Saturday, October 18, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 171 (Wanita Ziarah Kubur, Perbezaan Ujian Dan Bala, Perayaan Orang Bukan Islam, Harta Sepencarian Dan Bid'ah Dan Sunah.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 171 adalah menjelaskan persoalan wanita ziarah kubur, perbezaan ujian dan bala, perayaan orang bukan Islam, harta sepencarian dan bid'ah dan sunah.

811. Soalan : Ustaz bolehkah wanita yg sedang dlm haid menziarahi kubur dan membaca fatihah dalam hati untuk disedekahkan pada arwah. Mohon penjelasan ustaz.

Jawapan : 


Wanita haid boleh menziarahi kubur dan boleh memberi salam . Ulama melarang wanita haid membaca al-Quran tetapi boleh berdoa kepada ahli kubur semasa menziarahi kubur.

Antara amalan yang sunat dilakukan sebelum pergi menziarahi kubur ialah:

Berwuduk dan memakai pakaian yang sopan dan menutup aurat. Kemudian, barulah kita bertolak menuju ke tanah perkuburan dengan membulatkan hati, berniat ikhlas selari dengan tujuan-tujuan ziarah . Apabila tiba di tanah perkuburan pula, antara perkara yang sunat dilakukan ialah:

Pertama: Memberi salam kepada ahli atau penghuni kubur. Maka cara yang afdhal salam ini dilakukan ialah dalam keadaan kita berdiri di tepi perkuburan, dengan membelakangi qiblat dan menghadap ke arah muka ahli kubur yang diziarahi. 

Sekurang-kurang lafaz salam ketika menziarahi kubur ialah:

السلام عليكم

Maksudnya: “Mudah-mudahan Allah limpahkan salam sejahtera kepada kamu sekalian.”

Ataupun, doa yang telah diajarkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam dalam hadis riwayat Muslim :

السلام عليكم يا اهل الديار من الموءمنين و المسلمين و إن إنشا الله تعالى بكم لا حقون نسأل الله لنا ولكم العافية

Maksudnya: “Mudah-mudahan Allah limpahkan salam sejahtera kepada kamu sekalian, wahai penghuni kampung-kampung dari kalangan mukminin dan muslimin, dan sesungguhnya kami, Insya Allah, akan bertemu kamu, kami memohon kepada Allah ‘afiat untuk kami dan untuk kamu sekalian.”

Kedua: Disunatkan membaca Al-Qur’an dalam keadaan duduk, terutamanya membaca membaca Surah Yasin, kemudian menghadiahkan pahala bacaan itu kepada mereka. 

Sebuah hadis pula yang diriwayatkan oleh Ma‘qil bin Yasar radhiallahu ‘anhu, Abu Daud, dan dianggap shahih oleh Ibnu Hibban, berbunyi:

Maksudnya: “Bacalah ke atas keluarga kamu yang telah mati akan Surah Yasin.”

Ketiga: Setelah selesai membaca al-Qur'an, untuk menghadiahkan pahala bacaan kepada si mati sebaiknya dibaca:

اللهم أوصل ثواب ما قرأته الى فلان

Maksudnya: “Ya Allah, sampaikanlah pahala apa yang telah ku baca ini kepada si Polan.”

Keempat: Setelah itu, disunatkan kita berpaling ke arah kiblat serta mengangkat kedua-dua belah tangan untuk berdoa. Dalam kita memilih mana-mana doa yang akan dibacakan, apa yang lebih penting ialah kesungguhan kita dalam memahami makna-maknanya, kerana ianya dapat menolong ke arah melahirkan matlamat ziarah itu sendiri. Di antara doa-doa itu ialah:

Maksudnya: “Mudah-mudahan Allah limpahkan keselamatan ke atas kamu, wahai penghuni kubur dari kalangan mukminin dan muslimin, dan sesungguhnya, sekiranya diizinkan Allah, kami akan bertemu dengan kamu. Kamu telah mendahului kami, dan kami akan menyusuli kamu, dan kami memohon kepada Allah ke‘afiatan bagi kami dan bagi kamu juga.”

Maksudnya: “Mudah-mudahan Allah limpahkan keselamatan ke atas kamu, wahai ahli kubur, semoga Allah mengampuni kami dan kamu, kamu orang yang mendahului kami, dan kami akan menyusuli kamu.”

