Sunday, September 21, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 157 ( Hukum Batalkan Puasa Qada, Kisah Firaun, Teguran Cara Hikmah, Ambil Wuduk Buka Aurat Dan Berkahwin Wanita Ahli Kitab.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sahabat yang dirahmati Allah,    
Tanyalah Ustaz Siri 157 adalah menjelaskan persoalan hukum batalkan puasa qada, kisah firaun, teguran cara hikmah, ambil wuduk bua aurat dan berkahwin wanita ahli kitab.

741. Soalan : Apaka hukumnya seseorang yang sedang berpuasa qada' Ramadan di batalkan kerana isteri mengajak berjimak di siang hari?

Jawapan : 

Apabila sudah bersahur dan niat nak puasa ganti (puasa qada') haram di batalkan kerana bukan dharurat seperti sakit atau terpaksa bermusafir. Puasa wajib, baik Ramadan mahupun bukan bulan Ramadan, seperti puasa nazar,  puasa qada, atau puasa kaffarah, atau puasa wajib lainnya, tidak boleh dibatalkan. Kecuali jika ada uzur, seperti sakit, bermusafir, atau uzur lainnya.

Ibnu Qudamah mengatakan,

ومن دخل في واجب، كقضاء رمضان، أو نذر معين أو مطلق، أو صيام كفارة؛ لم يجز له الخروج منه؛ لأن المتعين وجب عليه الدخول فيه، وغير المتعين تعين بدخوله فيه، فصار بمنزلة الفرض المتعين، وليس في هذا خلاف بحمد الله
Siapa yang telah memulai puasa wajib seperti qada Ramadan, puasa nazar hari tertentu atau nazar mutlak, atau puasa kaffarah, tidak boleh membatalkannya. Kerana sesuatu yang statusnya wajib ain, harus dilakukan. Sementara yang bukan wajib ain, menjadi wajib ain jika telah dilakukan. Sehingga statusnya sama dengan wajib ain. Dan dalam hal ini tidak ada perselisihan, alhamdulillah.. (Al-Mughni, 3/160 – 161)
Orang yang membatalkan puasa qada tanpa alasan yang munasabah yang di benarkan syarak, wajib bertaubat kepada Allah, memohon ampun atas kesalahannya, dan dia harus ganti di hari yang lain.

Imam Ibnu Baz pernah ditanya tentang orang yang melaksanakan qada Ramadhan. Di siang hari yang terik, dia merasa lapar dan makan. Bagaimana hukumnya?

Jawab beliau,

الواجب عليك إكمال الصيام ، ولا يجوز الإفطار إذا كان الصوم فريضة كقضاء رمضان وصوم النذر ، وعليك التوبة مما فعلت ، ومن تاب تاب الله عليه
Anda wajib menyempurnakan puasa, dan tidak boleh berbuka, jika puasa yang anda kerjakan adalah puasa wajib, seperti qada Ramadhan atau puasa nazar. Kemudian wajib bagi anda untuk bertaubat terhadap apa yang telah anda perbuat. Siapa yang bertaubat, Allah akan menerima taubatnya. (Majmu’ Fatawa Ibn Baz, 15/355)

742. Soalan : Assalamualaikum Ustaz. saya ada soalan lagi. iaitu : FIRAUN MATI KETIKA MENGEJAR MUSA LALU DITENGGELAMKAN sebagaimana ayat dalam Al Quran ini:

"Dan Kami memungkinkan Bani Israel melintasi laut, lalu mereka diikuti oleh Firaun dan bala tentaranya, kerana hendak menganiaya dan menindas (mereka); hingga bila Firaun itu telah hampir tenggelam berkatalah dia: "Saya percaya bahwa tidak ada Tuhan melainkan Tuhan yang dipercayai oleh Bani Israel, dan saya termasuk orang-orang yang berserah diri (kepada Allah)"…..Maka pada hari ini Kami selamatkan badanmu supaya kamu dapat menjadi pelajaran bagi orang-orang yang datang sesudahmu ….".(Qs 10:90-92)

Atau FIRAUN MATI DITENGGELAMKAN SECARA TIBA-TIBA KERANA ALLAH MURKA sebagaimana ayat dalam al quran ini?

