Wednesday, October 15, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 169 (Doa Melihat Petir, Hukum Membunuh Cicak, Israk dan Mikraj, Pembahagian Masa Dan Zakat Pendapatan.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 169 adalah menjelaskan persoalan doa melihat petir, hukum membunuh cicak, Israk dan Mikraj, pembahagian masa dan zakat pendapatan.

801. Soalan : Boleh ustaz berikan doa bila melihat petir? 

Jawapan : 

Doa Ketika Mendengar Petir

Dari ‘Ikrimah mengatakan bahwasanya Ibnu’ Abbas radhiyallahu ‘anhuma tatkala mendengar suara petir, beliau mengucapkan,

سُبْحَانَ الَّذِي سَبَّحَتْ لَهُ

‘Subhanalladzi sabbahat lahu’ (Maha suci Allah yang petir bertasbih kepada-Nya). 



Lalu beliau mengatakan, “Sesungguhnya petir adalah malaikat yang meneriaki (membentak) untuk mengatur hujan sebagaimana pengembala ternakan membentak haiwannya.” (Lihat Adabul Mufrod no. 722, dihasankan oleh Syaikh Al Albani)

Apabila Abdullah bin Az Zubair mendengar petir, dia menghentikan perbincangan, kemudian mengucapkan;

سُبْحَانَ الَّذِيْ يُسَبِّحُ الرَّعْدُ بِحَمْدِهِ وَالْمَلَائِكَةُ مِنْ خِيْفَتِهِ

‘Subhanalladzi yusabbihur Ro’du bihamdihi wal malaikatu min khiifatih’

(Maha suci Allah yang petir dan para malaikat bertasbih dengan memuji-Nya kerana rasa takut kepada-Nya).

Kemudian beliau mengatakan;

إِنَّ هَذَا لَوَعِيْدٌ شَدِيْدٌ لِأَهْلِ الأَرْضِ

“Inilah ancaman yang sangat keras untuk penduduk suatu negeri.” (Lihat Adabul Mufrod no. 723, dishahihkan oleh Syaikh Al Albani)

Dapat dilihat ketakutan ini dalam sirah sahabat dimana mereka akan melarikan diri ke dalam masjid atau melaungkan azan semasa rebut petir.

Firman Allah SWT :
هُوَ الَّذِي يُرِيكُمُ الْبَرْقَ خَوْفًا وَطَمَعًا وَيُنشِئُ السَّحَابَ الثِّقَالَ ﴿١٢﴾ وَيُسَبِّحُ الرَّعْدُ بِحَمْدِهِ وَالْمَلَائِكَةُ مِنْ خِيفَتِهِ وَيُرْسِلُ الصَّوَاعِقَ فَيُصِيبُ بِهَا مَن يَشَاءُ وَهُمْ يُجَادِلُونَ فِي اللَّـهِ وَهُوَ شَدِيدُ الْمِحَالِ ﴿١٣﴾

“Dialah yang memperlihatkan kepada kamu kilat, untuk menimbulkan ketakutan dan keinginan dan Dialah yang menyusun awan yang berat. Dan bertasbihlah PETIR dengan memujiNya, dan malaikat pun lantaran takut kepadaNYa, dan Dia kirimkan halilintar (kilat) dan Dialah timpakan kepada barangsiapa yang Dia kehendaki, namun mereka masih membantah tentang Allah, padahal Dia adalah sangat pedih siksaan.” (Surah Ar Ra’ad ayat 12-13)

Daripada ayat Al Quran ini, kita dapati sifat ‘Petir’ (guruh) dan ‘Halilintar’ (kilat) yang bertasbih dan memuji-Nya walaupun hayat bagi kilat adalah tidak lama. Petir ini adalah sebenarnya bertujuan untuk memanah syaitan. (sila rujuk Tafsir Al Azhar, Prof. Hamka Juzu’ 13)

Pada zaman sebelum Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, syaitan-syaitan dapat naik ke langit untuk mendengar perbualan para malaikat untuk mencuri berita setelah mendapat arahan daripada tukang tilik yang mahu menilik nasib manusia. Syaitan-syaitan yang cuba naik ke langit akan dipanah petir dan akan mati. Bukan manusia sahaja yang mempunyai hayat tetapi syaitan juga sebegitu. Syaitan yang tidak mati apabila dipanah petir hanyalah `Azazil.

