Monday, September 8, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 148 (Al-Quran Sebagai Penawar Penyakit, Hukum Berkorban (Tak Boleh Potong Kuku Dan Rambut), Al-Quran Menjawap Masalah Manusia, Hukum Bunuh Semut Gatal Dan Iddah Kematian Suami.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sahabat yang dirahmati Allah,    
Tanyalah Ustaz Siri 148 adalah menjelaskan persoalan al-Quran sebagai penawar penyakit, hukum berkorban (tak boleh potong kuku dan rambut), al-Quran menjawap masalah manusia, hukum bunuh semut gatal dan iddah kematian suami.

696. Soalan : Boleh tak ustaz jelaskan ayat-ayat al-Quran yang boleh di amalkan untuk mengubati penyakit fizikal dan rohani?

Jawapan : 

AL-QURAN SEBAGAI PENAWAR :

Di dalam surah Al-Israa’ ayat 82, Allah SWT berfirman maksudnya :
“Dan kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang yang beriman kepadanya.” 

Dan di dalam surah Fussilat ayat 44,  Allah SWT berfirman maksudnya :
“Katakan, Al-Quran itu adalah petunjuk dan penawar bagi orang yang beriman”. 

Ini jelas terbukti bahawa semua penyakit yang datang dari Allah SWT, penawarnya ada di dalam Al-Quran, terpulanglah kepada individu untuk mencari dan mengamal ayat-ayat tersebut dan yakin sepenuhnya akan mukjizat Al-Quran. 

CONTOH SURAH DAN AYAT PENAWAR :

Semua penyakit yang Allah jadikan di dunia ini ada penawarnya di dalam Al-Quran. Sebagai contohnya. 

1. Surah Qaaf ayat 16 hingga 45, Surah Ah-Qaaf ayat 21 hingga 28 dan Surah Sod ayat 34 hingga 61 selalunya untuk penyakit yang ada kaitan dengan tulang (seperti sakit rheumatism, arthritis, sakit sendi, tulang patah atau fractured, slip disc, sakit tulang belakang)

2. Surah Al-Buruuj ayat 1 higga 22 selalunya di baca untuk penawar sakit-sakit yang berkaitan dengan perut (seperti gastric, stomach ulcer) atau penyakit yang berkaitan dengan usus besar atau usus kecil.

3. Surah Al-Israa' ayat 40 hingga 55 untuk pesakit yang mengalami sakit jantung, saluran darah tersumbat (blockage) dan jantung berlubang.

Ayat-ayat dalam surah Al-Anfaal untuk sakit jangkitan kuman/virus atau "infections". Ayat ayat dari surah Al-Anfaal ini berfungsi sama seperti ubat-ubat antibiotik.

4. Surah An-Nahli ayat 35 hingga 47, ayat 66 hingga 74 dan ayat 81 hingga 89 untuk memberi kekuatan atau tenaga kepada pesakit. Kekuatan dari segi fizikal dan kekuatan dari segi dalaman atau rohani. Ayat-ayat ini berfungsi untuk meningkatkan kekuatan fizikal atau immuniti (sistem daya pertahanan sesaorang) dan juga untuk peningkatan kekuatan rohaniah dari segi semangat dan keazaman pesakit.

5. Ayat-ayat dari surah Al-Anbiyaa', surah Al-Qasas, surah Huud dan surah Kahfi khusus untuk penyakit kencing manis (diabetes), darah tinggi (hyper-tension), sakit angin ahmar (stroke) dan lain-lain lagi.

6. Ayat-ayat dari surah Yusuf dan surah An-Nahli untuk penyakit lemah tenaga batin untuk kaum lelaki.

7. Ayat-ayat dalam surah Maryam, Anbiyaa' dan Imran untuk sakit fibroid, ovarian cysts dan lain-lain sakit perempuan.

8. Ayat-ayat dari surah Mukminun, Yunus, Hud, Anbiyaa, Ma'idah, Al-A'raff, Ash-Syura, Al-Qasas dan lain-lain surah untuk pelbagai jenis penyakit kanser, sakit buah pinggang (kidney failure), hepatitis dan lain lain penyakit.

