Wednesday, September 3, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 143 (Pawah Kebun, Mengatasi Was-was, Fidyah Tak Berganda, Niat Untuk Melakukan Dosa dan Jin Ada Islam dan Kafir.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sahabat yang dirahmati Allah,    
Tanyalah Ustaz Siri 143 adalah menjelaskan persoalan pawah kebun, mengatasi was-was, fidyah tak berganda, niat untuk melakukan dosa dan jin ada Islam dan kafir.

671. Soalan :  Apa pendapat ustaz tenteng pawah, seperti pawah kebun getah,ada sesetengah ustaz kata haram pawah 50-50 tuan kebun 50%, penoreh 50%.musykil juga sebab kebanyakkan orang kampung memang pawah kebun mereka.

Jawapan : 

Urusan pawah kebun getah, sawah padi, kebun kelapa sawit adalah di haruskan . Pembahagian adalah mengikut perjanjian dan persetujaun bersama-sama. Jika pemilik dan pengusaha bersetuju hasil yang di perolehi di bagi dua (50:50) maka ianya adalah haruskan. Tidak boleh satu pihak menindas pihak yang lain. Misalnya pegusaha di berikan hanya 20 % dan pemilik mendapat 80% maka cara ini zalim dan meganiaya pengusaha. Sekurang-kurangnya pengusaha mendapat 50% atau lebih misalnya 60% pengusaha dan memilik kebun mendapat 40%..
 

Pengertian, Hukum, Rukun dan Syarat Musaqah

Musaqah merupakan salah jenis kegiatan muamalah yang sering terjadi dimasyarakat, seperti halnya muzaraah dan mukhabarah.

Akad musaqah merupakan peluang bagi orang lain untuk bekerja dan mendapatkan hasil dari pekerjaannya dengan cara yang halal dan diredhai Allah SWT. Sedangkan bagi majikan juga merasa sangat terbantu. Islam sangat menganjurkan musaqah kerana memberi manfaat sosial yang sangat tinggi.
Pengertian dan dasar hukum Musaqah

Musaqah berasal dari kata al-saqa, yakni seseorang yang bekerja mengurus pohon anggur, kurma, tamar, getah, padi, kelapa, getah atau lainnya supaya mendatangkan kemaslahatan dan mendapatkan bagian tertentu dari hasil yang diurus sebagai imbalannya.

Musaqah secara istilah adalah mempekerjakan manusia untuk mengurus pohon dengan menyiram dan memeliharanya serta hasil yang direzekikan Allah SWT. dari pohon itu untuk mereka berdua memilikinya hasinya (pendapat Syekh Syihab ad-Din al-Qalyubi dan Syekh Umarah).

Dasar hukumnya dalah hadits Nabi SAW. riwayat Imam Muslim dari Ibnu Amr, r.a bahwa Rasulullah SAW. bersabda :

اعطى خيبر بشطر مايحرج من ثمراو زرع وفى رواية : دفع إلى اليهود خيبر وارضها على انيعملوها من اموالهم وان لرسول الله صلى الله عليه وسلم شرطها

maksudnya: “Memberikan tanah khaibar dengan separuh dari penghasilan, baik buah-buahan mahupun pertanian (tanaman).” Pada riwayat lain dinyatakan bahwa Rasulullah SAW menyerahkan tanah khaibar itu kepada Yahudi, untuk diolah dan modal dari hartanya, penghasilan separuhnya untuk Nabi SAW.
Rukun Musaqah

Rukun musaqah meliputi beberapa hal:

1) Antara pemilik kebun dan tukang kebun (penggarap) hendaknya orang yang sama-sama berhak bertasaruf (membelanjakan harta keduanya).

2) Kebun dan semua pohon yang berbuah boleh diparokan (bagi hasil), baik yang berbuah tahunan (satu kali dalam satu tahun) mahupun yang berbuah hanya satu kali kemudian mati, seperti jagung dan padi.


Syarat Musaqah

Syarat musaqah adalah sebagai berikut:

1) Ahli dalam akad.

2) Menjelaskan bagian penggarap.

3) Membebaskan pemilik dari pohon.

4) Hasil dari pohon dibagi dua antara pihak-pihak yang melangsungkan akad sampai batas akhir, yakni menyeluruh sampai akhir.

