Monday, November 17, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 190 (Rahsia Perkara Ghaib, Doa Panjang Umur, Isteri Mendedahkan Aib Suami, Janda Boleh Berkahwin Ikut Pilihannya Dan Suami Pentingkan Rakan-rakannya.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 190 adalah menjelaskan persoalan rahsia perkara ghaib, doa panjang umur, isteri mendedahkan aib suami, janda boleh berkahwin ikut pilihannya dan suami pentingkan rakan-rakannya.

906. Soalan : Saya ada dua soalan :

1. Kita di larang mempercayai tanda-tanda pada diri kita seperti tangan rasa gatal (nak dapat duit) , mata bergerak-gerak (tanda nak bersedih) dan sebagainya macamana pula jika seseorang sebelum mati ada tanda-tandanya seperti di kaki dan cuping telinga. Adakah kepercayaan ini boleh mendatangkan syirik?

2. Jika terdapat jiran melakukan maksiat adakah kita nak biarkan saja untuk menjaga hati jiran?

Jawapan : 

1. Kita perlu meletakkan pergantungan kita sepenuhnya kepada Allah SWT tak boleh bergantung pada tanda-tanda tersebut. Oleh kerana perkara rezeki yang akan di perolehi, kedatangan tetamu dan perkara buruk akan berlaku perkara ghaib maka perlu ada nas yang membenarkannya. Jika tak ada nas yg menjelaskannya kita tak boleh bergantung pada petua-petua, pendapat masyarakat, pengalaman kita sendiri semuanya tak ada asas yg boleh di pegang oleh itu menjauhinya adalah lebih baik kerana ada hubungan dengan kepercayaan dan akidah kita.

Terdapat 5 perkara ghaib Allah SWT sahaja Yang Maha Mengetahui:

Allah SWT berfirman,

إِنَّ اللَّهَ عِنْدَهُ عِلْمُ السَّاعَةِ وَيُنَزِّلُ الْغَيْثَ وَيَعْلَمُ مَا فِي الأرْحَامِ وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ مَاذَا تَكْسِبُ غَدًا وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

Sesungguhnya Allah, hanya pada sisi-Nya sajalah pengetahuan tentang Hari Kiamat; dan Dialah Yang menurunkan hujan, dan mengetahui apa yang ada dalam rahim. Dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan diusahakannya besok. Dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. (Surah Al Luqman ayat 34)

Sering kita dengar, orang-orang hanya mengaitkan masalah-masalah yang ghaib dengan hal-hal mistis, yang ghaib ialah hal-hal yang menakutkan, malah banyak orang yang berani menerangkan hal ghaib tanpa ia merujuk kepada Al Quran dan sunnah Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Rasul Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pernah bersabda dalam hadis yang panjang, yang telah diriwayatkan oleh Syaikhani, Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim,

خَمْسٍ لَا يَعْلَمُهُنَّ إِلَّا اللَّهُ ثُمَّ تَلَا صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ { إِنَّ اللَّهَ عِنْدَهُ عِلْمُ السَّاعَةِ وَيُنَزِّلُ الْغَيْثَ وَيَعْلَمُ مَا فِي الْأَرْحَامِ وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ مَاذَا تَكْسِبُ غَدًا وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ }

“Ada lima perkara (ghaib) tidak ada yang mengetahuinya kecuali Allah, kemudian Rasul membaca (QS Luqman 34) : (1) sesungguhnya hanya disisiNya lah ilmu tentang hari kiamat; (2) Dan Dia yang menurunkan hujan; (3)Dia yang mengetahui apa yang ada dalam rahim; (4) dan tidak ada orang yang mengetahui (dengan pasti) apa yang akan dikerjakan/diperoleh besok, (5) dan tidak ada seorangpun yang mengetahui di bumi mana ia akan meninggal dunia. Sesungguhnya Allah maha mengetahui, maha mengenal.”

