Thursday, September 18, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 156 ( Murtad Tak Percaya Allah SWT, Payung Emas Tak Ada Nas, Hantar Jenazah Ke Kuburan, Mandi Wiladah Dan Mandi Malam Hari.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sahabat yang dirahmati Allah,    
Tanyalah Ustaz Siri 156 adalah menjelaskan persoalan murtad tak percaya Allah SWT, Payung Emas tak ada nas, hantar jenazah ke kuburan, mandi wiladah dan mandi malam hari.

736. Soalan : Adakah seseorang menjadi murtad apabila menafikan kewujudan Allah SWT? Dan boleh ustaz terangkan apakah dia syirik kepada Allah SWT?

Jawapan : 

Jika dia tak percaya wujudnya Allah SWT dia telah murtad kerana menjadi atis. Murtad bila seseorang keluar Islam menganut agama lain atau keluar Islam ikut golongan yang tak percaya Allah SWT kedua-duanya kafir.
 

Murtad adalah satu perbuatan yang paling keji dan hina . Paling dikutuk oleh Allah SWT kerana sesiapa yang murtad akan mendapat balasan neraka Jahanam mereka kekal di dalamnya.

Firman Allah SWT. yang bermaksud : "..Barangsiapa yang murtad di antara kamu dari agamanya lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat dan mereka itulah penghuni Neraka, mereka kekal di dalamnya." (Surah Al-Baqarah ayat 217)

Perkara-perkara Yang Boleh Menyebabkan Murtad ada tiga iaitu melalui :

Pertama : Perkataan.

Kedua : Perbuatan

Ketiga : Niat.
 

Syirik terbahagi dua iaitu syirik besar (akbar) dan syirik kecil (tersembunyi). Allah SWT. tidak akan ampunkan dosa mereka yang mati dalam keadaan syirik kepada-Nya.

Firman Allah SWT. yang bermaksud : "Orang-orang yang beriman dan tidak mencampuradukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan mereka itu adalah orang-orang yang mendapat petunjuk."
(Surah al-An'aam ayat 82)

Para sahabat Rasulullah keberatan dengan ayat ini, dan bertanya kepada baginda, "Hai Rsulullah, siapa orang yang tidak menzalimi dirinya sendiri?". Maka, baginda menjawab, "Maksud ayat ini bukan begitu, tetapi maksudnya adalah syirik. Bukankah kalian mendengar petuah Luqman kepad anaknya, "Wahai anakku, janganlah engkau menyekutukan Allah kerana sesungguhnya perbuatannya ini adalah dosa (kezaliman) besar."
(Hadis Riwayat Muttafaq alaih).

Pertama : Syirik besar (akbar) adalah menyekutukan Allah dengan yang lain.

Misalnya dalam agama Kristian ada tuhan anak, tuhan emak dan tuhan bapak. Semua agama penyembah berhala, yang menjadikan patung-patung berhala sebagai perantaraan dengan Allah SWT. dan menganggap dewa-dewa mempunyai kuasa seperti Tuhan. Mempercayai dan meyakini bahawa jin-jin dan syaitan mempunyai kuasa yang boleh mudaratkan manusia dan meminta pertolongan kepadanya. Termasuk syirik besar (akbar) juga meyakini undang-undang ciptaan manusia lebih baik dan lebih adil daripada undang-undang ciptaan Allah SWT.


Jika seseorang sebelum itu dia Islam kemudian dia murtad maka dia telah melakukan Syirik Besar (Syirik Akbar). Jika nak kembali balik kena mengucap dua kalimah syahadah
Kedua : Syirik kecil (yang tersembunyi)

Syirik kecil adalah syirik yang berlaku disebabkan perasaan riyak iaitu membuat sesuatu ibadah untuk mendapat pujian manusia bukan di laksanakan kerana Allah SWT.

Rasulullah SAW. keluar menemui sahabat-sahabatnya ketika mereka sedang berbincang tentang Masih Dajjal, maka baginda bersabda, "Maukah kalian saya memberi tahu yang lebih saya takutkan dari Al-Masih Dajjal?" Mereka menjawab, "Ya". Maka baginda menjawab, "Iaitu syirik yang tersembunyi." Mereka bertanya, "Apakah syirik tersembunyi itu?". Baginda menjawab,"Seseorang berdiri untuk solat dan memperbagus solatnya ketika dilihat oleh orang lain." (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Didalam hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Yang paling saya takutkan terhadap umatku adalah syirik kecil (ashghar)".

