Saturday, November 8, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 183 (Anak Gadis Suka Membantah Nasihat Ibu Bapa, Membela Anak Gadis Dengan Didikan Islam, Keguguran Baru 3 Bulan, Lafaz Cerai Suami Pada Orang Lain Dan Wanita Solat Berjemaah.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 183 adalah menjelaskan persoalan anak gadis suka membantah nasihat ibu bapa, membela anak gadis dengan didikan Islam, keguguran baru 3 bulan, lafaz cerai suami pada orang lain dan wanita solat berjemaah.

871. Soalan : Saya ada anak 2orang perempuan anak saya yang sulong ni suka sangat melawan cakap saya dan susah nak trima nasihat saya asyik bergaduh je dengan dia kadang-kadang dia boleh menengking saya balik,,bila saya nak pukul dia dah besar panjang..patut kah saya memukulnya sebagai pengajaran sebab susah nak mendidik..kadang-kadang sampai saya mengalir air mata dibuatnya. Minta ustaz berikan nasihat?

Jawapan : 

Salah satu perkara yang besar di hadapai oleh ramai ibu bapa adalah kesukaran mendidik dan memberi nasihat kepada anak-anak. Walaupun anak-anak ini di sekolahkan bermula dengan tadika Islam, sekolah rendah agama dan sekolah menengah agama belum tentu bila dewasa dia menjadi anak yang soleh atau solehah. Suasana persekitaran, rakan-rakan sebaya, pengaruh media sosial, internet, telefon bimbit cangih, aktiviti hiburan yang tidak Islamik akan mempengaruhi anak-anak kita dan para remaja untuk ke arah hidup yang bebas, liar, meninggalkan solat, tidak suka kepaad majlis ilmu dan menjauhkan diri daripada masjid dan surau. Sikap dan sifat tidak menghormati guru-guru dan ibu bapa telah membudayakan kehidupan remaja kesan daripada filem dan drama television yang mereka tonton dan terbawa-bawa dengan akhlak masyarakat barat dan orang bukan Islam. 

Oleh itu ibu bapa tak ada pilihan terpaksa memberi nasihat yang berterusan dan cuba pujuk anak-anak mendekati masjid dan cuba menasihati mereka untuk berakhlak dengan akhlak Islam dan mengamalkan suruhan Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya. Ibu bapa perlu sentiasa berdoa dan solat hajat mohon kepada Allah SWT semuga melembutkan hati-anak-anak mereka supaya mereka kembali kepangkal jalan yang di redhai oleh Allah SWT. 

Jangan berputus asa puan masih banyak lagi masa yang perlu puan ambil dan berusaha bersungguh-sungguh memberi nasihat yang baik dan cuba berfikir bagaimana nak menwujudkan susana tarbiah yang baik di dalam rumah puan sendiri, perlu berbincang dengan suami dan ambil tindakkan segera.

Nasihatkan anak-anak bahawa derhaka kepada ibu bapa adalah berdosa besar dan anak yang derhaka tak akan cium bau syurga. Jangan mudah kecewa dan putus asa dalam menghadapi kedegilan anak-anak yang puan hadapi. 

Teruskan berdoa setiap lepas solat,"Ya Allah ampunkan dosa-dosaku, dosa suamiku, dan dosa anak-anakku, lembutkan hati kami semua selembu-lembutnya sebagaimana Engkau lembutkan besi kepaad Nabi Daud a.s. Ya Allah jadikanlah anak-anak kami anak-anak yang soleh dan solehah, baikilah akhlak anak-anak kami ya Allah dengan akhlak Islam, jadikanlah mereka berlemah lembut dengan kami sebagi ibu bapa mereka. Berikanlah rahmat dan kasih sayang-Mu kepada kami semua. Bersihkan hati-hati kami daripada syirik kepada-Mu. jauhkan kami daripada sifat sombong, bongkak, takbur, iri hati ,riyak dan sifat-sifat keji yang Engkau benci. Berikanlah kami kebahagiaan di dunia dan akhirat dan jauhkan kami daripada seksaan api neraka."

872. Soalan : Bolehkan ustaz jelaskan hadis mengenai membela anak gadis dengan didikan Islam akan di beri balasan syurga oleh Allah SWT.?