Inilah 5 perkara ghaib yang tidak ada seorang pun tahu kecuali Allah Subhanahu Wa Ta’ala;

Tanda-tanda kematian yang sering kita jumpa di internet juga tak ada hadis sahih yang menjelaskan, mungkin ianya hanya pengalaman seseorang dan tidak semua orang akan mempunyi tanda yang sama sebelum meninggal dunia. Sebahagian orang yang meninggal dunia tak ada apa-apa tanda tiba-tiba meninggal dunia secara mengejut.

2. Menjaga hubungan baik dengan jiran adalah satu tuntutan agama dan berdosa besar jika kita menyusahkan jiran dan mendatangkan kebencian jiran dengan tindakkan kita yang tidak sepatutnya berlaku. Jika kita melihat berlaku kemungkaran maka wajib kita cegah dan melapurkan pada pihak bertanggungjawab untuk di ambil tindakkan supaya maksiat tak berlaku secara berleluasa di dalam taman tempat tinggal kita kerana kita tak mahu bersyubhat dengan kemungkaran tersebut. 

Jiran yang baik tidak akan suka perkara dosa besar berlaku di taman tempat mereka tinggal dan sepatutnya kita bekerjasama dengan pihak surau dan masjid yang akan pantau keadaan di kawasan perumahan supaya gejala sosial dan masiat tak berlaku .

Nabi Shallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda,

 وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَا يُؤْمِنُ عَبْدٌ حَتَّى يُحِبَّ لِجَارِهِ أَوْ قَالَ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ 

Dan demi Zat yang jiwaku berada dalam genggamanNya, tidaklah seseorang beriman hingga ia mencintai untuk tetangganya, atau Baginda berkata, untuk sudaranya apa yang ia cintai untuk dirinya sendiri. (HR Muslim no: 65) 

Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wa sallam bersabda.

 لَيْسَ المُؤْمِنُ الَّذِيْ يَشْبَعُ وَ جَارُهُ جَائِعٌ إلى جَنْبِهِ 

Bukanlah seorang mukmin, orang yang kenyang sementara tetangganya kelaparan di sampingnya. (HR Bukhari dalam Al Adab Al Mufrad no: 112) 

Nabi Shallallahu 'Alaihi Wa sallam bersabda.

 مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِالله وَ اليَوْمِ الآخِر فَلاَ يُؤْذِيْ جَارَهٌ 

Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhir, maka janganlah ia menyakiti tetangganya. (HR Bukhari no: 5559) 

Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wa sallam bersabda.

 خَيْرُ الأصْحَابِ عِنْدَ الله خَيْرُهُمْ لِصَاحِبِهِ وَ خَيْرُ الجِيْرَانِ خَيْرُهُمْ لِجَارِهِ 

Sebaik-baik sahabat adalah yang paling baik terhadap sahabatnya, dan sebaik-baik tetangga adalah yang paling baik terhadap tetangganya. (HR Tirmidzi no: 1867, Shahih)

907. Soalan : Ustaz jika kita berdoa kepada orang contohnya memohon supaya panjang umur adakah Allah akan makbulkan doa kita atau mengantikan dengan sesuatu perkara yang lain...?

Jawapan : 

Jika kita berdoa untuk panjang umur perlu sebut dalam doa tersebut " umur yang bermanfaat dan di berkati. Di dalam hadis yang lain pula “Sesiapa yang ingin diperluaskan rezeki dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia menghubungkan silaturrahim” (Hadis Riwayat Bukhari)

Dari Anas bin Malik r.a., bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Anak Adam membesar dan turut membesar bersamanya dua perkara: Sayangkan harta dan inginkan panjang umurnya. (Hadis Riwayat Bukhari).

Dalam satu hadis yang lain pula, manusia akan ditanya tentang umurnya:
Dari Abi Barzah al-Aslami, r.a, dari Nabi SAW, sabdanya : “Tidak berganjak kedua kaki seseorang dari tempat berdirinya di mahkamah Rabbnya pada hari kiamat sehingga ia disoal tentang umurnya pada perkara apakah ia dihabiskan.