Selain itu, kita juga disunatkan memberi salam ketika melintasi mana-mana kubur orang-orang Islam; walaupun tanpa niat untuk ziarah, dan juga berdoa untuk keselamatan mereka.

Kelima: Selepas berdoa, antara amalan yang sunat kita lakukan ialah merenjiskan atau memercikkan air ke kubur dan meletakkan pelepah daun atau bunga yang masih hijau di atas kubur.

Kesemua perkara ini adalah berdasarkan kepada Sunnah atau amalan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam seperti yang diriwayatkan oleh Imam asy-Syafi‘e Rahimahullah, bahawa sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memercikkan air di kubur anaknya, Ibrahim. Manakala meletakkan pelepah daun atau bunga yang masih hijau di atas kubur merupakan ikutan daripada perbuatan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. 

Baginda meletakkan pelepah kurma yang masih hijau di atas kubur anaknya, Ibrahim. Disebabkan berkat tasbih pelepah atau bunga tersebut, maka siksa orang yang telah mati di dalam kubur diringankan.

812. Soalan : Apakah perbezaan Ujian dan Bala daripada Allah SWT?

Jawapan : 

Firman Allah SWT maksudnya : “Apa saja nikmat yang kamu peroleh adalah dari Allah, dan apa saja bencana yang menimpamu, maka dari (kesalahan) dirimu sendiri.” (Surah An Nisaa ayat 79)

Ibnu Katsir mengatakan bahawa makna “Apa saja nikmat yang kamu peroleh adalah dari Allah” adalah dari karunia dan kasih sayang Allah swt. Sedangkan makna “dan apa saja bencana yang menimpamu, maka dari (kesalahan) dirimu sendiri.” Bererti dari dirimu sendiri dan dari perbuatanmu sendiri, sebagaimana firman-Nya :

وَمَا أَصَابَكُم مِّن مُّصِيبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ وَيَعْفُو عَن كَثِيرٍ

“Dan apa saja musibah yang menimpa kamu maka adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan sebagian besar (dari kesalahan-kesalahanmu).” (Surah. Asy Syura ayat 30)

As Suddiy, Hasan al Bashri, Ibnu Juraih dan Ibnu Zaid mengatakan bahwa makna “maka dari dirimu sendiri” adalah karena dosamu. Qatadah mengatakan bahwa makna” “Apa saja nikmat yang kamu peroleh adalah dari Allah, dan apa saja bencana yang menimpamu, Maka dari (kesalahan) dirimu sendiri.” Adalah akibat dosamu wahai anak Adam.

Didalam sebuah hadis disebutkan,”Demi yang jiwaku berada ditangan-Nya, tidaklah seorang mukmin ditimpa kegalauan, kesedihan, kepayahan bahkan duri yang menancap padanya kecuali dengannya Allah akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya.” (Tafsir al Qur’an al Azhim juz II hal 363)

Sedangkan bala atau cubaan maupun ujian juga telah disebutkan didalam Al Qur’an diantaranya firman Allah SWT:

وَنَبْلُوكُم بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ

Maksudnya : “Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan.” (Surah Al Anbiya ayat 35)

Cubaan atau ujian yang menimpa setiap orang dan ianya berupa keburukan atau kebaikan, kesenagan atau kesengsaraan, sebagaimana disebutkan pula didalam firman-Nya yang lain .

Firman Allah SWT yang bermaksud : “Dan kami cuba mereka dengan (nikmat) yang baik-baik dan (bencana) yang buruk-buruk.” (Surah. Al A’raf ayat 168)

Ibnu Katsir mengatakan bahawa makna “Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya)” adalah terkadang Kami menguji dengan berbagai musibah dan terkadang dengan berbagai kenikmatan agar kami mengetahui orang-orang yang bersyukur dari orang-orang yang kafir, orang-orang yang bersabar dari orang-orang yang berpuus asa sebagaimana perkataan Ali bin Thalhah dari Ibnu Abbas bahwa makna “Dan Kami menguji kalian” dia mengatakan Kami menguji kalian dengan keburukan dan kebaikan sebagai fitnah (cubaan), dengan kesulitan dan kelapangan, kesihatan dan rasa sakit, kekayaan dan kemiskinan, halal dan haram, ketaatan dan kemaksiatan, petunjuk dan kesesatan… sedangkan firman-Nya yang bermaksud “dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan” adalah Kami akan memberikan ganjaran (balasan) atas amal kamu. (Tafsir al Qur’an al Azhim juz V hal 342)

