Thursday, October 30, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 175 (Persiapan Sebelum Meninggal Dunia, Solat Sunat Kifaratul Baul, Lelaki Pakai Seluar Ketat, Doa Mohon Rezeki Yang Haram, Solat Pegang Mikrofon Dan Solat Dalam Kenderaan.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 175 adalah menjelaskan persoalan persiapan sebelum meninggal dunia, solat sunat kifaratul baul,  lelaki pakai seluar ketat, doa mohon rezeki yang haram, solat pegang mikrofon dan solat dalam kenderaan.

831. Soalan : Apakah persiapan yang di perlukan sebelum meninggal dunia?

Jawapan : 

Tunaikan 10 Persedian Sebelum Tiba Saat Kematian

Setiap manusia akan merasai kematian tetapi tiada siapa pun di antara kita yang tahu bila saat kematian akan tiba. Hanya Allah SWT sahaja yang tahu masa, tempat dan keadaan kita semasa nyawa akan keluar daripada tubuh badan.

Firman Allah SWT maksudnya : "Tiap-tiap diri akan merasai mati dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan , dan kepada Kamilah kamu sekeliannya akan dikembalikan." (Surah al-Anbiya' ayat 35)

Bagaimana pun sebagai seorang hamba-Nya adalah lebih selamat sekiranya kita sentiasa mengingatkan diri yang satu hari kita akan pasti mati dan bersedia untuk meninggalkan dunia yang fana (tidak kekal) ini. Kematian tidak mengira usia, tidak memilih siapa kita dan tidak menghitungkan di mana kita berada, sekali pun berada di dalam benteng kukuh yang dianggap selamat.

Oleh kerana kita tidak tahu bila saat ajal akan tiba, maka hendaklah kita bersegera menunaikan amal ibadah yang ditetapkan oleh Allah SWT sebagai kewajipan terhadap kita dan bersungguh-sungguh menjauhi segala larangan-Nya. Apa sahaja yang kita lakukan di dunia ini pasti akan di hisab dan di adili di akhirat kelak.

Allah SWT memberi peringatan kepada sekelian manusia dengan firman-Nya dalam surah al-Insyiqaq ayat 6 yang bermaksud : " Wahai manusia! Sesungguhnya engkau sentiasa berpenat lelah (menjalankan keadaan hidupmu) dengan sedaya upayamu hinggalah (semasa engkau) kembali kepada Tuhanmu, kemudian engkau tetap menemui balasan apa yang telah engkau usahakan itu (tercatat semuanya)."

Terdapat 10 persediaan yang perlu kita laksanakan supaya dapat membantu kita semasa kita berada di alam barzakh :

Pertama : Sentiasa utamakan amalan fardu ain (jangan ditinggalkan) terutama solat , puasa dan zakat dan fardu kifayah dan fardu-fardu lainnya yang ditetapkan dalam sunnah-auliah dan sunah Rasulullah SAW.

Daripada Abu Hurairah, katanya bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sesungguhnya amalan yang mula-mula sekali dihisabkan seseorang pada hari kiamat mengenainya ialah solatnya, jika solatnya diterima, maka sesungguhnya beruntung dan berjayalah ia. Jika solatnya tidak diterima, maka kecewa dan rugilah ia. Jika terkurang daripadanya solat fardu sesuatu. Allah berfirman: 'Periksalah, adakah hambaku itu mempunyai solat-solat sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang daripada solat fardu. Demikianlah keadaan amalan lain." (Hadis Riwayat Tirmizi)

Kedua : Sentiasa menjauhkan diri daripada berbuat yang merosakkan amal ibadah fardu tersebut , seperti melakukan perbuatan yang mengundang dosa.

Imam Abu Laits berkata; “Jauhilah diri daripada arak kerana ia mengandungi banyak keburukan iaitu orang yang minum arak akan menjadi seperti gila. Allah SWT akan menutup pintu langit kepada orang yang meminum arak dan amalannya serta doanya tidak akan diterima selama 40 hari. Orang yang minum arak akan dijauhi daripada rahmat Allah SWT dan dibenci oleh para malaikat.”