802. Soalan : Apakah hukum kita membubuh cicak?

Jawapan : 

Membunuh cicak sunat tak kira hari Jumaat atau pun hari lain. Hadis yang mengandungi perintah membunuh cicak adalah sahih berasal daripada Nabi SAW. Antaranya hadis riwayat Muslim daripada Saad bin Abi Waqqas bahawa Nabi memerintahkan untuk membunuh cicak dan menyebutnya sebagai haiwan perosak (fuwaisiq).

Berdasarkan hadis di atas, para ulama sepakat menyatakan sunat membunuh cicak. Sebabnya kerana cicak termasuk haiwan perosak, pengotor dan boleh membawa penyakit. Atau dalam hadis Saad bin Abi Waqqas di atas, ia termasuk fuwaisiq.

Dalam istilah moden, kita boleh mengatakan bahawa cicak termasuk dalam kategori pest (perosak) seperti; nyamuk, kutu, tikus, pijat, lipas dan lain-lain. Semua haiwan ini digalakkan untuk dibasmi demi menjaga kesihatan manusia.

Berkata Imam al-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim: "Nabi memerintahkan dan menggalakkan untuk membunuh cicak kerana ia termasuk mu'ziyat (haiwan-haiwan yang dapat mengganggu kesihatan manusia)."

Nabi SAW bersabda yang maksud " Siapa yg membunuh cicak dgn sekali pukulan dia diberi ganjaran 100 kebajikan. Kalau dua kali berkurang separuh daripadnya demikian juga dengan tiga kali dan seterusnya...(Hadis Riwayat bukhari).

Sabda nabi yg maksudnya " Lima jenis binantang yg jahat hendaklah dibunuh baik di tanah halal atau di tanah haram iaitu ular, gagak, tikus, anjing gila dan burung helang" (Hadis Riwayat Bukhari).

803. Soalan : Ustaz ,saya pernah mendengar ceramah tntng peristiwa israk dan mikraj dari seorang ustaz yang nabi muhammad SAW. naik ke langit tetapi ustaz tersebut berkata nabi dibawa ke langit xpi tak tahu dibawa mcm mane dari situ saya rasa confuse sebb nabi muhammad bukankah menaiki buraqq untuk ke langit mohon pencerahan t.kasih

Jawapan : 

Nabi SAW menaiki binatang Buraq daripada Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa. (Israk) . Setibanya Nabi SAW di Masjidil Aqsa, Nabi turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbiya dan mursalin menjadi makmum.

Nabi SAW terasa dahaga, lalu dibawa Jibril dua bejana yang berisi arak dan susu. Nabi memilih susu lalu meminumnya. Kata Jibril : Baginda membuat pilihan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat Baginda akan menjadi sesat.

Sewaktu Mikraj (naik ke Hadhratul Qudus menemui ALLAH), didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Nabi SAW dan Jibril naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzah).

Sewaktu Mikraj (naik ke Hadhratul Qudus menemui ALLAH), didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Nabi SAW dan Jibril naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzah). Nabi SAW bersama malaikat Jibril naik ke langit tidak menggunakan buraq . Apabila telah balik ke bumi sampai di Masjidil Aqsa Nabi SAW naik buraq semula balik ke Masjidil haram.

804. Soalan : Banyak perkara yang perlu saya fikirkan (hati berdebar-debar) Bagaimana cara pembahagian masa yang betul.?

Jawapan : 

Rasulullah S.A.W. juga ada menyebut tentang pembahagian masa seperti yang terdapat dalam Kitab Nabi Ibrahim a.s. : 'Sewajarnya setiap yang berakal, selagi akal fikirannya tidak hilang, membahagikan masa-masanya kepada empat masa iaitu :

1.Masa untuk bermunajat (berzikir) kepada Tuhannya.
2.Masa untuk dia bermuhasabah tentang dirinya.
3.Masa untuk dia berfikir berhubung dengan setiap ciptaan Allah.
4.Masa untuk dia menumpukan kepada keperluan, seperti mencari rezeki yang halal atau belajar.' Pengajaran dan huraiannya adalah seperti berikut :

Pertama : Masa untuk bermunajat (berzikir) kepada Tuhan.

