Thursday, November 20, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 192 ( Aqiqah Untuk Anak Yang Sudah Baligh, Membaca Surah Al-Waqiah , Terlanjur Melakukan Zina Dan Adat Yang Bertentangan Syarak Semasa Majlis Walimatul Urus)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 192 adalah menjelaskan persoalan aqiqah untuk anak yang sudah baligh, membaca surah al-Waqiah , terlanjur melakukan zina dan adat yang bertentangan syarak semasa majlis walimatul urus.

916. Soalan : Saya nak bertanya pada ustaz.bolehkah anak kita yang sudah berumur 18 tahun di aqiqahkan kerana semasa dia kecil kewangan kami tidak mencukupi.terima kasih ustaz.?

Jawapan : 

Hukum aqiqah

Majoriti fuqaha berpendapat aqiqqh adalah sunat dan digalakkan. Mereka terdiri daripada Imam Malik dan ahli Madinah, Imam asy-Syafii dan ashabnya (pengikutnya), Imam Ahmad dan lain-lain.

Waktu melakukan akikah

Waktu yang paling afdal melakukan aqiqah ialah pada hari yang tujuh kelahiran bayi berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Samurah bahawa Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda (maksudnya):

“Setiap anak tertahan dengan akikahnya. Disembelih bagi pihaknya pada hari ketujuh ia lahir, dicukur rambutnya dan diberi namanya.”
(Hadis Riwayat Ahmad dan lain-lain)

Selain daripada hari yang ketujuh, para ulama berbeza pendapat mengenainya. Imam Malik, menurut satu riwayat berkata, sekiranya terlepas hari ketujuh, terlepaslah tuntutannya. Dan sekiranya bayi itu meninggal dunia sebelum hari ketujuh, gugurlah aqiqah untuknya.

Ulamak Mazhab Hanbali berkata, menurut sunah aqiqah dilakukan pada hari ketujuh. Jika terlepas hari ketujuh, ia boleh dilakukan pada tujuh hari berikutnya, iaitu 14, 21 dan seterusnya. Dan harus dilakukan pada bila-bila masa tanpa had masa yang tertentu.

Menurut fuqaha mazhab asy-Syafii, sekiranya ayah atau wali tidak mampu melakukan aqiqah pada hari ketujuh, dia boleh melakukannya pada bila-bila masa yang dia mampu sehingga anaknya baligh. Jika anaknya sudah baligh, tidak dituntut lagi ke atasnya.

Maskud tertahan

Apakah yang dimaksudkan “setiap anak tertahan dengan aqiqahnya” dalam hadis di atas?

Kata Imam Ahmad bin Hanbal, tertahan daripada syafaat. Ertinya jika seseorang kanak-kanak yang tidak diaqiqahkan meninggal dunia, dia ditahan daripada memberi syafaat kepada ibu bapanya.

Ada juga yang berpendapat maksud “tertahan” adalah anak itu tertahan daripada kebaikan yang sepatutnya diperoleh sekiranya ibu bapanya melakukan aqiqah untuknya.

Siapakah yang dituntut melakukan aqiqah?

Aqiqah dituntut (disunatkan) ke atas orang yang wajib memberi nafkah kepada anak itu dengan hartanya. Maka tidak harus ayah atau walinya membuat aqiqah dengan menggunakan harta milik anak kerana aqiqah merupakan sumbangan sukarela. Justeru, harta anak tidak harus digunakan untuknya. Untuk anak tak sah taraf, aqiqahnya dilakukan oleh ibunya.

Aqiqah diri sendiri

Sekiranya ayah atau wali tidak melakukan aqiqah untuk anak kerana miskin atau sebab-sebab lain sehingga baligh, sebahagian fuqaha asy-Syafiiyah berkata sunat bagi anak itu melakukan aqiqah untuk dirinya sendiri bagi menampung apa yang telah luput daripada kelebihan aqiqah.

Terdapat hadis yang dikeluarkan oleh al-Baihaqiy daripada Anas radiallahuanhu bahawa Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam melakukan aqiqah untuk diri baginda selepas dibangkitkan menjadi Rasul. Namun menurut ahli hadis, hadis ini tidak sahih.

Imam Ahmad ditanya mengenai masalah anak yang sudah baligh dan tidak diaqiqahkan, beliau berkata tidak perlu melakukan aqiqah untuk dirinya kerana sunah itu pada hakikatnya dituntut ke atas orang lain. Ibn Qudamah mentarjihkan pendapat ini dengan katanya: “Pada pendapat kami, aqiqah dituntut ke atas bapa, maka tidak ditaklifkan orang lain melakukannya seperti zakat fitrah.”