Jika seseorang jumpa bomoh solatnya tidak diterima selama 40 hari. Nabi SAW bersabda maksudnya : "Barang siapa yang mendatangi tukang tilik (bomoh) dan ditanya mengenai sesuatu maka tidak diterima solatnya selama 40 hari (Hadis Riwayat Muslim)

Ketiga : Sentiasa bertaubat dan memohon ampun kepada Allah SWT.

Allah SWT berfirman yang bermaksud, " Sesungguhnya Allah amat menyukai orang-orang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri."
(Surah Al-Baqarah ayat 222)

Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud :“Barangsiapa bertaubat kepada Allah sebelum matahari terbit dari barat, nescaya Allah akan menerima taubat orang tersebut.” (Hadis Riwayat Muslim)

Keempat : Bersegera memohon kemaafan daripada orang yang telah kita lakukan kesalahan.

Dalam hadis yang lain dari Abu Sa'id Al-Khudri r.a., bahawa Nabi SAW bersabda: "Tidak ada seseorang yang melakukan sesuatu perbuatan aniaya terhadap orang lain di dunia dengan tidak menyerah dirinya kepada orang itu untuk membalasnya, nescaya Tuhan akan menyerahkannya kepada orang itu supaya membalasnya pada hari kiamat." (Hadis Riwayat Baihaqi)

Kelima : Mewasiatkan kepada ahli keluarga tentang iman dan Islam, halal dan haram dan berpegang teguh dengannya.

Jangan jemu setiap hari memberi nasihat dan tarbiah kepada isteri dan anak-anak dan didik mereka dengan didikan Islam dan ajarkan fardu ain mengenai hukum hakam supaya mereka tahu halal dan haram dan ajarkan mereka akhlak yang mulia di ajarkan oleh Rasulullah SAW.

Allah SWT berfirman yang bermaksud,"Wahai orang-orang yang beriman. Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka, di mana bahan-bahan bakarannya itu ialah manusia dan batu (berhala)" (Surah At-Tahrim ayat 6)

Keenam : Memperbanyakkan amal jariah, bersedekah, amalan-amalan sunat dan banyakkan berniat untuk melakukan kebaikan walaupun belum mampu melaksanakannya.

Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud : “Sungguh sedekah itu akan memadamkan kemarahan Tuhan dan menghindarkan dari kematian yang buruk (Su’ul Khatimah).” (Hadis Riwayat al-Turmuzi)

Sabda Nabi SAW yang bermaksud, "Seorang hamba yang dikurniakan Allah ilmu dan niat yang ikhlas, ia berkata, 'Seandainya aku memiliki harta, nescaya aku akan beramal sebagaimana yang diperbuat oleh si polan (golongan yang diberikah harta dan ilmu).' Dengan niatnya tersebut, maka pahala kedua-dua hamba ini sama." (Hadis Riwayat Tirmizi).

Nabi SAW bersabda: ” Seorang hamba dihadapkan pada hari kiamat membawa hasanah sebesar bukit, lalu ada seruan;' Siapa yang pernah di aniaya oleh fulan boleh datang untuk dibayar'. Maka datanglah beberapa orang lalu mengambil bahagiannya sehingga tiada tinggal satu pun dari hasanah yang banyak itu, sehingga hamba itu menjadi bingung, lalu Tuhan berkata kepadanya: 'Untuk mu ada simpanan pada Ku yang tidak Aku perlihatkan kepada malaikat atau seorang pun dari makhluk Ku,' lalu ia bertanya:' Apakah itu'. Jawab Tuhan: Ia itu niatmu, yang kau selalu niat akan berbuat kebaikan, Aku tulis untuk mu berlipat ganda, tujuh puluh lipat ganda.' "

Daripada Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW .bersabda maksudnya : "Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan.."(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ketujuh : Mengajarkan atau menyebarkan ilmu yang bermanfaat untuk dunia dan akhirat.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud, " Sampaikan daripada aku walaupun satu ayat".(Hadis Riwayat Bukhari)

Setiap kalimah, pengajaran, ilmu, risalah, nasihat yang kita ambil daripada ayat-ayat al-Quran dan hadis Nabi SAW adalah merupakan ilmu-ilmu yang bermanfaat yang akan dapat menambahkan pahala dan amal soleh ketika kita hidup di dunia ini. Penulisan di facebook dan blog dan 'share' bahan-bahan tazkirah yang baik juga di kira sebagai ilmu yang bermanfaat.

