Monday, October 20, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 172 (Zakat Beri Pada Ahli Keluarga, Alkohol Dalam Makanan, Solat Qada , Imam Solat Di Benci Makmum, Hutang Tak Di Bayar.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 172 adalah menjelaskan persoalan zakat beri pada ahli keluarga, alkohol dalam makanan, solat qada , imam solat di benci makmum, hutang tak di bayar.

816. Soalan : Bolehkan wang zakat kita di berikan kepada ahli keluraga kita sendiri atau di berikan ke tabung masjid atau rumah anak yatim?

Jawapan :  

Harta yang cukup nisab (85 gm emas atau lebih) - Jumlah nisab untuk tahun 2014 Pusat Zakat Selangor menetapkan nilai wang adalah RM 11, 465.00 dan tempuh masa setahun (tahun Hijrah) wajib membayar zakat sebanyak 2.5%. Wang zakat ini tak boleh di bayar kepada ahli keluarga yang menjadi tanggungjawab kita memberi nafkah seperti anak-anak, isteri, ibu bapa. 

Sebaik-baik wang zakat di hantar kepada Pusat Zakat kerana Pusat Zakat akan agihkan kepada 8 asnaf, al-Quran ada menjelaskan wang zakat ini adalah untuk di agihkan kepada 8 golongan asnaf. Jika ada ahli keluarga kita yang miskin sebaik-baiknya kita bersedekah dengan wang lain (bukan wang zakat) dan pahala sedekah kita akan lebih besar berbanding kita bersedekah bukan ahli keluarga kita. Allah SWT telah menjelaskan golongan yang layak menerima zakat seperti firmanNYA di dalam al-Quran, surah al-Taubah ayat 60:

Maksudnya: “Hanyasanya al-Sodaqaat (zakat) ituadalah untuk orang-orang yang fakir, miskin, amil-amil yang menguruskannya, muallaf yang dijinakkan hatinya, untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan diri, orang-orang yang berhutang, untuk sabilillah, iaitu sebagai satu ketetapan daripada Allah. Dan ingatlah Allah maha mengetahui, lagi maha bijaksana.”

Penjelasan ringkas setiap golongan di atas:

1. Fakir: orang yang tidak ada harta yang cukup untuk memenuhi keperluan makanan, pakaian dan tempat tinggal. Seperti orang yang memerlukan sepuluh ringgit tetapi dia hanya memiliki 3 ringgit sahaja.

2. Miskin: Orang yang hanya memiliki sesuatu untuk keperluan dirinya akan tetapi ianya tidak mencukupi, seperti seorang yang memerlukan 10 ringgit tetapi dia hanya memiliki 8 ringgit sahaja.

3. Amil-Amil yang menguruskannya: iaitulah pegawai-pegawai yang membantu pemerintah mengutip dan mengagihkan zakat.

4. Muallaf yang dijinakkan hatinya: Mereka orang yang baharu memeluk islam yang dijangka dengan memberikan zakat kepada mereka akan menguatkan lagi islam mereka.

5. Hamba-hamba yang hendak memerdekakan diri: iaitu hamba mukatab (المكاتب) yang telah berakad dengan tuan yang memeliki mereka untuk membayar secara ansuran. Dia menjadi merdeka apabila selesai melangsaikan bayaran tersebut. Maka zakat diberi kepada golongan hamba ini apabila mereka tidak mampu menjelaskan ansuran tersebut.

6. Orang-orang yang berhutang: Akan dijelaskan pada jawapan berikutnya.

7. Orang-orang yang berada pada fisabilillah: Akan dijelaskan pada jawapan berikutnya.

8. Ibnu Sabil: Orang yang terputus bekalan dalam musafir yang diharuskan. Inilah 8 golongan yang berhak menerima zakat. Jika saudara termasuk di dalam salah satu golongan di atas maka saudara layak menerima zakat, jika tidak serahkanlah zakat tersebut kepada golongan yang layak. (Sila rujuk al-Fiqh al-Manhaji. Jld 1, ms 320-322)

Wang zakat adalah sedekah wajib 2.5% yang di keluarkan daripada harta kita yang cukup nisab dan tempuh. Wang ini perlu di agihkan kepada 8 asnaf, kita tak akan mampu nak agihkan sendiri kepada 8 asnaf sebagaimana arahan di dalam al-Quran melainkan kita serahkan kepada Pusat Zakat negeri masing-masing. 

