Tuesday, November 11, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 185 ( Ihram Dan Tawaf Wanita Pakai Purdah, Tidur Tiarap, Harta Takaful Kena Di Faraidkan, Telekong Yang Ketat, Dan Fitnah Dajjal)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 185 adalah menjelaskan persoalan ihram dan tawaf wanita pakai purdah, tidur tiarap, harta takaful kena di faraidkan, telekong yang ketat, dan fitnah dajjal.

881. Soalan : Apa hukumnya perempuan memakai sarung tangan dan purdah ketika solat dan ketika bertawaf di Kaabah?

Jawapan : 

Wanita didalam ihram dan tawaf dilarang memakai niqab tanpa khilaf dikalangan Imam Mazhab berdasarkan hadis Nabi SAW :-

لا تنتقب المرأة ولا تلبس القفازين 

"Wanita tidak boleh memakai niqab dan sarung tangan" [Hadis Riwayat al-Bukhari]

Syeikh Ibn Utsaimin rh [Fatawa Arkanul-Islam, ms731] mengatakan bahawa larangan niqab sewaktu ihram tidak mengira keadaan, samada berkaitan dengan adanya lelaki yang lalu atau tidak. Jika seseorang perlu menutup mukanya disebabkan terdapat lelaki bukan Mahram, hendaklah dia merendahkan kain dari kepalanya sebagaimana berkata 'Aisyah ra :

كان الركبان يمرون بنا ونحن مع رسول الله صلى الله عليه وسلم محرمات ، فإذا حاذونا سدلت إحدانا جلبابها من رأسها على وجهها ، فإذا جاوزونا كشفناه

"Pernah para penunggang melalui kami semasa kami bersama Rasulullah SAW dalam ihram. Apabila mereka datang melalui sebelah kami, kami menurunkan jilbab dari kepala ke muka kami, dan setelah mereka berlalu kami akan membukanya" [Hadis Riwayat Abu Daud]

Menurut Ibn Qudamah rh semasa memetik kata-kata Ibn Munzir rh, pandangan diatas merupakan pandangan 'Ata', Malik, al-Thawri, al-Syafie, Ishaq dan Muhammad ibn al-Hassan. [al-Mughni 3/154]

Adalah makruh bagi seorang wanita memakai niqab semasa bersolat, melainkan didapati orang-orang sedang melihatnya ketika bersolat. Berkata Khatib Shirbini :

ويكره أن يصلي…والمرأة منتقبة إلا أن يكون في مكان وهناك أجانب لا يحترزون عن النظر إليها فلا يجوز لها رفع النقاب

"Adalah tidak disukai (makruh) semasa solat ...... dan wanita memakai niqab, melainkan disana terdapat ajnabi/asing yang tidak mengawal penglihatan mata mereka, maka pada masa itu tidak boleh membuka niqab" [Iqna', 2/111].

Ibn Baar rh menjelaskan bahawa ijma' berpendapat wanita tidak perlu menutup mukanya ketika bersolat [Tamhid, 6/365].

Kesimpulannya, kita hendaklah akur dengan larangan berniqab semasa didalam ihram dan bersolat. Jika kelihatan lelaki ajnabi disana, maka dibenarkan merendahkan jilbab ke mukanya. Wallahu a'lam.

Aurat Wanita Di Dalam Sembahyang

1. Bagi Mazhab Syafie, aurat wanita di dalam sembahyang ialah wajib menutup seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan. Tiada terkecuali biar pun sembahyang seorang diri atau di tempat gelap atau pun di dalam khemah.

2. Makruh menutup muka seperti memakai purdah yang menampakkan kawasan mata dan dahi mengikut sepakat kebanyakan ulamak. Namun satu pendapat di dalam Kifayatul Akhyar, membolehkan memakai purdah seperti yang disebutkan itu bagi mengelakkan pandangan liar lelaki ajnabi di dalam masjid.

3. Batas aurat itu adalah ditutup daripada pandangan sebelah atasnya dan daripada kelilingnya. Tiada pada pandangan daripada bawahnya. Jika dia sujud maka tapak kakinya perlu ditutup dengan pakaian dan tidak boleh terbuka berdasarkan pandangan sekeliling.

