Monday, November 17, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 189 ( Suami Guna Gaji Isteri, Sifat Sombong, Tafsir Surah an-Nisa' Ayat 47, Khyusuk Dalam Solat Dan Hilangkan Perasaan Takut.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 189 adalah menjelaskan persoalan suami guna gaji isteri, sifat sombong, tafsir surah an-Nisa' ayat 47, khyusuk dalam solat dan hilangkan perasaan takut.

901. Soalan : Adakah wang gaji isteri boleh di gunakan sebagai nafkah oleh suami tanpa kerelaan isterinya?

Jawapan : 

Kewajipan suami adalah memberi nafkah kepada isteri dan anak-anaknya. Walaupun isteri bekerja wang gaji isteri adalah hak isteri tak boleh di ambil oleh suami tanpa izin isteri. Suami tak boleh menganggap gaji isteri mesti di gunakan untuk membeli perbelanjaan dapor dan keperluan yang lain. Islam telah memberikan hak kebebasan kepada isteri jika isteri nak memberikan bantuan kepada kedua ibu bapanya yang miskin tanpa minta izin kepada suami. 

Suami yang bertakwa dan bertanggungjawab tak akan menjadikan harta isterinya sama seperti hartanya sendiri. Walaubagimana pun isteri yang baik akan cuba membantu keluarganya jika di dapati ada kekurangan dia akan menggunakankan wangnya sendiri dengan kerelaan hatinya dan di anggap sebagai sedekah isteri yang akan di beri ganjaran pahala yang besar oleh Allah SWT.

Jika suami ada duit tetapi kedekut untuk perbelanjaan keluarga maka isteri boleh ambil duit suami tanpa izinnya tetapi sekadar keperluan nafkah yang sepatutnya di berikan oleh suaminya. Perkara ini pernah berlaku di zaman Rasulullah SAW. Jika suami enggan memberi nafkah, maka isteri berhak mengambil duit suami tanpa pengetahuannya mengikut kadar keperluan belanja keluarga.

Hal ini dibenarkan oleh syara’ . Ini berdalilkan kepada riwayat berikut.
Rasulullah SAW telah ditanya oleh isteri Abu Sufian, Hindun binti Utbah bin Rabi’ah yang datang mengadu kepada Baginda SAW, “Wahai Rasulullah, Abu Sufyan adalah seorang suami yang kedekut. Bolehkah aku mengambil sebahagian hartanya untuk keperluan keluarga kami?” Rasulullah bersabda yang bermaksud, “Tidak mengapa engkau mengambil sekadar keperluanmu dengan cara yang makruf.” (Hadis riwayat al-Bukhari dalam Sahih al-Bukhari no. 2460)

Maka jika puan berhadapan dengan suami seperti ini, puan boleh mengambil secara diam-diam sejumlah wang yang sesuai untuk menampung perbelanjaan bagi keperluan yang patut dan wajar untuk diri sendiri dan anak-anak, pembantu jika ada, tanpa menanggung apa-apa dosa bahkan puan sebenarnya telah meringankan beban siksa suami puan dihadapan Allah Taala di yaumil akhirat nanti.

Ulama berpendapat, dengan cara yang makruf di dalam riwayat bermaksud pengambilan harta tersebut tidak berlebih-lebihan dan tidak merosakkan harta si suami. Jika hal itu disedari oleh suami dan menimbulkan pergaduhan, isteri boleh memaksa suami memberikan nafkah melalui perintah Mahkamah Syariah.

Seorang isteri yang bekerja masih berhak mendapat nafkah daripada suaminya, bermakna hak isteri itu tidak gugur kerana dia bekerja. Jika selama ini wang hasil titik peluh isteri digunakan untuk menampung perbelanjaan keluarga, ini tidak bermakna suami boleh melepaskan tanggungjawabnya terhadap isteri dan anak-anak begitu sahaja. Sebaliknya, suami masih perlu memberi nafkah kepada isteri kerana Islam sebenarnya meletakkan beban tanggungjawab nafkah kepada suami, bukan isteri.

Apabila suami enggan membayar nafkah untuk keluarga, dia dikira sudah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai suami dan ia berdosa. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud, “Cukuplah seseorang itu dianggap berdosa apabila suami yang mensia-siakan orang yang menjadi tanggungannya.” (Hadis riwayat Abu Daud dalam Sunan Abu Daud, no. 1442)

902. Soalan : Rakan saya jika berjumpa dan berbual-bual dia suka memuji diri sendiri dan bersikap sombong dan memperkecilkan kemampuan orang lain. Bagaimanakah cara saya boleh memberi nasihat kepada beliau untuk merendahkan diri dan membuangkan sifat mazmumah yang beliau miliki?