Cubaan atau ujian ini juga terkadang disesuaikan dengan kadar dan kekuatan keimanan seseorang serta sebagai jalan untuk menambahkan pahala orang yang terkena ujian ini, kerana itu didalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari disebutkan bahawa orang yang paling berat ujiannya adalah para nabi.

Syeikh Al Mubarokhfuriy mengatakan bahwa mereka (para nabi) yang paling berat ujian dan cubaannya kerana mereka adalah orang-orang yang merasakan kelazatan semua cubaan itu sebagaimana kebanyakan orang merasakan lazat semua kenikmatan. Kerana apabila para nabi tidak diuji maka keimanan kepada Allah yang ada didalam diri mereka hanya akan menjadi khayalan dan melemahkan umat didalam kesabarannya menghadapi suatu cubaan. Hal itu juga kerana orang yang paling berat cubaan adalah yang paling kuat ketaatannya dan paling kuat didalam mengembalikan segala urusannya kepada Allah SWT. (Tuhfatul Ahwadzi juz VI hal 185)

Cubaan atau ujian ini boleh juga disebabkan kerana kesalahan atau dosa yang dilakukan seseorang,

Dan apapun yang diterima seorang muslim baik ia berupa ujian maupun cubaan baik berupa kesenangan ataupun kesengsaraan, kelapangan atau kesempitan, kekayaan atau kemiskinan maka semuanya adalah baik baginya kerana mereka adalah orang-orang yang bersyukur ketika dirimpa kesenangan dan bersabar ketika ditimpa kesengsaraan.

Dan tidaklah suatu musibah atau ujian itu ditimpakan kepada seorang mukmin kecuali adalah sebagai pembersih dosa dan kesalahannya di dunia sehingga tidak ada lagi baginya siksa atas dosa itu di akhrat, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Tirmidzi disebutkan bahawa Rasulullah SAW bersabda,”Tidaklah seorang mukmin atau mukminah yang ditimpa suatu bala’ (cubaan) sehingga ia berjalan di bumi tanpa membawa kesalahan.”

Sementara musibah atau ujian yang diberikan kepada orang-orang kafir adalah bagian dari azab Allah kepada mereka di dunia sementara azab yang lebih besar telah menantinya di akhirat, sebagaimana firman-Nya :

وَلَنُذِيقَنَّهُمْ مِنَ الْعَذَابِ الْأَدْنَى دُونَ الْعَذَابِ الْأَكْبَرِ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

Maksudnya : “Dan Sesungguhnya kami merasakan kepada mereka sebahagian azab yang dekat (di dunia) sebelum azab yang lebih besar (di akhirat), Mudah-mudahan mereka kembali (ke jalan yang benar).” (Surah. As Sajdah ayat 21)

Firman-Nya lagi : “Itulah orang-orang yang tidak memperoleh di akhirat, kecuali neraka dan lenyaplah di akhirat itu apa yang telah mereka usahakan di dunia dan sia-sialah apa yang telah mereka kerjakan. (Surah. Huud ayat 16)

Didalam sebuah hadis yang diriwayatkan dari Anas bin Malik bahawa Rasulullah SAW bersabda,”Sesungguhnya Allah tidaklah menzalimi seorang mukmin, diberikan kepadanya kebaikan di dunia dan disediakan baginya pahala di akhirat. Adapun orang yang kafir maka ia memakan dengan kebaikan-kebaikan yang dilakukannya di dunia sehingga ketika dia kembali ke akhirat maka tidak ada lagi satu kebaikan pun sebagai ganjaran baginya. “ (HR. Muslim)

813. Soalan : Apakah hukumnya kita bersama-sama meraikan hari kebesaran bukan Islam seperti Krismas, Depavali, Vesak Day, Thaipusam dan sebagainya?