Tidak disyaratkan untuk menjelaskan mengenai jenis benih, pemilik benih, kelayakan kebun, serta ketetapan waktu.
Hikmah Musaqah

Memberi kesempatan pada orang lain untuk bekerja dan menikmati hasil kerjanya, sesuai dengan yang dikerjakan. Sementara itu, pemilik kebun/tanah garapan memberikan kesempatan kerja dan meringankan kerja bagi dirinya.


672. Soalan : Bagaimanakah cara kita hendak mengatasi was-was setelah mengambil wuduk untuk solat?

Jawapan : 

Apabila berlaku was-was maka was-was adalah daripada gangguan syaitan.Terdapat Berapa Cara Untuk Mengatasi Perasaan Was-Was :

1. Perasaan was-was yang mengganggu ibadah adalah gangguan fikiran dan syaitan. Hindarkan jiwa dari melayannya. Ini kerana melayannya bererti mengikut kehendak syaitan yang cuba menghilang fokus seseorang kepada ibadah dan cuba menjadikan seseorang itu akhirnya bosan, bimbang dan jemu dengan ibadah.

Para ulama seperti Ibn Jauzi (meninggal 597H), Ibn al-Qayyim (meninggal 751H) dan ramai lagi sejak dahulu menulis dalam berbagai karya untuk membenteras penyakit yang buruk ini.

2. Antara sebab utama berlakunya was-was; tidak memahami atau berpuas hati dengan praktikal Nabi SAW yang mudah dan senang dalam ibadah, terlalu melayan gangguan perasaan.

Kata al-Imam Ibn al-Qaiyyim: “Tanpa syak lagi sesungguhnya syaitan adalah punca kepada was-was. Mereka yang was-was mentaati syaitan, menyahut seruannya dan mengikuti perintahnya. Mereka berpaling daripada sunnah dan jalan baginda sehinggalah seseorang mereka menganggap apabila dia berwuduk sama seperti wuduk Rasulullah SAW atau mandi seperti baginda masih tidak bersih dan tidak hilang hadasnya. Jikalau tidak disebabkan dia diberikan kemaafan kerana kejahilannya, maka tindakan itu dianggap menentang Rasulullah SAW” (Ighathah al-Lihfan Min Masaid al-Syaitan, 134, Beirut: Dar Ibn Zaidun)

3. Antara ajaran yang menyebabkan was-was ialah pendapat yang mewajib mengurut kemaluan selepas kencing. Tiada nas yang sahih dalam perkara tersebut. Hanya yang diperintah agar kita membersihkan diri dari air kencing, bukan disyaratkan mesti mengurut kemaluan sehingga dipastikan segala yang ada dikeluarkan. Anggapan bahawa jika tidak diurut sehingga habis tidak sah solat adalah tidak benar.

Kata al-Syeikh Abd al-‘Aziz Ibn Baz r.h: “Adapun mengurut zakar agar keluar sesuatu adalah salah dan tidak wajar. Ia antara sebab berlakunya was-was dan tidak lawas. Hendaklah dihindari perkara ini. Sebaik sahaja terhenti kencing, maka berintinjak (cuci) dengan air…” (Ibn Baz, al-Fatawa al-Muta’allaqah bi al-Tibb wa Ahkam al-Marda, 35, Riyadh: Idarah al-Buhuth).

4. Bagi mengelakkan was-was yang merasai air kencing terkena pakaian atau masih terkeluar dari kemaluan, dicadangkan agar selepas membuang air kecil, diambil air dan direnjis pada pakaian yang berhampiran. Tujuannya, agar jika ternampak apa-apa kesan air, maka anggaplah itu air renjisan tadi. Al-Imam Ahmad telah ditanya oleh seorang lelaki yang selepas berwuduk masih merasa berhadas.

Kata al-Imam Ahmad: “Ambil air dalam tapak tangan dan renjis pada kemaluanmu dan jangan peduli lagi, kerana itu menghilangkan syak insya Allah”. (Ibn Qudamah, al-Syarh al-Kabir 1/94) Cadangan al-Imam Ahmad ini berteraskan hadis: “Bahawa Nabi SAW kencing, kemudian berwuduk dan merenjiskan air pada kemaluan baginda” (Hadis Riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani). Nabi SAW melakukan perbuatan tersebut sebagai panduan kepada kita.

