Monday, September 8, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 149 (Zakat Emas Perhiasan, Hukum Cederakan Kucing, Merawat Santau (ayat al-Quran), Doa Yang Di Baca Selepas Tahyat Akhir Sebelum Salam Dan Cara Beristinjak.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sahabat yang dirahmati Allah,    
Tanyalah Ustaz Siri 149 adalah menjelaskan persoalan zakat emas perhiasan, hukum cederakan kucing, merawat santau (ayat al-Quran), doa yang di baca selepas tahyat akhir sebelum salam dan cara beristinjak.

701. Soalan :   Adakah emas yang selalu dipakai kena bayar zakat  ke? Orang kata emas yang tak di pakai dan yang disimpan tu je yang kena zakat?

Jawapan : 

Emas yang tersimpan jika cukup masa dan nisabnya wajib di zakatkan 2.5%. Tetapi emas yang dipakai setiap negeri berbeza ikut urif masing-masing jika cukup uruf maka baru di kenakan zakat tetapi jika tak cukup uruf maka tak wajib zakat. Zakat emas yang dipakai (sebagai perhiasan)

Emas yang dipakai (sebagai perhiasan) walaupun sekali dalam tempoh setahun tidak wajib dikeluarkan zakat ke atasnya. Tetapi jika ia melebihi ‘uruf’ (uruf merujuk kepada nilai kebiasaan pemakaian emas bagi wanita di sesebuah tempat), maka ia diwajibkan zakat dengan kadar 2.5% atas lebihan daripada nilai uruf. Nilai yang diambil kira adalah nilai semasa emas sahaja iaitu tidak termasuk batu permata.

Contoh: Jika anda bermastautin di Wilayah Persekutuan maka kadar uruf adalah 150 gram emas. (jika anda bermastautin di negeri lain, sila rujuk kadar uruf bagi negeri anda di bawah)

Contoh: Berat emas yang dipakai ialah 250 gram

Berat Emas yang layak dizakatkan adalah:

= 250 gram – 150 gram (uruf)

= 100gram

Zakat yang wajib dibayar = 2.5% x (100 gram x harga semasa)

(andaian harga emas semasa RM157.00 / gram)

= 2.5% x (100 gram x RM157.00)

= RM392.00

Nilai uruf bagi negeri-negeri di Malaysia.

Berikut adalah nilai uruf bagi negeri-negeri di Malaysia.

Uruf emas bagi negeri Kedah adalah 150 gram.
Uruf emas bagi negeri Perlis adalah 170 gram
Uruf emas bagi negeri Pulau Pinang adalah 165 gram
Uruf emas bagi negeri Melaka adalah RM5000
Uruf emas bagi negeri Johor adalah 850 gram
Uruf emas bagi negeri Sembilan adalah 200 gram
Uruf emas bagi negeri Selangor adalah 800 gram
Uruf emas bagi Wilayah Persekutuan adalah 150 gram
Uruf emas bagi negeri Kelantan : tiada uruf
Uruf emas bagi negeri Terengganu adalah 850 gram
Uruf emas bagi negeri Pahang adalah 200 gram
Uruf emas bagi negeri Perak adalah 500 gram
Uruf emas bagi negeri Sabah adalah RM5000
Uruf emas bagi negeri Sarawak adalah 775 gram
(Sumber: Laporan kajian penetapan uruf emas pakai negeri Pahang Darul Makmur)


Emas yang di simpan jika cukup nisab dan cukup tempuh setahun Hijrah maka wajib di zakatkan 2.5%.

702. Soalan : Apakah hukumnya seseorang memukul kucing sehingga cedera parah kerana mencuri ikan di pasar?

Jawapan : 

Kucing lapar tak makan maka ia mencuri kerana nak hilangkan kelaparannya maka berdosa kita memukulnya. Jika kita redha apa yang kucing tersebut makan itu di kira sebagai sedekah kita kepada haiwan yang kelaparan.

Bukhari meriwayatkan dari Ibnu Umar dari Nabi SAW bersabda, yang ertinya: “Seorang wanita masuk neraka kerana seekor kucing yang diikatnya. Dia tidak memberinya makan dan tidak membiarkannya makan serangga bumi.”Dalam riwayat Bukhari, “Seorang wanita disiksa kerana seekor kucing yang dia kurung sampai mati. Dia masuk neraka kerabanya. Dia tidak memberinya makan dan minum sewaktu. mengurungnya. Dia tidak pula membiarkannya dia makan serangga bumi.”

