Thursday, October 16, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 170 ( Emas Beli Cara Hutang, Anak Yatim, Akad Jual Beli (Tunai Dan Hutang), Solat Jumaat (Tinggal) Dan Solat (Sir Dan Jahar)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 170 adalah menjelaskan persoalan emas beli cara hutang, anak yatim, akad jual beli (tunai dan hutang), solat Jumaat (tinggal) dan solat (sir dan jahar)

806. Soalan : Apakah hukum pembelian emas gold bar (bukan brg kemas) secara tertangguh.

Jawapan : 

Semua ulama empat mazhab mengharamkan jual beli barangan emas secara ansuran dan hutang.

Bagaimanapun, terdapat pandangan yang mengatakan ia bukan lagi di anggap emas kerana telah dibentuk, bagaimanapun semua empat mazhab menolak hujah ini kerana gelang, cincin, rantai emas itu, walaupun telah di bentuk ia masih lagi emas dan tidak akan terkeluar dari sifat emasnya. Ia juga adalah pendapat sahabat seperti Ibn Umar, Udabah bin Somit dan disokong oleh pelbagai ulama kontemporari seperti Prof. Dr Muhydin Qurah al-Daghi, Prof Dr Ahmad al-Kurdi, Prof Dr Ali Salus. Prof. Dr Mohd Said Ramadhan Al-Buti dan ramai lagi.

Rujuk pandangan mazhab empat dalam Al-Mabsut 14/4 ; Al-Bayan wa at-Tahsil 6/444 ; At-Tamhid 2/246 ; Al-Umm , 2/32 ; Takmilah al-Majmu' oleh As-Subky . 10/83 ; Mughni al-Muhtaj , 2/25 ; al-Mughni oleh Ibn Quddamah , 6/60 ) 

Ibn Abd al-Barr dlm Istizkar menyatakan telah berlaku ijma' (sepakat) mengatakan bahawa emas dengan emas seperti dalam bentuk ‘at-tibr' (serbuk) dan apa jua bentuk emas tersebut, hukumnya tetap tidak harus berlaku sebarang tafadhul (tambahan dari mana-mana pihak yang berurusniaga), demikian juga perak. Justeru tidak harus membelinya secara ansuran dan hutang. 

Apabila dikatakan perlu bayar tunai ini bermakna bayaran dan barang berlaku di dalam satu aqad. Sama dengan kita beli barang dapur di pasaraya, bayar tunai dan barang pun dapat pada masa tersebut.

807. Soalan : Adakah orang yang digelar anak yatim itu hanya kepada anak2 yg masih belajar atau sebaliknya?

Jawapan : 

Mengikut istilah anak yatim memberi maksud kanak-kanak yang masih belum baligh dan kemudiannya kehilangan atau kematian salah satu dari ibu atau bapanya. Sedikit berbeza dengan yatim piatu yang bermaksud kanak-kanak yang masih belum baligh dan kemudiannya kehilangan atau kematian kedua-dua ibu dan bapanya.

Istilah Anak Yatim Dari Segi Syariah Islam
Bagi orang yang sudah dewasa dan kemudiannya kehilangan ibu bapa tidaklah digelar sebagai anak yatim lagi kerana mereka sudah pun mampu menyara dan menjaga diri sendiri. Ianya hanya sesuai digunakan untuk kanak-kanak sahaja kerana mereka tidak mampu menjaga dan menyara diri sendiri dan masih memerlukan pertolongan serta bantuan dari orang lain.

Menurut Fath Al-Qarib dan Al-Baijuri:

“Anak yatim ertinya budak kecil (berumur rendah), yang tiada mempunyai bapa, sama ada budak itu laki-laki atau perempuan, sama ada ia mempunyai datuk atau tiada. Termasuklah budak kecil anak zina, anak pungutan dan anak yang dinafikan dengan sebab li ‘an antara suami isteri.

Apabila ia sudah baligh (sudah bermimpi dan keluar air mani) maka tiadalah dinamakan dia yatim, dan baligh itu dengan cukup umur lima belas tahun qamariyyah.”