Jawapan : 

Setiap orang mempunyai perangai yang berbeza-beza. Ada yang suka membanggakan dirinya sendiri dan ada seseorang yang merasai rendah diri . Apabila kita berhadapan seseorang yang cakap besar, membanggakan diri dengan harta kekayaannya atau pangkatnya maka kita perlu memberi nasihat yang baik. Tidak rugi kita memberikan nasihat kerana nasihat kita ini adalah untuk menyedarkan dirinya bahawa Allah SWT sangat benci ada sifat sombong, bongkak , takbur, iri hati dan ujub. Dalam sebuah hadis Qudsi yang bermaksud:

"Allah Ta'ala berfirman (di dalam Hadis Qudsi) : Kesombongan adalah selendangKu dan kebesaran adalah sarungKu. Maka barang siapa menyamai-Ku salah satu dari keduanya, maka pasti Kulemparkan ia ke dalam Jahannam dan tidak akan Kupedulikan lagi." 
Apabila kita meneliti maksud hadis ini, ia dengan jelas menyatakan bahawa kesombongan dan kebesaran itu hanya milik Allah SWT. semata-mata, tetapi bagaimanakah perasaan ini masih boleh timbul di dalam hati manusia? 

Sebenarnya, perasaan sombong atau takabbur boleh berlaku apabila timbulnya suatu pandangan terhadap orang lain dengan pandangan yang kecil dan hina. Walau bagaimanapun, kesombongan itu berlaku apabila pandangan tersebut beriringan dengan anggapan orang yang dipandangnya itu lebih kecil, serba kekurangan atau kurang berharga berbanding dengan dirinya. Ketakabburan berlaku apabila pandangannya itu tidak disertakan dengan kesyukurannya kepada Allah SWT kerana memberi kelebihan tersebut. 

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud; "Sombong itu ialah menolak kebenaran dan menghinakan makhluk." 

Perkara-perkara yang biasanya menjadi bahan kesombongan atau ketakabburan sebagaimana yang dinyatakan di dalam Kitab Ihya Ulumuddin (tulisan Imam Al-Ghazali) ada tujuh perkara, iaitu ilmu pengetahuan, amalan dan peribadatan, keturunan, keindahan dan kelebihan pada bentuk fizikal, harta kekayaan, kekuatan fizikal dan kuasa atau pengaruh.

Islam Melarang dan Mencela Sikap Sombong.

Allah Ta’ala berfirman,

وَلاَ تُصَعِّرْ خَدَّكَ لِلنَّاسِ وَلاَ تَمْشِ فِي اللأَرْضِ مَرَحاً إِنَّ اللهَ لاَ يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَجُوْرٍ {18}

“Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (karena sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri.” (Surah Luqman ayat 18)

Allah Ta’ala berfirman,

إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْتَكْبِرِينَ

“Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang menyombongkan diri.” (Surah An Nahl ayat 23)

Haritsah bin Wahb Al Khuzai’i berkata bahwa ia mendengar Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam bersabda,

أَلَا أُخْبِرُكُمْ بِأَهْلِ النَّارِ قَالُوا بَلَى قَالَ كُلُّ عُتُلٍّ جَوَّاظٍ مُسْتَكْبِرٍ


Maukah kamu aku beritahu tentang penduduk neraka? Mereka semua adalah orang-orang keras lagi kasar, tamak lagi rakus, dan takabbur(sombong).“ (HR. Bukhari no. 4918 dan Muslim no. 2853).

Saudari kena teruskan memberi nasihat dan cuba ceritakan amalan mereka yang buat bukan kerana Allah SWT tak di terima oleh Allah SWT. Samaada orang tersebut terima atau tidak nasihat kita maka kita serahkan kepada Allah SWT.