Rasulullah SAW telah melihat wanita yang mengikat kucing ini berada di neraka manakala baginda melihat syurga dan neraka pada solat gerhana. Dalam Shahih Bukhari dari Asma binti Abu Bakar bahwa Rasulullah SAW bersabda, yang ertinya: “Lalu neraka mendekat kepadaku sehingga aku berkata, ‘Ya Rabbi, aku bersama mereka?’ Aku melihat seorang wanita. aku menyangka wanita itu diserang oleh seekor kucing. Aku bertanya, ‘Bagaimana ceritanya?’ Mereka berkata, ‘Dia menahannya sampai mati kelaparan. Dia tidak memberinya makan dan tidak pula membiarkannya mencari makan.” Nafi’ berkata, “Menurutku dia berkata, ‘Mencari makan dari serangga bumi.”

Muslim meriwayatkan dari Jabir hadis Rasulullah SAW yang melihat seorang wanita yang mengikat kucing berada di neraka. Di dalamnya terdapat keterangan bahawa wanita itu berasal dari Bani Israil. Dalam riwayat lain disebutkan bahawa wanita itu berasal dari Himyar.

TAKHRIJ HADIS


Hadis tentang kucing dalam Sahih Bukhari dalam Kitab Bad’il Khalqi, bab”Jika lalat jatuh ke dalam bejana salah seorang dari kalian” (VI/356), no. 3318. Dan dalam Kitab Ahaditsil Anbiya’, no. 3482. Dan dalam Kitabul Musaqah, bab keutamaan memberi minum, 5/41, no. 2365.


Hadis ini diriwayatkan oleh Muslim dalam Shahih-nya dari Abu Hurairah dan Abdullah bin Umar dalam Kitabus Salam, bab ”Diharamkannya membunuh kucing” (4/1760, no. 2242-2243).


Hadis tentang Rasulullah SAW melihat seorang wanita yang mengikat kucing diriwayatkan oleh Bukhari dalam Sahih-nya dalam Kitabul Adzan dan Asma’ binti Abu Bakar (2/231, no. 745) dan Kitabul Musaqah Abdullah, keutamaan memberi minum air (5/41) no. 2364.


Adapun riwayat Muslim tentang Rasulullah SAW melihat wanita yang menyiksa kucing terdapat dalam Kitabul Kusuf, bab apa yang diperlihatkan kepada Rasulullah dalam shalat Kusuf, 2/622, no. 904.

PENJELASAN HADIS

Ini adalah kisah wanita Himyariyah Israiliyah yang mengurung seekor kucing, tetapi dia tidak memberinya makan dan minum hingga kucing itu mati kerana kelaparan dan kehausan. Ini menunjukkan kerasnya tabiat wanita itu, betapa buruk akhlaknya, serta tiadanya belas kasih di hatinya. Dia sengaja menyakiti. Jika di hatinya terdapat belas kasih, nescaya dia melepaskan kucing itu. Dan sepertinya dia mengurungnya sepanjang siang dan malam. Ia merasakan haus dan lapar dengan suara yang memelas meminta bantuan dan pertolongan. Suara dengan ciri tersendiri yang dikenal oleh orang-orang yang mengenal suara. Akan tetapi, hati wanita ini telah membatu dan tidak terketuk oleh suara pilu kucing itu. Dia tidak menghiraukan harapan dan impiannya. Suara itu melemah, lalu seterusnya menghilang. Kucing itu mati. Ia mengadu kepada Tuhannya tentang kezaliman manusia yang hatinya keras dan membatu.

Jika wanita ini ingin agar kucing ini tetap di rumahnya, dia mungkin saja memberinya makan dan minum yang boleh menjaga hidupnya. Rasulullah SAW telah menyampaikan kepada kita bahawa kita meraih pahala dengan berbuat baik kepada binatang. Jika dia enggan memberinya makan yang menjaganya dari hidup, maka dia harus melepasnya dan membiarkannya bebas di bumi Allah yang luas. Ia pasti mendapatkan makanan yang boleh menjaga hidupnya. Lebih-lebih, Allah telah menyediakan rezeki bagi kucing tersebut dari sisa-sisa makanan orang, begitu pula serangga-serangga yang ditangkapnya.

