Wednesday, October 15, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 168 (Wang Tak Patuh Syariah, Daging Korban Cara Agihan, Hukum Janin Lembu Semasa Korban, Penyakit Nyanyuk Cara Mengubatinya Dan Ayat al-Quran Allah Berikan Petunjuk..)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 168 adalah menjelaskan persoalan wang tak patuh syariah, daging korban cara agihan, hukum janin lembu semasa korban, penyakit nyanyuk cara mengubatinya dan ayat al-Quran Allah berikan petunjuk..

796. Soalan : Bagaimana cara nak menghapuskan wang haram ? ..Boleh ke kita memberi wang haram kepada adik beradik dgn niat ingin bersedekah ?

Jawapan :

Kaedah Pelupusan Wang Tidak Patuh Syariah

Imam Al-Nawawi

Imam Al-Nawawi di dalam kaedah penyelesaian harta haram telah menukilkan pandangan al-Ghazali yang menyatakan jika seseorang lelaki itu memiliki harta haram dan hendak bertaubat serta melepaskan tanggungan daripada harta haram tersebut, maka harta tersebut mestilah diserahkan kepada pemiliknya atau wakil pemilik tersebut. Sekiranya pemilik tersebut telah meninggal dunia, berkewajipan untuk menyerahkan kepada ahli warisnya. Sekiranya pemilik harta tersebut tidak dapat dikenal pasti, maka harta tersebut mestilah diserahkan (dibelanjakan) untuk tujuan maslahah umum seperti membiayai pembinaan jambatan, jalan raya dan seumpamanya. 

Syeikh Atiyyah Saqar

Manakala Syeikh Atiyyah Saqar, mantan Ketua Lajnah Fatwa Al-Azhar telah menyatakan kaedah melupuskan harta haram ketika bertaubat adalah mengikut kaedah berikut:
1. Memulangkan kembali harta itu kepada si pemilik asal atau waris pemilik apabila diketahui pemilik harta tersebut; dan

2. Apabila tidak diketahui pemilik asal harta tersebut, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada fakir miskin bagi memisahkan dirinya daripada harta haram yang diperolehinya. Penyerahan harta tersebut kepada fakir miskin bukanlah untuk mendapatkan pahala daripada serahan tersebut.

Hal di atas bersandarkan kepada hadis Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: “Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah S.A.W. telah bersabda: Barangsiapa yang menzalimi kehormatan atau apa sahaja harta saudaranya hendaklah ia meminta halal daripadanya pada hari ini sehingga jangan berbaki satu dinar atau dirham. Jika tidak, sekiranya dia mempunyai amal soleh, maka akan diambil amal solehnya dengan kadar kezaliman yang dilakukannya, dan kiranya tiada lagi kebaikan, maka akan dipertanggungjawabkan kejahatan orang yang dizaliminya itu pula.”
(Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Dalam sebuah hadis lain yang bermaksud: “Daripada Samurah katanya, Nabi S.A.W. bersabda: Kewajipan di atas tangan (mencuri) apa-apa yang diambilnya sehinggalah ia memulangkannya.” 
(Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi

Berkenaan dengan kedudukan wang-wang faedah yang diperolehi secara haram, Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi dalam kitabnya Fatawa Mu’asirah telah memutuskan wang-wang faedah yang diperolehi secara haram adalah haram secara yakin untuk ditinggalkan begitu sahaja di bank-bank konvensional. 

Menurut beliau, ia seolah-olah seperti menolong bank-bank konvensional yang akan turut menggunakan wang-wang faedah yang ditinggalkan itu untuk tujuan yang bertentangan dengan hukum syarak.

Beliau menegaskan, tidak harus seseorang menggunakannya (wang faedah) tersebut kerana tindakan menggunakan wang tersebut adalah termasuk di dalam kategori memakan harta yang diperolehi melalui jalan kezaliman. Tidak boleh dimanfaatkan melalui jalan makanan, minuman, tempat tinggal, membayar cukai dan sebagainya. 

Para Fuqaha’ kontemporari juga sependapat dengan beliau yang mana perbuatan yang menyalahi hukum syarak iaitu melarang tindakan idha’ah al-mal iaitu mensia-siakan harta tanpa dimanfaatkan oleh sesiapa. 

Menurut Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi juga, sesuatu yang haram itu tidak boleh dimiliki sebaliknya ia menjadi milik maslahah umum seperti dibelanjakan kepada perkara-perkara kebajikan seperti membantu anak-anak yatim, perkembangan dakwah Islam, pembinaan masjid dan pusat Islam, penyediaan para pendakwah, penerbitan kitab-kitab agama dan seumpamanya yang bersifat kebajikan. 

