Thursday, June 19, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 124 (Hutang Belum Bayar Meninggal Dunia, Berdakwah Tapi Suka Menyinggung Perasaan Orang Lain, Nenek Ada Saka, Nikah Gantung Dan Lambat Solat Asar.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 124 adalah menjelaskan persoalan hutang belum bayar meninggal dunia, berdakwah tapi suka menyinggung perasaan orang lain, nenek ada saka, nikah gantung dan lambat solat Asar.

576. Soalan : Ustaz.saya nak tanya sekiranya sewaktu kita hidup kita ada berhutang dengan orang dan kita tidak mampu untuk membayarnya atas dasar kemiskinan Dan sakit wajib tak ahli keluarga si mati untuk bayar semua hutang tersebut.apa akan berlaku jika tidak membayar..Dan satu lagi soalan.jika ahli keluarga si mati tidak kenal dengan orangnya.boleh tak dia membayar dengan menderma kepada rumah anak-anak yatim atau masjid.?

Jawapan : 

Hutang wajib di bayar semasa hidup di dunia, jika kita tak mampu maka ahli keluarga yang lain boleh tolong membayarkannya. Risiko menanggung hutang itu, selain daripada memikul tanggungjawab membayarnya, ialah bahaya yang lebih besar yang akan menimpa kepada diri si penghutang jika hutang tidak dibayar. Antaranya disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Tirmidzi dan Ibnu Majah, sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya: "Roh seseorang Mukmin itu tergantung-gantung (yakni dihalang daripada tempat yang mulia) dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu dilunaskan."

Dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar Radiallahuanhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya : "Sesiapa mati, sedangkan dia msih menanggung hutang satu dinar atau satu dirham, maka akan diambilkan (ganti) daripada kebaikannya, kerana di sana tidak ada dinar dan tidak ada pula dirham." (Hadis Riwayat Ibnu Majah).

Di antara risikonya lagi, suatu perisitiwa pernah terjadi di mana Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam enggan menyembahyangkan jenazah apabila baginda mengetahui orang yang meninggal itu masih mempunyai tanggungan hutang.

Tindakan baginda itu jelas menunukkan tentang ketidaksukaan baginda terhadap orang-orang yang berhutang. Tindakan sedemikian memberi pengajaran kepada orang lain tentang akibat berhutang.
 

Sekiranya simati , mati dengan meninggalkan hutang maka tanggung jawab warisnya untuk membayarnya. Jika waris tidak tahu siapa orang yang telah memberikan hutang kepada ibu bapanya maka boleh sedekahkan wang untuk sedekah jariah dan niatkan pahala sedekah jariah tersebut untuk mereka yang memberi hutang kepada arwah ibu bapanya supaya di akhirat nanti ada usaha-usaha yang terlah kita jalankan untuk membantu selesaikan hutang arwah kedua ibu bapa kita.
 

Kalau berhutang dan berniat tidak mahu membayar, maka Allah Maha Kaya dalam perhitungan-Nya. Perkara ini dijelaskan dalam sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bermaksud:"Sesiapa yang berhutang dengan niat untuk membayar balik, Allah akan membayarkan. Tetapi, jika sesiapa berhutang dengan niat menyeleweng, Allah akan musnahkan harta bendanya." Maksud ayat 'Allah akan membayarkan' adalah Allah akan memudahkan rezeki orang itu agar dia dapat membayar hutangnya.
 

Jika kita meminjam barang seseorang kemudian barang tersebut hilang maka wajib kita menggantikannya dan maklumkan kepada tuan barang bahawa barangnya telah hilang dan kita bercadang untuk menggantikannya. Jika dia halalkan tak payah ganti maka selesai urusan tetapi jika dia nakkan penggantinya maka carilah penggantinya yang sama jenis atau yang sama taraf dengannya.

577. Soalan : Salam apa hukumnya kalau kita berdakwah tapi sampai membuatkan orang itu tersinggung ? berdakwah dengan kata kata yang keras dan kasar sampai membuat orang itu tersinggung

Jawapan : 

Seorang pendakwah tidak boleh menggunkan perkataan kasar, keras dan sindiran kepada seseorang di dalam ceramahnya. Segala contoh-contoh keburukan amalan seseorang yang di sebut hendaklah secara umum sahaja. Abu Darda berkata, “Bersabda Nabi SAW “Tiada sesuatu yang lebih berat dalam timbangan seorang mukmin di hari kiamat daripada husnul Khulq (akhlak yang baik).” (HR. At Tirmidzi)