Jawapan : 

Daripada Anas r.a. daripada Nabi SAW sabdanya, “Sesiapa yang memelihara dua anak gadis sehingga baligh kedua-duanya nescaya dia datang bersama aku pada hari kiamat seperti ini sambil menunjukkan (merapatkan) dua jarinya”. (Hadis Riwayat Muslim)

Daripada Aisyah r.ha katanya, “Datang kerumahku seorang perempuan meminta (makanan), tidak ada sesuatu disisiku melainkan sebiji kurma lalu aku beri kepadanya. Maka dia pun membahagi sebiji kurma tadi kepada dua orang anaknya dan dia sendiri tidak memakannya. Kemudian dia pun keluar (daripada rumah Aisyah).

Setelah Nabi SAW datang kepada kami lalu aku pun memberitahunya (peristiwa tersebut), maka baginda bersabda, “Sesiapa yang diuji dengan anak-anak perempuan ini dengan sesuatu lalu dia melayan (memelihara) mereka dengan baik adalah mereka menjadi penghalang daripada api neraka”.

Berdasarkan dua hadis di atas jelaslah kepada kita betapa besar pahalanya ibu bapa yang memelihara anak-anak gadis mereka dengan sempurna. Bermula daripada kecil mereka di ajar dengan adab-adab Islam, akhlak yang mulia, mula menutup aurat dan ditanam sifat malu maka apabila mereka sampai umur baligh menjadi remaja/ gadis maka akan terpelihara maruah diri dan tidak mudah terpengaruh dengan gejala sosial dan pergaulan bebas.

Anak-anak gadis wajib diasuh dan dididk dengan tarbiah iman dan ajaran Islam sehingga mereka merasakan kewajiapan melaksanakan segala perintah Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya, merasa selesa dengan memakai pakaian yang menutup aurat tanpa dipaksa. Mereka di lengkapkan dengan ilmu-ilmu Islam terutama bab tauhid dan feqah, mengaji al-Quran dan sentiasa diberi nasihat supaya menjaga batas-batas akhlak Islam dan dilarang daripada terlibat dengan pergaulan bebas bersama lelaki yang bukan mahram.

Ibu bapa mestilah mengutamakan keperluan asas anak-anaknya seperti makan, minum, pakaian dan sebagainya. Nabi SAW memberi jaminan bahawa Ibu bapa yang mendidik dan mengasuh anak-anak perempuannya dengan sempurna dijamin terdinding daripada api neraka dan mendapat balasan syurga (akan bersama dengan baginda SAW di syurga). Hadis ini menunjukkan kelebihan menjaga dan mendidik anak-anak perempuan.

Kenapa Nabi SAW menyebut secara jelas sesiapa dikalangan umatnya yang memelihara dan mendidik anak-anak gadisnya dengan sempurna (memiliki akhlak Islam) sehingga mereka bersuami maka mereka dijamin untuk memasuki syurga dan terhalang daripada memasuki neraka? Ini adalah kerana baginda dapat merasakan betapa sukar kedua ibu bapa untuk mengasuh anak-anak gadis dengan akhlak Islam , kerana dimana-mana zaman sekalipun kaum Hawa memang menjadi medan ujian untuk kaum Adam.

Dalam hadis yang lain Nabi SAW pernah bersabda maksudnya : "...Sesungguhnya wanita itu menghadap dalam rupa syaitan dan membelakangi dalam rupa syaitan (mengajak kepada hawa nafsu). Maka, apabila seseorang dari kalian melihat seorang wanita (yang mengagumkan), hendaklah ia mendatangi isterinya. Kerana yang demikian itu dapat menolak apa yang ada di dalam hatinya." (Hadis Riwayat Muslim, Tirmidzi, Abu Daud, Ahmad dan Baihaqi)

Rasulullah SAW bersabda:

مَا تَرَكْتُ بَعْدِي فِتْنَةً هِيَ أَضَرُّ عَلَى الرِّجَالِ مِنََ النِّسَاءِ

Maksudnya : “Tidaklah aku tinggalkan setelahku fitnah (ujian/godaan) yang lebih dahsyat bagi para lelaki selain fitnah wanita.” (Muttafaqun ‘alaih dari Usamah bin Zaid )

Menurut statistik kelahiran anak luar nikah daripada Jabatan Pendaftaran Negara bagi tahun 2000 sehingga Julai 2008 mencatatkan bilangan yang sangat besar, iaitu 155,744 orang, di dapati juga penambahan bilangan kelahiran anak tidak sah taraf meningkat setipa tahun. Ini menunjukkan bahawa ramai ibu bapa gagal menjaga dengan baik anak-anak gadis mereka sehingga mereka boleh terjebak perbuatan tidak bermoral melakukan zina hingga melahirkan anak-anak tidak sah taraf. Ibu bapa tidak boleh menuding jari menyalahkan pihak guru-guru di sekolah kerana tidak mampu mendidik anak-anak mereka menjadi pelajar beriman dan bertakwa dan menyalahkan pihak berkuasa agama kerana tidak mampu mengawal gejala sosial berlaku di dalam masyrakat.

