Thursday, November 20, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 193 (Hukum Isteri Mencari Nafkah Dan Suami Duduk Di Rumah, Ciri-ciri Lelaki Yang Baik, Apa Maksud Bai'ah Dalam Islam, Amanah Dan Tanggung jawab Dalam Islam Dan Bolehkan Manusia Berkahwin Dengan Bunian?)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 193 adalah menjelaskan persoalan hukum isteri mencari nafkah dan suami duduk dirumah, ciri-ciri lelaki yang baik, apa maksud bai'ah dalam Islam, amanah dan tanggungjawab dalam Islam dan bolehkan manusia berkahwin dengan bunian?

921. Soalan : Ustaz saya nak tanya...apa hukum isteri yang mencari nafkah...suami dududk di rumah sahaja menjaga anak tapi atas persetujuan masing bersama?...Tolong huraikan..terima kasih.

Jawapan : 

Dalam kehidupan dunia serba cangih kadangkala kelulusan wanita yang tinggi daripada kaum lelaki menyebabkan jawantan-jawatan tinggi di sandang oleh kaum wanita. Ramai wanita cemerlang di pusat pengajian tinggi berbanding kaum lelaki maka tidak hairanlah jika gaji isteri melebihi gaji suami, jika suaminya hanya kelulusan SPM atau perigkat sijil sahaja sedangkan isteri ijazah pertama atau master. 

Sekiranya berlaku di dalam satu kelurga anak semakin bertambah dan anak-anak perlukan pendidikan dari peringkat taska, tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah. Perlu diuruskan persekolahan mereka sedangkan ibu bapa sebuk bekerja bermula awal pagi sehingga petang. Sekiranya gaji isteri lebih besar dan gaji suami dan gaji suami kecil sahaja atau suami hanya kerja separuh masa, sedangkan kos taska dan tadika cukup tinggi, jika suami isteri bersetuju dengan kerelaan hati suami berkorban untuk menguruskan anak-anak dan rumah tangga dan isteri mencari nafkah keluarga maka ketika ini di haruskan. Jika isteri tak reda suami menguruskan rumah tangga dan dia (isteri) keluar bekerja maka ketika ini terbatal keharusan tersebut kerana tugas asasi suami adalah mencari nafkah untuk keluarga bukan isteri.

922. Soalan : Apakah ciri-ciri lelaki yang baik untuk menjadi suami contoh untuk wanita yang sedang mencari jodoh?

Jawapan : 

Terdapat 10 ciri-ciri pilihan wanita solehah untuk memilih lelaki yang bakal menjadi teman hidupnya :

Ciri-ciri tersebut adalah seperti berikut :

1. Taat kepada Allah dan Rasul-Nya.

2. Mempunyai ilmu pengetahuan agama.

3. Bekerja menyeru manusia kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

4. Mempunyai sifat berjuang mencapai kecemerlangan dalam hidup.

5. Sentiasa membersihkan dirinya daripada sebarang kemungkaran dan bertaubat kepada Allah SWT.

6. Selalu memperbanyakan amalan sunat.

7. Tidak takut kepada cercaan orang yang suka mencela.

8. Bekerja mencari nafkah dan mengetahui dan faham serta mengamalkan segala kewajipannya dengan baik.

9. Bersifat lapang dada, penyantun dan pemaaf.

10. Jika ia berkahwin, dia dapat melayan isteri dengan baik kerana sebaik-baik suami adalah suami yang paling baik terhadap isterinya.

923. Soalan : Boleh ustaz huraikan pengertian bai'ah yg sebenar? Tata cara bai'ah yang sebenar cara yang di bai'ahkan cara Islam. Apa tujuan bai'ah sebenar di masa kini? Banyak pertubuhan dan kesatuan membai'ahkan jemaah yang tidak tahu tentang Islam sebenar.....dan menggunakan jemaah-jemaah untuk perkara-perkara yang dilarang....apa pendapat ustaz.?

Jawapan : 

Apa itu Bai`ah ?

Pengenalan Rukun Bai'ah .