Aisyah ra. Berkata, “Saya telah mendengar Rasulullah SAW. bersabda, “Sesungguhnya seorang mukmin yang dapat mengejar budi pekerti yang baik, darjat orang itu sama seperti orang yang terus menerus berpuasa dan solat malam.” (HR. Abu Daud)

Jabir ra. berkata, “Rasulullah SAW. bersabda, “Sesungguhnya orang yang sangat saya kasihi dan terdekat denganku pada hari kiamat nanti adalah orang terbaik akhlaknya. Dan orang yang sangat aku benci dan terjauh dariku pada hari kiamat nanti adalah orang yang banyak bicara, sombong dalam pembicaraannya, dan berlagak menunjukan kepandaiannya.” (HR. At Tirmidzi).

Kekuatan akhlak lahir melalui proses panjang yang memerlukan kesediaan untuk sentiasa memberi komitmen dengan nilai-nilai Islam. Seorang ulama menjelaskan thariqah (jalan) untuk membina akhlak islami adalah dengan kemahuan untuk melaksanakan latihan (tadribat) dan pendidikan (tarbiyah). Setiap muslim memiliki kesempatan yang sama untuk menjadi baik atau buruk, masalahnya adalah sejauh mana usaha kita untuk mendisiplinkan diri dengan nilai-nilai dan amalan Islam bagi melahirkan muslim yang berakhlak ampuh. Malangnya keampuhan akhlak inilah yang sering dilupakan. Malah kian rapuh sehingga hilangnya jatidiri muslim hakiki. Justeru menjadi punca lunturnya sinar Islam pada penghujung zaman. Gejala keruntuhan akhlak yang berlegar di sekeliling kita seperti zina hati, mata, lisan dan seumpamanya meruntun jiwa kita selaku pendokong agama. Keruntuhan yang tidak dikawal pada satu tahap yang minima membawa insan kepada bertuhankan nafsu, lantas melupakan terus Pencipta Yang Maha Esa.

Islam adalah ajaran yang benar untuk memperbaiki manusia dan membentuk akhlaknya demi mencapai kehidupan yang baik. Islam memperbaiki manusia dengan cara terlebih dahulu memperbaiki jiwa, membersihkan hati dan menanamkan sifat-sifat terpuji. Islam benar-benar dapat membawa manusia untuk mencapai kebahagiaan, kelapangan dan ketenteraman.

Sebaliknya manusia akan menjadi hina apabila ia merosakkan sifat, pembawaan dan keadaan dalam jiwanya. Allah Subhanahuwata’ala berfirman : “Sesungguhnya Allah tidak merobah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merobah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah Ar-Ra’d ayat 11). Oleh itu seorang daie atau pendakwah perlulah memiliki akhlak yang mulia sebelum beliau mengajak manusia kembali kepada akhlak yang baik dan mematuhi perintah Allah SWT, kerana jika beliau sendiri tak dapat nak berikan contoh yang baik maka dakwahnya akan menjadi tawar dan tidak akan dapat menarik hati manusia untuk kembali kepada ajaran Islam yang sebenar.


578. Soalan : Salam..ustaz .saya nak tanya kawan saya ada bagi tahu saya..nenek dia ada bela saka..tapi dia selalu nampak nenek dia menunaikan solat..bukan ke kalau orang yang ada saka ni susah nak menunaikan solat sebab jin ada dalam badan..?.

Jawapan :  

Jika ada saka cepat-cepat buangkannya melalui mereka yang arif kerana ulama menjelaskan bahawa kita tak dibenarkan bersahabat samaada dengan jin Islam atau jin kafir. Oleh kerana jin ini adalah makhluk halus yang tak nampak dengan mata kasar jin yang kita sangka jin Islam sebenarnya adalah jin kafir yang menyamar , matlamat jin kafir adalah untuk menyesatkan kita daripada akidah Islam.

Untuk memastikan nenek saudara ada saka atau tidak cuba saudara lakukan membaca ayat-ayat berikut : Cara-caranya adalah seperti berikut :

Membaca ayat-ayat dibawah ditapak tanganmu :

1. Baca surah Ibrahim ayat 42-52

2. Baca surah al-Mukminun ayat 98-118

3. Baca surah al-Falaq ayat 1-5.

4. Baca surah an-Nas ayat 1-6

Ketika membaca ayat-ayat di atas , letakkan mulutmu di telapak tangan kananmu, sehingga nafasmu atau sebahgian dari ludahmu mengenainya. Kemudian hulurkan tapak tangan kananmu itu di depan mata nenek, dan mintalah dia melihatnya. Kalau dia sama sekali tidak boleh melihatnya, atau matanya menjadi silau atau nanar, atau dia melihat tapak tanganmu berwarna sangat merah atau hitam, atau dia melihat banyak salib di telapak tanganmu, atau tiba-tiba kepalanya terasa sangat pening, atau dia menunjukkan suatu gejala yang muncul secara tiba-tiba, maka dia , tidak diragukan,dia ada saka atau terkena sihir atau kesurupan atau kedua-duanya sekali.

