Monday, September 29, 2014

Tanyalah Ustaz 162 (Amalan Dan Larangan Haid, Kelebihan Mati Syahid, Pembelian Emas Cara Ansuran, Zihar Isteri Sama Seperti Emak Mertua Dan Hukum Membuang Ancak).

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sahabat yang dirahmati Allah,    
Tanyalah Ustaz Siri 162 adalah menjelaskan persoalan amalan dan larangan haid, kelebihan mati syahid, pembelian emas cara ansuran, zihar isteri sama seperti emak mertua dan hukum membuang ancak.

766. Soalan : Boleh ustaz jelaskan apakah amalan yang dilarang ketika haid dan amalan yang di bolehkan?

Jawapan : 

Larangan dan Amalan Yang Boleh Semasa Haid.

Amalan ketika haid. Apakah amalan-amalan sunat yang boleh untuk seorang wanita lakukan ketika haid? Jika diteliti terdapat banyak sekali amalan wanita ketika haid, selain hal-hal atau perkara-perkara yang dilarang serta diharamkan bagi seorang wanita yang sedang haid maka amalan-amalan tersebut adalah amal soleh yang mendatangkan pahala daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala, tambahan pula jika amalan itu disertai dengan niat yang ikhlas dan ittiba’ (yakni sesuai dengan petunjuk Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam).

Adapun hal-hal yang dilarang dilakukan oleh wanita haid :

1. Solat dan Puasa . Nabi SAW bersabda maksudnya , “Bukankah jika wanita itu haid, maka ia tidak solat, dan tidak puasa?” (Hadis Riwayat Bukhari)
2. Memasuki mesjid (terdapat ikhtilaf dikalangan ulama). Nabi SAW bersabda maksudnya,“Aku tidak menghalalkan mesjid untuk wanita haid, dan orang-orang dalam keadaan junub” (Hadis RiwayatAbu Daud)

3. Perceraian – wanita haid tidak boleh dicerai,namun harus menunggu hingga ia suci.
4. Berhubungan suami isteri tidak boleh jimak, Firman Allah SWT maksudnya, “ oleh sebab itu, hendaklah kalian menjauhkan diri dari wanita di waktu haid, dan janganlah kalian mendekati mereka sebelum mereka suci “(Surah Al-Baqarah ayat 222)

5. Membaca Al-Quran (terdapat perbezaan pendapat)

6. Tawaf, Nabi SAW bersabda maksudnya, “Lakukanlah apa yang dilakukan jemaah haji, hanya saja jangan melakukan tawaf di Ka’bah sebelum kamu suci”.(Hadis Riwayat Muslim)

Manakala, diantara hal-hal yang diperbolehkan bagi wanita haid:

1. Berzikir.

Berzikir boleh dilakukan wanita haid. Hal ini lebih baik daripada sekadar membiarkan lisan dan hati kita lalai dari mengingat Allah. Atau membiarkan lisan dan hati kita untuk hal-hal maksiat seperti mengumpat dan membicarakan serta memikirkan hal yang sia-sia. Zikir selain boleh mengingatkan kita pada Allah, menenteramkan hati juga mendatangkan pahala.

2. Ihram, wukuf di Arafah.

Firman Allah SWT maksudnya, “Menjadi kewajiban bagi manusia terhadap Allah, mengerjakan haji di Baitullah, yakni bagi orang-orang yang mampu mengunjunginya.” (Surah Ali Imran ayat 97)Namun terkadang wanita terhalang haid, sehingga ada beberapa hal yang tak boleh dikerjakan seperti melakukan tawaf dan dua rakaat solat tawaf. Selain itu semua manasik haji boleh dikerjakan oleh wanita haid dan nifas. Jadi wanita yang dalam keadaan haid dan nifas boleh melakukan ihram. 