Kita perlu memperuntukkan masa kita untuk beribadah, solat, membaca al-Quran, berzikir, berdoa dan bermunajat. Seorang mukmin yang sentiasa dalam hidupnya berdoa dan berzikir kepada Allah S.W.T. kekuatan dalamannya amat luar biasa dan akan mencapai kecemerlangan dalam hidupnya berbanding mereka yang dalam hidupnya tidak mahu berdoa dan berzikir dan hanya bergantung pada akal fikirannya semata-mata untuk mencapai sesuatu perkara.

Perancangan macamana hebat sekalipun apabila ianya dibuat tanpa memohon pertolongan Allah S.W.T. maka ianya tidak akan berjaya dan kalau berjaya sekalipun ianya tidak akan berkat dan akhirnya akan menemui jalan buntu dan kegagalan.

Segala kekuatan lahir, pengalaman, kemahiran dan kekuatan batin daripada tenaga dalaman akan dipadukan untuk mencapai apa-apa yang dihajatkan. Apabila diketengahkan dan diamalkan dalam kehidupan seharian doa dan zikir mampu menjadi senjata yang ampuh.

Nabi s.a.w. berwasiat kepada Muaz bin Jabal r.a agar dapat mengamalkan do'a ini setiap lepas solat :
"Allahumma inni ala zikrika wasyukrika wahusni ibadatik"
(Ya Allah, tolonglah aku agar dapat berzikir kepada-Mu (mengingati Allah), bersyukur kepada-Mu, dan memperelokkan ibadah kepada-Mu.) - (Hadis Riwayat Abu Daud).

Kedua : Masa untuk dia bermuhasabah tentang dirinya.

Ingatlah ketika Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat) dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."
(Surah al-Hasyr ayat 18)

Ayat di atas mengingatkan agar selalu muhasabah diri. Jangan biarkan masa kita walaupun sedikit berlalu begitu sahaja. Gunakanlah masa itu untuk menghitung diri, hingga kita ketahui amalan mana yang harus dipelihara atau diperelokkan dan amal mana yang harus ditinggalkan. Dengan demikian, kita dapat meneruskan langkah-langkah sebagai seorang mukmin dengan lebih mantap untuk hari esok yang pastinya lebih mencabar akal, jiwa dan syaksiah kita.

Pesanan Saydina Umar al-Khattab r.a :
"Hisablah dirimu sebelum kamu dihisab (Allah) dan timbanglah dirimu sebelum ditimbang (Allah) serta bersiap-siaplah untuk menghadapi hari peperiksaan yang paling besar (hari kiamat)".

Ketiga : Masa untuk dia berfikir berhubung dengan setiap ciptaan Allah.
Orang mukmin sentiasa menjaga dan menggunakan masa dengan baik. Masa yang ada digunakan sebaik mungkin supaya tidak sia-sia begitu sahaja.Begitu tinggi nilai masa dari pandangan seorang beriman kerana masa yang berlalu tidak akan berulang dan tidak boleh diganti.Masa itu bukan emas, tetapi masa itu lebih berharga dari emas iaitu kehidupan. Kehidupan didunia ini adalah jalan dan wasilah menuju ke alam akhirat. Kebahagian di akhirat adalah bergantung kepada amalan-amalan soleh kita ketika di dunia ini.

Sewajarnya setiap Muslim memulakan harinya dengan doa yang telah diajar oleh Rasulullah S.A.W. kepada para sahabat supaya dibaca pada waktu pagi dan petang. :

"Ya Allah! Aku berlindung dengan nama-Mu dari rasa sedih dan duka.
Aku berlindung dengan nama-Mu dari rasa lemah dan malas.
Aku berlindung dengan nama-Mu dari sifat bacul dan kikir.
Aku berlindung dengan nama-Mu dari beban hutang dan penindasan orang."