Walaubagimana pun masyarakat Melayu Malaysia mempunyai satu lagi istilah iaitu Yatim Piatu yang dimaksudkan sebagai mereka yang telah kehilangan kedua-dua ibu dan bapa, walaupun sebenarnya istilah ini tidak ada dalam syariat Islam.

Anak yatim adalah anak yang kematian ibu bapa atau salah seorang daripadanya semasa ia kecil atau belum baligh, atau anak yang kematian bapanya sebelum ia menjangkau baligh. Islam mewasiatkan umat manusia supaya melakukan hubungan baik dengan anak yatim, memberi perlindungan dan pendidikan serta memberi hak-hak mereka.

Firman Allah yang bermaksud:
“ Maka terhadap anak yatim janganlah engkau berlaku sewenag-wenang” ( Surah Al- Dhuha ayat 9)

“Tahukah engkau orang yang mendustakan agama, iaitu orang yang menengking anak yatim.” ( Surah al- Maun ayat 1-2.)

Islam juga mencegah sama sekali memakan harta anak yatim dengan cara zalim seperti yang dinyatakand alam surah An- Nisa ayat 6.

Kewajipan sosial :

Menyayangi dan memelihara anak yatim adalah kewajipan sosial setiap orang Islam. Dan ia adalah salah satu usaha perjuangan Islam yang jarang dilakukan orang. Justeru masalah sosial timbul kerana empat sebab, iaitu tidak memuliakan anak yatim, tidak memberi makan orang miskin, memakan warisan (kekayaan) alam dengan rakus, dan mencintai harta benda secara berlebihan (lihat surah al-Fajr, ayat 15-20).

Penjagaan Terhadap Anak Yatim

Menurut Islam, amatlah dititikberatkan supaya kita menjaga hak anak yatim agar ianya terpelihara. Perkara ini telah dijelaskan di dalam Ayat Al-Quran dan Hadis.

• Al-Maaa’uun : Ayat 1-2 : “ Tahukah engkau akan orang yang mendustakan agama (meliputi hari pembalasan)? Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim

• Surah Adh-Dhuha : Ayat 9 – Allah SWT telah berfirman “Adapun terhadap anak yatim, maka janganlah kamu melakukan sewenang-wenangnya”.

• Surah Al-An’am : Ayat 152 – “Dan janganlah kamu hampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik(untuk mengawal dan mengembangkannya, sehingga ia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri); dan sempurnakanlah segala sukatan dan timbangan dengan adil”

• Hadis Riwayat Al-Bukhari – Diriwayatkan daripada dari Sahl bin Saad r.a katanya: Nabi Muhammad S.A.W. telah bersabda :”Aku dan orang yang memelihara anak yatim adalah di dalam syurga seperti ini.” Sambil Baginda menunjuk dengan kedua jarinya -jari telunjuk dan jari tengah (yang dirapatkannya), umpama rapatnya jari telunjuk dengan jari tengah, duduk bersama-sama Nabi di dalam syurga. ( Hadis Riwayat Al- Bukhari).

• “Nabi junjungan pernah bersabda, kalau seseorang itu berjumpa anak yatim kemudian dengan hati yang ikhlas dia menyapu tangan pada kepala anak yatim, perbuatan itu sangat-sangat disukai Allah. Ini menunjukkan betapa kita disuruh mengasihi anak yatim. Mengusap kepala dengan niat sahaja sudah dimuliakan Allah apalagi melindungi mereka.”
“Demi yang mengutus aku dengan hak, ALLAH tidak akan menyeksa orang yang mengasihi dan menyayangi anak yatim, berbicara kepadanya dengan lembut dan mengasihi keyatiman serta kelemahannya…” (Hadis Riwayat At-Tabhrani)

• Sabda Nabi lagi, Anak-anak yatim akan mempunyai kedaulatan besar di akhirat kelak. Menyakiti dan menzalimi mereka dosanya tidak terhingga, Kita amatlah digalakkan memberikan pertolongan apa saja termampu.