Perbuatan ini telah mencelakakan wanita tersebut, sehingga dia masuk neraka. Rasulullah SAW melihat kucing itu memburu wanita yang menahannya di neraka. Bekas-bekas cakaran tergores di wajah dan tubuhnya. Beliau melihat itu manakala syurga dan neraka diperlihatkan kepadanya pada saat solat gerhana.

PELAJARAN-PELAJARAN DAN FAEDAH-FAEDAH HADIS


1. Besarnya dosa orang-orang yang menyiksa binatang dan menyakitinya dengan memukul dan membunuh. Wanita ini masuk neraka kerana dia menjadi sebab kematian seekor kucing.


2. Boleh menahan binatang seperti kucing, burung, dan sebagainya, jika diberi makan dan minum. Jika tidak mampu atau tidak mahu, maka hendaknya melepaskannya dan membiarkannya pergi di bumi Allah yang luas untuk mencari rzekinya sendiri.


3. Di Akhirat, manusia diazab sesuai dengan perbuatannya di dunia. Wanita ini diserang oleh seekor kucing di neraka dengan mencakari tubuhnya.


Peniaga yang memukul kucing sehingga cedera parah mendapat dosa besar . Jika kucing tersebut mati (akibat cedera tersebut) atau tak boleh makan dengan sempurna kerana sudah tak ada gigi peniaga itu akan tanggung dosa tersebut. Allah SWT tak akan memberi rahmat kepada seseorang yang tidak mengasihi binatang sehingga dia sanggup pukul sehingga cedera parah.

703. Soalan :   Ustaz..saya nak tanya.baru-baru ni saya ada baga vedio ni pada kawan saya bagi merawat penyakit yang dihidapinya.bila dia baca ayat yang terkandung dalam video tersebut kawan saya  muntah darah. Boleh ustaz terangkan  apa yang sebenarnya yang terjadi..?

Jawapan : 

Muntah yang terjadi itu di sebabkan beliau termakan barang santau atau di hantar oleh bomoh yang menggunakan khidmat jik kafir dan syaitan ke dalam badannya tanpa di sedarinya. Apabila pesakit tersebut berdoa minta di keluarkan apa saja yang ada di dalam perutnya maka dengan izin Allah SWT barang kotortersebut keluar dan kesan luka di dalammulut atau perutnya yang menyebabkan muntah darah. Atau darah beku sudah ada di dalam perutnya maka bila jin tersebut keluar maka darah itu pun ikut keluar sama.

Apabila kita niat nak berubat dengan ayat al-Quran, surah al-Anbiya ayat 83 dan baca doa jika di dalam diri kita ada santau atau sihir dengan izin Allah boleh keluar semua santau atau sihir yang di hantar ke dalam perut kita.

Firman Allah SWT maksudnya, "dan (ingatlah kisah) Ayub, ketika ia menyeru Rabbnya: ` (Ya Rabbi), sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Rabb Yang Maha Penyayang di antara semua penyayang.`(Surah al-Anbiya ( 21) ayat 83)

Tafsir Surah Al Anbiyaa' 83.


وَأَيُّوبَ إِذْ نَادَى رَبَّهُ أَنِّي مَسَّنِيَ الضُّرُّ وَأَنْتَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ (83)
 

Dengan ayat ini Allah SWT. mengingatkan Rasul-Nya dan umat Muslimin kepada kisah Nabi Ayub a.s. yang ditimpa suatu penyakit yang berat sehingga berdoa memohon pertolongan Tuhannya untuk melenyapkan penyakitnya itu, kerana ia yakin bahwa Allah SWT. adalah Rabb Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Walaupun berbeda-beda riwayat yang diperoleh tentang Nabi Ayub, baik mengenai peribadinya, masa hidupnya dan macam penyakit yang dideritanya, namun ada hal-hal yang dapat dipastikan tentang dirinya, iaitu bahawa dialah seorang hamba Allah yang soleh, telah mendapat cubaan dari Allah SWT, baik mengenai harta benda, keluarga, dan anak-anaknya, mahupun cobaan yang menimpa dirinya sendiri. Dan penyakit yang dideritanya adalah berat. Meskipun demikian semua cubaan itu dihadapinya dengan sabar dan tawakal serta memohon pertolongan dari Allah SWT. dan sedikitpun tidak mengurangi keimanan dan ibadahnya kepada Allah SWT.


