Sunday, October 5, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 166 ( Kewajipan Tunaikan Haji, Khutbah Jumaat Tak Di Dengar, Hadis 73 Golongan, Upah Daging Korban Dan Hukum Sentuh Lelaki Dan Wanita.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 166 adalah menjelaskan persoalan kewajipan tunaikan haji, khutbah Jumaat tak di dengar, hadis 73 golongan, upah daging korban dan hukum sentuh lelaki dan wanita.

786. Soalan : Ustaz.. kalau seseorang mampu untuk pergi haji tapi tak mahu pergi kerana rasa susah untuk belajar. Apa hukumnya?

Jawapan : 

Jika berkemampuan tunaikan haji ke Mekah jika tak berniat nak pergi maka akan berdosa besar kerana menunaikan haji adalah rukun Islam ke 5. Tetapi tak pergi haji kerana tak sampai giliran lagi maka tak berdosa kerana sudah ada niat dan telah masukkan wang yang cukup di Tabung Haji. Jika mati tidak di kira berdosa kerana tak menunaikan fardu haji. Firman Allah SWT dalam surah Aali- ‘Imran, ayat 97 yang bermaksud: “Mengerjakan haji adalah KEWAJIBAN manusia terhadap Allah, iaitu (bagi) orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah. Barangsiapa mengingkari (kewajiban haji), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam.”

HUKUM MENGERJAKAN HAJI DAN `UMRAH

Haji dan `Umrah hanya diwajibkan sekali sahaja seumur hidup. Ini berdasarkan sabda Rasulullah Sallallaahu `alaihi wasallam dalam hadith sahih: “Haji itu hanya sekali ( wajibnya ). Barang siapa menambahkannya ( mengerjakan lebih dari sekali ), maka itu adalah tatawwu' (amalan sunnah atas kerelaan sendiri). “

Berdasarkan ayat dan hadith di atas, `ulama fiqh رحمهم الله sepakat menyatakan bahawa `ibadah haji wajib dilaksanakan setiap mukmin yang mempunyai kemampuan biaya, tubuh badan dan waktu ( zaman sekarang ini quota boleh dimasukkan kedalam syarat kemampuan kerana kalau kita daftar tahun ini untuk mengerjakan haji mungkin 10 tahun lagi baru boleh pergi ). tetapi mereka berbeza pendapat tentang bilakah kewajiban itu dimulai, adakah boleh ditunda atau wajib dilaksanakan segera setelah mampu. Imam Abu Hanifah, Imam Abu Yusuf ( sahabat dan murid Imam Abu Hanifah ), `ulama Mazhab Maliki dan pendapat yang terkuat di kalangan Mazhab Hanbali rahimahumullaah menyatakan bahawa apabila seseorang telah mampu dan memenuhi syarat, wajib terus mengerjakan `ibadah haji dan tidak boleh ditunda ('alal faur).

Jika pelaksanaannya ditunda sehingga beberapa tahun, maka orang tersebut dihukumkan fasiq, kerana penundaan tersebut termasuk maksiat. Jika pelaksanaan haji itu ditunda, kemudian wangnya habis, maka orang tersebut menurut mereka, mesti meminjam wang orang lain untuk mengerjakan `ibadah haji itu, kerana waktu wajib baginya telah ada tetapi dia telah menundanya.

Dalil `ulama yang menyatakan bahawa pelaksanaan ibadah haji tidak boleh ditunda bagi orang yang telah mampu dan memenuhi syarat adalah firman ALLAH dalam surah Aali 'Imran ayat 97 dan surah al-Baqarah ayat 196 seperti yang telah dijelaskan sebelum ini.

Tuntutan untuk mengerjakan `ibadah haji itu adalah tuntutan yang sifatnya segera, oleh itu tidak boleh ditunda. Dalil lain yang mereka kemukakan ialah sabda Nabi Sallallaahu `alaihi wasallam :

" Bersegeralah kamu kerjakan ` ibadah haji, kerana tidak seorang pun diantara kamu yang tahu apa yang akan terjadi kepadanya nanti.” ( HR Ahmad bin Hanbal rahiahullaah dari Ibnu Abbas Radhiallaahu `anhuma ) .