5. Adapun rasa ‘keluar angin’ (kentut) tetapi tidak pasti atau tidak yakin bahawa betul-betul keluar atau hanya perasaan sahaja, maka itu tidak membatal wuduk dan solat. Nabi SAW mengajar kita agar perasaan was-was seperti ini tidak diambil kira. Dalam hadis al-Bukhari, “Seorang lelaki mengadu kepada Nabi SAW bahawa dia merasa sesuatu semasa dalam solatnya, apakah dia patut berhenti?. Jawab Nabi SAW: “Jangan sehinggalah mendengar bunyi (kentut) atau mendapati bau (kentut)”.

Maksudnya, Nabi SAW mengajar agar seseorang yang merasa terbatal wuduknya secara was-was atau tidak pasti tidak berhenti dari solat sehingga beliau benar-benar yakin terbatal. Solatnya tetap sah, mainan perasaan tidak diambil kira. Termasuklah dalam hal ini mereka yang terasa macam terkeluar air kencing, tetapi tidak pasti samada hanya perasaan atau benar-benar berlaku, maka solat masih dianggap sah. Melainkan dia yakin tanpa ragu bahawa angin atau air kecil benar-benar telah terkeluar.

6. Was-was adalah berpunca dari kurang faham sifat Islam ini. . Sedang Nabi SAW memberitahu kita: “Agama itu mudah. Tiada seorang yang memberat-beratkannya melainkan dia menjadi susah. Maka bersederhanalah, dekatilah yang tepat dan gembirakanlah mereka” (Hadis Riwayat al-Bukhari).

7. Orang yang selalu merasa was-was dalam ibadah sehingga melakukannya berulang-ulang kali, atau melayan perasaannya yang sentiasa merasa bebanan was-was hendaklah bertanyakan dirinya sendiri; untuk apa ia lakukan itu semua? Jika ia untuk Allah SWT maka hendaklah dia tahu bahawa Allah tidak meredhai tindakannya melayan gangguan perasaan atau syaitan yang seperti itu.

Layanan kepada perasaan was-was itu hanya mentaati syaitan atau ganggu emosi yang salah bukan mentaati Allah. Ikutilah arahan Allah SWT dan RasulNya tanpa melayan was-was. Was-was akan memalingkan seseorang dari mengikuti arahan Allah dan rasulNya secara betul.

8. Al-Quran menceritakan bahawa senjata was-was ini jugalah yang digunakan oleh Iblis sehingga membawa Adam melanggar arahan Allah.

Firman Allah SWT: (maksudnya) “Setelah itu maka syaitan telah mewas-waskan kepada Adam dengan berkata: “Wahai Adam, Mahukah aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap? Kemudian mereka berdua memakan dari pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun dari syurga; dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu dia tersalah jalan.” (Surah Taha ayat 120-121)


673. Soalan :  Ustaz, mohon penjelasan, saya ingin bertanya , Bagaimana cara untuk kita mengantikan puasa yang kita tinggal 5 tahun lepas (Ketika itu saya dalam keadaan pantang bersalin)?

Jawapan : 

Puasa yg ditinggalkan wajib qada jumlah yg ditinggalkan. Di samping puasa qada saudari juga dikenakan fidyah 1 cupak makanan asasi setiap hari yang ditinggalkan. Mengikut mazhab Syafie fidyah di gandakan setiap tahun yg ditinggalkan tetapi mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali tidak payah digandakan hanya bayar sekali sahaja. Jawatankuasa Fatwa telah dikemukakan dengan persoalan tentang hukum gandaan fidyah dan kifarah. Pihak Jawatankuasa diminta untuk memberi pendapat dan keputusan tentang perkara tersebut.
Keputusan:

1. Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syara' (Fatwa) Negeri Selangor yang bersidang pada 16 Januari 2001 telah sebulat suara membuat keputusan bahawa pembayaran-pembayaran fidyah dan kifarah yang tertangguh adalah tidak digandakan (harus). Ini menurut sebahagian pandangan mazhab Syafie.

2. Walaubagaimanapun, sekiranya pihak pembayar ingin membuat pembayaran fidyah dan kifarah secara berganda maka ianya boleh diterima.

3. Oleh itu, pembayaran fidyah dan kifarah ini diberi dua pilihan:

a. Digandakan pembayaran fidyah dan kifarah mengikut tahun yang ditinggalkan.

b. Tidak digandakan pembayaran.