Derma di masjid, surau, rumah anak yatim, sekolah agama adalah wang sedekah sunat kita bukan di ambil daripada wang zakat kita. Perlu kita faham betul-betul kerana jika wang zakat tak di berikan kepada tempatnya yang sebenar kita masih terhutang dengan Allah SWT.

817. Soalan : Saya ada satu pertanyaan...sugar alkohol(1g) dalam produk makanan...halal di makan atau dah jatuh hukum haram....?

Jawapan : 

Keputusan Fatwa Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam

Kategori : Makan&Minum
Tajuk : Alkohol Sebagai Penstabil Minuman Ringan

Keputusan : Kordial yang mengandungi bahan citarasa(flavour) yang dimasukkan alkohol untuk tujuan penstabilan adalah harus (boleh) digunakan untuk tujuan minuman sekiranya:

a) Alkohol itu bukan dihasilkan dari proses pembuatan arak.

b) Bahawa kuantiti alkohol dalam citarasa (flavour) itu adalah sedikit iaitu tidak memabukkan.
Oleh : Muzakarah Jawatankuasa Fatwa kali ke-22
Tarikh Keputusan : 24 November 1988.

818. Soalan : Solat yang di tinggalkan semasa zaman muda dulu adakah wajib di qada' ?

Jawapan : 

Hukum qada’ solat.

Solat fardu yang tertinggal wajib diqada. Ulama membahagikan qada solat kepada dua jenis. Yang pertama qada solat bagi mereka yang tertinggal solat dengan keuzuran. Yang kedua qada solat bagi mereka yang tertinggal tanpa keuzuran.

Para ulama fikah dalam mazhab al-Syafieyyah, al-Malikiyyah, al-Hanafiyyah dan al-Hanabilah sepakat mewajibkan bersegera dalam mengqada solat wajib yang tertinggal tanpa keuzuran. Ini kerana meninggalkan solat tanpa keuzuran syarak adalah berdosa. Maka bertaubat daripada dosa dituntut segera.

Dosa yang bertangguh tanpa bertaubat akan mengundang kemurkaan Allah SWT. Selagi tidak qada selagi itulah dosanya dikira. Syarat taubat daripada dosa ini ialah mengqadakan solat yang tertinggal.

Abu Hurairah r.a meriwayatkan satu peristiwa yang bermaksud: Sesungguhnya Rasulullah SAW ketika pulang menunggang unta dari peperangan khaibar telah merasakan mengantuk sangat, sehingga baginda bersabda: “Wahai Bilal kita telah ditimpa malam”, maka Bilal menunaikan solat beberapa rakaat yang terdaya oleh beliau, manakala Rasulullah SAW dan para sahabat terus tidur.

Apabila hampir fajar Bilal menyandarkan badan pada tunggangannya sehingga Bilal tewas dalam mengantuk. Tiada seorang pun dari kalangan sahabat yang terjaga sehinggalah mereka terasa kepanasan matahari. Rasulullah SAW adalah yang terawal bangun lalu baginda terkejut. Lantaran Bilal berkata: “Demi ayahku dan ibuku apa yang berlaku pada diriku jualah yang menimpa dirimu wahai Rasulullah”. Kemudian kesemua sahabat bersiap untuk solat. Rasulullah SAW berwuduk dan menyuruh Bilal iqamat lalu baginda menunaikan solat fajar dengan mengimami para sahabat.

Apabila selesai menunaikan solat baginda bersabda: “Barang siapa yang melupai solat maka hendaklah dia menunaikannya apabila dia teringat. Sesungguhnya Allah berfirman yang bermaksud: “ Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, Sembahlah akan daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati daku.” (Surah Tahaa ayat 14 ), (Hadis Riwayat Ibn Majah, jld:1, hlm: 227).

Persoalannya bolehkah qada solat subuh? Sedangkan selepas subuh adalah waktu haram mendirikan solat. Mungkin ini menjadi asas kepada pandangan segelintir masyarakat yang menyangka tidak boleh melakukan sebarang solat selepas waktu subuh walaupun qada solat.

Dalam beberapa hadis Rasulullah SAW daripada ‘Uqbah bin ‘Amir memberitahu yang bermaksud: Baginda Rasulullah telah menegah kami dari menunaikan solat dan mengkebumikan jenazah pada tiga waktu berikut: ketika terbit matahari sehingga naik tinggi, ketika matahari berada pada ufuk dan ketika terbenamnya matahari. (riwayat Muslim, jld:1, hlm:568, Abu Daud, jld:2, hlm:185,).

