Wednesday, September 3, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 145 ( Kisah Dajjal, Siram Air Di Kubur, Harta Pusaka Wang Haram, Perkara Membatalkan Wuduk Dan Roh Manusia.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sahabat yang dirahmati Allah,    
Tanyalah Ustaz Siri 145 adalah menjelaskan persoalan kisah Dajjal, siram air di kubur, harta pusaka wang haram, perkara membatalkan wuduk dan roh manusia.

681. Soalan :  Ustaz...satu soalan yang ringkas ingin saya bertanya....adakah Dajjal pernah bertemu dengan Nabi Muhammad SAW?

Jawapan : 


Dajjal yang bermata satu daripada keturunan Yahudi yang akan muncul di akhir zaman nanti tidak pernah berjumpa Nabi SAW. Kerana kemunculannya ditanggungkan terlebih dahulu semuanya di dalam perancangan ilmu Allah SWT. Sahabat Rasulullah yang bernama Tamim ad-Dariy. pernah berjumpa Dajjal. Kisah Tamim Al-Dariy berkenaan Dajjal.

Ada riwayat Muslim yang diterima dari Fatimah binti Qais mengatakan: “Saya telah mendengar muazzin Rasulullah SAW memanggil untuk solat. Saya pun pergi ke masjid dan solat bersama Rasulullah SAW. Selesai solat, Rasulullah s.a.w naik ke atas mimbar. Nampak semacam bergurau Baginda tertawa dan berkata: “Jangan ada yang bergerak.

Hendaklah semua duduk di atas sajadahnya.” Kemudian berkata: “Tahukah kamu mengapa aku memerintahkan kamu jangan ada yang pulang?” Kami menjawab: “Allah dan Rasul-Nya yang lebih tahu.”

Rasulullah SAW berkata lagi: “Demi Allah aku menyuruh kamu berkumpul di sini bukan ingin menakut-nakuti dan bukan memberi khabar gembira. Aku ingin menceritakan kepada kamu bahawa Tamim Al-Dariy adalah seorang Nasrani, kemudian dia datang menjumpai aku dan masuk Islam. Dia ada bercerita kepadaku tentang satu kisah tentang Dajjal.

Kisah yang dia ceritakan itu sesuai dengan apa yang telah aku ceritakan kepada kamu sebelumnya. Katanya dia bersama 30 orang kawannya pergi ke laut dengan menaiki kapal. Angin kencang datang bertiup dan ombak besar membawa mereka ke tengah-tengah samudera yang luas. Mereka tidak dapat menghalakan kapalnya ke pantai sehingga terpaksa berada di atas laut selama satu bulan. Akhirnya mereka terdampar di sebuah pulau menjelang terbenamnya matahari. Di pulau yang tidak ditempati orang itu mereka berjumpa dengan binatang yang sangat tebal bulunya sehingga tidak nampak mana jantina dan duburnya.

Mereka bertanya kepada binatang itu: “Makhluk apa engkau ini?” Binatang itu menjawab: “Saya adalah Al-Jassasah.”

Mereka tanya: “Apa itu Al-Jassasah?” Binatang itu hanya menjawab: “Wahai kumpulan lelaki, pergilah kamu ke tempat ini untuk menjumpai lelaki macam ini, sesungguhnya dia pun ingin berjumpa dengan kamu. Mereka pun pergi ke tempat yang ditunjukkan oleh binatang itu.

Di sana mereka menjumpai seorang lelaki yang sangat besar dan tegap. Ertinya mereka tidak pernah melihat orang sebesar itu. Dari tangannya sampai ke tengkuknya dikuatkan dengan besi, begitu juga dari lututnya sampai ke telapak kakinya. Mereka bertanya: “Siapakah anda?” Orang seperti raksaksa itu menjawab: “Kamu telah mendengar cerita tentang aku. Sekarang aku pula ingin bertanya: “Siapa kamu ini?”

Mereka menjawab: “Kami adalah manusia berbangsa Arab. Kami pergi ke laut menaiki kapal, tiba-tiba datang ombak besar membawa kami ke tengah-tengah samudera luas dan kami berada di lautan selama satu bulan. Akhirnya kami terdampar di pulau yang tuan tempati ini.