Hakikat sebenarnya ibu bapa perlu menaggung risiko di atas akibat yang berlaku kepada anak-anak mereka kerana sikap tidak mengambil berat didikan Islam kepada mereka sejak keci lagi. Sebenarnya jika ibu bapa melaksanakan tugas didikan dan asuhan yang betul perkara buruk itu tidak mugkin akan berlaku.

Adakah ibu bapa mengajar anak mereka dengan akhlak Islam dan menyuruh mereka menutup aurat dan berdisplin mengawal pergerakan anak-anak mereka (bukan dibiarkan keluar malam tanpa kawalan).? Ada sebahagian ibu bapa tidak kisah apabila anak gadis mereka di ambil dirumah oleh teman lelaki dengan motosikal kononnya berfikiran modern akibatnya mereka berkhalwat dan berzina , dosa ini akan ditanggung oleh ibu bapa kerana membenarkan maksiat berdua-duaan tanpa mahram.

Oleh itu marilah kita sama-sama kembali kepada ajaran Islam yang sebenarnya dan tidak abaikan tanggungjawab mendidik anak-anak kita samaada lelaki atau perempuan dengan didikan Islam. Sebagai ibu bapa perlu memerhatikan pergerakan anak-anak kita, dengan siapa mereka berkawan dan bertegas apabila mereka melanggar batas-batas yang dilarang oleh agama.Jika ini boleh kita lakukan insya Allah balasan syurga dan terpelihara daripada seksaan api neraka akan diberikan oleh Allah SWT diakhirat nanti kepada kita semua sebagaimana yang dinyatakan oleh hadis-hadis di atas.

873. Soalan : Ustaz saya ingin memberi satu soalan jika si ibunya telah mengandung jika anak dalam kandungannya itu meninggal dunia (3) bulan walaupun telah di keluarkan olh dokter ia masih dapat di lihat (ada bentuk) adakah ia perlu dimandikan, disolatkan mohon pencerahan ustaz?

Jawapan : 

Bayi yang gugur atau lahir yang belum berumur empat bulan dalam kandungan, tidaklah dimandikan dan disolatkan. Cukup dibalut dengan kain lalu ditanam. Demikianlah pendapat fukaha tanpa ada perselisihan pendapat.

Jika telah berusia empat bulan atau lebih dalam kandungan dan menunjukkan ciri-ciri hidup, maka menurut kesepakatan fukaha hendaklah dimandikan dan disolatkan. Seandainya tidak menunjukkan tanda-tanda hidup maka menurut golongan Hanafi, Maliki, Auzai dan Hasan tidaklah disolatkan.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Jika bayi yang gugur itu memiliki tanda-tanda hidup, hendaklah disolatkan dan ia berhak mendapat warisan". (HR Tirmizi, Nasai', Ibnu Majah dan Baihaqi) Menurut Imam Ahmad, Said, Ibnu Sirin dan Ishak berpendapat bahawa ia dimandikan dan disolatkan berdasarkan hadis yang berbunyi: "Orang yang berkenderaan hendaklah berada di belakang jenazah, sedang yang berjalan kaki di depannya, dekat kepadanya sebelah kanan atau kirinya. Sedang anak yang keguguran juga disolatkan dan didoakan keampunan dan rahmat bagi kedua orang tuanya". (HR. Ahmad dan Abu Daud)

Menurut ulama ini kerana anak itu merupakan manusia yang telah ditiupkan roh ke dalam tubuhnya sehingga ia harus disolatkan sebagaimana halnya bayi yang mempunyai tanda-tanda hidup. Nabi SAW telah menyatakan bahawa pada usia empat bulan ditiupkanlah roh kedalam tubuh bayi yang ada dalam kandungan ibunya. Menurut pendapat ulama ini, hadis yang dikemukakan oleh pendapat pertama di atas lemah dan kerana bertentangan dengan yang lebih kuat, sehingga tidak dapat diterima sebagai hujjah atau dalil.