9. Ayat-ayat dari surah Al-Baqarah, Fussilat, Ash-Syu'aara, Al-Furqaan, Ar-Ra'd, Toha, Al-Mu'minum, Muhammad, dan lain-lain surah untuk penyakit gangguan sihir, santau, rasuk jin atau iblis, ilmu pangasih, ilmu pelalau, ilmu pemisah dan lain-lain penyakit gangguan atau "spiritual illness".

10. Bacakan ayat-ayat berikut untuk melawan gangguan sihir :

a. Baca Ayat Kursi. (Surah al-Baqarah ayat 255)

b. Bacakan Surah al-Kafirun.

c. Baca Surah al-Ikhlas.

d. Baca Surah al-Falaq.

e. Baca Surah an- Nas.

(Ayat-ayat dibawah adalah ayat penawar sihir)

f. Baca Surah al-A'raf ayat 117-119.

g. Baca Surah Yunus ayat 79-82.


h. Baca Surah Thaha ayat 65-69.

11. Selain dari penyakit yang disebut di atas, saya dapati penyakit seperti SLE, sejenis penyakit buah pinggang (nephronic syndrome), penyakit kulit (psiorasis), sakit sawan (epilepsi) dan sakit tekanan jiwa (depression) boleh diubati melalui ayat-ayat Al-Quran.

697. Soalan : Ustaz saya nak bertanya tentang hukum berkorban..mengenai larangan potong rambut dan kuku...ada kah waktu-waktu yang ditetapkan ..minta tolong ustaz jelas kan.?.Terima kasih...

Jawapan : 

Dalam hadis sahih siapa yang sudah berhajat nak korban maka di larang potong rambut dan kuku bermula 1-10 Zulhijjah (sehingga binatang korbannya di sembelih untuk di korbankan) Nabi Sallallahu `Alaihi Wa sallam bersabda, “Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan salah seorang dari kamu hendak berkorban, maka hendaklah dia menahan dirinya dari memotong rambut dan kukunya”. (HR Muslim)

Nabi Sallallahu `Alaihi Wa sallam bersabda, “Sesiapa yang memiliki sembelihan untuk disembelih, maka apabila masuk bulan Zulhijjah, maka janganlah sekali-kali dia memotong rambutnya dan kukunya sehingga dia berkorban”. (HR Muslim)

Menurut Imam Nawawi rahimahullah: “Maksudnya (dari larangan tersebut) ialah: Dilarang memotong kuku dengan gunting dan sebagainya. Dilarang menggunting (memotong) rambut sama ada membotakkan (mencukur), memendekkannya, mencabutnya, membakarnya atau selainnya. Termasuk dalam hal ini (dilarang) memotong bulu ketiak, misai, bulu kemaluan dan bulu yang ada di seluruh badan”. (Syarah Muslim 13/138)

Majoriti ulama dari mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian Hanbali menyatakan makruh hukumnya bagi melanggarnya.

Sesiapa yang tidak megerjakan haji tapi berhasrat untuk melakukan ibadah korban, disunnahkan agar tidak menggunting rambut dan memotong kukunya setelah masuk 1 Zulhijjah hingga ke hari dia berkorban.


698. Soalan : Ustaz saya nak tanya bagaimana nak kuatkan semangat jika kita sudah tidak mampu nak hadapi dugaan yang Allah beri ?

Jawapan :

Untuk memberikan motivasi supaya saudari kuat semangat menghadapi ujian yang di berikan oleh Allah SWT. Sila lihat jawapan itu telah di berikan oleh al-Quran iaitu :  Terdapat sembilan persoalan yang sering dikemukakan oleh manusia kepada Allah SWT. dan Dia menjawannya di dalam al-Quran. Daripada sembilan soalan ini melahirkan sembilan sifat orang mukmin terhadap ujian Allah SWT.

Soalan pertama : Kenapa aku diuji?