4. Pandangan ini diambil kira ia berbetulan dengan ajaran Islam yang tidak sama sekali menyusahkan manusia yang menganut ajarannya

Keterangan/Hujah:

LATAR BELAKANG

1. Fidyah ialah satu istilah yang terdapat di dalam fiqh al-Islami. Ia lebih difahami sebagai "satu cara untuk menggantikan puasa Ramadhan yang tertinggal disebabkan keuzuran yang diterima oleh syarak atau tidak".

2. Jumlah fidyah yang dibayar adalah berdasarkan kepada bilangan puasa yang ditinggalkan. Sekiranya bilangan puasa yang ditinggalkan itu banyak, maka banyaklah fidyah yang perlu dibayar. Begitu juga sebaliknya.

3. Sekiranya jumlah yang perlu dibayar adalah sedikit, ia tidak menjadi masalah. Tetapi sekiranya jumlah tersebut terlalu tinggi, masalah akan timbul apabila berlaku penggandaan dalam pengiraan fidyah apabila pembayaran ditangguhkan untuk beberapa Ramadhan.

PENDAPAT ULAMA"

1. Terdapat dua pandangan terhadap masalah penggandaan kiraan fidyah tertangguh:

1) Tidak digandakan: ia adalah pandangan mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali.

Pandangan ini dikukuhkan dengan hujah bahawa penagguhan terhadap sesuatu ibadah tidak akan menambahkan bilangan ibadah tersebut sebagaimana yang berlaku kepada ibadah haji yang tertangguh.

2) Digandakan: Pandangan ini dikukuhkan dengan hujah bahawa setiap penagguhan tersebut membentuk fidyah yang lain. Fidyah yang bertambah tersebut tidak boleh disatukan menjadi satu.


674. Soalan : Ustaz...saya hendak bertanya.. ustaz apakah hukum seseorang itu berniat untuk mmbuat kejahatan tetapi tidak dilakukan..adakah dikira berdosa juga...terima kasih.

Jawapan : 

Dari Abdullah bin Abbas r.a. berkata: Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah mencatat segala hasanat (kebaikan) dan sayyiat (kejahatan) kemudian menjelaskan keduanya maka barangsiapa yang berniat akan melakukan kebaikan lalu dikerjakannya maka akan dicatat untuknya sepuluh hasanat mungkin ditambah hingga tujuh ratus kali lipat atau lebih dari itu.Dan apabila ia berniat akan melakukan sayyiat (kejahatan) lalu tidak dikerjakannya maka Allah mencatat baginya satu hasanat dan jika niat itu dilaksanakannya maka ditulis baginya satu sayyiat.” (Hadis Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim)

Walau pun niat yang belum dilaksanakan tidak mendapat dosa tetapi jika niat yang buruk itu bersarang di hatinya akan menjadi dosa kerana akan timbul perasaan dendam dan apabila sesaorang berazam untuk melakukan maksiat / dosa maka jika mati dengan niat buruk itu ada di hati akan berdosa sesuai dengan niat di hatinya. 

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:"Apabila dua orang muslim berbunuh-bunuhan dengan pedang maka pihak yang membunuh dan yang terbunuh kedua-duanya masuk neraka. Abu Bakrah bertanya, Wahai Rasulullah, orang yang membunuh memanglah masuk neraka tetapi bagaimana orang yang terbunuh pun masuk neraka? Jawab baginda, kerana ia berniat dengan bersungguh-sungguh hendak membunuh lawannya." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim). 

Contoh yang lain jika seeorang berniat nak mencuri dalam perjalanan berlaku kemalangan jalan raya dan dia mati dalam keadaan niat di hatinya untuk mencuri maka matinya dalam keadaan maksiat. Oleh itu niat juga akan mempengaruhi amal soleh seseorang, contoh kisah seorang lelaki telah membunuh 100 orang tetapi dia berniat nak bertaubat di dalam perjalanan dia meninggal dunia maka Allah SWT terima taubatnya kerana niat yang baik untuk dia bertaubat walaupun belum sampai ditempat yang dituju.

Islam melarang umatnya bersikap suka berdendam kerana dendam boleh menyebabkan kita jauh daripada rahmat Allah SWT. Perasaan dengki, dendam, marah dan perlakuan buruk kepada sesama Muslim adalah satu senjata pemusnah yang digunakan syaitan untuk memporak-perandakan hidup manusia. Lalu dibisikkan ke telinga manusia untuk menyemarakkan api kemarahan dan mendorong dendam.