Doa ini memberi kesan kepada jiwa untuk lebih bersemangat, mengurus masa dan urusan lain samaada memberi idea, masa dan tenaga untuk manfaat bersama. Orang yang mensia-siakan masa dengan kerja tidak berfaedah, sebaliknya tidak suka untuk berkongsi idea dan tenaga pada perkara kebaikan sangat dibenci oleh Allah S.W.T.

Pepatah Arab ada menyatakan :

"Masa itu seperti pisau. Jika kamu tidak memotongnya, ia pula memotong kamu!"


Generasi sahabat-sahabat Rasulullah SAW. telah bekerja keras untuk mempertingkatkan prestasi hidup mereka dari masa ke semasa. Konsep hidup mereka adalah, 'Hari ini mesti lebih baik dari semalam. Siapa yang pada hari esok sama dengan semalam, maka dia masih lemah. Siapa yang hari esoknya lebih buruk dari semalam, maka dia adalah orang yang terkutuk!"

805. Soalan : Ustaz saya nak bertnya tentang zakat pendapatan. Saya tidak membuat potongan gaji. Adakh boleh saya mengira sendiri jumlh zakat dan memberi kepada adik beradik yang susah?

Jawapan : 

Menurut pandangan yang paling masyhur di kalangan ulamak; orang-orang yang wajib kita menanggung nafkah mereka, tidak harus kita memberi zakat kita kepada mereka. Menurut mazhab Syafi’ie; orang-orang yang wajib dinafkahi terdiri dari;

1. Zuriat kita; merangkumi anak, cucu dan cicit.
2. Asal kita; merangkumi bapa, ibu, datuk, nenek dan sebagainya
3. Isteri

Ahli-ahli keluarga di atas tidak harus kita memberi zakat kepada mereka. Adapun ahli-ahli keluarga yang lain yang tidak wajib kita menanggung nafkah mereka seperti saudara-saudara (yakni adik, abang atau kakak), bapa saudara, ibu saudara, anak saudara dan sebagainya harus kita memberi zakat kita kepada mereka dengan syarat mereka termasuk dalam lapan golongan yang layak terima zakat. Seseorang yang berada dalam kategori miskin termasuk dalam asnaf yang layak menerima zakat. Sekiranya beliau dalam keadaan menanggung hutang untuk keperluan hidup seharian, maka beliau berada dalam golongan gharimin (orang yang berhutang). Beliau layak menerima zakat daripada kedua-dua kategori.

Ahli keluarga yang berkemampuan sangat digalakkan untuk memberikan zakat kepada keluarga sendiri yang miskin ( adik, abang atau kakak), bapa saudara, ibu saudara, anak saudara dan sebagainya harus kita memberi zakat kita kepada mereka dengan syarat mereka termasuk dalam lapan golongan yang layak terima zakat) dan menanggung hutang berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW "Pemberian zakat kepada orang miskin mendapat pahala kewajipan zakat, namun memberikan zakat kepada ahli keluarga yang miskin mendapat dua pahala iaitu kewajipan zakat dan menyambung tali sillaturrahim." Hadis direkodkan oleh Imam Ahmad, al-Tirmizi, dan Ibnu Majah. Syeikh al-Albani mengatakan, hadis ini sahih (al-Qaradawi, Fiqh al-Zakat, jil. 2, hlm. 734).

Melupuskan hutang daripada orang yang berhutang dengan niat memberikan zakat kepadanya adalah dibenarkan menurut hukum Syarak. Tidak disyaratkan orang yang memberi hutang menyerahkan sejumlah wang sebagai zakat kepada orang yang berhutang , dan kemudian wang itu dibayar semula kepada pemberi hutang. Ini merupakan pendapat sebahagian ulama bermazhab Syafi'i dan ia juga merupakan pendapat Imam al-Hasan al-Basri dan 'Ata' (al-Nawawi, al-Majmu', jil. 6, hlm. 210-211).