(Sifat pertama : Bersabar dengan ujian Allah SWT)

Quran menjawab : "Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja
mengatakan , kami telah beriman, sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka , maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar , dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang berdusta." (Surah al-Ankabut  ayat 2-3).

Setiap ujian yang ditimpakan oleh Allah SWT. kepada para hamba-Nya sebenarnya Dia ingin mengurniakan sesuatu ganjaran yang lebih besar dan lebih baik. Allah S.W.T. akan menghapuskan dosa-dosanya dan memberi ganjaran pahala yang besar. Di hari akhirat nanti tidak ada balasan yang lebih baik melainkan mendapat balasan syurga.

Soalan kedua : Kenapa aku tak dapat apa yang aku idam-idamkan?

(Sifat kedua : Reda dengan qadak dan qadar Allah SWT, menyakini sesuatu ketetapan Allah SWT adalah baik belaka dan mengandungi hikmah)

Quran menjawab : "Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu , padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui". (Surah al-Baqarah  ayat 216)

Seungguhnya sesuatu perkara itu hakikat sebenarnya Allah Maha Mengetahui. Baik atau buruk sesuatu perkara itu ianya adalah di dalam ilmu Allah SWT. Yakinilah jika sesuatu doa atau hajat tidak ditunaikan-Nya ada sesuatu yang lebih baik akan diberi Allah SWT sebagai penganti apa yang kita hajatkan. Jika tidak dapat di dunia, nanti di hari akhirat Dia akan memberkannya kepada kita, oleh itu berbaik sangkalah kepada-Nya.

Soalan ketiga : Kenapa ujian seberat ini?

(Sifat ketiga : Menerima dugaan Allah SWT dengan fikiran positif dan tenang ketika menghadapi ujian daripada Allah SWT)

Quran menjawab : "Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya".(Surah al-Baqarah ayat 286)

Allah SWT. Maha Mengetahui kemampuan kita sebagai hamba-Nya yang kerdil, oleh itu apa sahaja yang berlaku keatas diri kita sebenarnya masih dibawah kemampuan kita untuk menghadapinya. Anggaplah sesuatu ujian itu dengan fikiran yang positif dan cubalah renungkan bahawa terdapat orang lain yang lebih berat menghadapi ujian daripada kita maka dengan itu akan terasa beban yang ditanggung akan menjadi lebih ringan.

Soalan keempat  : Kenapa kita rasa kecewa?

(Sifat keempat : Tidak pernah merasa lemah dan bersedih hati sebaliknya merasa diri ini mulia disisi Allah SWT sebagai orang mukmin)

Quran menjawab : "Janganlah kamu bersikap lemah , dan janganlah pula kamu bersedih hati , padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya , jika kamu orang-orang yang beriman". (Surah Ali Imran  ayat 139)

Yakinlah sifat orang mukmin tidak akan rasa kecewa atau putus asa kerana orang mukmin akan sentiasa reda dengan qadak dan qadar. Jika kita merasai kita mulia di sisi Allah SWT. kerana kita orang yang beriman dan bertakwa maka akan hilang perasaan negatif ini.

Soalan kelima : Bagaimana harus aku menghadapi kesusahan ini?

(Sifat kelima : Menjadikan sifat sabar dan sentiasa mengerjakan solat sebagai pakaian atau amalan hariannya)

Quran menjawab : "Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat , dan sesungguhnya solat itu amat berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk". (Surah al-Baqarah ayat 45)

Benarlah saranan Allah SWT. bahawa sifat sabar dan sentiasa mengerjakan solat wajib dan sunat akan membantu orang mukmin ketika dia menghadapi ujian dan kesukaran dalam hidup. Dia akan melapangkan fikiran kita dan melepaskan daripada segala kesusahan ini jika kita istiqamah dengan bersabar dan mengerjakan solat kerana solat adalah doa dan munajat para hamba kepada Tuhannya.

Soalan keenam : Kepada siapa aku berharap?

