Monday, September 8, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 150 (Hukum Mewarnakan Rambut, Ayat al-Quran Rawatan Kanser, Cara Berdoa Angkat Tangan Yang Betul, Pertunangan Dalam Islam Dan Hutang (Menuntut Hutang Di Bayar).)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sahabat yang dirahmati Allah,    
Tanyalah Ustaz Siri 150 adalah menjelaskan persoalan hukum mewarnakan rambut, ayat al-Quran rawatan kanser, cara berdoa angakt tangan yang betul, pertunangan dalam Islam dan hutang (menuntut hutang di bayar).

706. Soalan :  Saya nak tanya..boleh kah seseorang mewarnakan rambut dengan warna hitam?

Jawapan : 

Warna rambut hendaklah selain daripada warna hitam, kerana menutupi uban dengan warna hitam adalah dilarang oleh Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam. Di dalam satu hadis, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda kepada Abu Quhafah yang sudah keputihan rambut dan janggutnya, “Ubahlah ini dengan sesuatu, dan jauhi warna hitam”. (Diriwayatkan oleh Muslim, 3/1663, no: 2102). Dalam mazhab Syafie, mewarnakan rambut dengan hitam tidak dibenarkan untuk wanita kecuali dengan izin suami.
 

Dalam Fatwa Malaysia (JAKIM) : Hukum Wanita Mewarnakan Rambut
ISU:
Bolehkah wanita mewarnakan rambutnya dengan warna seperti merah atau oren. Adakah sah mandi wajib wanita yang mewarnakan rambutnya?

PENJELASAN:
Mewarnakan rambut kebiasaannya dilakukan sama ada untuk menutupi uban di kepala ataupun semata-mata untuk kecantikan.

Bagi kedua-dua tujuan tersebut, hukum asal mewarnakan rambut sama ada dengan inai atau lain-lain bahan adalah harus selagi mana perkara-perkara berikut dijaga:

1. Tidak menyerupai wanita-wanita bukan Islam. Sekiranya suatu warna, fesyen warna, gaya warna, ataupun bahan pewarna itu kebiasaannya hanya digunakan oleh golongan bukan Islam, di mana jika seseorang Muslimah memakainya dia akan kelihatan seperti wanita bukan Islam, maka tidak harus mewarnakan rambut dengan warna, gaya, fesyen atau bahan demikian. Kerana Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُم Maksudnya, “Sesiapa menyerupai suatu kaum, maka dia termasuk sebahagian daripada mereka”. (Hadis Riwayat Abu Daud, 4/44, no: 4031).

2. Wanita bersuami hendaklah mendapat keizinan suaminya untuk mewarnakan rambut. Jika suaminya tidak mengizinkan, maka isteri tidak harus melakukannya.

3. Wanita yang sedang dalam tempoh edah kematian suami tidak diharuskan mewarnakan rambutnya, kerana mewarnakan rambut termasuk dalam perbuatan menyerlahkan kecantikan, dan ia dilarang terhadap wanita yang dalam edah kematian suami.

4. Warna rambut hendaklah selain daripada warna hitam, kerana menutupi uban dengan warna hitam adalah dilarang oleh Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam. Di dalam satu hadis, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda kepada Abu Quhafah yang sudah keputihan rambut dan janggutnya, “Ubahlah ini dengan sesuatu, dan jauhi warna hitam”. (Diriwayatkan oleh Muslim, 3/1663, no: 2102). Dalam mazhab Syafie, mewarnakan rambut dengan hitam tidak dibenarkan untuk wanita kecuali dengan izin suami.

5. Bahan yang digunakan untuk mewarnakan rambut hendaklah daripada bahan-bahan yang suci. Maka tidak harus menggunakan bahan najis atau bercampur dengan bahan najis.

6. Bahan yang digunakan sebagai pewarna hendaklah daripada jenis bahan yang hanya meninggalkan warna dan bukannya bahan yang melekat dan melapisi rambut yang boleh menghalang air daripada mengenai anggota mandi wajib.

