Thursday, November 13, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 187 ( Tanda Sujud Di Wajah, Niat Dalam Solat 4 Mazhab, Syarat Taubat Di Terima Atau Di Tolak, Cara Samak Najis Mughalazah Dan Hukum Lelaki Menyerupai Wanita.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 187 adalah menjelaskan persoalan tanda sujud di wajah, niat dalam solat 4 mazhab, syarat taubat di terima atau di tolak, cara samak najis mughalazah dan hukum lelaki menyerupai wanita.

891. Soalan : Saya ingin bertanya di dalam al-Quran ada di jelaskan pada wajah mereka nampak bekas sujud, adakah bekas sujud itu maksudnya tanda hitam di dahi atau wajah mereka berseri-seri tanda banyak beribadah kepaad Allah SWT?

Jawapan : 

Dalam al-Quran mengatakan bahawa wajah orang mukmin nampak tanda sujud bukannya tanda hitam di dahi tetapi nampak pada wajahnya berseri-seri tanda wajah yang sentiasa solat dan berwuduk. 

Firman Allah SWT maksudnya : “ Muhammad itu adalah utusan Allah , dan orang-orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang kafir , tetapi berkasih sayang sesama mereka . Kamu lihat mereka rukuk dan sujud mencari karunia Allah dan keredhaanNya . Tanda –tanda mereka nampak pada wajah mereka dari bekas sujud. Demikianlah sifat-sifat mereka didalam Taurat dan Injil, iaitu saperti tanaman yang mengeluarkan tunasnya sehingga tunas tersebut menjadikan tanaman itu kuat. Lalu menjadi besarlah dia dan tegak lurus diatas pokoknya dan menyenangkan hati para penanamnya . Selain itu Allah hendak menjenkelkan orang-orang kafir ( Dengan kekuatan kaum Mukminin ) Allah menjanjikan kepada orang-orang beriman dan mengerjakan amal soleh, diantara mereka ada ampunan dan pahala yang besar .” (Surah al-Fath ayat 29)

Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhu serta Al-Hasan dan juga Az-Zuhri. , mereka mengatakan bahawa yang dimaksud dengan tanda bekas sujud dalam ayat di atas ialah cahaya sujud yang terpancar di wajah, iaitu tanda sujud yang terus menerangi wajah mereka hingga di alam barzakh dan di hari kiamat. Jika yang dimaksud dengan tanda hitam itu adalah tanda hitam di kening maka tanda tersebut pasti akan hilang setelah tubuh dikuburkan. 

Rasulullah Sallallahu Alahi Wasallam sendiri tidak mempunyai tanda hitam itu. Tidak ditemukan penjelasan tanda hitam di kening itu dimiliki Nabi, baik dalam buku-buku sirah nabawiyah atau dalam kitab-kitab hadis

. عَنْ مَنْصُورٍ قَالَ قُلْتُ لِمُجَاهِدٍ (سِيمَاهُمْ فِى وُجُوهِهِمْ مِنْ أَثَرِ السُّجُودِ) أَهُوَ أَثَرُ السُّجُودِ فِى وَجْهِ الإِنْسَانِ؟ فَقَالَ : لاَ إِنَّ أَحَدَهُمْ يَكُونُ بَيْنَ عَيْنَيْهِ مِثْلُ رُكْبَةِ الْعَنْزِ وَهُوَ كَمَا شَاءَ اللَّهُ يَعْنِى مِنَ الشَّرِّ وَلَكِنَّهُ الْخُشُوعُ. 

Dari Manshur, Aku bertanya kepada Mujahid tentang maksud dari firman Allah, ‘tanda-tanda mereka tampak pada muka mereka dari bekas sujud’ apakah yang dimaksudkan adalah bekas di wajah? Beliau menjawab, “Bukan, bahkan ada orang yang ‘kapal’ yang ada di antara kedua matanya itu bagaikan ‘kapal’ yang ada pada lutut onta namun dia adalah orang bejat. Tanda yang dimaksudkan adalah kekhusyu’an” (Hadis Riwayat Baihaqi dalam Sunan Kubro no 3702).

892. Soalan : Dalam mazhab 4 terdapat perbezaan pandangan ulama mengenai niat dalam solat. Ada yang mengatakan niat dahulu baru takbiratul ihram dan ada yang mengatakan niat semasa takbiratul ihram. Minta ustaz memberikan pencerahannya?

Jawapan : 

Niat adalah membulatkan hati untuk melakukan ibadat guna mendekatkan diri kepada Allah semata-mata. Inilah hakikat niat dan padanya terkandung keikhlasan. Sebenarnya membulatkan hati atau berniat ini dapat juga dipenuhi walaupun tidak diucapkan. Niat tempatnya dihati. 