Jawapan :  

Umat Islam di larang menghadirkan diri di dalam menyembut perayaan agama orang bukan Islam seperti Deepavali, Krismes, Vesak day, dan Thaipusam dan sebagainya. Perayaan ini jelas menunjukkan perayaan agama hukumnya haram jika menghadirkan diri untuk menyambut sama perayaan yang mensyirikkan Allah SWT.

Kewajipan orang Islam agar tidak menghadiri perayaan mereka Larangan menghadiri perayaan mereka diambil daripada dalil-dalil berikut:-

3.1 Hadis Rasulullah S.A.W. ((من تشبه بقوم فهو منهم)

Mafhumnya: “Barang siapa yang tasyabbuh dengan sesuatu kaum maka ia tergolong dalam kaum berkenaan.” [HR Ibnu Hibban "Sahih"].

3.2 Ijma’ yang berlaku pada zaman sahabat dan tabien di mana tidak pernah berlaku para sahabat dan tabien hadir dalam perayaan-perayaan orang-orang kafir.

Saidina Umar r.a. pernah meletakkan syarat yang kemudian dipersetujui oleh para sahabat dan fuqaha’ selepasnya bahawa ahli zimmah dari golongan ahli kitab tidak boleh menzahirkan perayaan mereka di dalam negara Islam. Sedangkan ahli kitab sendiri dilarang menzahirkan perayaan mereka, mengapa pula ada orang Islam beria-ia benar untuk mengadakan perayaan ini.

3.3 Kata-kata Saidina Umar r.a:

Bermaksud: “Janganlah kamu mempelajari bahasa orang A’jam dan janganlah kamu memasuki gereja orang muysrik pada hari kebesaran mereka kerana kemurkaan Allah sedang menimpa mereka.” Catatan: Larangan mempelajari bahasa asing itu bukanlah larangan secara mutlak tetapi hendaklah ia di fahami sebagai berikut:-

i) Larangan menuturkan perkataan-perkataan A’jam yang langsung tidak diketahui maknanya kerana dikhuatiri ia membawa maksud yang boleh membawa kepada syirik dan sebagainya.

ii) Galakan untuk menutur dan menguasai bahasa Arab kerana ia merupakan syiar Islam. 

3.4 Kata-kata Abdullah b. Umar r.a:

Mafhumnya: “Barangsiapa yang menetap di negara A’Jam dan mengadakan perayaan nairuz dan Mahrajan serta meniru mereka sehingga ia mati dalam keadaan demikian maka akan dihimpun bersama mereka pada hari kiamat.”

814. Soalan : Bagaimanakah pandangan Islam mengenai harta sepencarian ? Adakah suami berhak menuntut harta sepencarian daripada bekas isterinya?

Jawapan :  

Harta sepencarian berdasarkan Hukum Syarak ditafsirkan sebagai pemerolehan harta sepanjang tempoh perkahwinan sama ada membabitkan harta alih atau tak alih dan pihak yang memberi sumbangan sama ada secara langsung atau tidak langsung. Maka, pembahagian harta sepencarian menunjukkan pengiktirafan Syarak terhadap hak, habuan dan pemilikan pihak berusaha mendapatkan harta itu sepanjang perkahwinan. Pembahagian itu dibuat bersandarkan kemaslahatan pihak atas prinsip keadilan dan hak.

Tuntutan terhadap harta sepencarian bukanlah dihadkan kepada isteri saja, malah suami juga berhak menuntut harta sepencarian daripada isteri. Jika diteliti tafsiran ini, ia menunjukkan bahawa harta yang sama-sama diperolehi oleh suami isteri, bukannya harta yang diperolehi oleh isteri sahaja ataupun harta yang diperolehi oleh suami sahaja.

Manakala dari perspektif undang-undang, seksyen 122(1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003 memperuntukan bahawa mahkamah mempunyai kuasa apabila membenarkan lafaz talak atau apabila membuat suatu perintah perceraian untuk memerintah supaya aset yang diperoleh dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama dibahagikan antara mereka atau supaya aset yang diperoleh pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagikan antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan dibahagikan antara pihak-pihak itu. 