Kaedah Fiqh

Timbul persoalan sekiranya wang yang halal dan wang yang haram bercampur aduk dan tidak dapat dibezakan, contohnya wang simpanan yang halal di dalam bank bercampur dengan wang faedah yang haram dalam akaun yang sama, bagaimanakah ianya dapat dijernihkan?

Dalam kaedah fiqh, terdapat satu kaedah yang berkaitan iaitu: “apabila berkumpul perkara yang halal dengan perkara yang haram, maka dimenangkan (dikira) yang haram.”

Menurut kaedah di atas, apabila perkara yang halal dan yang haram bercampur aduk dalam sesuatu perkara itu, maka ia dianggap sebagai haram.

Dalam konteks ini, apa yang jelas adalah sesuatu yang halal tersebut (wang pokok) boleh digunakan manakala yang haram itu (faedah) hendaklah dilupuskan dengan menyerahkannya kepada pihak Baitulmal bagi tujuan maslahah umum. 

Namun sekiranya nilai yang halal dan haram itu tidak dapat dipastikan, maka kaedah berijtihad nilai (al-ihtiyath) boleh digunakan bagi menentukan pembahagian yang betul antara kedua-duanya. 


Dengan cara ini, perkara yang halal dapat diasingkan daripada perkara yang haram dan masih dapat dimanfaatkan walaupun telah berlaku campur aduk antara kedua-duanya.

797. Soalan : Ustaz saya nak tanya tentang pembahagian daging korban boleh ke daging yang saya korbankan dibahagi kepada orang yang jauh ada yang cakap kena dibagi kepada jiran yang terdekat dulu...minta penjelasan ya ustaz.

Jawapan : 

Cara pengagihan daging korban tertakluk kepada status korban. Jika korban itu adalah korban wajib (yakni korban nazar), tidak harus orang yang melakukan korban dan juga keluarganya (yakni orang-orang yang berada di bawah tanggungan nafkahnya) untuk makan sedikitpun dari binatang yang dikorbannya. Wajib ia mensedekahkan ke semuanya kepada fakir miskin.[Al-Kifayah Li Zawil-‘Inayah, hlm. 87]. 

Kalau ia telah memakannya, wajib ia membayar ganti dengan harga daging yang dimakannya atau dengan daging seumpamanya. Tidak dituntut ia menyembelih lagi binatang korban kerana ia telahpun melakukannya.[Kifayarul-Akhyar, hlm. 533. al-Muhazzab, jil. 2, hlm. 838. al-Fiqh al-Manhaji, juz. 1, hlm. 236.0

Jika korban itu adalah korban sunat, maka harus ia dan ahli keluarganya untuk makan sebanyak mana yang ia kehendaki dengan syarat sebahagian darinya hendaklah disedekahkan kepada fakir miskin. Mensedekahkan daging korban kepada faqir atau miskin dari kalangan muslimin adalah wajib sekalipun sedikit iaitu dengan kadar paling minima yang dapat dinamakan sedekah. Dan disyaratkan daging yang disedekahkan itu hendaklah dalam keadaan mentah dimana orang faqir dan miskin yang memperolehinya dapat menggunakannya mengikut kehendaknya sama ada menjualnya, memakannya atau sebagainya. Tidak memadai sekiranya disedekahkan dalam keadaan daging yang sudah dimasak atau pemilik korban memasak daging korban dan menjemput orang faqir atau miskin makan dirumahnya. Begitu juga tidak memadai sekiranya disedekahkan bahagian yang bukan daging seperti kulit, perut, limpa dan sebagainya.[Al-Iqna’, jil. 2, hlm. 824.]

Disunatkan pengagihan daging binatang korban merangkumi tiga bahagian; [Al-Muhazzab (lihat dalam kitab al-Majmu’, jil. 8, hlm. 306). Fiqh Sunnah, jil. 1, hlm. 39.]

1. Satu bahagian untuk dimakan oleh dirinya dan ahli keluarganya

2. Satu bahagian disedekahkan kepada fakir miskin

3. Satu bahagian dijadikan sebagai hadiah kepada rakan-rakan, para jiran atau sebagainya sekalipun mereka kaya. [Perbezaan antara sedekah dan memberi hadiah ialah; niat memberi hadiah ialah untuk memuliakan (الإكرام). Adapun sedekah niatnya adalah untuk mendapat pahala.]