903. Soalan : Bolehkan ustaz tafsirkan Surah an-Nisaa' ayat 47?

Jawapan : 

Firman Allah SWT 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ آمِنُوا بِمَا نَزَّلْنَا مُصَدِّقًا لِمَا مَعَكُمْ مِنْ قَبْلِ أَنْ نَطْمِسَ وُجُوهًا فَنَرُدَّهَا عَلَى أَدْبَارِهَا أَوْ نَلْعَنَهُمْ كَمَا لَعَنَّا أَصْحَابَ السَّبْتِ وَكَانَ أَمْرُ اللَّهِ مَفْعُولًا (47) 

Maksudnya ," Hai orang-orang yang telah diberi Al Kitab, berimanlah kamu kepada apa yang telah Kami turunkan (Al quran) yang membenarkan Kitab yang ada pada kamu sebelum Kami merobah muka (mu), lalu Kami putarkan ke belakang atau Kami kutuki mereka sebagaimana Kami telah mengutuki orang-orang (yang berbuat maksiat) pada hari Sabtu. Dan ketetapan Allah pasti berlaku.(Surah an-Nisa' (4) ayat 47)

Tafsirannya :

Orang-orang Yahudi yang pernah menerima kitab Taurat dan orang Nasrani yang pernah menerima kitab Injil, dalam ayat ini diperintahkan agar mereka percaya kepada al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. yang membenarkan isi kedua kitab mereka. 

Di antara pokok-pokok isi al-Quran adalah mengenai ke-Esa-an Allah menjauhi pekerjaan syirik dan memperkuat iman dengan memperbanyak amal soleh dan meninggalkan perbuatan-perbuatan keji lahir dan batin. Tiga soal pokok itu adalah tiang agama yang diperintahkan Allah untuk dilakukan oleh hamba-Nya. 

Perintah mempercayai al-Quran itu harus dilakukan oleh mereka agar Allah tidak menghapuskan mereka, membalikkan mereka ke belakang dan mengutuk mereka sebagaimana nenek moyang mereka pernah dikutuk kerana menangkap ikan pada hari yang terlarang yaitu hari Sabtu. Ketentuan-ketentuan Allah baik berupa penciptaan sesuatu maupun berupa pelaksanaan hukum atau ancaman, semua itu pasti akan terlaksana sebagaimana dikehendaki Nya 

Sebagian ahli tafsir memahami pengertian hukuman Allah berupa penghapusan mereka dan membalikkan mereka ke belakang tersebut, yaitu arah muka mereka dipalingkan Allah menghadap jalan lurus dan membalikkannya ke jalan kesesatan. 

Setelah turun ayat ini, banyak di antara ahli kitab yang masuk Islam kerana takut kepada ancaman seksa itu. Di antara mereka itu ialah: Ka'ab Al Ahbar Allah SWT yang bersifat Maha Kuasa tidak akan menghadapi kesukaran sedikitpun dalam melaksanakan kudrat-iradat Nya, termasuk juga pelaksanaan ancaman-Nya dalam ayat ini.

904. Soalan : Bagaimanakah cara untuk mendapat khyusuk di dalam solat?

Jawapan : 

Dalam satu hadis yang panjang ketika malaikat Jibril berjumpa Rasulullah SAW, malaikat Jibril bertanya baginda apakah yang maksudkan ihsan. Malaikat bertanya,".....Kini beritahu aku tentang ihsan. Rasulullah berkata Beribadah kepada Allah seolah-olah anda melihat-Nya walaupun anda tidak melihat-Nya kerana sesungguhnya Allah melihat anda" Untuk mendapat khusyuk di dalam ibadah solat hendaklah kita solat memberikan fokus sepenuhnya dan merasai bahawa Allah SWT memerhatikan segala perbuatan, percakapan dan niat di hati kita semasa solat. 

Sepatutnya merasa malu kepada Allah SWT apabila badan, muka dan seluruh anggota kita berhadapan dengan Allah SWT tetapi hati dan fikiran kita tidak ada di tempat solat. Bagaimana kita nak mendapat darjah ihsan semasa solat kerana tidak selaras diantara zahir dan batin.

Terdapat 17 perkara amalan- amalan untuk mendapat khusyuk dalam solat dan kemanisan ibadah kepada Allah SWT, perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Sentiasa melaksanakan solat berjemaah (yang paling afdhal ialah di masjid).

Sabda Nabi SAW yang bermaksud : "Solat berjemaah melebihi solat bersendirian dengan 27 darjat (atau 27 kali ganda). " (Hadis riwayat al-Bukhari dan Musliam)

Kedua : Menjaga makan minum agar terjamin halalnya (pastikan tidak di makan makanan yang haram dan syubhat kerana ianya boleh mengelapkan hati).