Manakala seksyen 122(2) merujuk kepada faktor-faktor yang diambilkira oleh mahkamah dalam permbahagian harta sepencarian tersebut. Antara perkara yang ambilkira oleh mahkamah adalah:

1. Takat sumbangan yang dibuat tiap-tiap satu pihak dalam bentuk wang, harta, atau kerja bagi memperoleh aset itu;

2. Apa-apa yang terhutang oleh salah satu pihak yang telah dilakukan bagi manfaat bersama mereka;

3. Keperluan anak yang belum dewasa daripada perkahwinan itu, jika ada.

Tertakluk kepada seksyen 122(2), mahkamah juga boleh memerintahkan supaya aset itu dijual dan hasil jualan dibahagikan sama rata antara kedua pihak sebagaimana dinyatakan dalam seksyen 122(3). 

Manakala seksyen 122(4), mahkamah dengan kuasa yang ada boleh membahagikan aset itu atau hasil jualan mengikut apa-apa kadar yang difikirkan munasabah, tetapi walau bagaimanapun, pihak yang memperoleh aset itu dengan usahanya hendaklah menerima suatu kadar yang lebih besar.

Oleh itu, walaupun harta itu atas nama isteri sahaja, tetapi jika saudara berjaya membuktikan kepada mahkamah bahawa saudara juga ada menyumbang terhadap harta tersebut, maka mahkamah akan memutuskan bahawa itu adalah harta sepencarian. 

Merujuk Kitab At-Turuq al-Hukmiyah karya Ibnu Qayyim al-Juziyyah mengatakan, dalam tuntutan suami isteri membabitkan harta sepencarian, tuntutan hendaklah berdasarkan keterangan pihak yang membuktikan tuntutan itu. Kenyataan mengenai hak terhadap harta sepencarian bukan hanya diambilkira berdasarkan nama harta itu didaftarkan semata-mata sedangkan pihak satu lagi mungkin menyumbang cuma namanya tiada dalam daftar hakmilik harta itu.

Namun begitu, Hukum Syarak menetapkan bahawa suami tidak ada hak ke atas harta mutlak isteri, contohnya harta isteri yang diperolehi melalui harta pusaka daripada keluarganya. Selain itu, harta-harta perseorangan yang dibeli sebelum perkahwinan dan harta-harta tersebut tidak diusahakan bersama sepanjang tempoh perkahwinan juga bukan harta sepencarian. 

Saudara juga perlu memastikan bahawa harta-harta itu adalah harta perolehan bersama dan bukan hadiah atau hibah yang dihadiahkan kepada bekas isteri. Oleh itu, saudara tidak boleh menuntut hadiah yang telah diberikannya kepada bekas isteri sebagai harta sepencarian.

Menurut satu hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi dan al-Hakim yang bermaksud:

"Tidak halal bagi seseorang menuntut balik sesuatu pemberian atau barang yang telah dihibahkannya kepada orang lain kecuali dia adalah ayah yang mana ayah boleh menuntut balik ke atas pemberian yang diberikan kepada anaknya."

Diharap segala penjelasan dan informasi yang diberi dapat membantu saudara dalam memahami konsep hak dan pembahagian harta sepencarian. Perlu diberi perhatian bahawa Hukum Syarak dan undang-undang ini bertujuan untuk memelihara kedua-dua hak suami dan isteri.

815. Soalan : Apakah perbezaan di antara bid'ah dan sunat?

Jawapan : 

Bid'ah adalah perkara baru yang di ada-adakan dan tidak di amalan oleh Rasulullah SAW (boleh di bahagikan kepada 5 hukum iaitu haram, makruh, wajib, sunat dan harus) manakala sunat pula adalah amalan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW di buat dapat pahala dan di tinggalkan tidak mendapat dosa. Imam ‘Izzuddin bin ‘Abdus Salam sebagaimana disebutkan dalam kitab Tuhfatul akhwadzi juz 7 hal 34 menyatakan: “Apabila pengertian bid’ah ditinjau dari segi bahasa, maka terbagi menjadi lima hukum :

Haram, bid'ah darisegi akidah seperti keyakinan kaum Qodariyah, Jabariyah, Mu’tazilah, Syi'ah dan Qadiyani dan lain-lain.

Makruh, seperti membuat hiasan-hiasan dalam masjid.

Wajib, seperti belajar ilmu nahu bahasa arab dan tajwid

Sunat (sunnah), seperti membangun sekolah agama, maahad tahfiz atau madrasah.