Kelapan : Mendidik anak-anak agar menjadi anak-anak yang soleh dan solehah.

Untuk mendidik anak-anak yang soleh dan solehah adalah dengan banyak melakukan amalan yang terpuji, berusaha untuk meninggalkan dosa-dosa yang kecil apakah lagi dosa-dosa besar. Jangan tinggalkan amalan yang wajib, jalinkan siraturrahim dengan sanak keluarga dan mengajar anak-anak menghormati kedua ibu bapa, sebab keredaan Allah itu tergantung kepada kerdaan ibu bapa terhadap anak-anak . Namun yang paling penting ajarkan anak-anak gadis supaya menutup aurat agar kehidupan mendapat keberkahan daripada Allah SWT.

Kesembilan : Selesaikan semua hutang-hutang di dunia ini kerana roh si mati akan tergantung di antara langit dan bumi jika tidak dibayar hutang-hutangnya sesama manusia.

Di riwayatkan oleh Imam Ahmad, Tirmidzi dan Ibnu Majah, sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya: "Roh seseorang mukmin itu tergantung-gantung (yakni dihalang daripada tempat yang mulia) dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu dilunaskan."

Kesepuluh : Jangan syirik kepada Allah SWT, seperti mempertikaikan hukum hudud dan hukum-hukum Allah SWT yang lain, tinggalkan fitnah dan mengumpat dan jangan percaya jika ada orang menuduh seseorang berzina atau liwath tanpa bawa 4 orang saksi. Sentiasa berbaik sangka kepada Allah SWT dan jangan pertikai qada dan qadarNya. Sentiasa bersabar dengan dugaan hidup dan sentiasa bersyukur di atas nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT.

Marilah kita sama-sama beramal dan membuat persiapan sebaik mungkin sebelum bertemu saat kematian. Jika kita melihat disekeliling kita kematian itu berlaku kepada ibu dan ayah , abang ipar, anak, anak saudara, sahabat-sahabat, suami, isteri dan lain-lain. Pernah berlaku semalam kita baru bersembang dengan sahabat kita , tiba-tiba dapat berita hari ini sahabat kita itu telah meninggal dunia disebabkan sakit jantung. Inilah yang dinamakan 'kiamat kecil' yang akan berlaku dahulu sebelum kiamat besar. Oleh itu cuba renungkan hadis Nabi SAW di bawah ini sebagai iktibar kepada kita semua.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Orang yang cerdik ialah orang yang selalu menjaga dirinya dan beramal untuk bekalan sesudah mati." (Hadis Riwayat Tirmidzi daripada Abu Ya'la Syaddad r.a)

Wallahualam.

832. Soalan : Ustaz, saya nk tnya tentang solat sunat kifarat kencing (solat sunat kifaratul baul), masa bila boleh buat, berapa rakaat n surah yg d baca. Sekian tarima kasih.

Jawapan : 

Solat sunat kifaratul baul tidak pernah diajar oleh Nabi SAW dan tidak pernah diajar dalam athar yang disampaikan kalangan sahabat. Jika seseorang wanita itu mendapati dirinya ditimpa masalah yang berkaitan dengan najis keluar berterusan daripada kemaluan, maka dia dimestikan mengikuti wuduk yang ditetapkan bagi golongan yang menghadapi istihadah.

Menurut al-Imam al-Nawawi dalam al-Majmuk, wanita yang sedemikian dianggap sentiasa ‘talabbus binnajasah’ yang menyebabkannya perlu beristinjak apabila masuk waktu solat dan menutup saluran qubul ataupun faraj dengan cara yang diyakini tidak membolehkan najis itu mengalir. Selepas itu barulah dia dibenarkan mengambil wuduk untuk satu solat fardu dan beberapa solat sunat tanpa had.

Apabila masuk waktu solat berikutnya, dia mestilah mengulangi proses yang sama seperti yang sudah dijelaskan sekalipun wuduknya belum batal melalui cara dimaklumi itu.

Selepas berusaha menjaga peraturan yang ditetapkan ini, tiba-tiba seseorang itu masih lagi diserang rasa was-was berhubung kesucian dirinya, maka dia hendaklah berlindung kepada Allah SWT daripada gangguan dan bisikan syaitan yang mahukannya terus menerus menghadapi kesukaran untuk beribadah kepada Allah SWT.

