Monday, November 3, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 179 ( Adat Bersanding, Doa Memasak, Doa Mendapat Zuriat, Solat Sentuh Anak Kecil Dan Bertaubat Kali Kedua.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 179 adalah menjelaskan persoalan adat bersanding, doa memasak, doa mendapat zuriat, solat sentuh anak kecil dan bertaubat kali kedua.

851. Soalan : Minta pencerahan mengenai bersanding. Mengikut apa yang saya faham adat bersanding ni daripada agama hindu. Dan apa yang saya faham  sesiapa yang mengikuti perbuatan sesuatu kaum itu tergolong dalam kaum tu.

Bagi saya,perbuatan adat melayu ini satu pembaziran dan menimbulkan sifat riak sebab suka menunjuk-nunjuk kelainan. Mohon pencerahan .

Jawapan : 

Bersanding sudah menjadi budaya masyarakat melayu di dalam majlis perkahwinan. Adat ini adalah di ambil daripada adat hindu iatu pengantin lelaki dan perempuan duduk di atas pelamin dan di perhatikan oleh para tetamu jemputan. Terdapat lagi adat lain iaitu keluarga pengantin akan merenjis air mawar . kononnya memohon restu ahli keluarga terutama ibu dan bapa. 

Adat yang bertentangan dengan syariat ini wajib di tinggalkan dan terdapat unsur pembaziran dan hilang pergantungan kepada Allah SWT kerana dengan merenjis air mawar mendapat keberkatan, nauzubilahiminzalik. Jika seseorang niat nak ikut agama hindu di dalam persandingan akan jatuh syirik tetapi jika nak ikut adat saja dan tak ada niat nak ikut ajaran agama hindu maka berdosa saja kerana amalan ini bertentangan dengan syariat Islam .

852. Saoalan : Ustaz, apakah bacaan ketika memasak untuk keluarga supaya mendapat rahmat Allah SWT. Terima Kasih.

Jawapan : 

Sebahagian ulama menggalakkan membaca doa di ambil daripada ayat-ayat al-Quran dan hadis Nabi SAW, berikut : 

1. Doa Masuk Dapur 

رَبَّنَا آتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا

Wahai Rabb kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami. [Surah al-Kahf (18) ayat 10]

2. Doa Waktu Sukat Beras (Baca 3 kali)

الحَمدُ للهِ الَذي اطْعَمَنَا مِنْ جُوعٍ

Segala puji bagi Allah yang telah memberi kami makan daripada kelaparan.

3. Doa Ketika Di Dapur

3.1. Doa Buka Periuk (Baca 3 kali)

اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيهِ وَأَطْعِمْنَا خَيْرًا مِنْهُ

Ya Allah berkatilah kami daripadanya dan kurniakanlah kami makanan yang lebih baik darinya (Hadis Riwayat At-Tarmizi 5/506. Sahih At-Tarmizi 3/158.)

3.2. Zikir Waktu Masak (Baca 3 kali)

لَيْسَ لَهَا مِنْ دُونِ اللَّهِ كَاشِفَةٌ

Tidak ada yang akan menyatakan terjadinya hari itu (kiamat) selain Allah. [Surah an-Najm (53) ayat 58]

(Kacau ikut lawan jam)

3.3. Doa Potong Sayur & Buah (Baca 3 kali)

فَذَبَحُوهَا وَمَا كَادُوا۟ يَفْعَلُونَ

Maka mereka pun menyembelih ia, dan hampir-hampir mereka tidak menunaikan (perintah Allah) itu. [Surah al-Baqarah (2) ayat 71]

3.4. Doa Letak Periuk/Kuali Atas dapur (Baca 3 kali)

فَسَيَكْفِيكَهُمُ اللَّهُ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

"Maka Allah akan memelihara kamu dari mereka. Dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." [Surah al-Baqarah (2) ayat 137]

4. Doa Simpan Beras (Baca 3 kali)

وَتَرْزُقُ مَن تَشَاء بِغَيْرِ حِسَابٍ

Engkau jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dengan tiada hitungan hisabnya. [Surah Ali-Imran (3) ayat 27]

Doa ketika di dapur ini semuanya adalah daripada ayat Al Quran dan hadis. Jadi membacanya insyaAllah akan mendapat ganjaran.