Berdasarkan huraian di atas puan tak perlu mengaqiqahkan anak puan yang telah berumur 18 tahun (kerana dia telah baligh). Jika dia nak aqiqahkan dirinya sendiri sebahagian fuqaha asy-Syafiiyah berkata sunat bagi anak itu melakukan aqiqah untuk dirinya sendiri bagi menampung apa yang telah luput daripada kelebihan aqiqah.

917. Soalan : Ustaz betul ke kalau baca suruh al-Waqiah rezeki kita mendapat rezeki tolong ustaz jelas kan?

Jawapan : 

Di dalam mengharungi hidup manusia perlu bekerja untuk menyara hidup sendiri mahupun keluarga. Kestabilan ekonomi sesebuah keluarga perlu untuk menjamin kebahagiaan dan kemakmuran. Kebahagiaan itu akan memberikan kita ketenangan supaya kita dapat beribadat dengan selesa tanpa memikirkan kesusahan mencari rezeki. Untuk itu kita perlu melakukan ataupun mengamalkan perkara-perkara yang membolehkan kita mendapat rezeki.

Ramai yang mengetahui bahawa amalan surah al-Waqiah ini akan memberikan kekayaan serta rezeki yang melimpah ruah. Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya : “Siapa yang membaca surah al-Waqiah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kesusahan atau kemiskinan selama-lamanya. " (Diriwayatkan oleh Baihaqi dari Ibnu Mas’ud r.a.) - sebahagian ahli hadis mendhaifkan hadis ini. Walaupun hadis ini dhaif ulama mengharuskan untuk beramal membaca sural al-Waqiah dan berdoa semuga di murakkan rezeki oleh Allah SWT.

Kekuatan surah al-Waqiah juga ada dijelaskan di dalam ayat 89 hingga 91. Firman Allah S.W.T maksudnya : " maka dia memperoleh ketenteraman dan rezeki serta syurga (yang penuh) kenikmatan. Dan adapun jika dia termasuk golongan kanan maka, "Salam bagimu (wahai) dari golongan kanan! (sambut malaikat)"
(Surah al-Waqiah ayat 89-91)

Ia menjelaskan bahawa sesiapa yang dekat kepada Allah, dia akan menemui kebaikan. Dan barang siapa yang mengingkari Allah, dia akan menemui kepedihan. Di dalam ayat 75 hingga 82 juga ada menyebut peringatan Allah bahawa semua yang berlaku adalah dalam ketetapanNya.

Firman Allah S.W.T maksudnya : "Lalu Aku bersumpah dengan tempat beredarnya bintang-bintang. Dan sesungguhnya itu benar-benar sumpah yang besar sekiranya kamu mengetahui dan (ini) sesungguhnya al-Quran yang sangat mulia, dan kitab yang terpelihara (Loh mahfuz) tidak ada yang menyentuhnya selain hamba-hamba yang disucikan. Diturunkan dari Tuhan seluruh alam. Apakah kamu menganggap remeh berita ini (al-Quran)?" (Surah al-Waqiah ayat 75-82)

Termasuklah rezeki. Manusia boleh berdoa dan berusaha tetapi yang menentukan segalanya adalah Allah. Namun amalan surah ini mestilah disertakan dengan usaha dan kerajinan dalam melakukan kerja. Tidak boleh berpeluk tubuh saja. Tidak ada doa yang akan termakbul dengan sendiri tanpa usaha.

Doa dan usaha perlulah seimbang. Malah sesiapa yang berusaha serta mengamalkan pembacaan surah ini lalu disertakan juga amalan-amalan yang lain seperti solat sunat Duha, beramal soleh, solat sunat tahajud dan solat sunat hajat , sentasa berwuduk, menghubungkan silaturahim, menghormati ibu bapa, pasti akan memberi lebih keberkesanan lagi. Niat melakukan kerja juga memainkan peranan penting. Niat menambah rezeki mestilah kerana Allah dan untuk disalurkan ke jalan Allah. Jalan untuk melakukan kerja juga mestilah dengan cara yang halal.

Saranan bahawa surah al-Waqiah ini dibaca pada waktu malam dikuatkan dengan pembentangan surah al Muzammil ayat 20, firman Allah S.W.T maksudnya : "Sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) mengetahui bahawasanya engkau bangun (sembahyang tahajud) selama kurang dari dua pertiga malam, dan selama seperduanya, dan selama sepertiganya dan (demikian juga dilakukan oleh) segolongan dari orang-orang yang bersama-samamu (kerana hendak menepati perintah yang terdahulu) padahal Allah jualah yang menentukan dengan tepat kadar masa malam dan siang.."