Harus, seperti bersalaman setelah solat.

Menurut Imam ‘Izzuddin, “Segala kegiatan keagamaan yang tidak terdapat pada zaman Rasulullah SAW, hukumnya bergantung pada salah satu kaidah hukum Islam iaitu haram, makruh, wajib, sunnah, atau harus. Sebagai contoh, belajar ilmu nahu (bahasa arab) untuk memahami ilmu syariat Islam yang wajib, maka hukum belajar ilmu nahu (bahasa arab) menjadi wajib.”.(Risalatu Ahli as-Sunnah wa al-Jama’ah hal. 6-8.)

Penjelasan tentang bid’ah boleh kita ketahui dari dalil-dalil berikut :

Hadis riwayat Sayyidatina Aisyah :

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا قَالَتْ أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ. رواه مسلم

“Dari ‘Aisyah r.ha, dia berkata : "Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Barangsiapa yang melakukan suatu perbuatan yang tiada perintah kami atasnya, maka amal itu ditolak” (Hadis Sahih Riwayat Muslim).

Hadis ini sering dijadikan dalil untuk melarang semua bentuk perbuatan yang tidak pernah dilaksanakan pada masa Nabi SAW. Padahal maksud yang sebenarnya bukanlah seperti itu.

Para ulama menyatakan bahawa hadis ini sebagai larangan dalam membuat-buat hukum baru yang tidak pernah dijelaskan dalam al-Quran ataupun hadis, baik secara jelas atau isyarat, samada dalam bentuk ibadah khusus atau hukum- hakam yang mencakupi hukum hudud, qisas dan diyat.

Oleh kerana itu, ulama membuat beberapa kriteria dalam permasalahan bid’ah ini, iaitu :

Pertama, jika perbuatan itu memiliki dasar dalil-dalil syar’i yang kuat, baik yang berbentuk juz’i (cabang) atau umum, maka bukan tergolong bid’ah. Namun jika tidak ada dalil yang dapat dibuat sandaran, maka itulah bid’ah yang dilarang.

Kedua, memperhatikan pada ajaran ulama salaf (ulama pada abad l, ll dan lll Hijrah.) dan juga ulama mazhab. Apabila sudah diajarkan oleh mereka, atau memiliki landasan yang kuat mengikut kaedah Islam yang mereka buat, maka perbuatan itu bukan tergolong bid’ah.

Ketiga, dengan jalan qiyas. Yakni, mengukur perbuatan tersebut dengan beberapa amaliyah yang telah ada hukumnya dari nash al-Quran dan hadis. Apabila perbuatan tersebut haram, maka perbuatan baru itu tergolong bid’ah muharromah (bid'ah haram) . Apabila memiliki mirip dengan yang wajib, maka perbuatan baru itu tergolong wajib. Dan begitu seterusnya samaada sunat atau makruh. (Risalatu Ahli as-Sunnah wa al-Jama’ah hal.6-7.)

2. Hadis riwayat Ibn Mas’ud :

عَنْ عَبْدِ اللهِ ابْنِ مَسْعُوْدٍ, أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: أَلاَ وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الأُمُورِ فَإِنَّ شَرَّ الأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا وَكُلُّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ. رواه ابن ماجه

“Dari ‘Abdullah bin Mas’ud. Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “ Ingatlah, berhati-hatilah kalian, jangan sampai membuat hal-hal baru. Kerana perkara yang paling buruk adalah membuat hal baru . dan setiap perbuatan yang baru itu adalah bid’ah. Dan semua bid’ah itu sesat (dolalah).” (Hadis Riwayat Ibnu Majah) .

Hadis inipun sering dijadikan dasar dalam memjelaskan erti bid’ah segala perkara baru yang tidak ada pada zaman Rasulullah SAW, para sahabat atau tabi’in dengan pertimbangan bahawa hadis ini menggunakan kalimat kullu (semua), yang secara lahiriahnya seolah-olah diertikan semuanya atau seluruhnya.

Namun, dalam memahami makna hadis ini, khususnya pada kalimat وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ, terdapat perbedaan pandangan pandangan di kalangan ulama.