Para sahabat bertanya, "Apakah syirik kecil itu hai Rasulullah?"

Maka, baginda menjawab, "Riyak. Allah SWT berfirman kepada mereka pada hari kiamat ketika semua manusia telah diberikan semua balasannya, 'Pergilah kepada orang-orang yang kalian beramal di dunia kerananya, dan lihatlah apakah kalian akan mandapatkan balasan dari mereka?" (Hadis Riwayat Ahmad)


Syirik kecil memadailah dia beristighfar dan bertaubat kepaad Allah SWT.


737. Soalan :  Ustaz maaf saya tak pasti soalan ini pernah diutarakan atau tidak... Kami sedang berfikir mengenai istilah payung emas... Betul isteri yang sudi berpoligami akan di beri payung emas di akhirat nnt.... Mohon beri pandangan...

Jawapan :   

Tidak ada hadis sahih menjelaskan isteri yang membenarkan suaminya berpoligami akan mendapat payung emas. Sebenarnya dalam hadis yang sahih menjelaskan bahawa isteri solehah di dunia akan menjadi ketua bidadri di syurga yang mana kecantikannya melebihi kecantikan bidadari-bidadari bermata jeli. Daripada Umm Salamah, isteri Nabi SAW, katanya :

Aku bertanya, "Ya Rasulullah, manakah yang lebih utama, wanita dunia ataukah bidadari bermata jeli?

Baginda menjawab, "Wanita-wanita dunia lebih utama daripada bidadari-bidadari seperti kelebihan apa yang nampak dari apa yang tidak terlihat."

Aku bertanya, "Mengapa wanita-wanita dunia lebih utama daripada bidadari?"

Baginda menjawab, "Kerana solat mereka, puasa dan ibadah mereka kepada Allah. Allah meletakkan cahaya di wajah mereka, tubuh mereka adalah kain sutera, kulitnya putih bersih, pakaiannya berwarna hijau, perhiasannya kekuningan, sanggulnya mutiara dan sisirnya terbuat dari emas."

Mereka berkata : "Kami hidup abadi dan tidak mati. Kami lemah lembut dan tidak jahat sama sekali. Kami selalu mendampingi dan tidak beranjak sama sekali. Kami reda dan tidak pernah bersungut-sungut sama sekali. Berbahagialah orang yang memiliki kami dan kami memilikinya."

(Hadis Riwayat ath-Tabrani)

Subhanallah...alangkah mulianya darjat seorang wanita solehah! Sehingga dikatakan lebih baik daripada bidadari syurga. Semoga hadis ini menjadi motivasi bagi kita semua dalam memperbaiki diri agar menjadi lebih baik daripada bidadari syurga. InsyaAllah..
 

Apakah ciri-ciri wanita solehah yang lebih mulia itu? Pertama wanita solehah itu tak akan menghalang suaminya berpoligami dengan hati rela dan redha, tak ada sedikit pun rasa iri hati, hasad dengki dan memberontak kepada suaminya yang berpoligami. Wanita solehah seniasa mencintai Allah dan Rasul-Nya melebihi cintanya kepada dirinya sendiri dan manusia seluruhnya.

Wanita solehah tidak suka perangai wanita jahiliah yang suka berhibur dan berhias diri hingga menimbulkan fitnah dunia.

Wanita solehah tidak bermusafir melainkan bersama mahram atau suaminya. Kecuali dalam keadaan terpaksa dan berhati-hati menjaga keselamatan dirinya.

Wanita solehah sentiasa membantu dalam perkara kebenaran, kebajikan dan takwa dan menjauhkan dirinya daripada membantu dalam bermaksiat kepada Allah S.W.T.

Wanita solehah sentiasa bersedekah dan infak di jalan Allah, samaada dalam keadaan susah atau senang.

Wanita solehah sentiasa berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, adik beradik dan kaum kerabatnya, tidak suka memutuskan silaturahim

Wanita solehah sentiasa menjaga solat fardu , puasa Ramadan, mentaati suaminya dan menjaga kehormatan diri.

Wanita solehah sentiasa menjaga hubungan baik dengan jiran tetangga dan menghormati tetamu.

Wanita solehah bukanlah dilihat dari bentuk tubuh badannya yang mempersona, tetapi dilihat dari sejauh mana ia menutupi bentuk tubuhnya yang mempersona itu.