An-Nu'man bin Basyir berkata, "Saya mendengar Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : "Yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas, dan di antara keduanya terdapat hal-hal musyabbihat (syubhat / samar, tidak jelas halal-haramnya), yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia. Barangsiapa yang menjaga hal-hal musyabbihat, maka ia telah membersihkan kehormatan dan agamanya. Dan, barangsiapa yang terjerumus dalam syubhat, maka ia seperti penggembala di sekitar tanah larangan, hampir-hampir ia terjerumus ke dalamnya...".
(Hadis Riwayat Bukhari)

Ketiga : Membanyakkan sedekah kepada fakir dan miskin.

Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud :
“Sedekah akan memadamkan kesalahan (dosa), sebagaimana air memadamkan api.” (Hadis Riwayat al-Turmudzi)

Keempat : Jangan solat dengan menangguh untuk membuang air besar atau kecil dan perkemaskan segala urusan supaya tidak timbul kebimbangan dalam solat.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Sekiranya kamu rasa hendak buang air, maka buanglah air dahulu sebelum mendirikan solat".

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Apabila seorang daripada kalian bimbang apa yang dirasakan di perutnya apakah keluar sesuatu daripadanya atau tidak, janganlah sekali-kali ia keluar dari masjid sampai ia yakin mendengar suara (keluarnya angin) atau mencium baunya” (Hadis Riwayat Muslim).

Kelima : Mengambil wuduk dengan sempurna supaya air mengenai semua anggota wajib serta mengingati niat atau doa apabila air melalui di tiap-tiap anggota.

Dari Umar bin Khattab r.a, dari Nabi SAW, bahawasanya baginda bersabda yang bermaksud : "Tidaklah salah seorang di antara kamu berwuduk, maka ia sempurnakan wuduknya kemudian berkata, 'Aku bersaksi bahawa tidak ada tuhan kecuali Allah semata yang tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya,' kecuali dibukakan baginya delapan pintu syurga, ia boleh masuk dari mana sahaja yang dikehendakinya." (Hadis Riwayat Muslim )

Keenam : Memakai pakaian yang bersih dan kemas seperti akan menghadap pembesar negeri.

Perintah Allah SWT dalam al-Quran yang menghendaki kita memakai pakaian yang baik ketika mendirikan solat seperti dalam surah al-A’raaf ayat 31 bermaksud : “Hai anak Adam, pakailah perhiasan kamu (pakaian) yang indah di setiap kali kamu (memasuki) masjid, makan dan minumlah dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan.”

Ketujuh : Tempat sujud dipastikan tidak ada gambar yang menganggu fikiran atau membimbangkan hati.

Kelapan : Mengingatkan mati dan kemungkinan itulah solat kita yang terakhir dalam hidup.

Ibnu Umar berkata: “Aku bersama Rasulullah, lalu seorang lelaki Ansar datang kepada baginda mengucapkan salam lalu bertanya: 'Wahai Rasulullah. manakah antara kaum mukminin yang paling utama?'

Baginda menjawab: 'Yang paling baik akhlaknya antara mereka.'

Dia bertanya lagi: ;Manakah di antara kaum mukminin yang paling cerdik?'

“Baginda menjawab: 'Yang paling banyak mengingati kematian antara mereka dan paling bagus persiapannya selepas kematian. Mereka itu orang cerdik'."

(Hadis Riwayat Imam Ibnu Majah)

Kesembilan : Menyedari bahawa kita sedang berhadapan dengan Allah Yang Maha Agung dan Maha Mengetahui segala rahsia hamba-Nya.

Rasulullah SAW juga melarang seseorang menoleh ke kanan atau ke kiri ketika sembahyang, baginda bersabda maksudnya : “Jika kalian sembahyang, janganlah menoleh ke kanan atau ke kiri kerana Allah akan senantiasa menghadapkan wajah-Nya kepada hamba yang sedang sembahyang selama ia tidak menoleh ke kanan atau ke kiri.” (Hadis riwayat Termidzi dan Hakim).

Kesepuluh : Memenuhkan dada dalam perasaan takut dan rendah diri kepada Allah yang melihat segala gerak geri kita.

Firman Allah SWT yang bermaksud "Hai orang-orang yang beriman, takutlah kepada Allah dan hendaklah (tiap-tiap) orang memperhatikan apa yang di usahakannya untuk hari esok (hari kiamat), dan takutlah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan" (Surah ai- Hasyr ayat 18).