Jika kita ada saudara mara yang jauh memerlukan daging korban itu di haruskan memberikannya.

798.Soalan : Ustaz..saya nak tanya.kalau kita sembelih lembu untuk korban.belah pnye belah perut lembu ada  anak lembu.apakah hukum memakannya ustaz? dosa ker? Kasihan pada  anak lembu.mohon ustaz jelaskan.

Jawapan : 

Bagaimana dengan janin binatang ternak yang hidup ketika dikeluarkan dari perut induknya yang disembelih, para ulama sepakat, penyembelihan tersebut ditujukan untuk induknya bukan untuk janin. Kerananya, jika ingin memakan janin tersebut maka harus dilakukan penyembelihan terhadap janin.

Jika tidak disembelih lalu janin itu mati, ia adalah bangkai yang haram untuk di makan. Sesuai firman Allah SWT, “Diharamkan bagimu (memakan) bangkai, darah, daging babi, (daging hewan) yang disembelih atas nama selain Allah.” (Surah al-Maidah [5] ayat 3). 

Sedangkan, jika janin binatang ternak itu mati ketika dikeluarkan dari perut induknya yang disembelih, ada perbedaan pendapat di kalangan ulama tentang kehalalannya untuk di makan. Imam Abu Hanifah berpendapat, janin itu tidak boleh dimakan kecuali jika ia keluar dalam keadaan hidup kemudian disembelih secara syar’i. 

Imam Malik berpendapat, jika janin binatang ternak itu sudah berwujud dan sudah tumbuh bulunya maka boleh dimakan, sedangkan jika belum berwujud maka tidak boleh dimakan. Jumhur ulama, seperti Imam Syafii, Imam Ahmad, Abu Yusuf, dan Muhammad dari kalangan ulama Mazhab Hanafi berpendapat, jika janin itu keluar dari perut induknya yang disembelih secara syar’i dalam keadaan mati maka boleh dimakan kerana penyembelihan terhadap induknya itu juga merupakan penyembelihan terhadap janin tersebut. 

Hal itu sesuai dengan hadis Nabi Muhammad SAW. Dari Abu Sa’id al-Khudri ia berkata, “Saya bertanya kepada Rasulullah SAW tentang janin (binatang ternak), beliau menjawab: Makanlah jika kalian mau.” Dalam riwayat lain, Musaddad meriwayatkan bahwa Abu Sa’id berkata, “Ya Rasulullah! Kami menyembelih unta, sapi, dan kambing, lalu kami menemukan janin di dalam perutnya. Apakah janin itu kami buang atau kami makan? Rasulullah SAW menjawab: Jika kalian mau, makanlah kerana penyembelihan ibunya juga penyembelihan untuk janin tersebut.” (HR Abu Daud, Tirmizi, Ibnu Majah, Ahmad, Daruquthni, dan Baihaqi).

Oleh kerananya, dibolehkan memakan janin binatang ternak yang keluar dalam keadaan mati dari perut induknya yang disembelih secara syar’i. Sebab, penyembelihan untuk induknya juga merupakan penyembelihan untuk janin tersebut. Sedangkan, jika janin itu keluar dalam keadaan hidup maka harus disembelih juga secara syar’i agar boleh dimakan, jika tidak, lalu mati maka ia adalah bangkai yang haram untuk dimakan.

Jika sebelum sembelih lembu tersebut tak tahu bahawa lembu tersebut sedang mengandung maka tak berdosa, perkara yang tak di sengajakan.

Wallahu a'lam

799. Soalan : Bagaimana cara kita boleh mengelakkan menjadi cepat nyanyuk?

Jawapan : 

Penyakit nyanyuk adalah penyakit warga emas yang sudah sampi usia lanjut. Menurut Pakar Runding Dalam Kesihatan Warga Emas (Geriatriks) Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Dr. Soraya Kunamayagam, terdapat banyak perbezaan di antara pelupa dan nyanyuk.

“Pelupa lebih banyak dikaitkan dengan orang muda yang mungkin berlaku kerana stres atau diet dan gaya hidup yang tidak sihat,” katanya.
Terdapat juga kes seakan-akan nyanyuk atau disebut psedo dementia.

“Mereka ini sering terlupa melakukan perkara ringkas seperti berus gigi, mandi atau makan,” katanya. Kes itu juga berkaitan dengan mereka yang stres, berhenti kerja awal, kehilangan atau kematian orang yang amat disayangi.