Wanita solehah bukanlah dilihat dari sebanyak mana kebaikan yang diberikannya , tetapi dari keikhlasan ketika ia memberikan segala kebaikan itu.

Wanita solehah bukanlah dilihat dari seberapa indah lantunan suaranya menyayi dan bernasyid, tetapi dilihat dari apa yang sering mulutnya bicarakan yang benar, tidak mengumpat, mengadu domba dan keluar kata-kata kesat.

Wanita solehah bukan dilihat dari keahliannya berbahasa dan berpidato, tetapi dilihat dari bagaimana caranya ia berbicara dan berhujah untuk menegakkan kebenaran.

Berdasarkan ayat 31, surah An Nurr, Abdullah Ibn Abbas dan lain-lainnya berpendapat,

"Seseorang wanita Islam hanya boleh mendedahkan wajah, dua tapak tangan dan cincinnya di hadapan lelaki yang bukan mahram"(As Syeikh Said Hawa di dalam kitabnya Al Asas fit Tasir)

Firman Allah S.W.T maksudnya : "Janganlah perempuan -perempuan itu terlalu lunak dalam berbicara sehingga menghairahkan orang yang ada perasaan dalam hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan yang baik-baik"(Surah al-Ahzab ayat 32)

Wanita solehah bukan dilihat dari keberaniannya dalam berpakaian yang berfesion dan mahal-mahal tetapi dilihat dari sejauh mana ia berani mempertahankan kehormatannya melalui apa yang dipakainya. Bertudung labuh dan berbaju kurung tidak membenarkan bentuk tubuhnya di tonton oleh lelaki yang bukan mahram.

Wanita solehah bukan dilihat dari kekhuwatirannya digoda orang di tepi jalanan tetapi dilihat dari kekhuwatirannya dirinyalah yang mengundang orang tergoda.

Wanita solehah bukanlah dilihat dari seberapa banyak dan besarnya ujian yang ia jalani tetapi dilihat dari sejauh mana ia menghadapi ujian itu dengan penuh rasa reda dan kehambaan kepada Tuhannya, dan ia sentiasa bersyukur dengan segala kurniaan yang diberi.

Wanita solehah bukan dilihat dari sifat mesranya dalam bergaul tetapi dilihat dari sejauh mana ia mampu menjaga kehormatan dirinya dalam bergaul dan sentiasa menjauhkan dirinya daripada fitnah
Wanita solehah itu berhati lembut, menyenangkan dan menyejukkan bila dipandang mata serta menenteramkan hati setiap pemiliknya. Dialah wanita solehah yang menjaga kesucian dirinya. Allah telah menetapkan beberapa wanita mulia sebagai penghuni surga dan penghulu (pemimpin) para bidadari.

Firman Allah S.W.T. dalam surah ad-Dukhan ayat 51-54 maksudnya : "Sesungguhnya orang-orang bertakwa berada di tempat yang aman. Di dalam taman-taman dan mata air-mata air. Mereka memakai sutera halus dan sutera tebal (duduk) berhadap-hadapan. Demikianlah dan Kami jodohkan mereka kepada bidadari-bidadari bermata jeli".

Ingatlah wahai lelaki mukmin! Orang yang terbaik dikalangan kalian adalah orang yang berbuat baik kepada isterinya (wanita solehah) dan memuliakan kaum wanita. Nabi S.A.W mengatakan orang lelaki yang menghina wanita adalah orang yang tidak tahu budi.

Rasulullah SAW bersabda, “Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya, dan yang berbuat baik kepada ahli keluarganya.” (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi) Lagi sabda Rasulullah SAW, “Sebaik-baik kamu adalah yang terbaik terhadap keluarganya; dan aku adalah yang terbaik dari kamu terhadap keluargaku. Orang yang memuliakan kaum wanita adalah orang yang mulia, dan orang yang menghina kaum wanita adalah orang yang tidak tahu budi.” (Hadis Riwayat Abu ‘Asakir).

Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud " Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan itu adalah wanita solehah. "

Begitulah Islam memuliakan wanita solehah bukan saja dia adalah bidadari di dunia tetapi dia juga akan menjadi ketua bidadari di syurga.


738. Soalan : Ustaz saya ada kemuskilan .apa hukum seorang perempuan menghantar jenazah kekubur.ada setengah orang kata perempuan tidak boleh menghantar jenazah ke kubur.pada pendapat saya kalau kita tidak boleh macamana nak dengar bacaan talkin. rasanya talkin untuk teladan yg hidup.bukan begitu ustaz.takkan tunggu mati baru boleh dengar talkin.harap ustaz dapat beri penerangan .