Tajuk : Pengenalan Konsep Bai`ah :

Arkanul Bai`ah Muqaddimah Bai`ah adalah satu istilah yang diambil daripada perkataan jual beli,yang berhajat kepada syarat-syarat dan rukun-rukunya. Pengertian bai`ah adalah satu perjanjian dengan memberi sepenuh keta`atan dan kesetiaan kepada jemaah Islam meskipun ianya menghabiskan harta-benda, dan membebankan atau mengorbankan jiwa dan tenaganya selama mana perjanjian itu berada di dalam keredhaan Allah SWT. 
Dan pada masa yang sama di beri ganjaran yang istimewa oleh Rabbul Jalil.
Firman Allah SWT :

{يا أيها الذين آمنوا أطيعوا الله وأطيعوا الرسول وأولى الأمر منكم} 

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman,taatilah Allah dan taatilah Rasulnya dan Ulil amri di kalangan kamu." (Surah an-Nisaa' ayat 59) 

Dan Firman Allah SWT lagi :

{إن الله اشترى من المؤمنين أنفسهم وأموالهم بأن لهم الجنة يقاتلون في سبيل الله فيقتلون ويقتلون، وعدا عليه حقا في التوراة والإنجيل والقرآن،ومن أوفى بعهده من الله فاستبشروا ببيعكم الذي بايعتم به،وذلك هو الفوز العظيم.} 

Maksudnya: "Sesengguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin,jiwa raga,harta benda mereka dengan gentian syurga untuk mereka. Mereka berpegang pada jalan Allah, lalu mereka membunuh atau dibunuh. Itu telah menjadi janji yang benar dari Allah di dalam kitab Taurat, Injil dan Al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain daripada Allah, maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang palig besar." (Surah at-Taubah ayat 111) 

Sejarah Pensyariatan Bai`ah 

Firman Allah SWT :

لقد رضي الله عن عن المؤمنبن إذ يبايعون تحت الشجرة فعلم ما في قلوبهم فأنزل الله السكينة عليهم وأثابهم فتحا قريبا، ومغانم كثيرة يأخذونها، وكان الله عزيزا حكيما

Maksudnya : "Sesungguhnya Allah telah meredhai terhadap orang-orang mukmin ketika mereka berjanji setia kepadamu di bawah pohon, maka Allah mengetahui apa yang ada di dalam hati mereka lalu menurunkan ketenangan atas mereka dan memeri balasan kepada mereka dengan kemenangan yang hampir." (Surah al-Fath ayat 18) 

Hakikat Bai`ah .

Bai`ah pada hakikatnya adalah dengan Allah SWT t tanpa mempersia-siakan dan membatalkan salah satu daripada rukun-rukun bai`ah. 

Firman Allah SWT :

}إن الذين يبايعون الله يد الله فوق أيديهم، فمن نكث فإنما ينكث على نفسه، ومن أوفى بما عاهد عليه الله فسيؤتيه أجرا عظيما { 

Maksudnya : "Bahawasanya orang-orang yang berjanji setia kepada kamu, sesungguhnya mereka berjanji setia kepada Allah.Tangan Allah di atas tangan mereka, maka barangsiapa yang melanggar janjinya nescaya akibat ia melanggar janji itu akan menimpa dirinya sendiri, dan barangsiapa yang menepati janjinya kepada Allah maka Allah akan memberinya ganjaran pahala yang besar. " (Surah al-Fath ayat 10)

Tujuan Dan Kepentingan Bai`ah .

Petikan daripada ayat-ayat di atas, Allah SWT telah menerangkan kepada hamba-hamba-Nya yang beriman bahawasanya dialah Allah SWT yang membeli dan orang-orang beriman itu sebagai penjualnya dan bayarannya adalah syurga di akhirat kelak. Dan apabila selesainya bai`ah diantara seseorang mukmin dan Allah SWT maka tiadalah harta dan jiwa raganya itu menjadi halangan untuk berjihad dijalan Allah SWT , bagi menegakkan kalimatullah :

لإعلاء كلمة الله هي العليا dan وليكون الدين كله لله .

Daripada konsep bai`ah inilah satu-satunya cara untuk mengembalikan semula kemulian dan kedaulatan Islam yang telah lama dihapuskan oleh golongan kuffar yang ingin melihat Islam itu hanya berkisar pada ibadat semata-mata.

Bai`ah Dalam Jema`ah :

Bai`ah dalam jemaah iaitu di atas jihad pada jalan Allah SWT untuk menegakkan kalimah Allah SWT dengan diperolehi ganjaran syurga daripada Allah SWT pada hari pertemuan nanti berserta kelebihan-kelebihan dan rahmat-rahmatnya.