"Maka tatkala mereka membuat Kami murka, Kami menghukum mereka lalu Kami tenggelamkan mereka semuanya (di laut), dan Kami jadikan mereka sebagai pelajaran dan contoh bagi orang-orang yang kemudian." (Qs 43: 55- 56)

Boleh jelaskanperbezaan kedua ayat ini ? Terima kasih


Jawapan : 

Surah Yunus (10) ayat 90-92 dan surah Az-Zukhruf (43) ayat 55-56 tidak bertentangan. Dalam surah Yunus (10) ayat 90 "Dan Kami memungkinkan Bani Israel melintasi laut, lalu mereka diikuti oleh Firaun dan bala tentaranya, kerana hendak menganiaya dan menindas (mereka); hingga bila Firaun itu telah hampir tenggelam berkatalah dia: "Saya percaya bahwa tidak ada Tuhan melainkan Tuhan yang dipercayai oleh Bani Israel, dan saya termasuk orang-orang yang berserah diri (kepada Allah)" ayat ini menjelaskan secara khusus di saat Firaun sedang nazak (hendak mati tenggelam di laut merah) beliau nak bertaubat kepaad Allah SWT tetapi taubat Firaun tidak di terima oleh Allah SWT. Dalam ayat 91 Alah berfirman maksudnya ," Mengapa baru sekarang (kamu beriman) ada hal sesungguhnya engkau telah derhaka sejak dahulu, dan engkau termasuk orang yang membuat kerosakan.
 

Dalam surah Az-Zukhruf ayat 55-56 maksudnya, " "Maka tatkala mereka membuat Kami murka, Kami menghukum mereka lalu Kami tenggelamkan mereka semuanya (di laut), dan Kami jadikan mereka sebagai pelajaran dan contoh bagi orang-orang yang kemudian." Ayat ini menjelaskan firaun dan tenteranya di tenggelamkan apabila laut yang terbelah bercantum semula tetapi sebelum saat di tengelam maka dia cuba bertaubat tetapi taubatnya tidak di terima oleh Allah SWT. Setelah firaun tenggelam dan mati maka mayat firaun di timbulkan oleh Allah SWT sebagai pengajaran untuk umat yang akan datang dan sehingga sekarang mayatnya yang di letakkan mummy masih kekal sehingga sekarang walaupun telah ribuan tahun berlalu.
 

Misteri Disebalik Jasad Firaun Masih Terpelihara . Ramai yang tidak tahu yang jasad Firaun sehingga kini masih terpelihara, jadi satu kajian telah dibuat oleh seorang saintis yang sangat terkenal dan akhirnya hasil atau keputusan yang didapati sangat memeranjatkan sehinggakan saintis tersebut memeluk islam setelah mengkaji penemuan mayat firaun pada pertengahan tahun 1975..

Apa Sebabnya Jasad Firaun Terpelihara Sehingga Kini?

Presiden Perancis menawarkan kerajaan Mesir bantuan untuk meneliti, mempelajari dan menganalisis mumia Firaun, Ramsess II yang sangat terkenal. Firaun yang dikatakan hidup di zaman Nabi Musa yang akhirnya mati tenggelam dalam Laut Merah ketika mengejar Musa dan para pengikut baginda yang melarikan diri daripada kekejamannya. Mesir menyambut baik tawaran itu dan membenarkan mumia itu diterbangkan ke Paris.

Malah ketika sampai di sana kedatangan mumia itu disambut dengan pesta dan keramaian. Ini termasuklah apabila Mitterand dan para pemimpin Perancis yang lain tunduk hormat ketika mumia itu dibawa lalu di hadapan mereka. Mumia itu kemudiannya diletakkan di ruang khas di Pusat Arkeologi Perancis. Di situ ia bakal diperiksa sekali gus membongkar rahsianya oleh para pakar, doktor bedah dan autopsi Perancis yang dipimpin oleh doktor yang sangat terkenal, Prof. Dr. Maurice Bucaille.

Bucaille seorang pakar bedah kenamaan Perancis yang dilahirkan di Pont-L’Eveque pada 19 Julai 1920. Memulakan kerjaya di bidang perubatan am dan pada tahun 1945 beliau diiktiraf sebagai pakar di bidang gastroentorologi. Ramai kerabat diraja dan keluarga pemimpin dunia menggunakan khidmat Dr. Bucaille, termasuk Raja Faisal Arab Saudi dan pemimpin Mesir, Anwar Sadat. Lalu kesempatan beliau untuk membedah dan menyiasat mumia Firaun, mengerah seluruh tenaga dan mindanya untuk menguak misteri di sebalik penyebab kematian raja Mesir kuno itu.