3. Melayani suami 

Selama menjalani fitrahnya mengalami haid, bukan bererti wanita tak boleh dari membahagiakan suami. Seorang isteri tetap harus siap melayani suaminya, khususnya keperluan hajatnya (selain daripada jimak) . Walaupun diharamkan melakukan persetubuhan (jimak), suami dibolehkan bersenang-senang dengan isteri pada bagian pusar ke atas atau selain kemaluan. Sekiranya isteri berada didalam keadaan suci haram menolak ajakan suami, kecuali ada hal-hal yang mengakibatkan risiko jika berhubungan badan. Dalam sebuah hadis Rasulullah bersabda,“Jika suami mengajak isterinya ke tempat tidurnya (untuk berjima’) kalau isteri tidak mau melayaninya sehingga ia marah kepadanya, maka malaikat melaknatnya hingga subuh.” (Hadis Riwayat Bukhari Muslim)Bukankah taat pada suami selama tidak bermaksiat pada Allah serta mengakui hak suami atasnya memiliki pahala yang besar laksana pahala jihad? Tak hanya itu, wanita solehah selalu menyenangkan bagi suaminya. Seperti sabda Nabi SAW
"Tidakkah mahu aku khabarkan kepada kalian tentang sesuatu yang paling baik dijadikan bekal seseorang? Wanita yang baik (solehah), jika dilihat suami ia menyenangkan, jika diperintah suami ia mentaatinya, dan jika (suami) meninggalkannya ia menjaga dirinya dan harta suaminya.” (Hadis Riwayat Abu Dawud dan An-Nasa’i)

Makan dan minum bersama wanita haid” Aku bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam tentang makan bersama wanita haid, kemudian beliau bersabda:”makanlah bersamanya” (Hadis Riwayat Ahmad, At-Tirmidzi, hadits Hasan)

4. Menghadiri majlis ilmu.

Selain hal-hal yang disebutkan di atas, kegiatan lain yang boleh dilakukan adalah menghadiri majlis ilmu/ta’lim selama majlis tersebut tidak berlangsung di masjid. Hal ini disebabkan larangan bagi wanita haid untuk masuk ke masjid.

Selama majlis tersebut bebas dari tabarruj dan ikhtilat serta bermanfaat, alangkah baiknya mengisi waktu dengan hal-hal bermanfaat. Kegiatan ini juga menghindarkan kita dari angan-angan kosong atau sekadar melamun tanpa guna atau membiarkan waktu terlewat tanpa guna. Berkumpul bersama orang-orang soleh, membaca buku-buku yang bermanfaat, mendengarkan murajaah bacaan al-Quran juga mengandung nilai-nilai ibadah. Tak hanya itu, melakukan tugas harian sebagai isteri dan ibu yang baik selama dilakukan dengan tulus juga bermakna ibadah. Insyaallah boleh menjadi pengisi pundi-pundi amal kita, meskipun kita tengah terhalang fitrah haid.

Memang, mungkin kita tak mampu meniru amal ibadah para muslimah pada masa terbaik (zaman Nabi), namun setidaknya jejak semangat mereka dalam beramal masih tetap tertinggal di dada para muslimah, meskipun tengah berhalangan saat haid, semampu kita. Insyaallah.

Tidak ada dalil dari Nabi SAW. yang menegah orang berjunub atau wanita yang sedang haid atau nifas dari melakukan perbuatan mencukur rambut, memotong kuku, mencukur bulu kemaluannya serta membuang sesuatu dari badannya . Adapun hadis yang melarangnya, ia adalah munkar dan maudhu’ (yakni palsu), tidak harus sekali-kali dijadikan hujjah (lihat; Syarah Sohih al-Bukhari, oleh; Imam Ibnu Rajab).

Berkata Imam ‘Atha’ (seorang Tabi’in terkenal); “Harus orang yang berjunub untuk berbekam, memotong kuku dan mencukur rambut sekalipun tanpa mengambil wuduk terlebih dahulu”(Hadis Riwayat Imam al-Bukhari). Imam Ahmad tatkala ditanya berkenaan hukum orang berjunub yang berbekam (yakni mengeluarkan darah dari kulitnya), mencukur rambut, memotong kuku dan mewarnai rambut atau janggutnya, ia menjawab; “Tidak mengapa (yakni harus)”.