704. Soalan : Apakah doa-doa yang baik di baca selepas tahyat akhir sebelum salam?

Jawapan : 

Amalakan 10 Doa Mustajab Selepas Tahyat Akhir Sebelum Salam.

Dari Ibn Masud Nabi SAW bersabda maksudnya : "Kemudian (selepas tasyahhud akhir) hendaklah memilih daripada doa-doa yang paling dikaguminya". (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
.
Ada beberapa doa yang boleh dibaca selepas tahiyyat akhir sebelum memberi salam dalam solat. Ini berdasarkan beberapa hadis sahih yang diriwayatkan oleh perawi hadis yang juga merupakan sahabat Nabi Muhammad SAW.
Berikut adalah doa-doa tersebut :

1) Doa mohon perlindungan daripada azab neraka., azab kubur, fitnah kehidupan dan kematian dan fitnah dajjal.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ ،
وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّال

Maksudnya, "Ya Allah! Aku berlindung denganMu daripada azab neraka jahanam, daripada azab kubur, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada kejahatan fitnah dajjal." (Hadis Riwayat Muslim)

2) Doa ini sangat baik diamalkan jika kita ada masaalah hutang :

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَفِتْنَةِ الْمَمَاتِ ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْمَأْثَمِ وَالْمَغْرَمِ

Maksudnya, "Ya Allah! Aku berlindung denganMu daripada azab kubur, aku berlindung denganMu daripada fitnah Dajjal, aku berlindung denganMu daripada fitnah kehidupan dan kematian. Ya Allah! Aku berlindung denganMu daripada dosa dan hutang." (Hadis Riwayat Bukhari)

3) Doa yang ini amat baik untuk melupuskan sifat mazmumah yang ada pada diri kita. :

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ مِنَ الْبُخْلِ، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنَ أَنْ أُرَدَّ إِلَى أَرْذَلِ الْعُمْرِ، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنَ فِتْنَةِ الدُّنْيَا وَعَذَابِ الْقَبْرِ.

Maksudnya, “Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari bakhil, aku berlindung kepadaMu dari penakut, aku berlindung kepadaMu dari dikembalikan ke usia yang terhina, dan aku berlindung kepadaMu dari fitnah dunia dan siksa kubur. (Hadis Riwayat Bukhari)

4) Doa mohon di ampunkan dosa yang terdahulu.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي مَا قَدَّمْتُ وَمَا أَخَّرْتُ وَمَا أَسْرَرْتُ وَمَا أَعْلَنْتُ وَمَا أَسْرَفْتُ وَمَا أَنْتَ أَعْلَمُ بِهِ مِنِّي, أَنْتَ الْمُقَدِّمُ وَأَنْتَ الْمُؤَخِّرُ, لاَ إِلهَ إِلاَّ أَنْت

Maksudnya: "Ya Allah, ampunilah bagiku dosa-dosa yang terdahulu, yang terkemudian, yang aku rahsiakan, yang aku nyatakan, yang aku melampau, dan yang Engkau lebih mengetahui daripadaku tentangnya. Engkaulah yang mendahulukan dan mengemudiankan sesuatu, tiada illah sebenar melainkan Engkau." (Hadis Riwayat Muslim no. 1762).

5) Doa mohon ampun kerana menzalimi diri sendiri.

اللَّهُمَّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي ظُلْماً كَثِيراً وَلاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلاَّ أَنْتَ. فَاغْفِرْ لِي مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ وَارْحَمْنِي، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: "Ya Allah, sesungguhnya aku telah menzalimi diriku dengan kezaliman yang banyak. Tiada sesiapa yang dapat mengampunkan dosa-dosa melainkan Engkau, maka ampunilah bagiku dengan keampunan dariapda-Mu dan rahmatilah aku. Sesungguhnya Engkau maha pengampun lagi maha penyayang." (Hadis Riwayat Bukhari no. 6181 dan Muslim no. 6819).

6) Doa yang amat baik untuk memohon Allah jadikan kita hambaNya yang bersyukur dan sentiasa mengingatiNya :

اَللَّهُمَّ أَعِنِّيْ عَلَى ذِكْرِكَ، وَشُكْرِكَ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ.