Pertama, ulama memandang hadis ini adalah kalimat umum namun dikhususkan hanya pada sebagian saja (عام مخصوص البعض ), sehingga makna dari hadis ini adalah “bid’ah yang buruk itu sesat” .

Hal ini didasarkan pada kalimat kullu, kerana pada hakikatnya tidak semua kullu bermaksud seluruh atau semua, adakalanya ianya bermaksud kebanyakan (sebagian besar). Sebagaimana contoh-contoh berikut :

Firman Allah SWT dalam surah al-Anbiya’ ayat 30 :

وَجَعَلْنَا مِنَ الْمَاءِ كُلَّ شَيْءٍ حَيٍّ أَفَلَا يُؤْمِنُونَ

“Dan dari air kami jadikan segala sesuatu yang hidup. Maka mengapakah mereka tiada juga beriman?” (Surah al-Anbiya’ ayat 30) .

Meskipun ayat ini menggunakan kalimat kullu, namun tidak berarti semua makhluk hidup diciptakan dari air. Sebagaimana disebutkan dalam ayat al-Qur’an berikut ini:

وَخَلَقَ الْجَانَّ مِنْ مَارِجٍ مِنْ نَارٍ

“Dan Allah SWT menciptakan Jin dari percikan api yang menyala”.
(Surah ar-Rahman ayat 15.)

Begitu juga para malaikat, tidaklah Allah ciptakan dari air.

Hadis riwayat Imam Ahmad :

عَنِ الْأَشْعَرِيِّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كُلُّ عَيْنٍ زَانِيَةٌ

Dari al-Asyari berkata: “ Rasulullah SAW bersabda: “ setiap mata berzina” (musnad Imam Ahmad)

Sekalipun hadis di atas menggunakan kata kullu, namun bukan bermakna keseluruhan/semua, akan tetapi bermakna sebagian, iaitu mata yang melihat kepada ajnabiyah (bukan mahram).

Kedua, ulama menetapkan sifat umum dalam kalimat kullu, namun mengarahkan pengertian bid’ah secara syar’iyah iaitu perkara baru yang tidak didapatkan di masa Rasulullah SAW, dan tidak ada sandarannya sama sekali dalam usul hukum syariat.

Telah kita ketahui bahawa perkara yang bertentangan dengan syariat baik secara umum atau isi yang terkandung di dalamnya, maka haram dan sesat. Dengan demikian, makna hadis di atas adalah setiap perkara baru yang bertentangan dengan syariat adalah sesat, bukan bererti semua perkara baru adalah sesat walaupun tidak bertentangan dengan syai’at.

Oleh karena itu, jelas sekali bahwa bukan semua yang tidak dilakukan di zaman Nabi adalah sesat. Terbukti, para sahabat juga melaksanakan atau mengadakan perbuatan yang tidak ada pada masa Rasulullah SAW. Misalnya, usaha menghimpun dan membukukan al-Quran, menyatukan jamaah tarawih di masjid, azan Jumaat dua kali dan lain-lain.

Sehingga, apabila kalimat kullu di atas diertikan keseluruhan, yang bermaksud semua hal-hal yang baru tersebut sesat dan dosa. Ini bermakna para sahabat telah melakukan kesesatan dan perbuatan dosa secara bersama.

Padahal, sejarah telah membuktikan bahawa mereka adalah orang-orang pilihan yang tidak diragukan lagi keimanan dan ketakwaannya. Bahkan diantara mereka sudah dijamin sebagai penghuni syurga.

Oleh kerana itu, sungguh tidak dapat diterima akal, kalau para sahabat Nabi SAW yang begitu agung dan begitu luas pengetahuannya tentang al-Quran dan hadis tidak mengetahuinya, apalagi tidak mengindahkan larangan Rasulullah SAW. (Mawsu’ah Yusufiyyah juz ll hal 488.)

Oleh itu dapatlah kita simpulkan bahawa bid'ah yang sesat (dolalah) adalah seperti berikut :

1. Mengambil dan menggantikan hukum-hukum Allah SWT kepada hukum ciptaan manusia. (samaada hukum qisas, hudud dan diyat). Hukum orang berzina hanya di penjarakan bukan di sebat 100 kali atau rejam sampai mati, orang mencuri tidak di potong tangan, orang yang minum arak tidak di rotan 40 kali dan sebagainya.