Jika ahli keluarga sendiri yang tidak berkelayakkan untuk mendapat zakat sebaik-baiknya serahkanlah wang zakat ke Pusat Zakat kerana PZ akan mengagihkan wang zakat keatas 8 asnaf. Kita sendiri tak mampu nak berikan kepada 8 asanf wang zakat tersebut maka sebaik-baiknya serahkan saja wang zakat tersebut. Allah SWT sendiri menyuruh wang zakat tersebut di agihkan kepada 8 asnaf. “Sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus-pengurus zakat, para mu'allaf yang dibujuk hatinya, untuk (memerdekakan) budak, orang-orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan untuk mereka yuang sedang dalam perjalanan, sebagai suatu ketetapan yang diwajibkan Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”. (Surah at-Taubah ayat 60)

Terdapat 8 Asnaf atau orang yang layak menerima zakat. Kumpulan ini samalah dengan mereka yang berhak menerima Zakat Fitrah. Mereka itu ialah:

1. Orang fakir : Iaitu orang yang tiada harta yang boleh mencukupkan keperluan dirinya; keperluan makan, minum, pakaian dan tempat tinggal. Contohnya, seseorang itu memerlukan RM10.00 sehari tetapi dia hanya mampu memperolehi RM3.00 sahaja.

2. Orang miskin : Iaitu orang yang mempunyai harta tetapi hanya cukup memenuhi keperluan dirinya sahaja. Mereka yang tidak berkecukupan dalam perbelanjaan penghidupannya dan masih dalam keadaan kekurangan. Mereka lebih baik dari Fakir, sebagai contoh, jika sepatutnya mereka memerlukan RM10.00 sehari tetapi mereka hanya mampu memperolehi RM8.00 sahaja.

Menurut pendapat yang paling sahih golongan fakir dan miskin ini hendaklah diberi zakat agar mencukupi untuk mencukupi untuk sepanjang kehidupan mereka menurut kebiasaan umur mereka.

Keperluan perbelanjaan kahwin juga termasuk keperluan sebenar yang perlu diberi perhatian ketika mengambil kira apa yang dimiliki dan apa yang diperlukan.

3. Amil zakat : Adalah orang yang bertugas mengurus pungutan dan pembahagian zakat yang dilantik oleh pemerintah untuk mengumpul dan membahagikan zakat. Kebiasaan yang ditemui dalam masyarakat ialah Imam Masjid, Bilal, Pegawai-pegawai Agama dan seumpamanya. Mereka diberi upah dari harta zakat berdasarkan kerja yang mereka lakukan. Tidak boleh ditambah lebih dan tidak boleh dikira berdasarkan peratus tertentu daripada kutipan hasil.

Ini kerana tidak ada dalil yang mengharuskan mereka mengambil dari peratusan harta zakat yang dikumpul. Mereka hanyalah orang-orang yang diberi upah berdasarkan kerja mereka sahaja. Kalau dipersetujui RM 100 selama tempoh sebulan maka hanya itulah sahaja hak mereka.

4. Mualaf : Atau dari ayat sebenar ‘Mu’allafatu Qulubuhum’, iaitu orang-orang yang dijinakkan hati mereka kepada Islam.

a. Agar dengan memberi zakat itu akan menguatkan imam mereka yang baru memeluk Islam.

b. Agar dilihat oleh ahli keluarga mereka yang belum Islam dapat menarik mereka kepada Islam.

c. Agar lebih cepat menarik hati-hati mereka yang lembut dari kalangan orang kafir seperti berkawan, berjiran, bekerja bersama, berurusan bersama dan seumpamanya untuk memeluk agama Islam.

Jika mereka orang yang baru memeluk Islam (saudara baru). Mereka ini layak menerima zakat dan fitrah selama mereka belum mampu menanggung diri sendiri dan keluarga atau sehingga mereka mampu memberi zakat kepada orang lain pula.

5. Ar-Riqab : Hamba yang ingin memerdekakan dirinya. Hamba pada asal hukumnya adalah ‘Hamba Mukatab’ , iaitu hamba yang beraqad dengan tuannya untuk membebaskan diri dengan membayar secara ansuran. Apabila cukup bayaran mereka akan dibebaskan. Oleh itu zakat diberikan kepada mereka apabila mereka tidak mampu menjelaskan bayaran ansuran ini.