Ulama bersepakat bahawa niat dalam solat hukumnya wajib berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Bayyinah ayat 5 yang bermaksud: “Padahal mereka tidak diperintah kecuali beribadah kepada Allah dalam keadaan ikhlas memurnikan ketaatan kepada-Nya..” (Ada juga memahami sabda Nabi ini dalam erti “sesungguhnya syarat kesempurnaan amal adalah adanya niat”). 

Menurut Mazhab Hanafi dan Hambali serta pandangan majoriti ulama bermazhab Maliki, niat solat adalah syarat iaitu dalam pengertian ‘tidak termasuk sebahagian daripada solat’. Sementara itu, dalam Mazhab Syafie dan sebahagian ulama Mazhab Maliki menyebut bahawa niat solat wajib dipenuhi dalam solat iaitu pada awal solat. Kerana itu, mereka meletakkannya sebagai rukun. Mazhab Abu Hanifah mensyaratkan bersambungnya niat dengan takbiratul ihram. (niat dulu kemudian mengangkat takbiratul ihram)

Selain aktiviti berkenaan dengan solat, tidak boleh ada sesuatu pun yang memisahkan niat dengan takbir itu. Contohnya makan, minum dan sebagainya. Jika yang memisahkannya adalah amalan solat seperti berwuduk atau berjalan menuju masjid, maka niat solat yang dilakukan sebelum berwuduk dan pergi ke masjid itu masih berlaku dan orang yang bersangkutan itu dapat mengerjakan solat dengan mengucapkan takbir meskipun ketika itu dia tidak berniat lagi. 

Di sini kita dapat lihat bahawa mazhab ini tidak mewajibkan niat bersama dengan takbir. Mereka beralasan bahawa menyatukan niat dengan takbir sesuatu yang menyukarkan. Sedangkan Allah SWT berfirman dalam surah al-Haj ayat 78 yang bermaksud: “... Dia (Allah) tidak menjadikan atas kamu dalam urusan agama sedikit pun kesukaran...” Mereka juga beralasan bahawa awal solat adalah sebahagian daripada solat. Mazhab Maliki mewajibkan orang yang solat untuk menghadirkan niatnya ketika saat takbiratul ihram atau sesaat singkat sebelumnya. 

Sementara itu, ulama bermazhab Syafii mewajibkan niat bersama dengan aktiviti solat iaitu ketika takbiratul ihram. Sebab yang disebut dengan niat mestilah disertakan dengan aktiviti. Jika niat itu dihadirkan sebelum aktiviti, maka ia bukanlah niat tetapi azam atau tekad. Padahal yang di tuntut adalah niat.

Niat solat subuh tidaklah panjang sangat dan boleh di praktikan oleh ramai umat Islam, "Sahaja aku solat fardu subuh 2 rekaat kerana Allah Taala". Dalam mazhab Syafie niat hendaklah di lakukan semasa mengangkat takbiratul ihram.

893. Soalan : Apakah syarat-syarat taubat di terima oleh Allah SWT dan syarat taubat tak di terima oleh Allah SWT.?

Jawapan : 

Syarat Taubat Diterima.

Syarat taubat yang mesti dipenuhi oleh seseorang yang ingin bertaubat adalah sebagai berikut:

1. Taubat dilakukan dengan ikhlas, bukan kerana makhluk atau untuk tujuan duniawi.

2. Menyesali dosa yang telah dilakukan dan tidak ingin mengulanginya kembali.

3. Tidak terus menerus dalam berbuat dosa. Dan jika berkaitan dengan hak manusia, maka ia segera menunaikannya atau meminta maaf.

4. Bertekad untuk tidak mengulangi dosa tersebut lagi kerana jika seseorang masih bertekad untuk mengulanginya maka itu pertanda bahawa dia tidak benci kepada maksiat.

5. Taubat dilakukan pada waktu diterimanya taubat iaitu sebelum datang ajal atau sebelum matahari terbit dari arah barat. Jika dilakukan setelah itu, maka taubat tersebut tidak lagi diterima.

 Tanda taubat di tolak oleh Allah SWT iaitu :

1. Lemah keazamannya dan hatinya membayangkan keseronokan melakukan dosa semula. Itu adalah taubat orang yang dusta. 

2. Malunya kepada manusia, tidak kepada Allah.

3. Takutnya kepada manusia tidak takut kepada Allah.

4. Tenang dan yakin dirinya telah bertaubat dan berasa aman daripada murka Allah.

5. Beku air matanya daripada menangis dan keras hatinya.

6. Tidak takut terhadap kematian dan peristiwanya.

7. Tidak takut neraka dan peristiwanya.

8. Tidak melakukan amal soleh selepas bertaubat.

Marilah kita bertaubat bersungguh-sungguh kepada Allah sebelum terlambat.