Bahkan dalam hadis lain Rasulullah Sallallaahu `Alaihi Wasallam seakan-akan mengecam orang yang menunda `ibadah hajinya. Rasulullah Sallallaahu `Alaihi Wasallam bersabda :

" Sesiapa yang tidak dalam keadaan sakit, tidak dalam kesulitan yang mendesak atau tidak dihalangi penguasa yang zalim tetapi dia tidak mengerjakan ` ibadah hajinya, jika dia mati maka terserah kepadanya memilih samada ingin mati dalam keadaan beragama Yahudi atau Nasrani ." ( HR Sa'id bin Mansur, Ahmad bin Hanbal, Abu Ya'la, dan Al-Baihaqi Rahimahumullah dari Abu Umamah Radhiallaahu `anhu tetapi salah seorang periwayatnya dhaif).

Hadith yang sama juga diriwayatkan oleh Imam At Tirmizi Rahimahullah , yang mana seorang perawinya juga dhaif.

Sa`id didalam sunannya , meriwayatkan dari `Umar Al Khattab radhiallaahu`anhu, bahawa dia berkata :

“ Aku bertekad mengutus beberapa orang utusan pergi ke wilayah-wilayah , memeriksa mereka yang mempunyai harta yang cukup namun tidak mahu mengerjakan haji, untuk membayar jizyah kerana mereka bukan muslim , mereka bukan muslim . “

Menurut mazhab Syafi'i , Ath Thauri, Al Auzaa`ie dan Muhammad bin Hasan asy-Shaibani rahimahumullaah , kewajiban haji itu boleh ditangguhkan ( 'alat-taraakhi ) , ertinya boleh dilaksanakan disetiap waktu dan tidaklah berdosa menangguhkannya asal sahaja dikerjakan sebelum dia meninggal dunia tetapi jika memang sudah mampu dianjurkan ( disunatkan ) segera mengerjakannya dengan maksud agar tanggung jawab atau kewajipannya lepas.

787. Soalan : ustaz, saya nak tahu ape hukum orang lelaki bersembang, hisap rokok, atau bermain ketika katib sdg berkhutbah. Bukanke 2 khutbah tu dikira sbg 2 rakaat? Ustzh saya kata sah solat jumaat selagi mereka boleh dengar khutbah tu. Mohon penjelasan secara terperinci ustaz.

Jawapan : 

Seorang mukmin yang baik dan berakhlak Islam adalah seorang yang menyahut panggilan Allah SWT iaitu pada hari Jumaat khatib sedang berkhutbah dia akan tinggalkan jual beli, bersembang-sembang dan tak akan melakukan pekerjaan haram dan syubhat.Jika kita terlambat sampai ke masjid disebabkan oleh halangan tertentu yang tidak disengaja akhirnya tidak sempat mendengar khutbah Jumaat dan kita sempat mengerjakan solat Jumaat, maka sah Jumaat anda.

Namun jika tidak mendengar khutbah Jumaat tersebut kerana sengaja maka hukumnya berdosa sebab dua Khutbah Jumaat termasuk dalam syarat sah Jumaat. Syeikh Dr. ‘Ali Jum’ah (Mufti Mesir sekarang) dalam buku himpunan fatwanya menjelaskan; “Jika bilangan yang hadir mendengar khutbah mencapai 40 orang atau lebih, maka orang yang datang lewat –tanpa mendengar khutbah- sah solat jumaatnya tetapi mereka terlepas fadhilat mendengar khutbah yang amat besar pahalanya. Namun jika orang-orang yang hadir lewat itu menyebabkan bilangan yang mendengar khutbah kurang dari 40 orang, maka mereka menanggung dosa besar”.