(Sifat keenam : Sentiasa bertawakal dan meletakkan pergantungan hanya kepada Allah SWT dalam semua urusannya)

Quran menjawab : "Cukuplah Allah bagiku , tidak ada Tuhan selain daripada-Nya. Hanya kepada-Nya aku bertawakal". (Surah at-Taubah ayat 129)

Tidak ada tempat lain untuk kita bergantung dan memohon pengharapan hanya kepada Allah SWT. Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Tuhan yang mengkabulkan segala doa dan permintaan.

Soalan ketujuh : Apa yang aku dapat daripada semua ujian ini?

(Sifat ketujuh : Sentiasa infakkan diri dan hartanya dijalan Allah SWT)

Quran menjawab : "Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang mukmin , diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka". (Surah at-Taubah  ayat 111)

Tidak ada balasan yang paling berharga yang di miliki oleh manusia yang bertakwa melainkan balasan syurga seluas langit dan bumi. Semua ujian yang dihadapai tidak akan sia-sia kerana Allah SWT. telah berjanji akan memberikan balasan syurga kepada siapa yang sanggup berjihad dijalan-Nya dengan harta, masa dan nyawa semata-mata mencari keredaan-Nya.

Soalan kelapan : Aku tak tahan dengan ujian ini!

(Sifat kelapan : Tidak pernah berputus asa daripada rahmat Allah)

Quran menjawab : "...dan janganlah kamu ber putus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa daripada rahmat Allah melainkan kaum yang kafir". (Surah Yusuf  ayat 12)

Orang mukmin tidak akan putus asa dengan rahmat Allah dan sentiasa bersabar dengan ujian yang melanda dirinya kerana sifat orang yang putus asa adalah sifat orang-orang kafir.

Soalan kesembilan : Sampai bila aku akan merana begini?

(Sifat kesembilan : Meyakini pertolongan Allah SWT akan datang untuk membatu orang-orang mukmin)

Quran menjawab : "Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan". (Surah al-Insyirah ayat 5-6)

Benar apa yang dijelaskan oleh al-Quran bahawa setiap kesusahan itu akan ada kebahagiaan . Allah SWT. Maha Adil dan tidak pernah menganiaya hamba-hamba-Nya dan akan sampai pula masanya Dia akan memberi pertolongan dan memberi kemudahan. Ingatlah bahawa pertolongan Allah SWT. cukup dekat bila kita baik sangka dengan-Nya.

Sahabat yang dimuliakan,
Begitulah sembilan soalan dan semuanya telah diberi jawapan oleh al-Quran kerana sesungguhnya al-Quran adalah mukjizat daripada Allah SWT kepada semua hamba-hamba-Nya. Apabila kita dapat memahami hikmah dibalik semua kejadian di dunia ini, maka hati kita akan menjadi tenang dan yakin dengan janji-janji Allah SWT. yang dinyatakan-Nya di dalam al-Quran.

Firman Allah maksudnya : "Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Loh mahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah ". (Surah  Al-Hadid ayat 22)

Dalam ayat yang lain Allah berfirman maksudnya : "Tidak luput darpada pengetahuan Tuhanmu biarpun sebesar zarah di bumi atau pun di langit. Tidak ada yang lebih kecil dan tidak (pula) yang lebih besar daripada itu melainkan (semuanya tercatat) dalam kitab yang nyata (Loh mahfuz). " (Surah Yunus ayat 61)



699. Soalan : Ustaz adalah kita di larang membunuh semut gatal di dalam rumah? dan bagaimana yang dikatakan belajar al-Quran bersanad?


Jawapan : 

Semut yang hidup di luar rumah haram di bunuh kerana ianya tidak menganggu kita dan dia hidup bersama umatnya sendiri. Tetapi semut gatal yang berada di rumah yang menganggu tuan rumah (gigitannya bisa) harus di bunuh dengan racun serangga (penyembur ). Boleh membunuhnya jika membahayakan kesihatan dan keselamatan. Boleh menggigit anak-anak kecil. Untuk mengelakkan semuat merah yang bisa dengan meletakkan racun semut di penjuru rumah.
 