Konsep bai'ah ini tak boleh di pisahkan dengan Islam kerana amalan tersebut telah di praktikkan oleh Rasulullah SAW dan menjadi amalan ulama-ulama muktabar sepanjang sejarah yang berbai'ah dengan pemerentahan Islam untuk menjaga kepentingan Islam. 

Setelah kerajaan khalifah Islam di hancurkan oleh oleh tentera bersekutu dengan kerjasama golongan munafik maka negara umat Islam telah berpecah belah sehingga tak ada negara umat Islam yang mengambil syariat Islam menjadi perundangan negara dan hukum-hukum Allah SWT tidak di amalkan dan di hayati di dalam kehidupan. Dalam keadaan yang terdesak inilah bangkit dan melahirkan jemaah Islam untuk membina kekuatan dan mencari ahli baru di kalangan umat islam dan pemuda Islam. 

Dalam sejarah dapat kita persaksikan Jemaah Ikhwanul Muslimun telah memainkan peranan yang besar untuk menghidupkan semangat jihad dan mengembalikan balik kekuatan politik, ekonomi dan akhlak umat islam yang telah di hancurkan oleh golongan kuffar dan sekular.

Rukun-rukun Baiah:

Asy-Syahid Imam Hassan Al-Banna telah merumuskan tentang rukun-rukun baiah dengan berkata: "Rukun baiah kita semuanya sepuluh, peliharalah ia dengan sebaik-baiknya".

1. Faham.
2. Ikhlas.
3. Amal.
4. Jihad.
5. Berkorban.
6. Taat.
7. Tetap Pendirian.
8. Tegas.
9. Persaudaraan.
10. Percaya.

Rujukan:

1- Fahmu Usulul Islam (Dr. Ali Abd Halid) 
2- Fiqh Da`wah (Mustaffa Masyhur) 
3- Buku huraian Arkanul Bai`ah

924. Soalan : Ustaz, sy ingin bertanya tentang AMANAH kita dlm tugas lebih2 lg yg melibatkan keagamaan. Sebagai contoh seorg 'Hakim Syariah' yg tugasnya menjatuhkan hukuman tentang kes2 keagamaan. Apakah AMANAH Allah kpd beliau dlm menjalankan tugas? Layakkah seseorg itu bekerja sbg 'Hakim Syariah' sekiranya beliau sendiri mengamalkan kehidupan yg jauh menyimpang dr sisi agama. Tidakkah hal spt ini mengundang kepincangan dlm masyarakat?

Jawapan : 

Semua kita adalah pemimpin dan setiap di antara kita akan di tanya tentang orang yang duduk di bawah kepimpinan kita. Pemimpin negara akan bertanggungjawab di atas rakyat jelata yang tinggal di bawah kepimpinannya, seorang hakim mahkamah persekutuan , mahkamah tinggi atau mahkamah syariah akan di pertanggungjawabkan setiap keputusan hukuman dijatuhkan. Jika betul menurut syarak maka mereka akan di berikan pahala dan terselamat untuk menjawab soalan yang akan di tanya di akhirat. Jika tak betul dan tak adil terdapat orang yang tidak bersalah teraniaya maka nerakalah balasannya. 

Kita juga tak akan terlepas menjawab salan-soalan yang akan di kemukakan. Seorang isteri bertanggungjawab di atas rumah tangga suaminya sejauhmana dia taat dan menjalankan kewajipan yang sewajarnya atau mengabaikan tugas tersebut.

Sebagai pendakwah yang menyeru kepada makruf dan mencegah kemugkaran maka yang pertama kita sendiri perlu melaksanakan nya apa yang kita ucapkan kerana setiap ucapan kita akan di pertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT nanti di akhirat. Firman Allah SWT maksudnya, "Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? . Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan." (Surah Al-Shaff: ayat 2-3)

Al-Qurthubi berkata: Kata Tanya ini datang dalam gaya bahasa mengingkari dan mengecam orang yang hanya berkata kebaikan namun dia tidak mengerjakan kebaikan tersebut, baik terhadap perkara yang telah berlalu maka dia dengannya telah berdusta atau terhadap perkara yang akan datang maka dengannya dia telah menyalahi janji dan kedua realita ini tercela. [Al-jami’ liahkamil qur’an: 18/80]