Syeikh Dr. Muhammad Bakr Ismail dalam buku himpunan fatwanya menjelaskan; “Orang yang tidak datang ke masjid melainkan selepas khatib selesai khutbah, Allah tidak menerima solatnya dan tidak diberi pahala kecuali jika ia melakukannya kerana terpaksa. Namun demikian, jika ia menunaikan solat jumaat bersama imam, gugur kefardhuan jumaat darinya dan tidak perlu lagi ia menunaikan solat zohor. Banyak kes di mana solat adalah sah, namun tidak diterima. Setiap solat yang diterima adalah sah, namun tidak semua solat yang sah adalah diterima”.

Wallahu A’lam.

Rujukan;

1. al-Kalimu at-Thayyib; Fatawa ‘Ashriyyah, Syeikh Dr. ‘Ali Jum’ah, hlm. 34-35.
2. Baina as-Sa-il wa al-Faqih, Dr. Muhammad Bakar Ismail, hlm. 20.

788. Soalan : Ustaz, kebanyakan kita tau yg ada sekurang2nya 4 mazhab - shafi'e, maliki, hambali dan hanafi. ada perbezaan tertentu dalam tiap mazhab ni yg menjadi isu tambahan. persoalan utama saya ialah, macam mana kita nak pastikan kita termasuk dlm golongan yg 1, bukan yg 72 lagi tu? adakah 4 mazhab yg disebutkan itu termasuk dalam golongan yg 1?

Jawapan : 

Terdapat beberapa hadis yang membicarakan hal ini. Sebagai contoh, Nabi bersabda, “Sesungguhnya golongan Bani Israel berpecah kepada 72 golongan dan umatku akan berpecah kepada 73 golongan, kesemua mereka di dalam neraka kecuali satu. (Sahabat-sahabat) bertanya: ‘Siapakah yang satu itu wahai Rasulullah?’ Nabi menjawab: Mereka yang mengikut landasan yang aku dan sahabatku bawa”. Hadis ini diriwayatkan oleh Tirmizi.

Dr Yusuf Qardawi berkata, “Hadis ini tidak terdapat dalam Sahihain (iaitu Bukhari dan Muslim) sama sekali, sedangkan isu yang dibawa hadis ini adalah penting. Ini bererti hadis tersebut tidak sahih mengikut syarat kedua-duanya”.

Terdapat riwayat yang hanya menceritakan tentang perpecahan tanpa bahagian yang terakhir yang menyatakan “kesemua golongan memasuki neraka kecuali satu..”. Sebagai contoh, Nabi bersabda, “Sesungguhnya golongan Yahudi akan berpecah menjadi 71 atau 72 golongan dan orang-orang Nasrani akan berpecah menjadi 71 atau 72 golongan dan umatku akan berpecah kepada 73 golongan”.

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Abu Daud, Tirmizi, Ibn Majah, Ibn Hibban dan al-Hakim. Hadis ini disahihkan oleh Imam Ibn Hibban dan al-Hakim, dan dikatakan Hasan Sahih oleh Tirmizi. Riwayat ini diterima melalui Muhammad bin Amir bin Alqamah bin Waqas al-Laithi dan di dalam kitab Tahzib at-Tahzib dinyatakan bahawa beliau merupakan seorang yang diragui dari segi hafalannya. Ada ulama mengatakan, “Dia seorang yang jujur tetapi diragui dalam banyak hal”.

Dr. Yusuf Qardawi membahaskan dengan panjang lebar berhubung hadis-hadis ini dalam kitabnya as-Sahwatul Islamiyah Baina al-Ikhtilaf al-Masyruk wa at-Tafarruq al-Mazmum. Beliau berkata, “Hadis ini menimbulkan kemusykilan. Pada satu segi ia menyatakan perpecahan umat Islam lebih banyak daripada perpecahan Yahudi dan Nasrani. Dari sudut yang lain ia menyatakan kesemuanya akan memasuki neraka kecuali satu golongan sahaja. Pernyataan yang kedua ini membuka ruang untuk setiap golongan mendakwa bahawa merekalah golongan yang selamat dan yang lain-lainnya akan dimasukkan ke dalam neraka. Ia jelas akan membawa kepada perpecahan umat serta permusuhan”.