“Bagi kes begini, rawatan menjurus kepada merawat stres yang dihadapi,” katanya.
Dalam kes nyanyuk pula, bukan semua warga emas boleh dilabelkan sebagai nyanyuk.
“Biasanya apabila usia meningkat, banyak perubahan berlaku misalnya lupa di mana meletakkan barang. Itu adalah perkara biasa dalam kehidupan seharian,” katanya.

Pelupa berlaku dalam tempoh yang singkat manakala dementia pula secara berterusan dan jika tidak dipantau akan mengganggu kehidupan ahli keluarga yang lain.
Penghidap dementia biasanya hilang ingatan secara perlahan, sukar bertutur atau menulis perkataan yang mudah serta sukar mengenal persekitaran.

Menurut Dr. Soraya, nyanyuk boleh disebabkan oleh beberapa punca seperti :

1. Penyakit Alzheimer

2. Dementia vaskular

3. Dementia dengan ‘lewy bodies’

4. Dementia berkaitan dengan Parkinsons

5. Dementia frontotemporal yang sering berlaku kepada wanita.

6. Punca lain seperti peminum arak tegar dan kecederaan otak yang kerap.
Setiap bentuk dementia mempunyai faktor risiko sendiri tetapi kebanyakannya mempunyai faktor risiko yang sama seperti;

1. Usia adalah faktor risiko paling besar. Biasanya nyanyuk berlaku pada usia lebih 60 tahun.

2. Sejarah keluarga yang mempunyai penyakit Alzheimer meningkatkan peluang mendapat dementia.

Ibu bapa atau adik-beradik yang mempunyai Alzheimer memberikan peluang 10 hingga 30 peratus.

Risiko semakin tinggi jika terdapat ahli keluarga yang menderita dementia pada usia kurang 70 tahun.

3. Faktor risiko lain termasuk merokok, kencing manis, tekanan darah tinggi dan diabetes.

4. Gaya hidup juga memainkan peranan penting. Mereka yang mempunyai kehidupan sosial dan mental yang aktif kurang menderita dementia.

Oleh kerana penghidap dementia sering terlupa melakukan perkara yang biasa, mereka perlu mendapat bantuan keluarga.

Jadi mereka dilarang melakukan perkara seperti :

1. Memandu kenderaan kerana risiko kemalangan lebih tinggi terutama apabila penyakit bertambah teruk.

2. Memasak memerlukan pemantauan kerana boleh membawa kepada kemalangan seperti kebakaran.

3. Berjalan sendirian kerana bimbang akan sesat

4. Cenderung untuk jatuh kerana kurang keseimbangan dan kesedaran.

Biasanya pesakit yang datang ke hospital perlu melakukan ujian bagi memastikan mereka menghidap dementia seperti

1. Ujian memori.

2. Ujian darah kerana dementia berkaitan dengan tidak cukup garam, tiroid yang kurang aktif, kurang vitamin B12 atau kandungan kalsium yang tinggi

3. Imbasan kepala bagi pesakit tumor atau strok.

Dr. Soraya berkata, pesakit dementia biasanya menunjukkan tanda-tanda awal seperti :

1. Sukar melakukan kerja-kerja ringkas yang biasa dilakukan di rumah seperti memasak.

2. Sukar bertutur dengan betul.

3. Lupa melakukan perkara yang biasa dilakukan seperti tidak tahu jalan pulang ke rumah.

Manakala tanda-tanda lewat pula seperti :

1. Tidak boleh mengawal pembuangan air kecil dan besar.

2. Tidak boleh tidur malam tetapi tidur menjelang pagi

3. Halusinasi.

4. Perasaan marah melampau.

5. Murung.

Biasanya Dr. Soraya berkata, pesakit akan dirawat menggunakan beberapa ubatan seperti aricept, exelon dan raminyl.

“Bagaimanapun ubatan yang diberikan hanya untuk mengawal dan melambatkan proses dementia atau nyanyuk,” katanya.Menurut Dr. Soraya selain mengambil ubat, sokongan ahli keluarga juga memainkan peranan penting bagi menangani pesakit yang menderita dementia.

Dalam Islam apakah cara-cara yang boleh mengelakan seseorang cepat menjadi nyanyuk (hilang akal kembali seperti zaman kanak-kanan) : 

1. Sentiasa solat malam 

2. Banyak beristighfar , berselawat dan berzikir. 

3. Sentiasa memakan makanan sunah ( madu, habatussauda, buah delima, buah tamar, buah tin, zaffran, air zam-zam. 

4. Sentiasa membaca al-Quran dan menuntut ilmu dan menyampaikan ilmu. 

5. Hati sentiasa bersih daripada hasad dengki, iri hati, buruk sangka dan negatf. 6. Banyak bersedekah dan infak di jalan Allah SWT. Jika kalian memiliki 6 ciri di atas insya Allah kalian sentiasa kuat ingatan dan tidak mudah lupa dan nyanyuk.

