Sunday, September 7, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 146 (Menangis Ketika Solat, Membaca Talkin, Hukum Menyambut Maulidir Rasul, Solat Menghadap Kiblat Dan Konsep Kalimah Laa ilaaha illallah.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sahabat yang dirahmati Allah,    
Tanyalah Ustaz Siri 146 adalah menjelaskan persoalan menangis ketika solat, membaca talkin, hukum menyambut Maulid irrasul, solat menghadap kiblat dan konsep kalimah  laa ilaaha illallah.

686. Soalan : Apakah hukumnya semasa solat menangis ketika membaca al-Quran?

Jawapan : 

Diharuskan menangis dalam solat kerana takutkan Allah SWT, takut akan seksanya serta takut amalan tidak diterima oleh-Nya. Ia merupakan sifat ahli takwa, yang sentiasa mendambakan keredaan dah kasih sayang-Nya yang Maha Agung.

Tidak semua kita yang mampu mengalirkan air mata dalam solat. Malahan hanya sedikit yang menangis dalam solat. Tangisan dalam solat sangat bermakna di hadapan Allah SWT.

Menangis dalam solat adalah antara ciri orang yang beriman kepada Allah SWT, firman-Nya yang bermaksud: ...apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat (Allah) Ar-Rahman, mereka segera sujud serta menangis. (Surah Maryam ayat 58)

Abdullah bin Syirkhir berkata yang bermaksud: "Aku melihat Rasulullah SAW mendirikan solat mendirikan solat sambil baginda teresak-esak bagaikan dadanya terdapat air yang sedang mendidih di dalam cerek". (Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud, Nasaie, dan al-Tirmidzi)

Begitulah apa yang digambarkan oleh para sahabat nabi SAW dalam memperakui sikap baginda dalam solat. Pernah juga diriwayatkan dalam beberapa athar bahawa tempat sujud baginda akan basah dek tangisan baginda dalam sujud. Baginda berpesan agar pembaca al-Quran itu menangis, kalau tidak boleh menangis buat-buatlah menangis.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Bacalah al-Quran serta menangis ketika membacanya, jika kamu tidak dapat menangis maka buat-buatlah menangis. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam banyak keadaan para sahabat menangis bersama Rasulullah SAW sama ada dalam solat, membaca al-Quran mahupun dalam keadaan umat Islam terhimpit dalam kesusahan. Ringkasnya, air mata, Rasulullah SAW dan para sahabat tidak dapat dipisahkan daripada al-Quran.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu kitab suci al-Quran yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), Yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); Yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah. Kitab suci itulah hidayah petunjuk Allah; Allah memberi hidayah petunjuk dengan Al-Quran itu kepada sesiapa Yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya); dan (ingatlah) sesiapa Yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepada-Nya. (Surah al-Zumar ayat 23)

Ibn Kathir ketika mentafsirkan ayat ini menjelaskan bahawa di antara sifat-sifat al-abrar adalah mereka yang memiliki sifat-sifat yang dimiliki oleh para sahabat antaranya; apabila dibacakan ayat-ayat Allah (al-Quran) kulit badan mereka bergementar, kemudian menjadi luluh bersama kalbunya untuk berzikir kepada Allah SWT.

Mereka tidaklah berteriak seperti kena hasutan dan menangis yang dibuat-buat, akan tetapi mereka memiliki ketegaran, keteguhan dan kesopanan dan rasa takut yang tidak akan ada menyamai sifat seperti itu.

Oleh sebab itulah mereka beroleh kepujian yang sangat tinggi di sisi Allah SWT. (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-'Azim, jld: 4, hlm: 51)

Tidak semudah yang disangka bagi air mata mengalir di dalam mengenang nasibnya di hadapan Rabbul Jalil. Seseorang yang menangis di dalam solat kerana Allah SWT maka solatnya tidak batal selagi mana tangisannya tidak mengeluarkan suara yang kuat, seperti meraung sehingga mengganggu orang lain atau didengari oleh orang lain. Wallahu a'lam

687. Soalan : Apakah hukumnya membaca talkin untuk mereka yang telah meninggal dunia?

Jawapan : 

Talqin - Raudhatuth Tholibin

Amalan membaca talqin setelah mayat dikebumikan adalah satu amalan yang diterima sebagai sunnat atau mustahab dalam mazhab Syafi'i. Dan amalan ini telah diamalkan oleh umat Islam di Nusantara ini sejak awal kemasukan Islam lagi, tanpa ada yang mempertikaikannya atau menolaknya. Maka kenapa kini amalan sebegini dijadikan sasaran untuk menghukum orang lain sebagai pelaku bid'ah yang tidak mengikuti sunnah? 