Al-Allamah Ibn Wazir dalam kitabnya al-‘Awasim wal Qawasim berkata, “Janganlah tertipu dengan hadis lemah yang menyatakan ‘kesemuanya akan memasuki neraka kecuali satu golongan’. Itu adalah tambahan bahkan merupakan rekaan orang-orang Mulhid (sesat)”.

Dr Yusuf Qardawi juga merujuk kepada kenyataan Imam Abu Muhammad Ibn Hazm yang berkata, “Kedua-dua hadis ini dari segi sanadnya adalah sama sekali tidak sah. Hadis seperti ini tidak dapat dijadikan hujah..”.

Justeru, jika hadis-hadis ini kita terima (dan sememangnya ada ulama yang menerima hadis-hadis ini), kita terima sebagai peringatan secara umum agar kita sebagai umat Islam wajib mementingkan perpaduan dalam hidup. Asas kepada perpaduan itu ialah mengikut ajaran Islam secara serius berpandukan al-Quran dan Sunnah. Hadis-hadis ini juga mengingatkan kita bahawa perpecahan tidak mustahil berlaku di kalangan umat Islam jika kita tidak berhati-hati.

Dr Yusuf Qardawi merumuskan, “Hadis-hadis itu tidak menunjukkan bahawa perpecahan itu - dalam bentuk dan jumlah yang disebutkan – akan kekal abadi sampai ke hari kiamat. Apabila muncul perpecahan dalam umat cukuplah ia menjadi bukti tentang kebenaran hadis tersebut. Mungkin sebahagian telah muncul dan kemudian berjaya ditumbangkan oleh kebenaran sehingga ia lenyap selama-lamanya,,”

Yang pasti, memandangkan terdapat perbezaan pendapat berkaitan status hadis-hadis ini, kita tidak wajib mempercayai bahawa perpecahan seperti yang dinyatakan akan berlaku secara tepat dan ia tidak dapat dielakkan lagi. Kita beriman dengan apa yang Allah nyatakan dalam surah Ali Imran ayat 110 yang bermaksud, “Kamu merupakan sebaik-baik umat yang dikeluarkan bagi manusia, kamu mengajak kepada makruf, kamu mencegah kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah”.

(Di petik daripada buku tulisan Dr Danial (TUAN BERTANYA DR DANIAL MENJAWAB’).

Kesimpulannya : Perpecahan di kalangan umat Islam pasti berlaku dan jika berlaku perpecahan ini yang penting kita perlu kembali kepada petunjuk al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW. Umat Islam perlu bersatu di atas akidah yang sahih dan benar dan tak boleh menyeleweng seperti ajaran Syiah sesat lagi menyesatkan dan ajaran -ajaran sesat yang lain. Perbezaan pendapat dalam bab feqah juga tak boleh menjadikan alasan kita membidaahkan golongan yang tak sama dengan kita atau menyesatkan orang lain. Masaalah cabang atau furuk kita perlu bertolak ansur dan tak boleh memaksa orang lain mengikut pendapat kita dan menuduh orang lain sesat dan masuk neraka.

789. Soalan : Ustaz saya nak tanya boleh kah daging korban di jadikan untuk upah penyembelih?

Jawapan : 

Tidak boleh daging korban sebagai upah untuk tukang sembelih atau tukang melepar . Jika nak berikan upah gunakan duit yang lain.

Daripada `Ali bin Abi Talib r.a, katanya: “Rasulullah SAW. telah memerintahkan aku menyembelih unta-untanya (sembelihan ketika haji). Baginda memerintahkan agar aku mensedekahkan daging, kulit dan apa yang menutupi belakang unta-unta itu (seperti pelana dan seumpamanya). Baginda juga memerintahkan agar aku tidak memberikan kepada al-Jazzar (penyembelih dan pelapah) sedikit pun darinya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari Muslim).

Di dalam riwayat al-Imam Muslim ditambah dengan ucapan Saidina `Ali: “Kami memberikan kepada penyembelih dan pelapah upah daripada (harta) kami sendiri”.