Memakan harta Anak Yatim

Di dalam AI-Quran ada tercatat sesiapa yang memakan harta anak yatim dia seolah-olah menyalakan api di dalam perutnya, Tuhan memberi amaran keras kepada mereka yang cuba mengkhianati anak-anak yatim.

RENUNGAN

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:”Sebaik-baik rumah kaum muslimin ialah rumah yang ada anak yatim yang diasuh dengan baik dan sejahat-jahat rumah kaum muslimin adalah rumah yang ada anak yatim yang selalu diganggu dan disakiti hatinya.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah.)

808. Soalan : Terdapat dua harga tunai dan tertangguh untuk satu barang adakah sah di sisi Islam?

Jawapan : 

Perlu diingat pembayaran bagi kontrak Murabahah boleh dibuat secara tunai atau bertangguh. Dalam praktis bank-bank Islam kontemporari kebiasaan pelanggan dibenarkan membayar secara ansuran dalam satu tempoh waktu. Namun demikian jika di awal kontrak Murabahah, pelanggan memilih kemudahan ini, harga aset yang dijual oleh bank secara Murabahah akan dinaikkan.

Hukum

Para ulama berbeza pendapat dalam hal ini, minoritinya mengatakannya haram manakala majoriti ulama silam termasuk keempat-empat mazhab dan ulama kontemporari berpandangan ianya harus.

Disebut oleh ulama Hanafi :

الثمن قد يزاد لمكان الأجل

Erti : Harga berkemungkinan dinaikan disebabkan penangguhan (bayarannya). 

Ulama mazhab Maliki pula berkata :

جَعل للزمان مقدار من الثمن

Erti : Penangguhan kerana untuk tempoh masa mempunyai nilai kadar nilai di dalam harga. 

Kenyataan dari ulama mazhab Syafie :

الخمسة نقداً تساوي ستة نسيئة

Ertinya : Lima jika dibayar secara tunai, bersamaan dengan enam jika dibayar secara tangguh. 

Manakala disebut oleh ulama mazhab Hanbali :

الأجل يأخذ قسطاً من الثمن

Erti : Tempoh boleh mengambil sebahagian dari harga 

Antara dalil paling mudah untuk menyokong pendapat ini adalah keharusa jualan secara as-Salam.

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ : قَدِمَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِينَةَ وَهُمْ يُسْلِفُونَ بِالتَّمْرِ السَّنَتَيْنِ وَالثَّلَاثَ فَقَالَ : مَنْ أَسْلَفَ فِي شَيْءٍ فَفِي كَيْلٍ مَعْلُومٍ ، وَوَزْنٍ مَعْلُومٍ، إِلَى أَجَلٍ مَعْلُومٍ .

Ertinya : Nabi SAW sampai ke Madinah dan penduduk Madinah membeli (menempah) tangguh tamar yang hanya akan diserahkan dalam tempoh dua tahun dan tiga. Lalu Nabi SAW bersabda : Barangsiapa yang ingin membeli secara tangguh (serahan barang iaitu belian as-Salam) hendaklah ia dilakukan atas barang yang diketahui, timbangan yang diketahui dan tempoh yang diketahui"(Hadis Riwayat Al-Bukhari, no 2086)

Jualan secara As-Salam harus secara nas dan ijma', manakala para ulama menyatakan dari hikmah keharusannya adalah pembeli dapat mendapat manfaat dari harga yang lebih murah, manakal penjual pula menikmati bayaran segera. Disebutkan oleh Ibn Qudamah :-

وهذا دليل على أن للأجل في البيع نصيباً من الثمن. وأن هذا لا بأس به في البيوع

Erti : Inilah dail bahawa tempoh waktu dalam jual beli mempunyai bahagian dalam harga, ia tidak mengapa kerana ia didasari oleh aqad jual beli. 