Muslim perlulah mengetahui bahawa antara rahmat terbesar anugerah Allah SWT buat umat Islam ini adalah Allah tidak akan membebankan mereka dengan perkara yang tidak mampu dilakukan mereka. Hal ini adalah berpandukan kepada ayat terakhir surah al-Baqarah yang bermaksud: “Allah tidak memberatkan seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.”

Menurut Ibn Kathir dalam tafsirnya, ayat ini adalah jaminan kasih sayang, kelembutan dan rahmat Allah SWT ke atas umat ini. Allah SWT tidak akan memberi azab kepada manusia di atas perkara yang tidak mampu dilakukannya.

Jadi berkaitan dengan perasaan bimbang yang timbul dalam diri yang bertanya, saya ingin menjelaskan bahawa selepas kita berusaha melakukan ketetapan syarak ini, maka hendaklah kita bertawakal kepada Allah SWT.

Tidak perlu ada kebimbangan dan kerisauan lagi selepas itu.

Sehubungan itu, saya menasihati saudara dan saudari agar sentiasa mendampingi ahli ilmu dan majlis ilmu supaya kita dapat mengetahui perkara yang hak untuk diikuti dan meninggalkan amalan-amalan yang dilakukan oleh orang awam yang tidak mempunyai sandaran-sandaran dalil.

833. Soalan : Apa hukumnya lelaki memakai seluar ketat khususnya jeans?

Jawapan : 

Aurat wanita adalah seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan sehingga pergelangan tangan . Ketika menutup aurat wanita perlu memenuhi syata-syaar berikut : 

1. pakaian tak ketat sehingga menampakkan bentuk tubuhnya. 

2. pakaian tak nipis sehingga menampakkan warna kulit. atau nampak bayang-bayang kulit wanita tersebut. 

3. tudung kena labuh sehingga menutup keseluruhan dadanya. Jika wanita nak pakai seluar tak boleh pakai seluar jean yang ketat nampak bentuk betis dan pehanya, jika seluar labuh dan longgar di haruskan dengan syarat baju yang di pakai labuh sehingga lutut atau bawah lutut. 

4. Warna baju dan tudung jangan terlalu terang hingga mengambil perhatian lelaki yang bukan mahram yang melihatnya. 

Bagaimana pula aurat lelaki yang telah baligh? 

Jumhur ulama menyatakan bahawa aurat lelaki adalah pusat hingga kelutut. Ada pun kaum lelaki memakai seluar ketat maka hukumnya adalah makruh tetapi jika menampakkan bentuk alat sulitnya maka tidak sunyi hukumnya menjadi haram, wallahua’lam.

Adakah sah solat lelaki yang memakai seluar ketat seperti seluar jean? 

Sah solat dengan memakai seluar jean seperti yang dinyatakan di dalam soalan.

Seperti yang diketahui salah satu daripada syarat sah solat ialah menutup aurat. Ini bermakna selama-mana aurat tertutup maka orang tersebut boleh menunaikan solat dalam keadaan tersebut, sekalipun pakaiannya sempit dan membentuk rupa aurat. Inilah yang dinyatakan dengan jelas oleh para ulama dari mazhab-mazhab fiqh yang berbagai, kami datangkan sebahagian perkataan para ulama tersebut di bawah ini, antaranya:

MAZHAB HANAFI

Dinyatakan di dalam kitab al-Durr al-Mukhtar dari Mazhab Hanafi:

ولا يضر التصاقه وتشكله

Maksudnya: “Tidak mengapa (pakaian yang dipakai di dalam solat) melekat dengan aurat dan membentuk rupa bentuk aurat.” (al-Durr al-Mukhtar 2/84)

Ibn ‘Abidin di dalam Hasyiahnya kepada al-Durr al-Mukhtar berkata:

قوله : ولا يضر التصاقه أي : بالألية مثلا ، وعبارة شرح المنية : أما لو كان غليظا لا يرى منه لون البشرة إلا أنه التصق بالعضو وتشكل بشكله فصار شكل العضو مرئيا ، فينبغي أن لا يمنع جواز الصلاة ، لحصول الستر