Ya, walaupun hadis di atas berkaitan dengan sembelihan haji namun sama juga hukumnya dalam masalah korban. Apa yang penting ialah larangan menjadikan sembelihan yang disembelih bagi melaksanakan suatu tuntutan ibadat sebagai bahan jual beli, iaitu membeli tenaga kerja dengan bayaran daging sembelihan korban atau al-hadi (sembelihan haji).

Ini telah dijelaskan oleh al-Imam as-Son `ani dalam Subulus as-Salam, katanya:
“Hadis ini menunjukkan bahawa disedekahkan kulit dan apa yang menutupi binantang korban sepertimana disedekahkan dagingnya. Ianya tidak boleh diberikan kepada penyembelih atau pelapah sedikitpun darinya. Ini kerana termasuk dalam hukum jualan disebabkan kedudukannya sebagai upah. Hukum sembelihan korban sama juga dengan hukum sembelih haji dimana daging dan kulitnya tidak boleh dijual juga tidak boleh diberikan kepada penyembelih dan pelapah sedikitpun daripadanya. (4/148. Beirut: Dar al-Ma’rifah)

790. Soalan :  Apakah hukum sentuhan suami dan isteri adakah membatalkan wuduk?

Jawapan : 

Dalam masaalah ini para ulama berbeza pendapat kepada 3 golongan:

1. Berpandangan menyentuh atau bersentuhan antara lelaki dan wanita (termausk suami dan isteri) membatalkan wuduk dalam apa keadaan sekalipun, samaada sentuhan itu beserta syahwat atau pun tidak. Inilah pandangan secara mutlak mazhab  Syafie .

Dalilnya mazhab pertama antaranya:

i- Ayat al-Quran:

أَوْ لاَمَسْتُمُ النِّسَاء

Maksudnya: “Atau kamu menyentuh wanita.” – maka kamu perlu mengambil wuduk.

2. Berpandangan menyentuh wanita tidak membatalkan wuduk samaada sentuh dengan syahwat ataupun tidak. Ini adalah pandangan dalam mazhab Hanafi.

Dalil mazhab kedua antaranya:

i. Hukum asal orang yang berwuduk adalah kekal wuduknya selama-mana tidak ada dalil yang menunjukkan sesuatu perkara yang dilakukannya itu membatalkan wuduknya. Maka dalam bab menyentuh wanita ini tidak ada dalil yang menunjukkan ia membatalkan wuduk. Adapun tentang ayat di atas, mazhab Hanafi memahami ianya membawa maksud bersetubuh bukan bersentuhan dalam ertikata kulit dengan kulit semata-mata. Selain itu terdapat hadis yang menunjukkan bersentuhan semata-mata tidak membatalkan wuduk, dan hadis-hadis ini menguatkan lagi pandangan mazhab Hanafi yang mengatakan maksud sentuhan di dalam ayat di atas adalah dimaksudkan kepada jima’ atau bersetubuh. Hadis-hadis tersebut ialah:

ii. Daripada ‘Aisyah r.ha:

كُنْتُ أَنَامُ بَيْنَ يَدَيْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَرِجْلَايَ فِي قِبْلَتِهِ فَإِذَا سَجَدَ غَمَزَنِي فَقَبَضْتُ رِجْلَيَّ فَإِذَا قَامَ بَسَطْتُهُمَا

Maksudnya: “Aku pernah tidur dihadapan Rasulullah S.A.W. dalam keadaan dua kaki-ku di hadapan kiblat baginda (dan baginda sedang menunaikan solat), lalu apabila baginda hendak sujud, baginda memegang kaki-ku, lalu akupun menarik kaki-ku (untuk membolehkan baginda sujud), apabila baginda bangun, aku lunjurkan semula dua kaki-ku tadi.” (Hadis Riwayat Bukhari)

iii. Daripada ‘Aisyah juga:

فَقَدْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْلَةً مِنْ الْفِرَاشِ فَالْتَمَسْتُهُ فَوَقَعَتْ يَدِي عَلَى بَطْنِ قَدَمَيْهِ وَهُوَ فِي الْمَسْجِدِ وَهُمَا مَنْصُوبَتَانِ وَهُوَ يَقُولُ : اللَّهُمَّ أَعُوذُ بِرِضَاكَ مِنْ سَخَطِكَ ، وَبِمُعَافَاتِكَ مِنْ عُقُوبَتِكَ