Jawapan : 

Hukum Ziarah Kubur Bagi Wanita

Keadaan wanita berbeza dengan lelaki dari segi emosi dan perasaan. Perasaan mudah tersentuh dengan apa sahaja yang berlaku sering dikaitkan dengan mereka. Apabila seseorang yang dikenali meninggal dunia, lebih-lebih lagi jika orang tersebut adalah seseorang yang disayangi atau terlalu rapat dengannya selalunya membangkitkan perasaan emosi dan ada sesetengahnyatidak dapat membendung perasaan sehingga meraung-raung di depan mayat atau di tanah perekuburan.

Menurut pendapat jumhur ulama, hukum ziarah kubur bagi wanita adalah makruh kerana ditakuti boleh mengundang fitnah atau ditakuti mereka menangis dengan mengeluarkan suara yang nyaring meratapi kepergian si mati.

Dalil yang menunjukkan bahawa hukum bagi perempuan menziarahi kubur adalah tidak haram berdasarkan beberapa hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam seperti berikut:

1. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu,katanya:

Maksudnya: “Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam berjalan melintasi seorang wanita yang sedang menangis di kubur anaknya, lalu Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Bertaqwalah engkau kepada Allah dan bersabarlah.” (Hadits muttafaq ‘alaih)

Daripada hadits di atas dapat difahami bahawa menziarahi kubur bagi wanita tidak dilarang. Ini kerana jika perbuatan tersebut dihukumkan haram, sudah tentunyalah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menegur ataupun melarang wanita tersebut daripada menziarahi kubur.

2. Sayyidatuna ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam tentang doa yang boleh dibacanya apabila berziarah ke perkuburan. RasulullahShallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Katakanlah: “Mudah-mudahan Allah limpahkan keselamatan ke atas ahli kubur daripada orang-orang mukmin dan orang-orang Islam dan semoga Allah merahmati orang-orang terdahulu dari kalangan kami dan orang-orang yang terkemudian, dan sesungguhnya sekiranya kami diizinkan oleh Allah kami akan bertemu dengan kamu.” (Hadits riwayat Muslim)

Hadits di atas adalah dalil yang menunjukkan bahawa tidak haram bagi perempuan berziarah kubur.

Namun perlu diingat, bahawa hukum berziarah kubur bagi perempuan ini bergantung pada tujuan dan keadaannya ketika berziarah. Hukum asalnya adalah makruh sekalipun tujuannya untuk mengambil iktibar, untuk mengingatkan kepada kematian, alam barzakh dan alam akhirat. Di samping itu, perempuan tersebut dapat menjaga adab kesopanan ketika berziarah, dapat menahan diri dari kesedihan atau dukacita yang bersangatan dan aman dari segala fitnah.Manakala apabila berlaku tujuan dan keadaan yang sebaliknya, maka hukum makruh tersebut akan bertukar kepada haram.

Menurut setengah ulama, jika tujuannya adalah untuk menimbulkan semula perasaan dukacita dan untuk meratapi si mati, maka adalah haram baginya menziarahi kubur. Begitu juga jika sekiranya perempuan tersebut tidak menjaga adab kesopanannya semasa berziarah, tidak aman dari segala fitnah atau seumpamanya, maka haram baginya menziarahi kubur.

Berbeza pula hukumnya menziarahi kubur Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Hukumnya adalah sunat bagi perempuan dan lelaki. Begitu juga menurut sebahagian ulama, sunat berziarah ke kubur para nabi, para ulama dan aulia.
 

Hukum isteri yg kematian suami mengiringi jenazah suaminya hingga kekubur tidak di benarkan kerana isteri tersebut dalam iddah 4 bulan 10 hari.

739. Soalan : Ustaz..saya ingin bertanya apakah maksud mandi wiladah? Ada kah ia wajib? Sesetengah golongan ibu mengatakan ia tak wajib jika mengikut mahzab syafie.. Sesetengah golongan ibu mengatakan mandi wiladah harus di buat selepas melahir kan anak. Mohon pencerahan..

Jawapan : 

Memang terdapat sedikit kekeliruan dalam soal mandi wiladah ini. Akibat kekeliruan tersebut, maka terdapat ibu yang melahirkan anak ‘mandi wajib’ dua kali iaitu mandi selepas melahirkan anak (wiladah) dan mandi sekali lagi selepas berhentinya darah nifas.