[CATATAN : Sebaik-baiknya, usahakan dia sendiri yang membacanya ayat-ayat diatas. Kalau nenek tidak boleh membaca sendiri maka saudara boleh bacakan ditapak tangan dan hulurkan tangan kanan saudara di depan mata nenek minta dia melihatnya.]


579. Soalan : ustaz ...saya nak tanya soalan tentang nikah khitbah ... kalau dah nikah khitbah so boleh la bersentuhan ..... tapi bagaimana kalau terlebih mesra sehingga bersetubuhan ....maklum la kita ni manusia kadangkala nafsu yang mengusai kita .?

Jawapan :  

Nikah Khitbah atau Nikah Gantung adalah nikah yang sah seseorang menjadi suami isteri.Nikah Gantung

Nikah gantung yang saya faham adalah majlis pernikahan dibuat dahulu dan majlis perkahwinan atau kenduri kemudian. Kebanyakkan orang mengatakan bahawa nikah gantung ini bertujuan untuk mengelakkan berlakunya zina. Sebut-sebut nikah gantung ni selalunya kita dengar kepada anak-anak muda yang masih menuntut ilmu atau mabuk bercinta, takut makwe dan pakwe dirampas orang lain, maka mereka sanggup merancang untuk kahwin gantung.

Sebelum membuat keputusan kawin gantung ni, terlebih dahulu minta izin ibu bapa dahulu, jangan buat ikut nafsu sahaja, sebab masih banyak lagi tanggungjawab yang belum kita selesaikan terutamanya tanggungjawab sebagai seorang pelajar, tanggungjawab anak kepada ibu bapa yang berharap anak mereka memdapat kejayaan dalam pelajaran dan banyak lagi. Kalau ibu bapa bagi kawin, maka ia tidak menjadi masalah untuk melaksanakan perkahwinan. Redha ibu bapa ini penting sebab di situ ada keberkatannya. Hadis Nabi yang bermaksud : “Redha Allah itu atas redha kedua ibu bapa”.

Janganlah kita mengecewakan kedua ibu bapa kita kerana cinta dan perkahwinan tanpa redha mereka. Takut-takut hidup kita tak bahagia dan tidak aman, kerana balasan orang yang mengecewakan atau derhaka kepada kedua ibu bapa akan disegerakan balasannya di dunia.

Dalam hal yang lain juga perlu kita perhatikan, seperti tanggungjawab yang akan dipikul oleh orang yang sudah berkahwin, mampukah dia melaksanakan perkara tersebut seperti memberi nafkah, perlindungan, kebahgiaan dan sebagainya. Kalau mampu maka anda layak untuk berkahwin. Haram berkahwin bagi orang yang tidak mampu melaksanakan tanggungjawabnya terhadap isterinya. Boleh lihat di atas tentang hukum-hukum perkahwinan. Firman Allah yang bermaksud :

“Dan kewajipan ayah menaggung nafkah dan pakaian mereka dengan cara yang patut. Seseorang tidak di bebani ebih dari kesanggupannya.. “ (Surah Al-Baqarah ayat 233)

Kahwin gantung, mestilah cukup rukun-rukun nikahnya seperti penganting lelaki, penganting wanita, dua orang saksi, wali, ijab dan qabul. Kalau cukup semua ini, maka perkahwinan tersebut sah dan bolehlah pihak penganting bersama. Ada adat melayu kita yang bercanggah dengan syarak seperti pengantin yang nikah belum kenduri, tidak boleh bersama lagi. Sebenarnya perkara ini salah, kerana kenduri itu adalah sunat sahaja yang wajib itu adalah akad nikah. Tidak perlulah menghalang pengantin berjumpa atau berdua-duaan, lagipun saat itulah yang paling indah bagi pasangan pengantin.