Ternyata, hasilnya sangat mengejutkan. Dr. Bucaille menemukan sisa-sisa garam yang masih melekat pada jasad mumia tersebut sebagai bukti terbesar bahawa Firaun itu mati akibat tenggelam di dalam laut. Iaitu jasadnya segera dikeluarkan dari laut, ‘dirawat’ segera dan dijadikan mumiamia supaya jasad itu kekal awet.

Misteri Disebalik Jasad Firaun Masih Terpelihara

Namun penemuan itu menimbulkan persoalan yang sangat besar kepada Dr. Bucaille. Bagaimana jasad tersebut masih dalam keadaan sangat baik berbanding jasad-jasad yang lazimnya tenggelam dan dikeluarkan daripada laut? Lalu beliau menyiapkan sebuah laporan akhir yang diyakininya sebagai penemuan baru, iaitu proses menyelamatkan mayat Firaun dari laut dan kaedah pengawetannya.

Laporan tersebut diterbitkan dengan tajuk; Mumia Firaun: Sebuah Penelitian Perubatan Moden (judul asalnya; Les Momies Des Pharaons Et La Midecine). Ekoran penerbitan laporan itu, Dr Bucaille dianugerah penghargaan tertinggi kerajaan iaitu Le Prix Diane Potier-Boes (Penghargaan Dalam Sejarah) oleh Academie Frantaise dan anugerah Prix General daripada Academie Nationale De Medicine, Perancis. KISAH FIRAUN DI DALAM AL QURAN.
 

Namun seorang rakan sempat membisikkan kepada Dr. Bucaille bahawa penemuan ini sebenarnya bukan sesuatu yang baru. “Jangan tergesa-gesa kerana sesungguhnya umat Islam telah berbicara mengenai peristiwa Firaun yang mati lemas dan mayatnya dipelihara sehingga hari ini!” Namun kata-kata itu ditentang keras oleh Dr. Bucaille kerana beliau menganggap sangat mustahil. Baginya membongkar sesebuah misteri yang lama tidak mungkin dapat diketahui kecuali dengan perkembangan teknologi moden, peralatan dan makmal canggih yang mutakhir dan tepat.

Dr. Bucaille menjadi serba salah dan bingung apabila diberitahu bahawa al-Quran yang diyakini dan dipercayai oleh umat Islam telahpun meriwayatkan kisah tenggelamnya Firaun dan kemudian mayatnya diselamatkan.

Beliau semakin tertanya-tanya, bagaimana perkara seperti itu dapat diterima oleh akal kerana mumia itu baru sahaja ditemui sekitar tahun 1898. Sedangkan al-Quran telah ada di tangan umat Islam sejak ribuan tahun sebelumnya.

Sambil mata tidak lepas memandang mumia Firauan yang terbujur di hadapannya, Dr. Bucaille terus tertanya-tanya bagaimana al-Quran dapat membicarakan kisah Firaun yang jasadnya diselamatkan dari hancur sejak ribuan tahun lalu. “Apakah masuk akal di hadapanku ini adalah Firaun yang cuba menangkap Musa (Nabi)? Apakah masuk akal Muhammad (Nabi) mengetahui hal sejarah ini? Pada hal kejadian Musa dikejar Firaun telah berlaku sebelum al-Quran diturunkan,” bicara hatinya sendirian.

Lalu beliau mendapatkan kitab Injil yang di dalamnya hanya membicarakan Firaun yang tenggelam di tengah laut saat mengejar Nabi Musa tetapi tidak diceritakan mengenai mayat Firaun. Sementara dalam Kitab Perjanjian Lama (Injil Lama) pula yang diceritakan dalam kitab itu hanyalah: “Air (laut) pun kembali seperti sebuah lautan yang berombak dan beralun, menenggelamkan kereta-kereta (chariot) kuda, pasukan berkuda dan seluruh bala tentera Firaun tanpa ada seorang pun yang berjaya menyelamatkan diri.