7. Mewarnakan rambut dilakukan bukan untuk tujuan mendedahkan kecantikannya kepada khalayak yang bukan mahram. Jika tujuan mewarnakan rambut adalah untuk diperlihatkan kepada mereka, maka haram hukumnya. Justeru, wanita yang tidak bertudung di khalayak adalah haram mewarnakan rambut kerana ia adalah maksiat berganda; pertama kerana mendedahkan aurat, dan kedua kerana melakukan tabarruj (berhias-hiasan) di hadapan khalayak ajnabi.


Berkenaan dengan mandi wajib bagi wanita yang mewarnakan rambut, para ulama bersepakat bahawa kewujudan bahan yang melekat dan melapisi anggota mandi akan menghalang sahnya mandi wajib. Justeru, perkara ke-6 di atas hendaklah dijaga bagi mengelakkan masalah ketika mandi wajib.

Wallahu A’lam.


707. Soalan : ustaz..saya nak tanya sikit..ada tak ayat-ayat al-Quran yang  boleh kita amalkan bagi merawat pnyakit kanser n leukimia....

Jawapan : 

Secara umumnya, ayat-ayat Al-Quran yang berfungsi sebagai agen penyembuh kanser bermula dengan surah Al Mukminun, ayat 91 hingga 100 dan surah Al Hajj, bermula ayat 31 hingga 55.

Ayat surah Mukminun untuk dibaca pada waktu malam sebanyak tiga kali sama ada selepas maghrib atau isyak atau mana-mana masa yang sesuai pada waktu malam atau dibacakan di dalam sembahyang sama ada fardu, atau Qiyammulail.

Ayat surah Al Hajj tadi pula adalah untuk bacaan siang sebanyak tiga kali selepas subuh, zohor atau asar.

Jika tidak sempat, maka boleh dibaca pada bila-bila masa di waktu siang. Kesimpulannya, tiada alasan sibuk atau tidak sempat untuk seseorang pesakit melakukan amalan ini.

Selepas kali membaca ayat ini, pesakit boleh berdoa kepada Allah agar sakit mereka sembuh.

Ingat, berdoa dengan penuh keyakinan bahawa Allah berkuasa menyembuhkan setiap penyakit di dunia ini.

Kita telah pun berikhtiar dengan membaca ayat ini, lalu berdoa dan bertawakal kepada Allah, insya-Allah, pesakit akan merasakan perbezaannya setelah beberapa hari.

Dua rangkaian ayat yang saya berikan tadi, (Al Mukminun, Al Hajj), hendaklah diamalkan selama empat hingga lima minggu.

Baca dengan seikhlas hati dan penuh keyakinan. Setelah empat hingga lima minggu membaca ayat tadi, pesakit perlu pula membaca dua dari rangkaian surah-surah di bawah.

Surah Rangkaian Ayat

1. Al Anbiya' 38 hingga 50 dan Huud 60 hingga 80
atau
2. An Nahl 90 hingga 110 dan Yunus 55 hingga 70
atau
3. Qasas 66 hingga 88 dan Ibrahim 9 hingga 22
atau
4. Al Kahfi 38 hingga 60 dan Yunus 71 hingga 89

60 rangkaian ayat suci Al-Quran yang merupakan ayat spesifik penyembuh penyakit kanser. Malah, ayat ini bersifat khusus untuk setiap tahap kanser dan spesifik untuk setiap jenis kanser yang dialami.

Cuba amalkan ayat-ayat di atas dan yakin dengan sepenuh hati bahawa yang akan menyembuhkan penyakit adalah Allah SWT. Wallahu a'lam


708. Soalan : Ustaz bagimanakah cara angkat tangan yang betul semasa berdoa?

Jawapan : 

Berikut ini adalah kaedah atau cara menadah tangan dan berdoa dengan betul ;

1. Angkat tangan ke paras dada.


2. Rapatkan kedua-dua belah tapak tangan mengenai satu sama lain.


3. Apabila tapak tangan dirapatkan, urat atau garisan di tapak tangan akan bertemu dan menjadi melengkung berbentuk seperti huruf ‘ba’.