882. Soalan : Adakah tidur tiarap itu tidur yang bukan sunah Rasulullah SAW? Mohon pencerahan?

Jawapan :

Tidak tidur dengan tiarap, berdasarkan sabda Nabi SAW “Sesungguhnya itu adalah cara tidur yang dimurkai Allah ‘azza wa jalla”.(Hadis Riwayat Abu Daud dengan sanad yang shahih). Rasulullah SAW mengajarkan kita adab-adab tidur yang betul mengikut sunah dan baginda melarang tidur yang tidak di sukai oleh Allah SWT. Tidur mengikut sunah adalah : Tidur dengan berwuduk terlebih dahulu. dan berbaring di atas sisi kanan. Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW : “Apabila kamu hendak tidur maka berwuduklah sebagaimana wuduk untuk solat, kemudian berbaringlah di atas sisi kananmu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim). Dalam kajian para doktor tidur tiarap banyak mudharatnya. Keburukan Tidur Meniarap :

1. Menyebabkan badan susah mengekalkan keseimbangan tulang belakang

2. Risiko sakit belakang

- Boleh menyebabkan tekanan kepada sendi dan menyebabkan sakit otot dan kebas.

Tidur Menurut Sunah : 

Walaupun sesetengah bayi lebih selesa tidur meniarap namun sebenarnya posisi ini amat merbahaya kepada bayi,kerana tidur meniarap membawa risiko tertutupnya saluran pernafasan hidung dan mulut dan seterusnya boleh menyebabkan kematian bayi.

Pesanan :

Sebaiknya jauhilah tidur dengan posisi meniarap sebagai meraikan pendapat Ulama yang menghukumkan makruh disamping kajian perubatan moden juga membuktikan ia boleh membawa mudharat..Tidur yang terbaik adalah seperti tidur Nabi SAW.

Kata Imam Ibnul Qoyyim:

“Adalah Nabi tidur dengan berbaring kekanan (mengiring) dan baginda meletakkan tangannya yang kanan dibawah pipinya yang kanan“

Status hadis ini adalah hadis dhaif. Dari Abu Zar ra. beliau mengatakan:

“Suatu hari Nabi SAW sedang berjalan melewatiku ketika itu aku sedang tidur secara meniarap (tidor atas perut).Maka baginda membangunkanku menggunakan kakinya dan berkata, “Hai Junaidib (panggilan Abu Zar), sesungguhnya cara berbaring seperti ini adalah cara berbaring penghuni neraka.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Status Hadis: Dhaif .

Ahli Hadis Yang Mendhaifkannya : Imam al-Bukhari, ad-Daraquthni,Ibn Abi Hatim,Ibn Rejab,Syeikh Ibrahim al-Laahim dan ramai lagi.

883. Soalan : Ustaz saya nak tanya,arwah ayah saya dah setahun meninggal,saya dapat tahu saham dia,dia letak nama saya....saham tu,dalam rm600 je, mak tiri saya suruh bahagi 6 beradik..kalau saya tak bagi boleh jadi dosa ke ustaz?Sebab yang tu je lah peninggalan arwah untuk saya.....mak tiri dan adik beradik lain dah dapat duit pencen.?

Jawapan :  

Selagi wang tersebut hasil peninggalan arwah maka wang tersebut menjadi harta faraid yang perlu di agihkan mengikut hukum faraid. Wang faraid ini termasukkan simpanan KWSP, Tabung Haji, Simpanan Tetap, Saham pelaboran dan harta yang tetap seperti tanah, rumah dan harta yang tak tetap seperti kereta, television, peti ais, radio, hand phone dan sebagainya.

Ibu tiri hanya mendapat 1/ 8 bahagian sahaja nilai rumah tersebut dan baki 7/8 adalah untuk anak-anak tirinya yang lelaki dan perempuan. Anak lelaki mendapart 2 bahagian dan anak perempuan mendapat 1 bahagian. Jika anak tiri redha berikan harta tersebut kepada emak tiri tak mengapa tetapi jika anak tiri menuntutnya wajib di berikan harta tersebut secara hukum faraid dan berdosa besar sesiapa yang enggan memberikan hak waris yang lain.

Wang khairat kematian, wang sumbangan semasa hari kematian tidak termasuk di dalam harta faraid. Dalam persoalan ini, sekiranya insurans tersebut adalah insurans yang dibenarkan oleh islam (Takaful), maka ia adalah termasuk di dalam harta tinggalan arwah ayah anda dan perlu diagihkan mengikut kaedah pengagihan harta pusaka di dalam islam. (secara hukum faraid)

Namun, jika ia bukan dari jenis Takaful maka ia (jumlah keseluruhan wang ) tidak dikira sebagai wang tinggalan arwah . Hanya wang pendahuluan dan juga wang bulanan yang dimasukkan ke dalam akaun tersebut sahaja yang dikira sebagai hartanya dan perlu diagihkan mengikut sistem faraid kepada semua ahli warisnya.