“Pada mulanya kami berjumpa dengan binatang yang sangat tebal bulunya sehingga kami tidak dapat mengenali jantinanya. Kami tanya siapa dia katanya Al-Jassasah. Kami tanya apa maksudnya dia hanya menjawab: “Wahai kumpulan lelaki, pergilah kamu ke tempat ini untuk menjumpai lelaki macam ini, sesungguhnya dia pun ingin berjumpa dengan kamu.”

Itulah sebabnya kami datang ke tempat ini. Sekarang kami sudah berjumpa dengan tuan dan kami ingin tahu siapa tuan sebenarnya.” Makhluk yang sangat besar itu belum menjawab soalan mereka terus sahaja mengemukakan soalan:

“Ceritakan kamu kepadaku keadaan kebun kurma yang di Bisan itu,” nama tempat di negeri Syam. Mereka menjawab:

“Keadaan apanya yang tuan maksudkan?” Orang besar itu menjawab: “Maksudku apakah pokok kurma itu berbuah?”

Setelah mereka menjawab bahawa pokok kurma itu berbuah, orang besar tadi berkata: “Aku takut pokok itu tidak berbuah.”

Orang besar itu bertanya lagi: “Ceritakan kepadaku tentang sungai Tabarah.” Mereka menjawab: “Tentang apanya yang tuan maksudkan?” Lelaki itu menjawab: “Maksudku airnya apakah masih ada.” Mereka menjawab: “Airnya tidak susut.” Lelaki itu berkata: “Air sungai itu disangsikan akan kering.”

Akhirnya lelaki seperti raksaksa itu berkata: “Kalau begitu ceritakan kepadaku tentang Nabi Al-Amin itu, apa yang dia buat?” Mereka menjawab: “Dia telah berhijrah dari Makkah ke Madinah.” Lelaki itu bertanya lagi: “Apakah dia diperangi oleh orang-orang Arab?” Mereka menjawab: “Ya, dia diperangi oleh orang-orang Arab.” Lelaki itu bertanya lagi: “Kalau begitu apa pula tindakan dia terhadap mereka?” Mereka ceritakan bahawa Rasulullah SAW telah mengembangkan dakwahnya dan sudah ramai pengikutnya.

Orang besar itu berkata lagi: “Memang begitulah, padahal mereka beruntung jika taat kepadanya.” Kata orang besar itu lagi: “Sekarang aku terangkan kepada kamu bahawa aku adalah Al-Masih Dajjal. Nanti aku akan diberi izin keluar, lalu aku pun akan menjelajah dunia ini. Dalam masa empat puluh malam sudah dapat aku jalani semua, kecuali Makkah dan Madinah yang aku tidak dapat memasukinya. Negeri Makkah dan Madinah dikawal oleh para Malaikat, maka aku tidak dapat menembusinya.”

Kata Tamim Al-Dariy lagi, “Rasulullah SAW menekankan tongkatnya di atas mimbar sambil berkata: “Inilah negeri yang tidak dapat dimasukinya itu, iaitu Madinah. Saudara-saudara sekalian apakah sudah aku sampaikan cerita ini kepada kamu?” Mereka menjawab: “Ya, sudah ya Rasulullah.” Rasulullah SAW berkata lagi: “Sememangnya hadis Tamim itu lebih meyakinkan saya lagi. Ceritanya itu bersesuaian dengan apa yang telah aku sampaikan kepada kamu sebelumnya, iaitu tentang Makkah dan Madinah yang dikatakan tidak dapat dimasuki Dajjal. Cuma dia ada mengatakan di lautan Syam atau di laut Yaman. Tidak, bahkan ia dari arah timur. Ia dari arah timur,” kata Rasulullah SAW sambil menunjuk ke arah timur.

Rasulullah SAW telah menguatkan lagi bahawa Dajjal akan datang dari arah timur. Ada yang mengatakan bahawa Dajjal akan datang dari Khurasan atau Asfahan. Wallahu a’lam


682. Soalan : Kebiasaan masyarakat membuat kenduri, baca yaasin & tahlil ada letakkan air, kemudian air itu disiram ke kubur, apa hukumnya?


Jawapan : 

Mengadakan majlis tahli dan baca surah Yasin adalah di haruskan sebagai satu usaha untuk sedekahkan doa dan bacaan al-Quran kepada arwah ahli waris seperti ibu dan bapa. Amalan menjirus air ke kubur hukumnya SUNNAT di dalam mazhab Syafi`e.