4. Titik bagi huruf ‘ba’ tu letakkan di hati. Kedudukan titik itu lebih rendah dari tangan yang kita tadah.


5. Duduklah dalam keadaan yang penuh sopan. Cara duduk yang terbaik ialah duduk iftirash (duduk seperti duduk antara 2 sujud) atau duduk seperti dalam tahiyyat akhir. Jika berdiri, tegakkan badan betul-betul. Jangan bersandar seperti orang malas!


6. Sepanjang berdoa, banyakkan memuji kebesaran Allah dan menyebut nama-nama Allah yang lain, bersesuaian dengan keperluan doa kita pada masa itu. Contohnya, jika berdoa mohon dipermurahkan rezeki, sebutlah nama Allah (ar-Rozzaq).


7. Doa diakhiri dengan puji-pujian pada Allah dan berselawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW.


8. Berdoalah dengan bersungguh-sungguh dari hati kita. Gunalah bahasa yang mudah difahami kerana Allah Maha Pengasih dan sangat memahami dan mendengar segala bicara tulus dari hambaNya. Walau dalam bahasa apa kita cakap, Allah pasti faham. Namun, kalau dapat berdoa dengan doa-doa yang diajarkan oleh Nabi SAW (dalam bahasa Arab), itulah yang terbaik.


9. Ajarkanlah adab berdoa ini kepada seluruh ahli keluarga anda sejak dari usia kecil. InsyaAllah ini akan dapat membentuk peribadi baik anak-anak menjadi menjalani kehidupan.


709. Soalan : Ustaz apakah syarat-syarat pertunangan di dalam Islam? Adakah di kira bertunag apabila seorang lelaki berkata " saya bercadang mengambil awak sebagai isteri saya, awak bersetuju? Maka jawab si wanita " saya bersetuju" adakah dengan persetujuan itu mereka sudah bertunang?

Jawapan : 

Ada pendapat yang mengatakan jika lelaki tanya wanita ,"saya berhajat nak ambil awak menjadi isteri saya adakah awak sudi?" Jawab si wanita , "saya setuju datanglah jumpa ayah saya. " dengan persetujuan tersebut telah menjadi tunang dan orang lain tak boleh masuk meminang. Pendapat ini tidak kuat untuk membenarkan wanita ini telah menjadi tunangnya apabila tak melibatkan wali atau mahram wanita tersebut. Dalam Islam apa saja urusan ada adab dan peraturannya, jika tanpa pengetahuan walinya wanita tadi belum sah menjadi tunang orang dan orang lain boleh masuk meminang melalui walinya dan jika walinya setuju secara asasnya boleh terjadi kerana walinya ada hak terhadap anak perempuannya dan dia sendiri tidak mengetahui bahawa ada orang lain yang telah menyatakan hasat hati kepada anaknya melalui anaknya sendiri. Oleh itu kita jangan mudah mengandaikan telah berlaku proses pertunangan jika tak melalui peraturan yang betul.
 

Hukum-hakam Dan Adab-adab Pertunangan Menurut Mazhab al-Shafi`i.

PENDAHULUAN.


Dalam coretan yang ringkas ini,kita akan membicarakan berkaitan dengan hukum-hakam pertunangan dan adab-adabnya menurut mazhab Shadi`i. Adab dan akhlak sering diabaikan oleh mereka yang dalam tempoh pertunangan. Adakalanya mereka tidak memerhatikan adab-adab serta hukum-hakam yang berkaitan dengannya, sehinggakan pertunangan itu dianggap seperti telah berkahwin. Masalah yang berlaku ini, bukan sahaja berlaku kepada orang awam, malahan mereka yang berstatus 'ustaz' sekalipun kadangkala mangabaikan perkara ini. Oleh yang demikian, dalam catatan yang ringkas ini, kita akan membicarakan sedikit sebanyak perkara yang berkaitan dengannya, agar ianya menjadi peringatan kepada kita semua dalam mengharungi kehidupan yang penuh mencabar ini. Juga ianya ditujukan kepada pemuda dan pemudi Islam yang kemungkinan ramai di kalangan mereka yang telah bertunang pada masa ini. Semoga perbincangan yang ringkas ini, dapat dijadikan panduan dalam mengamalkan Islam yang berdasarkan kepada mazhab Shafi`i.

