan tidak meninggikan suara, di waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai.”
(Surah Al A’raf,  Ayat 205)

Dari Abu Hurairah r.a. Rasulullah S.A.W.  bersabda : Allah S.W.T.  berfirman maksudnya : "Aku adalah berdasarkan kepada sangkaan hambaKu terhadapKu. Aku bersamanya ketika dia mengingatiKu. Apabila dia mengingatiKu dalam dirinya, nescaya aku juga akan mengingatinya dalam diriKu. Apabila dia mengingatiKu di majlis, nescaya Aku juga akan mengingatinya di dalam suatu majlis yang lebih baik daripada mereka. Apabila dia mendekatiKu dalam jarak sejengkal, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sehasta. Apabila dia mendekatiKu sehasta, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sedepa. Apabila dia datang kepadaKu dalam keadaan berjalan seperti biasa, nescaya Aku akan datang kepadanya seperti berlari-lari anak."
(Hadis Riwayat Bukhari, Tirmizi dan Ibn Majah)

Ketiga : Sentiasa bertaubat dan beristighfar kepada Allah S.W.T.

Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud : " Sesungguhnya Allah amat menyukai orang-orang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri."
(Surah Al-Baqarah ayat 222)

Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud :"Barangsiapa melazimi meminta ampun kepada Allah, nescaya Allah akan menjadikan baginya jalan keluar dari setiap kesempitan dan menjadikan baginya jalan lapang dari setiap kesusahan serta Allah memberi rezeki kepadanya dari punca yang tidak disangka-sangka."

Sabda Rasulullah S.S.W.  yang bermaksud :“Sesungguhnya syaitan itu berkata kepada Allah : ‘Demi Izzah-Mu ya Allah, aku tidak akan berhenti menggoda hamba-hamba-Mu selama nyawa-nyawa mereka masih ada dalam jasad-jasad mereka. Maka Allah S.W.T. menjawab. ‘Demi Izzah-Ku dan keagongan-Ku, Aku akan mengampuni mereka selama mereka beristighfar memohon ampun kepada-Ku.”
(Hadis Riwayat Imam Ahmad dan Al-Hakim)

Keempat : Sentiasa mengikhlaskan beribadah kepada-Nya.

Dalam satu hadis Qudsi Allah berfirman yang bermaksud:“Ikhlas adalah satu rahsia dalam rahsia-rahsia-Ku. Aku titiskan ia dalam hati hamba-hambaku yang Aku mangasihinya” (Riwayat Abu Hasan Al Basri)

Kerana ikhlas satu rahsia Allah tentu tidak mungkin kita dapat mengetahui siapa yang ikhlas dan siapa yang tidak. Malah diri kita sendiri pun mungkin kadang-kadang susah untuk dipastikan apakah amalan kita itu ikhlas atau sebaliknya.

Dihari akhirat Allah S.W.T.  tidak akan menerima amalan yan g dilakukan tidak ikhlas iaitu kerana riak dan mencari habuan dunia.Walaupun ikhlas adalah rahsia Allah namun Islam membuat satu garis panduan unutk mengukur hati kita dan membentuknya supaya benar-benar ikhlas. Di antara tanda-tanda ikhlas dalam satu amalan apabila orang memuji atau mencaci amalan kita, kita rasa sama saja. Pujian tidak membanggakan kita dan kejian tidak menyusahkan. Itulah tanda ikhlas. Maknanya amalan itu betul-betul dibuat kerana Allah. Kerana itu kalau manusia cerca, caci atau hina, hati pun tidak cacat, tidak timbul perasaan marah, dendam atau ingin membela diri atau melawan orang yang menghina itu.

Firman Allah S.W.T. maksudnya :"Dan tiadalah mereka disuruh melainkan supaya menyembah Allah serta mengikhlaskan agama kepadanya."
(Surah Al-Bayyinah ayat 5)

 Al-Imam Fudail bin ‘Iyyad katanya: “Meninggalkan amal kerana manusia itu adalah riak. Beramal kerana manusia itu adalah syirik. Adapun ikhlas ialah Allah menyelamatkan kamu daripada keduanya.”

Kelima : Melakukan ketaatan kepada Allah S.W.T.  dan mengerjakan amal soleh.

Apabila seseorang menjaga agamanya, memelihara tanggungjawabnya sebagaimana dititah perintahkan Allah kepadanya, maka dia akan merasa betapa Allah bersama dengannya semua urusannya.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :“Masuklah kamu ke dalam Syurga disebabkan apa yang telah kamu kerjakan.”
(Surah An-Nahl ayat 32)

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Itulah Syurga yang diwariskan kepadamu disebabkan apa yang telah kamu kerjakan.”
(Surah Al-A’raaf ayat 43)

Dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : "Bersegeralah kalian untuk berbuat amal soleh, kerana akan muncul berbagai fitnah seperti penggalan-penggalan malam yang gelap-gulita, ada orang yang paginya beriman, petangnya kafir. Ada yang petangnya beriman, paginya kafir. Ia jual agamanya dengan barang perhiasan dunia." (Hadis Riwayat Muslim)

No comments:

Post a Comment