Jadi, kepada isteri, ibu maupun anak dara, jika berada di dapur menyediakan makanan untuk keluarga tu, boleh lah amalkan doa-doa ini. Niatkan dan doa di dalam hati agar rumahtangga kita bahagia, terhindar daripada perkara-perkara yang tak diingini dan sebagainya.

Semoga rumahtangga kita sentiasa dibawah naungan keberkatan Allah jua.

Selamat beramal dengan doa ketika di dapur. Wallahu a'lam

853. Soalan : Bolehkah ustaz jelaskan doa-doa untuk mendapat zuriat yang soleh dan solehah?

Jawapan : 

Doa Nabi Zakaria a.s. a.s.: 

Doa memohon mendapat keturunan yang baik-baik :

رَبِّ هَبْ لِي مِنْ لَدُنْكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً إِنَّكَ سَمِيعُ الدُّعَاءِ

"Wahai Rabbku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; Sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan." (Surah Ali-Imran ayat 38)

Firman Allah SWT maksudnya :

"Dan orang-orang yang berkata: "Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan hidup dan keturunan yang menjadi penyejuk mata (penyenang hati - qurratul 'ain), dan jadikanlah kami ketua bagi orang-orang yang bertakwa.”(Surah Al-Furqan ayat 74)

Apakah yang dimaksudkan dengan qurratu ‘ain? Al-Quran diturunkan sebagai satu kitab dan panduan yang jelas, lagi menjelaskan. Ia diturunkan dalam bahasa Arab, dan tiada yang lebih memahami bahasa Al-Quran, melainkan orang Arab, atau mereka yang mahir dalam bahasa Arab.

Kalimah qurratu ‘ain (penyejuk mata) digunakan oleh bangsa Arab sebelum dan semasa Al-Quran diturunkan, dengan membawa maksud:

1. Sesuatu yang memberi kegembiraan, ketenangan hati dan bahagia.

Kita lihat pula perkataan yang berlawanan dengannya, di mana dalam masyarakat Arab dahulu, antara perkataan buruk yang boleh diucapkan oleh seseorang kepada orang yang lain adalah “Semoga mata anda menjadi panas.” Apakah yang dimaksudkan dengan ‘panas’ di sini? Dalam kata lain, ia bermaksud “Semoga anda sentiasa dilanda kesedihan, hidup tertekan, dan diselubungi sengsara.”

2. Sesuatu yang melindungi dan memberi kerehatan.

Masyarakat Arab dahulu, apabila mengembara dengan menggunakan unta, dan apabila dalam pengembaraannya, ribut pasir melanda, mereka akan menutup seluruh tubuh dan muka mereka dengan kain atau pakaian, melainkan mata mereka. Maka mata terpaksa bertahan, sehingga ribut berhenti atau mereka sampai ke tempat perlindungan. Apabila mereka berjaya mencari tempat berlindung dan istirehat, mereka berkata “Mataku kini menjadi sejuk.”

Tentang ayat Al-Quran di atas, antara ‘ibrah yang boleh kita ambil:

Pertama, ‘ibrah yang tersurat, berdoalah kepada Allah SWT. agar dikurniakan pasangan hidup dan anak yang menjadi penyejuk mata, penyenang hati, penenang jiwa. Semoga pasangan hidup dan anak menjadi sumber kegembiraan, ketenangan, bahagia dan kerehatan.

Kedua, ‘ibrah yang tersirat, berusahalah menjadi isteri atau suami yang menjadi penyejuk mata, penyenang hati, penenang jiwa kepada pasangan. Jangan hanya berharap dan berkata “Dia sepatutnya menjadi penyejuk mata buat aku.” Usahakan dahulu agar diri menjadi penyejuk mata buat dirinya.

Ketiga, buat para suami, berusaha mendidik isteri dan anak dengan didikan Islam, tarbiah Islamiah. Sediakan ruang untuk mereka menerima didikan Islam yang mendidik akal dan jiwa. Buat para isteri, berusaha mendidik anak, dan sediakan ruang untuk mereka menerima didikan Islam.

854. Soalan : Adakah batal solat jika anak kita berumur 1-3 tahun menyentuh kita ketika sedang solat dan dia duduk di atas riba semasa kita duduk tahyat akhir (anak pakai pampers)?