Perlakuan buruk itu akan menghindari kita daripada berusaha meningkatkan ukhwah dan persaudaraan, apa lagi untuk saling bermaafan sesama kita. Sikap ini pasti menjauhi lagi hubungan silaturahim yang dituntut agama.

Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya perbuatan berbisik (dengan kejahatan) itu adalah daripada (hasutan) syaitan, untuk menjadikan orang beriman berduka cita; sedang bisikan itu tidak akan dapat membahayakan mereka sedikitpun melainkan dengan izin Allah; dan kepada Allah jugalah hendaknya orang beriman berserah diri." (Surah Al-Mujadalah, ayat 58)

Justeru, penting bagi kita untuk mengawal perasaan dendam dan marah supaya terbuka pintu kemaafan di hati kita terhadap kesalahan yang dilakukan oleh pihak lain. Sikap mengawal marah ini dititikberatkan Rasulullah SAW apabila seorang sahabat meminta nasihat.

Baginda bersabda yang bermaksud: "Jangan marah. Kemudian orang itu mengulangi permintaannya untuk mendapatkan nasihat. Sekali lagi Baginda SAW menjawab: Jangan Marah." (Hadis riwayat Bukhari)

Allah juga akan memberi ganjaran besar bagi mereka yang mampu mengawal perasaan marah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Siapa yang menahan perasaan marah sedangkan dia mampu untuk melaksanakannya (melepaskan kemarahannya), maka kelak pada hari kiamat, Allah akan memanggilnya di hadapan sekalian makhluk, kemudian disuruhnya memilih bidadari sekehendaknya." (Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi)

Untuk meredakan perasaan marah terhadap seseorang, hendaklah kita fokuskan jiwa melihat seteru kita daripada sudut positif. Mungkin ada banyak perkara baik pernah dia lakukan terhadap kita dan renungkanlah secara mendalam bagi memadamkan api kemarahan yang wujud dalam jiwa.

Contohnya, apabila kita marah melihat kesalahan dilakukan isteri maka hendaklah kita fokuskan perbuatan baik yang pernah dilakukannya sepanjang perkahwinan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Janganlah seorang mukmin membenci seorang mukminah. Apabila dia membenci sebahagian akhlaknya maka mungkin dia boleh meredai akhlaknya yang lain." (Hadis riwayat Muslim)

Perasaan marah yang tidak dapat dilenyapkan akan mewujudkan perasaan dendam. Maka hati akan berasa berat untuk memaafkan seseorang dan terbitlah perasaan benci serta ingin menjauhkan diri daripada orang itu.

Perasaan dendam juga akan menyebabkan kita menghukum pihak yang melakukan kesalahan dengan pelbagai perkataan buruk hina lagi mengaibkan yang tidak patut keluar daripada lidah jika kita benar-benar beriman kepada Allah.

Hendaklah kita sedaya-upaya menghindari untuk membalas kejahatan dilakukan orang lain dengan kejahatan atau mencela dan mengaibkan mereka. Jangan kita membalas celaan dengan celaan, umpatan dengan umpatan, caci-maki dengan caci-maki kerana ia hanya akan mengeruhkan suasana.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Jika ada seseorang mencelamu dengan sesuatu noda yang ada dalam dirimu, maka janganlah mencelanya dengan menunjukkan suatu noda yang ada di dalam diri orang itu." (Hadis Riwayat Imam Ahmad daripada Jabir bin Muslim)

Antara batu penghalang utama untuk kita menerapkan perasaan saling bermaaf-maafan adalah sikap yang kasar, keras kepala dan berhati batu. Oleh itu sikap lemah lembut dalam pergaulan seharian wajar menjadi sifat umat Islam terpuji.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Wahai Aisyah! Sesungguhnya Allah itu Maha Lembut dan mencintai kelembutan dan Dia memberikan atas (sebab) lemah lembut apa yang tidak Dia berikan atas (sebab) kekerasan dan yang tidak yang tidak dia berikan atas (sebab) selainnya." (Hadis riwayat Imam Muslim)

Allah menganugerahkan kepada Nabi dan Rasul-Nya sikap lemah lembut terhadap umat manusia dan sikap itu adalah daya tarikan terhadap dakwah mereka. Melalui sikap lemah lembut ini jugalah memunculkan sifat suka memaafkan kesalahan pihak lain.