Maksudnya: “Perkataan ولا يضر التصاقه (tidak mengapa melekatnya) iaitulah melekat dengan daging punggung sebagai contoh, dan perkataan di dalam Syarh al-Munyah yang menyatakan: Adapun jika pakaian itu tebal, tidak dapat dilihat darinya warna kulit, melainkan ia melekat dengan anggota badan dan membentuk dengan bentuk anggota tersebut, lalu jadilah bentuk itu dapat dilihat, maka sepatutnya tidak menjadi penghalang harusnya solat kerana telah terlaksana tutupan aurat.” (Radd al-Muhtar ‘ala al-Durr al-Mukhtar oleh Muhammad Amin bin ‘Umar yang lebih dikenali dengan Ibn ‘Abidin)

MAZHAB MALIKI

Di dalam kitab al-Fawakih al-Duwani dari Mazhab Maliki dinyatakan:

ويجزئ الرجل الصَّلاة في الثوب الواحد ويشترط فيه على جهة الندب كونه كثيفا بحيث لا يصف ولا يشفّ ، وإلا كره وكونه ساترا لجميع جسده . فإن ستر العورة المغلظة فقط أو كان مما يصف أي يحدد العورة . . . كرهت الصلاة فيه مع الإعادة في الوقت

Maksudnya: “Memadai seseorang lelaki solat dengan sehelai baju, dan disyaratkan pada baju tersebut secara sunat agar dia tebal dalam bentuk tidak mensifatkan (anggota) dan tidak nipis, jika tidak ia dikira makruh, baju itu juga hendaklah menutup keseluruhan tubuhnya. Jika ia telah menutup aurat yang besar sahaja, namun mensifatkan bentuk aurat, dikira makruh solat dengan pakaian tersebut beserta diulangi solat itu jika masih berwaktu.” (al-Fawakih al-Duwani 1/216)

Di dalam Hasyiah al-Dusuqi pula dinyatakan:

أن الصلاة في الثوب الواصف للعورة المحدد لها صحيحة ، ولكنها مكروهة كراهة تنزيهية ، ويستحب له أن يعيد إذا كان الوقت باقياً 

Maksudnya: “Solat dengan baju yang mensifatkan bentuk aurat adalah sah, akan tetapi hukumnya makruh, makruh tanzih dan disunatkan mengulangi solat tersebut jika waktu masih berbaki.”

MAZHAB AL-SYAFIE

Al-Imam al-Nawawi berkata di dalam al-Majmu’:

فلو ستر اللون ووصف حجم البشرة كالركبة والألية ونحوها صحت الصلاة فيه لوجود الستر ، وحكي الدارمي وصاحب البيان وجهاً أنه لا يصح إذا وصف الحجم ، وهو غلط ظاهر

Maksudnya: “dan jika ia (pakaian itu) menutup warna dan mensifatkan bentuk seperti lutut dan daging punggug dan seumpamanya, sah solat tersebut kerana telah berlaku penutupan. Al-Darimi dan Sahib al-Bayan menyatakan satu wajah, bahawa ianya tidak sah jika mensifatkan (menampakkan) bentuk, pernyataan ini adalah satu kekeliruan yang jelas.” (al-Majmu’ 3/176)

MAZHAB HAMBALI

Ibn Qudamah berkata di dalam al-Mughniy:

وإن كان يستر لونها ويصف الخِلْقَة جازت الصلاة ، لأن هذا لا يمكن التحرز منه

Maksudnya: “Dan sekiranya menutup warna aurat dan mensifatkan bentuk, harus solat (dengan pakaian tersebut), kerana perkara seperti ini tidak mungkit dapat dielak.” (al-Mughniy: 2/287)

PERHATIAN!

Inilah jawapan bagi soalan SAH ataupun TIDAK solat dengan pakaian yang sempit. Namun perlu diberi penekanan di sini bahawa kami sama sekali tidak menyeru dan mengajak orang ramai untuk memakai pakaian yang sempit. Bahkan kami ingin nyatakan di sini bahawa hindarilah diri dari memakai pakaian sempit dalam semua keadaan termasuk di dalam solat. Hal ini kerana pakaian sempit itu menafikan sikap berhias diri untuk solat yang anjurkan di dalam al-Quran. Kerana itu Fadhilah al-Syeikh Soleh al-Fauzan ada menyatakan fatwa Sahnya solat seseorang wanita dengan pakaian yang sempit, dalam masa yang sama dia dikira berdosa kerana memakai pakaian seperti itu, beliau menyebut:

الثياب الضيقة التي تصف أعضاء الجسم وتصف جسم المرأة وعجيزتها وتقاطيع أعضائها لا يجوز لبسها ، والثياب الضيقة لا يجوز لبسها للرجال ولا للنساء ، ولكن النساء أشدّ ؛ لأن الفتنة بهن أشدّ . أما الصلاة في حد ذاتها ؛ إذا صلى الإنسان وعورته مستورة بهذا اللباس ؛ فصلاته في حد ذاتها صحيحة ؛ لوجود ستر العورة ، لكن يأثم من صلى بلباس ضيق ؛ لأنه قد يخل بشيء من شرائع الصلاة لضيق اللباس ، هذا من ناحية ، ومن ناحية ثانية : يكون مدعاة للافتتان وصرف الأنظار إليه ، ولا سيما المرأة ، فيجب عليها أن تستتر بثوب وافٍ واسعٍ ؛ يسترها ، ولا يصف شيئًا من أعضاء جسمها ، ولا يلفت الأنظار إليها ، ولا يكون ثوبًا خفيفًا أو شفافًا ، وإنما يكون ثوبًا ساترًا يستر المرأة سترًا كاملاً

Maksudnya: “Baju sempit yang mensifatkan anggota badan dan mensifatkan tubuh wanita dan potongan-potongan anggotanya tidak wajar dikenakan, baju sempit seperti ini tidak wajar dipakai bagi lelaki mahupun wanita, akan tetapi wanita itu lebih bersangatan tidak wajar, kerana dengan mereka lebih bersangatan mendatangkan fitnah. Adapun solat, jika auratnya tertutup dengan pakaian tersebut, maka solatnya sah, kerana telah berlaku penutupan aurat, akan tetapi dikira berdosa sesiapa yang solat dengan memakai pakaian yang sempit, kerana dia telah mengurangkan sesuatu disebabkan sempit bajunya, ini dari satu sudut. Adapun dari sudut yang kedua: ia menjadi punca berlakunya fitnah, dan memalingkan pandangan orang ramai kepadanya, terutamanya wanita. Maka wajib seseorang wanita mengenekan baju yang memadai dan luas yang dapat menutup tubuhnya dan tidak mensifatkan sesuatupun dari anggota tubuhnya dan tidak memalingkan penglihatan kepadanya, jangan menggunakan baju yang nipis, sebaliknya hendaklah baju yang menutup dengan sempurna.” (al-Muntaqa Min Fatwa al-Syeikh Soleh al-Fauzan 3/454)


Wallahu a’lam. 

(Jawapan ini di ambil daripada tulisan Mufti Perlis - Dr. Juanda bin Jaya).

834. Soalan : Apa pandangan ustaz tentang sikap seseorang yg memohon / berdoa kpd Allah sesuatu kebaikan tetapi pd perkara2 maksiat /dosa.
Contoh: Si fulan beli nombor ekor & memohon Allah murahkan rezekinya melalui perbuatan itu (beli nombor ekor)..

Jawapan :  

Hati manusia itu ibarat ladang tempat bertanam dan kita adalah petaninya. Setiap petani bebas menanam apa saja yang disukai dan menguntungkan di ladang miliknya. Dia bebas menentukan baja apa yang akan digunakan agar tanaman tumbuh subur. Dalam masa yang sama, dia juga bebas menggunakan racun serangga apa jua untuk menjaga tanamannya dari gangguan hama dan penyakit.

Demikianlah tamsil manusia dengan amalnya. Sejak lahir, di dalam setiap hati manusia, Allah swt menyimpan dua benih, iaitu benih fujur (kefasikan) dan benih takwa (kebaikan). Hal ini ditegaskan Allah SWT dalam Al Quran, Asy-Syams: 8-10, "Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaan, sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu, dan merugilah orang yang mengotorinya."