Termasuk juga muslim yang memerlukan harta untuk melepaskan diri dari ditawan oleh orang-orang kafir.

Raaghimin : Orang berhutang: Iaitu orang-orang yang berhutang dengan tujuan yang baik. Mereka dibebani hutang yang tidak mampu membayarnya. Jadi berikanlah kepadanya sebahagian harta yang membolehkan mereka menjelaskan hutangnya yang telah matang dan mencukupkan makanan, minuman dan pakaian.

Tidak sah memberi zakat kepada orang yang berhutang kerana maksiat, seperti berjudi, meminjam dengan along (ceti) dan sebagainya, kecuali mereka telah diyakini betul-betul bertaubat.

Termasuk dalam kategori ini ialah mereka yang berhutang untuk mengelakkan fitnah yang berlaku hasil daripada 2 orang yang bertelagah (kerana hutang), lalu dia diberikan sejumlah wang dari harta zakat untuk membayar hutang yang dilakukannya untuk tujuan tersebut, walaupun dia seorang yang kaya raya, yang mampu melunaskan hutang itu dengan hartanya.

Harus bagi seorang isteri yang mempunyai harta memberi zakat kepada suaminya yang menanggung bebanan hutang yang cukup matang dan tak mampu dilunasinya sebagaimana janji. Ini bagi mengelak berlakunya fitnah keatas keluarga tersebut.

Begitu juga harus bagi seorang kawan membantu kawannya yang menghadapi bebanan hutang yang tak mampu dibayar, walaupun sama taraf.

7. Fii Sabilillaah : Orang yang berjuang pada jalan Allah s.w.t. Maksudnya ialah lelaki yang berperang dan berjihad dengan sukarela untuk membela dan mempertahankan Islam dan mereka tidak mendapat upah dan gaji daripada harta orang Islam. Jadi diberikan zakat kepada mereka apa yang mencukupkan keperluan mereka dan keluarga mereka yang ditinggalkan sehingga mereka kembali. Walau selama mana mereka pergi dan walaupun mereka kaya raya (kecuali jika mereka menolak). Harus juga diberikan kepadanya apa yang membantunya untuk berjihad seperti pengangkutan diri dan barangannya, peralatan perang dan ubat-ubatannya.

Ulama akhir-akhir ini mengharuskan dan menjadikannya sebagai zakat ke atas pemberian kepada pembinaan Masjid, surau, Sekolah, Dewan orang ramai dan sumpamanya.

8. Ibnus Sabil (anak-anak di jalanan): Iaitu mereka yang bermusafir dengan berlandaskan syarak dan hendaklah yang diredhai Allah (terutamanya terkandas), seperti pergi menuntut ilmu, pergi untuk membantu seseorang yang dianiaya atau dizalimi, berpergian kerana bekerja mencari rezeki untuk menyara hidup dan keluarga, bukan kerana berhibur, berkelahi, membuat urusniaga yang haram dan sebagainya. Diharuskan juga membantu mereka dengan zakat bagi mereka yang terkandas dalam perjalanannya kerana melancong.

Jika ahli keluarga sendiri yang tidak berkelayakkan untuk mendapat zakat sebaik-baiknya serahkanlah wang zakat ke Pusat Zakat kerana PZ akan mengagihkan wang zakat keatas 8 asnaf. Kita sendiri tak mampu nak berikan kepada 8 asanf wang zakat tersebut maka sebaik-baiknya serahkan saja wang zakat tersebut. Allah SWT sendiri menyuruh wang zakat tersebut di agihkan kepada 8 asnaf. “Sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus-pengurus zakat, para mu'allaf yang dibujuk hatinya, untuk (memerdekakan) budak, orang-orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan untuk mereka yuang sedang dalam perjalanan, sebagai suatu ketetapan yang diwajibkan Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”. (Surah at-Taubah ayat 60)



No comments:

Post a Comment