Berdua-duaan Dengan Tunang Dan Bercampur Dengannya
Pertunangan di sisi Islam adalah sama sahaja hubungannya sebelum berkahwin. Oleh yang demikian, orang yang bertunang masih dianggap ajnabi. (Muhammad al-Zuhayli (2010), al-Mu`tamad Fi al-Fiqh al-Shafi`i, j. 4. Dar al-Qalam: Dimashq, h. 47). Dalam hal ini, perbezaan antara bertunang dan sebelum bertunang adalah dari sudut ikatan perjanjian yang dibuat sebelum berkahwin. Namun, dari sudut hubungan antara lelaki dan perempuan, sama sahaja hukumnya dengan orang lain yang masih belum bertunang. Ikatan perjanjian yang dibuat akan berterusan sehingga mereka berdua berkahwin.

Apabila hukum perhubungan antara lelaki dan perempuan adalah sama sahaja sama ada sebelum bertunang atau setelah bertunang, maka mereka berdua haram untuk berkhalwat di tempat sunyi, mereka juga tidak boleh bersentuhan tangan, bercampur tanpa ditemani mahram, keluar berdua-duaan ke pasaraya, taman dsb. Dalam hal pertunangan ini, mereka tidak boleh mendakwa bahawa dengan keluar berdua-duaan itu akan lebih mengenali antara satu sama lain. Ini kerana, apabila mereka keluar berdua-duaan itu, biasanya mereka akan berlakon, dan tidak mempamerkan diri mereka yang sebenar. (Muhammad al-Zuhayli (2010), al-Mu`tamad Fi al-Fiqh al-Shafi`i, j. 4. Dar al-Qalam: Dimashq, h. 47).

Hubungan Melalui SMS :

 
Adakah bermesej dengan tunang menerusi handset, dikira sebagai khalwat juga? Berdasarkan kepada karya fiqh mazhab Shafi`i, perbahasan hukum berkaitan dengan hal ini tidak dibincangkan kerana pada zaman dahulu, tidak sama dengan zaman kita sekarang. Berdasarkan pemahaman kita dari karya fiqh ulama terdahulu, khalwat itu ialah berdua-duaan di tempat sunyi, yang tidak diperhatikan oleh orang lain. Berdua-dua tersebut pula adalah dari sudut fizikal, bukannya sekadar suara sahaja. Oleh yang demikian, berdua-duaan secara fizikal seperti ini, amat mendekati zina.

Berlainan dengan sms yang dilakukan kini, ianya tidak melibatkan suara perempuan, ianya hanya dalam bentuk ayat yang ditulis. Oleh itu, penulis berkecenderungan untuk mengatakan bahawa selagi mana sms yang dihantar itu tidak ke arah membangkitkan shahwat, maka selagi itu ianya dibolehkan. Ianya banyak bergantung kepada objektif sms itu dihantar oleh seseorang sama ada untuk menggoda, atau sekadar bertanya khabar dan sebagainya. Ianya bukan haram secara total. Sekiranya sms yang dihantar itu adalah dengan objektif yang baik atau sebaliknya, maka ianya akan membawa kepada implikasi hukum tertentu sama ada haram, makruh, mubah atau sebagainya. Oleh itu, sms dan seumpamanya yg ada pada zaman kini yang melibatkan pergaulan antara lelaki dan perempuan, banyak melibatkan objektif si pelaku.

Hukum Lelaki Memandang Wanita.


Bagi kes lelaki yang telah baligh, maka haram bagi lelaki melihat susuk tubuh wanita ajnabi, walaupun lelaki yang memandang itu terdiri daripada warga emas sekalipun. (Muhammad al-Zuhayli (2010), al-Mu`tamad Fi al-Fiqh al-Shafi`i, j. 4, h. 49). Ada orang faham bahawa memandang wajah dan telapak tangan wanita ajnabi adalah dibolehkan kerana ianya bukan aurat. Namun menurut mazhab Shafi`i, memandang wajah dan dua telapak tangan wanita ajnabi juga dikira haram sekiranya tiada keperluan untuk memandangnya, walaupun berada dalam keadaan aman daripada fitnah sekalipun. Demikian juga wanita haram melihat lelaki ajnabi sekiranya tiada keperluan. (Muhammad al-Zuhayli (2010), al-Mu`tamad Fi al-Fiqh al-Shafi`i, j. 4, h. 49.) Keperluan dalam hal ini seperti untuk bermuamalah dan sebagainya yang memerlukan seseorang lelaki memandang wanita atau sebaliknya. Atau memandang kepada tunang mendorong kepada perkawinan.