Ibnu Abbas ra berkata: Sebagian orang yang beriman sebelum diwajibka jihad, mereka berkata: Kami berharap jika Allah menunjukkan kepada kami perbuatan-perbuatan yang paling dicintaiNya lalu kita akan mengerjakannya, lalu Allah memberitahukan kepada NabiNya bahwa amal yang paling beliau cintai adalah beriman kepada Allah dengan keimanan yang tiada keraguan padanya dan berjihad terhadap orang yang bermaksiat kepada Allah. Kemudian pada saat diturunkannya ayat tentang berjihad sebagaian orang yang beriman membenci perkara tersebut dan mereka merasa berat menjalankannya. Maka Allah menurunkan firmanNya: "Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan?. Ini adalah pendapat yang dipilih ole Ibnu Jarir rahimahullah. [Tafsir Ibnu Katsir: 4/358]

Syekh Abdurrahman bin As-Sa’di rahimhullah berkata:

Kenapa kalian mengajak kepada kebaikan dan menganjurkan manusia melakukan hal tersebut bahkan mungkin kalian saling memuji dengannya namun kalian sendiri tidak mengerjakannya dan kalian mencegah orang lain dari keburukan dan mensucikan diri kalian darinya padahal kalian sendiri telah terlibat dan tenggelam padanya. Oleh kerana itulah, seyogayanya bagi orang yang menyuruh orang lain kepada kebaikan agar menjadi orang yang paling pertama mengerjakan kebaikan tersebut dan orang yang mencegah kepada keburukan agar menjadi orang yang paling menjauhi keburukan tersebut. [Tafsir Ibnu Sa’di: 1196]

Dari Usamah bin Zaid ra bahwa dia pernah mendengar Nabi SAW bersabda maksudnya, "Seorang lelaki didatangkan pada hari kiamat lalu dicampakkan ke dalam api neraka, kemudian ususnya berhamburan keluar lalu dia berputar-putar dengannya seperti berputar-putarnya himar dengan batu penggilingannya. Kemudian para penghuni syurga berkumpul di hadapannya dan bertanya kepadanya: Apakah yang terjadi padamu?. Tidakkah engkau yang pernah memerintahkan kami kepada Al-Ma’ruf dan yang mencegah kepada yang mungkar?. Dia menjawab: Aku telah memerintahkan kalian dengan yang ma’ruf namun aku sendiri tidak melakukannya dan mencegah kalian kepada dari yang mungkar namun aku mengerjakannya”. (Hadis Sahih Riwayat Bukhari: 2/236, 437 no: 3627 dan Sahih Muslim: 4/2291 no: 2989)

925. Soalan : Ustaz saya minta pencerahan adakah manusia lelaki boleh berkahwin dengan wanita bunian? Adakah terdapat nas yang mengharuskannya.? Arwah bapa mertua saya di katakan telah berkahwin dengan wanita bunian dan suami saya bertemu seorang wanita di mutabilbilashah wajahnya cantik dan beliau memberikan secawan air. Saya bimbang wanita itu akan berkahwin dengan suami saya. Sila berikan pencerahan ustaz.

Jawapan : 

Di dunia ini makhluk yang hidup ada nafsu dan akan adalah jin dan manusia. Di dalam golongan jin pula terbahagi kepada dua bahagian iatu jin Islam dan jin kafir . dalam kalangan jin kafir pula terdiri daripada jin, iblis dan syaitan. Kebanyakkan Bunian adalah terdiri daripada makhluk jin Islam walaupun ada sebahagian daripada mereka bunian kafir. Adakah makhluk bunian ini boleh berkahwin dengan manusia?

Perkahwinan dalam erti kata yang kita fahami hari ini, tidur bersama selepas perkahwinan yang sah, memang berlaku di antara manusia dengan manusia sahaja seperti yang disebut oleh Allah S.W.T dalam Surah ar-Rum, ayat 21 .

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan di antara tanda-tanda kebesaran Allah S.W.T, dijadikan bagi kamu (manusia) untuk pasanganmu dari jenis kamu juga (manusia), supaya kamu mendapat ketenangan dengannya dan dianugerahkan kepada kamu kasih sayang dan rahmat dari Allah S.w.T." (Surah ar-Rum ayat 21)

Ayat ini menjelaskan bahawa pasangan hidup manusia dalam rumahtangga yang dirahmati Allah, adalah di antara manusia dengan manusia.

Mengenai dakwaan puan yang menyatakan bahawa arwah bapa mertua puan berkahwin dengan bunian. Pada saya hal ini memang boleh berlaku pada suatu kemungkinan (possibility).