Imam At Tirmidziy meriwayatkan dari sahabat Abdullah bin Busr, beliau berkata: "Seorang a’robiy bertanya kepada Rasulullah: “Wahai Rasulullah siapakah orang yang terbaik? Rasulullah SAW menjawab: “Orang yang panjang umur dan baik amalannya”.

Sabda Rasulullah SAW : “Sebaik-baik amalan itu ialah bahawa kamu berpisah dengan dunia ini sedangkan lidahmu basah berzikir kepada Allah.” (Hadis Riwayat Abu Na’im). Allah ambil kira amalan terakhir kita sebelum meninggal, dalam hadis disebut “innamal a’malu bil khowatim”… Sesungguhnya amalan-amalan itu terletak pada penghabisan (umur)nya (Hadis Riwayat Bukhari).

Allah sengaja panjangkan umur orang kafir seperti pemancing ikan yang beri umpan kepada ikan. Dibiarkan ikan itu makan umpan sehingga penat ikan itu, barulah ditarik ikan itu ke atas. Sengaja Allah beri kesihatan dan kemewahan kepada mereka kerana azab menanti mereka.

Firman Allah SWT maksudnya, "Dan jangan sekali-kali orang-orang kafir menyangka bahawa Kami membiarkan (mereka hidup lama) itu baik bagi diri mereka; kerana sesungguhnya Kami biarkan mereka hanyalah supaya mereka bertambah dosa (di dunia) dan mereka pula beroleh azab seksa yang menghina (di akhirat kelak).(Surah Ali-Imran ayat 178)

908. Soalan : Apakah hukumnya seorang isteri sudah berkahwin melayan rakan facebook yang lelaki yang bukan mahram dan mendedahkan aib suaminya di facebook?

Jawapan : 

Menggunakan kemudahan facebook boleh jatuh wajib, sunat, makruh, haram atau harus. Jatuh wajib apabila ada pengguna facebook yang menghina Islam dan Rasulullah SAW untuk mempertahankannya kita wajib menjawab dan mempertahankan Islam dan kemuliaan baginda supaya umat islam tak keliru dan percaya kepada tohmahan orang kafir atau munafik. Sunat jika kita gunakan segala kemudahan facebook untuk sebarkan Islam dan mendatangkan manfaat kepada pengguna media sosial. 

Makruh jika membuang masa sia-sia untuk berseronok-seronok, main game dan sembang-sembang kosong berchatting. Haram jika isteri mendedahkan aib suaminya dan haram jika perhubungan facebook tersebut boleh mendatangkan fitnah dan boleh mendorong untuk menghampiri zina (contoh suami bercinta dengan isteri orang, isteri bercinta dengan suami orang dan masing-masing mendedahkan aib pasangan masing-masing).Wanita yang sudah bersuami jika dia bercinta dengan suami orang hukumnya haram dan berdosa besar. Akan jatuh haram juga jika kemudahan internet di gunakan untuk menyebarkan fitnah, mengumpat dan mengaibkan orang lain dan harus jika penggunaan internet tidak menambah ilmu yang bermanfaat dan tidak mendapat dosa dengan menggunakannya.

Jika seorang lelaki bujang atau sudah berkahwin mengetahui bahawa rakan facebooknya wanita yang sudah bersuami maka perlulah jaga batas-batas percakapan dan perhubungan. Cuba elakkan berkongsi pengalaman hidup dan masalaah rumah tangga, kerana menceritakan keaiban suami akan boleh mendorong masalah yang lebih besar dan boleh merosakkan rumah tangga tersebut. Para isteri hanya boleh berkongsi dengan para wanita lain atau pakar kaunseling yang bertaulaih untuk mendapat khidmat nasihat yang di perlukan.

909. Soalan : Ustaz..Saya nak tanya pandangan ustaz ...jika seorang janda beranak satu nak berkahwin lagi..perlukah wanita itu minta kebenaran dari ayahnya untuk menjadi wali nikahnya.?