Petani yang bijaksana tentu akan menanam benih takwa di ladang hatinya dan membiarkan benih fujur tumbuh kerdil dan merana. Dia akan memupuk benih takwa itu dengan Al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW sebagai bahan utama. Lalu menyiraminya dengan air hikmah, berupa ucapan dan perilaku para salafus soleh. Orang yang berdoa untuk mendapatkan rezeki yang haram umpama mengambil racun untuk merosakkan hatinya. Untuk membunuh takwa dan menghidupkan rujur (kefasikan). Orang yang memakan barang haram dan tumbuh dagingnya dari barang haram tersebut adalah paling layak di bakar di neraka.

Orang mukmin akan berusaha menjauhi segala bentuk maksiat agar tanaman terhindar dari hama dan penyakit. "Dan tanah yang subur, tanamannya tumbuh baik dengan izin Allah, sebaliknya tanah yang gesang tanamannya tumbuh kerdil ...." (Surah al-A'raf (7) ayat 58).

Tanaman seperti inilah yang diumpamakan oleh Allah SWT dalam Al Quran, surah Ibrahim: 24-25, "Tidakkah engkau perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya menjulang ke langit. Pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan izin Robb nya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat."

Orang fasik tidak akan menghiraukan rezeki yang di perolehi samaada dari sumber yang halal atau haram, baginya sama saja untuk mendapat kepuasan nafsunya. Bagi golongan seperti ini soal dosa pahala soal kedua yang penting dia dapat apa saja bentuk rezeki samaada halal atau haram.Diriwayatkan oleh Ibnu Mardawaihi daripada Ibnu Abbas, seorang sahabat terkenal iaitu Saad bin Abu Waqash meminta Rasulullah SAW memohon kepada Allah supaya apa saja doa permohonannya dikabulkan.

Rasulullah SAW bersabda: “Wahai Saad! Perbaikilah makanan engkau, nescaya engkau akan dijadikan Allah seorang yang makbul doanya. Demi Tuhan, yang jiwa Muhammad ada dalam tangan-Nya, sesungguhnya seorang lelaki yang melemparkan suatu suapan yang haram ke dalam perutnya, maka tidaklah akan diterima amalnya selama empat puluh hari. Dan barang siapa di antara hamba Allah yang tumbuh dagingnya daripada harta yang haram dan riba, maka api neraka lebih baik baginya.”

Kesedaran yang timbul mampu membantu kita memperbaiki usaha mencari nafkah supaya diri dan keluarga tidak berterusan menjadi mangsa sikap tidak peka kita membezakan halal dan haram sumber rezeki.

Makanan bukan sekadar perlu dinilai berdasarkan khasiat dan kelazatannya, yang lebih penting adalah keberkatannya. Di samping berpegang kepada konsep halal dan toyyib, perlu juga dihiasi dengan adab makan yang digalakkan dalam Islam.

Dengan itu, keberkatan dapat diraih, ia melambangkan kesyumulan dan keindahan Islam itu sendiri dalam melahirkan generasi yang berkeperibadian mulia serta beradab tinggi.

835. Soalan : Saya ada 2 soalan : 

1. Saya ada dengar boleh ke seorang imam memegang mikrofon apabila mengimami solat berjemaah. Maksudnya dia boleh letak dan pegang semula mikrofon tersebut. Mohon pencerahan ustaz.bagaimana cara kita bersolat dlam kesesakan lalu lintas? 

2. Bagaimana nk tentu arah kiblat,rukuk dan sujud?saya dengar solat hormat waktu dan ada pula bawa spray seperti org sakit dan solat sambil bawa kereta.mohon penjelasan daripada ustaz?

Jawapan : 

Hal ini juga pernah diriwayatkan bahawa Aisyah r.a. bersembahyang tarawih di belakang hambanya, dan hambanya itu membaca dengan mushaf. Disebut oleh Bukhari secara muallaq 1/170, dan Ibn Abi Syaibah (2/338).

