Monday, November 3, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 177 ( Batal Solat Tertinggal Rukun Panjang, Menyesal Berkahwin, Surah al-Baqarah Jauhi Syaitan, Marah Cara Mengawalnya Dan Bersin Dan Menguap)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 177 adalah menjelaskan persoalan batal solat tertinggal rukun panjang, menyesal berkahwin, surah al-Baqarah jauhi syaitan, marah cara mengawalnya dan bersin dan menguap.

841. Soalan : Kami solat jemaah berdua dan datang sorang yang ketiga akan menepuk bahu makmum yang kedua tadi.adakah perlu makmum kedua perlu habiskan baca al-fatihah baru undur kebelakang atau bergerak kebelakang sambil membaca al-fatihah.

Apakah yang dimaksudkan rukun yang panjang dan bagaimana pula seorang makmum yang tak sempat menghabiskan surah al-fatihah disebabkan lambat membaca.makmum adalah muafiq?

Jawapan :  

1. Jika makmum masbuq baru datang dan sentuh bahu kita sebagai makmum muafiq untuk berundur ke belakang supaya menjadi saf belakang imam , makmum muafiq boleh terus ke belakang tak perlu habis baca al-Fatihah. Masa di ambil pun tak lama ketika berundur ke belakang. Tujuan kita segera ke belakang kerana jika lambat jika imam rukuk nanti tak sempat nak ke belakang menjadi satu saf dengan makmum masbuq tersebut.

2. Seorang makmum muafiq telah dikira mendapat pahala jamaah dan bersama imam jika ia sudah dapat takbiratul ihram atau berdiri tegak bersama imam ( Rawdah At-Tolibin, hlm 153).

Imam An-Nawawi menyebut ; kiranya makmum terlewat satu rukun tanpa uzur, tidak batal solatnya, tetapi jika terlewat dua rukun panjang (seperti sujud dan rukuk) maka solatnya batal secara pasti. (Rawdah al-Tolibin, hlm 165)

Maka dalam hal makmum muafiq lambat membaca fatihah, mazhab Syafie dalam ijtihad ( menurut solat Rasulullah SAW ketika di ‘Usfan) mereka meletakkan syarat agar si makmum tidak terlewat sebanyak 3 rukun dari imam (iaitu rukuk dan dua sujud), jika ia merasakan masih mungkin terlewat, hendaklah si makmum memutuskan apa jua bacaannya dan terus rukuk agar tidak ketinggalan 3 rukun dari imam. Jika tidak, solat si makmum akan terbatal. Sebagai contoh, si makmum masih lagi berdiri dalam bacaan fatihahnya tanpa uzur dan imam sudah bangun dari sujud, maka solatnya boleh terbatal.

Bagaimanapun sekiranya terlewat dari 3 rukun itu dengan sebab uzur yang diterima, seperti imam terlampau cepat, makmum takut akan sesuatu, keadaan terlampau sesak, makmum sakit, lupa dan lain-lain yang diterima, maka Imam An-Nawawi menyebut, si makmum boleh memutuskan dirinya dengan imam (mufaraqah) atau yang terpilih menurutnya adalah ; solat tidak batal dan boleh terus sahaja bersama imam (dengan menuruti tertib solat yang asal) dan menggantikan rakaat selepas imam tamat solat. (Rawdah at-Tolibin, hlm 166)

842. Soalan : Ustaz, saya nak tanya,betul ke berdosa kalau isteri nenyesal berkahwin dengan suaminya sekarang? Macamana pula kalau suami pula yang menyesal berkahwin dengan isterinya sekarang?  

Jawapan : 

Apabila seseorang menyesal di atas takdir yang berlaku bukan saja terhapus amalannya tetapi akan rosak akidahnya kerana tak redha terhadap qada' dan qadar yang telah di tetapkan oleh Allah SWT. Dalam rukun iman ke 6 percaya kepada qada' dan qadar adalah salah satu rukun iman, akan rosak iman seorang jika mempertikaikan qada' dan qadar Allah SWT keatas dirinya. Dia juga menjadi hamba yang tak bersyukur kerana tak redha dan menerima ketentuan takdir dan rezeki ke atas dirinya. 