Jawapan : 

Sebaik-baiknya seorang janda (ibu tunggal) berbincang dengan walinya dan minat persetujuannya. . Walinya tetap akan menjadi wali nikah jika majlis akad nikah hendak di jalankan. Dalam kes ini walinya atau bapanya tak boleh memaksa anak peremuannya yang janda untuk berkahwin dengan pilihannya jika tak mendapat persetujuannya. Rasulullah SAW telah bersabda: 'Dari Abu Hurairah r.a. Rasulullah SAW bersabda, 'Perempuan janda diajak bermusyawarah tentang urusan dirinya, kemudian jika ia diam, maka itulah izinnya, tetapi jika ia menolak maka tiada paksa ke atasnya'. (Hadis Riwayat Al-Khamsah kecuali Ibnu Majah)

Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW telah menyatakan: 'Dari Khansa’ binti Khadam, bahawasanya bapa Khansa’ telah mengahwinkan dia, sedang ia perempuan janda, lalu ia tidak suka demikian itu. Kemudian ia datang kepada Rasulullah. Lalu Rasulullah menolak perkahwinan itu'.(Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Ahmad)

Ini bermakna perempuan janda mempunyai bidang kuasa menolak perkahwinan yang dibuat tanpa kebenarannya iaitu ia boleh menfasakhkan perkahwinan itu di Mahkamah Syariah.

Nikah wajib dengan wali samaada dia seorang janda atau anak dara. Cuma walinya tak boleh menikahkan anaknya yang janda tanpa izin si janda tersebut. Dalam mazhab Syafie si bapa boleh menikahkan anak gadisnya tanpa izin cuma meminta izin adalah sunat sahaja.

910. Soalan : Apa patut isteri lakukan..apabila suami suka mendedahkan aib isterinya dan juga suami lebih mementingkan kawan-kawan dari keluarga.Lebih utamakan kawan-kawan dari isteri.?Tasih kasih ustaz.

Jawapan :  

Seorang suami tak boleh menceritakan keaiban isterinya samaada di kalangan sahabat-sahabatnya atau di laman sosial kerana hukumnya berdosa.Setiap manusia pasti memiliki kekurangan dan kelemahan. Tidak ada manusia yang sempurna, tanpa kekurangan dan kesalahan. Dalam setiap konflik suami dan isteri, selalu ada saham masalah dari kedua belah pihak. Besar kecilnya saham boleh berbeza, namun saham selalu berasal dari kedua belah pihak.

Justru karena menyadari bahwa suami dan isteri memiliki kekurangan dan kesalahan itulah, sudah selayaknya suami tidak boleh menceritakan kelemahan isterinya kepada orang lain, sebagaimana isteri tidak boleh menceritakan kelemahan suaminya kepada orang lain. Perbuatan itu, satu sisi masuk kategori mengumpat yang tercela, sisi lain akan menyebabkan tersebarnya aib atau kelemahan pasangan kepada orang-orang yang tidak berhak mendengar, dan tidak punya keupayaani untuk menyelesaikan masalah.

Rahsia pasangan harus selalu dijaga dengan baik, jangan sampai dijadikan perkara murahan untuk di buka dan dibuka pula kepada orang yang tak patut mengetahuinya. Perbuatan menceritakan kelemahan dan kekurangan pasangan itu tidak akan menyelesaikan masalah, bahkan boleh menimbulkan permasalahan baru yang lebih kompleks. Apalagi ketika mengumpat pasangan ini menjadi semacam kesenangan atau kegemaran yang dilakukan di sembarang tempat. Ini akan membuat semakin rumitnya persoalan.

Rahsia pasangan hanya boleh disampaikan dalam konteks yang sangat khusus, misalnya dalam konteks hukum dan pakar kaunseling. Yang dimaksud konteks hukum adalah apabila ada perselisihan suami dan isteri yang sampai di bawa ke pengadilan (mahkamah syariah), maka di pengadilan itu sajalah masing-masing boleh menyampaikan masaalah pasangan. Sedangkan yang dimaksud konteks profesional adalah ketika suami dan isteri bersepakat untuk menyelesaikan masalah mereka melalui jasa konselor. Nabi SAW bersabda maksudnya, " Barangsiapa menutupi (aib) seorang muslim, maka Allah menutupi aibnya di hari kiamat." (Hadis Riwayat Muslim). 