Dari Ibnu Abbas r.a, bahawa Rasulullah S.A.W melarang membunuh 4 binatang yakni semut, lebah, burung hud-hud dan burung Surrah (Hadith Riwayat Abu Daud dgn rangkaian perawi yg tsiqah)

Tarjih:


Dari dalil hadis-hadis ini, para fuqaha mengeluarkan beberapa hukum. Ulama mengklasifikasikan bahawa semut yg dimaksudkan itu ialah semut yang besar seperti semut yg disebut oleh Nabi Sulaiman a.s.. Semut yg besar dilarang dibunuh tanpa ada alasan yg munasabah. Manakala semut yg kecil diharuskan bunuh. Fuqaha Maliki memakruhkan perbuatan membunuh semut dengan alasan yg tidak munasabah. Ini diasaskan kepada kaedah fiqh “semua yang menimbulkan bahaya (madharat) harus dihilangkan”. Sekiranya semut itu membahayakan / memudaratkan kesihatan, diharuskan ia dibunuh.



Semua doa-doa yang mashur daripada Nabi SAW berdasarkan hadis-hadis sahih boleh terus di amalkan kerana Nabi SAW sendiri telah mengijazahkan atau menyampaikan kepada para sahabat dan para sahabat pula telah menyampaikan daripada satu generasi kepada satu generasi sehinggalah sampai kepada kita. Dalam usaha kita mendalami ilmu Islam berguru adalah penting kerana guru akan menyampaikan ilmu dan menghuraikan secara ilmu mengikut kaedah-kaedah yang betul yang lengkap untuk kita faham, terima dan amalkan pula. Begitu juga bacaan al-Quran sebaik-baik pengajian al-Quran bermusyafahah, perlu bertalaggi dan bersanad . Bersanad maksudnya daripada satu guru ke guru lain yang  di kenali untuk menerima kaedah bacaan al-Quran.

Dalam kitab Shahihnya, Imam Al-Bukhari meriwayatkan sebuah hadis dari Hajjaj bin Minhal dari Syu’bah dari Alqamah bin Martsad dari Sa’ad bin Ubaidah dari Abu Abdirrahman As-Sulami dari Utsman bin Affan radhiyallahu Anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu Alaihi wa Sallam bersabda :


" خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ الْقُرْآنَ وَعَلَّمَهُ"
 

Maksudnya, “Sebaik-baik kalian adalah orang yang belajar Al-Qur`an dan mengajarkannya.”

Masih dalam hadis riwayat Al-Bukhari dari Utsman bin Affan, disebutkan bahawa Nabi Shallallahu Alaihi wa Sallam bersabda :


"إِنَّ أَفْضَلَكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ الْقُرْآنَ وَعَلَّمَهُ"
 

Maksudnya, “Sesungguhnya orang yang paling utama di antara kalian adalah yang belajar Al-Qur`an dan mengajarkannya.”


700. Soalan : ustaz....saya nak tanya...blehkah buat kenduri kahwin (anak nak kahwin...akad nikah dah seblum arwah suami meninggal)di rumah saya sedangkan suami saya baru saja meninggal dunia bermakna saya masih dalam iddah....tolong ustaz beri pencerahan...trima kasih....


Jawapan : 

Isteri yang kematian suami iddahnya adalah 4 bulan 10 hari , dia sedang berkabung dan banyak larangan-larangan wanita yang sedang iddah kerana kematian suami maka sebaik-baiknya di tangguhkan majlis walimatul urus selepas habis iddah. Jika akad nikah sudah berlangsung maka jika di lewatkan sikit majlis walimatul urus tidak menjadi masalaah. Selepas habis iddah boleh di jalankan tetapi jiak belum habis jangan di jalankan majlistersebut. 