Namun, solat yang diharamkan selepas solat fajar ialah solat sunat, adapun solat fardu tidak ditegah dari melakukannya, ini kerana selagi mana matahari tidak terbit selagi itu waktu itu waktu solat subuh. (Nuh ‘Ali Salman, Qadha al-Ibadat, hlm: 260-261).

Para Fuqaha dari kalangan mazhab al-Syafieyyah, al-Malikiyyah dan al-Hanabilah mengharuskan qada solat pada waktu-waktu yang ditegah dalam hadis di atas dan waktu-waktu lain.

Dr. Wahbah al-Zuhailiy menukilkan pandangan para fuqaha dengan menyimpulkan dengan pandangan: “Harus mengqada solat fardu yang tertinggal pada bila-bila masa, sama ada waktu itu ditegah daripada melakukan ibadat ataupun pada waktu biasa, maksudnya qada solat boleh dilakukan bila-bila sahaja.” (Dr. Wahbah al-Zuhailiy, al-Fiqh al-Islamiy, jld:2, hlm: 144). 

Meninggalkan solat fardu atau melengah-lengahkannya tanpa apa-apa uzur hingga terkeluar dari waktunya adalah berdosa besar, dan wajib diqada’kan solat itu.

Para ulama menghukumkan wajib qada’ solat bagi orang yang meninggalkan solat dengan sengaja berdasarkan kepada orang yang ada uzur syar’ie diwajibkan qada’ solatnya oleh Nabi SAW. Apatah lagi orang yang tiada keuzuran syar’ie sudah tentu lebih-lebih lagi wajibnya.

Tetapi dosa itu pula tidak terhapus dengan qada’ semata-mata, mestilah disertakan dengan bertaubat kepada Allah SWT.

Seseorang yang meninggalkan solat fardu pada waktunya kerana sengaja, maka wajiblah dia qada’ solatnya dengan segera.

Solat fardu yang tertinggal kerana uzur seperti tertidur atau terlupa yang bukan kerana kecuaian maka sunat disegerakan qada’nya.

Maksud kecuaian di sini ialah seperti tidur dalam waktu dan lupa yang disebabkan oleh leka dengan perkara-perkara yang tidak dituntut oleh syarak.

Tetapi menurut Habib Abdullah al-Haddad pula,

Orang yang meninggalkan solat tadi diberi kelonggaran untuk mengerjakan qada’ solat fardunya mengikut kemampuan dan kelapangan masanya, tanpa memberatkan dan tanpa pula meringan-ringankan kewajipan qada’ itu sendiri.

Kemudian Syed Abdul Rahman Balawi telah bersetuju dengan pendapat Habib Abdullah al-Haddad, dengan berkata,

Inilah pendapat yang terlebih utama berbanding dengan pendapat para fuqahak yang mewajibkan orang yang meninggalkan solat tadi menggunakan seluruh waktunya untuk qada’ solatnya kecuali waktu untuk menguruskan hajatnya yang wajib.

Cara Qada’ Solat.

Adalah diwajibkan mendahulukan qada’ solat yang ditinggal tanpa uzur daripada solat tunai (solat pada waktu) sekiranya tidak dibimbangi habis waktunya.

Tetapi sekiranya solat qada’ yang ditinggal itu adalah kerana uzur maka hanya sunat sahaja mendahulukan qada’ daripada tunai.

Adalah diwajibkan juga mendahulukan qada’ solat yang ditinggal tanpa uzur daripada solat yang ditinggalkan dengan uzur.

Begitu juga wajib mendahulukan qada’ solat yang ditinggal tanpa uzur daripada solat sunat rawatib tetapi sekiranya solat qada’ yang ditinggalkan itu kerana uzur maka hanya sunat sahaja mendahulukan solat qada’ daripada solat sunat rawatib.

Kemudian lagi disunatkan qada’ solat itu menurut tertib waktu solat seperti diqada’kan Zuhur sebelum Asar, dan begitulah seterusnya.

Malahan tertib itu sunat dipelihara walaupun waktu-waktu qada’ solat itu diselangi atau terputus oleh tempoh masa yang lama.

Walau apa pun, ingatlah – hutang WAJIB dibayar. Wallahu a’lam.

819. Soalan : Bagaimanakah, sekiranya seseorang yang menjadi imam bg sebuah jemaah itu, bermusuhan dengan makmumnya? Adakah sah solatnya bg imam dan makmum yg bermusuhan, kesalahan di pihak siapa?