Wang dari insuran nyawa sistem konvesional di kira wang tak patuh syariah. Wang yang tak patuh syariah tak boleh di gunakan untuk urusan peribadi. Perlu di berikan kepada fakir miskin dan projek kebajikan. Wallahu 'alam.

884. Soalan : Ustaz adakah sah seorang wanita memakai telekong jenis yang melekat di badan menampakkan betuk badan wanita seperti telekong jenama Iycra?

Jawapan : 

Telekong jenis Iycra adalah jenis kain yang lembut sehingga menampakkanbentuk tubuh wanita yang memakainya. Adakah pakai tudung seperti ini sah solat ? Seperti yang diketahui salah satu daripada syarat sah solat ialah menutup aurat. Ini bermakna selama-mana aurat tertutup maka orang tersebut boleh menunaikan solat dalam keadaan tersebut, sekalipun pakaiannya sempit dan membentuk rupa aurat. Inilah yang dinyatakan dengan jelas oleh para ulama dari mazhab-mazhab fiqh yang berbagai, kami datangkan sebahagian perkataan para ulama tersebut di bawah ini, antaranya:

MAZHAB HANAFI

Dinyatakan di dalam kitab al-Durr al-Mukhtar dari Mazhab Hanafi:

ولا يضر التصاقه وتشكله

Maksudnya: “Tidak mengapa (pakaian yang dipakai di dalam solat) melekat dengan aurat dan membentuk rupa bentuk aurat.” (al-Durr al-Mukhtar 2/84)

Ibn ‘Abidin di dalam Hasyiahnya kepada al-Durr al-Mukhtar berkata:

قوله : ولا يضر التصاقه أي : بالألية مثلا ، وعبارة شرح المنية : أما لو كان غليظا لا يرى منه لون البشرة إلا أنه التصق بالعضو وتشكل بشكله فصار شكل العضو مرئيا ، فينبغي أن لا يمنع جواز الصلاة ، لحصول الستر

Maksudnya: “Perkataan ولا يضر التصاقه (tidak mengapa melekatnya) iaitulah melekat dengan daging punggung sebagai contoh, dan perkataan di dalam Syarh al-Munyah yang menyatakan: Adapun jika pakaian itu tebal, tidak dapat dilihat darinya warna kulit, melainkan ia melekat dengan anggota badan dan membentuk dengan bentuk anggota tersebut, lalu jadilah bentuk itu dapat dilihat, maka sepatutnya tidak menjadi penghalang harusnya solat kerana telah terlaksana tutupan aurat.” (Radd al-Muhtar ‘ala al-Durr al-Mukhtar oleh Muhammad Amin bin ‘Umar yang lebih dikenali dengan Ibn ‘Abidin)

MAZHAB MALIKI

Di dalam kitab al-Fawakih al-Duwani dari Mazhab Maliki dinyatakan:

ويجزئ الرجل الصَّلاة في الثوب الواحد ويشترط فيه على جهة الندب كونه كثيفا بحيث لا يصف ولا يشفّ ، وإلا كره وكونه ساترا لجميع جسده . فإن ستر العورة المغلظة فقط أو كان مما يصف أي يحدد العورة . . . كرهت الصلاة فيه مع الإعادة في الوقت

Maksudnya: “Memadai seseorang lelaki solat dengan sehelai baju, dan disyaratkan pada baju tersebut secara sunat agar dia tebal dalam bentuk tidak mensifatkan (anggota) dan tidak nipis, jika tidak ia dikira makruh, baju itu juga hendaklah menutup keseluruhan tubuhnya. Jika ia telah menutup aurat yang besar sahaja, namun mensifatkan bentuk aurat, dikira makruh solat dengan pakaian tersebut beserta diulangi solat itu jika masih berwaktu.” (al-Fawakih al-Duwani 1/216)

Di dalam Hasyiah al-Dusuqi pula dinyatakan:

أن الصلاة في الثوب الواصف للعورة المحدد لها صحيحة ، ولكنها مكروهة كراهة تنزيهية ، ويستحب له أن يعيد إذا كان الوقت باقياً 

Maksudnya: “Solat dengan baju yang mensifatkan bentuk aurat adalah sah, akan tetapi hukumnya makruh, makruh tanzih dan disunatkan mengulangi solat tersebut jika waktu masih berbaki.”