918. Soalan : Kawan saya telah terlanjur sebelum kahwin dan umurnya baru 19thn. kawan saya tidak mngndung. Tetap lelaki tersebut tak nak bertanggungjawab Dan perkara ini telah diketahui oleh kedua-dua belah pihak keluarga lelaki dengan perempuan tersebut. dan kedua-dua pasangan ini masih belajar dalam 1kolej yang sama dan jurusan yang sama. Lelaki tersebut berkata akan bertanggungjawb sekiranya perempuan itu membayar duit sebanyak 6k kepadanya atas alasan duitnya telah habis membelanjakan perempuan itu. Kawan saya takut bila dia kawin nanti bakal suaminya akan tahu hal ini.. 
Bagaimanakah saya nak membantu kawan saya ni ? Dia langsung tidak bersemangat sekarang ni. Adakah patut jika kawan saya mendiamkan hal ini dan meneruskan hidup seperti biasa.? Dia tak nak suatu hari nanti bakal suaminya tahu hal ini?

Jawapan : 

Perlu nasihatkan kawan saudara segera bertaubat kepada Allah SWT dengan taubat nasuha dan jangan mengulagi lagi perbuatan zina yang menyebabkan mendapat laknat Allah SWT. Biarkan tak payah di paksa lelaki tersebut kerana perempuan tersebut pun tidak mengandung. Beliau dan keluarganya kena tutup aib tersebut dan jangan di ceritakan peristiwa tersebut kepada bakal suaminya akan datang. 

Dosa berzina adalah di antara dia dengan Allah SWT apabila dia bertaubat bersungguh-sungguh Allah SWT akan mengampunkannya. Jauhi lelaki tersebut dan minta beliau tumpukan kepada pelajarannya dan dekatkan diri kepada Allah SWT, menutup aurat dan tingkatkan diri dengan ilmu Islam dan baiki akhlaknya dengan akhlak Islam. 

Gejala sosial seperti ini kerapa berlaku di pusat pengajian tinggi awam dan swasta kerana pergaulan bebas lelaki dan wanita tanpa had. Islam mengharamkan menghampiri zina. Tidak boleh salahkan satu pihak kerana kedua-duanya bersalah dan hendak melakukan zina. Wanita tak boleh mengatakan dia tak rela kerana dia juga seronok melakukan perbuatan terkutuk tersebut. 

Jika benar dia di rogol (bukan sukarela) maka sewajarnya di lapurkan kepada pihak polis supaya di ambil tindakkan. Jika di peringkat awal wanita dan lelaki tahu batas syarak dan perhubungan yang dilarang maka mereka tidak akan berkhalwat dan berzina. Untuk mengatasi perkara yang sudah terlanjur maka perlulah bertaubat dan kembali kepada ajaran Islam sebenarnya sesungguhnya Allah SWT sentiasa bersedia menerima taubat para hamba-hamba-Nya.

920. Soalan : Ustaz,saya nak tanya.adakah benar dalam isu perkahwinan sekarang ini ada unsur-unsur hindu,contohnya macm renjis beras dan pemakaian inai.adakah keperluan sekiranya sesuatu majlis tu mempunyai pelamin,alatan muzik? Sekiranya saya mahu berkahwin cara bagaimana yang perlu saya ikuti di masa hadapan saya?

Jawapan : 

Ada adat-adat melayu ketika majils akad nikah dan walimatul urus mengikut syariat atau ada juga adat-adat yang tidak bertentangan dengan syariat maka di haruskan. Tetapi tidak kurang juga ada sebahagian adat -adat di dalam majlis perkahwinan mengikut tradisi agama hindu atau tradisi barat yang di serap masuk di dalam majlis perkahwinan umat Islam hari ini. 

Adat-adat yang di haruskan : 

1. pertukaran hadiah. 

2. memberikan cincin tanda sah menjadi isteri 

3. wang hantaran (jangan melampau batas) 

4. mengadakan majlis jamuan meraikan tetamu. 

5. makan berdamai pengantin lelaki , perempuan dan ahli keluarga. 

6. berinai untuk pengantin perempuan. 

7. memakai pakaian baju pengantin yang cantik dan menutup aurat yang sempurna 

8. bermakep lelaki dan wanita secara sederhana (bukan tabarujj). 

9. bergambar beramai-ramai dengan ahli keluarga. 

Adat-adat yang di larang : 

1. bersandiang di atas pelamin (menyerupai adat hindu).

2. bertepung tawar 

3. tabur beras kunyit 

4. berinai untuk lelaki (haram) 

5. wanita bermakep secara berlebihan (bertabaruj) 

6. wanita memakai baju pengantin yang ketat dan menampakkan susuk tubuh . 

6. berkaroke lagu -lagu cinta bercampur lelaki dan wanita. 

7. berpelukkan dan berciuman suami isteri selepas akad nikah (kononnya untuk gambar kenangan)

No comments:

Post a Comment