2. Membawa ajaran sesat yang didakwa daripada ajaran Islam seperti ajaran Qodariyah, Jabariyah, Mu’tazilah, Syi'ah dan Qadiyani atau pun kumpulan sesat lain seperti kumpulan Anti Hadis, , kumpulan Islam Liberal dan lain-lain. Salah satu contoh bid'ah sesat yang dibawa oleh ajaran Sy'iah adalah menghalalkan nikah mut'ah (nikah kontrak) sedangkan nikah ini sudah dimansuhkan hukumnya dan menyeksa diri semasa Hari Asyura.

3. Mengamalkan adat istiadat jahiliah yang bertentangan dengan ajaran Islam seperti tolak bala dengan mandi safar, mempercayai nombor-nombor tertentu bawa sial atau bawa untung, bersanding dalam majlis perkahwinan (adat hindu), melakukan tepung tawar dan tabur beras kunyit, mempercayai amalan-amalan kurafat seperti mengagongkan makam wali Allah, mempercayai roh orang mati boleh balik kerumah, membuang ancak, bertawasul dimakam orang yang telah mati dan bayar nazar di kuburan , mandi tolak bala di bulan Safar dan lain-lain lagi.

Amalan-amalan berikut tidak termasuk perkara bid'ah sesat (dolalah) :

1. Membukukan kitab suci al-Quran dizaman Sayyidina Othman r.a 

2. Solat sunat tarawih Ramadan berjemaah semasa zaman Khalifah Umar al-Khattab sebanyak 20 rekaat.

3. Hukum hudud kerana minum arak di sebat sebanyak 80 kali dizaman Saidina Umar. (40 hukum asal dan 40 lagi hukum takzir). Minum arak makin berleluasa di zaman pemerentahan Saidina Umar.

4. Mengadakan majlis Maal Hijrah dan Maulidur Rasul. (Sambutan Maulidur Rasul dimulakan dizaman Sallehuddin al-Ayubi)

5. Berzikir dan berdoa secara beramai-ramai selepas solat fardu.

6. Menghadiahkan bacaan al-Quran dan berdoa untuk orang yang sudah meninggal dunia. (terdapat khilaf ulama mazhab. Jika terdapat perbezaan pendapat maka perkara tersebut bukan bid'ah)

Berlaku perbezaan pendapat di kalangan para ulama tentang adakah sampai kepada mayat pahala bacaan Al-Quran atau zikir kepadanya ataupun tidak. Majoriti mengatakan sampai pahala tersebut.

Ibnu Hajar Al-Haitami menjelaskan di dalam Fatwa Kubranya (bab wasiat, jilid 4, m/s 20): “ Adapun berdoa untuk disampaikan seumpama pahala kepada orang lain (simati) maka tiada mengapa kerana ianya terdiri daripada perbuatan berdoa bagi saudara muslim tanpa kehadirannya (tanpa pengetahuannya). Banyak hadis-hadis yang menunjukkan di atas dimakbulkan doa ini (doa bagi saudara muslim tanpa pengetahuannya) dan selainnya. Lebih-lebih lagi, tidak terdapat larangan padanya maka tiada ada satupun alasan untuk menegahannya.”

7. Membaca talkin untuk simati dan membuat kenduri tahlil untuk mendoakan simati
Ulama di Nusantara (Malaysia, Indonesia, Thailand, Singapura dan Brunei) mengatakan perkara tersebut bukan bid'ah sesat walaupun amalan tersebut tidak dilakukan oleh Nabi SAW. Majlis fatwa kebangsaan tidak melarang amalan tersebut dan Majlis Fatwa Negeri Johor, Patani dan Brunei mengharuskannya amalan kenduri tahlil)

Sunat pula amalan yang di suruh dan di lakukan sendiri oleh Rasulullah SAW tetapi bukan amalan yang di wajibkan. Contoh solat tahajud adalah amalan sunat yang tidak pernah di tinggalkan oleh Rasulullah SAW dan baginda menggalakkan umatnya melakukannya. Sesiapa yang melakukan amalan sunat ini akan mendapat pahala dan siapa yang meninggalkannya tidak mendapat dosa.

No comments:

Post a Comment