MAZHAB AL-SYAFIE

Al-Imam al-Nawawi berkata di dalam al-Majmu’:

فلو ستر اللون ووصف حجم البشرة كالركبة والألية ونحوها صحت الصلاة فيه لوجود الستر ، وحكي الدارمي وصاحب البيان وجهاً أنه لا يصح إذا وصف الحجم ، وهو غلط ظاهر

Maksudnya: “dan jika ia (pakaian itu) menutup warna dan mensifatkan bentuk seperti lutut dan daging punggug dan seumpamanya, sah solat tersebut kerana telah berlaku penutupan. Al-Darimi dan Sahib al-Bayan menyatakan satu wajah, bahawa ianya tidak sah jika mensifatkan (menampakkan) bentuk, pernyataan ini adalah satu kekeliruan yang jelas.” (al-Majmu’ 3/176)

MAZHAB HAMBALI

Ibn Qudamah berkata di dalam al-Mughniy:

وإن كان يستر لونها ويصف الخِلْقَة جازت الصلاة ، لأن هذا لا يمكن التحرز منه

Maksudnya: “Dan sekiranya menutup warna aurat dan mensifatkan bentuk, harus solat (dengan pakaian tersebut), kerana perkara seperti ini tidak mungkin dapat dielak.” (al-Mughniy: 2/287)

PERHATIAN!

Inilah jawapan bagi soalan SAH ataupun TIDAK solat dengan pakaian yang sempit. Namun perlu diberi penekanan di sini bahawa kami sama sekali tidak menyeru dan mengajak orang ramai untuk memakai pakaian yang sempit. Bahkan kami ingin nyatakan di sini bahawa hindarilah diri dari memakai pakaian sempit dalam semua keadaan termasuk di dalam solat. Hal ini kerana pakaian sempit itu menafikan sikap berhias diri untuk solat yang anjurkan di dalam al-Quran. Kerana itu Fadhilah al-Syeikh Soleh al-Fauzan ada menyatakan fatwa Sahnya solat seseorang wanita dengan pakaian yang sempit, dalam masa yang sama dia dikira berdosa kerana memakai pakaian seperti itu, beliau menyebut:

Maksudnya: “Baju sempit yang mensifatkan anggota badan dan mensifatkan tubuh wanita dan potongan-potongan anggotanya tidak wajar dikenakan, baju sempit seperti ini tidak wajar dipakai bagi lelaki mahupun wanita, akan tetapi wanita itu lebih bersangatan tidak wajar, kerana dengan mereka lebih bersangatan mendatangkan fitnah. Adapun solat, jika auratnya tertutup dengan pakaian tersebut, maka solatnya sah, kerana telah berlaku penutupan aurat, akan tetapi dikira berdosa sesiapa yang solat dengan memakai pakaian yang sempit, kerana dia telah mengurangkan sesuatu disebabkan sempit bajunya, ini dari satu sudut. Adapun dari sudut yang kedua: ia menjadi punca berlakunya fitnah, dan memalingkan pandangan orang ramai kepadanya, terutamanya wanita. Maka wajib seseorang wanita mengenekan baju yang memadai dan luas yang dapat menutup tubuhnya dan tidak mensifatkan sesuatupun dari anggota tubuhnya dan tidak memalingkan penglihatan kepadanya, jangan menggunakan baju yang nipis, sebaliknya hendaklah baju yang menutup dengan sempurna.” (al-Muntaqa Min Fatwa al-Syeikh Soleh al-Fauzan 3/454)

Kesimpulannya : Wanita yang memakai pakaian ketat di luar solat jika berhadapan dengan lelaki yang bukan mahram di kira tidak menutup aurat yang sempurna. Tetapi jika wanita solat memakai telekong jenama Iycra (jenis melekat di badan) solat sah tetapi di kira berdosa kerana telekongnya sempit membentuk bentuk badan sebahagian ulama pula mengatakan makruh . Jika telekong yang di pakai longgar solatnya sah dan sempurna.

885. Soalan : Ustaz apakah yang di maksudkan fitnah dajjal?

Jawapan : 

Sabda Rasulullah SAW maksudnya : “Tidak ada fitnah yang lebih besar dari fitnah Dajjal.” (HR Ahmad). 