Firman-Nya bermaksud :“Wahai orang yang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah (mintalah dihapuskannya dosa kamu), dengan taubat nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang yang beriman bersama-sama dengannya, cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (ketika mereka berjalan), mereka berkata (ketika orang munafik meraba-raba dalam gelap gelita): “Wahai Tuhan kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan limpahkanlah keampunan kepada kami, sesungguhnya engkau amat berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Surah at-Tahrim, ayat 8)

894. Soalan : Bagaimankah cara-cara sertu atau samak najis mughalazah?

Jawapan : 

Cara-cara samak (sertu) najis mughalazah : 

Samak atau sertu adalah salah satu cara penyucian di dalam Islam. Ia digunakan untuk membersihkan najis yang berat (najis mughallazah).

Najis mughallazah ialah najis yang berpunca daripada anjing, babi dan semua keturunannya.

Cara melakukannya adalah seperti berikut:

1. Buangkan dulu semua ain najis yang terkena pada barang yang hendak di sertu (seperti kasut terpijak najis anjing). Jika bekas minuman air di jilat anjing buangkan air yang di jilat tadi. 

2. Tempat yang terkena najis dibasuh dengan air yang telah dicampurkan dengan tanah.(Basuhan pertama)

3. Tempat tersebut kemudiannya dibilas/dicuci pula dengan menggunakan air mutlaq biasa (boleh gunakan air paip atau sebagainya) sebanyak 6 kali bilasan.

Demikianlah cara melakukan sertu. Oleh yang demikian, apabila telah melakukan kedua-dua langkah di atas, maka tempat tersebut (yang terkena najis mughallazah) telah kembali menjadi suci. 

Telah diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda: "Sucinya tempat air seseorang di antara kamu bila dijilati anjing adalah dibasuh tujuh kali, basuhan pertama dengan air tanah." (Hadis Riwayat Muslim.)
Menurut riwayat at-Tirmidzi: "Basuhan terakhir atau permulaan."

Menurut para ulama madzhab Syafi'i pula, anjing itu najis. Sebab hadis berkenaan menyatakan air liur anjing itu wajib dibasuh dengan tujuh basuhan, dan salah satu basuhan dengan air tanah. Para ulama mazhab Syafi'i membuat perkaitan dengan hadis basuhan yang lain.

Jika najis mughalazah sudah lama berlalu dan sudah tak nampak kesan-kesan najis mughalazah tersebut di harapkan Allah SWT terima amal ibadah seseorang itu.

895. Soalan : Apakah hukum wanita menyerupai lelaki dan lelaki pula menyerupai wanita?

Jawapan : 

Dalam bab ini Rasulullah SAW. telah bersabda: “Bukan dari golongan kami siapa saja wanita yang menyerupai lelaki dan siapa saja lelaki yang menyerupai wanita.” (Musnad Ahmad, no: 6875 dengan sanad yang dinilai hasan oleh Ahmad Syakir). 

Bahkan ‘Abdullah ibn ‘Abbas r.a. menerangkan bahawa: “Rasulullah SAW. melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki.” (Hadis Sahih Riwayat Bukhari, no: 5546). 

Hadis-hadis larangan dalam bab ini juga diriwayatkan oleh Abu Hurairah dan Aisyah r.a..

Berdasarkan hadis-hadis ini, jumhur ilmuan mengatakan haram hukumnya untuk seseorang itu berusaha menyerupai jantina yang berbeza dengannya, baik dalam bentuk tingkah laku, penampilan, pakaian mahu pun perhiasan. Larangan ini termasuk kanak-kanak lelaki dan perempuan yang belum baligh, di mana haram hukumnya bagi ibubapa atau penjaga kanak-kanak itu berusaha menyerupakan mereka dengan jantina yang berbeza. 

Dr. Jamil bin Habib al-Luwaihiq menjelaskan: “Apa-apa yang berlaku untuk orang lelaki dan wanita dalam bab ini, berlaku pula untuk kanak-kanak lelaki dan perempuan. Maka tidak boleh mengenakan kepada kanak-kanak lelaki pakaian kanak-kanak perempuan atau mengenakan kepada kanak-kanak perempuan pakaian untuk kanak-kanak lelaki.” [al-Tasyabbuh al-Manhy ‘Anhu fi al-Fiqh al-Islami (edisi terjemahan oleh Asmuni dengan judul Tasyabbuh Yang Dilarang Dalam Fikih Islam; Darul Falah, Jakarta, 2007), ms. 138]

Anas bin Malik r.a. menerangkan: “Bahawasanya Nabi SAW., cincinnya diperbuat daripada perak dan mata cincinnya daripada (perak) juga.” (Hadis Sahih Riwayat Bukhari, no: 5870)

Ada pun hikmah di sebalik larangan penyerupaan jantina yang berbeza, maka ia adalah satu tindakan yang melawan penciptaan Allah. Ini kerana Allah SWT. telah mencipta manusia sebagai lelaki dan wanita di mana masing-masing diberi ciri fizikal dan tanggungjawab yang berbeza.

No comments:

Post a Comment