800. Soalan : Ustaz,sya ada kemuskilan mengenai ayat al quran yg bermaksud..barang siapa yg Allah kehendaki Allah akan bg petunjuk..nescaya Dia mlpgkn dadanya..dn brg siapa yg Allah sesatkan..nescaya dia akn sesak lg sempit..kat sini sya ingin pndpt ustaz,knp Allah swt,tdk mmberi kpd semua hamba2 Nya petunjuk.

Jawapan : 

Allah Subhanahu waTa’ala dengan segala ilmu, kekuasaan, hikmah dan rahsia memberi hidayah (taufiq) kepada hamba-hamba-Nya yang terpilih dan menyesatkan sesiapa di kalangan hamba-hamba-Nya yang terpilih (kerana keingkaran mereka sendiri). Allah menyatakan hakikat ini:
Firman Allah SWT : 

فَيُضِلُّ اللَّهُ مَنْ يَشَاءُ وَيَهْدِي مَنْ يَشَاءُ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ.

Maksudnya, "Maka Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya, juga memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan Dialah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. [Surah Ibrahim (14) ayat 4]

Firman-Nya lagi :

وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ لَجَعَلَكُمْ أُمَّةً وَاحِدَةً وَلَكِنْ يُضِلُّ مَنْ يَشَاءُ وَيَهْدِي مَنْ يَشَاءُ

وَلَتُسْأَلُنَّ عَمَّا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ.

Maksudnya, "Dan jika Allah menghendaki, tentulah Dia menjadikan kamu satu umat; akan tetapi Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya dan memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan sesungguhnya kamu akan ditanya kelak tentang apa yang kamu telah kerjakan. [Surah al-Nahl (16) ayat 93]

Firman Allah SWT :

فَإِنَّ اللَّهَ يُضِلُّ مَنْ يَشَاءُ وَيَهْدِي مَنْ يَشَاءُ فَلاَ تَذْهَبْ نَفْسُكَ عَلَيْهِمْ حَسَرَاتٍ

إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ بِمَا يَصْنَعُونَ.

Maksudnya, "Sesungguhnya Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Dia juga memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Oleh itu janganlah engkau membinasakan dirimu kerana menanggung dukacita terhadap kesesatan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka kerjakan. [Surah Fatir (35) ayat 8]

Hurainnya :

Hidup ini adalah ujian bagi sebahagian yang lain. Ini kerana dengan kesesatan itu dapat dinilai sikap manusia apakah mereka mendiamkannya, mengikutinya atau berusaha untuk membetulkannya.

Sebagai contoh, Allah Subhanahu Wa Ta’ala sengaja menjadikan bagi umat Islam musuh-musuh yang memerangi mereka. Padahal Allah mampu menjadikan umat Islam tidak memiliki musuh langsung atau Allah sendiri yang membinasakan musuh-musuh tersebut. Akan tetapi sengaja Allah biarkan agar ia menjadi ujian kepada umat Islam:

ذَلِكَ وَلَوْ يَشَاءُ اللَّهُ لاَنْتَصَرَ مِنْهُمْ وَلَكِنْ لِيَبْلُوَ بَعْضَكُمْ بِبَعْضٍ

وَالَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَلَنْ يُضِلَّ أَعْمَالَهُمْ. سَيَهْدِيهِمْ وَيُصْلِحُ بَالَهُمْ.

وَيُدْخِلُهُمُ الْجَنَّةَ عَرَّفَهَا لَهُمْ. يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ تَنْصُرُوا اللَّهَ يَنْصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ.

Demikianlah, dan sekiranya Allah menghendaki tentulah Dia membinasakan mereka (dengan tidak payah kamu memeranginya); tetapi Dia hendak menguji sebahagian kamu dengan sebahagian yang lain. Dan orang-orang yang telah berjuang serta gugur syahid pada jalan Allah (mempertahankan agamanya), maka Allah tidak sekali-kali akan mensia-siakan amal-amal mereka.