Jawapan : 

Solat saudari tak batal sentuh anak umur 1-3 tahun.

Jika diteliti hadis-hadis yang dibawa di atas yang meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW menggendong Hasan/Husain ketika solat, serta mereka naik ke atas tengkok Baginda, ini memberi maksud budak yang belum baligh tidak termasuk di dalam perkara yang boleh membatalkan solat.

Demikian juga hadis ini: Maksudnya: “Aku melihat Nabi SAW mengimami solat sedang mendukung Umamah binti Abi al-As yang juga anak perempuan Zainab binti Rasulullah SAW. Apabila baginda rukuk diletakkannya dan apabila bangun dari sujud baginda mengangkatnya semula”

Mungkin akan dibahaskan bahawa orang Arab adabnya mengkhitankan anak ketika masih bayi, tetapi ditempat kita anak-anak kebiasaannya akan berkhitan apabila habis sekolah rendah. Apakah ia menjadi kotor kerana kulup/najis yang terdapat pada anak itu?

Maka kalau dilihat kepada hukum istinjak menggunakan batu, kesannya tentu tidak habis, dan ianya dikira sebagai najis yang dimaafkan. Soalnya, apakah ia lebih suci daripada kulup? Sedangkan tiada nas/hujah yang mengatakan orang yang beristinjak dengan batu mesti duduk di saf yang berlainan.

Begitu juga Ulama tidak merenggangkan antara orang yang berpenyakit kencing tanpa henti (salis al-baul) dengan orang-orang lain. Ini menunjukkan kanak-kanak yang belum berkhitan juga tidak perlu direnggangkan. 

Menyentuh Anak Kecil Yang Memakai Lampin.

Perbincangan tentang masalah ini juga sama seperti di atas, iaitu hadis Rasulullah saw mendukung Umamah binti Abi al-‘As dan kisah Al-Hasan dan Husain ra, kalau kita andaikan mereka berdua sudah berkhitan, apakah mereka juga sudah pandai menjaga kebersihan, pergi ke tandas sendiri atau masih menggunakan lampin seperti kanak-kanak lain.
Kemudian, sama-sama kita telitikan pula pandangan ulama’ tentang menyentuh najis secara berlapik atau menanggungnya.

Imam An-Nawawi telah menegaskan di dalam Rawdah at-Talobin dengan katanya:
“Sekiranya (seseorang yang sedang solat itu bersentuh dengan sesuatu yang suci (pada jasadnya seperti kanak-kanak) tetapi benda yang suci tadi bersentuh pula dengan najis atau menanggung najis maka TIDAK BATAL SOLATNYA” . [Rujuk Rawdah at-Tolibin, 1/274].

Alasan ia tidak membatalkan adalah kerana:-
a. Sentuhan itu tidak secara langsung dengan najis yang ditanggungi. Jika secara langsung terbatal solat seseorang itu tapi tidak wuduknya. Jika tersentuh najis secara langsung, ia hanya perlu membasuh najis itu sehingga bersih, dan tidak perlu memperbahurui wuduknya.

b. Bersentuh secara tidak langsung dengan kanak-kanak yang menanggung najis seperti memegang tangannya atau dirinya menyentuh pakaian kita, adalah tiada membawa sebarang masalah kerana mereka bukannya najis bergerak dan tidak pula tubuhnya bertukar menjadi najis hingga tidak boleh disentuh sama sekali, ia hanya menanggung najis sahaja.

Waalahu a'lam.

855. Soalan : Adakah Allah SWT terima sekiranya seseorang sudah bertaubat kemudian dia ulangi lagi dosa besar yang pernah dia tinggalkan dahulu maksudnya dia bertaubat untuk kali kedua? Minta pencerahan.

Jawapan : 

Allah SWT sentiasa menerima taubat hamba-hamba-Nya .Jika seseorang melakukan dosa kemudian bertaubat dan ulangi lagi dosa yang sama kemudian bertaubat adakah Allah terima taubatnya? Taubatnya tetap di terima jika taubat kali kedua dia melakukan dengan bersungguh-sungguh dan tak mahu mengulangi dosa yang lalu. 