Syeikh Atiyah Saqar dalam fatwanya juga menegaskan; pendapat yang melarangnya itu tidak ada sebarang dalil untuk menyokongnya. Syeikh ‘Atiyah kemudiannya menaqalkan ulasan Imam Ibnu Taimiyyah yang berkata; aku tidak mengetahui ada sebarang dalil yang memakruhkan membuang rambut dan kuku oleh orang berjunub. Malah Nabi SAW. ada bersabda kepada orang kafir yang baru masuk Islam;

ألق عنك شعر الكفر ثم اختتن

“Buangkanlah darimu rambut/bulu kekufuran (yakni rambut/bulu yang tumbuh semasa kamu kafir), kemudian berkhatanlah” (HR Imam Ahmad dan Abu Daud dari ‘Uthaim bin Kulaib r.a. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no; 1580).

Di dalam hadis di atas Nabi SAW. hanya menyuruh orang yang baru masuk Islam itu agar berkhatan dan membuang rambut/bulu di badannya. Tidak ada arahan dari baginda supaya ia melakukannya selepas mandi, menunjukkan bahawa membuang rambut/bulu dan berkhitan itu harus dilakukan sama ada sebelum mandi atau selepas mandi.

Dalam buku al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, az-Zuhaili menulis, “Tidak makruh dalam pandangan mazhab Hambali bagi seseorang yang junub, atau dalam keadaan haid, atau nifas menggunting rambutnya, kukunya sebelum mandi.” 

Pada hemat saya, pada hari kemudian, walaupun manusia dibangkitkan secara jasmani, tetapi tubuh kita bukan lagi sebagaimana keadaannya dalam kehidupan dunia. 
Al-Quran menyatakan bahawa wanita-wanita penghuni syurga (yang tua sekalipun) akan dijadikan Allah SWT sebagai gadis-gadis remaja, penuh cinta dan sebaya dengan suami-suami mereka. 

Ini sebagai mana yang disebut dalam surah al-Waqiah ayat 35 dan 36 iaitu: “Sesungguhnya Kami sudah ciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan yang istimewa. Serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh)".

Hadis yang di gunakan untuk melarang memotog kuku dan rambut para ulama hadis menyatakan hadis tersebut tidak sahih dan tidak boleh di jadikan dalil untuk memakruhkan amalan sunat memotong kuku, mencukur bulu ari-ari dan memncabut bulu ketiak , menipiskan / mencukur misai semasa berhadas besar. Sedangkan hadis sahih riwayat Muslim dengan jelas menyatakan bahawa 10 amalan fitrah perlu di laksanakan bukan saja khusus untuk yang tak berhadas besar tetapi termasuk mereka yang berhadas besar.

767. Soalan :Apakah maksud mati syahid dan kelebihan seseorang yang mati syahid?

Jawapan : 

Mati syahid adalah mati yang paling mulia dan setiap mukmin perlulah berniat untuk mati syahid walau pun dia mati di atas katil sekiranya niatnya untuk mendapat mati syahid maka matinya itu di kira mati syahid. Alangkah mulianya mereka yang mendapat gelaran para syuhadah , sentiasa mendapat rezeki dan nikmat yang sungguh besar dikurniakan oleh Allah SWT jika boleh mereka ingin kembali kedunia dan mereka ingin mati syahid sekali lagi kerana betapa nikmatnya mati sebagai para syuhadah.

Anas bin Malik ra.berkata : Dari Nabi SAW. baginda bersabda maksudnya : "Tidak ada satu jiwa pun yang mati dan akan memperoleh kebajikan yang menggembirakannya di sisi Allah kerana dia dapat kembali ke dunia bukan kerana untuk memperoleh dunia serta isinya kecuali orang yang mati syahid. Kerana ia berharap dapat kembali lagi lalu terbunuh lagi di dunia, melihat besarnya keutamaan mati syahid."(Hadis Riwayat Muslim : 3488)

Dalam hadis riwayat Jabir ra., ia berkata: Seorang lelaki bertanya: "Wahai Rasulullah, di mana aku nanti bila telah mati terbunuh? Baginda menjawab: "Di surga." Lelaki itu lalu segera melemparkan beberapa buah kurma yang berada di tangannya, kemudian ia berperang hingga gugur. Dalam hadis Suwaid: Seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW pada waktu perang Uhud."(Hadis Riwayat Muslim : 3518)

Dalam hadis riwayat Bukhari dan Muslim Rasulullah SAW bersabda maksudnya : Seorang yang mati syahid diberi enam perkara pada saat titisan darah pertama tumpah dari tubuhnya:

1. Diampunkan semua kesalahannya.
2. Diperlihatkan tempatnya di syurga.
3. Dikahwinkan dengan bidadari.
4. Diamankan daripada kesusahan kedahsyatan yang besar(pada hari kiamat).
5. Diselamatkan daripada seksa kubur.
6. Dihiasi dengan pakaian keimanan."

Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda maksudnya :
"Bagi orang yang mati syahid ada 6 keistimewaan iaitu:

1. diampuni dosanya sejak mulai pertama darahnya meluncur keluar

2. melihat tempatnya didalam syurga.

3. dilindungi dari azab kubur - dan terjamin keamanannya dari malapetaka besar

4. merasakan kemanisan iman,

5. dikahwinkan dengan bidadari, dan

6. diperkenankan memberikan syafaat bagi 70 orang kerabatnya"

(Hadis Riwayat at-Tirmidzi, Ibnu Majah, dan Ahmad)

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: "Apa yang kalian kategorikan sebagai orang yang mati syahid di antara kalian?
Mereka menjawab: "Wahai Rasulullah yang kami anggap sebagai orang yang mati syahid adalah siapa saja yang mati terbunuh di jalan Allah.
Baginda bersabda: "Kalau begitu umatku yang mati syahid sangatlah sedikit."
Kalangan sahabat kembali bertanya: "Kalau begitu siapa sajakah dari mereka yang mati syahid wahai Rasulullah?"
Baginda menjawab: "Sesiapa yang terbunuh di jalan Allah, yang mati sedang berjuang di jalan Allah dan yang mati kerana penyakit kolera, yang mati kerana penyakit perut (iaitu disebabkan penyakit yang menyerang perut seperti busung lapar atau sejenisnya), dialah syahid dan orang-orang yang mati tenggelam, dialah syahid."
(Hadis riwayat Muslim, Ahmad dan al-Baihaqi)

Golongan syahid tidak wajib disolatkan dan dimandikan sekalipun berada dalam hadas kecil atau besar.Perkara itu seperti arahan Rasulullah ke atas syuhada perang Uhud.Sabda baginda maksudnya: "Jangan kamu mandikan mereka kerana setiap luka dan darah itu adalah wangi semerbak pada hari kiamat dan tidak usah solat ke atas jenazah mereka."

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Sesiapa yang meminta mati syahid dengan benarnya, Allah akan menyampaikan hajatnya itu pada kedudukan mati syahid, walaupun dia meninggal di tempat tidur-nya."
(Hadis riwayat Muslim (al-Nawawi, 1972, jil.13: 56).

Hadis tersebut mempengaruhi orang Islam supaya bercita-cita mati syahid, iaitu kematian yang termulia dalam Islam, dengan menjanjikannya akan mendapat kedudukan yang dimintanya itu, walaupun dia hanya meninggal di rumah.. Sesiapa yang tidak bercita-cita mahu mati syahid dan di dalam hatinya tidak ada niat langsung maka matinya dalam kehinaan kerana tidak mendapat ganjaran mati syahid sedangkan semulia-mulia kematian adalah mati syahid, setiap amalan bergantung pada niatnya


768. Soalan : Mohon perjelasan membeli emas secara ansuran adakah di bolehkan dalam islam. Contohnya sy beli emas kawan saya harga rm 2000. Bila sy dapat emas terus saya bg rm 1000 dan selebihnya rm 200 selama 5 bulan

Jawapan :  

Pembelian emas secara tertangguh tidak di benarkan kerana tidak menepati jual beli emas yang telah ditetapkan oleh hukum syarak. Fatwa Mlaysia telah menjelaskan hukum pembelian tersebut :

Blog Fatwa Malaysia.