Tetapi yang disunnatkan hanya dengan air semata-mata dan bukannya air mawar sebagaimana kelaziman sesetengah masyarakat kita.

Menjirus air dengan air mawar dihukumkan MAKRUH kerana ianya dikira satu pembaziran. Air biasa yang telah di bacakan Yasin adalah harus sahaja.

Imam asy-Syafi`i meriwayatkan daripada Ibraahiim bin Muhammad daripada Ja'far bin Muhammad daripada ayahandanya bahawasanya Junjungan Nabi SAW. telah menyiram (air) atas kubur anakanda baginda Ibrahim dan meletakkan atasnya batu-batu kerikil. Riwayat ini terkandung dalam "Musnad al-Imam al-Mu`adzhdzham wal Mujtahid al-Muqaddam Abi 'Abdillah Muhammad bin Idris asy-Syafi`i r.a.", juzuk 1, halaman 215. Wallahu 'alam.

683. Soalan : Apa hukum memakan harta pusaka ketua keluarga yang sudah meningal dari sumber yang di ketahui (maksudnya,ketua keluarga dulu mengumpul duit haram dan apabila mati diwarisi keluarga) haram ?.adakah akan jadi haram untuk pewarisnya? 

Jawapan : 

Jika seorang ayah meninggal dunia dan meninggalkan harta yang halal bercampur yang haram jika boleh dipisahkan maka perlulah dipisahkan supaya harta yang haram (harta tak patuh syariah) dengan harta yang halal. Harta yang haram tak boleh digunakan untuk kegunaan peribadi boleh di berikan kepada fakir miskin atau di buat projek umum untuk kegunaan masyarakat. Hanya harta yang halal saja boleh di berikan secara hukum faraid. Tetapi jika waris tak tahu secara pasti maka keluarkanlah sebahagian daripada harta tersebut untuk di masukan kedalam akaun wang tak patuh syariah. (Pusat Zakat negeri-negeri ada juga menyediakan akaun wang tak patuh syariah untuk memudahkan umat Islam masukan wang mereka yang haram ke dalam akaun tersebut). Untuk membersihkan harta tersebut.

Tanggunjwb bapa masa hidupnya adalah mengahwini anaknya.kalau ayahnya menggunakan duit yang haram itu untuk membantu dan mengahwini anaknya.hukumnya apa?

Dalam Islam seorang ayah bertanggungjawab memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak, jika ayah menggunakan harta haram untuk memberi nafkah untuk isteri dan anak-anaknya maka untuk mereka menjadi halal kerana mengambil hak nafkah tetapi dosa mendapatkan harta tersebut dengan jalan yang tak syarak adalah di tanggung oleh ayah tersebut. Isteri dan anak-anak tak bersalah dan anak terima sebagai bantuan daripada walinya.

684. Soalan : Apakah perkara yang boleh membatalkan wuduk?

Jawapan : 

1. Kentut & Qada’ Hajat

Firman ALLAH S.WT:

Wahai orang-orangyang beriman, berwuduklah apabila kamu ingin mendirikan solat... atau apabila ada antara karnu yang datang dari tempat membuang hajat. (Surah al-Maidah: 6)

Abu Hurairah r.a berkata, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

ALLAH tidak akan menerima solat seseorang apabila dia telah berhadas sehingga dia kembali berwuduk. Seorang lelaki daripada Hadramaut bertanya: Apakah yang dimaksudkan dengan hadas wahai Abu Hurairah? Jawabnya: Kentut. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

2. Keluar air mazi.

Ali bin Abu Talib r.a berkata:

Aku adalah lelaki yang paling banyak keluar air mazi. Lalu aku perintahkan seorang lelaki bertanya kepada Nabi s.a.w menggunakan nama anak perempuanya (Fatimah). Lalu dia bertanya kepada baginda. Lantas haginda menjawab: Berwudhu’lah dan basuhlah kemaluanmu. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ibn al-Mundziri r.h bcrkata:

“Memang tsabit daripada hadis Rasulullah s.a.w rnengenai kewajipan berwudhu’ bagi air mazi (yang keluar)” (Rujuk al-Ausot, jil. 1, ms. 133)