Ibn Syihab ditanya tentang seseorang yang mengimami jemaah pada bulan Ramadhan dengan membaca di mushaf. Beliau berkata, "Mereka dahulu melakukan perbuatan demikian sejak awal Islam. Orang-orang terpilih dari kalangan kami pun membaca dengan (melihat) mushaf". (Muntaha al-Iradat 1/200)

Tetapi bagi makmum, tidak digalakkan membaca mushaf ketika solat kerana tidak ada hajat. Kerana makmum digalakkan mendengar bacaan imam. Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda "dilantik Imam untuk diikuti, jika dia bertakbir, takbirlah, bila dia membaca, diamlah.” (Ibn Majah, 695). Lagipun, jika seseorang itu memegang handset atau Quran semasa solat, maka beberapa tatatertib dalam solat tak dapat dilaksanakan. Contohnya, apabila seseorang itu pegang handset atau Quran, secara automatik mestila mereka perlu memegangnya kan. Maka tatatertib untuk meletakkan tangan kanan atas tangan kiri tidak dapat dilaksanakan. Selain itu, digalakkan melihat tempat sujud, jika membaca Quran atau handset, sudah pasti tatatertib ini juga tak dapat diikuti walaupun ianya sekadar sunat.

Bagi makmum yang memegang handset atau Quran, secara tidak langsung, boleh mengganggu solat orang lain. Memegang handset atau Quran mampu menghapuskan kekusyukkan diri malah mungkin mengganggu orang sebelah semasa membelek Quran atau slide handset.

Jika imam di bolehkan memegang mushaf semasa solat maka imam di bolehkan juga memegang mikrofon jika masjid tak ada sediakan mikrofon yang boleh di pinkan dibaju imam.

2. Bagaimana cara kita bersolat dlam kesesakan lalu lintas?

Solat fardu adalah solat yang telah di tentukan waktu-waktunya. Tidak boleh di tinggalkan begitu saja tanpa sebab yang di benarkan oleh syarak. Seseorang tak boleh mengqada'kan solat fardunya dengan sengaja. Jika sudah tahu jalan raya sesak pada waktu puncak maka kita kena merancang di mana kita nak solat supaya tidak tertinggal begitu sahaja. Jika kita terperangkap di jalan raya dan tidak ada ruang solat maka kita boleh jamakkan solat tersebut atau solat di kenderaan yang kita naiki. Contoh : Setelah habis kerja dan setelah selesai solat asar kita meneruskan perjalanan balik ke rumah, di dalam perjalanan ada kemalangan jalan raya masuk waktu magrib kita masih terperangkap di jalan raya ( tidak ada solat hormat waktu) 

Maka ada 2 cara solat :

Pertama : Kita boleh buat jamak takhir iaitu kita niat solat magrib di jamakkan dengan isyak di buat pada waktu isyak. Tak boleh di qasarkan kerana kita bukan musafir. Di haruskan jamak di sebabkan keadaan dharurat (terpaksa). Bukan solat qada' magrib kerana tak ada qada ' jika meninggalkan solat dengan sengaja. 

Kedua kita solat magrib di kenderaan yang sedang bergerak. 

Cara-caranya : SOLAT DALAM KENDERAAN

Seseorang yang sedang bermusafir atau terperangkap di jalan raya dibolehkan menunaikan solat di tempat duduknya di dalam kenderaan. Ia dibolehkan jika didapati sukar untuk mencari tempat solat semasa dalam perjalanan ataupun kenderaan yang dinaiki itu tidak berhenti. Tetapi dengan syarat sudah ada wuduk.

Solat dalam kenderaan juga boleh dijamak atau diqasarkan (ketika musafir) setelah cukup syarat-syaratnya.

PANDUAN SOLAT DALAM KENDERAAN

1. Duduk dengan menegakkan badan di tempat duduk dalam kenderaan

2. Menghadap ke arah kiblat dengan berpandukan kompas atau kaedah yang sesuai walaupun tidak semestinya tepat. Memadai juga jika kita meyakini arah kiblat itu hanya pada awal solat sahaja ketika takbitarul ihram.

3. Niatkan solat yang hendak kita tunaikan itu ketika takbiratul ihram

4. Bacaan surah dalam solat adalah sama sepertu solat biasa

5. Rukuk hendaklah dilakukan dengan isyarat iaitu dengan menundukkan sedikit kepala serta badan dan kedua tangan di letakkan pada lutut.

6. Sujud pula dilakukan dengan menundukkan kepala dan badan terkebawah sedikit dari isyarat rukuk.

7. Duduk diantara dua sujud, duduk tahiyat awal dan akhir masih kekal sepertu biasa dengan duduk di kerusi kenderaan.

8. Kita tidak perlu mengubah tempat duduk untuk membetulkan arah kiblat jika kenderaan yang kita naiki itu sering bertukat arah.



No comments:

Post a Comment