675. Soalan : Ustaz..apakah status hadis berkenaan sebaik baik jin sejahat jahat manusia.

Jawapan : 

Kata-kata tersebut bukan hadis dan bukan kata-kata ulama . Kata-kata tersebut palsu dan tidak benar dan menyimpang apa yang di jelaskan di dalam al-Quran. Al-Quran menjelaskan bahawa ada dikalangan jin Islam yang soleh dan beriman dan ada dikalangan mereka yang kafir dan engkar. Mana boleh sejahat-jahat manusia adalah sebaik-baik jin seolah-olah kita mengatakan semua jin kafir lebih jahat daripaad firaun (kerana firaun adalah sejahat-jahat manusia).

Terjemahan Surah al-Jinn (72) ayat. 1-15

Bismillahi al-Rahman al-Rahim (Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani).


72-1: Katakanlah: "Telah diwahyukan kepadaku bahawa sekumpulan jin telah mendengarkan, lalu mereka berkata: Sesungguhnya kami telah mendengarkan al-Qur’an yang menakjubkan.”


72-2: “Memberi petunjuk kepada jalan yang benar, lalu kami beriman kepadanya. Dan kami tidak akan mempersekutukan seorang pun dengan Rab (Tuhan) kami.”


72-3: “Dan bahawasanya Ta’ala (Maha Tinggi) kebesaran Rab (Tuhan) kami, Dia (Allah) tidak beristeri dan tidak (pula) beranak”


72-4: “Dan bahawa orang yang bebal daripada kami mengatakan yang melampaui batas terhadap Allah.”


72-5: “Dan sesungguhnya kami mengira, bahawa manusia dan jin tidak akan mengatakan perkataan yang dusta terhadap Allah.”


72-6: “Dan bahawa ada beberapa orang laki-laki antara manusia meminta perlindungan kepada beberapa laki-laki antara jin, maka mereka (manusia) menjadikan mereka (jin) itu bertambah sombong.

72-7: Dan sesungguhnya mereka (jin-jin) menyangka sebagaimana sangkaan kamu, bahawa Allah tidak akan membangkitkan seorang (rasul) pun.


72-8: Dan sesungguhnya kami (jin) telah menyentuh (mengintip) langit itu, maka kami mendapatinya penuh dengan penjagaan yang kuat dan panah-panah api.


72-9: Dan sesungguhnya kami (dahulu) dapat menduduki beberapa tempat padanya (di langit) untuk mendengar-dengarkan. Tetapi sekarang sesiapa yang mendengar-dengarkan, tentu akan menjumpai panah api yang mengintai.


72-10: Dan sesungguhnya kami tidak mengetahui apakah keburukan yang dikehendaki bagi orang yang di bumi atau Rab (Tuhan) mereka menghendaki kebaikan bagi mereka.


72-11: Dan sesungguhnya antara kami ada orang yang salih dan antara kami ada yang tidak demikian halnya. Adalah kami menempuh jalan yang berbeza-beza.


72-12: Dan sesungguhnya kami mengetahui, bahawa kami tidak dapat melepaskan diri dari Allah di bumi dan tidak kami melepaskan diri dengan lari.


72-13: Dan sesungguhnya tatkala kami mendengar petunjuk, maka kami beriman kepadanya. Sesiapa beriman kepada Rab (Tuhan)nya, maka dia tidak takut akan kerugian dan tidak akan penganiayaan.

72-14: Dan sesungguhnya antara kami ada yang Muslimin (yang berserah diri), dan ada (pula) yang menyimpang dari kebenaran. Sesiapa yang aslam (berserah diri), maka mereka itulah yang telah memilih jalan yang lurus.


72-15: Adapun orang yang menyimpang, maka mereka menjadi kayu api neraka Jahanam.
 

Cuba kita lihat Surah al-Jinn ayat 14-15 terjemahannya, "Dan sesungguhnya antara kami ada yang Muslimin (yang berserah diri), dan ada (pula) yang menyimpang dari kebenaran. Sesiapa yang aslam (berserah diri), maka mereka itulah yang telah memilih jalan yang lurus. Adapun orang yang menyimpang, maka mereka menjadi kayu api neraka Jahanam." Ayat ini dengan jelas menerangkan bahawa di antara jin ada yang beriman (Islam dan taat kepada Allah) dan ada jin yang menyimpang (kufur dan melakukan dosa dan maksiat). Jin yang menyimpang dari kebenaran akan di masukkan kedalam neraka.

No comments:

Post a Comment