Orang yang mempertikaikan kejadian yang berlaku dan mempertikaikan berkahwin dengan pasangannya samaada suami atau isteri maka akan berdosa besar dan wajib bertaubat nasuha.

Firman-Nya bermaksud: “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat Ku), maka sesungguhnya azab Ku sangat pedih.” (Surah Ibrahim, ayat 7). 

Kita disuruh bersyukur bukan saja apabila mendapat kemewahan atau apa yang dihajati tercapai. Sebaliknya, rasa bersyukur juga di atas ciptaan Allah yang menjadikan dunia ini untuk kemudahan manusia serta seluruh kehidupan lain di dunia ini. Dan bersyukur di atas jodoh yang telah ditetapkan walaupun pasangan kita bukan seorang yang soleh atau solehah. 

Sabda Rasulullah SAW yg bermaksud: “Tidaklah kekayaan itu dengan banyak harta, tetapi sesungguhnya kekayaan itu ialah kekayaan jiwa.” ( Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) 

Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud : "Siapa yang tidak bersyukur dengan pemberian yang sedikit, dia juga tidak akan bersyukur dengan pemberian yang banyak. Siapa yang tidak mensyukuri manusia, bererti dia juga tidak mensyukuri Allah. Memperkatakan nikmat Allah adalah tanda syukur, dan mengabaikannya adalah kufur. Berjemaah itu dirahmati, sedangkan berpecah belah itu mengundang azab." (Hadis Riwayat Ahmad dalam Musnad Ahmad)

843. Soalan : Apakah ayat-ayata al-Quran yang perlu di baca oleh seseorang supaya rumah mereka di jauhi daripada gangguan jin kafir dan syaitan?

Jawapan : 

Ada hadis Nabi SAW menjelaskan kelebihan surah al-Baqarah : Antara kelebihan surah al-Baqarah seperti yang telah di sabdakan oleh Rasulullah SAW:

1. Rumah yang di bacakan surah al-Baqarah tidak akan dimasuki syaitan.

Imam Ahmad, at-Tirmidzi, Muslim dan An-Nasa-I meriwayatkan dari Suhail bin Shalih, dari ayahnya, dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Janganlah kamu menjadikan rumah kamu sebagai kuburan, sesungguhnya rumah yang di bacakan Surah al-Baqarah tidak akan dimasuki syaitan “ (Hadis Riwayat Tirmidzi mengatakan : hadis ini hasan sahih)

Syaitan akan lari dari rumah yang dibacakan surah al-Baqarah.

Dari Abdullah bin Mas’ud, ia berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya:

“Semoga aku tidak mendapatkan salah seorang daripada kamu meletakkan salah satu kakinya diatas kaki yang lain sambil menyanyi dan meninggalkan surah al-Baqarah tanpa membacanya, Sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibacakan surah al- Baqarah. Sesungguhnya rumah yang paling kosong adalah rumah yang hampa dari kitab Allah ( Al-Quran ) “ (Hadis riwayat An-Nas-I dalam kitab alYaum wa al-lailah)

Abdullah bin Mas’ud mengatakan : Barangsiapa yang membaca sepuluh ayat dari surah al-Baqarah iaitu ayat ;-Surah al-Baqarah ayat 1-5,  Ayat Kursi dan 2 ayat berikutnya ( Surah Al Baqarah ayat 284-286) maka syaitan tidak akan masuk kerumahnya pada malam itu.

Dalam satu riwayat lain disebutkan bahawa dia dan keluarganya tidak akan didekati syaitan dan apa yang dibencinya ( binatang buas seumpamanya ). Dan tidaklah ayat ini jika bicakan kepada orang gila akan membuatkannya sadar.

Selain daripada surah al-Baqarah membaca zikir al-Ma'tsurat setiap pagi (lepas subuh) atau lepas asar akan memberi perlindungan daripada gangguan syaitan dan musibah keatas orang yang membacanya dengan izin Allah SWT.