Tetapi anak-anak Israel dapat menyelamatkan diri atas daratan kering di tengah-tengah laut itu”. (Exodus 14:28 dan Psalm 136:15) Dr. Bucaille sangat terkejut kerana tidak ada disebut langsung mengenai apa yang terjadi seterusnya kepada mayat Firaun selepas tenggelam itu. Ini menjadikan beliau semakin kebingungan.

Apabila mumia dikembalikan semula ke Mesir, Dr. Bucaille terus mendapatkan kepastian mengenai mumia itu. Lalu beliau memutuskan untuk bertemu dengan para ilmuwan Islam mengenai sejarah Nabi Musa, kekejaman Firaun sehinggalah Bani Israel meninggalkan Mesir dan dikejar Firaun dengan seluruh bala tentera di belakang mereka. Maka salah seorang mereka terus bangun dan membaca ayat al-Quran berhubung sejarah tersebut untuk Dr. Bucaille mendengarkannya sendiri:

“Maka pada hari ini Kami selamatkan badan kamu supaya kamu dapat menjadi pelajaran bagi orang-orang yang datang sesudah kamu dan sesungguhnya kebanyakan manusia lengah dari tanda-tanda kekuasaan Kami.” (Surah Yunus ayat 92)

Apabila mendengar ayat ini, hati Dr. Bucaille benar-benar tersentuh. Beliau akhirnya mengakui kebenaran ayat itu kerana ia dapat diterima akal dan memberikan satu inspirasi serta dorongan kepada sains untuk maju meneroka lebih jauh lagi.

Lalu dengan hati yang begitu bergetaran dalam menahan sebak dan keharuan, beliau pun bangun dan dengan suara yang lantang berkata: “Sesungguhnya aku masuk Islam dan beriman dengan al-Quran ini.” Tidak sekadar beliau mengakui kebenaran dan memeluk Islam tetapi beliau kemudiannya pulang ke Perancis dengan menggali seluruh isi al-Quran. Akhirnya beliau berjaya menerbitkan buku yang sangat mengejutkan seluruh dunia dan sehingga kini telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa pada tahun 1976, iaitu The Bible, the Qur’an, and Science : The Holy Scriptures Examined in the Light of Modern Knowledge.

Melalui buku ini, Dr. Bucaille yang kemudiannya dikenali sebagai Dr. Yahya Maurice Bucaille berjaya membuktikan bahawa al-Quran adalah selari dengan fakta-fakta sains sementara kitab Injil adalah sebaliknya. “Sains dan Islam umpama saudara kembar yang tidak boleh berpisah. Ini kerana dalam Injil terdapat pelbagai kesilapan dari aspek saintifik tetapi tiada sedikitpun kesilapan seperti itu ada dalam al-Quran. “Al-Quran yang di dalamnya diceritakan segala penjelasan mengenai fenomena alam semula jadi yang sangat bertepatan dengan sains moden,” katanya. Beliau memberikan kesimpulan bahawa tidak syak lagi al-Quran benar-benar kalam Allah.

Wallahualam

Sumber: Misteri Disebalik Jasad Firaun Masih Terpelihara - Fuh.My


743. Soalan :    Ustaz terima kasih... persoalan saya, bagaimanakah cara yang baik untuk kita menegur mereka yg melakukan kesilapan yang nyata... tetapi mereka tidak merasa bersalah,dan kita pulak dipersalahkan.

Jawapan :  

Jika kita nampak suatu kesalahan di lakukan oleh ahli keluarga kita atau rakan baik kita maka perlulah kita memberikan nasihat yang baik. Cuba cari masa yang sesuai untuk memberikan teguran secara hikmah.Cara dakwah telah ditentukan Allah di dalam perintah-Nya kepada Nabi Muhammad S.A.W. melalui firman-Nya dalam Surah Al-Nahl, ayat 125 yang telah meletakkan al-hikmah sebagai salah satu metod utama dalam berdakwah:

Firman Allah SWT maksudnya: "Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang Engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk." (Surah an-Nahl ayat 125)

Daripada ayat di atas, kita dapat mengeluarkan tiga cara untuk berdakwah atau memberi nasihat ke jalan Allah S.W.T. yang diajarkan kepada Rasulullah S.A.W. dan menjadi ikutan pendakwah hingga kini iaitu 1. berdakwah secara hikmah, 2. memberi nasihat yang baik dan 3. perbincangan secara baik dengan pihak yang hendak disasarkan. Seterusnya dalam Surah Al-Ankabut, ayat 46 juga menerangkan berkaitan dengan cara dakwah / naishat secara berhikmah:

Firman Allah SWT maksudnya: "Dan janganlah kamu berbahas dengan ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka; dan katakanlah (kepada mereka): "Kami beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepada Kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah satu; dan kepada-Nyalah, kami patuh dengan berserah diri."