Allah akan memberi hidayah (pimpinan) kepada mereka yang berjuang dan memperbaiki keadaan mereka serta memasukkan mereka ke dalam syurga yang telah dijanjikan dan diterangkan sifat-sifatnya kepada mereka. Firman Allah SWT maksudnya, "Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu."[ Surah Muhammad (47) ayat 4-7]

Perhatikan, Allah Subhanahu waTa’ala boleh membinasakan musuh-musuh Islam dan ini tentu mudah bagi Allah. Akan tetapi sengaja Allah membiarkan musuh-musuh tersebut agar dapat diuji siapakah di kalangan umat Islam yang akan ke hadapan memerangi mereka. Dengan adanya musuh-musuh itu, umat Islam berpeluang untuk meraih pembelaan, peneguhan, hidayah, islah, mati syahid dan syurga. Bayangkan musuh-musuh itu Allah sendiri yang binasakan, maka umat Islam tidak berpeluang meraih apa-apa kehebatan.

Demikianlah juga, sebahagian dari manusia telah sesat lagi menyeru kepada kesesatan. Ini adalah sebagai ujian kepada umat Islam siapakah di antara mereka yang berlepas tangan, siapakah yang memilih ke arah jalan yang sesat itu dan siapakah yang berusaha untuk membasmikan kesesatan yang diseru serta memperingatkan orang lain dari kesesatan itu.

Adapun persoalan ini terpulang kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana Dialah Rabb yang Maha Adil. Orang yang sesat, mungkin Allah SWT telah memberi peluang untuk mereka beriman tetapi mereka enggan nak beriman atau mungkin saja Allah berikan hidayah pada kemudian hari sehingga dia kembali ke jalan yang benar. Bukankah hati manusia ini berada di antara jari-jari Allah, sebagaimana yang dijelaskan oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam:

إِنَّ قُلُوبَ بَنِي آدَمَ كُلَّهَا بَيْنَ إِصْبَعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ الرَّحْمَنِ كَقَلْبٍ وَاحِدٍ يُصَرِّفُهُ حَيْثُ يَشَاءُ.

ثُمَّ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: اللَّهُمَّ مُصَرِّفَ الْقُلُوبِ صَرِّفْ قُلُوبَنَا عَلَى طَاعَتِكَ.

“Sesungguhnya hati-hati semua manusia terletak di antara dua jari di antara jari-jemari al-Rahman (Allah) sebagai satu hati. Allah memalingkannya ke arah mana yang Dia kehendaki.” Kemudian Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam berdoa: “Wahai Allah yang memalingkan hati, palingkanlah hati kami ke arah mentaati Engkau.”[Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 4798 (Kitab al-Qadar, Bab Allah memalingkan hati sebagaimana yang dikehendaki-Nya)]. Allah Subhanahu waTa’ala dengan segala ilmu, kekuasaan, hikmah dan rahsia memberi hidayah (taufiq) kepada hamba-hamba-Nya yang terpilih . Allah SWT bersifat Maha Adil dan Tidak Menzalimi hamba-hamba-Nya.

Allah berfirman: “Azab-Ku akan Aku timpakan kepada sesiapa yang Aku kehendaki dan rahmat-Ku meliputi tiap-tiap sesuatu.” [Surah al-A’raaf (7) ayat 156]

يُدْخِلُ مَنْ يَشَاءُ فِي رَحْمَتِهِ وَالظَّالِمِينَ أَعَدَّ لَهُمْ عَذَابًا أَلِيمًا.

Dia memasukkan sesiapa yang dikehendaki-Nya ke dalam rahmat-Nya dan orang-orang yang zalim, Dia menyediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya. [Surah al-Insan (76) ayat 31]

Oleh itu jangan berlaku zalim dengan menuduh Allah tidak adil, kekuasaan dan keadilan Allah Subhanahu waTa’ala berada jauh dari jangkauan kita.

Kedua:

Jika orang yang memilih hidayah maka Allah tambahi hidayah kepadanya, maka sesiapa yang memilih kesesatan maka Allah tambahi kesesatan kepadanya. Mari kita kaji beberapa firman Allah berkenaan kesesatan kategori kedua ini. Terhadap orang yang memilih untuk meletakkan sifat munafik dalam hati mereka, Allah tambahkan lagi penyakit itu dalam hati mereka:

وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَقُولُ آمَنَّا بِاللَّهِ وَبِالْيَوْمِ الآخِرِ وَمَا هُمْ بِمُؤْمِنِينَ.

يُخَادِعُونَ اللَّهَ وَالَّذِينَ آمَنُوا وَمَا يَخْدَعُونَ إِلاَّ أَنْفُسَهُمْ وَمَا يَشْعُرُونَ.

فِي قُلُوبِهِمْ مَرَضٌ فَزَادَهُمُ اللَّهُ مَرَضًا وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ بِمَا كَانُوا يَكْذِبُونَ.