844. Soalan : Bagaimanakah cara kita nak kawal emosi marah kita dan meninggikan suara ketika marah.

Jawapan : 

Sifat marah yang tak dapt di kawal adalah jelas telah di kawal oleh syaitan. Oleh itu saudari perlu segera membaikinya dan mengubati hati yang sedang sakit dan berpenyakit. Firman Allah SWT yang bermaksud : “Jadilah pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta jangan pedulikan orang-orang yang bodoh” (Surah Al-A'raaf ayat 199)

Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud : "Orang yang terkuat di kalangan kamu semua ialah orang yang dapat mengalahkan hawa nafsunya di ketika dia marah dan orang yang tersabar ialah orang yang suka memberikan pengampunan di saat dia berkuasa memberikan balasan (kejahatan orang yang menyakitinya)" (Hadis Riwayat Baihaqi)

Sabda Nabi SAW lagi yang bermaksud : "Tiada seorang pun yang meneguk satu tegukan yang lebih agung pahalanya daripada tegukan berupa kemarahan yang ditahannya semata-mata mengharapkan keredhaan Allah Taala." (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Al Imam Al Hasan Al Bashri rahimahullah berkata: “Empat hal, barangsiapa yang mampu mengendalikannya maka Allah akan menjaga dari syaitan dan diharamkan dari Neraka : iaitu seseorang mampu menguasai nafsunya ketika berkeinginan, cemas, syahwat dan marah.”

Ada seorang lelaki yang datang menemui Rasulullah SAW .dan mengatakan, “Wahai Rasulullah, ajarkanlah kepada saya sebuah ilmu yang boleh mendekatkan saya ke Syurga dan menjauhkan dari Neraka.” Maka baginda s.a.w.bersabda, “Jangan tumpahkan kemarahanmu. Nescaya Syurga akan kau dapatkan.” (Hadis Sahih Riwayat Thorani)

Dari Abu Hurairah r.a, bahwasanya seseorang berkata kepada Nabi SAW., "Berilah aku wasiat?." Nabi SAW. bersabda: : "Janganlah engkau marah" Orang tersebut mengulangi permintaannya hingga beberapa kali, sedang Nabi SAW. bersabda : " Janganlah engkau marah" (Hadis Riwayat Bukhari).

Maka menahan marah merupakan suatu hal yang harus kita latih agar mendapatkan kenikmatan di Syurga kelak.

Terdapat lima pekara untuk mengatasi perasaan marah. Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

1. Membaca Ta'awwudz. (memohon perlindungan Allah SWT daripada gangguan syaitan)

Sulaiman Ibnu Sard meriwayatkan, pernah dua orang saling mencerca satu sama lainnya di hadapan Rasulullah SAW.. Sementara itu, kami sedang duduk di sisinya. Salah seorang dari mereka menghina yang lainnya dengan marah, hingga merah mukanya. Maka Rasulullah SAW.bersabda maksudnya : "Aku mengetahui suatu kalimat, jika diucapkan olehnya (laki-laki yang merah mukanya), maka akan hilang kemarahannya. Hendaklah dia berkata: A’udzubillahi minasy syaithanir rajim (maksudnya 'aku berlindung kepada Allah dari syaitan yang terkutuk).
( Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

2. Berwuduk.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya : " Sesungguhnya, kemarahan itu berasal dari syaitan. Dan syaitan tercipta dari api. Dan sesungguhnya, api itu dapat dipadamkan dengan air. Jika salah seorang diantara kalian marah, maka berwudhu'lah. (Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Daud, hadis ini hasan.)

3. Duduk.

Dalam sebuah hadis Nabi SAW bersabda maksudnya : "Kalau kalian marah maka duduklah, kalau tidak hilang juga maka bertiduranlah"(Hadis Riwayat Abu Dawud).

Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : "Jika salah seorang kalian marah dan dia dalam keadaan berdiri, maka hendaklah duduk. Jika masih belum reda marahnya, maka hendaklah berbaring.
( Hadis Riwayat Ahmad )

Hal ini kerana marah dalam berdiri lebih besar kemungkinannya melakukan keburukan dan kerusakan daripada dalam keadaan duduk. Sedangkan berbaring lebih jauh lagi dari duduk dan berdiri.

4. Diam.

Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : "Jika engkau marah, maka diamlah. Jika engkau marah, maka diamlah. (Hadis Riwayat Ahmad ) .