Pembelian Emas Secara Ansuran

ISU:

Terdapat syarikat penjualan emas yang menawarkan pembelian emas (bar, syiling dan barang kemas) dan membenarkan pembayaran secara ansuran iaitu sebanyak 4 kali dalam masa 4 bulan. Penetapan harga dilakukan terlebih dahulu dan harga tersebut adalah tetap walaupun harga emas akan naik atau turun selepas itu. Caj perkhidmatan dikenakan sebanyak 0.5% daripada harga belian tersebut. Emas tersebut hanya boleh diambil oleh pembeli selepas keseluruhan harga belian termasuk caj perkhidmatan diselesaikan sepenuhnya dalam tempoh 4 bulan atau lebih awal daripada itu. Adakah perkara ini melanggar syarak?

PENJELASAN:

Penelitian terhadap kaedah pembayaran tersebut yang secara ansuran mendapati ia tidak bertepatan dengan syarak kerana wujud unsur penangguhan serahan dalam pembelian emas tersebut. Ini kerana akad pembelian telah berlaku ketika pembayaran pertama dibuat, dengan harga semasa pada waktu tersebut atau dengan harga yang disepakati, tetapi berlaku penangguhan dari dua aspek:

Penangguhan sebahagian harga emas. Ini kerana di dalam contoh di atas, jika pembayaran pertama dibuat ketika pembelian dan yang selebihnya dibuat secara ansuran, maka sebahagian daripada harga emas dibayar secara bertangguh. Jika sekiranya pembayaran pertama juga dibayar secara ansuran, maka keseluruhan harga emas adalah bertangguh, dan situasi ini adalah lebih bermasalah.

Penangguhan penyerahan emas. Ini kerana emas tidak diserahkan kepada pembeli sehingga penyelesaian pembayaran untuk kesemua harga emas dilakukan.

Justeru, pelan pembayaran sebegini adalah tidak bertepatan dengan syarak kerana ada unsur penangguhan kedua-dua item (emas dan harga emas) yang boleh mengheret kepada isu ‘Bai al-Kaali bi al-Kaali’.

Pelan pembayaran ini menyalahi Parameter Pelaburan Emas yang diperakukan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-96 yang bersidang pada 13-15 Oktober 2011:

Parameter No. 15 menyebut: “Transaksi jual beli emas hendaklah berlaku secara lani dan tidak boleh dimasuki sebarang unsur penangguhan, samada dalam penyerahan harga atau dalam penyerahan emas”.

Parameter No. 16 menyebut: “Penangguhan penyerahan harga yang tidak dibenarkan adalah meliputi pembelian secara hutang secara keseluruhannya atau pembelian secara bayaran ansuran”.

Walau bagaimanapun, pelan pembelian emas seperti di atas boleh diIslamisasikan dengan menjadikan pembayaran secara empat kali sebagai simpanan amanah, dengan syarat akad jual beli masih tidak boleh dimeterai. Apabila pembayaran terakhir dibuat dan jumlahnya mencukupi harga emas, barulah dimeterai akad jual beli emas dengan harga yang dipersetujui sebelum itu. Dalam hal ini, apabila 'bayaran' penuh dibuat, pembeli hendaklah diberikan hak penuh sebagai pembeli samada untuk meneruskannya atau tidak.

Wallahu A’lam.


769. Soalan : Ustaz. saya nak tanya jatuh kah zihar jika saya terlepas cakap badan isteri saya besar macam ibu mertua sy? Tlg beri penjelasan ustaz?

Jawapan :

Jika di samakan badan isteri dengan emak mertua (emak isteri) tidak jatuh zihar. Perlu diingat bahawa anak perempuan tiri, menantu perempuan atau ibu mertua tidak akan jatuh zihar jika isteri disamakan dengan mereka sebab muhramnya datang kemudian.Jatuhnya hukum zihar itu apabila telah memenuhi empat rukun iaitu:

1. Suami yang sah
2. Isteri yang sah
3. Orang yang diserupakan dengan isteri (muhram suami).
4. Lafaz samada secara terang-terangan atau sindiran
melalui tulisan atau bahasa isyarat kepada orang bisu dengan syarat isyarat itu boleh difahami.

Sila ambil perhatian, siapakah muhram suami itu? Hanya ada tiga golongan sahaja muhram suami yang melibatkan jatuhnya hukum zihar iaitu:

Pertama : Sebab keturunan

a. Ibu kandung.
b. Anak perempuan.
c. Adik-adik beradik perempuan suami samada seibusebapa, seibu atau sebapa;
d. Nenek kandung hingga ke atas
e. Anak saudara perempuan iaitu anak kepada adikberadik lelaki atau perempuan suami yang seibu sebapa,seibu atau sebapa;
f. Nenek saudara seibu sebapa. Seibu atau sebapa
g. Cucu-cucu perempuan samada dari anak lelaki atau perempuan hingga ke bawah.