Dan di antara manusia (yang munafik) ada yang berkata: “Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat”; padahal mereka sebenarnya tidak beriman. Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya memperdaya dirinya sendiri sedangkan mereka tidak menyedarinya. Dalam hati mereka terdapat penyakit maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran). [Surah al-Baqarah (2) ayat 8-10]

Terhadap orang yang memilih untuk tidak beriman kepada Hari Akhirat, Allah menghalang mereka daripada memahami al-Qur’an:

وَإِذَا قَرَأْتَ الْقُرْآنَ جَعَلْنَا بَيْنَكَ وَبَيْنَ الَّذِينَ لاَ يُؤْمِنُونَ بِالآخِرَةِ حِجَابًا مَسْتُورًا.

وَجَعَلْنَا عَلَى قُلُوبِهِمْ أَكِنَّةً أَنْ يَفْقَهُوهُ وَفِي آذَانِهِمْ وَقْرًا وَإِذَا ذَكَرْتَ رَبَّكَ فِي الْقُرْآنِ

وَحْدَهُ وَلَّوْا عَلَى أَدْبَارِهِمْ نُفُورًا.

Maksudnya, "Dan apabila engkau membaca Al-Quran, Kami jadikan di antara kamu dan orang-orang yang tidak beriman kepada Hari Akhirat dinding yang tidak dapat dilihat dan Kami jadikan tutupan yang berlapis-lapis atas hati mereka juga penyumbat pada telinga mereka yang menghalang mereka dari memahami dan mendengar kebenaran Al-Quran dan sebab itulah apabila engkau menyebut nama Tuhanmu sahaja di dalam Al-Quran, mereka berpaling undur melarikan diri. [Surah al-Isra’ (17) ayat 45-46]

Terhadap orang yang memilih untuk berpaling dari ayat-ayat al-Qur’an sesudah dia diberi peringatan dengannya, maka Allah jadikan tutupan di atas hati dan telinga mereka:

وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنْ ذُكِّرَ بِآيَاتِ رَبِّهِ فَأَعْرَضَ عَنْهَا وَنَسِيَ مَا قَدَّمَتْ يَدَاهُ

إِنَّا جَعَلْنَا عَلَى قُلُوبِهِمْ أَكِنَّةً أَنْ يَفْقَهُوهُ وَفِي آذَانِهِمْ وَقْرًا وَإِنْ تَدْعُهُمْ إِلَى الْهُدَى

فَلَنْ يَهْتَدُوا إِذًا أَبَدًا.

Maksudnya, "Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya, lalu dia berpaling daripadanya dan lupa akan apa yang telah dilakukan oleh kedua tangannya; sesungguhnya (disebabkan sikap mereka itu) Kami jadikan tutupan berlapis-lapis atas hati mereka, menghalang mereka daripada memahaminya dan (Kami jadikan) pada telinga mereka penyumbat (yang menyebabkan mereka pekak) dan jika engkau menyeru mereka kepada hidayah, maka dengan keadaan yang demikian, mereka tidak sekali-kali akan beroleh hidayah selama-lamanya. [Surah al-Kahf (18) ayat 57]

Sekali lagi, terhadap orang yang mengabaikan ayat-ayat al-Qur’an, Allah menjadikan baginya syaitan sebagai pendamping yang menyesatkannya sementara dia sangka dia masih di atas hidayah:

وَمَنْ يَعْشُ عَنْ ذِكْرِ الرَّحْمَنِ نُقَيِّضْ لَهُ شَيْطَانًا فَهُوَ لَهُ قَرِينٌ.

وَإِنَّهُمْ لَيَصُدُّونَهُمْ عَنِ السَّبِيلِ وَيَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ مُهْتَدُونَ.

Maksudnya, " Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran) Yang Maha Pemurah (Allah), Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya. Dan sesungguhnya Syaitan-syaitan itu tetap menghalangi mereka dari jalan yang benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka orang-orang yang mendapat hidayah. [Surah al-Zukhruf (43) ayat 36-37]

Terhadap orang yang berpaling dari kebenaran, dari al-Qur’an dan al-Sunnah:

فَلَمَّا زَاغُوا أَزَاغَ اللَّهُ قُلُوبَهُمْ وَاللَّهُ لاَ يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ.