Maka dapat kita ambil kesimpulan jika bayi tersebut belum berumur empat bulan dalam kandungan telah meninggal dunia maka tidak perlu dimandikan dan disolatkan. Namun jika telah lebih dari empat bulan, maka perlu dimandikan dan disolatkan.

Menamakan bayi yang gugur :

Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami rahimahullah adalah sunat memberikan nama kepada as-siqth iaitu kandungan yang gugur yang telah ditiupkan roh kepadanya.

Jika belum dapat dikenal pasti jantina as-siqth itu sama ada lelaki atau perempuan, maka dinamakan dia dengan nama yang sesuai untuk lelaki atau perempuan, seperti Hindun " هند ", Hunaidah " ,"هنيدة Kharijah " خارجة ", Thalhah " طلحة ", ‘Umairah " عميرة ", Zur‘ah " زرعة " dan yang seumpamanya.

Begitu juga sunat hukumnya memberikan nama kepada anak damit (bayi) yang meninggal sebelum sempat diberikan nama.

874. Soalan : Suami saya telah mengatakan kepada teman wanitanya bahawa dia telah ceraikan saya, adakah jatuh talak dengan ucapan suami ?Mohon pencerahan ustaz.

Jawapan :  

Kes puan berat kerana lafaz suami kepada rakan wanitanya bahawa di telah ceraikan puan. Berbeza jika dia mengaku bujang (setakat berbohong) tetapi apabila mengaku sudah ceraikan puan ini bermakna talak boleh jatuh. Dalam perkara talak, nikah dan rujuk tak boleh main-main akan terjadi jika di lafazkan. Rasulullah SAW bersabda maksudnya ; "Tiga perkara sungguhnya adalah sungguh dan gurauannya juga adalah sungguh;
1. Nikah, 2. Talak dan 3. Rujuk." (HR Imam at-Tirmizi dari Abu Hurairah. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis hasan gharib. Lihat: Sunan at-Tirmizi, kitab At-Thalaq wa al-Li'an, bab Ma Ja-a Fi al-Jaddi wa al-Hazli Fi at-Thalaq, no. 1101. Juga diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dan Ibnu Majah).

Berkata Imam al-Khattabi; "Telah sepakat sekelian ulama bahawa lafaz talak yang sharih jika dituturkan oleh seorang lelaki (yakni suami) yang baligh (sampai umur) dan berakal, ia diambil perkiraan dengannya dan tidak berguna ucapannya "Aku mengucapkannya main-main sahaja atau hanya gurauan atau aku tidak berniat talak dengannya" atau alasan-alasan lain seumpamanya" (Aunul-Ma'bud, kitab at-Thalaq, bab at-Thalaq fi al-Hazl, hadis no. 2194). 

Jadi dalam kes di atas jika suami mengakui dan mengatakan kepada rakan wanitanya bahawa dia telah ceraikan puan maka jatuh talak. Pegawai dari Pejabat Agama suruh suami datang ke pejabat adalah untuk mendengar pengakuan suami adakah dia mengucapkan kata-kata tersebut, maka pihak pejabat agama hendak kepastian sahaja. Jika suami engan datang kepejabat puan boleh suruh pejabat membuat surat kepada suami supaya segera datang ke pejabat untuk membuat perbincangan. Puan kena pertahankan kes ini terlebih dahulu status puan dengan suami, jika keadaan rumit puan boleh memohon fasakh atau tebus talak (khulu')

Wallahu a'lam.

875. Soalan : Saya ke masjid sendirian untuk solat jemaah dan majlis ilmu dengan izin suami.tetapi saya sering terganggu dengan pernyataan bahawa solat wanita itu lebih afdal di rumah.minta pencerahan ustaz.