Apabila berlaku akad nikah dan suami telah membayar mas kawin maka sahlah mereka menjadi suami isteri. . Kalau boleh jangan berhutang maskahwin sebab dia tidak mahal. Beza dengan hantaran, kadang-kadang kita dengar hantaran sampai puluh-puluh ribu. Perkahwinan ini bertujuan untuk mencari keberkatan dan mencari kebahgiaan, janganlah sampai menyulitkan atau memayahkan pihak penganting lelaki dengan jumlah yang tinggi sehingga dia terlibat pula dengan hutang. Penganting lelaki dan perempuan boleh bersama jika wang hantaran belum dibayar, kerana hantaran adalah sunat. Tentang maskahwin pihak pengantin lelaki boleh berbincang dengan pengantin perempuan dengan cara yang baik. Kadang-kadang ada pengantin perempuan yang sanggup berikan duit maskahwin kepada suaminya untuk kegunaan tertentu seperti belajar, yuran dan sebagainya, maklumlah pengantin lelaki masih belajar. Ada setengah wanita dia tetapkan maskahwinnya murah dan ada yang minta Al-Quran sahaja. Apa-apapun berbincanglah dan selesaikanlah segala kesukaran dengan cara yang baik dan hikmah.

Penutup

Apa-apapun sebelum berbuat sesuatu, fikirkanlah dan berdoalah semoga Allah memberikan satu jalan keluar dari segala kesulitan yang berlaku. Perkahwinan ini adalah satu perkara yang baik dan banyak ganjarannya. Di antaranya terhindar dari melakukan dosa, solat boleh khusyuk, mudah melakukan ibadah dan sebagainya. Firman Allah yang bermaksud :

“Dan di antara tanda-tanda Yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, Bahawa ia menciptakan untuk kamu (Wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya Yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang Yang berfikir.” (Surah Ar-Rum ayat 21)


580. Soalan : Ustaz..saya ada beberapa soalan minta diberikan pencerahannya :

1. Boleh tak kite hadiahkan baju/kain yg baru, yg kita tak pernah pakai kepada rakan kita sebagai hadiah?


2. Kalau kita stuck lam jam lepas kerja, dn sampai rumah lambt utk solat maghrib, kita hanya ada 5 minit atau 3 minit sebelum azan magrib, adakah kita solat asar sebagai "solat tunai"?


3. Batal tak solat kita klau azan maghrib dh dilaungkan dn kita masih diatas sejadah bersolat asar?


4. Boleh tak kita berdoa dn berzikir sebelum start solat maghrib, walaupun dh masuk waktu solat maghrib?


Jawapan : 

1. Boleh kita berikan hadiah baju atau kain baru yang kita tak pernah pakai sebagai hadiah kepada rakan kita. 

2. Jika kita boleh dapat satu rekaat solat asar dan azan magrib berkumandang maka kita dapat solat asar. Jika baru takbir atau baru rukuk pertama azan magrib kita tak dapat pahala solat asar tunai tetapi kita dapat pahala asar juga tetapi solat di luar waktu. 

Daripada Abu Hurairah r.a Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang dapat melakukan satu rakaat solat Subuh sebelum matahari terbit maka dia telah dapat menunaikan solat Subuh itu dan sesiapa yang dapat melakukan satu rakaat solat Asar sebelum matahari terbenam maka dia telah dapat menunaikan solat Asar itu. Dan sabdanya lagi, sesiapa yang dapat melakukan satu rakaat solat dalam waktunya maka dia telah dapat menunaikan solat itu.” 

3. Solat asar perlu diteruskan jika semasa kita takbir azan magrib belum bermula. 

4. Jika sudah masuk waktu magrib maka teruskan solat magrib tinggalkan doa dan zikir kerana mencari fadilat solat di awal waktu.

2 comments:

  1. Assalammualaikum wbt..

    Soalan saya:
    Bagaimana sekiranya si pemberi hutang tidak mahu menghalalkan hutang walaupun si penghutang telah melunaskan hutang tersebut dengan jumlah yg lebih.. si pemberi hutang dengan sengaja mengatakan tidak mahu menghalalkan hitang tersebut atas dasar membalas dendam dan sakit hati..

    Mohon untuk diberikan pencerahan..

    Terima Kasih.

    ReplyDelete
  2. Salam ustaz..
    Sy ada 1 soalan..
    Pakcik saya (adik kpd ibu saya) membuat 1 perjanjian perniagaan dgn bakal suami kakak saya tanpa pengetahuan kami. Dan apabila dia sedar yang dia telah ditipu (bakal suami kakak saya (tlh menjadi suami) dan kakak saya menghilangkan diri) dia telah menuntut ibu saya untuk membayar keseluruhan wang tersebut.. utk pengetahuan ustaz..ibu saya merupakan ibu tunggal dan sudah tidak bekerja..soalannya..wajibkah ibu saya membayar wang tersebut..?
    Mohon beri penjelasan ustaz

    ReplyDelete