Maksudnya: “Aku kehilangan Rasulullah S.A.W. pada suatu malam di tempat tidur-ku, aku meraba-raba mencari baginda, lalu dua tanganku tersentuh belakang kakinya, dan baginda di dalam masjid (sedang sujud menunaikan solat), kedua-dua kaki baginda itu ditegakkan, dan baginda membaca: “Ya Allah, aku memohon perlindungan dengan keredhaan-Mu dari kemurkaan-Mu, dan dengan kemaafan-Mu dari kemurkaan-Mu.” (Hadis Riwayat Muslim)

Zahir dari kedua-dua hadis ini jelas menunjukkan Nabi S.A.W. pernah menyentuh ‘Aisyah r.ha. ketika baginda menunaikan solat. Demikian juga ‘Aisyah r.ha. juga pernah menyentuh Nabi S.A.W. ketika baginda menunaikan solat. Jika sentuhan antara lelaki dan wanita itu membatalkan wuduk sudah tentu Nabi S.A.W. akan membatalkan solatnya disebabkan wuduk baginda terbatal kerana baginda telah disentuh oleh ‘Aisyah.

Para ulama dari mazhab al-Syafie mengemukan jawapan terhadap hadis ini. Namun jawapan mereka dianggap lemah oleh ulama mazhab lainnya, iaitulah mereka berpendapat barangkali sentuhan yang berlaku antara Nabi S.A.W. dan ‘Aisyah itu berlaku dengan berlapik. Alasan ini dianggap lemah oleh ulama mazhab lainnya, sehingga al-Syaukani berkata: “Takwilan ini merupakan takalluf dan bersalahan dengan zahir (dalil).”

Hadis berkenaan adalah bukti bahawa bersentuhan kulit tidak tidak batal. Namun para ulamak Syafie menolak kehujahan hadis cium dengan mengatakan bahawa hadis berkenaan dha’if dan mursal. Manakala hadis bersentuhan kaki Aisyah dengan kaki Nabi, mereka menolak kehujahan hadis berkenaan dengan mengatakan bahawa:

1. mungkin ketika itu ada lapik/alas

2. Atau ia dikhususkan untuk nabi sahaja (tidak batal wuduk).

Mana satu pendapat yang rajih? Dr Wahbah al-Zuhaili (Seorang ulama masa kini daripada Mazhab Syaf'ie) dalam tarjihnya mengatakan bahawa penolakan ulamak Syafe mengenai hadis menyentuh kaki dengan mengatakan kemungkinan berlapik adalah sengaja diada-adakan dan bertentangan dengan realiti yang berlaku. Menurutnya lagi, yang paling rajih ialah pendapat yang mengatakan bahawa menyentuh perempuan ajnabi secara tiba-tiba atau yang tidak dalam keadaan bernafsu adalah tidak membatalkan wuduk. Manakala jika bernafsu, membatalkan wuduk. 

3. Berpendapat bersentuhan antara lelaki dan perempuan dengan syahwat membatalkan wudhu jika tanpa syahwat tidak membatalkan wuduk. Ini adalah mazhab Malik dan Hambali.

Pandangan ini merupakan hasil daripada menggabungkan antara nas-nas yang ada dalam masaalah ini, iaitu ayat al-Quran yang bermaksud: “Atau apabila kamu menyentuh wanita (kamu perlu berwuduk)” kerana zahir ayat ini menunjukkan seolah-olah batal wuduk dengan hanya bersentuhan antara lelaki dan wanita, dengan hadis-hadis yang menunjukkan berlakunya persentuhan antara Nabi dan ‘Aisyah, dan baginda tidak memperbaharui wuduk.