Hukum-hakam yang diistinbatkan seperti ini adalah berdasarkan kepada firman Allah Taala dalam surah an-Nur ayat 30, " Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan." 


Firman Allah SWT dalam surah an-Nur ayat 31 maksudnya, "Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka.."

Berdasarkan pandangan yang dikemukakan dalam mazhab Shafi`i, bermakna ianya amat menitik beratkan soal perhubungan antara lelaki dan wanita. Ianya banyak mengambil sikap berhati-hati (ihtiyat) daripada mengambil sikap mudah. Oleh itu, untuk mengamalkan apa yang disebutkan di atas, kemungkinan menjadi begitu sukar oleh sesetengah pihak, kesukaran tersebut disebabkan mereka memandang ringan akan hal ini. 


Selain itu, amar makruf dan nahi mungkar telah diabaikan dalam masyarakat kita sehingga membiarkan sahaja budaya couple antara lelaki dan wanita yang berlaku kepada para remaja. Oleh itu, untuk kembali kepada ajaran agama yang sebenar, telah menjadi kesukaran pula kepada mereka untuk mengamalkannya. Dengan yang demikian, usaha dakwah disusuli dengan amar makruf dan nahi mungkar, perlu dijalankan secara berterusan, agar masyarakat kita kembali kepada landasan Islam yang sebenar. 

Walaupun kita mengaku bermazhab Shafi`i, tetapi banyak perkara yang telah kita abaikan dalam melaksanakannya, lebih-lebih lagi di kalangan generasi muda yang hanyut dengan arus pemodenan, serta budaya hedonisme yang melalaikan.
 

Beberapa Keadaan Di Mana Lelaki Dibolehkan Memandang Wanita.
 
Diharuskan lelaki memandang wanita ajnabi, atau menyentuhnya, sekiranya perlu seperti dalam kes perubatan, walaupun perkara yang disentuh itu adalah faraj sekalipun. Ini kerana sekiranya diharamkan juga dalam hal perubatan ini, maka akan membawa kepada kesukaran. Oleh itu, syarak membenarkannya. Perubatan yang dilakukan itu sama ada orang lelaki merawat wanita, atau sebaliknya. 


Dalam hal melakukan perubatan seperti itu, mestilah dihadiri oleh mahram, atau suami, atau wanita yang dipercayai, dengan syarat, tiada doktor wanita pada masa itu, atau tiada doktor lelaki untuk merawat orang lelaki. Doktor berlainan jantina yang merawat itu, mestilah melihat di tempat-tempat yang perlu sahaja, tanpa melampaui batas. (Muhammad al-Zuhayli (2010), al-Mu`tamad Fi al-Fiqh al-Shafi`i, j. 4, h. 50). Keharusan merawat dalam keadaan seperti ini.

Dalam hal muamalah seperti jual beli dan sebagainya, maka diharuskan juga lelaki melihat wajah wanita. (Muhammad al-Zuhayli (2010), al-Mu`tamad Fi al-Fiqh al-Shafi`i, j. 4, h. 51). Dalam hal muamalah ini, mengenali pelanggan adalah begitu penting agar penjual mendapat ramai pelanggan, menghindarkan diri daripada tipu daya, melaksanakan tuntutan akad, mengembalikan barang dan sebagainya. 


Oleh itu, memandang wajah dan mengenalinya adalah begitu penting dan merupaka satu keperluan yang telah mencapai tahap darurah. Selain perubatan dan muamalah, dalam hal pembelajaran pun lelaki boleh melihat wanita dan wanita boleh melihat lelaki. (Muhammad al-Zuhayli (2010), al-Mu`tamad Fi al-Fiqh al-Shafi`i, j. 4, h. 51).