Dalam suatu hadis yang diriwayatkan oleh Aishah r.ha, Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud, "Bahawasanya ada kalangan manusia ini yang akan menjadi mugharribeen, maka Aishah bertanya Nabi maksud mugharribuun itu? Maka Nabi bersabda yang bermaksud ialah mereka-mereka yang telah bermusyarakah dalam kehidupan rumahtangga dengan jin."

Daripada rujukan ini menunjukkan bahawasanya ada kemungkinan manusia itu mengahwini jin sama seperti apa yang didakwakan. Kerana makhluk ini, seperti disebut dalam beberapa hadis, mereka boleh menyerupai dengan rupa-rupa yang diizinkan Allah kepada mereka menyerupainya. Tetapi dalam keadaan-keadaan yang amat sempit atau peluang yang mereka ada amat terhad, demi menjaga kemaslahatan anak Adam tidak terdedah dengan luas untuk ditanggung oleh makhluk-makhluk halus.

Penjelmaan mereka menjadi makhluk seperti manusia, disabitkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, iaitu kejadian pencurian harta zakat yang dikawal selia oleh Abu Hurairah, sehingga Abu Hurairah boleh menangkapnya dan dibawa kepada Rasulullah SAW untuk pendakwaan. Walaupun akhirnya jin tersebut dilepaskan tetapi Nabi SAW telah menyatakan bahawasanya yang mencuri itu adalah syaitan.

Disabitkan juga bahawa penjelmaan jin itu wujud dalam bentuk yang jelas menyerupai manusia dalam peristiwa peperangan Badar seperti yang disebut dalam Surah al-Anfaal ayat 87.

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan ketika dihiasi oleh syaitan kepada mereka, tentera Islam dengan katanya kepada mereka, kamu tidak dikalahkan oleh musuhmu oleh manusia dan saya adalah jiran kepada kamu yang akan membantu dalam peperangan ini. Maka apabila kedua-dua kumpulan (Islam dengan Kafir Jahilliyah) bersemuka untuk peperangan yang berjanji untuk menolong mereka orang-orang kuffar itu telah cabut lari mengatakan saya tidak lagi boleh bersama-sama dengan kamu kerana saya dapat melihat apa yang kamu tidak boleh lihat dan saya sesungguhnya amat takut kepada Allah dan Allah itu amat dahsyat keseksaan-Nya". (Surah al-Anfal ayat 87)

Ayat ini merujuk kepada adanya kepada satu makhluk yang menjelma sebagai manusia kononnya untuk membantu askar-askar musuh (kuffar) menentang Islam dan sabit bahawa makhluk itu bukan manusia, tetapi jelas mereka adalah syaitan. atau jin kafir

Dengan demikian, jelaslah bahawasanya syaitan ini boleh menyerupai manusia dan dengan sendirinya boleh menjadi suami atau isteri kepada manusia.

2. Hukumnya adalah jelas, jumhurnya ulama sudah berijma' bahawa hukumnya (mengahwini jin) tidak sah! Tidak boleh perkahwinan manusia dengan jin dilakukan. Melainkan ada seorang ulama yang bernama Qamuli yang menyatakan perkahwinan tersebut boleh.

Perkahwinan yang tidak sah pada hukum syarak tidak mungkin dirahmati Allah dan tidak mendapat restu Allah. Tidak mungkin kebahagian dan ketenangan berlaku! Kita dapat merasakan jika berlaku suatu krisis rumahtangga dengan mereka (golongan jin), bagaimana rumahtangga boleh aman daripada gangguan mereka?

Malahan anak-anak yang mungkin lahir dari hubungan itu, akan menjadikan masalah kepada manusia, mereka tidak boleh bergaul dalam alam manusia dengan sanak saudara. Jika berlaku pula masalah dengan anak-anak jiran, maka ianya akan mengundang berbagai kecelakaan. Nasihat saya kepada keluarga puan, hindarilah hal-hal ini daripada berlaku. Mintalah adik puan berjumpa pakar perbuatan Islam untuk mengenal pasti bahawa beliau mungkin sedang di ganggu oleh makhluk jin sehingga dia merasakan telah berkahwin dengan jin. Wanita yang bertemu dengan suami puan di mutabilbilashah berkemugkinan adalah makhluk bunian. Puan jangan bimbang suami puan tak mungkin akan berkahwin dengan makhluk bunian kerana perkara seperti ini bukan mudah nak terjadi kerana bunian dan manusia dua makhluk yang berbeza jenis.

No comments:

Post a Comment