Walaubagimana pun perlulah kita kaji beberapa sebab atau tanda-tanda taubat tak di terima oleh Allah SWT. :

1. Lemah keazamannya dan hatinya membayangkan keseronokan melakukan dosa semula. Itu adalah taubat orang yang dusta. Malunya kepada manusia, tidak malu kepada Allah SWT, takutnya kepada manusia tidak takut kepada Allah.

2. Tenang dan yakin dirinya telah bertaubat dan berasa aman daripada murka Allah.

3. Beku air matanya daripada menangis dan keras hatinya.

4. Tidak takut terhadap kematian dan peristiwanya.

5. Tidak takut neraka dan peristiwanya.

6. Tidak melakukan amal soleh selepas bertaubat.

Marilah kita bertaubat bersungguh-sungguh kepada Allah sebelum terlambat.

Firman-Nya yang bermaksud :“Wahai orang yang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah (mintalah dihapuskannya dosa kamu), dengan taubat nasuha, mudah-mudahan Rabb kamu akan menghapuskan kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang yang beriman bersama-sama dengannya, cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (ketika mereka berjalan), mereka berkata (ketika orang munafik meraba-raba dalam gelap gelita): “Wahai Tuhan kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan limpahkanlah keampunan kepada kami, sesungguhnya Engkau amat berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Surah at-Tahrim, ayat 8)

Pintu taubat sentiasa terbuka. Dan, Allah SWT akan senantiasa menanti kedatangan hamba-Nya yang akan bertaubat. Namun demikian, tidak selamanya pintu taubat terbuka. Ada saatnya pintu tersebut tertutup rapat, terutama pada dua keadaan.

Pertama, ketika nyawa manusia sudah berada di kerongkong. Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya Allah yang Maha Mulia lagi Maha Agung menerima taubat seseorang sebelum nyawanya sampai di kerongkong." (HR Tirmidzi).

Kedua, ketika matahari terbit dari tempat terbenamnya. Rasulullah SAW bersabda, "Barang siapa bertaubat sebelum matahari terbit dari barat, nescaya Allah menerima taubatnya." (HR Muslim).

Bila pintu taubat telah tertutup maka penyesalan, permohonan ampunan, perbuatan baik, dan keimanan orang kafir tidak akan bermanfaat lagi. Sebab, Allah SWT tidak akan menerimanya. "Yang mereka nanti-nanti tidak lain hanyalah kedatangan malaikat kepada mereka (untuk mencabut nyawa mereka), atau kedatangan Tuhanmu atau kedatangan sebahagian dari tanda-tanda Tuhanmu. Pada hari datangnya sebahagian dari tanda-tanda Tuhanmu tidaklah bermanfaat lagi iman seseorang bagi dirinya sendiri yang belum beriman sebelum itu, atau dia (belum) mengusahakan kebaikan dalam masa imannya. Katakanlah: "Tunggulah olehmu, sesungguhnya kami pun menunggu (pula)." 
(Surah al-An'am [6] ayat 158).

Hal ini harus menjadi perhatian kita untuk tidak menunda-nunda dalam bertaubat. Sebab, bila tidak akan dilakukan maka bukan tidak mungkin hal itu akan menenggelamkan kita pada kemaksiatan yang pada akhirnya diri kita akan menganggap baik setiap sesuatu yang buruk.

Selagi kita hidup di dunia, mari kita gunakan kesempatan ini untuk menyikapi bersiap diri sebelum pintu taubat tertutup.

Pertama, bersegera melakukan taubat. "Sesungguhnya penerimaan taubat di sisi Allah hanyalah taubat bagi orang-orang yang mengerjakan kejahatan lantaran kejahilan, yang kemudian mereka bertaubat dengan segera, maka mereka itulah yang diterima Allah taubatnya; dan Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana." (Surah An-Nisa [4] ayat 17).

Kedua, bersegera melakukan pelbagai macam kebaikan sebelum datangnya masa yang menyebabkan kita sukar untuk melakukan kebaikan. Rasulullah SAW bersabda, "Bersegeralah kamu untuk mengerjakan amal-amal soleh, kerana akan terjadi berbagai fitnah yang menyerupai malam yang gelap gelita." (HR Muslim dan Tirmidzi).

Ketiga, berusaha meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT. Dengan takwa kita akan diberi kemampuan untuk membezakan yang benar dan salah. (Surah al-Anfaal [8] ayat 29). 

No comments:

Post a Comment