Kesimpulannya, disebabkan tempoh masa yang perlu ditunggu oleh pihak penjual dan risiko yang terdedah ke atasnya, perbezaan harga ini dianggap sebagai halal dengan syarat ia telah dipersetujui di awal aqad dan tidak lagi berubah selepas itu. Kenaikan harga akibat tempoh ini dianggap halal oleh majoriti mazhab dan ulama. Inilah bentuk 'time value of money' yang diiktiraf sebagai halal oleh Islam kerana ia didasari oleh jual beli sebenar dan bukannya aqad qardh iaitu pinjaman atau hutang.

Sheikh Taqi Uthmani membidas mereka yang menyamakan perbezaan penentuan harga ini sama seperti riba dengan kata beliau :-

Pertikaian ini sekali lagi disebabkan oleh salah faham bahawa setiap kenaikan harga disebabkan oleh masa akan jatuh dalam kategori Riba. Kesimpulan ini adalah silap. Setaip kenaikan yang disebabkan kelewatan bayaran hanya akan menjadi riba apabila kedua-dua belah pihak berurusan adalah wang, tetapi jika komoditi atau aset dijual berbalas wang, penjual mempunyai kebebasan untuk menentukan harganya dan dibenarkan juga mengambil kira pelbagai faktor termasuk masa pembayaran...masa pembayaran boleh dijadikan faktor penentu bagi ketetapan harga komoditi" 

Kesimpulannya : Jika bayar tunai tidak sama dengan bayaran tertangguh bukan di kira riba kerana masa yang berjalan akan berlaku perubahan harga. Tetapi perlulah di akad sebelum proses persetujuan jual beli tersebut. Ini adalah majoriti pendapat ulama. 2. Dalam Islam kita boleh mengambil keuntungan dengan menaikkan harga beli kepada harga jual. Contoh kita beli dengan harga RM 100 dan kita jual dengan harga kepada RM 120, iaitu keuntungan adalah RM 20 (20%).

809. Soalan : Adakah meninggalkan solat jumaat lebih 3 kali boleh jatuh kafir?

Jawapan : 


Meninggalkan Solat Jumaat 3 Kali Berturut-turut Adalah Dosa Besar (Melanggar Perintah Allah)

Mereka yang ada keuzuran yang diberi kelonggaran (rukhshah) pada meninggalkan sembahyang berjemaah adalah tidak diwajibkan sembahyang fardhu Jumaat seperti sakit yang boleh menambahkan lagi sakit atau melambatkan sembuh, sakit cirit birit kerana takut akan mencemarkan kebersihan masjid atau sibuk kerana menguruskan mayat yang ditakuti jika dilambatkan akan menyebabkan mayat menjadi busuk.

Namun bagaimana pula dengan orang yang senghaja meninggalkan sembahyang fardhu Jumaat tanpa sebarang keuzuran? Perlu diingat, sesiapa yang meninggalkan sembahyang fardu Jumaat tanpa ada uzur syar‘i adalah perbuatan dosa dan melanggar perintah Allah, apatah lagi jika meninggalkannya tiga kali berturut-turut, hatinya akan dicap oleh Allah sebagai hati orang munafiq.

Abu al-Ja‘di adh-Dhamriy radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda maksudnya : “Sesiapa yang meninggalkan Jumaat tiga kali tanpa keuzuran maka dia adalah munafiq.”(Hadis riwayat Ibnu Hibban)

Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas radhiallahu ‘anhuma, beliau berkata:
maksudnya: “Barangsiapa yang meninggalkan sembahyang Jumaat tiga kali berturut-turut maka dia telah membuang Islam itu di belakangnya (meninggalkannya).” (Hadis riwayat Abu Ya‘la)

Diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud radhiallahhu ‘anhu bahawa Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam pernah bersabda kepada satu kaum yang tidak bersembahyang fardhu Jumaat, Baginda bersabda maksudnya: “Aku menitikberatkan (memerintahkan) supaya seorang lelaki itu bersembahyang dengan beramai-ramai (berjemaah), kemudian aku berazam untuk membakar rumah-rumah mereka (lelaki) yang meninggalkan sembahyang Jumaat.” (Hadis riwayat Muslim)

Oleh itu, orang yang diwajibkan mengerjakan sembahyang fardu Jumaat janganlah sekali-kali meninggalkan sembahyang fardu Jumaat melainkan ada keuzuran syar‘i. Ini kerana perbuatan itu adalah melanggar perintah Allah dan orang yang meninggalkan sembahyang fardu Jumaat sebanyak tiga kali berturut-turut dicap sebagai orang munafiq.