Hadis ini bersifat umum sesiapa saja tak boleh mendedahkan aib termasuk suami tak boleh dedahkan aib isterinya begitu juga isteri tak boleh dedahkan aib suaminya.

 2. Suami tak boleh mengutamakan kawan-kawan daripada isteri dan anak-anak. Sedekah yang suami berikan kepada keluarganya sebagai nafkah lebih besar ganjarannya daripada suami bersedekah untuk fakir miskin di kalangan orang luar bukan ahli keluarganya.

Daripada Jabir bin Abdullah, katanya, Rasulullah SAW bersabda bermaksud :

"Apabila seseorang daripada kamu berkeadaan miskin (dan dia hendak bersedekah), maka hendaklah dia lebih dulu mengutamakan keperluan dirinya sendiri. Kalau ada yang berlebih, hendaklah disedekahkan kepada anak isteri dan orang yang ditanggung nafkahnya. Kalau ada juga yang berlebih, hendaklah disedekahkan kepada kerabatnya (atau kepada orang yang ada pertalian kerabat dengannya). Kalau ada juga yang berlebih, maka hendaklah disedekahkan kepada orang lain yang memerlukan bantuan, yang ada di sana sini." (Hadis sahih riwayat Imam Ahmad)

Dalam hal sama, daripada Abu Hurairah, katanya, Rasulullah SAW bersabda :
"Bersedekahlah kamu!
Seorang lelaki (yang hadir) berkata : Saya ada satu dinar.
Baginda menjawab : Sedekahkanlah wang itu kepada dirimu sendiri.
Orang itu berkata : Saya ada satu dinar lagi.
Baginda menjawab : Sedekahkanlah wang itu kepada isteri mu.
Orang itu berkata : Saya ada satu dinar lagi.
Baginda menjawab : Sedekahkanlah wang itu kepada anakmu.
Orang itu berkata : Saya ada satu dinar lagi.
Baginda menjawab : Sedekahkanlah wang itu kepada orang gajimu.
Orang itu berkata : Saya ada satu dinar lagi.
Baginda menjawab : Engkau lebih mengetahui (akan orang yang patut engkau berikan)." (Hadis sahih riwayat Imam Ahmad)

Dalam hadis di atas, jelas ada keutamaan kepada siapa sedekah itu perlu diberikan. Nabi Muhammad SAW ketika ditanya mengenai bersedekah kepada kaum kerabat menerangkan : "Orang (yang bersedekah kepada kerabatnya) itu mendapat dua pahala : pahala hubungan silaturahim dengan kerabatnya dan pahala sedekah itu sendiri." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim serta al-Nasa'i dan at-Tirmizi)

Dalam hadis lain daripada Abu Mas'ud al-Ansari daripada Nabi Muhammad SAW sabda Baginda : "Sesungguhnya orang Islam itu apabila dia memberi nafkah dengan sesuatu kepada keluarganya, sedangkan dia memberikannya dengan tujuan mematuhi perintah Allah dan mengharapkan pahalanya nescaya pemberiannya itu menjadi sedekah (yang berpahala) baginya." (Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim)

Perkara itu diterangkan lebih lanjut dalam hadis daripada Abu Hurairah, katanya, Rasulullah SAW bersabda : "Satu dinar yang engkau belanjakan pada jalan Allah, satu dinar lagi yang engkau belanjakan pada memerdekakan seorang hamba abdi, satu dinar lagi yang engkau sedekahkan kepada seorang miskin dan satu dinar lagi engkau belanjakan kepada keluargamu, (maka) yang lebih besar pahalanya adalah yang engkau belanjakan kepada keluargamu." (Hadis sahih riwayat Muslim).


No comments:

Post a Comment