Al-Nawawi r.h berkata:

“Mengenai hukum keluar air mazi, ijmak ulama bahawa tidak wajib mandi junub. Abu Hanifah, Syafie, Ahmad dan jumhur berpendapat, wajib berwuduk berdasarkan hadis ibi.” (Rujuk Syarh Sahih Muslim, jil. 3, ms. 212)

3. Keluar al-Wadi

Ibn Abbas a berkata:

Berhubung dengan air mani, wajib mandi junub. Mengenai air mazi dan wadi, dia hendaklah membasuh kemaluannya serta bewuduk. (Hadis riwayat Abdul Razzaq dalam Musannaf, jil. 1, ms. 159 dengan sanad sahih)

Ibn al-Mundzir r.h berkata:

“Mengenai air wadi, ia sesuatu yang keluar daripada zakar selepas kencing. Oleh itu, wudhu’ wajib selepas kencing. Jadi, apa sahaja yang keluar daripada zakar sudah tentu diwajibkan berwuduk sebagaimana wajib berwuduk apabila keluar air kencing.” (Rujuk al-Ausot, jil. 1, ms. 136)

4. Keluar air mani

Ini berdasarkan riwayat Ibn Abbas r.a yang dinyatakan sebelum ini melalui Musannaf Abdul Razzaq.

5. Sesuatu yang keluar secara berterusan seperti darah istihadhah dan sebagainya.

Nabi s.a.w memerintahkan agar wanita yang mengalami darah istihadhah berwuduk setiap kali solat berdasarkan hadis yang diriwayat oleh Bukhari dalam kitab al- Wuduk, bab: Ghuslu al-Dam (228) dan Muslim, kitab al-Haid (333)

6. Tidak perlu berwuduk apabila waswas.

Abu Hurairah r.a. berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: Apabila seseorang antara kamu merasakan sesuatu yang tidak kena pada perutnya lalu waswas sama ada dia kentut atau tidak, dia tidak perlu keluar daripada masjid kecuali selepas dia mendengar bunyi atau terhidu bau kentut. (Hadis riwayat Muslim)

7. Tidur atau Tidak Tetap Punggung

Safwan bin ‘Assal r.a. berkata: “Rasulullah s.a.w memerintahkan kami agar tidak mencabut kasut ketika musafir selama tiga hari tiga malam kecuali jika berjunub, buang air besar, air kecil atau tidur” (Hadis riwayat Ahmad, al-Nasaai dan al-Tirmizi. Al-Tirmizi mensahihkannya)

Berselisih pendapat sama ada tidur boleh membatalkan wudhu’ atau sebaliknya. Namun, terdapat beberapa hadis sahih yang menjelaskan bahawa tidur yang lena dan tetap punggungnya tidak perlu berwuduk.

Anas r.a berkata: “Suatu ketika, para sahabat Rasulullah s.a.w menunggu solat isyak sehingga tersengguk-sengguk kepala mereka kerana Nabi s.a.w melewatkannya. Setelah baginda bersiap untuk menunaikan solat, mereka bangun bersolat tanpa memperbaharui wuduk.” (Hadis riwayat Muslim, Abu Daud dan al-Tirmizi)

Ibn ‘Abbas r.a berkata: Aku telah bermalam di rumah ibu saudaraku Maimunah (isteni Nabi). Rasulullah s.a.w bangun untuk menunaikan solat malam. Lain, aku bangun berdiri di sebeiah kirinya. Kemudian, baginda menanik tanganku hingga menjadikan aku berada di sebeiah kanannya. Setiap kali kepalaku tersengguk kerana mengantuk, baginda akan menarik telingaku. Baginda melakukan solat itu sebanyak 11 rakaat. (Hadis riwayat Muslim)

Menurut pendapat paling sahih, apabila seseorang tidur tetapi tetap punggungnya di bumi dan sebagainya, wuduknya tidak terbatal berdasarkan beberapa hadis di atas. Namun, yang afdalnya ialah berwuduk apabila tertidur berdasarkan maksud hadis secara umum.

8. Menyentuh Wanita Ajnabi.

Ulama berbeza pendapat dalam menentukan hukum menyentuh wanita ajnabi tanpa berlapik. Mazhab Syafie batal wuduk tetapi mazhab Hanafi tak batak wuduk.