Jika pun tidak mahu bertalqin, maka sewajarnya berlapang dadalah kerana ianya termasuk dalam bab khilafiyyah pada furu', di mana dalam mazhab Syafi'i ianya adalah sesuatu yang dihukumkan sebagai sunnat atau mustahab. Imam an-Nawawi rhm. menulis dalam kitab "Raudhatuth Tholibiin" seperti berikut:- ... Dan mustahab hukumnya mentalqinkan mayyit setelah dikebumi. 

Maka dikatakan: "Wahai hamba Allah anak hamba perempuan Allah, ingatlah dengan apa yang atasnya engkau keluar meninggalkan dunia, iaitu penyaksian bahawa tiada Illah selain Allah dan bahawasanya Nabi Muhammad pesuruh Allah. Sesungguhnya syurga itu benar, neraka itu benar, kebangkitan itu benar, hari kiamat pasti datang tanpa keraguan, dan Allah akan membangkitkan sesiapa sahaja dari kubur. Sesungguhnya engkau telah redha Allah sebagai Rab, Islam sebagai agama dan Nabi Muhammad SAW. sebagai nabi, al-Quran sebagai panutan, ka'bah sebagai qiblat dan kaum mukminin sebagai saudara". Telah warid dengannya hadits Junjungan Nabi SAW.

Selanjutnya Imam an-Nawawi meneruskan lagi:- Inilah talqin yang dihukumkan mustahab oleh perhimpunan daripada sahabat kami (yakni para ulama asy-Syafi'iyyah), antara mereka adalah al-Qadhi Husain, Shohibut Tatimmah, Syaikh Nashr al-Maqdisi dalam kitabnya "at-Tahdzib" dan selain mereka. Qadhi Husain telah menukilkan bahawa secara mutlak di sisi ulama Syafi'i, membaca talqin ini adalah mustahab . 

Dan adapun hadits yang datang mengenai hukum talqin ini adalah dhoif, akan tetapi hadits-hadits (dhoif) berkaitan keutamaan (fadhoil) adalah tidak mengapa untuk diamalkan di sisi ahli ilmu daripada kalangan muhadditsin dan selain mereka. Dan telah diperkukuhkan hadits mengenai talqin ini dengan kesaksian beberapa hadits yang shohih, seperti hadits : "Mohonlah kepada Allah baginya (yakni bagi si mati) akan ketetapan (yakni ketetapan dalam menjawab fitnah kubur)," dan wasiat Sayyidina 'Amr bin al-'Aash: "Berdirilah kamu di sisi kuburku (walaupun hanya) selama kadar menyembelih seekor sembelihan dan membahagi-bahagi dagingnya, sehingga aku dapat merasakan ketenangan dengan kalian dan aku mengetahui dengan apa akan aku kembalikan utusan-utusan Tuhanku (yakni Munkar dan Nakir)", sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam shohihnya. Sentiasalah penduduk Kota Syam beramal dengan amalan talqin ini sejak zaman permulaan Islam lagi, iaitu zaman di mana orang-orangnya dijadikan ikutan. 

Maka berkata para sahabat kami (yakni ulama Syafi'i): " Dan duduklah orang yang membaca talqin itu di sisi kepala kuburan si mati, dan adapun anak kecil yang belum baligh dan seumpamanya, maka tidaklah ditalqinkan."

Oleh itu, janganlah memandang remeh urusan talqin mayyit setelah dikubur. Ianya adalah amalan yang punya dalil dan asas dalam Mazhab Syafi'i. Bukan hanya kita di Malaysia yang bertalqin zaman berzaman, Imam an-Nawawi rahimahullah telah menyatakan bahawa umat Islam di Kota Syam turut mengamalkannya sejak dahulu lagi. Jauhilah sikap mempersenda-sendakan amalan orang lain, apatah lagi jika ianya yang punya dasar, dan diamalkan oleh para ulama dan awliya'.