Kedua : Muhram berambil-ambilan

Hanya ibu tiri sahaja yang tidak boleh disama kandengan isteri. Masalah ini terbahagi dua, ayah kita kahwin dua (emak kita bermadu) tapi semasa itu kita belum lahir lagi ke dunia. Contohnya, ketika itu kita masih di dalam kandungan ibu, ayah kita kahwin seorang lagi. Lahir-lahir sahaja ke dunia, ibu tiri telah menjadi ahli keluarga kita. Maka hanya ibu tiri ini sahajalah yang tidak boleh disamakan dengan isteri..Seaindainya ayah berkahwin lagi sewaktu kita sudah pandai merangkak maka tidak jatuh hukum zihar disamakan si isteri dengan ibu tiri tersebut. Ibu susu ramai terdapat di kalangan bangsa Arab dan jarang sekali berlaku di dalam bangsa kita. Amalan ini elok dilaksanakan, ianya bertujuan untuk menyihatkan akal fikiran dan pertumbuhan si anak.

Seelok-eloknya carilah dua tiga orang ibu susuan sepertimana Rasulullah saw. Baginda telah disusukan oleh Halimatun Saadiah dan Thuwaibatul Islamiah.

Pendapat ulama Syafie, seseorang anak itu boleh dijadikan anak susu selagi usianya belum dua tahun dengan syarat lima kali kenyang. Tanda anak itu kenyang bila dia terlena dan melepaskan hisapan dariibu susunya. Jika suami menghisap susu isteri, suami tidak akan menjadi orang sesusuan.

Ketiga : Muhram secara ridha’ (susuan)

Berlakunya hukum zihar apabila suami menyamakan anggota lahir isteri dengan nenek susuan (ibu susu kepada ayah atau ibu si suami). kerana semasa ayah atau ibu si suami menyusu kepada ibu susuannya, ia belum lahir ke dunia.

Tidak berlaku zihar jika suami menyamakan anggota isteri dengan ibu susuan si suami kerana semasa suami menyusu dengan ibu susuannya, suami itu sudah lahir ke dunia. Begitu juga tidak jatuh zihar sekiranya menyamakan si isteri dengan adik beradik perempuan sesusuan, anak saudara sesusuan, ibu saudara sesusuan samada keluarga dari sebelah ibu susu ataupun ayah-susu. Wallahu a'lam
 

Walaubagimana pun untuk pengesahan saudara boleh pergi kepejabat agama berdekatan dan minta pandangan pegawai agama yang bertugas untuk pengesahan zihir yang telah di ucapkan. 

770. Soalan : Apakan hukumnya jika seseorang membuang ancak?

Jawapan : 

Mengancak maksudnya buang ancak sepeti amalan orang kafir? Dalam Islam buang ancak adalah haram dan syirik. Perbuatan ini adalah membesarkan dan menyembah jin kafir dan syaitan . Jika amalan ini telah di buat maka hendaklah bertaubat dan mengucap semula dua kalimah syahadah.
 

Amalan mengancak di amal org melayu dahulu...mereka mmenyediakn satu dulang berisi pulut kuning,ayam masak,sayur... hidangan itu akan di bawa ke tmpat tertentu spt di bawah pokok..utk mmberi jamuan kpd jin,hantu.. selain prkataan mngancak di gunakn.. prkataan mnjamu hantu/roh sama saja.. menjamu hntu/roh turut di amal oleh org cina..tp brbeza sdikit..mreka mmbakar wang kertas palsu brsama jamuan di bwh pokok.. Sy pernah lihat mreka buat bnda ni.. Hrp kita jauhkanlah prkara syirik ini.
 

Ancak dibuat daripada buluh yang hampir sama dengan sangkak. Ada juga terdapat ancak yang di buat daripada daun pisang yang di isi dengan pulut kuning, bertih, ketupat dan sebagainya.