Jawapan : 

Jika isteri solat berjemaah di masjid dan mendapat keizinan suami dalam keadaan perjalanan pergi dan balik tidak mendatangkan fitnah di tambah pula ada majlis ilmu maka lebih afdhal isteri solat di masjid. Sepatutnya suami bawa isteri ke masjid bukan dia mengizinkan sahaja tetapi dia solat di rumah bersendirian. Kita juga dapati bahawa para ulama sepakat tidak mengharamkan mereka ke masjid. Berkata al-Imam Ibnul Jauzi: “Harus bagi seorang perempuan untuk keluar ke masjid untuk solat berjemaah bersama kaum lelaki” (Lihat: Ahkamun Nisa', m/s 36, cetakan pertama, Matbaah al-Halabi, Mesir, 1994).Bahkan ada di kalangan mereka yang menganggap bahawa elok juga bagi kaum wanita untuk datang solat berjemaah di masjid. Berkata al-Hafiz Ibn Hazm dalam kitabnya al-Muhalla: “Jika hadir seorang wanita ke masjid untuk bersolat berjemaah bersama kaum lelaki, maka itu adalah satu perkara yang baik” . Sebahagian ulama mengatakan bahawa hadis yang menyatakan kelebihan solat berjemaah mengatasi solat bersendirian dengan 27 darjat tidak boleh dikhususkan untuk kaum lelaki sahaja. Lihat al-Mufassal Fi Ahkamil Mar'ah, jilid 1, m/s 212.

Sebenarnya tidak ada nas yang jelas melarang wanita ke masjid, bahkan nas yang ada hanyalah menyatakan bahawa solat di rumah adalah lebih baik. Nas ini adalah penutup kepada hadis yang menyatakan bahawa mereka perlu diberikan keizinan untuk ke masjid. Sabda Nabi SAW.: "Jangan kamu menegah kaum wanita ke masjid-masjid, dan (solat mereka di) rumah-rumah mereka adalah lebih baik". Hadis sohih riwayat Abu Daud, Kitabus Solah.
Dr Yusof al-Qardawi berkata: "Solat seorang perempuan di rumahnya itu lebih baik jika dia ke masjid hanya untuk berjemaah, tanpa sebarang faedah lain, tetapi jika ada faedah yang lain seperti mendengar tazkirah keagamaan, mempelajari sesuatu ilmu atau mendengar bacaan al-Qur'an daripada qari yang khusyuk, maka pergi ke masjid itu adalah lebih baik". Ini kerana kewajiban belajar agama dan mendengar tazkirah bukan tertentu untuk golongan lelaki sahaja.

Bahkan terdapat hadis yang khusus yang menyatakan kelebihan belajar di masjid. Sabda Nabi SAW.: “Sesiapa yang datang ke masjid dan tidak ada tujuan baginya melainkan mempelajari kebaikan atau mengajarnya, maka baginya pahala haji yang sempurna”. Hadis riwayat Tobarani dan al-Albani mengangapnya sohih. Lihat Sohih Targhib wat Tarhib, m/s 38.

Tambahan lagi, ramai di kalangan kita yang tidak mengajarkan anak isteri mereka mengenai Islam, samada kerana tidak mampu atau tidak mempunyai masa. Dan kalaulah kita sudah pun mengajarkan mereka agama sekalipun, adakah kita mampu memberikan tazkirah yang boleh mengetuk pintu hati mereka (seperti para ustaz di masjid) supaya mereka nampak keagungan Allah SWT dan ingin mendekatkan diri kepadaNya serta menyucikan hati nurani mereka?

Kalaulah dunia sekarang sedang memberikan kepada para wanita segala hak mereka samada dari sudut ekonomi, politik, sosial dsbg, kenapakah hak mereka untuk berada di rumah Allah dan mendekatkan diri mereka kepada Yang Maha Pencipta dihalang? Tidakkah hak ini tidak kurang pentingnya?

Walau bagaimana pun, wanita perlu meminta keizinan suami atau wali untuk ke masjid. Dan tidak patut bagi seorang ayah atau seorang suami untuk menghalang kecuali ada sebab yang munasabah. Dan mereka juga hendaklah menjaga adab-adab berikut:-

- Keluar dalam keadaan menutup aurat dan berpakaian sopan

- Tidak bersolek dan memakai bau-bauan

- Lebih elok dalam keadaan ditemani dengan mahram, suami, atau kawan-kawan.

Dr Yusof al-Qardhawi dalam perkara ini. Beliau berkata: "Sebahagian daripada kaum lelaki sekarang ini telah pun keterlaluan dalam masalah wanita, dan mereka langsung tidak menyokong fikrah harusnya wanita ke masjid, walau dalam keadaan apa sekalipun. Walaupun ada dinding yang kukuh yang membataskan antara lelaki dan perempuan di masjid, yang mana dinding seperti ini tidak pun ada pada zaman Rasulullah SAW.. Katanya lagi: "Ini semua adalah disebabkan oleh kerana keterlaluan dan kurangnya kesedaran".


No comments:

Post a Comment