685 Soalan : .Ke manakah perginya roh yang jasadnya belum lagi disemadikan? dan sekiranya jasad tersebut tidak dijumpai sampai bila-bila..adakah mereka terlepas dari persoalan malaikat munkar dan nakir di alam kubur?


Jawapan :

Sesiapa pun tidak dapat menduga bilakah saat kematian mereka akan tiba. Sebab itu ramai yang masih leka dan tiada persediaan 'menanti' saat kematian mereka.

Allah berfirman yang bermaksud: "Setiap yang hidup akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu akan kembali." (Surah al-Anbiya' ayat 35)

Apabila mayat dikebumikan dikubur, maka dia akan tinggal keseorangan melainkan yang akan menemaninya adalah amalannya ketika di dunia. Jika banyak amal solehnya maka dia akan merasa gembira dan berbahagia, tetapi jika dia membawa amalan dosa dan maksiat dan tidak sempat bertaubat kepada Allah SWT maka dia akan berdukacita , sedih dan merasai amat takut untuk berhadapan dengan malaikat Munkar dan Nakir.

Malaikat yang menanyakan persoalan di amal barzakh adalah Malaikat Munkar Dan Nakir. Malaikat Munkar dan Nakir bertugas menanyai mayat dalam alam kubur tentang siapa Tuhannya, apa agamanya dan siapa nabinya. Sedangkan dalam suatu hadis riwayat Bukhari dan Muslim, Rasulullah menjelaskan bahwa al-Qaulu as-Tsabit dalam QS Ibrahim: 27 adalah jawaban orang Islam terhadap pertanyaan Malaikat di dalam alam kubur.

Firman Allah SWT maksudnya : "Allah meneguhkan (iman) orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh (al-Qaulu as-Tsabit) (dalam kehidupan ) di dunia dan akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim, dan Allah berbuat apa yang Dia kehendaki" (Surah Ibrahim ayat 27)

Asbabun Nuzaul ayat 27 :

Al-Barra' r.a menyatakan bahawa ayat ini diturunkan berkenaan tentang azab kubur dan keadaan yang terjadi di alam kubur. (Hadis sahih riwayat Nasai)

Firman Allah dalam Surah al-Mukminun 23 ayat 99-100 maksudnya : "Sehingga apabila tiba maut kepada salah seorang di kalangan mereka, berkatalah ia: Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia). Supaya aku dapat mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan. Tidak! Bahkan sesungguhnya ia hanya perkataan yang dia ucapkan, sedang di hadapan mereka ada barzakh hingga hari mereka dibangkitkan semula."

Firman Allah dalam Surah al-Ghafir 40 ayat 46 maksudnya : "Mereka didedahkan kepada api neraka pada waktu pagi dan petang, dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat): “Masukkanlah Firaun dan pengikut-pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang sedahsyat-dahsyatnya!”

Apakah yang dimaksudkan dengan “Mereka didedahkan kepada api neraka pada waktu pagi dan petang”? Ia bermaksud azab sebelum hari kiamat. Ini kerana ayat selepas itu menyebut, yang maksudnya: “dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat):

Masukkanlah Firaun dan pengikut-pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang sedahsyat-dahsyatnya!”. Jelas sekali azab yang pertama ialah azab sebelum kiamat yang dibentangkan kepada mereka pada waktu pagi dan petang.

Peristiwa di alam kubur atau di alam barzakh bermula apabila seseorang itu telah mati dan kemudiannya dimasukkan ke dalam kubur. Di alam kubur itulah seseorang itu dikatakan berada di alam barzakh. Barzakh ialah dinding pemisah di antara dua alam yang akan dialami oleh setiap manusia iaitu di antara alam dunia dengan alam akhirat. Setelah seseorang itu mati, dia akan kembali ke alam akhirat tetapi sebelum menempuh alam akhirat, dia akan berada di alam barzakh terlebih dahulu. Alam akhirat yang sebenarnya ialah alam Mahsyar iaitu setelah berlaku kiamat yang seterusnya manusia akan menuju ke syurga atau ke neraka. Jadi, alam barzakh ialah tempat seseorang itu akan menunggu setelah dia mati sebelum dia dibangkitkan semula oleh Allah SWT di hari kiamat nanti.