Majlis Fatwa Negeri Sembilan : Negeri Sembilan Darul Khusus adalah negeri yang telah mewartakan fatwa berhubung talqin. Di mana dalam Warta Kerajaan Jil. 50 No. 19 bertarikh 11 September 1997 mewartakan fatwa berikut:-

1. Talqin hukumnya adalah sunat dan masa talqin itu ialah semasa ihtidar (hampir mati) dan atau selepas dikebumikan.

2. Semasa di dalam ihtidar (hampir mati) maka sunat diajarkannya mengucap kalimah syahadah iaitu La ilaha illallah dan bagi mayat yang telah dikebumikan maka dikata di sisi kuburnya, kata olehmu Tuhanku Allah, Agamaku Islam, Nabiku Muhammad S.A.W. hingga akhir talqin.

3. Mana-mana orang atau kumpulan orang adalah dilarang -

(a) membid'ahkan mana-mana orang lain yang membacakan talqin kepada mayat.

(b) memegang, mengamal atau mengajarkan bahawa bacaan talqin kepada mayat adalah dilarang.

(c) menyiar, menyebar, menghebahkan atau mendedahkan dengan apa-apa cara pun bahawa bacaan talqin kepada mayat adalah dilarang.


4. Mana-mana orang Islam adalah dilarang menjadi anggota, pemimpin atau penyokong mana-mana orang atau kumpulan orang yang dilarang di dalam perenggan 3.

688. Soalan : Apakah hukum menyambut maulidurrasul ?

Jawapan : 

Pertama:

Al-Hadis bermaksud: Diringankan Abu Lahab pada tiap-tiap hari Isnin dengan sebab dia membebaskan hambanya Thaubiyah kerana menggembirakannya dengan kelahiran al-Mustafa S.A.W.

(Hadis Riwayat al-Bukhari). (kitab Fathul Bari Syarah Sahih Bukhari karangan Imam Ibnu Hajar al-Asqalani pada jilid 9 kitab al-Nikah muka surat 43 dan 48 ada menyatakan hadis seperti di atas.

Kitab Manhaj al-Salaf Fi Fahmi al-Nusus Bayan al-Nazariyyah Wa al-Tatbiq karangan al-Muhaddith Syeikh Dr. Al-Sayyid Muhammad bin al-Sayyid Alawi al-Maliki tidak ada bersama saya sekarang (kerana kawan saya pinjam) jadi saya tidak dapat menunjukkan muka surat kitab ini.

Namun kitab Mafahim Yajibu An Tusahhah karangan al-Muhaddith Syeikh Dr. Al-Sayyid Muhammad bin al-Sayyid Alawi al-Maliki juga ada menyatakan dan menerangkan perkara ini (status hadis ini) pada muka surat 255 dan 256.)

Kegembiraan seorang penentang Islam di atas kelahiran Rasulullah S.A.W. dapat meringankan siksanya di neraka pada setiap hari Isnin. Jika orang kafir yang di neraka juga diringankan siksanya kerana kegembiraan menyambut kelahiran baginda S.A.W. maka apatah lagi orang Islam yang bergembira dengan kelahiran Rasulullah S.A.W.

Kedua:

Rasulullah S.A.W. sendiri membesarkan hari kelahirannya serta mensyukuri segala nikmat pemberian Allah Taala ke atas baginda pada hari tersebut. Semua ini dilahirkan melalui ibadat puasa sunat baginda S.A.W. pada setiap hari Isnin.

Dari Abu Qatadah bermaksud: Sesungguhnya Rasulullah S.A.W. ditanya tentang puasa hari Isnin. Baginda menjawab: Padanya aku dilahirkan dan padanya diturunkan (al-Quran) ke atasku.
(Hadis Riwayat Muslim).

Ketiga:

Bergembira dengan Rasulullah S.A.W. adalah dituntut.

Firman Allah Taala bermaksud: Katakanlah dengan kelebihan Allah dan rahmatNya maka demikian hendaklah mereka bergembira. (Surah Yunus: Ayat 58).

Allah Taala menyuruh kita supaya bergembira dengan rahmatNya maka Rasulullah S.A.W. adalah sebesar-besar rahmat.

Firman Allah Taala bermaksud: "Dan tidaklah Kami utuskan kamu kecuali sebagai rahmat kepada sekalian alam. (Surah Al-Anbiya: Ayat 107).

Keempat:

Maulidur Rasul akan menganjurkan kita untuk sentiasa berselawat dan salam yang sangat dituntut ini kepada baginda S.A.W.

Firman Allah Taala bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikkan) kepada Nabi (Muhammad S.A.W), wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. (Surah al-Ahzab: ayat 56).