Banyak berbicara dalam keadaan marah tidak boleh mengawal perasaan sehingga terjatuh pada pembicaraan yang tercela dan membahayakan dirinya dan orang lain.

Dalam hadis disebutkan :“Apabila diantara kalian marah maka diamlah.” Baginda SAW. ucapkan tiga kali." (Hadis Riwayat.Ahmad)

5. Bersujud (maksudnya solat sunat dua rekaat)

Nabi SAW bersanda maksudnya : "Ketahuilah, sesungguhnya marah itu bara api dalam hati manusia. Tidaklah engkau melihat merahnya kedua matanya dan tegangnya urat darah di lehernya? Maka barangsiapa yang mendapatkan hal itu, maka hendaklah ia meletakkan pipinya dengan tanah (sujud)." (Hadis Riwayat Tirmidzi)

845. Soalan : Bagaimana cara perlu kita buat semasa solat kita hendak bersin dan menguap?

Jawapan : 

Jika sedang solat tiba-tiba bersin tutup mulut dengan tangan kiri, jika menguap jangan buka mulut dan cuba kawal mulut supaya tak terbuka, jika terbuka cepat-cepat tutup dengan tangan kiri.

Salah satu hak Muslim kepada Muslim yang lain adalah menjawab bersin seseorang apabila dia berkata 'almamdulillah' maka jawapannya adalah dengan mengucapkan do'a 'yarhamukallah'  (semoga Allah merahmatimu).

Anas bin Malik r.a. bercerita, ada dua orang bersin dekat Nabi Muhammad s.a.w. Baginda mendoakan (tasymit) seorang daripada keduanya, namun tidak mendo'akan seorang yang lain. Ditanya alasannya, Rasulullah s.a.w. menjawab: “Sebab yang seorang mengucapkan ‘alhamdulillah’, sedangkan yang seorang lagi tidak membacanya.”
(Hadis Riwayat Bukhari).

Jadi orang bersin dan tidak membaca alhamdulillah tidak layak dido'akan kerana tidak bersyukur nikmat yang Allah s.w.t. kurniakan. Pada hal bersin termasuk antara nikmat daripada Allah yang manfaatnya sangat besar dan mustajab.

Menurut Ibnu Qaiyyim, bersin dapat mengeluarkan wap dari dalam otak yang jika dibiarkan (tidak dimanfaatkan) akan berbahaya. (Kitab Zadul Ma’ad). Bersin adalah mekanisme pertahanan tubuh untuk mencegah masuknya zat luar ke dalam tubuh. Ketika bersin, udara kotor keluar dengan keras melalui hidung dan mulut berkecepatan sekitar 161 kilometer/jam. Dr Michael Roizen, pegawai kesihatan Cleveland Clinics menegaskan, bersin kegiatan positif kerana berfungsi membersihkan ruang rongga antara hidung, mulut, dan tenggorakan.  Dalam Syarah Riyadhus Salihin, Syeikh Usaimin mengutarakan, bersin dapat menggiatkan otak dan meringankan tubuh.

Untuk itulah, setelah bersin, dengan membaca hamdalah, sebagai bukti bersyukur kepada Allah. Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud: “Jika seorang di antara kamu bersin, ucapkanlah `alhamdulillah’ (segala puji bagi Allah). Di samping itu orang yang mendengarnya mendoakan dengan ucapan `yarhamukallah’ (semoga Allah merahmatimu), orang yang bersin tadi membaca doa `yahdikumullahu wa yusilhu balakum’ (semoga Allah memberikan hidayah dan memperbaiki keadaanmu.” (Hadis Riwayat Bukhari).

Bacaan hamdalah adalah do'a paling utama. Imam al-Sindi menyatakan, hamdalah mengandungi pengertian dua jenis (fungsi) do'a, iaitu menyanjung dan mengingat Allah s.w.t.(zikir), serta mengajukan permohonan agar nikmat ditambah.

Dengan berzikir saja, Allah menjamin akan memperbaiki lebih daripada diminta.