810. Soalan : Ustaz kenapa solat zohor dan asar bacaan perlahan (sir) dan untuk solat magrib, isyak dan subuh untuk dua rekaat pertama sunat di kuatkan (jahar)?

Jawapan : 

Dalam solat fardu 5 waktu (zohor, asar, magrib, isyak dan subuh) rukun qauli wajib di baca dengan lafaz sekurang-kurangnya telinga kita mendengarnya. Jika baca di hati solat kita tak sah. Lima rukun qauli tersebut adalah 1. takbiratul ihram 2. membaca surah al-Fatihah 3. membaca tahyat akhir 4. membaca selawat nabi di dalam tahyat akhir 5. memberi salam pertama.

Untuk lebih jelas lagi kami ungkapkan hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim dan Abu Daud. "Rasulullah SAW membaca ayat dengan suara jelas (jahar) dalam solat Subuh dan pada dua rakaat pertama pada solat Maghrib dan Isyak. Baginda bacanya dengan berbisik pada solat Zohor, Asar dan pada rakaat ketiga solat Maghrib serta dua rakaat terakhir pada solat Isyak. Para makmum mengetahui bahawa baginda membaca sir (perlahan) dari gerakan janggut baginda, dan kadang-kadang dari bacaan ayat yang baginda bacakan kepada mereka".

Sebagai makmum apabila imam membaca fatihah secara kuat (jahar) pada solat seperti solat subuh, maghrib dan isyak makmum hendaklah mendengar bacaan fatihah imamnya. Setelah ‘amin’ maka makmum hendaklah membaca fatihah secara perlahan (sir) untuk dirinya di mana ketika itu imam membaca surah.

Makmum boleh membaca fatihah berserta bacaan faithah imam secara perlahan (sir) ketika imam membaca fatihah secara kuat (jahar) tetapi jangan mendahului bacaan faithah imam. Yang lebih baik adalah mendengar fatihah imam seperti dinyatakan di atas.
Apa maksud solat jahriyyah dan solat sirriyyah? Apa kaedah dari Syarak untuk menentukan antara keduanya?

Solat jahriyyah bermaksud solat-solat yang mana bacaan al-Quran (yakni al-Fatihah dan ayat atau surah selepasnya) di dalamnya sunat diperdengarkan. Solat Sirriyyah pula ialah solat-solat yang mana bacaan al-Quran di dalamnya sunat diperlahankan atau disembunyikan. Dalam sebuah hadis, Abu Hurairah r.a. menceritakan; “Dalam setiap solat ada bacaan. Maka apa yang diperdengarkan kepada kami oleh Nabi SAW., maka kami perdengarkan kepada kamu dan apa yang disembunyikannya dari kami, maka kami sembunyikannya dari kamu” (Hadis Riwayat Imam Muslim). Hadis di atas menunjukkan bahawa terdapat solat di mana Rasulullah memperdengarkan bacaannya (yakni membaca surah al-Fatihah dan ayat/surah selepasnya dengan suara kuat) dan ada solat di mana baginda menyembunyi (yakni memperlahankan) bacaannya.

Bagi solat-solat fardhu, kaedah menentukan antara keduanya adalah seperti berikut;

1. Bagi solat subuh dan solat jumaat, sunat menguat atau memperdengarkan bacaan pada kedua-dua rakaatnya.

2. Bagi solat maghrib dan isyak, sunat menguat atau memperdengarkan bacaan pada dua rakaat yang awal sahaja. Adapun rakaat ketika atau keempat, hendaklah disembunyikan bacaan.

3. Bagi solat zohor dan asar, disunatkan menyembunyikan bacaan pada keseluruhan rakaatnya.

No comments:

Post a Comment