Kelima:

Sambutan maulid adalah satu amalan baik yang diterima ulama dan umat Islam di serata tempat. Ia dilakukan di setiap penjuru dunia dan ia tentulah dituntut berdasarkan kaedah yang telah diterima pakai dari sebuah hadis Ibnu Masud:

"Apa yang dilihat umat Islam baik maka ia juga baik di sisi Allah dan apa yang dilihat umat Islam buruk maka ia juga buruk di sisi Allah. (Hadis Riwayat Ahmad).

Imam Jalaluddin Al-Sayuti (Lihat kitab: Husnul Maqsad Fi Amal Maulid).
Beliau ditanya tentang hukum perayaan Maulid pada bulan Rabiulawal: Apakah orang yang merayakannya mendapat pahala? Beliau menjawab: Perayaan Maulid pada hakikatnya ialah mengumpulkan kebanyakkan orang untuk membaca beberapa ayat al-Quran. Kemudian menjelaskan jalan-jalan dakwah sejak mula diutuskannya Rasulullah. Acara itu diisi dengan menghidangkan makanan sebelum para hadirin kembali ke tempat masing-masing. Dengan tidak berlebihan saya katakan bahawa perayaan semacam itu tergolong dalam bidaah hasanah yang bila dilakukan akan mendapat pahala. Mereka telah mengagungkan kedudukan Nabi S.A.W. dan menyatakan kesyukuran mereka di atas kelahiran Nabi Muhammad S.A.W. sebagai penghulu umat.

Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyah (Lihat kitab: Iqtidha as-Shirath al-Mustaqin). Berkata Syeikh Islam Ibnu Taimiyah: Memuliakan Maulid dan merayakannya setiap tahun seperti yang dilakukan oleh sesetengah orang akan mendapat ganjaran pahala daripada Allah Taala kerana niatnya baik dan memuliakan Rasulullah S.A.W.

Terdapat ramai lagi ulama yang turut membolehkan sambutan Maulidur Rasul ini antaranya seperti: Imam Ibnu Hajar al-Asqalani, Al-Allamah Sayyid Ahmad Zaini Dahlan, Syeikh Muhammad al-Khazraji, al-Muhaddith Syeikh Dr. Al-Sayyid Muhammad bin al-Sayyid Alawi al-Maliki, Syeikh Atiyah Saqar, Syeikh Prof. Dr. Yusof al-Qaradhawi, Syeikh Prof. Dr. Ali Jumaah dan lain-lain lagi.

689. Soalan : Apakah hikmahnya umat Islam solat berkiblatkan Kaabah?

Jawapan : 

Kita menghadap kiblat kerana perintah Allah. Ia adalah lambang kesatuan ummah.
Jika disuruh menghadap Allah, sudah tentu kita perlu mengetahui di mana kedudukan Allah. Sedangkan mana mungkin kita mengetahui di mana Allah berada. Oleh itu , menghadap Kaabah adalah menifestasi ketaatan kita kepadaNya..

Tidak bermakna kita menghadap Kaabah kita menyembah Kaabah kerana hanya Allah-lah yang layak disembah. Kita ambil satu contoh apabila kita sedang solat di masjid, dan di satu dinding masjid itu terdapat gambar Kaabah, adakah kita akan menghadap gambar itu? Sudah tentu jawapannya tidak. Sebab jika kita menyembah kaabah sudah tentu kita menghadap gambar tersebut.

Saya yakin tiada suatu agama pun selain Islam yang menekankan konsep berkiblat. Sebab itulah di dalam al-Quran kitab agung umat Islam dan panduan manusia keseluruhannya telah menegaskan melalui firman Allah yang bermaksud: "Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (tempat letaknya Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka; dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan. (al-Baqarah: 144)

Ayat ini turun dilatari dengan ejekan kaum Yahudi yang menggangap Nabi Muhammad kehabisan modal dalam beragama sehingga terpaksa mengambil Baitul Maqdis sebagai kiblat, sedangkan itu adalah kiblat mereka.

Hampir setahun lebih umat Islam berkiblatkan Baitul Maqdis sehingga turun ayat dari surah al-Baqarah ayat 144. Maksudnya menghadap wajah ke arah kiblat adalah syariah yang menuntut sifat taabudiy (patuh semata).