Ancak juga di gunakan sebagai "jamu" untuk Jin keturunan atau Jin penjaga kampung supaya tidak menggangu anak cucu atau penduduk kampung tersebut pada tahun itu. Kepercayaan menjamu dengan menggunakan ancak ini masih ada sehingga ke hari ini terutamanya bagi mereka yang masih ada lagi atau berpegang dengan saka atau Tok-Nenek atau Jembalang-jembalang keturunan. Perbuatan membuang ancak adalah amalan syirik yang sangat di tegak oleh Islam. Firman Allah SWT :


وَأَنَّهُ كَانَ رِجَالٌ مِنَ الْإِنْسِ يَعُوذُونَ بِرِجَالٍ مِنَ الْجِنِّ فَزَادُوهُمْ رَهَقًا)

Maksudnya : "Dan bahwasanya ada beberapa orang laki-laki di antara manusia meminta perlindungan kepada beberapa laki-laki di antara jin, maka jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan kesalahan.(Surah al-Jin (72) ayat 6)

Dalam ayat ini Allah SWT menyatakan pengakuan jin bahawa ramai manusia berlindung kepada laki-laki jin sehingga menyebabkan jin-jin itu bertambah ganas dan durhaka serta dapat dengan mudah menyeret orang-orang yang berlindung kepada mereka untuk berbuat kejahatan. Maksudnya, ketika orang-orang itu berlindung kepada jin kerana takut kepadanya dan tidak berlindung kepada Allah SWT, maka jin akan menghinakan mereka; dengan segala keberanian dan meningkatkan penganiayaan terhadap mereka.

Tafsir Jalalain Surah Al Jin ayat 6 menyatakan :

"Dan bahawasanya ada beberapa orang laki-laki di antara manusia meminta perlindungan (memohon perlindungan) kepada beberapa laki-laki di antara jin di dalam perjalanan mereka sewaktu mereka beristirahat di tempat yang menyeramkan, lalu masing-masing orang mengatakan, aku berlindung kepada penunggu tempat ini dari gangguan penunggu lainnya yang jahat (maka jin-jin itu menambah bagi mereka) dengan permintaan perlindungannya kepada jin-jin itu (dosa dan kesalahan) kerana mereka mengatakan, bahawa kami telah dilindungi oleh jin anu dan orang anu."

Asbabun Nuzul Surah al-Jin ayat 6.

Ibnu Saad mengetengahkan sebuah hadis melalui Abu Raja' dari kalangan Bani Tamim yang menceritakan, bahawa sesungguhnya aku menjadi penggembala kambing milik keluargaku dan aku menanggung beban pekerjaan mereka semuanya. Ketika Nabi SAW. telah diutus, kami keluar dari kalangan keluarga kami melarikan diri. Sewaktu kami sampai di suatu padang, sebagaimana biasanya yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin kami, iaitu apabila kami kemalaman, maka pemimpin (syekh) kami mengatakan, "Sesungguhnya kami berlindung kepada penunggu lembah ini dari gangguan jin pada malam ini." Maka kami pun mengatakan hal yang serupa. Lalu ada suara yang ditujukan kepada kami seraya mengatakan,

"Sesungguhnya jalan keluar bagi laki-laki ini ialah mengucapkan kesaksian, iaitu bahawa tiada illah selain Allah dan sesungguhnya Muhammad adalah Rasulullah. Kesaksian itu siapa pun yang mengucapkannya, nescaya darah dan harta bendanya selamat."
 

Jelaslah bahawa sejak zaman dahulu lagi manusia minta pertolongan jin kafir untuk keselamatan diri termasuk orang yang terlibat membuang ancak dengan harapan jin tidak menganggu mereka akibatnya mereka telah mempertuhankan jin kafir dan menjadi syirik akbar dan terkeluar akidahnya daripada akidah Islam. Ayat dan tafsir surah al-Jin di atas dengan jelas laranagn Allah SWT terhadap manusia bersahabat dan meminta pertolongan jin-jin kafir hatta bukan jin kafir saja di larang kita bersahabat dan minta pertolongan tetapi jin islam pun kita di larang untuk bersahabat. Wallahu a'lam

No comments:

Post a Comment