Dajjal akan muncur di akhir zaman sebelum berlakunya kiamat besar. Dajjal akan datang membawa kerosakkan di muka bumi dan membawa fitnah. "Pada mulanya nanti Dajjal itu mengaku dirinya sebagai nabi. Ingatlah, tidak ada lagi nabi sesudah aku. Setelah itu nanti dia mengaku sebagai Tuhan. Ingatlah bahawa Tuhan yang benar tidak mungkin kamu lihat sebelum kamu mati. Dajjal itu cacat matanya sedangkan Allah SWT tidak cacat, bahkan tidak sama dengan baharu. Dan juga di antara dua mata Dajjal itu tertulis 'KAFIR', yang dapat dibaca oleh setiap mukmin yang pandai membaca atau buta huruf.”

"Di antara fitnah Dajjal itu juga dia membawa syurga dan neraka. Nerakanya itu sebenarnya syurganya sedangkan syurganya itu neraka, yakni panas. Sesiapa di antara kamu yang disiksanya dengan nerakanya, hendaklah dia meminta pertolongan kepada Allah dan hendaklah dia membaca pangkal surah Al-Kahfi, maka nerakanya itu akan sejuk sebagaimana api yang membakar Nabi Ibrahim itu menjadi sejuk."

“Di antara tipu dayanya itu juga dia berkata kepada orang Arab: "Seandainya aku sanggup menghidupkan ayah atau ibumu yang sudah lama meninggal dunia itu, apakah engkau mengaku aku sebagai Tuhanmu?" Orang Arab itu akan berkata: "Tentu." Maka syaitan pun datang menyamar seperti ayah atau ibunya. Rupanya sama, sifat-sifatnya sama dan suaranya pun sama. Ibu bapanya berkata kepadanya: "Wahai anakku, ikutilah dia, sesungguhnya dialah Tuhanmu."

"Di antara tipu dayanya juga dia tipu seseorang, yakni dia bunuh dan dia belah dua. Setelah itu dia katakan kepada orang ramai: "Lihatlah apa yang akan kulakukan terhadap hambaku ini, sekarang akan kuhidupkan dia semula. Dengan izin Allah orang mati tadi hidup semula. Kemudian Laknatullah Alaih itu bertanya: "Siapa Tuhanmu?" Orang yang dia bunuh itu, yang kebetulan orang beriman, menjawab: "Tuhanku adalah Allah, sedangkan engkau adalah musuh Allah." Orang itu bererti lulus dalam ujian Allah dan dia termasuk orang yang paling tinggi darjatnya di syurga."

Sabda Rasulullah SAW lagi: "Di antara tipu dayanya juga dia suruh langit supaya menurunkan hujan tiba-tiba hujan pun turun. Dia suruh bumi supaya mengeluarkan tumbuh-tumbuhannya tiba-tiba tumbuh. Dan termasuk ujian yang paling berat bagi manusia, Dajjal itu datang ke perkampungan orang-orang baik dan mereka tidak mengakunya sebagai Tuhan, maka disebabkan yang demikian itu tanam-tanaman dan ternakan mereka tidak menjadi.”

"Dajjal itu datang ke tempat orang-orang yang percaya kepadanya dan penduduk kampung itu mengakunya sebagai Tuhan. Disebabkan yang demikian hujan turun di tempat mereka dan tanam-tanaman mereka pun menjadi.”

Untuk elakkan berlakunya fitnah dajjal maka amalkan doa selepas membaca tahyat akhir sebelum salam. dan hafal amalkan surah al-Kahfi ayat 1-10. Doa berdasarkan hadis riwayat Imam Muslim

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ ،

وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّال

Dan mafhumnya :

"Ya Allah! Aku berlindung denganMu daripada azab neraka jahanam, daripada azab kubur, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada kejahatan fitnah dajjal."

Pelindungan Daripada Fitnah Dajjal -sila baca Surah al-Kahfi ayat 1-10.

Nabi SAW bersabda maksudnya :”Barangsiapa yang menghafaz 1-10 ayat dari surah Al-Kahfi di pelihara dan di selamatkannya dari Fitnah Dajjal”. (Hadis Riwayat Ahmad , Muslim dan An-Nasaie)

Disunnahkan membaca surah Al-Kahfi pada siang hari atau malam hari Jumaat sebagaimana pendapat Imam Syafi’i (Lihat Al-Adzkar oleh Imam Nawawi).







No comments:

Post a Comment