Sebahagian ulama, terutama yang berpendapat tidak batal wuduk dengan bersentuhan antara lelaki dan wanita berpendapat, cara menggabungkan nas-nas seperti yang dilakukan oleh ulama mazhab Malik dan Hambali ini benar jika ayat al-Quran di atas memaksudkan dengan bersentuhan itu adalah semata-mata bersentuhan antara kulit. Akan tetapi terdapat penafsiran yang sahih yang menunjukkan ayat tersebut memaksudkan jima’ atau bersetubuh bukan semata-mata bersentuhan. Ini sepert yang ditafsirkan oleh Ibn Abbas r.a. dan penafsiran ini dipilih oleh Ibn Jarir, dan penafsiran Ibn ‘Abbas ini didahulukan berbanding penafsiran lain, kerana Nabi S.A.W. pernah berdoa kepada Ibn ‘Abbas dengan doa baginda yang berbunyi:

اللهم فقّهه في الدين وعلمّه التأويل

Maskudnya: Ya Allah fakihkanlah ia (Ibn ‘Abbas) dalam hal-ehwal agama dan ajarkanlah dia tafsir (al-Quran).” (HR Ahmad, al-Albani telah mensahihkan hadith ini di dalam Tahkik al-Tohawiah)

Selain itu banyak ayat al-Quran lain yang menggunakan kalimat menyentuh (المس) dengan maksud jima’ atau bersetubuh, antaranya firman Allah S.W.T.:

لاَّ جُنَاحَ عَلَيْكُمْ إِن طَلَّقْتُمُ النِّسَاء مَا لَمْ تَمَسُّوهُنُّ أَوْ تَفْرِضُواْ لَهُنَّ فَرِيضَةً

Maksudnya: “Tidak mengapa jika kamu mentalak isteri kamu sebelum kamu menyentuh (yakni membawa maksud bersetubuh) mereka atau sebelum kamu menentukan mahar mereka.” (al-Baqarah : 236)

Di dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman:

وَإِن طَلَّقْتُمُوهُنَّ مِن قَبْلِ أَن تَمَسُّوهُنَّ وَقَدْ فَرَضْتُمْ لَهُنَّ فَرِيضَةً فَنِصْفُ مَا فَرَضْتُمْ

Maksudnya: “Jika kamu mentalak isteri-isteri kamu sebelum kamu menyentuh (yakni membawa maksud bersetubuh), pada hal kamu telah menentukan mahar mereka, maka bayarlah setengah daripada mahar yang telah kamu tentukan itu.” (Surah al-Baqarah ayat  237)

Di dalam ayat yang lain lagi Allah SWT berfirman dengan menggunakan kalimah menyentuh dengan maksud bersetubuh:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نَكَحْتُمُ الْمُؤْمِنَاتِ ثُمَّ طَلَّقْتُمُوهُنَّ مِن قَبْلِ أَن تَمَسُّوهُنَّ فَمَا لَكُمْ عَلَيْهِنَّ مِنْ عِدَّةٍ تَعْتَدُّونَهَا فَمَتِّعُوهُنَّ وَسَرِّحُوهُنَّ سَرَاحًا جَمِيلًا

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu menikahi wanita-wanita yang beriman, kemudian kamu ceraikan mereka sebelum kamu menyentuh (yakni sebelum kamu menyetubuhi) mereka, maka tidak wajib ke atas mereka iddah bagi mu yang kamu minta menyempurnakan nya, maka berilah mereka mut’ah dan lepaskan lah mereka itu dengan cara yang sebaik-baiknya.” (al-Ahzab: 49)

Berdasarkan ini semua, maka pandangan yang lebih rajih adalah pendapat Dr Wahbah al-Zuhaili (Seorang ulama masa kini daripada Mazhab Syaf'ie) dalam tarjihnya mengatakan bahawa yang paling rajih ialah pendapat yang mengatakan bahawa menyentuh perempuan ajnabi secara tiba-tiba atau yang tidak dalam keadaan bernafsu adalah tidak membatalkan wuduk. Manakala jika bernafsu, membatalkan wuduk. (bersesuaian dengan pendapat Mazahb Maliki dan Mazhab Hanbali). Muzakarah Majlis Fatwa Tabung Haji berpendapat bersentuhan lelaki dan wanita tanpa syahwat tidak membatalkan wuduk.


Wallahu a’lam.

No comments:

Post a Comment