Ini bermakna, lelaki dan wanita perlu menjaga hukum-hakam yang telah disebutkan di atas dalam perhubungan mereka. Penjagaan seperti ini amat penting, untuk menjadikan orang Islam hidup dalam ketenangan dan keberkatan yang bersumberkan rahmat Allah S.W.T.

Penutup.

 
Berdasarkan kepada perbincangan ringkas di atas, bermakna kita perlu menjaga hukum-hakam dan adab-adab yang berkaitan dengan perhubungan antara lelaki dan wanita terutamanya mereka yang telah bergelar tunangan orang. Di dalam Islam, tidak bermakna, orang lelaki tidak boleh berhubung dengan wanita secara total. Tidak sedemikian. Perkara yang dilarang ialah perhubungan yang tidak beretika, serta melanggar batas-batas syarak. Islam tidak menghalang wanita keluar rumah untuk mencari pekerjaan, berniaga, belajar dan sebagainya. 


Apa yang Islam sebutkan ialah batasan yang perlu dijaga, agar diri mereka tidak terjebak dengan perkara fitnah yang boleh membinasakan. Oleh itu, dalam hal pertunangan ini, batas-batas agama dalam pergaulan perlu dijaga. Ini kerana, selagi mana mereka masih belum berkahwin, selagi itu mereka seperti orang lain yang ada hukum halal dan haram dalam perhubungan. Wallahua`lam.

710. Soalan : Ustaz rakan saya ada pinjam duit saya sudah setahun dan saya cuba memintanya tetapi rakan saya buta tak tahu saja, bagaimana cara saya nak dapatkan hutang saya ustaz adakah terdapat cara-cara yang memudahkan urusan ini?

Jawapan :  

Puan berhak meminta rakan puan yang berhutang dengn puan supaya bayar segera hutang tersebut. Cuma puan mintalah cara yang berhikmah supaya sejuk hati orang tersebut untuk membayar hutang. Jangan marah-marah semasa menuntut hutang dan jangan unkit-ungkit perberian yang lama. Ungkit mengungkit akan menghapskan amal soleh itu
 

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi SAW pernah bersabda maksudnya : "Sesungguhnya Allah SWT akan merahmati seorang yang lapang dadanya ketika menjual,membeli dan menagih hutang" (Hadis Riwayat Bukhari dari Jabir r.a.)

Huraiannya :

Sifat orang mukmin yang akan mendapat rahmat Allah SWT apabila dia berlapang dada semasa dia berniaga menjual barang kepada pelanggannya. Tidak menipu timbangan dan jelas akad jual beli tidak ada unsur-unsur menipu pelanggannya. Begitu juga ketika dia membeli tidak cerewet dan mudah dan mesra semasa membeli jika dia meminta potongan harga adalah dengan harga yang berpatutan tidak menyakitkan hati penjual. Begitu juga sifat mukmin yang terpuji sentiasa berlapang dada semasa menuntut hutangnya dan masih memberi ruang masa jika orang yang berhutang masih belum mampu. Dia tidak akan mengeluarkan kata-kata kesat kepada orang yang berhutang dan sentiasa menjaga ukhwah dan silaturahim.

Terdapat katu kisah dizaman Bani Israel seorang lelaki yang kurang amal ibadahnya ketika di dunia tetapi cukup berlapang dada semasa menuntut hutangnya apabila ditanya oleh Allah SWT di hari akhirat tentang amalan kebaikannya. Beliau menjawab semasa menuntut hutang dia berlapang dada dan tidak membebankan orang yang berhutang, maka Allah SWT mengampunkan dosa-dosanya dan dia dimasukkan kedalam syurga dengan rahmat Allah SWT.
 

Untuk pemberi hutang pula jika orang yang berhutang dengannya tidak berkemampun untuk membayarnya maka berilah tempuh yang sewajarnya atau jika boleh halalkan saja itu lebih baik kerana ada hadis di riwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah SAW. bersabda yang maksudnya : "Sesiapa yang menangguhkan hutang orang yang belum dapat membayarnya atau membebaskannya, pada hari kiamat kelak Allah SAW akan menaunginya di bawah naungan Arasy, di mana pada hari tersebut tidak ada naungan kecuali naungan-Nya." (Hadis Riwayat Tirmizi).

No comments:

Post a Comment