Jawapan : 

Seorang imam jika dia melakukan perkara syarak tetapi di benci oleh makmumnya maka imam tersebut tak bersalah dan makmum yang membencinya yang berdosa. Tetapi jika imam tersebut di benci oleh makmum atas sebab yang di benarkan syarak maka imam tersebut di benci oleh Nabi SAW : i). Dari Anas B Maalik berkata, “Rasulullah SAW telah mengutuk 3 perlakuan manusia; seorang lelaki yg mengimami suatu kaum sedang mereka membencinya(dari segi syara’),……….”[HR Imam Tirmidzi]
ii). Dari Abu Umamah ra berkata, “Bersabda Rasulullah SAW, “3 mcm orang yg sembahyangnya tiada melampaui batas telinganya; ……………………….dan imam yang mengimami kaum yg benci kpdnya.””[HR Tirmidzi dan beliau mengatakan hadis ini hasan gharib]

Imam Syafi’I dalam al-Umm berkata bahawa solat dalam keadaan seperti di atas tetap sah. Segolongan ilmuwan memakruhkan seseorang menjadi imam ketika dibenci oleh orang ramai sekiranya benci itu sesuatu yg dibenarkan oleh syara’ seperti zalim atau sangat jahat. Sekiranya benci itu tidak bersebab, maka orang yang membenci imam tersebut mendapat dosa. Imam Ahmad dan Ishaq berkata sekiranya imam itu hanya dibnci oleh 2/ 3 org sahaja, maka harus hukumnya. Wallahu a'lam.

820. Soalan : Ustaz.ada orang berhutang dgn kita..masih hidup lg.tetapi org tu lupe nk byr hutang kita.bolehkah kita niat halalkn atau kita patut tntut hutang itu.setengah pndapat kene tuntut sb org tu masih hidup lagi.

Jawapan : 

Jika saudara nak tuntut hutang tersebut di haruskan kerana itu hak saudara, jika orang yang berhutang terlupa boleh ingatkan beliau jika ada surat perjanjian lebih baik kerana boleh tunjukkan saja surat tersebut. untuk menginagtkan oarng tersebut. Si berhutang wajib melangsaikan hutang tersebut untuk selamatkan dirinya daripada di tuntut di akhirat. Untuk orang yang memberi hutang jika dia halalkan maka itu adalah saham akhirat yang besar untuknya, dalam satu hadis menyatakan boleh mendapat perlindungan Arasy d Padang Mahsyar nanti. Untuk pemberi hutang pula jika orang yang berhutang dengannya tidak berkemampun untuk membayarnya maka berilah tempuh yang sewajarnya atau jika boleh halalkan saja itu lebih baik kerana ada hadis di riwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah SAW. bersabda yang maksudnya : "Sesiapa yang menangguhkan hutang orang yang belum dapat membayarnya atau membebaskannya, pada hari kiamat kelak Allah SWT. akan menaunginya di bawah naungan Arasy, di mana pada hari tersebut tidak ada naungan kecuali naungan-Nya." (Hadis Riwayat Tirmizi).

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi SAW pernah bersabda maksudnya : "Sesungguhnya Allah SWT akan merahmati seorang yang lapang dadanya ketika menjual,membeli dan menagih hutang" (Hadis Riwayat Bukhari dari Jabir r.a.)

Huraiannya :

Sifat orang mukmin yang akan mendapat rahmat Allah SWT apabila dia berlapang dada semasa dia berniaga menjual barang kepada pelanggannya. Tidak menipu timbangan dan jelas akad jual beli tidak ada unsur-unsur menipu pelanggannya. Begitu juga ketika dia membeli tidak cerewet dan mudah dan mesra semasa membeli jika dia meminta potongan harga adalah dengan harga yang berpatutan tidak menyakitkan hati penjual. Begitu juga sifat mukmin yang terpuji sentiasa berlapang dada semasa menuntut hutangnya dan masih memberi ruang masa jika orang yang berhutang masih belum mampu. Dia tidak akan mengeluarkan kata-kata kesat kepada orang yang berhutang dan sentiasa menjaga ukhwah dan silaturahim.

Terdapat katu kisah dizaman Bani Israel seorang lelaki yang kurang amal ibadahnya ketika di dunia tetapi cukup berlapang dada semasa menuntut hutangnya apabila ditanya oleh Allah SWT di hari akhirat tentang amalan kebaikannya. Beliau menjawab semasa menuntut hutang dia berlapang dada dan tidak membebankan orang yang berhutang, maka Allah SWT mengampunkan dosa-dosanya dan dia dimasukkan kedalam syurga dengan rahmat Allah SWT.

No comments:

Post a Comment