Batasan Hukum Semasa Dalam Tempoh `Iddah Kematian Suami

1. Bagi wanita yang ber`iddah kerana kematian suami,Islam telah menggariskan cara-cara tertentu sepanjangmereka berada dalam tempoh tersebut. Antara perkara-perkara yang mesti dipatuhi oleh mereka ialah:

a. Haram menerima pinangan lelaki ajnabi.

b. Haram berkahwin dengan lelaki ajnabi. Jika perkahwinan dilangsungkan juga semasa dalam tempoh tersebut, pernikahan itu adalah tidak sah dan pasangan tersebut wajib dipisahkan.

c. Tidak dibenarkan keluar rumah termasuk untuk bermusafir, kecuali dalam had dan batas yang diperlukan sahaja. Antara keperluan penting yang membolehkan keluar rumah ialah untuk bekerja, mendapatkan rawatan perubatan, membeli barang-barang keperluan asasi (sekiranya tidak ada ahli keluarga atau orang lain yang amanah boleh melakukannya) dan keperluan-keperluan lain yang penting dan mendesak, dengan syarat mereka dapat menjaga peraturan dan adab-adab seperti yang disyariatkan Islam. 


Keharusan untuk keluar rumah ini juga hanya tertakluk pada waktu siang dan tidak pada waktu malam. Namun, pengecualian diberikan kepada individu yang tidak mempunyai pilihan dan perlu bekerja pada waktu malam seperti doktor, jururawatdan sebagainya. Bagi larangan bermusafir, ia termasuk larangan untuk menunaikan ibadat fardu haji dan umrah.

d. Berpindah atau tinggal di rumah lain yang bukan menjadi kebiasaannya tinggal sepanjang tempoh perkahwinan. Namun, sekiranya terdapat bahaya dan kemudaratan yang boleh mengancam keselamatan nyawa dan harta benda seperti banjir, tanah runtuh, gempa bumi dan sebagainya, mereka dibolehkan keluar dan meninggalkan rumah tersebut sehinggalah bahaya atau kemudaratan tersebut hilang atau dapat diatasi.

e. Wajib berkabung sepanjang tempoh `iddah. Oleh itu, sepanjang dalam tempoh tersebut, mereka wajib meninggalkan semua perkara yang mempunyai unsur-unsur berhias sama ada pada pakaian atau tubuh badan. Termasuk dalam larangan berhias ini ialah:

i. Memakai pakaian berwarna terang atau berwarna-warni yang boleh menarik perhatian orang yang memandang;

ii. Memakai barang-barang kemas walaupun sebentuk cincin, gelang, rantai dan barang-barang perhiasan lain yang diperbuat daripada emas, perak dan permata;

iii. Memakai wangi-wangian pada anggota badan, rambut dan pakaian; dan

iv. Bersolek, memakai celak, berinai dan memakai minyak rambut serta perbuatan-perbuatan lain yang dianggap sebagai berhias pada pandangan masyarakat setempat.

2. Perintah berkabung ini hanya dikhususkan kepada suruhan meninggalkan hiasan tubuh badan dan pakaian sahaja, tidak termasuk hiasan tempat tinggal, bilik tidur dan sebagainya.
 

3. Justeru, walaupun wanita berkabung dilarang daripada berhias, ini tidak bermakna mereka perlu mengabaikan aspek kebersihan dan kesihatan diri serta ahli keluarga. Malah, mereka wajib menjaga kebersihandan kekemasan diri, pakaian dan tempat tinggal sepanjang tempoh `iddah dan berkabung itu.

Perhatian : Semua majlis kenduri-kendara contohnya malis walimatul urus anak, kenduri arwah, rumah terbuka di tangguhkan untuk seketika semasa iddah 4 bulan 10 hari.


Wasiat yang bertentangan dengan syarak maka tak wajib di patuhi, mungkin kerana arwah suami sendiri tak tahu bila ajal akan datang dan bila kematian menjemputnya maka isteri akan terikat dengan masa iddah. Maka patut ditangguhkan majlis tersebut kerana di halang dengan berkabung untuk wanita yang kematian suaminya selama 4 bulan 10 hari. Wallahu a'lam.



No comments:

Post a Comment