Perlu difahami bahawa tujuan ‘mandi wajib’ adalah untuk membolehkan seseorang itu menunaikan solat setelah berlakunya hadas besar. Oleh yang demikian sekiranya seseorang ibu yang melahirkan anak (wiladah) itu mendapati tidak ada darah nifas yang keluar selepas wiladah, maka baharulah diwajibkan untuk mandi bagi membolehkannya menunaikan solat.

Akan tetapi sekiranya selepas melahirkan atau wiladah, terdapatnya darah nifas (iaitu darah yang datang selepas melahirkan anak), maka ibu tersebut tidak diwajibkan mandi wiladah, sebaliknya hendaklah menunggu sehingga kering darah nifas tersebut, baharulah ia mandi wajib untuk membolehkannya menunaikan solat. Mengikut pandangan para fuqaha’ sebagaimana yang telah dinukilkan dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji ‘Ala Mazhab al-Imam al-Shafie, darah nifas yang paling sedikit adalah datang sekali sahaja, manakala kadar maksima ialah sebanyak 60 hari. Namun, secara kebiasaannya, darah nifas keluar selama 40 hari.


740. Soalan : Apa hukumnya anak dara mandi lewat malam..atas pukul 12.00 temgah malam.?

Jawapan : 

Adakah mandi pada waktu malam boleh mendatangkan kemudaratan pada kesihatan? Ramai kalangan masyarakat Malaysia mengatakan amalan sebegini boleh mendatangkan pelbagai masalah kesihatan.

Adakah benar persepsi tentang tabiat mandi pada waktu malam boleh mendatangkan penyakit kronik? Apa kata pakar dalam penjagaan kesihatan tentang isu ini?

Menurut kajian doktor pakar perubatan menjelaskan kajian menunjukkan yang mandi bukan sahaja boleh membersihkan badan daripada kotoran tetapi juga boleh menghilangkan stres.

Mandi memainkan peranan penting dalam mempertingkat sistem imun badan selain mengelak berlakunya penyakit kulit seperti ekzema dan masalah kesihatan lain.

Kebanyakan penyakit kronik antaranya diabetes, hipertensi, kegagalan buah pinggang dan masalah kardiovaskular muncul daripada kegagalan sistem dalam badan, cara pemakanan dan gaya hidup kita. Tiada bukti yang mengatakan mandi pada waktu malam boleh mendatangkan penyakit-penyakit ini,

Air mandian suam boleh membuka liang-liang roma badan dan membantu menghilangkan toksin. apabila kita mandi di waktu malam.

Mandi dengan air hangat boleh mengurangkan sakit otot dan membantu usus berfungsi dengan baik. Tapi kalau anda sedang mengalami stres, mandi dengan air sejuk boleh membantu.

Tetapi bagaimana dengan isu mandi pada waktu malam?

Negara kita mempunyai iklim tropika di mana cuacanya adalah panas dan lembab dan oleh itu mandi malam tidak mendatangkan kemudaratan.

Lainlah kalau anda menghidapi pneumonia dan tinggal di negara yang mempunyai iklim musim sejuk ketika ini tak baik mandi di waktu malam.. Mandi malam adalah baik kerana ia membersihkan badan daripada bakteria dan virus.

Amalan mandi adalah penting bagi gaya hidup sihat. Di hospital juga, pesakit yang boleh berjalan dan boleh mandi, memang di galakkan mandi. Kegagalan mandi yang secukupnya boleh mendatangkan penyakit kulit dan juga bau badan.

Bakteria boleh bertindak pada peluh dan ini membangkitkan bau badan, kesegaran mandi membuatkan badan lebih sihat, selain membersihkan bakteria daripada permukaan kulit

Pembersihan kulit berlaku bila kita mandi. Lebih baik lagi jika kita menggunakan sabun antibakteria,dan menerangkan prinsip yang sama pada amalan membasuh tangan.

Tidak ada nas yang melarang gadis mandi malam selepas jam 12 malam boleh mendatangkan mudharat, hanya sebaik-baiknya waktu selepas 12 malam waktu sejuk dan jika tak ada keperluan seperti mandi hadas kerana haid maka mandilah selepas magrib atau isyak sahaja . Wallahu a'lam

No comments:

Post a Comment