Maka ketika mereka berpaling (dari kebenaran), Allah palingkan hati mereka (dari mendapat hidayah) dan sememangnya Allah tidak memberi hidayah kepada kaum yang fasik. [Surah al-Saff (61) ayat 5]

Demikian lima contoh dari sekian banyak yang terdapat di dalam al-Qur’an. Semuanya menerangkan bahawa sesiapa yang memilih kesesatan atau apa yang seumpama dengan kesesatan, maka Allah akan tambah kesesatan ke atasnya atau menjadikannya bertambah sesat.


Di sini terdapat beberapa poin penting untuk ditambah:

1. Orang yang sesat, dia tidak boleh beralasan bahawa kesesatan itu ialah qada' dan qadar Allah. Ini kerana kesesatan ialah kehendak al-Kauniyyah Allah yang dibenci-Nya. Seseorang itu tidak dituntut untuk meredhainya, tetapi dituntut untuk mengubahnya. Andai dia berubah untuk memilih hidayah, maka Allah akan menambah-nambah hidayah kepadanya. Rujuk semula soalan “Bolehkah kerja mungkar disandarkan kepada taqdir Allah?”

2. Kita tidak boleh mengubah kesesatan kepada hidayah. Namun kita boleh mengajak orang yang sesat untuk memilih hidayah. Moga dengan pilihan itu Allah akan menambah-nambah hidayah-Nya kepada orang itu. Sambil itu kita berdoa kepada Allah: “Wahai Allah yang memalingkan hati, palingkanlah hati kami ke arah mentaati Engkau.”[Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 4798 (Kitab al-Qadar, Bab Allah memalingkan hati sebagaimana yang dikehendaki-Nya).]

3. Kita tidak dituntut untuk mengetahu apa sebab mereka sesat tetapi kita di suruh dan dituntut ke atas kita menjalankan kerja amar ma’aruf (menerangkan yang hak) dan nahi mungkar (membasmikan kesesatan).

4. Jangan sedih atau putus asa dengan jumlah orang yang sesat lagi menyeru kepada kesesatan. Allah berfirman, maksudnya: Oleh itu janganlah engkau membinasakan dirimu kerana menanggung dukacita terhadap kesesatan mereka. [Surah Fatir (35) ayat 8] Sebaliknya jadikan ia sumber motivasi kerana kesesatan itu membuka banyak peluang dakwah bagi kita meraih ganjaran daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

5. Allah SWT telah memberikan akal fikiran manusia untuk berfikir, Allah SWT telah mengutus Rasulullah SAW untuk berdakwah dan mengajak kebenaran , maka manusia boleh memilihnya, hendak yang hak (kebenaran) atau yang batil (kesesatan). Jika manusia sudah memilih kesesatan mereka tak boleh salahkan Allah SWT di atas pilihan mereka. Firman Allah SWT maksudnya,"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum (bangsa) melainkan kaun itu sendiri mengubah nasibnya"(Surah Ar-Ra'd ayat 11)

6. Qada' dan qadar boleh berubah dengan doa manusia kepada Allah SWT : Sayyidina Umar Al-Khattab r.a pada suatu ketika, telah melafazkan do'a-do'a ini ketika bertawaf: “Ya Allah, jika Engkau telah mentakdirkan aku tergolong di dalam golongan orang-orang yang bahagia, tetaplah aku di dalam keadaan aku. Sebaliknya jika Engkau telah tetapkan aku di dalam golongan orang-orang yang celaka dan berdosa, hapuskanlah takdir itu dan masukkanlah aku ke dalam golongan orang-orang yang mendapat kebahagiaan dan keampunan.”

Di dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda yang bermaksud :"Sesiapa yang suka supaya diperluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia menjalankan hubungan tali silaturahim."(Hadis Riwayat al-Bukhari).

Salman Radhiallahu ‘anhu berkata, Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Tidak tertolak Qadha' itu melainkan oleh do'a dan tidak bertambah di dalam umur itu melainkan oleh kebajikan.”(Hadis riwayat Tirmidzi)

Do'a itu sendiri sebagai satu ibadat dan menjadi bentuk perhambaan kepada Allah.Mereka yang berdo'a perlu mempunyai keyakinan kerana ada dinyatakan, Allah tidak akan mempersia-siakan mereka.

Rasulullah SAW. yang diriwayatkan daripada Salman Al-Farisi:“Sesungguhnya Allah itu Hidup dan Maha Pemberi, Dia malu jika seseorang mengangkat kedua tangannya kepada-Nya lalu Dia mengembalikan kedua tangannya (membalas do'a orang itu) dalam keadaan kosong serta rugi.”(Hadis riwayat Tirmidzi)

No comments:

Post a Comment