Apabila seseorang itu mati, dia akan ditanamkan. Ada setengah-setengahnya dibakar, namun hakikamya adalah ditanam juga dan tetap menuju ke alam barzakh juga. Bagi umat Islam, setiap yang telah mati adalah ditanam. Begitu juga sebahagian dari orang-orang kafir.

Mereka yang menghantarkan seseorang yang telah mati itu ke kubur akan pulang, tidak kira sama ada dia suaminya atau anaknya atau isterinya atau siapa saja. Tidak ada siapa yang mahu menunggu lama-lama di atas kubur tadi. Maka akan tinggallah seseorang yang telah mati itu tadi berseorang diri di dalam kubur yang sempit lagi gelap gulita itu.

Pada satu hari, Rasulullah SAW masuk ke tempat sembahyang (musolla) dan baginda melihat beberapa orang sedang bergelak ketawa atau berbual kosong. Lalu baginda bersabda yang bermaksud :

“Kalau kamu semua memperbanyakkan mengingati perkara yang melenyapkan segala kelazatan hidup, nescaya kamu akan menjadi sibuk (tekun beribadat) sepertimana aku melihat kematian.”

“Oleh itu perbanyakkanlah mengingati mati kerana tidak berlalu satu hari melainkan kubur akan berkata, ‘aku rumah kesepian, aku rumah keseorangan, aku rumah tanah dan aku rumah ulat dan cacing.”

“Apabila dikebumikan hamba yang beriman, maka kubur berkata kepadanya, ‘marhaban wa ahlan’ (ucapan selamat datang), kamu adalah orang yang aku kasihi di kalangan mereka yang berjalan di atas belakangku, dan apabila aku menerimamu hari ini, lihatlah apa aku akan lakukan kepada kamu.”

Sambung Nabi saw lagi ;

“Maka kubur pun menjadi luas sejauh pandangan matanya dan dibukakan juga kepadanya pintu yang menghadap ke syurga..”

“Dan apabila dikebumikan hamba yang berdosa dan kafir, maka kubur berkata kepadanya, ‘la marhaban wa la ahlan’ (yakni tidak diundang dan tidak diterima kehadirannya).’

Engkaulah antara mereka yang paling aku benci yang berjalan di atas belakangku selama ini. Dan apabila aku menerima kamu hari ini, kamu akan saksikan apa yang bakal aku lakukan terhadapmu.”

Sabda Nabi SAW yang maksudnya, “Maka kubur pun sedikit demi sedikit mula menghimpit tubuhnya hingga bertemu rapatlah segala tulang belulangnya.”

Rasulullah SAW mengepal jari-jarinya lalu menyambung, ” Dihantarkan kepadanya tujuh puluh ular besar lagi berbisa, jika seekor daripadanya menyemburkan bisanya ke atas muka bumi ini, nescaya tidak akan tumbuh sesuatu apa pun. Selama mana baki dunia ini, maka selama itulah dia akan dibelit dan dipagut ular-ular itu hinggalah tiba hari perhitungan (Yaumul Hisab).”

Nabi SAW bersabda lagi maksudnya : “Kubur itu samaada sebuah taman syurga ataupun sebuah lubuk api neraka.”


Orang mukmin yang soleh, yang taat kepada perintah Allah dan Rasul yang mengatur setiap aspek kehidupannya mengikut Al-Quran dan Sunnah dari aspek yang sekecil-kecilnya hinggalah ke aspek yang sebesar-besamya, mereka-mereka ini dapat menjawab dengan mudah setiap soalan yang ditanya oleh Mungkar dan Nakir. Apabila semua soalan itu telah dijawab, maka malaikat Mungkar dan Nakir pun mempersilakan mayat tadi berehat di satu kawasan yang sangat luas. Kemudian malaikat pun berkata, “Tidurlah kamu di sini sebagai tidur pengantin”. Yang dimaksudkan ialah tidur yang penuh dengan keindahan dan keseronokan yang dinikmati di alam barzakh bagi orang mukmin soleh adalah lebih dari keindahan malam pengantin. Nikmat-nikmat kehidupan di dalam syurga Allah hantarkan melalui malaikat-malaikat untuk mereka.








No comments:

Post a Comment