Mengikut fahaman ahlu sunnah-wal-jamaah, Allah SWT tidak bertempat, yang bertempat hanya makhluk. Apabila orang Islam menghadap kiblat itu bukan bermaksud menghadap Allah dalam solat dalam erti kata mengingati Allah SWT.

Ini jelas dalam dalam penjelasan Nabi SAW terhadap soalan Jibril yang bertanyakan apa itu ehsan lantas baginda menjawab yang bermaksud: Ehsan ialah kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihat dia (Allah), kalaupun kamu tidak dapat melihatnya yakinlah dia melihat kamu…(riwayat al-Bukhari no. hadis: 50, Muslim, no. hadis: 8)

Maksud hadis ini ialah melihat kebesaran Allah SWT serta menghayati keagungan-Nya. Dalam keadaan kita berpeluang mencari arah kiblat kita adalah disuruh untuk mencarinya dan memastikannya terlebih dahulu. Sekiranya kita tidak tahu dan gagal mencari kiblat kita hadapkan wajah ke arah mana pun adalah sah solat tersebut.

Sebab itulah Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan Allah jualah yang memiliki timur dan barat, maka ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke kiblat untuk mengadap Allah) maka di situlah arah yang diredai Allah; sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi sentiasa Mengetahui. (al-Baqarah: 115)

Di dalam tafsir al-Jalalain ada menjelaskan bahawa: "Kepunyaan Allah jua seluruh alam jagat ini, sebab di mana-mana ada timur dan di mana-mana pun ada barat. Apabila kita tegak menghadap ketepatan matahari terbit maka yang dibelakang kita adalah barat, yang di kanan kita adalah selatan dan di kiri kita adalah utara".

Manakala Prof Dr Hamka dalam tafsir al-Azhar menjelaskan: "Inilah hikmah yang sebenarnya, ke mana kita menghadapkan muka ketika kita beribadat kepada Allah, ketika solat pun, asalkan hati telah dihadapkan kepada Allah maka diterimalah ibadat itu oleh Allah. Sebab Timur dan Barat, Utara dan Selatan Allah jua yang empunya…" (Prof. Dr. Hamka, Tafsir al-Azhar, jld: 1, hlm: 277).

690. Soalan : Bolehkah ustaz jelaskan konsep kalimah laa ilaaha illallah ?

Jawapan :

Kalimah :  laa ilaaha illallah  diertikan dengan “tiada Ilah selain Allah”. Sungguhpun ringkas, kalimah ini mempunyai pengertian yang luas dan mendalam bagi kehidupan seorang muslim.

Kalimah ini sebenarnya bererti ‘aku mengetahui, berikrar, mengakui dan mempercayai bahawa sesungguhnya sembahan yang benar dan berhak disembah ialah Allah SWT sahaja manakala selain daripada-Nya sama sekali tidak benar dan tidak berhak disembah. Aku berikrar dengan hatiku, menyatakan dengan lidahku dan aku membuktikan dengan perbuatanku.’

Kalimah laa ilaaha illallah) (لَا إِلهَ إِلَّا اللهُ dipanggil juga sebagai Tauhid al-Uluhiyah.

Tauhid al-Uluhiyah adalah bermaksud mentauhidkan Allah SWT dalam peribadatan atau persembahan. Inilah tujuan Allah SWT mengutuskan Rasul iaitu menyeru manusia menerima Tauhid al-Uluhiyah. 

Firman Allah SWT yang bermaksud : “Dan Kami tidak mengutuskan seorang rasul pun sebelum kamu, melainkan Kami wahyukan kepadanya bahawasa-nya tiada Illah melainkan Aku, maka kamu sekelian hendaklah menyembah Aku.” 
(Surah Al-Anbiya’ ayat 25)

“Dan sesungguhnya Kami telah utuskan pada setiap umat itu seorang rasul (untuk menyeru): Sembahlah Allah dan jauhilah taghut.” (Surah An-Nahl ayat 36)

“Dan sesungguhnya Aku telah utuskan Nuh (Nabi) kepada kaumnya, lalu dia berkata (menyeru): Wahai kaumku, hendaklah kamu menyembah Allah (kerana) sesekali tiada Illah melainkan Dia.” (Surah Al-Mukminun ayat 23).

Seorang mukmin yang memiliki Tauhid al-Uluhiyah akan menerima undang-undang yang di ciptakan oleh Allah SWT tanpa ragu-ragu dan menolak dalam jiwanya undang-undang ciptaan manusia


No comments:

Post a Comment