Kesebelas : Memahami segala bacaan dalam solat termasuk ayat-ayat Al-Quran dan segala zikir.

Firman Allah SWT maksudnya : " Dan bacalah al-Quran itu dengan perlahan-lahan (tartil)" (Surah al-Muzzammil ayat 4)

Kedua belas : Sebelum mengangkat takbir, membaca doa perlindungan daripada Allah SWT.

Memohon perlindungan kepada Allah dengan membaca Ta’awudz (Audzubillahiminasyaitanirajim). maksudnya : ” Aku berlindung kepadaMu ya Allah dari bisikan syaitan yang terkutuk (yang mengganggu hati dan fikiran dari belakang, depan, kiri, dan kanan)., membaca surah an-Nas, selawat kepada Nabi SAW dan beristighfar.

Ketiga belas : Memandang ketempat sujud dan tidak terlalu banyak mengerakkan anggota badan.

Pada saat mengerjakan sembahyang, Rasulullah SAW menundukkan kepalanya dan mengarahkan pandangannya ke tempat sujud. Hal ini didasarkan pada hadis yang diriwayatkan oleh Ummul Mukminin ‘Aisyah r.ha: “Rasulullah SAW tidak mengalihkan pandangannya dari tempat sujud (di dalam solat).” (Hadis Riwayat Imam Baihaqi)

Keempat belas : Memusatkan seluruh ingatan kepada solat.

Rasulullah bersabda bermaksud: “Menguap ketika solat itu daripada syaitan. Kerana itu, apabila kamu ingin menguap, tahanlah.” (Hadis Riwayat Thabrani).

Kelima belas : Memanjangkan sedikit tempoh semasa rukuk dan sujud. (thuma'ninah)

Rasulullah bersabda kepadanya, “Apabila kamu solat, bertakbirlah (takbiratul ihram). Lalu bacalah daripada al-Quran yang mudah bagimu, lalu rukuklah sampai kamu benar-benar rukuk (thuma’ninah), lalu bangkitlah daripada rukuk sampai kamu tegak berdiri. Kemudian sujudlah sampai kamu benar-benar sujud (thuma’ninah) dan lakukanlah hal itu dalam setiap rakaat solatmu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud : "Tidaklah seorang hamba sujud sekali kepada Allah kecuali Dia akan menulis baginya satu kebaikan dan menghapus satu keburukan daripadanya dan meninggalkan satu darjat. Oleh itu, perbanyakkan sujud." (Hadis Riwayat Ibnu Majah dengan sanat yang sahih).

Keenam belas : Memastikan tidak ada gangguan di dalam kawasan solat.

Ketujuh belas : Jangan menjeling ke kiri dan ke kanan.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Aisyah beliau berkata, “Saya bertanya kepada Rasulullah hukum melihat ketika solat”. Rasulullah menjawab, “Itu adalah curian syaitan atas solat seorang hamba.” (Hadis Riwayat Bukhari).

905. Soalan : Bagaimana cara saya boleh menghilangkan perasaan takut yang ada dalam diri  kita sendiri?

Jawapan : 


Perasaan takut datang apabila hati kita terputus hubungan dengan Allah SWT. Jiwa kita lemah dan tak lagi bergantung dan bertawakkal kepada Allah SWT. Para sahabat sanggup berjuang bersungguh-sungguh dan tak rasa takut mati dan cinta kepada mati syahid kerana jiwa mereka terisi dengan cinta dan kasih kepada Allah SWT. Jangan takut kepada iblis dan syaitan kerana mereka adalah makhluk Allah yang dilaknat. dan tak ada apa-apa kekuatan tanpa izin Allah SWT. Apabila tawakkal kita kuat maka Allah SWT akan membantu dan memberi kekuatan kepada kita semua.

Firman Allah SWT maksudnya, " "Barangsiapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberi rezeki kepadanya tanpa di sangka-sangka. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.” (Surah at-Talaq ayat 2-3)

Jika saudari bertakwa dan bertawakkal kepada Allah SWT saudari tak akan lagi rasa takut kepada sesiapa, dan saudarai hanya takut kepada Allah SWT. Dia akan membantu saudari dan memberikan rezeki di jalan yang tak di sangka-sangka .

No comments:

Post a Comment