Firman-Nya dalam hadis Qusi bermaksud : “Siapa yang lebih sibuk megingati-Ku (berzikir) daripada meminta sesuatu kepada-Ku, ia akan Aku berikan sesuatu melebihi orang yang memohon.”

Apakah dia menguap (tatha’ub)? Menguap bererti layu dan malas. Menguap terjadi kerana minimumnya oksigen dalam tubuh. Biasanya, orang menguap apabila tubuh lelah, malas, bosan, atau mengantuk. Nabi s.a.w  bersabda yang maksudnya : “Menguap itu daripada syaitan. Oleh itu jika menguap, tahanlah sedapat mungkin. Sebab jika orang menguap hingga terucap `ha’ , syaitan tertawa menyaksikannya.” (Hadis Riwayat Bukhari).

Sesetengah orang apabila menguap, ia tidak menutupi mulutnya, syaitan amat menyukai yang demikian, di samping itu juga virus akan keluar dari mulut seseorang yang boleh menyebarkan penyakit. Ulama' menganjurkan kita bila sahaja menguap tahan jangan membuka mulut dan terus membaca membaca 'auzubillahiminasyaitanirrajim bismillahirahmanirrahim' supaya syaitan yang datang menganggu dapat dijauhi daripada mentertawakan kita.

Syaitan tertawa gembira dengan tabiat demikian, kerana menyukai kemalasan dan kedunguan, sedangkan agama sangat anti dengan kemalasan dan menganjurkan umatnya untuk giat bekerja dan beramal. Nabi s.a.w  pun selalu berlindung daripada sifat kemalasan dan unsur yang negatif.

Sunnahnya orang bersin merendahkan suaranya. Faedahnya ialah ketika orang bersin kebanyakannya membuat suara tinggi yang boleh mengganggu, maka disunnahkan baginya untuk merendahkan suaranya dengan meletakkan tangannya atau pakaiannya ke wajahnya.

Abu Hanifah meriwayatkan: “Bahawa Nabi s.a.w. apabila bersin baginda menutup wajahnya dengan tangan atau pakaiannya dan dengan demikian baginda merendahkan suaranya.”

Abu Hurairah berkata: “Do'akan saudaramu yang bersin sebanyak tiga kali, kalau lebih daripada tiga maka dia sedang selesema.”

Dalam hadis yang disebutkan Abu Musa al-Asya’ari pula, berkata: “Seorang Yahudi bersin di sisi Rasulullah, dia berharap agar Nabi mengucapkan untuknya yarhamukallah, namun yang Nabi ucapkan adalah: `yahdikumullah wa yuslihu balakum.’”

Berdasarkan hadis ini boleh mendo'akan ahlu zimmah, apabila mereka bertahmid setelah bersin, dengan do'a hidayah dan taufik kepada keimanan, dan tidak mendo'akan mereka dengan rahmat. 

dan maghfirah, kerana mereka tidak sesuai untuk doa itu, manakala orang yang bersin di dalam solat boleh bertahmid kepada Allah, namun tidak boleh bagi orang yang mendengarnya mendo'akannya dengan mengucapkan yarhakumullah.

Adalah perkara yang diperintahkan dan disunnahkan, dan termasuk perkara kesempurnaan agama dengan mensyariatkan kepada mereka do'a yang mereka ucapkan setelah bersin, yang mana ia adalah nikmat Allah atas mereka. Maka dengan bersin itu mereka saling mendo'akan rahmat dan memohon kepada Allah hidayah dan baik keadaannya.

Dari al-Barra’ bin ‘Azib, dia berkata: “Nabi memerintahkan kepada kami dengan tujuh perkara dan melarang kami dari tujuh perkara, maka Baginda menyebutkan : 1. menjenguk orang sakit 2. mengikuti jenazah 3. mendoakan orang bersin 4. membalas salam 5. menolong orang yang dizalimi 6. memenuhi jemputan, dan 7. memperhatikan keinginan orang yang bersumpah.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Semoga kita semua dapat amalkan sunnah Rasulullah s.a.w. ketika bersin dan menguap dan mendapat ganjaran pahala di sisi Allah s.w.t  dan terhindar daripada penyakit dan gangguan syaitan.

No comments:

Post a Comment