Maksudnya, “Ya Allah! Berilah pertolongan kepadaku untuk mengingati-Mu, bersyukur kepadaMu dan ibadah yang baik untukMu" (Hadis Riwayat Abu Daud dan Nasaie)

7). Doa ini untuk memohon Allah mudahkan urusan hisab / perbicaraan kita di mahkamah Allah di akhirat nanti.

اللهم حَاسِبْنِي حِسَابًا يَسِيرَا

Maksudnya, "Ya Allah! Hitunglah aku dengan perhitungan yang mudah." (Hadis Riwayat Ahmad)

8) Doa ini adalah doa taubat. sesuai sangat dibaca selepas membaca tahiyyat akhir dalam solat taubat.

اللَّهُمَّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي ظُلْمًا كَثِيرًا وَلَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ ، فَاغْفِرْ لِي مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ ، وَارْحَمْنِي إِنَّك أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya, "Ya Allah! Sesungguhnya aku telah banyak menzalimi diriku sendiri. Tiada yang dapat mengampunkan dosa-dosa kecuali Engkau, maka ampunilah diriku dengan keampunan yang Engkau miliki. Rahmatilah aku. Sesungguhnya Maha Pengampun dan Penyayang.(Hadis Riwayat Bukhari)

9) Doa mohon ampun dosa

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ يَا اللَّهُ الْأَحَدُ الصَّمَدُ الَّذِي لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ ، أَنْ تَغْفِرَ لِي ذُنُوبِي إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya, "Ya Allah! Aku memohon kepada Mu. Ya Allah Yang Maha Esa Yang… Yang Tidak Melahirkan dan Tidak Dilahirkan, dan tidak ada yang setara dengannya, Engkau ampunilah dosa-dosaku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan Penyayang (Hadis Riwayat Abu Daud)

10. Doa memohon dimasukkan ke syurga dan diselamatkan dari neraka

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ الْجَنَّةَ وَأَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ

Maksudnya, “Ya Allah! Sesungguhnya aku mohon kepada-Mu, agar dimasukkan ke Syurga dan aku berlindung kepada-Mu dari Neraka." (Hadis Riwayat Abu Daud)

Semoga perkongsian ini menjadi asbab kita semua mendapat redha dan rahmat Allah SWT dan terlepas dari siksa kubur, siksa mahsyar semasa hisab dan siksa neraka.


705. Soalan : Boleh jelaskan cara istinjak yg mengikut syariat...bagi lelaki di luar sahaja dan wanita?

Jawapan : 

Tip-tip untuk lelaki dan wanita :

Bahawa Nabi SAW melalui dua buah kubur, ketika itu baginda berkata; "kedua-dua orang ini (yang ada dalam kubur itu) diseksa oleh Allah. Yang seorang diseksa kerana mengumpat orang dan yang seorang lagi diseksa kerana tidak beristinjak selepas buang air kecil." (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Daripada Abi Qatadah ra daripada Nabi SAW bersabda :

“Apabila seseorang kamu kencing, maka janganlah ia mengambil (memegang) zakarnya dengan tangan kanannya dan jangan ia beristinjak dengan tangan kanannya.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Untuk kaum lelaki ulama mencadangkan :

1) Apabila lepas membuang air kecil, di galakkan berdehem dua atau tiga kali supaya air kencing dipastikan keluar kesemuanya.

2) Lepas itu urutlah batang dari pangkal ke hujung beberapa kali sehingga tiada lagi air kencing yang berada dalam saluran. Kemudian basuhlah dengan air sesucinya.


3) Untuk membasuh ketika buang air besar maka basuhkah sehingga hilang bau, rasa dan warna. Jika boleh menggunakan sabun adalah lebih baik.


Untuk kaum wanita pula ;

1) Apabila membasuh kemaluannya, pastikan dicucikan bahagian dalam dengan menjolok sedikit dengan jari dan dipusing-pusingkan semasa dilalukan air bersih.

2) Janganlah dengan hanya menyimbahkan air semata-mata. Jika dengan melalukan air sahaja ia tidak membersihkan bahagian dalam kemaluan wanita yang berbibir-bibir itu.

Semoga dapat sama-sama kita mengamalkan perkara ini dalam kehidupan seharian kita.



No comments:

Post a Comment