744. Soalan :  Ustaz,,boleh tak kita ambil wuduk tak tutup aurat? Sah tak wuduk kita?

Jawapan : 

Mengikut Mazhab Syafie Aurat anak Adam terbahagi kepada dua, yang pertama aurat mughallazah dan aurat mukhaffafah. Aurat mugallazah bermaksud aurat yang utama iaitu kemaluan di hadapan dan kemaluan di belakang (punggung).

Adapun aurat mukhaffafah bagi orang lelaki ialah mendedah bahagian pusat ke bawah dan mendedahkan bahagian lutut ke atas. Bagi wanita juga sama. Keadaan ini hanya ketika mana seseorang itu bersendirian di rumah, atau keadaannya dalam bilik air.

Namun, mendedahkan kedua-dua bahagian aurat (mughallazah dan mukhaffafah) adalah haram di sisi syariat Islam. Jika seseorang itu mengambil wuduk dalam keadaan terdedah aurat mukhaffafah, seperti orang perempuan yang berkemban dan orang lelaki yang bertuala maka di hukum makruh. Wuduknya sah, tapi tidak afdal.

Afdalnya ialah menutup aurat yang mukhaffafah. Berwuduk adalah ibadat, maka adalah lebih baik dilakukan dengan menutup aurat.
 

Jika kita mengambil wuduk di bilik air tanpa pakaian ulama mengatakan hukumnya makruh. Sekurang-kurangnya tutuplah di antara pusat dan lutut semasa mengambil wuduk tidak jatuh makruh.

745. Soalan : Ustaz. Soalan saya: BOLEHKAH UMAT MUSLIM MENIKAH DENGAN NON MUSLIM?

Al Quran melarang umat Muslim kahwin dengan wanita non muslim (QS 2:221)

"Dan janganlah kamu nikahi wanita-wanita musyrik, sebelum mereka beriman.
Sesungguhnya wanita budak yang mukmin lebih baik dari wanita musyrik, walaupun dia menarik hatimu.
Dan janganlah kamu menikahkan orang-orang musyrik (dengan wanita-wanita mukmin) sebelum mereka beriman. ,………."

tetapi dalam ayat QS 5:5 ini menghalalkan pula ?

"Pada hari ini dihalalkan bagimu yang baik-baik. Makanan (sembelihan) orang-orang yang diberi Al Kitab itu halal bagimu, dan makanan kamu halal pula bagi mereka. (Dan dihalalkan mengahwini) wanita-wanita yang menjaga kehormatan di antara wanita-wanita yang beriman dan wanita-wanita yang menjaga kehormatan di antara orang-orang yang diberi Al Kitab sebelum kamu"

Boleh jelaskan? terima Kasih.


Jawapan : 

Seorang muslim di larang berkahwin dengan wanita bukan Islam (wanita musrik) sebelum mereka beriman. (Surah al-Baqarah ayat 221) Dalam surah al-Ma'idah ayat 5 di halalkan bernikah dengan wanita -wanita yang menjaga kehormatan di kalangan wanita ahli kitab. Siapakah wanita ahli kitab? Adakah wanita Kristian dan Yahudi sekarang wanita ahli kitab? Sebahagian ulama' berpendapat Ahli Kitab yang dimaksudkan ialah mereka yang masih berpegang teguh dengan ajaran asal Nabi Musa dan Nabi Isa a.s.

Oleh itu, orang-orang Yahudi dan Kristian yang ada pada masa ini tidak termasuk dalam golongan tersebut kerana mereka telah pun sesat dan mengubahsuai ajaran nabi-nabi mereka. Justeru itu, sembelihan mereka juga tidak termasuk dalam kategori yang dimaksudkan oleh Allah dalam ayat di atas. Wallahu a'lam



No comments:

Post a Comment